Mak, Aku Ada Saka!
1 : Nak Tak?
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Alternatif
Paparan sejak 29 September 2016
Penilaian Purata:
(19 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5210

Bacaan






Malam semakin larut. Masih ada tiga kelibat yang berbual-bual di pangkin hadapan rumah Pak Seman. Badrul, Izudin dan Pak Seman sendiri. Hanya cahaya api rokok yang kelihatan kerana mereka berbual tanpa memasang lampu. Cahaya lampu jalan yang terpasang di hadapan rumah Pak Seman belum cukup untuk menerangi seluruh halaman.

“Kau nak ke tak nak. Malam ni aku dah bukak segala rahsia makrifat yang aku amalkan selama ini. Itu pun sebab kamu berdua anak kepada kawan-kawan seguru aku dulu. Mereka dah tak ada. Jadi, aku la yang ambik tanggungjawab tu” Luah Pak Samad. Matanya memandang kearad Badrul dan Izudin silih berganti. Puntung rokok tidak lekang dari bibirnya.

Badrul hanya berdiam. Sesekali mengerling ke arah Izuddin. Asap rokok dari bibirnya berkepul-kepul menerjah cucur atap. Dia sebenarnya berat hati untuk menerima ajakan Pak Samad pada malam ini. Bersungguh-sungguh Pak Saman berbasikal untuk mengajak mereka berdua datang ke rumahnya. Mereka menurut sahaja kerana tiada lagi kawan-kawan yang sanggup melepak sampai jam tiga pagi.

“Yang aku pelihara ni bukan saka. Yang ni baka jin Islam. Aku jamu bertih sahaja” Pak Samad menyambung lagi ceritanya. “ Kalau saka, dah tentu bapak-bapak kamu payah nak mati.”

“Bukan kami tak nak Pak Samad. Cuma, rasanya kami belum bersedia” Izudin memberikan alasan. Dia sebenarnya teringatkan pesanan ibunya untuk tidak mengambil sebarang ilmu yang bertentangan dengan agama.

“Kamu jangan nak berdalih sampai macam tu. Agama tu agama la. Ni untuk kebaikan diri kita.Masa aku dan bapak-bapak kamu belajar dulu, umur kami baru nak masuk 12 ke 13 tahun. Baru kenal rokok sahaja. Sampai sekarang la, aku masih bela benda ni.” Tegas Pak Samad.

“Mintak maaf Pak Samad, kalau saya terpaksa bantah. Saya pun rasa tak ada faedah bela benda-benda macam tu. Boleh khurafat nanti” Badrul pula meningkah. Dia sedikit sebanyak faham hukum hakam memelihara makhluk yang bernama jin ini.

Pak Samad tidak menjawab apa-apa. Cuma berdehem dengan batuk-batuk kecil. Rokok yang masih bernyala melekat di hujung jarinya.

“Apa yang benda tu boleh buat Pak Samad ?” Izudin ingin tahu.

“Dah tahu makhluk ni benda khurafat. Kamu masih nak tahu” Perli Pak Samad dengan nada merajuk. “Buang masa aku je ajak kamu berdua malam ni lepak kat sini. Dah, aku nak masuk tidur”

Pak Samad mengangkat punggung menuju ke arah rumahnya. Izudin dan Badrul hanya melihat. Mereka pun tidak mahu menunggu lama di situ. Masing-masing menghala ke motosikal yang dipakir berdekatan.



“Hissssh…… “

Bunyi seakan ular itu membuatkan Badrul dan Izudin tergamam sebentar. Mata mereka meliar mencari arah bunyi tersebut.

“Kau dengar tak apa yang aku dengar?” Tanya Badrul. Izudin hanya mengangguk dengan meletakkan jari telunjuknya di bibir yang dimuncungkan. Matanya masih meliar memadang sekeliling.

Bulu roma di tengkuk dan lengan mereka mula meriding. Nafas mereka pula semakin laju. Masing-masih berasa gelisah.

“Jom cepat kita blah dari sini. Aku tak sedap hati lah” Ujar Badrul sambil menghidupkan motosikalnya. Izudin masih terkial-kial menghentak penghidup motosikalnya. Sehingga lenguh kakinya dan berpeluh dahinya, motor itu masih belum boleh digerakkan.

“Aku tumpang kau je!” Izudin mengambil keputusan. Terkocoh-kocoh dia bangun dari motosikalnya dan mendakap di belakang Badrul.

“Hisssshhhhhhhhhhh…… aaaaaaaaaaaaa…aaa…..”

Bunyi yang kedengaran tadi kembali. Kali ini semakin berpanjangan.

Cepat-cepat Badrul menekan gear dan memecut menuju ke jalan raya.

“Kau rasa benda apa tadi?” bisik Izudin di telinga Badrul.

“ Aku rasa itu bunyi benda yang Pak Samad bela. Tuan dia marah, dia pun marah jugak” Jawab Badrul.

Cahaya lampu dari motosikal Badrul menerangi sepanjang jalan yang berlopak itu. Banyak kali juga mereka terhenjut melanggar lubang kerana Badrul menunggang dengan laju.

“Hishhh…..” Izudin mendengar bunyi berdesis itu betul-betul ditepi telinganya. Peluh jantannya membasahi pangkal leher.

“Ada bunyi lagi laaa…” Dia menjerit sambil memeluk Badrul lebih kuat.

“aku pun dengar la. Jangan peluk aku kuat sangat. Sesak nafas la” Marah Badrul.

“Hishhh…Jangan jalan ke hadapan lagi…ada lubang…..maut.. maut…Hmmmrhh” Kali ini suara tadi berbisik halus. Suara yang diulang-ulang sebanyak tiga kali.

Badrul sempat berpandangan dengan Izudin sebelum memperlahankan motosikalnya berhampiran hentian bas.

“Apasal berhenti? Nanti benda itu keluar, sakit nanti kita” Bebel Izudin. Pelukannya pada Badrul dilepaskan.

“Kau dengar tadi kan apa benda tu cakap?” Tanya Badrul. Rokok ditangannya dinyalakan.

“Dengar. Dia tak bagi jalan lagi ke hadapan. Takkan sebab tu kau berhenti. “

“ Cuba kau dengar dulu cakap aku…….. Sekarang ni kita kat tepi jalan. Ada lampu, ada bas stop, rumah Ustaz Hamid pun seberang jalan sahaja. Apa-apa yang jadi kita lari la ke rumah dia”

“Nasib baik kau cerdik!. Kita tunggu cerah sikit baru kita balik” Ujar Badrul sambil melabuhkan pungung diatas birai longkang.



Sebuah motosikal meluru pantas dihadapan mereka. Lelaki yang menunggang sempat mengangkat tangan. Gadis yang membonceng memeluk rapat badannya pada lelaki tadi sambil mengalihkan pandangan kearah jalan raya. Takut mukanya dicam oleh Izudin dan Badrul.

“Celaka punya Arip. Sempat lagi dia usung anak dara orang tengah malam ni!” Jerkah Izudin.

“ Dah tentu budak tu dia gula-gulakan” sambung Badrul meneka. “Senang-senang je dia boleh angkut”

“kita ni macam mana pulak?”

“Subuh nanti kita balik. Kalau kau nak hadap benda tadi, kita gerak sekarang” Gertak Izudin.

“ Subuh pun…subuh la”



Bunyi siren ambulan yang lalu mengejutkan Badrul dan Izudin. Rupa-rupanya mereka sudah tertidur di hentian bas.

Badrul segera menghidupkan motosikal sebaik melihat beberapa orang budak sekolah berjalan kearah mereka. Izudin terus melompat naik sebelum Badrul pantas mengekor ke arah ambulan itu sedang bergerak.



“Siapa yang eksiden?” Tanya lelaki beserban selepas memberhentikan motosikalnya di tepi jalan.

“Sorang lelaki dan sorang perempuan, dua –dua mati” jawab seorang pemuda yang sibuk membalas mesej di telefon bimbitnya.

Perbualan tersebut tertancap di telinga Badrul dan Izudin yang baru memberhentikan motosikal.

“Arip dan budak perempuan semalam tu la agaknya” Izudin meneka. Dia mulai yakin bila ternampak plat motosikal yang terhumban ke dalam lubang tersebut.

“Sah moto Arip….Jangan-jangan benda semalam tu….” Badrul pula mengungkap ayat tergantung. Izudin mengangguk seolah-olah boleh memahami ungkapan itu.

“Rupanya …Benda tu nak tolong kita semalam” ungkap Badrul. Mindanya membayangkan dua jasad yang diangkut ke dalam ambulan itu adalah dirinya dan Izudin.

“Kita kena sembang balik dengan Pak Seman ni” Tegas Izudin. “Kita terhutang nyawa dengan benda tu”



Badrul melaung salam sekuat hati. Walaupun rumah Pak Seman bergelap, dia yakin orang tua itu ada di dalam. Kalau tidak dia tak sanggup memberi salam dan mengetuk pintu rumahnya tengah-tengah malam ini.

“Dah..dah.. lekang pintu rumah aku nanti. Waalaikum salam. Kamu tunggu aku di pangkin. Nanti kita jumpa.” Ucap Pak Seman sebaik melihat Izudin dan Badrul di muka pintu. Dia menutup semula pintu dan masuk ke dalam rumah.

“Kamu berdua ni dah kenapa? Malam-malam buta ketuk rumah aku” Bebel Pak Seman sebaik duduk berhampiran Badrul dan Izudin.

“Kami dah tukar fikiran Pak Seman, Kami setuju nak ambil benda yang Pak Seman offer semalam” Jelas Badrul.

“Semalam, kamu dah gila apa? Semalam aku sekeluarga kat rumah Milah anak aku, di JB. Bila pulak kita bersembangnya” Getus Pak Seman. “ tengah hari tadi, baru aku sampai balik”

“Sumpah Pak Seman. Masa kami lepak kat simpang depan, pagi semalam. Pak Seman yang datang dengan basikal ajak kami borak-borak dekat pangkin ni” Izudin bertegas. Dia sendiri kurang percaya dengan penjelasan Pak Seman.

“Kalau Pak Seman dah tawar hati dengan kami, terus terang ajelah. Tak payah buat helah macam ni” Rajuk Izudin.

“Tawar hati apa pulak ni. Tak kan lah aku nak menipu korang. Kau pergi tanya Makcik Leha kau tu, semalam kami kat mana? Kalau kamu tak percaya sangat” Ugut Pak Seman menguatkan hujahnya.

“Abis semalam kami lepak dengan sapa?” Badrul menggaru kepala. Bulu romanya mula meremang.

Pak Seman tersenyum setelah melihat Badrul dan Izudin yang semakin cuak. Masing-masing terpaku menunggu jawapan yang seterusnya dari Pak Seman.

" kamu berdua ni, aku tipu sikit pun dah cuak. Betul la kita yang berborak kat sini semalam….. Dan satu lagi… aku memang sengaja suruh benda tu ikut kamu semalam, ajar kamu sikit. Baru nak yakin dengan apa yang aku nak bagi." Sambung Pak Seman sambil ketawa.

"Pak seman ni sengaja nak kenakan kami berdua." Izudin mulai lega. Sebatang rokok dikenakan pada bibirnya. Asap yang keluar memutih menandakan kelegaan.

"Sekarang ni, siapa yang sanggup nak ambil?" Tanya Pak Saman serius. Nada suaranya juga semakin dalam.

"Kalau Pak Seman tak keberatan, bagi kat saya sajalah benda tu.Saya ni tinggal kat bandar, patut la ada benda-benda macam ni untuk jaga diri. Tau la kan sekarang ni, banyak sangat kes-kes jenayah yang bukan-bukan. Boleh juga jaga diri sendiri" usul Izudin. "Lagipun, esok saya dah nak balik ke sana"

Badrul hanya mengangguk. Dia mencapai kotak rokok dan menitipkan sebatang rokok di bibir. "Saya pun setuju Pak Seman. Kalau benda tu tak bagi warning kat kami semalam, dah arwah kami sekarang ni"

"Ha..ha…Kamu berdua ni betul-betul ke, atau nak jaga hati aku jer." Perli Pak Seman.

"Sumpah Pak Seman. Saya sanggup. Apa pun syaratnya, Insha Allah saya sanggup buat." Tegas Izudin bersungguh-sungguh.

"Din dah setuju tu, Pak Seman buat la sekarang. Kalau apa-apa jadi nanti, kami boleh cari Pak Seman lagi."

Pak Seman tersengih mendengar pengakuan tersebut. Giginya yang kehitaman jelas kelihatan. Dia memberikan isyarat kepada Badrul supaya menghulur rokok. Silanya dibetulkan menghadap ke arah Izudin. Rokok ditangannya dinyalakan terlebih dahulu.

"Kamu ke mari. Bersila macam aku" arah Pak Seman. "Bila aku seru nanti, kamu tahan nafas kemudian sahut 'aku terima' , senafas sahaja"

Izudin mengesot diatas pangkin menghampiri Pak Seman. Silanya dihadapkan betul-betul di hadapan Pak Seman.


Suasana yang tenang sebentar tadi tiba-tiba berubah. Angin yang sepoi-sepoi bertukar menjadi kencang. Badrul yang tadinya tenang, mula mengesot menghampiri belakang Pak Seman. Hujan rintik-rintik mulai turun dengan diikuti guruh dan kilat.

"Hulurkan tangan kanan kamu"Arah Pak Seman dengan suara yang agak kuat, melawan bunyi hujan dan angin. Tangan Izudin disalam dengan genggaman yang kuat.

"Dengan sumpah ini, Aku akan menyerahkan penjagaku ini kepada orang yang sedang berakad dengaku sekarang” Ucap Pak Seman diikuti dengan lafaz “Aku terima” dari Izudin.

Hujan rintik-rintik dan ribut yang tadinya mahu menggila mulai perlahan. Keadaan kembali seperti sediakala.

“Aku kena masuk sekarang. Ingat baik-baik pesan aku….Kau jaga benda tu baik-baik.” ujar Pak Seman sebelum melangkah masuk ke rumahnya.

“Jom balik. Kerja kita kat sini dah selesai” Ajak Izudin. Puntung rokoknya dilontar ke tengah halaman.

“Motor kau tu macam mana?” Tanya Badrul.

“Kalau tolong la tolak belakang moto aku, sampai ke kedai pomen je. Sebelum tu, bagi aku try stat dulu.” Saran Izudin. Semalaman motosikalnya terbiar di bawah pokok rambutan di rumah Pak Seman.

Sebaik menghenyak pelantak starter, motosikal Izudin berbunyi seperti sediakala.

“Merajuk agaknya semalam” Tegur Badrul sambil melihat Izudin memulas throttle minyak. Bingit bunyinya sehingga boleh mengganggu tidur orang.

“Dah la tu. Bangun pulak orang tua tu karang” Tegur Badrul.

“Ish..sikit je… aku nak test moto ni ok ke tak” Jawab Izudin sambil matanya menjeling kea rah rumah Pak Samad.

“Malam ni tak ada elektrik ke? Gelap je rumah Pak Seman ni dari semalam.” Getus Izudin lagi.

“Ada masaalah wiring kot, jom blah cepat. Sempat lagi nak lepak kat kedai Kak Nora ni” Jerit Badrul yang memecut motosikalnya ke jalan raya.



Badrul membuka helmet dan meletakkanya pada cermin sisi motosikal. Peluh yang mengalir di dahinya dilap dengan pangkal lengan. Dia baru sahaja menghantar Izudin ke stesyen Bas Pekan.

Ibunya turun dari tangga rumah dengan berpakaian seolah hendak menghadiri kenduri.

“Mak nak ke kenduri siapa ni?” Tanya Badrul.

“Laa..kamu tak dengar ke pengumuman di Masjid pagi tadi”

“Kan Bad pergi ke Stesyen Bas Pekan pagi tadi, Hantar Izudin balik rumah dia. Sapa yang meninggal pulak Mak”

“Pak Seman, kawan arwah ayah kamu dah meninggal?”

“Ye ke? Sakit apa Mak?”

“Kemalangan jalan raya”

“Baru malam semalam je Bad dengan Izudin jumpa dia, Tak sangka dah meninggal” Ulas Badrul.

“Kamu jangan nak merepek Badrul. Dia dah meninggal dua hari lepas. Satu keluarga kemalangan. Dia, Mak Leha dan anak-anak dia semua meninggal. Diaorang dalam perjalanan balik dari rumah Milah, anak sulung dia. Yang si Milah tu pun meninggal jugak sebab ikut balik sekali” Jelas Mak Leha.

“Mak ni biar betul. Bad berani sumpah yang Bad dan Izudin memang jumpa Pak Seman dua hari berturut-turut. Sama-sama lepak kat pangkin depan rumah dia tu”

“Ya Allah. Takkan aku nak bohong kamu hal macam ni. Dah la…… Layan kamu ni, aku yang pening nanti. Kamu berdua memang macam-macam hal…… Aku dah lambat nak tolong orang memasak ni. Kalau kamu tu dah tak buat apa-apa, jom ikut ke kenduri sekali. Tolong apa yang patut.”

Muka Badrul bertukar pucat mendengar penjelasan Maknya.

“Mak pergi la dulu. Nak Bad saing dengan sapa-sapa yang lalu nak ke sana nanti” Jawab Badrul dengan hati yang kurang senang.

“Satu lagi, Mak nak pesan ni. Kamu jangan nak pergi pulak kat rumah arwah tu. Khabarnya belaan Pak Seman tu tengah mencari tuan baru. Tuan lama dia dah putus keturunan. Semuanya dah mati.” Ucap Mak Badrul dengan nada seakan berbisik. “ Kamu jangan tak pergi pulak”

“Baik Mak” ucap Badrul dengan nada menggeletar. Badannya mulai panas seakan mahu demam. Tangannya mulai mengurut dada dan segera mendail nombor Izudin dengan telefon bimbitnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku