ILMU HITAM
Bab 3
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 30 September 2016
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4006

Bacaan






“MIRA!” Menjerit Zira melihat Mira yang terbaring dalam keadaan tertirap di ruang dapur. Zira cemas. Dia memaku terbalikkan tubuh Mira. Kepala Mira diribakan. Wajah Mira ditampar-tampar perlahan.

Mira membuka matanya. Wajah Zira berada di ruang matanya.

“Kak Zira…” Mira bingkas bangun. Dia memicit kepalanya.

“Muka Mira pucat sangat? Jom, kita ke klinik.”

Mira mengangguk lemah. Dia tidak bercerita apa yang dilihat sebelum dia jatuh pengsan. Mungkin apa yang dilihat itu hanya halusinasi semata-mata. Zira memapah tubuh adiknya itu.


KEADAAN Mira semakin teruk. Batuknya sudah mengeluarkan darah. Lebih mengejutkan apabila Zira melihat darah itu bercampur dengan nanah. Zira bimbang dengan keadaan Mira. Puas bertemu doktor dari klinik hingga ke hospital. Malah bertemu dengan doktor pakar juga tidak memberikan apa-apa perubahan pada Mira. Penyakit aneh Mira masih tidak terubat. Zira buntu. Dia cuba adukan hal tersebut kepada Datuk Zamry namun lelaki tidak mahu bertemu dengannya. Datuk Zamry mengelak. Mira yang sakit sudah tidak diendahkan.

Sekelip mata Datuk Zamry berubah laku. Dari mula lagi dia tidak percayakan lelaki itu. Puas dia menegah Mira dari berkasih dengan suami orang. Mira berdegil mengatakan Datuk Zamry itu lelaki yang baik.-baik. Mira tidak kisah hidup bermadu. Sekarang, begini pula jadinya. Lebih menyedihkan apabila Mira dibuang kerja oleh lelaki tidak berguna itu. Mujur saja adiknya itu masih tahu menjaga maruah diri. Jika maruah tergadai, bagaikan bunga yang dihisap madunya. Di mana hendak palingkan muka.

Zira mengelus rambut Mira. Wajah Mira semakin cengkung. Tubuh Mira juga semakin susut. Mira hanya terlantar di atas katil. Zira tidak pernah mengeluh menjaga Mira yang sakit. Zira mencapai jari-jemari Mira. Bola mata hitam membulat besar melihat kuku-kuku Mira yang sudah hitam kebiru-biruan. Hati Zira mula terdetik. Sakit aneh Mira sakit buatan orang. Kenapa baharu sekarang dia terfikir? Keadaan Mira sudah seteruk ini.

Zira tidak mahu berlengah. Dia perlu membawa Mira berubat. Zira tidak mahu berputus asa. Zira menghubungi rakan sepejabatnya.

“Kau yakin, Mira kena buatan orang?” Norma bersuara di talian.

Zira menghela nafas panjang.

“Aku yakin…”

“Siapa yang buat dia jadi macam tu?” soal Norma lagi.

“Aku tak tahu. Aku rasa Mira kena santau.”

“Santau? Bahaya tu, beb! Kau patutnya nasihat Mira dari dulu. Jangan main cinta dengan suami orang. Manusia ni rambut sama hitam, hati lain-lain. Zaman sekarnag masih orang yang gunakan cara halus ni.”

Sudah tentu rakannya itu terkejut dengan kata-katanya. Santau, bukan penyakit yang boleh diubat dengan perubatan moden. Kisah percintaan Mira dengan Datuk Zamry sudah lama menjadi buah mulut orang. Mira tidak pernah peduli dicop sebagai perampas suami orang. Malah dia bangga. Mira memang suka bermain dengan api. Teman-teman lelakinya sebelum ini juga berstatus suami orang. Kerana sikap Mira, tempiasnya terkena pada Zira. Namun, Zira tidak pernah membenci adiknya itu.

“Aku dah puas nasihati dia. Aku tak rasa isteri Datuk Zamry yang buat. Datin Aida tu tak pernah serang Mira. Datin tu baik orangnya.” Itu yang dia lihat. Datin Aida masih bertenang melihat Mira keluar bersama suaminya. Zira rasa bersalah pada Datin Aida. Adiknya punca keretakkan rumah tangga wanita itu.

“Itu yang bahaya. Orang diam suka memendam. Orang macam ni lebih dahsyat bila perasaan yang dipendamnya tu meletus.”

“Aku tak nak menuduh. Jatuh fitnah nanti. Sekarang ni, keadaan Mira yang utama. Tolong aku cari tempat untuk Mira berubat. Mira dah teruk sangat ni.” Mira lebih utama pada

Zira waktu begini. Dia tak mahu memikirkan siapa yang buat Mira. Perkara itu akan disiasat setelah Mira dipulihkan.

“Em, aku cuba.”

“Terima kasih,”

Telefon bimbitnya diletakkan pada dada meja. Mereka dua beradik. Anak yatim piatu. Hanya rakan-rakan terdekat tempat untuk mengadu.

Suara erangan Mira mengejutkan Zira. Bergegas dia naik semula ke atas. Mira sedang mengerang kesakitan dengan darah bercampur nanah keluar dari mulutnya. Zira dilanda kebimbangan. Dia tidak boleh bertangguh lagi. Mira perlu segera diubati. Sekali lagi Norma dihubungi.


KAIN dikibas-kibaskan pada kain nasi yang dikangkang. Mulutnya tidak berhenti membaca ayat- ayat yang dihafal. Dia sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu demi untuk mengambil semula hati suami tercinta. Dosa yang ditanggung tidak lagi diendahkan. Apa yang penting suaminya itu sudah tunduk dengan kata-katanya. Ilmu yang diajarkan oleh Jamilah itu amat berkesan sekali.

Datin Aida tidak perlu bimbang lagi. Datuk Zamry sudah menjadi haknya yang mutlak. Apa yang dibuat hanya orang gajinya yang tahu. Orang gajinya yang menyuruh dia bertemu dengan wanita bernama Jamilah itu. Mereka berpakat. Rahsia perlu disimpan dengan kemas. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Dia berlakon sebagai isteri yang berwajah suci di depan Datuk Zamry. Maka tidak ada sesiapa akan mengesyaki yang dia memberikan suaminya itu nasi kangkang.

Nasi yang masih panas itu dihidangkan atas meja bersama lauk-pauk yang lain. Datin Aida senyum puas. Datuk Zamry hanya akan pulang makan di rumah. Tidak lagi seperti dulu. Suaminya hanya makan di luar bersama bersama perempuan itu. Perempuan itu telah berjaya diusir dari hidup mereka.

“Sedap bau masakkan isteri abang ni,” Datuk Zamry yang baharu turun dari tangga itu merapati meja makan. Berselera dia melihat lauk pauk yang terhidang.

“Hari-hari saya masakkan untuk abang. Abang yang tak sempat sentuh masakkan saya.” Datin Aida menarikkan kerusi buat suaminya. Sebelum ini suaminya hanya sibuk bercinta dengan perempuan itu. Dia yang sentiasa berada di depan mata langsung tidak dipedulikan. Dia tidak sabar menunggu berita kematian perempuan itu.


DATIN Aida mendapat berita yang Mira sedang berubat. Dia bimbang jika perempuan itu pulih dan merampassemula suaminya.Dia juga bimbang perbuatannya akan terbongkar jika Mira sembuh. Bergegas Datin Aida menemui Jamilah.

Ketika menanti Jamilah di ruang tamu, Datin Aida merasa meremang. Bagaikan ada mata sedang memerhatikan dia. Sekilas dia terlihat kelibat makhluk hitam di tingkat atas. Dia mengalihkan pandangan. Jantungnya berdengup kencang.

Datin Aida bingkas bangun. Apabila di memusingkan tubuhnya, Jamilah sudah berada di belakangnya. Datin Aida mengurut dada.

“Maaf, buat kamu menunggu lama. Aku ada urusan kerja di luar tadi.”

“Tak apa. Maaf kerana mengganggu malam-malam begini.”

Datin Aida kembali duduk. Dengupan jantungnya sudah normal. Matanya masih melila ke tingkat atas rumah itu.

“Apa tujuan kamu datang menemui aku? Ilmu yang aku ajarkan kamu itu tidak berkesan?” Jamilah memandang tepat pada wajah Datin Aida yang sedikit pucat itu. Dia tahu apa yang wanita itu lihat di rumah. Mahkluk tidak berguna itu merayau-rayau lagi ketika dia menerima tetamu. Makhluk itu akan diajar nanti.

“Bukan pasal itu. Aku dapat tahu perempuan itu dibawa untuk berubat. Aku takut dia akan pulih seperti sediakala dan mengacau rumah tangga aku semula.”

“Tiada sesiapa akan berjaya menyelamatkan perempuan itu dari maut. Perempuan itu sedang menunggu ajalnya. Sudah terlambat untuk mereka yang cuba menyelamatkan dia.”

Bisa racun dalam tubuh Mira itu sudah berada di peringkat yang terakhir. Dia tidak pernah gagal membunuh mangsanya. Tiada mangsanya yang akan hidup selepas terkena racun santaunya itu.

“Aku rasa takut,”

“Kau tak perlu rasa takut. Kau yang teraniaya di sini. Bukan dia. Perempuan seperti itu ada banyak musuhnya. Orang akan anggap semua itu atas balasan perbuatan dia sendiri.”

Datin Aida menarik nafas lega. Benar juga kata-kata Jamilah itu. Dia tidak menyerang Mira atau mengugut gadis itu. Sebelum ini pun, Mira pernah menjalinkan cinta dengan suami orang.

“Terima kasih, puan. Ilmu yang puan ajarkan pada aku benar-benar telah menundukkan suami aku.” Apa saja kata-kata Datuk Zamry turuti. Pulang dari kerja, suaminya itu akan menghabiskan masa bersama dia.

“Bukan itu saja, dia akan ikut segala cakap kamu. Kalau kamu mahu dia berikan kamu segala harta benda atas nama kamu pun, dia akan turut. Kamu suruh dia mati pun, dia akan turut.”

Datin Aida menelan liur. Dia tak sanggup sampai hendak membunuh suami sendiri. Jamilah tersenyum melihat reaksi wanita itu. Wanita ‘bodoh’ seperti Datin Aida itu boleh dikira bilangannya. Tidak tahu mengambil kesempatan yang ada.

“Aku… aku cuma nak suami aku kembali pada aku. Aku kahwin dengan dia sebab cinta dan bukan sebab harta.”

“Kamu amalkan saja apa yang aku suruh. Tapi kamu ingat, apa pantang larangnya. Jangan sesekali kamu langgar!”

Datin Aida terangguk-angguk. Apa yang Jamilah suruh dia turuti.

“Aku takkan langgar pantang larang tu,” Datin Aida menggenggam jari-jemari Jamilah. Dia begitu terhutang budi dengan wanita itu.

“Bagus!”

Makin mekar senyuman di bibir Jamilah.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku