Tak suka tapi Cinta
Babak 54
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Oktober 2016
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2358

Bacaan






‘Aisyah…’

Aisyah menoleh. Keadaan gelap disekelilingnya. Hitam pekat yang ada di sekelilingnya semakin lama semakin bertukar menjadi cerah. Angin sepoi-sepoi menampar lembut pipinya. Bau bunga ros semakin lama semakin kuat. Terbuka luas mata saat terpandang sebuah kebun bunga yang sangat luas di hadapan matanya. Aisyah mengatur langkahnya melalui satu jalan yang di kiri dan kanannya ditanami dengan bunga ros merah. Bunga tersebut semuanya berbunga cantik sekali. Aisyah mendongakkan kepalanya memandang langit biru yang kelihatan mendung. Cuaca tersebut ketika ini dirasakan nyaman sekali. Mata dipejam seketika untuk menikmati suasana itu.

‘Aisyah…’

Sekali lagi suara itu memanggilnya. Aisyah menoleh ke sekelilingnya. Mencari pemilik suara yang memanggilnya. Dari jauh dia dapat melihat sebuah gazebo berwarna putih. Lantai dan tiangnya berwarna putih manakala bumbungnya pula berwarna merah. Tanpa meragui apa-apa, gadis itu mengatur langkahnya menghampiri gazebo tersebut. Saat langkahnya hampir menghampiri gazebo putih itu, matanya dapat menangkap satu susuk tubuh yang sedang berdiri di tengah-tengah gazebo sambil membelakanginya. Jejaka itu lengkap memakai sut putih. Di tangannya menggenggam sejambak bunga.

Aisyah menghentikan langkahnya pada anak tangga pertama gazebo putih tersebut. Hatinya menjadi sebak tiba-tiba. Matanya berkaca menandakan bila-bila masa sahaja lagi air matanya akan terhambur keluar. Adakah itu dia? Tak mungkin….

Belum sempat Aisyah mengeluarkan kata-katanya, jejaka yang sedang berdiri membelakanginya perlahan-lahan menoleh memandangnya. Mata Aisyah terbuka luas. Tangan yang berbalut sarung tangan berwarna putih yang dipakai segera menutup mulutnya yang hampir ternga-nga. Dengan tidak semena, air matanya setitik demi setitik jatuh membasahi pipinya.

Wajah Hadzriq iaitu jejaka yang sangat dirinduinya sedang tersenyum memandangnya. Wajah itu sangat dirinduinya. Sungguh, dia sangat menyayangi jejaka itu. Kerana jejaka ini jugalah dia menolak hati Haziq yang ingin bertamu di hatinya. Dia tidak mahu mengkhianati cintanya kepada arwah.

Perlahan-lahan Aisyah mengatur langkahnya menghampiri Hadzriq. jejaka itu masih berdiri utuh di situ sambil tersenyum ke arahnya. Langkah diatur sehinggalah dia kini berada di hadapan jejaka itu. Senyuman diukirkan kepada Hadzriq biarpun air matanya tidak henti-henti mengalir. Hadzriq menghulurkan sejambak bunga tersebut dari tangannya kepada Aisyah. bunga tersebut ditenung Aisyah. bunga ros. Dia jadi teringat hadiah pemberian Hadriq dahulu. Hadiah terakhir untuk hari jadinya yang tidak sempat diterima kerana Haziq menarik tangannya untuk pergi jauh dari adik kembarnya. Bunga tersebut pula terjatuh lalu berselerakan di lantai di hadapan penthousenya.

Kedua-dua tangan Aisyah menyambut huluran jambangan bunga tersebut. Dia mencium bunga itu lalu mengukirkan sebuah senyuman kepada Hadzriq yang masih tersenyum memandangnya. Mata Aisyah ditenung lembut. Beberapa ketika, mereka hanya merenung antara satu sama lain tanpa berbicara satu pun. Aisyah begitu merindui jejaka ini. adakah dia mahu membawaku pergi bersama dengannya? Jika begitu, dia sanggup. Dia tidak kisah kemana pun yang bakal dibawa jejaka ini kerana dia begitu merindui jejaka yang bernama Hadzriq.

Tangan Hadzriq mengelus lembut pipi kiri Aisyah. Aisyah tersentak. Ini kali pertama jejaka itu menyentuh dirinya tanpa berlapik. Dia ingin menghalang tetapi hatinya membiarkan. Setitis air mata jatuh dari pipi Hadzriq membuatkan hati Aisyah menjadi sedikit kaget. Biarpun wajah itu tersenyum, entah kenapa dia berasa tidak sedap hati. Tangan Hadzriq yang sedari tadi menyentuh pipinya beralih pula ke tangan kanan gadis itu. Aisyah menundukkan kepalanya memandang tangan yang sedang digenggam oleh Hadzriq.

Tangan yang mengenggam tangannya kemudian beralih diletakkan kedalam genggaman seseorang di sebelahnya. Sekali lagi Aisyah tersentak. Kepalanya didonggakkan memandang gerangan siapakah yang berdiri disebelahnya tanpa dia sendiri sedari. Matanya tidak berkelip melihat Adam Haziq yang berdiri disebelahnya. Tangannya digenggam jejaka itu sambil menghadiahkan sebuah senyuman kepada dirinya dan juga kepada adik kembarnya.

Hadzriq tersenyum memandang Aisyah yang masih di dalam tanda tanya. Jejaka itu berpaling membelakangkannya lalu berjalan pergi dari situ.

Abang Hadzriq?! apa semua ni?!

Ingin sahaja dia menutur kata-kata itu, tetapi mulutnya ibarat dikunci daripada berkata-kata. Yang termampu olehnya hanyalah melihat Hadzriq yang semakin lama semakin pergi menjauh. Menghilang dari pandangannya. Air mata pula tidak henti-henti mengalir. Ingin sahaja dia menjerit. Tetapi sia-sia sahaja. Tidak ada satu suara pun mampu keluar dari kerongkongnya ketika ini. sudahnya dia hanya mampu menghantar Hadzriq yang semakin menghilang dengan pandangan matanya sahaja.

Mata Aisyah terbuka luas. Dia kini bukan lagi di dalam gazebo putih, tetapi di dalam satu bilik yang begitu asing baginya. Perlahan-lahan badannya didudukkan sendiri. Kain lap yang ada di atas dahinya terjatuh ke atas ribanya. Mimpi rupanya. Tangan kanan mengurut perlahan tengkuk yang terasa sedikit lenguh.

“Dekat mana ni?” bisiknya perlahan.

Matanya tertancap pada susuk tubuh seseorang lelaki yang sedang duduk di sofa di sebelah katilnya. Hatinya menjadi lega kerana orang itu merupakan Haziq. Suaminya sendiri. Aisyah memerhati sekelilingnya sebentar. jadi, ini merupakan bilik chalet jejaka ini. cantik! Lain dari bilik chalet yang dikongsi olehnya dan Aireen. tetapi, apa yang dia buat di sini? Dan… dia dan Haziq sahaja disini? Tak boleh jadi ni, dia kena segera keluar.. nanti nampak dek kakitangan lain, apa pula tanggapan mereka?

Aisyah menguatkan diri untuk bangun berdiri dari katil tempat dia baring tadi. tetapi belum pun lima saat, badannya jatuh terduduk kembali di atas katil. Aduh! Kenapa aku rasa lemah sangat ni?

“Baring je dulu.” Tegur satu suara dari belakangnya. Aisyah menoleh memandang Haziq yang disangkanya sedang tidur sebentar tadi. jam di dinding dikerling sebentar. sudah hendak masuk waktu subuh?!

Haziq merenung Aisyah dari tempat duduknya. Dia sebenarnya sudah terjaga sejak Aisyah mengalirkan air mata di dalam tidurnya lagi. Kerana risau, dia mengesat air mata itu dan hanya merenung wajah itu sehinggalah gadis itu memberi isyarat hendak terjaga. Tetapi kerana tidak mahu Aisyah tersalah anggap dan tertangkap dengan renungannya, dia membuat keputusan untuk berpura-pura tidur.

“Tapi, Sya tak nak orang lain salah anggap…” ucap Aisyah. dia masih cuba untuk bangun.

Haziq bangun dari duduknya mendekati Aisyah yang sedang cuba untuk berjalan. “Salah anggap?”

Aisyah mengangguk. Lagi lima langkah dia akan sampai dihadapan pintu bilik jejaka ini. dia harus segera keluar.

“Abang dah bagitahu semua orang yang Sya isteri abang. Jadi nak salah anggap apa lagi?” Ujar Haziq sambil berdiri memeluk tubuhnya memandang Aisyah.

Aisyah tersentak. Tombol pintu tidak jadi dipulas. Dia menoleh memandang Haziq yang sedang tersenyum memandangnya. “Apa dia?”

Haziq mengaturkan langkah menghampiri Aisyah. “I said.. Abang dah maklumkan kepada semuaaaaaaaaa bahawa Nurul Aisyah binti Kamal ialah isteri kepada Adam Haziq bin Tan Sri Jamal” jelas Haziq lalu memberhentikan langkahnya di hadapan Aisyah.

Aisyah kelihatan tergamam sebentar dengan apa yang diberitahu oleh Haziq. Dia tidak menyangka Haziq akan melakukan perkara itu. “Apa?” tanya Aisyah sekali lagi. Dia bukan tidak mendengar apa yang diberitahu oleh Haziq. Dia Cuma mahukan kepastian dengan apa yang baru diucap jejaka itu. Takut dia tersalah dengar pula.

“Ab…”

Belum sempat Haziq menghabiskan kata-katanya, Aisyah memotong. “kenapa Abang Haziq buat semua ni?” tanya Aisyah. diberanikan diri untuk merenung sepasang mata hazel milik Haziq.

Diam. Haziq tidak menjawab pertanyaan Aisyah. dia sendiri tidak tahu kenapa dia melakukan semua itu. Dia menjadi terlalu risau saat Aisyah pengsan di dalam pelukannya dan sangat takut saat Aireen ingin mengambil Aisyah pergi darinya. hatinya meronta-ronta untuk menjaga gadis itu. Memastikan bahawa gadis itu kembali terjaga saat dia di sisi.

“Kenapa abang Haziq buat semua ini? Abang Haziq tahu kan Sya nak lupa kan semua ni?”

“Lupakan?” tanya Haziq. Dahinya berkerut. Dia tidak faham apa yang cuba untuk disampaikan oleh Aisyah.

“Yes! Lupakan! Abang Haziq dah lupa ke perkahwinan kita ni tinggal sebulan sahaja lagi? Dah hampir tiga tahun dah!” tanya Aisyah. menyedarkan kembali perjanjian mereka dahulu dengan wasiat arwah Tan Sri Jamal.

“So.. sebab itu sebenarnya Sya rahsiakan hubungan kita?” tanya Haziq. Memeluk tubuh merenung wajah Aisyah yang sedang marah.

“Ya!”

“Tapi kenapa Sya terima ajakan Abang untuk berbaik semula?” tanya Haziq, mula melangkahkan kakinya menghampiri Aisyah.

Aisyah terdiam. “Se… sebab Sya dah penat bergaduh!” Aisyah memberi alasan. Suaranya sudah mula kendur.

Haziq tersenyum. “And that photo?” tanya Haziq lagi.

Mata Aisyah terbuka luas. “aaarr….”

Haziq memeluk erat tubuh Aisyah. gadis itu menolak kuat agar dileraikan pelukan itu, tetapi sia-sia sahaja. Tenaga seorang wanita tidak dapat mengalahkan tenaga seorang lelaki. Aisyah akhirnya mengalah di dalam pelukan Haziq.

Pelukan itu dieratkan lagi apabila Aisyah sudah tidak menolak dirinya. “Abang tahu Sya dah mula cintakan abang” ucap Haziq.

Aisyah ketawa kecil di dalam pelukan Haziq. “Confident nya.”

Pelukan dileraikan. Kedua-dua pipi Aisyah disentuh oleh tangan Haziq. Wajah itu ditundukkan agar dapat merenung wajah ayu milik Aisyah. Lama mata mereka bertaut. Membuat getaran di hati Aisyah semakin lama semakin kuat.

“Abang akan buatkan Sya mengaku Sya cintakan abang.”

__

Pintu ditutup perlahan. Aisyah tersandar pada pintu bilik chaletnya. Keadaan di dalam bilik yang gelap dibiarkan sahaja tanpa mahu membuka lampu untuk menerangi bilik itu. Aireen pula tidak kelihatan di dalam bilik itu. Mungkin gadis itu sedang menuju ke surau berdekatan untuk solat subuh berjemaah.

Tangannya menyentuh dada. Merasai dengupan jantung yang tidak henti berdegub kencang sejak tadi. dia tidak mengerti kenapa Haziq sanggup buat begini. Membongkar segala rahsia yang disimpannya. Dia marah dengan keputusan yang dibuat oleh Haziq! Sangat marah! Selama bertahun dia sengaja merahsiakan statusnya sebagai seorang isteri. Hanya supaya dimasa akan datang dia dapat menerima bahawa dirinya sebenarnya ialah janda pabila dia dan Haziq bercerai nanti dan tiada seorang pun yang akan tahu dengan statusnya itu. Sudah lupakah Haziq dengan janji yang dibuat dengannya dahulu?

‘Allahuakhbar Allahuakhbar..’

Langkah diatur lemah menuju ke bilik air. Bunyi seruan Azan kuat kedengaran di biliknya. perlahan-lahan, dia mengambil wudhuk. Menahan kesejukan air pada pagi itu. Selesai mengambil wudhuk dan memakai telekung. Aisyah menunaikan kewajipannya untuk solat subuh.

Dia duduk berteleku sebaik sahaja mengaminkan doanya. Merenung jauh kedepan. Berfikir apa yang perlu dilakukan olehnya.

“Abang tahu Sya dah mula cintakan abang”

Suara dan kata-kata Haziq bermain-main difikirannya. Betulkah dia sudah mula mencintai Haziq? Sejak bila? Kenapa dia sendiri tidak tahu? Jadi… sebab itukah dia merasa cemburu melihat Haziq berbual mesra dengan wanita lain? Sebab itu jugakah dia merasa kagum melihat jejaka itu bermain bola pantai?

Aisyah menggelengkan kepalanya. Tak! Tak mungkin.. hatinya hanya buat Hadzriq. walaupun jejaka itu telah lama pergi meninggalkan dirinya. Hatinya masih setia menyayangi jejaka itu.

Senyuman Hadzriq di dalam mimpinya tadi membuatkan Aisyah kembali berfikir tentang maksud disebalik mimpi itu. Wajah senyuman itu kelihatan seperti redha. Dan kenapa Hadzriq di dalam mimpinya menitiskan air mata? Apa makna semua ini? Ahhh! Serabut betul!

“Assalamualaikum…” sapa satu suara apabila pintu bilik chaletnye dibuka dari luar. Aisyah tidak menoleh. Dia tahu siapa itu. Pasti Aireen.

Aireen melangkah masuk kedalam chalet yang dikongsinya dengan Aisyah. dia pelik kerana sebelum keluar ke surau tadi, lampu bilik ini sudah dipadamkan. Matanya terpandang Aisyah yang sedang duduk berteleku di atas tikar sejadah. “Kak Sya!” jerit Aireen lalu berlari-lari anak mendapatkan Aisyah.

“Aireen baru balik?” tanya Aisyah setelah gadis itu melabuhkan duduknya di sebelah Aisyah.

Tangan Aireen menyentuh dahi Aisyah. hembusan nafas keluar dari mulut gadis itu. Lega kerana panas demam Aisyah sudah berkurang. “Kak Sya ni. Risau reen tau petang tadi.”

Aisyah tersenyum. “Kak Sya dah okay dah.” Tangan Aireen digenggamnya. “terima kasih sebab ambil berat dekat Kak Sya ni.”

“Kak Sya ni… Reen dah anggap Kak Sya macam kakak Reen sendiri. Mestilah Reen risaukan Kak Sya.”

“Reen…” belum pun Aisyah menghabiskan kata-katanya, Aireen memotong.

“Sejak bila Kak Sya dengan Encik Adam Haziq menikah?” tanya Aireen. terpacul juga soalan itu.

Aisyah tersenyum. Dia tahu, pasti Aireen kini ingin tahu kebenaran. “Dah hampir tiga tahun dah reen.” Jawab Aisyah.

Terbuka luas mulut Aireen mendengar kenyataan yang diberitahu oleh Aisyah. Tiga tahun?!!!

“Apa dia?!”

Aisyah mengangguk lemah. “usia pernikahan kami sudah hampir tiga tahun..”

“Reen tak faham. Sebab apa Kak Sya rahsiakan?” tanya Aireen. dia jadi berminat dengan apa yang diberitahu Aisyah.

Aisyah memandang wajah Aireen. tidak… dia tidak boleh beritahu kenapa dia merahsiakan semua ini.. “Kak Sya rahsiakan sebab Kak Sya tak nak orang ingat Kak Sya kerja di situ sebab nak dekat dengan suami. Dah la Kak Sya ni setiausaha dia. Nampak macam Kak Sya ni Queen Control pula.” Ketawa Aisyah. sengaja mencipta alasan.

Aireen ketawa. “Alaaa… okay la! Lagi pun Encik Haziq handsome tau! Mesti dia sangat sayangkan Kak Sya. Erm… Kak Sya nak tahu tak? Lepas Encik Haziq selamatkan Kak Sya petang tadi, ramai peminat Encik Haziq terkejut!! Yela.. pertama sebab Encik Haziq lari selaju mungkin untuk selamatkan Kak Sya tau! Dan kedua, sebab Encik Haziq peluk Kak Sya. Even Reen pun tak sangka Encik Haziq boleh buat macam itu.”

“Encik Haziq buat macam itu?” tanya Aisyah. dia tidak ingat macam mana Haziq boleh memeluk dirinya. Tahu-tahu sahaja, dia sudah ada didalam pelukan jejaka itu.

Aireen mengangguk laju. “Erm! And the most funniest part is… lepas je Encik Haziq beritahu Kak Sya isteri dia, ramai peminat dia menangis masa itu juga! Kecoh juga jadinya tadi!” jelas Aireen sambil ketawa kuat.

Aisyah ketawa. “Really? Wow! Dia orang betul-betul frust la tu?”

Aireen mengangguk lagi. “Mestilah! Siapa je yang tak frust kalau majikan kita tu hot meletup-letup! Gentleman pula tu! masa dia dukung Kak Sya tadi pun terserlah tau sifat caring dia!” puji Aireen.

“Encik Haziq dukung Kak Sya?” tanya Aisyah. hampir tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh Aireen.

“Yup! Nampak macam Encik Haziq betul-betul risaukan Kak Sya tadi sampai Reen nak bawa Kak Sya balik ke chalet kita pun dia tak bagi. Dia siap dukung Kak Sya lagi. Bawa pergi dari Reen.” Jelas Aireen.

Aisyah terdiam. Hatinya berbunga seketika. Fikirannya pula tidak henti-henti berfikir kenapa Haziq sanggup buat macam itu dihadapan semua kakitangan syarikatnya.

“Encik Haziq mesti sangat cintakan Kak Sya kan?” tanya Aireen bercampur memuji Haziq.

Aisyah hanya mampu tersenyum. Dia sendiri tidak pernah mendengar perkataan cinta itu keluar dari mulut Haziq. Jadi bagaimana dia ingin mengiakan pertanyaan gadis itu. Wajah dan senyuman Haziq bermain difikiran Aisyah dengan tiba-tiba. Mungkinkah apa yang dikatakan Aireen itu betul? Haziq mencintainya? Sama seperti Mama dan Zurin katakan? Tetapi… sejak bila? Bukankah jejaka itu membenci dirinya sejak kecil lagi? Mana mungkin perasaan itu boleh bertukar begitu sahaja.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku