Tak suka tapi Cinta
Babak 47
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Oktober 2016
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3968

Bacaan






“Aisyah” Bunyi interkom di telefon pejabat gadis itu berbunyi. Tangan yang sedang ligat menaip di papan kekunci terhenti. Keluhan berat keluar dari mulutnya. Jelingan diberikan kearah telefon tersebut.

“Aisyah!” interkom itu berbunyi lagi. Kali ini suara itu kedengaran sedikit keras. Mungkin kerana Aisyah tidak menjawab panggilannya.

Aisyah menekan pada salah satu punat yang ada di telefon tersebut. Geram pula dia pada jejaka ini. masuk kali ini, sudah sepuluh kali jejaka itu memanggilnya. Dan sudah sepuluh kali juga dia masuk ke pejabat jejaka itu. Tujuannya? Hanyalah untuk mencari kesalahannya di dalam ejaan pada dokumen yang di hantarnya semalam. “Ye Encik Haziq.” Jawab Aisyah menahan rasa geram dihati. Kalau ikutkan mahu sahaja dia hempuk telefon ini ke muka jejaka itu. Tetapi ditahannya kerana mahu atau tidak jejaka tersebut merupakan majikannya juga pemilik syarikat dia bekerja sekarang.

“Masuk ke dalam bilik saya sekarang!” Arahnya lalu mematikan talian. Kedua-dua tangan digenggam menjadi seperti kepalan penumbuk.

Aisyah bingkas bangun dari duduknya. Dia berdiri lalu mencampak sekeping kertas di atas lantai lalu memijaknya. Kertas yang tertulis nama ‘ADAM HAZIQ’ itu dipijak lalu di seret mengelilingi meja pejabatnya. ARRRGGHHHH!!! Geramnya!!!

“Kak Sya, reen nak tanya pasal tender…” kata-kata Aireen terhenti apabila melihat tingkah laku Aisyah yang sedang melepaskan geramnya. Aisyah menghentikan perbuatannya. Dia berdehem beberapa kali bagi menahan rasa malu. Kertas yang baru dipijak di ambil lalu dibuang ke dalam bakul sampah.

“Ye Reen?”

“Tak apalah. Kak Aisyah macam tengah sibuk je” jawab Aireen lalu cepat-cepat menutup pintu bilik Aisyah. Gadis itu ketawa kecil sebaik sahaja menutup pintu itu. Ini kali pertama dia melihat Aisyah sebegitu. Dia rasakan Aisyah lain sekali sejak kebelakangan ini. terasa seperti Aisyah mulai ceria. Atau mungkin perasaan dia sahaja.

Aisyah terduduk di atas kerusinya. Aduh! Malunya!!!

“Aisyah! Cepatlah sikit masuk bilik saya! Terhegeh-hegeh!” interkom tersebut berbunyi lagi. Tanpa sedar Aisyah melempar dokumen yang ada di atas mejanya terkena ke telefon pejabat itu. Diamlah!

Lebih kurang lima minit kemudian, Aisyah pergi juga ke pejabat Haziq. Seperti dapat diagak, jejaka itu memarahinya sekali lagi kerana kesilapan yang ada di dalam dokumen itu. Telinganya terpaksa ditadah bagi mendengar segala kata-kata kesat dan marahnya jejaka itu kepadanya. Wajahnya pula ditundukkan. Tidak mahu bersua muka dengan majikannya. Kesalahan yang ada di dalam dokumen tersebut bukan seratus peratus salahnya. Tetapi dia juga yang dipersalahkan. Nasiblah.. sudah nama pun makan gaji, terpaksalah dihadap juga walaupun bukan salahnya.

“Kau dengar tak ni?!” tanya Haziq.

“Dengar” jawab Aisyah ringkas. Dia malas mahu menjawab lebih dari itu. Nanti tidak pasal dia kena lagi. Haziq ni kalau tengah marah, semua benda di salahkannya.

“Kalau dengar, kau pergi buat balik semua ni! Aku tak benarkan kau balik selagi tak habis kau buat kerja ni!!” Arah Haziq lalu dia mencampak beberapa fail di hadapan Aisyah.

“Tapi…”

Belum sempat Aisyah membantah, Haziq menghentak meja kerjanya. Membuatkan Aisyah terdiam. “What? Kau ingat aku bayar gaji kau untuk buat semua kesalahan ni? Selagi kau tak betulkan semua kesalahan ni, kau jangan balik! Muktamad!”

Aisyah terdiam. Dia mengambil semua fail yang dibaling Haziq lalu keluar dari bilik jejaka itu. Keluhan berat keluar dari mulut Aisyah. Aduh! Nak edit balik semua data-data ni bukan satu dua jam. Mahu sampai tengah malam baru habis.

Kerusi kerja di tarik lalu diduduknya. Jam pada pergelangan tangan di kerling sebentar. “Aduh! Nampaknya aku kena balik lewat la ni. Dah pukul empat setengah petang.”

Aisyah menghentak kaki kanannya. Geram! Kali ini, semua dokumen yang dia perlu buat bukan salahnya. Tetapi dia yang kena tanggung! Geram!!!

__

Klik! Klik! Klik!

Suasana pejabat di tingkat dua belas itu sunyi sekali, yang kedengaran hanyalah bunyi papan kekunci dari bilik pejabat Aisyah. Mata gadis itu langsung tidak lari dari melihat kerjanya pada skrin komputer. Dia begitu sibuk menguruskan kerjanya.

“Siap!” Aisyah mengangkat kedua-dua tangannya ke atas. Lagaknya seperti baru memenangi piala dunia sahaja. Akhirnya selepas lebih tujuh jam menganalisis dan menulis semula kerja, kerja tersebut dapat disiapkan juga. AIsyah menyimpan data-data kerjanya di dalam pendrive lalu di letakkan di dalam laci mejanya yang berkunci. Esok pagi sahajalah dia mencetak laporan itu. Apa yang dia tahu, dia harus segera pulang. Nanti risau pula kedua-dua orang tuanya.

Selesai menutup semua suis komputer dan lampu di bilik kecilnya, dia melangkah laju menuju ke lif. Punat turun ditekan, di kerling nombor yang ada di atas lif tersebut. Nombor tiga puluh dua tertera. Nampaknya dia harus sabar menunggu tibanya lif.

KREEEEEEKKKK!

Aisyah membesarkan matanya. Dia berpaling memandang sekeliling. Siapa tu? dia menjengguk sebentar sekelilingnya, namun tiada satu kelibat manusia pun. Jantungnya mula berdegub kencang saat matanya terpandang pada satu susuk tubuh yang sedang berdiri di dalam gelap di sebalik pintu kaca pejabatnya. Lampu yang ada pula ditutup kerana tiada orang di dalam pejabat itu. Mata kelibat itu kelihatan seperti merenungnya dengan tajam sekali. Dia berasa tidak sedap hati. Dia kembali memandang pintu lif yang tertutup rapat di hadapannya. Aduh! Cepatlah buka! Kelibat apa pula tu!

Arghhhhhhhhh!

Sekali lagi bunyi itu kedengaran. Kali ini bunyi itu kedengaran seperti meraung kesakitan. Jantung Aisyah berdegub kencang sekali lagi. ‘Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini.’ Selang beberapa minit kemudian, bunyi tapak kaki orang pula. Bunyi itu lama kelamaan semakin kuat dan semakin menghampiri tempat Aisyah berdiri.

‘Ya Allah… Ya Allah..’

Tiba-tiba bahu Aisyah terasa dipegang dari belakang. Serentak dengan itu Aisyah menjerit sekuat hati. Habis satu aras kedengaran jeritannya.

“Woi!!” jerkah seseorang di hadapannya. Mata yang dipejam dibuka perlahan. Suara itu? Dia kenal sangat dengan suara yang menjerkahnya tadi.

Apabila matanya dibuka luas, kelihatan Haziq sedang menutup kedua-dua telinganya. Mungkin dia sendiri tidak tahan mendengar suara nyaring Aisyah menjerit. Aisyah mengetap giginya. Ish! Mamat ni!

“Abang Haziq buat apa dekat sini?”

Kening Haziq diangkat sebelah. Senyuman sinis diberikan. “Suka hati aku la. Office aku.”

Aisyah mencebik tidak puas hati dengan kata-kata Haziq. Kalau dia tahu Haziq akan menjawab begitu, tidak ingin dia bertanya. Buat sakit hati sahaja. Aisyah terpandang tangan Haziq yang kelihatan berdarah sedikit. Tanpa sedar dia memegang tangan kiri Haziq membuatkan jejaka itu terkejut.

“Kenapa tangan Abang Haziq berdarah?” tanya Aisyah. dia mengambil sesuatu di dalam tas tangannya. Sapu tangan berwarna putih sederhana besar di balut pada tangan Haziq.

Haziq yang terkejut dengan tindakan Aisyah hanya membiarkan sahaja gadis itu merawat dirinya. “Terlanggar alat pemotong kertas”.

Aisyah ketawa kecil. “Aik? Terlanggar? Mesti Abang Haziq tak nampak alat tu diletakkan sebelah pintu.”

“Lain kali letak tu jauh sedikit!” Haziq mula membebel seorang diri. Aisyah hanya tersenyum. Patutlah dia dengar bunyi orang meraung kesakitan. Pasti suara itu suara Haziq.

Pintu lif terbuka. Kedua-dua mereka masuk lalu diam melayani fikiran masing-masing. Jam di pergelangan tangan di kerling. Nampaknya sudah lewat sangat ini. sudah pukul dua belas malam. Beberapa minit kemudian, lif terbuka menandakan mereka telah sampai ke lobi bangunan. Kelihatan Haziq terburu-buru melangkah meninggalkannya lalu menuju ke parkir kereta berbumbung di belakang bangunan.

Aisyah melangkah keluar dari lobi namun langkahnya terhenti di hadapan pintu kaca syarikat. Hujan lebat yang turun membuatkan Aisyah tidak jadi meneruskan langkahnya ke stesen bas berhampiran. Nampaknya dia harus menunggu hujan berhenti pula. “Tunggu dalam lobi jela. Nasib baik ada pak guard dekat lobi ni. Kalau tak keseorangan la aku.”

Belum tiga langkah diatur, bunyi hon dibelakangnya membuatkan Aisyah sedikit melompat. Terkejut kerana disergah tanpa amaran. Serta merta Aisyah berpaling memandang kereta berwarna hitam dan berjenama luar negara itu.

Aisyah mengecilkan matanya kerana tidak dapat melihat dengan jelas dek kerana cermin gelap yang dipakai pada kereta tersebut. Terbeliak mata Aisyah apabila melihat Haziq yang sedang memandu kereta itu. Jejaka itu memberikan isyarat ‘masuk’. Namun Aisyah hanya menjelirkan lidah tanda dia tidak mahu.

Hendak ketawa melihat wajah Haziq yang masam kerana pelawaannya ditolak mentah-mentah oleh Aisyah. selang beberapa minit telefon bimbit Aisyah berbunyi. Tanpa melihat siapa yang menelefon, gadis itu terus sahaja mengangkat panggilan itu. “Assalamualaikum”

“Masuk sekarang” dingin sahaja suara yang menyuruhnya di hujung talian. Aisyah hanya menjeling Haziq tanpa berbuat apa-apa.

“Masuk!” sekali lagi arahan itu diberi. Kali ini Aisyah menjelirkan lidahnya lagi lalu mematikan talian.

Ingat aku nak ikut ke apa yang kau suruh? Huh! Lebih baik aku tunggu hujan ni berhenti dulu daripada balik dengan kau! Monolog Aisyah sendiri. Dia memalingkan badannya lalu melangkah kembali menuju ke dalam lobi.

Tiba-tiba AIsyah merasakan badannya diangkat dari belakang. Badannya dikendong persis seperti seorang puteri. Aisyah tersentak. Jantungnya berdegub kencang. Wajahnya menoleh memandang siapa yang berani mengangkatnya tanpa kebenarannya. Mata Aisyah dan Haziq bertaut. Ada getar di dada Aisyah.

“A…Ap… Apa yang Abang Haziq buat ni?” tanya Aisyah sedikit tergagap.

Pertanyaan Aisyah langsung tidak dijawab Haziq. Sebaliknya jejaka itu mengendong Aisyah sehingga masuk ke dalam kereta. Mulut Aisyah pula seperti dikunci. Dia hanya merelakan apa yang dilakukan oleh Haziq. Jantungnya pula tidak henti dari berdegub. Wajahnya pula tidak usah diucap, merah seperti buah ceri.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku