ILMU HITAM
Bab 1
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 30 September 2016
Penilaian Purata:
(11 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6319

Bacaan






40 tahun kemudian…

JAMILAH menatap pasangan muda di depan matanya itu. Gadis berambut ikal berselendang hitam itu asyik menundukkan kepalanya. Pemuda yang duduk di sebelahnya meramas-ramas jari seperti tidak keruan. Dia tahu pasangan itu tiada ikatan yang sah. Bukan pasangan suami isteri. Mereka hanya pasangan kekasih yang bercinta. Bukan pasangan kekasih yang sehidup semati. Bukan pasangan kekasih yang sanggup menghadapi lautan api.

Jamilah mengukir senyuman sinis di hujung bibir. Tidak semua yang tahu khidmatnya sebagai seorang dukun. Jika dilihat dari segi penampilannya, dia seperti wanita anggun layak menyandang gelaran datin, barangkali. Taraf hidup yang dimiliki menyembunyikan identitinya yang sebenar. Khidmat yang diberikan hanya untuk mereka yang layak menerima. Wajahnya yang jelita membuatkan pemuda itu terpegun. Jamilah seperti bukan wanita berusia yang layak bergelar seorang nenek.

“Apa hajat kamu?” Jamilah bertanya. Meskipun dia tahu tujuan pasangan muda itu menemuinya.

“Sa… saya nak mintak tolong puan,” Agak tergagap-gagap pemuda itu bersuara mengemukakan permintaannya.

“Tolong apa?”

Girlfriend saya mengandung. Saya nak minta khidmat puan untuk gugurkan kandungannya.”

Jamilah tersengih. Budak-budak zaman sekarang. Bila sudah terlanjur akan cuba lepas tangan. Yang berduit akan mengunnakan kuasa duit.

“Kamu jantan yang tidak berguna. Pandai buat tidak tahu memikul tanggungjawab.” Jelingan Jamilah menakutkan pemuda itu. Warna mata wanita itu bagaikan kemerah-merahan. Liurnya ditelan.

“Tolonglah puan. Saya sanggup membayar harganya. Kawan saya cakap puan pandai dalam bab-bab ni.” Pemuda itu merayu.

Jamilah tersengih lagi. Kemudian dia ketawa halus. Tawanya yang mengekek itu merindingkan bulu roma.

“Kamu lebih pandai dari aku. Pandai merosakkan anak dara orang! Kalau kamu anak lanang aku maka sudah lama aku kerat-kerat tubuh kamu!” getus Jamilah. Pemuda itu segera melarikan lirikan matanya.

Gerun melihat kemarahan pada wajah Jamilah.

“Tolonglah saya…”

“Aku akan tolong kamu, tapi ada syaratnya. Janin dalam perut kekasih kamu itu nanti kamu haruskan berikan pada aku. Risikonya kamu tak usah bimbang. Aku ada penawar untuk segala kesakitan yang perubatan moden tidak boleh berikan kepada kamu. Kekasih kamu tidak akan merasa kesakitan.” Jamilah sekilas mengerling ke arah gadis itu.

Pemuda itu terangguk-angguk. Gadis itu merapati kekasihnya. Wajahnya kelihatan agak pucat. Dia memaut lengan kekasihnya. Dia tidak mahu mengugurkan kandungannya. Pemuda itu tetap memaksa dengan ugutan untuk memutuskan perhubungan mereka jika kekasihnya tidak menurut. Jamilah hanya berdiam diri. Membiarkan pasangan itu membuat kata putus.

“Kami akan teruskan.” Pemuda itu mencengkam pergelangan tangan kekasihnya dengan kuat. Gadis itu perlu mengikut kata-katanya tanpa bantahan.

“Jadi tak usah berlengah lagi. Kamu ikut aku ke atas. Kamu tidak usah takut. Sakitnya cuma seperti gigitan semut.” Jamilah bingkas bangun.

Guruh bergema di langit. Lolongan anjing saling bersahutan. Gadis itu ingin berpatah balik namun lengannya direntap kasar oleh kekasihnya.

Dalam keterpaksaan gadis itu mengekori langkah Jamilah memijak anak tangga. Langkah berhenti di depan sebuah bilik. Jamilah memimpin gadis itu masuk. Suasana dalam bilik itu berentangkan dengan kain berwarna hitam bercorak bunga. Jamilah menghulurkan sehelai kain batik kepada gadis berkenaan. Jamilah mengusap-usap belakang gadis agar tidak berasa takut. Bibirnya seperti membaca sesuatu ayat hingga gadis itu menurut kata.

Pemuda itu menanti di ruang tamu dengan perasaan kacau bilau. Resah bercampur gelisah. Tidak didengari langsung erangan kekasihnya. Hening. Dia menyapu peluh yang mengalir di wajah. Moga-moga kekasihnya itu dalam keadaan selamat.

Di dalam bilik, gadis itu sudah tidak bergerak-gerak lagi. Matanya terbeliah dengan mulutnya yang ternganga luas. Janin di dalam perutnya telah ditarik keluar oleh Jamilah. Jamilah ketawa mengekek.

“Sayang… kamu dahagakan darah bukan? Kamu minumlah darah dia. Darah dia kepunyaan kamu” Jamilah mengerling pada makhluk belaannya yang muncul di kepala gadi itu.

“Grrrr…” Makhluk itu menderam-deram.

Jamilah senyum. Janin yang sudah sempurna itu dibungkus ke dalam kain berwarna kuning. Dia melangkah keluar dari bilik tersebut.

Sebaik melihat Jamilah, pemuda itu meluru ke arahnya. Jamilah meunduk dengan wajah bersalah. Pemuda itu tidak mampu untuk mengeluarkan kata-kata apabila diberitahu yang kekasihnya mati ketika proses pengguguran itu berlangsung. Dia terduduk di sofa meraup muka berkali-kali. Jamilah mengelap tangannya yang berlumuran darah.

“Aku akan uruskan pengembumian kekasih kamu.”

“Bagaimana kalau keluarganya cari? Polis cari? Mereka pasti akan cari aku!” Pemuda itu gelabah.

“Usah kamu khuatir. Biar aku uruskan semuanya. Percaya sama aku!”

“Terima kasih puan.”

Jamilah senyum dengan penuh makna. Pemuda itu dipandang atas dan bawah. renungannya kali ini, buat pemuda itu menelan liur berkali-kali.


“BILA ibu nak bertaubat? Buat kerja terkutuk itu lagi.” Azrul hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Puas dinasihati. Hati ibunya bagaikan sudah hitam legam. Dinding batunya sukar untuk ditembusi. Mungkin dinding yang dipagar oleh iblis itu sudah sebati.

Hati Azrul menjadi walang. Dia sayangkan ibunya. Dia mahu Ibunya berhenti dari melakukan kerja-kerja terkutuk itu. Pilu hatinya melihat janin yang sudah cukup sifat itu berada di dalam mangkuk besar itu. Entah apa yang ingin dilakukan oleh ibunya pada janin itu? Yang pasti bukan sesuatu perkara yang baik.

“Ibu…”

“Tak usah berceramah dengan aku. Kamu jangan balik sini lagi jika kamu hanya mahu membebel dengan ibu kamu ini. Pergi sana! pergi ke tampat ibu bapa angkat kamu yang alim itu!” Jamilah menghalau.

Azrul berkecil hati dengan kata-kata yang keluar dari mulut ibunya itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu bertegang urat dengan ibunya. Namun, melihat sikap ibunya yang masih tidak berubah dia harus menjalankan kewajipannya untuk menegur kerana apa yang ibunya itu lakukan adalah salah. Salah di sisi Agama.

“Saya tak bermaksud mahu bebelkan ibu.”

“Di mata kamu, kamu hanya lihat ibu wanita jahat. Wanita yang mengamalkan ilmu hitam. Wanita yang bakal ke neraka. Syurga itu hanya layak orang-orang seperti kamu!”

Terbeliak-beliak mata Jamilah ketika mengeluarkan kata-katanya.

Azrul menghela nafas panjang.

“Ibu. saya nak tumpang solat,” Azrul tidak mahu memanjangkan lagi pertelingkahan.

“Kamu nak solat. Jangan solat di rumah ibu. Ibu tidak suka. Cari masjid atau surau di luar sana.” tegah Jamilah.

Azrul tidak terkata apa. Dia tidak mahu banyak bicara. Lalu dia melangkah keluar dari banglo mewah milik ibunya itu. Ibunya itu sudah berusia tetapi masih tampak jelita. Suaminya bersilih ganti. Malahan ada bapa tirinya yang sebaya umur. Yang menjadi misteri, suami-suami ibunya itu mati dalam keadaan tragis. Segala harta mereka akan diwasiatkan kepada ibunya. Azrul tidak berani untuk menuduh kerana dia tidak nampak dengan kedua-dua belah mata yang ibunya membunuh suami-suaminya.


Bersambung...



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku