Tak suka tapi Cinta
Babak 61
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Oktober 2016
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2055

Bacaan






Dua bulan kemudian…

Bunyi kanak-kanak mengaji kedengaran kuat sehingga boleh didengar di luar perkarangan masjid di sebuah perkampungan yang agak terpencil. Para Jemaah yang duduk di ruangan solat, menunggu masuknya waktu zohor hanya tersenyum mendengar celoteh dan kegirangan kanak-kanak yang sedang seronok belajar mengaji di satu sudut dihujung ruangan solat wanita.

“Terima kasih ustazah!” ucap kanak-kanak tersebut sambil menjunjung kitab mukadam mereka. Kemudian, satu persatu anak muridnya itu bersalaman dengan ustazah muda tersebut. ustazah muda yang baru disalami tersenyum melihat kerenah anak muridnya yang sedang berjalan keluar dari ruangan solat itu untuk memberi ruang kepada para Jemaah lain. Seronoknya menjadi kanak-kanak. Tidak perlu risau akan banyak masalah. Yang mereka tahu hanya berseronok sahaja. Ustazah muda tersebut melambai-lambaikan tangannya apabila ada anak muridnya berhenti di pagar surau lalu melambai ke arahnya.

“Aisyah..” panggil seseorang dari ruangan solat lelaki.

Aisyah berjalan perlahan menuju ke arah suara yang memanggilnya. Dia tidak boleh membuka kain tersebut kerana sebaik sahaja kanak-kanak tadi keluar habis mengaji, beberapa orang Jemaah wanita masuk ke ruangan solat tersebut. “Ye saya?”

“Terima kasih sebab sudi ajarkan anak buah saya.” Ucap jejaka di sebalik kain penutup yang menutup ruangan solat wanita.

Aisyah tersenyum. Dia kenal suara ini. suara yang sudah banyak menolong dirinya. Dia jadi terhutang budi dengan jejaka ini dan keluarganya. “Alhamdulillah. Saya hanya ajar mana yang saya tahu sahaja.”

Jejaka itu tersenyum. “Ibu saya ajak awak makan dengan kami sekeluarga tengahari ini. awak datanglah ya?”

“InshaaAllah.” Jawab Aisyah sambil tersenyum. Dia rasa bertuah kerana dipertemukan dengan jejaka ini sejak dari mula lagi. Jika tidak kerana mereka sekeluarga, entah dimanalah dia hendak makan dan tidur.

“Kalau macam itu, saya pergi dahulu ya..” ujar lelaki itu. namun, baru beberapa langkah kaki diatur, namanya sudah dipanggil oleh Aisyah.

“Ya Aisyah?” tanya jejaka itu kembali berdiri di tempatnya tadi.

Aisyah tersenyum. “Terima kasih. Selama ini awak dah banyak bantu saya. Saya takkan lupakan jasa dan budi awak sekeluarga. Terima kasih Syed.”

Syed tersenyum. “It’s okay. Mungkin dah takdir kita untuk bertemu pada hari itu. Allah yang kirimkan saya ke tempat itu dan membantu awak.”

Aisyah teringat waktu dia membuat keputusan untuk lari dari Haziq. semuanya berlaku begitu pantas. Kerana terlalu patah hati, dia mengikut kata hatinya untuk lari daripada suaminya sendiri. bertambah malang nasibnya apabila baru separuh jalan dia berjalan meninggalkan perkarangan dewan tersebut, hujan turun membasahi bumi. Habis kotor bajunya kerana terkena percikan air lumpur daripada kereta yang dipandu laju di jalan raya. Dia hampir berasa berputus asa sehingga dia sanggup duduk bercangkung di tepi jalan raya di dalam hujan yang lebat. Ketika itulah jejaka ini datang umpama menyelamatkan dirinya daripada terus dilanda kebuntuan dan pengakhiran kehidupan yang tidak diingini. Hatinya remuk hancur daripada apa yang didengari olehnya tadi. dia ingatkan segala apa yang diberitahu oleh Haziq datangnya tulus dari hatinya. Tetapi…

“Aisyah?” panggil Syed di balik kain tutup itu.

Aisyah tersentak. Astaghfirullahalazim… diraup kedua-dua tangannya kemuka. Peristiwa itu walaupun sudah dua bulan berlaku, tetapi masih segar diingatannya. Rasa sakit itu masih terasa sehingga kini. “Ya Syed?”

“Jangan lupa datang ya. Lepas zohor.”

Aisyah mengangguk. Seolah-olah dapat dilihat oleh jejaka itu sahaja. “InshaaAllah” katanya sambil tersenyum.

Syed mengatur langkah berlalu dari tempat itu. Takut juga jika dilihat Jemaah lain. Mungkin niatnya hanya ingin menyampaikan pesanan ibunya sahaja, tetapi pandangan orang lain? Tidak semua orang berasa apa yang kita rasakan. Sudahnya mereka menyebut apa yang dirasanya betul. Dari situlah, timbulnya pelbagai spekulasi yang berbaur fitnah.

**

“Assalamualaikum makcik!!” sapa Aisyah di hadapan muka pintu dapur rumah keluarga Syed.

“Waalaikumussalam. Ya Allah Aisyah. yang kamu datang ikut dari pintu dapur ini dah kenapa? Terkejut makcik.” Dicubit lembut lengan Aisyah.

Aisyah ketawa.

“Iyalah Kak Aisyah ni. Terkejut Mia.” Tegur Mia iaitu adik bongsu kepada Syed. Gadis itu mencebik manja sambil memotong sayur di tangan.

“Ala.. Kak Aisyah sengaja nak buat surprise! Terkejut tak?” gurau Aisyah.

“Herm.. terkejut sangat” kata Mia membuat muka di hadapan Aisyah. matanya di pandang keatas lalu kedua-dua tangan gadis itu di letakkan ke bahu.

Aisyah ketawa lagi.

“Makcik nak Aisyah tolong apa ni? Meh Sya tolong” kata Aisyah lalu berjalan menuju ke meja makan keluarga itu.

Puan Baiti tersenyum. Dia senang dengan perangai Aisyah yang satu ini. sikapnya yang ringan tulang itu sangat digemari wanita itu. nasib baik sahajalah anaknya Syed itu sudah bertunang, jika anak terunanya itu masih bujang. Akan di pinang langsung gadis ini.

“Ha.. Aisyah tolong makcik potong daging tu boleh? Makcik dah minta tolong si Mia. tapi dari tadi tak habis lagi potong sayur tu. macam mana la kamu jadi bini orang nanti ni mia. Ibu tak tahu la.” Ngomel Puan Baiti.

Aisyah tersenyum. Dia jadi teringat pula pada ibu dan mamanya. Rindu pula dengan mereka. Bebelan daripada kedua-dua insan yang disayanginya sangat dirindui. Sejak dia melarikan diri, semua kenalan di putuskan. Dia juga turut meninggalkan telefon bimbitnya di tempat dia terdengar perbualan Haziq dua bulan lalu.

“Kak Aisyah!” sergah Mia.

Aisyah tersentak. “Ya mia?” Tanyanya.

Mia menggelengkan kepalanya. “Kak Aisyah teringat boyfriend ea?” teka Mia. Nada suaranya kedengaran seperti bergurau.

Aisyah tersenyum. Satu hal yang dirahsiakan daripada keluarga ini ialah berkenaan statusnya sebagai seorang isteri. Dia tidak mahu keluarga jejaka yang telah menolongnya menyangka bahawa Syed telah melarikan isteri orang. Dia hanya mahukan ketenangan. Dia tidak mahu bertambah lagi masalah kepada dirinya dan juga kepada insan yang telah bersusah payah menolongnya. “Kak Aisyah mana ada boyfriend.”

“Tipulah! Orang cantik macam Kak Aisyah ni tak ada pacar? Mia tak percaya!”

Aisyah ketawa. “Kak Aisyah cantik ya? Ada macam miss universe tak?” tanya Aisyah sengaja mahu bergurau dengan Mia, adik bongsu Syed. Sengaja mata di kelip beberapa kali.

“Miss universe? Universe mana tu? marikh? Pluto?” tegur seseorang dari belakang Aisyah.

“Hey!” jerit Aisyah separuh kuat. Syed ketawa. Begitu juga dengan adiknya Mia.

“Dah… kamu bertiga ni.. kalau berjumpa memang haru biru la dapur ibu ni. Syed, tunang kamu bila sampainya?” tanya Puan Baiti.

“Tunang Syed, makcik? Datang hari ini ke? Waaa!” tanya Aisyah sedikit teruja. Akhirnya dapat juga dia melihat gadis yang dicintai oleh jejaka ini. pasti gadis itu seorang yang baik budi dan pekertinya. Sama seperti jejaka ini. tangannya ligat memotong daging dengan sebilah pisau ditangan.

“InshaaAllah kejap lagi sampai la tu.” ujar Syed.

Tidak sampai beberapa saat kemudian, kedengaran bunyi hon di hadapan halaman rumah mereka. “Ha! Rasanya itu dia.” Teka Syed lalu dengan pantas kakinya melangkah menuju ke hadapan halaman rumah. Melihat jika sangkaannya itu betul. Puan Baiti juga turut mengikut langkah Syed dari belakang. Ingin menyambut kehadiran bakal permaisuri hidup anak terunanya.

“Kak Aisyah nak pergi tengok la siapa tunang Syed tu. sekejap tau Mia.” Kata Aisyah lalu meninggalkan anak gadis itu keseorang di dapur.

Aisyah mengatur langkahnya menuju ke hadapan muka pintu depan rumah batu bercirikan tradisional milik keluarga Syed. Kepala dijengguk keluar sedikit agar dapat melihat dengan jelas rupa bakal tunang jejaka itu. Gadis itu comel sahaja orangnya. Sederhana tinggi dan berkulit cerah. Gadis itu juga kelihatan ayu memakai baju kurung tetapi malangnya Aisyah tidak dapat melihat wajahnya kerana gadis tersebut sedang membelakangkannya. “Ish? Tak nampak la pula.”

Kerana geram tidak dapat melihat dengan jelas, kakinya melangkah keluar menurun beberapa anak tangga rumah keluarga jejaka itu. Mata Aisyah terbuka luas saat terpandang wajah gadis yang berdiri tidak jauh darinya.

“Kak Sya?”

Berair air di tubir mata Aisyah. “Aireen!”

Aisyah berlari-lari anak menuju ke arah gadis yang turut sama berlari-lari anak mendapatkannya. Kedua-dua mereka kemudiannya berpelukan. Syed tersenyum melihat adengan tersebut manakala Puan Baiti pula dilanda penuh tanda tanya.

Aisyah berasa gembira kerana dapat bertemu semula dengan gadis yang kini didalam pelukannya. Gadis yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri. jadi inilah tunang kepada Syed. Gadis yang bertuah kerana memiliki hati jejaka yang begitu amat mencintai dirinya. Entah kenapa, hatinya menjadi bertambah gembira apabila mengetahui gadis bertuah tersebut ialah Aireen.

**

Suasana di dapur keluarga Puan Baiti riuh dengan gelak ketawa tetamu yang ada. Aisyah tersenyum saat matanya melihat kemesraan antara Aireen dan Syed. Dia tidak menyangka gadis yang selalu di katakan oleh Syed ialah rakan sekerjanya yang paling rapat. Mana tidaknya, sepanjang dia dan Aireen bekerja bersama, gadis ini langsung tidak menyebut perihal peribadinya. Tahu-tahu mereka sudah lama bertunang rupanya.

“Tak sangka dapat jumpa Kak Sya kat sini. Patutlah Abang Syed beriya-iya minta reen datang hari ini.”

Aisyah memandang wajah Syed yang tersenyum di sebelah Puan Baiti. Jejaka ini sengaja mengatur pertemuan ini? jadi ini bukan kali pertama Aireen datang ke sini?

“Kamu dengan Aireen ni dah lama ke kenal Aisyah?” tanya Puan Baiti lalu menyuapkan nasi ke mulut. Mia di sebelahnya hanya tersenyum memandang Aisyah.

Aisyah mengangguk. “Ye mak cik. Aireen ni rakan satu tempat kerja Aisyah. Sya dah anggap dia ni macam adik Sya sendiri.”

Aireen tersenyum. “Reen pun. Dah anggap Kak Sya macam kakak kandung Reen sendiri.”

“Kak Reen, Kak Aisyah dah ada boyfriend tak ea?” tanya Mia secara tiba-tiba. Hampir tersedak Aisyah dan Syed. Puan Baiti menuangkan air sirap limau lalu diberi kepada kedua-duanya.

“Oh! Kak Sya ni dah…” belum sempat Reen membuka cerita, Aisyah sudah mencuit lembut peha gadis itu. kata-kata Aireen pula dipotong oleh Syed.

“Apa tanya hal peribadi orang? Mia ni..” tegur Syed.

Aireen mengangkat sebelah keningnya lalu memandang wajah Aisyah. gadis itu hairan. Kenapa tunangnya Syed dan Aisyah menghalangnya dari menyebut status sebenar Aisyah.

“Alaa… Mia tanya je. Yang abang sensitif sangat ni kenapa?” rajuk Mia.

“Dah.. cepat makan.. kejap lagi tolong ibu basuh pinggan ya mia. Jangan kamu nak lari pula.” Kata Puan Baiti. Hilang terus rajuk Mia, gadis itu tersengih apabila ibunya berkata demikian.

Aisyah menghembus nafas lega. Aireen hanya memandang pelik wajah gadis itu.apa yang dirahsiakan oleh Aisyah?

**

“Fuh! Kenyangnya!” luah Aisyah lalu mengambil tempat duduk pada bangku di bawah pohon buah rambutan. Aireen pula mengambil tempat duduknya di sebelah gadis itu. wajah Aisyah dipandang.

Aisyah tersenyum. “Kenapa reen?”

“Kenapa tadi tu Kak Sya?” tanya Aireen terus kepada apa yang bermain difikirannya.

Sekali lagi Aisyah tersenyum. Wajah Aireen direnungnya. “Kak Sya dah buat keputusan. Kak Sya nak berpisah dengan Encik Adam Haziq.”

Aireen tersentak. Matanya terbuka luas tanda dia benar-benar terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Aisyah. “Kak Sya? Biar betul?!!!” tanya Aireen separuh menjerit.

Aisyah tertunduk lemah. dia mengangguk mengiyakan. Apa lagi yang ingin dipertahankan? Kata-kata daripada Haziq jelas memberitahu bahawa dirinya hanya alat mainan sahaja bagi jejaka itu. Perlukah dia meneruskannya lagi? Hatinya sakit setiap kali teringat kata-kata yang disebut oleh jejaka itu. bolehkah dia bertahan? Lagi pula tempoh tiga tahun yang diberitahu oleh arwah Tan Sri Jamal pula sudah berlalu, pasti sahaja segala harta yang ditinggalkan sudahpun menjadi milik suaminya. Jadi apa lagi yang perlu dipertahankan?

Aireen menggenggam kuat kedua-dua tangan Aisyah. “Kak Sya.. jadi betul la?”

“Betul la apa reen?”

“Betul la Kak Sya dengan Encik Adam Haziq selama ini bergaduh?”

Aisyah tersentak. Dari mana pula gadis ini boleh tahu keadaan rumah tangganya? “Maksud reen?”

“Tak..” Aireen membetulkan duduknya supaya duduk berhadapan dengan Aisyah. “Selama dua bulan ini, keadaan Encik Haziq macam dah tak terurus! Sejak Kak Sya tak ada di office, Semua benda macam tak kena sahaja di mata Encik Haziq. Kami semua ingat Kak Sya outstation sebab itu apa yang diberitahu oleh Encik Haziq. tapi, sesetengah ada yang cakap hubungan Encik Haziq dengan Kak Sya dah mula retak. Betul ke Kak Sya?” Tanya Aireen setelah menjelaskan apa yang berlaku.

Aisyah terdiam. Outstation? Jadi jejaka itu menggunakan alasan itu setelah dia menghilangkan diri?

“Kak Sya?”

Aisyah mengukirkan sebaris senyuman. Kedua-dua bahunya dijongketkan. “Entah” hanya itu sahaja yang mampu diucap oleh Aisyah ketika ini. di dalam kepalanya ligat memikirkan apa yang baru diberitahu oleh Aireen sebentar tadi.

“Kak Sya, Kak Reen!” Sergah Mia.

Aireen dan Aisyah tersentak. Kedua-duanya spontan mencubit lembut lengan Mia.

“Mia ni.. terkejut Kak Sya la.”

“Tah! Terkejut Kak reen. Cuba bagi salam dulu.” Seloroh Aireen.

Mia ketawa. “Orang saje je nak buat kedua-dua kakak yang mia sayang ni terkejut. Borak apa tu? macam best je…”

“Tak ada apa yang best pun.” Kata Aisyah.

“Oh ye.. Aireen dengan Mia ni dah lama kenal?” tanya Aisyah. pelik juga dengan kedua-dua gadis ini. nampak seperti sudah lama kenal sahaja.

Aireen mengangguk. “Kalau Kak Sya nak tahu, dulu sebelum keluarga Reen pindah, Reen memang duduk sini.”

Aisyah mengangguk faham.

“Malam ni Kak Sya pergi pasar malam kan? Mia nak ikut boleh?” tanya Mia.

“Nak ikut!” kata Aireen pula.

Aisyah ketawa. Gelagat mereka ini persis kanak-kanak kecil. “Boleh.”

“Yeay!” Aireen dan Mia bersorak gembira. Sekali lagi ketawa Aisyah meletus. Terhibur dengan perangai kedua-dua gadis dihadapannya ini. hilang terus segala masalahnya sebentar.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku