Hantu Apartment
Bab 18
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Oktober 2016
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
331

Bacaan






(HANTU APARTMENT) BAB 18

“GAGAL…” Terdengar satu keluhan berat di hujung kata-kata tersebut.

Sunyi dan sepi menjadi raja kala itu. Bilik menjadi kelam dan suram. Alam bagai mengerti keluakaan hati si pencinta yang mengharap hati hitam menjadi bersih. Selagi nama manusia, selagi itu mereka akan terikat dengan syaitan durjana. Apakan daya, hasutan si Iblis menjadi petunjuk yang sukar di tepis.

Mawar hanya melihat sayu ke arah orang berselubung yang duduk terjelupuk di sudut tepi bilik. Di luar masih terdengar rintikan kasar hujan menyimbah bunyi. Di dalam pula terdengar esakan kecil, si patah hati.

“Tutup jalan pulang setelah selesai mereka uruskan dia.” Arahan yang akan menemui jalan buntu.

“Tapi…” Mawar yang mahu membantah, terkunci mulutnya melihat mata si kelubung yang membesar.

“Tutup, biar semuanya terkurung…”

“Bukankah semuanya patut diuji?”

Sepi, tiada balasan daripada si kelubung. Mawar mengeluh. Namun dia masih sabar menanti jawapan. Namun si kelubung memberi isyarat mata agar Mawar meninggalkan dia. Mawar mengatur langkah keluar, perlahan-lahan pintu itu kembali terkatup rapat.

GEDEGANG!!!

Opocot mak aku kawin lagi!”

Bunyi hentakan petir yang sangat kuat memeranjatkan Khalish yang ketika itu sedang asyik bermain game Mobile legends. Telefonnya terlepas dari pegangan lantas terpelanting ke dada Hambali. Hambali yang turut bermain game yang sama tersentak lalu terbangun terus dari baringan.

“Lebatnya hujan…” Suara Hambali mendatar, seraya memalingkan wajahnya ke arah sliding door yang tertutup rapat, dalam masa yang sama tangannya menghulur kembali telefon sahabatnya itu.

“Hari-hari ke macam ni?” soal Khalish kerana itu adalah hari pertamanya berada di apartment tersebut. Hambali menggeleng, seingatnya itu adalah pertama kali sepanjang dia di situ. Mereka berdua menyepi. Tiada lagi kata-kata.

Tuk! Tuk! Tuk!

“Biar aku buka…” Kata Hambali lalu bangun. Khalish hanya memerhati dari situ. Semangatnya yang hilang tadi cuba dipulihkan kembali.

Pintu dibuka. Dua orang lelaki berkopiah putih tersembul di muka pintu. Hambali kehairanan, kerana sepanjang dia bekerja di situ tidak pernah melihat mereka, tetapi dia cuba berlagak tenang dan hanya menunggu kata-kata yang bakal keluar dari mulut tetamu tersebut.

“Ada kematian, saudara bersiaplah. Kita akan buat bacaan yassin bersama-sama dengan penghuni di apartment ni.” Hambali melongo sekejap, tapi tidak lama selepas itu dia mengangguk lemah.

“Siapa yang mati?” soalnya.

“Kami akan buat bacaan yassin tu kat apartment Mawar. Lepas isyak datanglah.” Jawab lelaki yang seorang lagi. Selepas itu mereka beredar dengan tidak menjawab soalan Hambali.

Hambali kebingungan, namun dia terpaksa akur pada pelawaan yang seolah-olah bagai satu arahan itu.

MARANG, TERENGGANU

HARI meninjak senja. Tangan Sariyanti lincah memungut ikan-ikan kering yang dijemur pagi tadi lalu dimasukan ke dalam bakul. Sesekali angin pantai menyentuh lembut pipi yang semakin dimamah usia. Namun dalam umur yang hampir melepasi lima puluh tahun, dia tetap cantik dan sihat.

Tidak jauh dari situ, kelihatan Hartini, gadis dewasa berusia awal dua puluhan berlari-lari kecil menghampirinya. Langkah menjadi sumbang bila terasa berat memijak pasir-pasir pantai. Sariyanti berhenti seketika, dia seolah-olah menunggu ketibaan gadis itu. Yakin, pasti ada sesuatu yang penting dari jirannya itu.

“Makcik, ada panggilan.” Hartini yang sudah sampai menghulur telefon bimbit.

“Shakir ke?” Hartini mengeleng. Dahi Sariyanti berkerut. Siapa lagi yang akan menghubungi selain dari anaknya itu.

“Hello…” Sapanya. Selepas itu Sariyanti tidak bercakap lagi, dia hanya mendengar.

“Teman makcik ke rumah ketua kampung…” Ajak Sariyanti selepas menamatkan panggilan telefon.

“Kenapa makcik?”

“Makcik nak buat persediaan pengebumian.”

“Siapa yang meninggal?”

HOSPITAL, JOHOR

SHAKIR menepuk bahu Firash Mikael sekali sebelum dia turut melabuhkan punggung di sebelah polis tersebut. Sengaja mahu kehadiran dia disedari, lagipun dari tadi dia lihat lelaki itu temernung jauh.

“Kat mana nak hantar jenazah dia?” soal Shakir.

“Terengganu..” Jawab Firash Mikael.

“Aik, Tuan kata…”

“Tak payah betuan-tuan lah ngan aku Shakir…” Firash Mikael menepuk peha Shakir.

“Kau kata dia orang Indonesia, Terengganu rumah siapa pulak?”

“Mak saudara dia, adik ayah dia.” Shakir tidak bertanya lanjut. Terengganu tu luas, mungkin agak jauh juga dengan kampungnya, tapi kalau selepas perkebumian Andy Noah, mungkin dia boleh ajak polis tersebut menjenguk emaknya di sana.

“Mana Zack?” soal Shakir kerana tidak nampak kelibat perempuan tersebut.

“Kat luar…” jawab Firash Mikail. Shakir bangun.

Firash Mikail cuma memandang kosong ke arah Shakir yang sedang menuju ke luar Hospital. Otaknya saat itu bercelaru,fikiran dia kusut. Kematian mengejut Andy Noah tidak boleh diterima akal. Menurut bedah siasat, Andy Noah terkena serangan jantung. Setahu dia, Andy Noah sebelum ini tidak pernah mengalami apa-apa penyakit.

DI luar Hospital, Shakir menemui Zakiah yang sedang merokok di sudut agak tersorok. Dia bersandar di dinding sambil sesekali tangannya menepis serangga-serangga yang berlegar di hadapan muka, serangga yang tersesat dari bawah cahaya lampu yang tidak jauh dari situ.

“Rokok apa?” sapa Shakir. Dia turut bersandar di sebelah Zakiah.

“Marboro Ice.” Jawab Zakiah, dia menghulur kotak. Shakir mencebik.

“Tak hisap?” soal Zakiah hairan. Setahu dia, Shakir penghisap rokok tegar. Shakir ketawa kecil.

“Takut mati mengejut macam mamat poyo tu ke?” sambung Zakiah lagi. Asap rokok terus dihembus. Shakir tidak membalas kata-kata tersebut, dia menyeluk kocek, mengeluarkan kotak rokok.

“Kau telefon Jesnita, suruh dia siap-siap, malam ni kita pergi Terengganu. Mintak tolong dia siapakan Eva sekali.” Zakiah tercengang. Cepat kepalanya menoleh ke arah Shakir. Shakir yang sedang menyalakan api rokok mengangkat kening sebelah.

“Buat apa ke sana?”

“Kebumikan jenazah Andy lah…” jawab Shakir. Lalu mulutnya menyedut dalam-dalam asap ke dalam mulut.

“Dekat kampug kita?” soal Zakiah dalam nada tidak puas hati.

“Bukan kampung kita, kampung mak sedara dialah… kat mana tu, aku tak tahu lah… kau siap-siap ajelah nanti…” Shakir kelihatan membuang rokok yang tidak sampai separuh dihisap, lidahnya terasa payau. Lalu dia mahu segera beredar.

“Aku taknak balik Terengganu!” Zakiah memaut lengan Shakir. Shakir agak terperanjat, namun dia berhenti melangkah. Zakiah merenungnya seolah memohon simpati. Bola mata coklat cair itu berkaca. Kening Shakir berkerut.

“Kau tak rindu keluarga kau ke Zakiah?” soal Shakir dalam nada perlahan. Zakiah menunduk, seolah-olah mencari kekuatan untuk membalasnya.

“Kau tengok keadaan aku Shakir, tengok rambut aku, tengok gaya aku, nanti apa mak dengan ayah kau cakap?”

“Kau masih lagi perempuan Zakiah, gaya kau aje berubah, tapi jantina kau masih sama. Tak payah risaulah… balik nanti kau pakai aje tudung tak payah bukak.” Shakir melepaskan pautan tangan Zakiah.

“Kau jadi perempuan, lagi manislah.” Seraya Shakir mencuit pipi Zakiah, sengaja mengusik kawan sekampungnya itu. Zakiah terpana dengan sentuhan halus tersebut, dia terkaku. Hatinya berdebar, jiwanya berbunga riang.

Hampir dia terlupa kepulangan mereka nanti adalah untuk mengebumikan jenazah Andy Noah. Lelaki aneh yang mati mengejut di dalam apartment tempat mereka tinggal. Apartment misteri yang sebetulnya tidak wujud dan hanya terlihat dengan mata halus orang-orang yang tepilih.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku