ILMU HITAM
Bab 2
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 30 September 2016
Penilaian Purata:
(26 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4821

Bacaan






JAMILAH duduk di kerusi soleknya membaca patah-patah bait ayat mentera yang sukar difahami. Mentera yang diperturunkan dari arwah mbahnya itu. Segala ilmu mbahnya diwarisi. Ilmu itu memberikan pulangan yang mewah dalam kehidupannya, Dia memandang wajah jelitanya pada cermin. Bibirnya melukis senyuman. Wajahnya tidak makan dek usia. Tiada segaris kedutan pada wajahnya. Namun, kejelitaan itu ada rahsia dan pantang yang perlu dipatuhi. Jamilah tidak sesekali melanggar pantang tersebut.

Jamilah menyapukan bedak pada pipinya. Secalit gincu merah pada bibir dan sedikit pembayang mata yag agak terang warnanya. Kemudian rambut panjang yang melepasi punggung disanggulkan dengan rapi. Dia sentiasa kelihatan cantik dan menjaga penampilan. Lelaki mana yang tidak gilakan dia?

Bayangan seorang wanita yang mirip dengan wajah Jamilah muncul di belakangnya. Mata yang kemerahan itu merenung ke dalam cermin solek milik Jamilah. Jamilah tersentak. Wajah jelita itu bertukar kemerah-merahan.

“Siapa suruh kau menyerupai aku lagi?” herdiknya. Jamilah memusingkan tubuh. Tajam dia merenung wanita yang mirip dengan wajahnya itu.

Wanita yang menyerupai wajahnya itu mengundurkan langkah ke belakang apabila diherdik oleh Jamilah. Kepalanya ditundukkan. Dia kelihatan seperti takut namun ada senyuman terukir di hujung bibirnya.

“Kau jangan merayap-rayap dengan wajah aku! Aku tidak suka! Jangan kau nak buat onar tanya arahan dari aku!” Jamilah menjegilkan matanya. Jamilah mengetap bibir. Wanita yang menyerupainya menghilang dengan asap berkepul hitam. Jamilah segera keluar dari biliknya.

“Ibu marahkan siapa?”

Dia mengurut dada apabila melihat Azrul di depan matanya. Pertanyaan Azrul tidak dibalas. Namun, Azrul tahu yang ibunya itu sedang mengherdik belaannya itu. Azrul tidak mahu bertanya lebih lanjut. Azrul menghulurkan kedua belah tangannya. Jamilah memalingkan muka. Marahnya pada anak lelakinya itu masih bersisa.

“Saya balik dulu, ibu.”

Jamilah hanya merenung wajah anak lelaki tunggalnya itu dan berlalu. Terkilan Azrul dengan sikap dingin ibunya itu. Sejak dari kecil dia mengikut ibunya ke mana saja ibunya itu pergi. Hidup mereka berpindah-randah ketika itu. Ilmu hitam milik ibunya tidak dipelajari. Ibunya pernah mendesak agar dia mengamalkan ilmu tersebut dengan alasan untuk melindungi diri. Dia menolak. Ibunya seakan kecewa dengan keputusannya itu. Azrul tidak mahu melalukan perbuatan-perbuatan yang melangga hUkum agama dengan menyekutukan ALLAH.

Azrul beredar pulang. Sebuah kereta Mercedes menyusur masuk ke pengarangan banglo mewah itu. Seorang wanita melangkah keluar dari perut kereta. Tidak berkelip wanita itu memandang Jamilah. Dia seperti tidak percaya orang yang ditemuinya seorang wanita yang begitu muda. Bukan seperti gambaran di fikirannya. Seorang dukun itu wanita tua yang menggerunkan seperti seorang nenek kebayan. Lihat saja pada kediaman mewah Jamilah bukan pondok buruk yang terpencil di dalam hutan.

“Aku ingin bertemu dengan Puan Jamilah.”

“Aku Jamilah yang kamu cari. Silakan masuk,” Jamilah menyambut tetamu yang berkunjung ke banglonya itu.

Wanita itu kelihatan diam. Jamilah tahu kehadiran wanita berstatus datin di depan matanya itu memerlukan khidmatnya. Esakan kecil wanita memecahkan keheningan. Air mata wanita berjuraian di sebalik wajahnya yang penuh emosi.

Pembantu rumah Jamilah menghidangkan air di atas meja. Jamilah senyum sinis. Wanita lembik memang mudah ditindas. Lelaki sekarang yang berhidung belang semakin betambah bilangannya. Mereka memang wajar diajar. Dia sudah boleh mengagak apa yang berlaku pada wanita itu. Dapat lelaki yang bergelar suami tetapi bermata keranjang memang menyedihkan.

“Aku nak perempuan perampas tu mati!” Wanita yang bernama Datin Aida itu bersuara. Dia mengangkat wajahnya.

Sudah diduga kata-kata itu akan keluar bibir wanita terbabit. Dia tidak nampak kurangnya wanita itu. Cantik dan anggun. Seorang datin yang masih muda. Kecantikan yang dimiliki juga tidak menjami lelaki itu akan setia.

“Bunuh orang bukan satu kerja yang mudah. Kerja berat tu.” Jamilah membalas.

“Tapi aku tahu puan mampu lakukannya untuk aku.”

“Kenapa kamu nak bunuh dia? kamu sudah perolehi kekayaan dari suami kamu. Kamu sudah gelaran datin. Lagipun suami kamu berkemampuan kahwin lebih dari satu.”

Datin Aida mengetap bibir. Baginya semua itu tidak berguna jika kebahagiaan bukan lagi miliknya. Dia sudah puas berduka. Berendam air mata melihat kemesraan suaminya dengan perempuan lain. Perempuan perampas yang tidak sedar diuntung. Tiada lelaki lainkah di dunia ini selain bermain cinta dengan suami orang. Dia tidak boleh memaafkan perempuan itu.

“Aku tak rela berkongsi kasih.”

“Jadi, kenapa tidak kamu sendiri yang meracun perempuan itu? Mudah bukan. Kau cuba brbaik-baik dengan dan kamu racun dia.”

“Aku tidak berani. Aku tidak mahu masuk penjara!”

Jamilah ketawa. Terkekek-kekek. Manusia seperti Datin Aida kelompoknya ada sebilangan besar. Tidak mahu mengotorkan tangan dengan darah.

“Selain kamu mahu perempuan itu mati, kamu juga mahu aku tundukkan suami kamu, bukan?”

Datin Aida tersentak. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Apa yang ada di dalam fikirannya itu dapat dibaca oleh Jamilah.

“Kamu ada bawa gambar perempuan tu?” Jamilah menyambung katanya.

“Ada.” Dia membuka beg tangannya lalu menghulurkan sekeping gambar kepada Jamilah.

Jamilah membandingkan perempuan di dalam gambar itu dengan Dain Aida yang berada di depan matanya. Kedua-duanya sama cantik. Mungkin perempuan di dalam gambar ini punya kelebihan hingga mampu mengikat hati lelaki itu.

Jamilah memenjamkan matanya seketika. Bila sudah ada yang meminta masakan dia akan menolak tidak memberikan apa yang mereka mahu.

“Aku sanggup bayar berapa harganya asalkan perempuan itu mati. Aku tak mahu dia hidup! Aku nak dia mati perlahan-lahan dalam keadaan terseksa.” Datin Aida bersungguh-sungguh mahu perempuan yang merampas suaminya itu mati.

“Kamu tidak usah bimbang. Aku akan uruskan untuk kamu. Kamu tunggu saja beritanya kematiannya.”

Datin Aida mengukir senyuman. Dia membuka beg tangannya. Sekeping cek dengan angka yang cukup besar dihulurkan kepada Jamilah.

ASAP kemenyan berkepul-kepul. Jamilah duduk bersila dengan mulut terkumat-kamit membaca beberapa potong mentera. Dia akan melakukan kerjanya itu dari jarak jauh. Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasil ramuan santau diambil satu-persatu. Bahan diadunkan dengan berhati-hati.

Bisa ular senduk di dalam mangkuk diangkat lalu itu dibaca dengan potongan ayat seterusnya.Segala ramuannya telah disempurnakan. Jamilah tersenyum. Makhluk hitam yang diseru muncul di hadapannya. Bersedia untuk menerima arahan dari tuannya itu.

“Aku ada tugas untuk kamu,”

Makhluk bermata merah itu sengih mempamerkan barisan gigi taring runcingnya. Ada mangsa untuknya malam ini.


TEKAKNYA berasa perit dan gatal. Mira terbatuk-batuk kecil. Sejak malam tadi dia tidak sedap badan. Kepalanya juga terasa pening. Mira berbaring lesu di atas sofa. Dia tidak ke pejabat

pagi ini. Tubuhnya tidak sihat.

“Kau okey ke ni?” Zira, kakak sulungnya menegur lembut. Jarang dia melihat Mira jatuh sakit begini. Wajah Mira kelihatan pucat.

“Rasa kurang sihatlah kak.” desis Mira seraya memicit-micit kepalanya.

“Ambiklah m.c. Tak payah pergi pejabat.”

Mira mengangguk lemah. Dia memenjamkan mata. Ingin tidur sebentar. Zira segera menyarung kasut dan melangkah keluar dari rumah teres dua tingkat itu. Dia sudah lewat untuk ke tempat kerja.

Mira memicit-micit lagi kepala yang pening. Matanya masih terpenjam rapat. Salah makankah? Tak mungkin? Dia cukup menjaga dietnya. Mira membuka kelopak matanya. Dia perlu memaklumkan kepada Datuk Zamry yang dia tidak dapat hadir ke pejabat. Lelaki itu pasti ternanti-nanti untuk bersarapan pagi bersamanya.

Telefon pintarnya digapai. Nombor lelaki itu terus ditekan satu-persatu pada skrin. Telefon dilekapkan pada telinga. Suara Datuk Zamry kedengaran.

“Helo, sayang…”

“Sayang… you kat mana?” Datuk Zamry terus bertanya.

“I tak boleh masuk pejabat. I tak sihat.”

What? I datang rumah you sekarang. Kita pergi klinik.” Suara Datuk Zamry penuh

kebimbangan di talian.

“Tak perlulah. I makan Panadol saja. Kalau tak okey juga, I call you semula. Kita ke klinik.”

“Okey. Take care. Pastikan you call I jika you tak okey.”

“Okey saya. Bye-bye…”

Talian dimatikan. Mira gagahkan diri untuk ke dapur. Air mineral dituangkan ke dalam gelas. Ketika dia memalingkan tubuhnya, gelas dalam genggaman terlucut dari tangan.

“Aaaaa!” Mira menjerit lantang. Mata Mira terbuntang luas melihat makhluk hitam bermata merah itu menyeringai ke arahnya.


Bersambung...



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku