Tak suka tapi Cinta
Babak 17
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Oktober 2016
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2743

Bacaan






Kereta diberhentikan di hadapan masjid terletak berhampiran dengan rumah milik Puan Hani dan Encik Kamal. Sanak saudara bagi pihak keluarga Puan Hani dan Encik Kamal turut hadir bagi memeriahkan hari pernikahan anak gadis mereka. Aisyah keluar dari kereta Unser milik Babanya dengan siap berpakaian lengkap baju pernikahannya. Kain jubah set pernikahan serba putih itu digosok lembut agar tidak renyuk.

“Jom Aisyah… kita tunggu di ruangan solat wanita dulu?” ajak Puan Hani iaitu ibu kepada Aisyah. Tangan Aisyah yang penuh dengan inai digenggamnya. Perlahan-lahan langkahnya diatur, menahan segala debaran yang ada dihatinya.

Baru sahaja kakinya melangkah ke ruangan masjid, tangan Aisyah digenggam lembut dari belakang. Aisyah menoleh. Kelihatan Zurina tersenyum manis di belakangnya.

“Kak Aisyah… Jom kita duduk dekat taman dalam masjid ni sekejap?” ajak Zurina memimpin tangan Aisyah berjalan ke arah taman kecil yang dikatakannya. Aisyah mengangguk bersetuju dan hanya mengekori langkah Zurina dari belakang.

‘Subhanallah. Cantiknya.’ Pujinya di dalam hati. Aisyah melihat sekeliling taman itu. Cukup cantik sekali. Di tambah pula dengan lantainya bersimenkan marmar berwarna biru laut.

“Kak Aisyah sini...” Panggil Zurina dari bangku tidak jauh darinya. Aisyah mendekati lalu duduk di bangku sebelah Zurina.

“Kenapa Zurin?” Tanya Aisyah perlahan. Bibirnya mengukirkan sebuah senyuman yang paling manis buat bakal adik iparnya itu.

Zurina merenung wajah Aisyah. Wajah ayu itu kelihatan sedikit sayu dan sedih. Tidak macam biasa. Tangan Aisyah di genggam. “Kak Aisyah…”

“Ya Zurin?”

Zurina merenung pula pada pakaian yang sedang di pakai oleh Aisyah. Baju pernikahan yang direka khas buat kakak angkatnya itu cukup cantik sekali. Cukup padan dengan si pemakai. Tengok sajalah tadi, ramai yang memuji betapa cantiknya kakak angkatnya. Kata mereka ‘seri pengantin’. Tetapi Zurina tahu, kata-kata pujian itu langsung tidak menggembirakan hati Aisyah.

“Kenapa pandang Kak Aisyah macam tu?” Tanya Aisyah bersama ketawa yang dibuat-buat.

Zurina masih menggenggam tangan Aisyah. “Kak Aisyah betul ke nak nikah dengan abang Long?”

Aisyah tersenyum. “Zurin… Kak Aisyah yakin dengan keputusan kak Aisyah. Zurin jangan risau ya.”

Zurina juga turut tersenyum. Kedua-dua belah pipi Aisyah diciumnya. “Sayang bakal kakak ipar Zurin ni!”

Kedua-dua mereka kemudiannya ketawa. Maafkan kak Aisyah…

“Zurin… Aisyah… Buat apa dekat situ? Mari masuk… kejap lagi pengantin lelaki sampai.” Panggil Puan Sri Zetty dari jauh. Tangannya melambai-lambai kedua-dua gadis yang sedang rancak berbual.

“Jom Kak Aisyah. Mama dah panggil dah tu” kata Zurina lalu bangun dari duduknya.

“Zurin pergi la dulu. Kak Aisyah nak duduk sini sekejap.” Ujar Aisyah tidak berganjak dari duduknya.

“Nervous yea?” sengih Zurina. Aisyah hanya ketawa.

“Sikit.”

“Okay… Tapi, Jangan lama sangat tau”

“Iye. Lima minit sahaja” Ujar Aisyah sambil melambai tangan kepada Zurina yang kian jauh darinya.

Aisyah melihat ke jam tangan pada pergelangan tangannya. Lagi lima belas minit sahaja lagi majlis akad nikahnya bakal berlangsung. Semuanya telah disediakan. Tetamu juga dilihatnya semakin ramai yang sudah hadir baik di kalangan saudara mara mahupun sahabat handai. Akan tetapi, Aisyah tidak menjemput seorang pun sahabatnya. Mahupun Qaliff atau Lulu. Dia sudah nekad, biarlah perkahwinannya ini menjadi rahsia buat dirinya. Lagi pula, perkahwinannya ini hanya sementara sahaja.

“Aisyah…” Panggil satu suara tidak jauh dari dirinya. Aisyah menoleh memandang siapakah yang memanggilnya.

Hadzriq berdiri tidak jauh dari tempat yang diduduki Aisyah. Jejaka itu hanya memandang sayu gadis yang disayanginya. Dia akui, hatinya hancur tika ini. Mana mungkin dia boleh bergembira jika gadis yang dicintainya sejak berbelas tahun dahulu bakal berkahwin. Dengan abang kembarnya pula.

“Abang Ha” kata Aisyah lalu bangkit dari duduknya. Dia begitu rindukan jejaka itu. Jejaka yang sering buatnya tersenyum. Jejaka ini jugalah yang selama ini dicintainya. Aisyah hanya berdiri kaku di situ. Tidak mampu melangkah mahupun bersuara. Hatinya juga hancur, malah berat untuk menerima takdir yang menimpanya. Tapi, disebabkan janji dan kasihnya pada arwah Tan Sri Jamal, dia sanggup berkorban masa depannya.

Hadzriq menghampiri Aisyah. Wajahnya di maniskan dengan senyuman. “Aisyah…”

Aisyah juga turut membalas senyuman itu semanis mungkin. Dia tidak mahu rasa sedihnya diketahui oleh Hadzriq. Dia sudah berbohong mengatakan dia mencintai abangnya Haziq, jadi dia harus terus berbohong. “Kenapa Abang Ha? Abang Haziq dah sampai ya? Kalau macam itu, Sya pergi ke pihak perempuan la ya?” ujar Aisyah.

Baru beberapa langkah diatur, Hadzriq bersuara. “Abang Ha cintakan sya. Masih belum terlambat lagi untuk hentikan semua ni.”

Aisyah berdiri kaku. Tidak mampu menoleh. Jantungnya berdegub kencang. Air mata yang sudah ada ditubir matanya ditahan.

“Aisyah…”

Belum habis Hadzriq berkata-kata, Aisyah bersuara. “Sya pergi dulu. Assalamualaikum” ujar Aisyah lalu mempercepatkan langkahnya. Dia tidak mahu Hadzriq melihat air mata yang sudah mula membanjiri pipinya.

‘Maafkan sya… Sya juga cintakan Abang Ha… Tapi… Maafkan sya…’ kata-kata itu hanya sekadar bersuara di hatinya. Kerana dia harus melupakan rasa kasih dan sayangnya pada Hadzriq buat kedua kalinya dan juga buat selama-lamanya.

“Aku terima nikahnya Nurul Aisyah Binti Kamal dengan mas kahwin RM2000, Tunai” Dengan sekali lafaz, Nurul Aisyah kini sah bergelar isteri kepada Adam Haziq. Aisyah mengukirkan senyuman yang paling manis buat tetamu yang hadir. Doa yang sedang dibacakan diaminkan dengan sayu sekali.

“Tahniah Aisyah. Anak ibu dah jadi isteri orang” ucap Puan Hani sambil mengucup kedua belah pipi Aisyah setelah mengaminkan doa. Aisyah memeluk ibunya erat. Jika boleh dia mahu ibunya tahu apa yang bermain difikirannya. Betapa dia mahu melarikan diri jika boleh.

Haziq melabuhkan duduknya di hadapan Aisyah. Upacara membatalkan air sembahyang diadakan selepas Haziq mendirikan solat sunat sebentar tadi. Semua sanak saudara yang hadir begitu teruja melihat pasangan pengantin yang sama cantik dan sama padan itu. Haziq menyarungkan cincin pada jari manis Aisyah, tangan Haziq dikucup dengan terpaksa. Lama.

Adam Haziq. Jejaka yang membenci dirinya kini sudah bergelar suaminya. Jejaka yang langsung tidak menerima kehadirannya itu bukan setakat membenci malah sering menganggap dirinya tidak setaraf dan memanggilnya orang luar. Kini, orang luar inilah yang telah sah menjadi isterinya.

“Amboi lamanya cium tangan suami tu” satu suara nakal mematikan lamunan Aisyah. Tidak semena-mena wajahnya merona merah. Haziq tersenyum. Amboi… mana senyuman sinis yang selalu kau tunjuk tu?

Dahi Aisyah dikucup lembut. Entah kenapa, apabila dikucup sebegitu, hatinya menjadi tenang. Setenang air di lautan. Hilang sebentar segala perasaan resah dan takutnya sebelum ini. Ya Allah… apakah perasaan ini? Adakah aku sudah redha dengan apa yang terjadi?

“Aisyah… Haziq… Mama harap sangat kamu berdua bahagia. Jangan gaduh-gaduh. Haziq jaga Aisyah. Dia dah jadi isteri kamu dah” nasihat Puan Sri Zetty apabila Aisyah dan Haziq bersalaman dengan mamanya. Puan Sri Zetty risau jika anak gadis itu di apa-apakan, akan tetapi dia yakin dengan keputusan arwah suaminya. Pasti Arwah suaminya tahu apa yang dia lakukan.

Aisyah mengangguk. Begitu juga Haziq. “Haziq akan jaga Aisyah sebaik mungkin” ujar Haziq di hadapan mamanya. Aisyah hampir hendak termuntah dengan lakonan suaminya itu. Bukannya dia tidak tahu, Haziq begitu pandai menyembunyikan wataknya yang sebenar. Tengok sahajalah sepanjang menyiapkan majlis penikahan mereka, ayat-ayat manis sering terkeluar khas kepadanya apabila berada di hadapan keluarga. Tetapi kalau dekat belakang? Tak usah cakap la…

“Mama jangan risau. Aisyah okay je” ujar Aisyah pula lalu dipeluk wanita itu seeratnya.

Selesai upacara pernikahan antara Aisyah dan Haziq, tetamu yang hadir mula beransur pulang untuk menghadiri majlis resepsi yang bakal berlangsung pada malam hari pula. Aisyah mencari-cari kelibat Hadzriq di sekitar masjid itu namun tidak kelihatan. Tujuannya hanyalah untuk memberikan songkok yang diberi oleh mamanya.

“Zurin… Mana Abang Ha?” tanya Aisyah sebaik sahaja ternampak Zurina yang kini sudah bergelar adik iparnya.

Zurina menjongketkan bahunya menandakan dia tidak tahu. “Tadi dia ada. Mungkin dia pergi solat dhuha sekejap kot. Kak Aisyah cuba cari dia dekat sana” cadang Zurina sambil menunjukkan ke arah ruang solat lelaki.

Aisyah mengangguk lalu melangkah perlahan menuju ke ruang solat lelaki. Mujur sahaja tidak ada orang ketika itu. Jika tidak, malu sahaja dia masuk ke sana dengan berpakaian seperti ini.

Dari jauh Aisyah terlihat Hadzriq sedang khusyuk menunaikan solat sunat dhuha. Hatinya terusik sedikit. Sayu melihat jejaka yang disayanginya berbelas tahun dahulu. Walaupun dia menolak cinta jejaka itu, namun sebenarnya dia juga menyayangi jejaka itu sehingga kini.

Abang Ha… Maafkan Sya…

Aisyah tertunduk lemah. Dia tidak mampu untuk melangkah bersemuka dengan jejaka yang di sayanginya itu.

“Kau menyesal?” tanya satu suara dekat di belakangnya. Aisyah mendengus perlahan. Menyampah betul!

“Tak” jawab Aisyah sepatah. Haziq dibelakangnya ketawa kecil.

“Jom…” ajak Haziq lalu menarik tangan Aisyah untuk beredar dari ruangan solat lelaki.

“Nak ke mana?” tanya Aisyah kebingungan. Kakinya turut melangkah mengikut Haziq.

“Buat anak” ucap Haziq selamba.

“Ha?!” serta merta kaki Aisyah berhenti melangkah. Haziq ketawa melihat respon daripada Aisyah.

“Abang Haziq ni gila ke? Kita dekat masjid ni” marah Aisyah separuh kuat.

“Kalau dekat rumah boleh la?” tanya Haziq sengaja mengusik gadis itu.

“Mengada!” bentak Aisyah. Menyampah!!!!

“Aku nak bawa kau balik la… takkan nak duduk dekat sini? Kalau kau nak aku tak kisah.. Tiga hari dua malam pun aku tak kisah… tapi nanti mama tu bising. Sakit telinga aku!” jelas Haziq panjang lebar. Jejaka itu jika melibatkan mamanya pasti akan kalah. Satu hal yang dikagumi dalam diam oleh Aisyah terhadap Haziq. Sikapnya yang begitu menghormati orang yang lebih tua.

“Okay”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku