Tak suka tapi Cinta
Babak 42
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Oktober 2016
Penilaian Purata:
(18 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2954

Bacaan






Langkah diatur perlahan menuju ke ruang tamu. Kedengaran suara orang sedang berbual. serius sahaja bunyinya. Langkah Aisyah diberhentikan di tangga terakhir. Baba dan Haziq yang tadi berbual menghentikan perbualan mereka. Mata mereka memandang tepat ke wajah Aisyah. ada riak terkejut terpamer di wajah mereka.

Ibu bingkas bangun mendapatkan Aisyah. “Sya”.Tangan anak gadisnya ditarik rapat lalu dipeluk bahu anaknya itu. Mereka melangkah mendapatkan Encik Kamal dan Haziq di sofa ruang tamu. Aisyah melabuhkan duduknya di sebelah Ibu. Jauh sedikit dari suaminya.

“Aisyah dah sihat?” tanya Encik Kamal.

Gadis itu hanya mampu tersenyum. Namun senyumannya masih kelihatan lemah.

“Sya pengsan di atas kubur Ha. Nasib baik suami kamu ada dekat sana. Dia yang bawa kamu pulang ke sini.” Jelas Encik Kamal lagi. Aisyah mengerling sebentar suaminya yang hanya menundukkan wajahnya dari tadi.

“Malam ini ada tahlil di rumah Puan Sri Zetty. Kalau Sya tak sihat…”

Belum Puan Hani menghabiskan kata-katanya, Aisyah terlebih dahulu memotongnya. “Sya nak pergi”

“Tapi sya masih lemah lagi” bantah Haziq.

“Salah siapa Abang Ha pergi?” tanya Aisyah. suaranya bergetar menyimpan dendam di hati. Memang dia menerima pemergian Hadzriq, namun dia masih tidak boleh menerima bagaimana Haziq menghalang perhubungan mereka sejak dulu. Jika bukan kerana jejaka yang sudah bergelar suaminya ini menghalang hubungannya dengan Hadzriq, dia pasti tidak akan rasa menyesal!

“Sya. Apa cakap macam tu?” tegur Puan Hani. Bahu gadis itu digosok perlahan.

“ Sya tetap nak pergi kenduri tahlil tu.”Ucap Aisyah. masih tetap berdegil mahu pergi rumah Puan Sri Zetty.

Puan Hani memandang suaminya, Encik Kamal. Wanita itu kemudian memandang pula suami kepada anaknya, Adam Haziq. Kedua-dua mereka hanya mengangguk membenarkan. Jika dihalang, Aisyah pasti tetap berdegil mahu ke sana juga. Daripada melihat Aisyah pergi tanpa pengetahuan mereka, lebih baik mereka pergi bersama. “Nanti Haziq bawa Sya ya?”

Aisyah menggelengkan kepalanya. “Tak nak! Sya nak pergi dengan ibu dan baba”

“Aisyah..”

Belum sempat Encik Kamal menghabiskan kata-kata mahu menegur perangai Aisyah, Haziq terlebih dahulu memotong kata-katanya. “Tak apa Baba. Ziq rasa Ziq ada kerja sedikit kejap lagi. Ziq izinkan Sya pergi dengan Ibu dan Baba.”

Aisyah menjeling Haziq. ‘Huh! Tunjuk baik la tu!’ monolognya sendiri.

Puan Hani dan Encik Kamal hanya mengangguk faham. Mereka tahu, Haziq berkata begitu sekadar menyedapkan hati mereka. Dia tidak mahu bergaduh dengan isterinya di hadapan mereka. “Baiklah. Lepas Isyak kita pergi.”

__

Aisyah duduk termenung di pondok hadapan kolam renang Bangalow Puan Sri Zetty. Pandangannya kosong terarah ke air yang ada di kolam tersebut. Orang ramai yang hadir untuk kenduri tahlil Hadzriq mula bersurai sedikit demi sedikit. Dia tidak menyangka semua saudara, rakan sekolah dan rakan sekerja arwah begitu ramai yang hadir. Kesemua mereka mengucapkan takziah dengan apa yang terjadi. Ada sesetengah wajah Aisyah kenal, kerana mereka pernah bersekolah di sekolah yang sama dahulu.

Mata dikerling sebentar memandang wajah Puan Sri Zetty yang sedang tersenyum tidak jauh dari tempat dia duduk. Wanita itu sedang melayani saudara maranya yang turut sama hadir pada malam itu. Senyuman terpaksa Puan Sri Zetty membuatkan Aisyah semakin sebak. Pasti sahaja Puan Sri Zetty terasa akan kehilangan salah seorang anaknya. Anak yang di kandung Sembilan bulan di dalam perut, pergi meninggalkannya buat selama-lamanya di dunia ini. Aisyah juga tahu Puan Sri Zetty sangat menyayangi Hadzriq kerana arwah merupakan seorang yang sangat ceria dan rapat dengannya berbanding abang kembarnya, Adam Haziq dan juga Zurina.

“Kak Aisyah” panggil satu suara disebelahnya membuatkan lamunan Aisyah terhenti. Dia menoleh memandang orang yang memanggilnya disebelah. Sebaris senyuman diberikan.

“Zurin. Duduklah.” Pelawa Aisyah. Zurina hanya mengangguk. Selendang di kepala dibetulkan.

Kedua-dua mereka diam tanpa bicara. Masing-masing melayani fikiran sendiri. Lama mereka dalam keadaan begitu sehinggalah Aisyah sendiri memecahkan kesunyian tersebut. “Zurin dah makan?”

Zurina hanya menggangguk. “Kak Sya pula?”

“Kak Sya tak ada selera.” Kata Aisyah.

Tangan Aisyah digenggam oleh Zurina. mata mereka bertaut. “Kak Sya, Kak Sya kena lupakan semua ini. Abang Ha dah tak ada”

Sekali lagi sebaris senyuman diberikan kepada gadis di hadapannya. “Kak Sya tahu. Tapi, melupakan seseorang yang sangat kita sayang bukan mudah Zurin. Apatah lagi…” Kata-kata Aisyah terhenti. Entah kenapa dia terasa berat mahu menyebut Hadzriq pernah bertakhta di hatinya sejak dahulu lagi.

“Kak Sya, Zurin tahu semuanya.” Kata Zurina.

Aisyah tertunduk lemah. dia tahu dia sudah berazam tidak mahu menangisi pemergian Hadzriq lagi. Tetapi, malam ini dia tidak dapat menahan sebak di dada. Dia sangat merindui suara dan senyuman arwah.

“Kak Sya…” panggil Zurina sambil mengenggam tangan kakak iparnya. “Zurin tahu perasaan Kak Sya terhadap Abang Ha selama ni. Malah Zurin tahu hal ini sejak kita di bangku sekolah lagi. Tapi Kak Sya, walaupun kita sayangkan seseorang itu sepenuh hati kita, jika dia bukan tertulis jodoh buat kita. Tetap bukan di jodoh kita walau sejauh mana kita mencuba.”

“Kak Sya menyesal bukan sebab Abang Ha bukan jodoh Kak Sya. Kak Sya menyesal sebab Kak Sya tak mampu untuk membalas luahan hatinya sejak dahulu lagi. Walaupun Kak Sya tahu arwah tidak putus asa mengambil hati Kak Sya. Kalau bukan sebab dia…” kata-kata itu terhenti. Kedua-dua tangannya digenggam. Perasaan marahnya tiba-tiba meluap naik.

“Kalau bukan sebab aku apa?” tanya satu suara garau dibelakangnya. Aisyah dan Zurina tersentak. Tidak menyangka perbualan mereka didengari oleh seseorang. Zurina menoleh memandang siapa yang menegur mereka, tetapi Aisyah langsung tidak berganjak mahupun menoleh. Dia tahu orang yang bertanya tersebut ialan Haziq.

“Abang Long. Abang long dari mana ni? Tadi waktu tahlil Zurin tak nampak Abang long pun.” Tanya Zurin. Gadis itu cuba mengubah topik perbualan. Dia tidak mahu abang sulungnya bergaduh dengan kakak iparnya.

Mata Haziq tidak beralih memandang Aisyah dari belakang. Selepas menguruskan hal kerjanya, dia bergegas datang ke kenduri arwah adik kembarnya. Namun, sampai sahaja dia ke rumah bungalow tersebut semuanya sudah selesai. “Kalau bukan sebab aku apa?” sekali lagi Haziq mengulangi pertanyaannya apabila pertanyaan pertamanya tidak berjawab.

Aisyah bingkas bangun mahu meninggalkan Haziq dan Zurina. dia malas mahu bertegang urat dengan jejaka itu. Dia tahu dia pasti akan kalah dan hanya akan mendapat sakit di hati sahaja.

“Jadi kau nak salahkan aku? Semua ini salah aku?” tanya Haziq. Dia tidak berpuas hati. Memang salahnya kerana menghalang hubungan mereka sejak dulu. Tetapi dia buat semua itu bersebab. Sebabnya hanya dirinya sahaja yang tahu.

“Jawablah!” jerkah Haziq. Nada suaranya sedikit meninggi. Nasib baik mereka berada jauh daripada tetamu yang hadir.

Langkah Aisyah terhenti. Perasaan marahnya kali ini tidak dapat ditahan lagi. Aisyah berpaling memandang Haziq. Matanya tajam merenung wajah jejaka tersebut. “Ya! Semua ini salah Abang Haziq!” jawab Aisyah juga meninggikan suaranya.

Haziq mengukirkan sebuah senyuman sinis. Bertambah sakit hati Aisyah kali ini. “Kenapa? Kau tahu bukan dia sakit? Menunggu masa sahaja untuk ‘pergi’”

“Sya nampak apa yang abang Haziq buat!”

“Apa?” tanya Haziq. Keningnya sedikit terangkat.

“Kak Sya, Abang long. Sudahlah tu. tak elok bergaduh macam ni. Nanti tetamu lain dengar pula.” Ucap Zurina cuba meredakan situasi yang sedang hangat.

“Sya nampak semuanya! Abang Haziq sengaja melambatkan prosedur pemindahan hati tu bukan?!” ujar Aisyah.

Haziq tersentak. Ya. Memang dia melambatkan prosedur tersebut atas sebab keadaan Hadzriq ketika itu yang lemah. bukan niatnya untuk melambatkannya dengan sengaja. “Apa?”

“Tak usah berpura-pura lagi!! Abang Haziq sengaja nak tengok Sya terseksa kan? Abang Haziq sanggup buat semua ni! Abang Haziq pembunuh! Abang Haziq bunuh adik sendiri!” jerit Aisyah. dia tidak dapat menahan lagi marahnya. Geram dan benci dia melihat jejaka itu.

Zurina yang berdiri di antara mereka terdiam. Dia tidak menyangka abang sulungnya akan berbuat demikian.

“Kau dah salah faham..”

Haziq cuba meleraikan salah faham tersebut, namun kata-katanya dipotong oleh Aisyah. “Salah faham apa lagi?! Tak cukup ke dulu Abang Haziq pisahkan kami? Tak cukup lagi ke selama ini tengok Sya terseksa menanggung perasaan ini terhadap arwah? Tak cukup lagi ke???!!” Air mata sudah menitis di pipi. Aisyah tidak menyeka, dia membiarkan sahaja air mata itu mengalir sehingga membasahi pipi.

“Sabar Kak Sya.” Zurina mendapatkan Aisyah. bahu gadis itu digosok perlahan bagi meredakan sedikit kemarahan gadis itu.

“Aku benci kau! Aku tak nak tengok muka kau!!! Sebabkan kau Abang Ha mati!! Kau pembunuh!” jerit Aisyah lagi. Zurina disebelahnya tersentak. Dia terkejut melihat Aisyah berani mengeluarkan kata-kata itu kerana selama ini gadis itu sentiasa menjaga percakapan dan adabnya.

“kau nak aku pergi?” tanya Haziq. Pertanyaan itu ditanya dengan nada perlahan. Dia tidak menyangka gadis itu membencinya sebegitu sekali.

“Ya! Aku bencikan kau! Aku tak nak tengok muka kau lagi!” ujar Aisyah. dia bencikan jejaka itu. Dia tidak sanggup melihat wajah yang baginya telah membunuh Hadzriq. lagi pula wajah itu seiras dengan Hadzriq.

“Baik.” Ringkas sahaja jawapan daripada Haziq. Jejaka itu melangkah laju meninggalkan kedua-dua gadis itu. Panggilan daripada Zurina langsung tidak diendahkan. Aisyah yang merenung penuh benci susuk tubuh Haziq dari belakang sehingga hilang dari pandangannya. Dia bencikan Haziq. Jika boleh, dia tidak mahu ada kena mengena lagi dengan jejaka itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku