Kembara Saham Akhirat
Genre: Travelog
Kategori: Alternatif
Paparan sejak 06 Oktober 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
271

Bacaan






Kembara Saham Akhirat

Jika kita sudah biasa dengan kehidupan kota yang serba kalut dan mencabar, pastinya kita akan mengidamkan kehidupan di desa yang tenang dan jauh dari hiruk pikuk kota.

Pada pertengahan bulan Jun lalu, saya berkesempatan untuk mengikuti sebuah misi kemanusiaan di Muadzam Shah bersama-sama rakan-rakan dari Islamic Relief Malaysia (IRM). Misi yang dinamakan sebagai Kembara Saham Akhirat itu membawa kami ke sebuah perkampungan Orang Asli yang jauh di pedalaman.

Kami bertolak dari Pejabat IRM di Bandar Baru Bangi kira-kira jam 9 pagi menggunakan kenderaan rasmi IRM. Terletak di Kampung Buluh Nipis, perjalanan mengambil masa kira-kira setengah jam dari Bandar Muadzam Shah. Perasaan teruja menikmati keindahan flora dan fauna di sepanjang jalan terbantut tatkala perjalanan dirasakan terlalu panjang untuk sampai ke destinasi. Tiada seorang pun penduduk yang ditemui. Di kiri dan kanan jalan pula dihiasi dengan pokok-pokok kelapa sawit yang meliuk lentok ditiup angin. Dalam hati tertanya-tanya adakah ini jalan yang betul? Mujurlah kami dipandu oleh kakitangan IRM yang berada lebih awal di kampung tersebut untuk persediaan program yang dijalankan pada hari tersebut.

Alhamdulillah, kami tiba di Kampung Buluh Nipis apabila matahari telah tegak di atas kepala kira-kira jam 1 tengahari. Masing-masing mengucapkan rasa syukur atas perjalanan yang lancar dan selamat. Suasana di kampung itu begitu tenang dan sunyi walaupun ramai orang kelihatan di situ. Saya melihat ramai anak-anak muda memenuhi perkarangan Surau Kampung Buluh Nipis sedang melakukan gerak kerja yang pantas.

Majlis Berbuka Puasa

Hari itu, buat pertama kalinya IRM menganjurkan majlis berbuka puasa bersama masyarakat Orang Asli Kaum Jakun. Sebelum ini, jika ada penganjuran majlis seperti itu, ia hanya melibatkan penerima-penerima manfaat di sekitar Lembah Klang sahaja. Tetapi kali ini IRM mengambil pendekatan untuk membantu mereka yang berada di luar Lembah Klang. Tambahan pula, Kampung Buluh Nipis telah dipilih oleh IRM untuk dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Komuniti. Jadi molek sangatlah program sebegini dijalankan di situ.

Setelah berbual-bual dengan Pengarah Program, barulah saya tahu yang anak-anak muda tersebut ialah pelajar-pelajar dari Uniten, Muadzam Shah. Mereka sanggup meluangkan masa hujung minggu yang sepatutnya diisi dengan menelaah pelajaran dengan menghadiri aktiviti-aktiviti kesukarelawanan sebegini. Kami sempat membantu mereka gotong-royong membersihkan kawasan surau seperti ruang solat, bilik air, dewan dan kawasan sekitar. Walaupun mereka telah berada di situ sejak pagi, tidak sedikitpun mereka menampakkan wajah letih mereka. Jika kita suka dengan sesuatu yang kita buat, pasti kita tidak akan berasa penat malahan puas dengan apa yanag kita lakukan.

Usai gotong-royong, kami berehat sebentar dengan bersolat jemaah bersama penduduk kampung. Penduduk kampung mula membanjiri kawasan Surau. Waktu itu, seramai 62 sukarelawan dan kakitangan IRM berpecah kepada 3 kumpulan. Satu kumpulan berada di khemah untuk membantu ibu-ibu penduduk kampung membasuh ayam, menyiang ikan dan menghidupkan kayu api. Manakala satu kumpulan lagi berkumpul di dewan untuk menyediakan bahan-bahan memasak dan satu lagi melakukan aktiviti psikososial bersama-sama anak-anak Orang Asli yang hadir seperti mewarna dan menyanyi.

Penyerahan Bantuan Ramadan Relief

Saya dan rakan-rakan dari Jabatan Promosi IRM seperti biasa merakamkan kenangan-kenangan terindah sepanjang kembara ini melalui gambar-gambar, video serta catatan-catatan penting untuk digunakan pada masa akan datang. Kira-kira jam 3.30 petang Krew Malaysia Hari Ini (MHI) hadir untuk memberi sokongan kepada program ini. Mereka juga mengambil bahan-bahan penting untuk dijadikan laporan apabila pulang ke ibu kota kelak. Kami kemudiannya membawa Krew MHI ke dua rumah penerima manfaat Orang Asli di kampung tersebut. Kehidupan mereka jauh berbeza dengan apa yang kita kecapi di Bandar. Sangat daif. Bilik air mereka masih di luar. Bumbung tempat tinggal mereka walaupun bertutup tetapi setiap kali hujan, mereka bersedia menerima kehadiran air-air yang masuk melalui atap yang bocor.

Kami berkongsi kisah ini dengan krew MHI supaya mereka dapat menghebahkan perkara ini kepada seluruh rakyat Malaysia agar ada yang terbuka hati dan prihatin terhadap kesusahan yang dilalui oleh mereka yang memerlukan ini.

Selepas Asar, tibalah acara kemuncak yang ditunggu-tunggu. Seramai 101 buah keluarga Orang Asli yang beragama Islam akan menerima pek bantuan makanan Ramadhan Reliefoleh IRM bagi menampung bekalan harian mereka semasa bulan Ramadan. Sebelum itu, mereka juga menerima pengisian rohani yang disampaikan oleh Tuan Kadi Hamdan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Saya melihat rata-rata mereka gembira dan bersyukur dengan bantuan yang diterima ini.

Program berakhir dengan majlis berbuka puasa bersama semua penduduk kampung. Kami menikmati juadah dengan penuh selera! Maklumlah seharian menahan lapar dan dahaga ditambah pula dengan melakukan kerja-kerja berat.

Mengenai Bangsa Jakun

Bangsa Jakun (Orang Ulu), daripada suku kaum Melayu Asli (Melayu Proto) yang tinggal di selatan Semenanjung, berasal dari Yunan (Selatan Cina). Mereka masih mengamalkan animisme. Kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Mereka percaya kampung mereka akan dilanda bencana sekiranya ada di antara mereka yang melanggar pantang larang.

Namun apa yang saya lihat hari itu, mereka sangat rajin dan ramah. Walaupun berbeza agama dan kepercayaan mereka dilihat hidup harmoni antara satu sama lain. Apa yang menarik tentang mereka ialah mereka mempunyai anak-anak yang bijak dalam permainan catur. Ini terbukti apabila sekolah mereka, Sekolah Kebangsaan Buluh Nipis (SeKeBun) berjaya mengharumkan nama Pahang dan Malaysia dalam peringkat negeri dan kebangsaan. Guru-guru di SeKeBun nampak akan potensi mereka untuk berjaya dalam permainan catur ini. Sedikit demi sedikit bakat mereka digilap sehinggalah kejayaan yang berjaya mereka kecapi hari ini. Secara tidak langsung, ia menggalakkan murid-murid hadir ke sekolah tanpa perlu memaksa.

Kembara Saham Akhirat di Bukit Gantang

IRM menganjurkan program yang sama seminggu selepas itu. Bezanya kali ini kami buat di Rumah Anak Yatim Nur Hidayah dan mendapat sokongan dari Ikon Kemanusiaan IRM seperti Raihan, Irma Hasmie dan Redza Shah.

Secara jujurnya bagi saya, program sebegini agak baik jika diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pihak lain. Saya pulang dengan rasa puas kerana dapat membantu mereka dan memberikan sedikit kegembiraan buat mereka.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku