Tak suka tapi Cinta
Babak 38
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Oktober 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2832

Bacaan






Aisyah duduk termenung di bangku yang ada terletak di dalam taman mini hospital. Taman itu terletak di tengah-tengah antara dua bangunan besar hospital swasta tersebut. Lulu dan Qaliff sudah lama meminta diri kerana mempunyai urusan di Universiti. Mereka akan datang melawat lagi setelah semua urusan selesai diuruskan.

Bunyi teriakan dan kegembiraan kanak-kanak yang sedang bermain di gelongsor berhampiran dengan tempat Aisyah duduk langsung tidak membuatkan dia berkutik  sedikit pun dari tempatnya. Kata-kata doktor Alfian yang bertugas merawat Hadzriq sebentar tadi benar-benar membuatkan hatinya bertambah sedih. Hatinya sakit memikirkan segala yang dilakukan kepada jejaka itu sebelum ini.

“Kondisi Encik Hadzriq Haikal mungkin akan merosot lagi jika tidak dibuat pembedahan pemindahan hati itu secepat mungkin. Dengan keadaannya yang tidak mengizinkan sekarang, melambatkan lagi procedure kami untuk teruskan pembedahan walaupun encik Haziq sendiri bersetuju untuk memberi sebahagian hati encik kepada Encik Hadzriq. Saya berharap Cik dan Encik Haziq dapat bersabar.”

Setitis air mata jatuh ke pipi Aisyah. Abang Ha, maafkan Sya. Maafkan Sya sebab tak perasankan kondisi abang Ha. Sya begitu leka memikirkan masalah Sya sehingga sya langsung tidak hiraukan perasaan Abang Ha. Abang Ha tanggung semuanya sendiri. Tanpa Sya disisi.

Ya. Memang dia masih menyayangi jejaka itu. Hatinya masih memilih untuk menyayangi jejaka itu. Walaupun rasa sayang itu tidak dapat diberi kepada Hadzriq, orang pertama yang di jatuh cinta ialah Hadzriq. Jejaka yang sentiasa membuat dirinya tersenyum. Selalu ada di saat dia memerlukan seseorang. Kini, saat jejaka itu memerlukan seseorang, biarlah dia yang menjadi orang itu pula. Dia tidak mahu Hadzriq keseorangan menanggung semua ini. Patutlah wajah Hadzriq sewaktu dia berjumpa dengannya tadi kelihatan pucat.

Aisyah menyeka air mata yang kian membanjiri pipi. Dia teresak-esak menangis. tidak menghiraukan langsung orang sekeliling yang mulai memandangnya. Diseka lagi air mata yang jatuh, tetapi makin diseka makin banyak pula air mata yang keluar. Sudahnya, dia membiarkan sahaja air mata itu membanjiri pipi. Dia kesal. Dia kesal tidak memberitahu perasaannya kepada Hadzriq. dia masih menyayangi jejaka itu dan kini dia hendak jejaka itu tahu yang dia masih sayangkannya. Dia mahu tahu, jejaka itu tidak keseorangan.

“Akak…” panggil suara kecil di hadapannya. Aisyah memandang wajah polos itu. Kanak-kanak yang berusia lingkungan tiga tahun sedang menghulurkan sekuntum bunga mawar merah. Aisyah memandang sekelilingnya. Tidak ada satu pun tertanamnya bunga mawar ini.

“Terima kasih dik” ucap Aisyah lalu mengambil huluran bunga tersebut. Kanak-kanak itu menyeka air mata Aisyah dengan tangan kecilnya membuatkan terukir sebuah senyuman dibibir Aisyah.

“Abang tu cakap, Akak jangan sedih-sedih ya? Semuanya akan okay.” Kata kanak-kanak itu. Aisyah tersenyum.

“Abang mana?” dicubit pipi pau kanak-kanak itu. Jari ditunding ke arah satu susuk tubuh yang semakin menghilang dari pandangannya. Kanak-kanak kecil itu kemudian berlari ke arah ibunya yang sedang melambai-lambaikan tangan memanggilnya.

Aisyah tersenyum. Dicium bunga mawar itu. Air mata diseka. Ya. Dia tidak harusnya lemah begini. Jika benar dia masih sayangkan Hadzriq, dia harus berada disisinya ketika ini. Dia tidak boleh lemah begini. Aku harus kuat!

__

Pintu bilik pesakit bernama Hadzriq Haikal Bin Tan Sri Jamal di kuak perlahan. Bilik VIP dikhaskan buat Hadzriq atas arahan Haziq. Dia mahukan keselesaan adik kembarnya dan kebajikannya dijaga. Kelihatan Hadzriq masih tidak sedarkan diri. Tiada seorang pun di dalam bilik itu ketika ini. Aisyah melangkah menghampiri jejaka yang seakan sedang enak dibuai mimpi. Perlahan-lahan kerusi ditarik menghampiri katil Hadzriq. Aisyah melabuhkan duduknya pada kerusi tersebut.

Wajah Hadzriq yang luka dan calar ditatap kosong. Setitis air mata jatuh ke pipi, cepat-cepat dia menyeka air mata itu. Dia tidak mahu Hadzriq nampak dia menangis jika jejaka itu bangun nanti. Dia mahu jejaka itu melihatnya kuat. Dan jika tahu, mesti dia akan membebel kepada dirinya. Buku yassin di ambil lalu dibaca dengan tajwid yang betul. Suara Aisyah mengaji merdu kedengaran di bilik itu.

Haziq membuka sedikit pintu bilik itu. Dari jauh, dia melihat Aisyah sedang membaca Yassin dengan penuh merdu. Suara Aisyah mengaji itu pertama kali didengarinya. Hatinya tersentuh. Susuk tubuh gadis yang dilihatnya dari belakang direnung. Dia akui, dia cemburu ketika ini. Jika boleh, dia mahu memeluk Aisyah ketika ini. Memeluk gadis itu seeratnya. Mengatakan semuakan akan okay sahaja. Tetapi, biarlah ketika ini dia menjadi pemerhati sahaja. Walaupun hatinya sakit. Dia tidak mahu menambah sedih di hati Aisyah. cukuplah selama ini dia menyakiti hati gadis itu.

Ditatap pula wajah Hadzriq yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Kaki adiknya dibalut dengan simen. Tangannya kanannya pula berbalut. Manakala muka Hadzriq penuh luka dan calar. Dia juga kesal, sepanjang mereka hidup, dia tidak pernah membuat baik kepada adik kembarnya. Dia tidak mahu perkara sama berulang lagi. Cukuplah dulu dia kehilangan papanya. Dia tidak mahu kehilangan kembarnya pula.

“Haziq”

Haziq menoleh. “Ibu, Baba”

“Hadzriq macam mana? Doktor cakap apa?” tanya Encik Kamal. Puan Hani pula sudah masuk ke dalam bilik pesakit dan mendakap erat anak tunggalnya. Haziq memandang sekilas Aisyah. gadis itu menangis di dalam pelukan ibunya.

“Hadzriq kemalangan Baba. Doktor syak dia pengsan dulu sebelum kemalangan itu terjadi. Sekarang tinggal tunggu Ha bangun je. Untuk buat pemindahan hati” jelas Hadzriq.

“Pemindahan hati?” tanya Encik Kamal.

Haziq mengangguk. “Hadzriq menghidap penyakit hati. Dia perlukan penderma hati secepat mungkin. Ziq dah setuju untuk jadi penderma kerana peratus untuk berjaya adalah tinggi. Kerana Ziq kembar Ha.”

Encik kamal mengusap lembut bahu Haziq. Menenangkan hati menantunya. Dia tahu, walaupun Haziq kelihatan tidak ada apa-apa, hati jejaka ini sangat rapuh.

“Mama kamu dah tahu?” tanya Encik Kamal.

Sekali lagi Haziq mengangguk. “Mama on the way. Last Ziq call, Mama dah nak naik flight dah.” Jelas Haziq. Matanya memerhati Aisyah yang ditenangkan oleh Puan Hani. Dia dapat lihat dengan jelas, gadis itu masih menyayangi adik kembarnya. Salahkah tindakannya memaksa gadis itu berkahwin dengannya? Tetapi, gadis itu juga dengan rela hati menerima semua ini. Hati Haziq menjadi sakit.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku