WIRA
Bab 01
Genre: Fantasi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 22 November 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
218

Bacaan






“Apa? Apa yang aku dah lakukan?” keluhan Faizal yang terlentang rebah di atas tanah. Badan terasa sakit. Fikiran agak binggung dan bercelaru ketika itu.

Faizal hanya mampu mendengar suara yang ketawa. Penglihatannya agak kabur. Faizal tidak mampu membuat apa-apa.

“Faizal! Tolong!” terdengar jeritan itu berkali-kali.

Semuanya bermula ketika mereka berada di hutan hujung kampung.

Pagi hari yang indah bagi Faizal. Dia bangun dari tidurnya yang nyenyak. Dia yang baru sahaja tamat pengajiannya di Universiti Dato’ Kadir. Rancangannya untuk meneroka hutan simpan yang terletak tidak jauh dari kampungnya untuk meraikan dirinya yang telah tamat pengajian dalam bidang Sains Flora Fauna. Dia amat meminati alam flora dan fauna di dunia. Oleh sebab itu, meneroka hutan adalah minatnya. Dia terus meragut tuala mandinya di penjuru katil dan terus mandi pagi dan bersiap untuk ke kampung halamannya.

Setelah siap, dia menelefon rakannya, Laila. Mereka berdua ialah rakan di universiti yang sama. Laila juga baru menamatkan pengajiannya. Bidang pengajian yang di ambil Laila berbeza sekali dari Faizal. Bidang kulinari adalah bidang yang diambil Laila. Walaupun bidang mereka berbeza, itu tidak menjadi masalah untuk mereka berkawan.

“Hello, Laila. Kau dah siap ke belum?” tanya Faizal dengan teruja melalui telefon bimbitnya.

“Aku dah nak siap. Nanti kalau kau dah nak sampai, call aku.” balas Laila yang sibuk mengemas beg pakaiannya dan memeriksa jika ada apa-apa yang tertinggal.

Faizal terus mengambil beg pakaiannya dan dicapai kunci keretanya yang sangkut di tempat kunci. Dia terus memandu keretanya ke rumah Laila. Laila pun terima panggilan dari Faizal yang berada di hadapan rumahnya. Tanpa membuang masa, mereka pun meneruskan perjalanan ke kampung Faizal.

“Faizal, rumah dekat kampung kau tu, siapa yang duduk?” tanya Laila.

“Nenek aku saja.” jawab Faizal ringkas saja.

Faizal berasa gembira kerana sudah lama dia tidak pulang ke kampung halamannya. Faizal adalah anak tunggal. Ibu dan bapanya masing-masing bekerja di luar negara. Ketika Faizal masih kecil, dia dijaga oleh nenek dan datuknya di kampung, memandangkan dia sudah dewasa, dia memilih untuk hidup berdikari di bandar. Dia juga tidak perlu risau akan yuran pembelajarannya kerana segala keperluan dan perbelanjaanya ditanggung ibu bapanya. Faizal bersyukur walaupun ibu bapanya amat jarang meluangkan masa bersamanya, namun tanggungjawab mereka terhadapnya tidak dilupa.

“Jauh lagi ke nak sampai?” tanya Laila lagi.

“ Tak jauh. Lagi setengah jam. Lebih kurang.” balas Faizal.

Perjalanan pun diteruskan lagi sehinggalah tiba waktu senja. Laila mengeluh kepada Faizal kerana sudah lebih 4 jam tetapi mereka masih belum tiba di rumah nenek Faizal. Faizal hanya mampu tersenyum kerana Laila tidak sedar bahawa jalan yang dilalui sesak tadi. Laila tidak sedar kerana dia tertidur dalam perjalanan. Setelah itu, mereka mula melalui masuk jalan kampung.

“Faizal!” Laila menjerit dengan tiba-tiba.

Faizal terus menekan brek keretanya dengan mengejut. Terhantuk kepalanya di stereng namun mujur kepalanya tidak cedera.

“Kau apa hal?! Tiba-tiba jerit...” Faizal agak marah.

“Siapa tu Faizal?” kata Laila yang dalam ketakutan sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah bahu jalan di hadapan mereka.

Kelihatan seorang lelaki tua yang berdiri di tepi jalan menuju ke kampung. Lelaki tua yang berjanggut dan berkumis putih. Bersongkok dan berpakaian serba hitam berdiri di bahu jalan yang hampir dengan pintu masuk kampung Faizal. Faizal yang mahu keluar dari keretanya untuk menegur lelaki tua itu namun dihalang oleh Laila.

“Laila, itu manusia. Bukan hantu. Kaki dia jejak tanah. Jangan fikir bukan-bukan.” Faizal tenang sahaja.

Faizal pun keluar dari keretanya dan menghampiri pak cik itu dan lalu menegurnya.

“Assalamualaikum pak cik. Pak cik buat apa di sini?” Faizal menegur lelaki tua itu.

“Waalaikumsalam. Tidak ada apa-apa. Pak cik orang kampung sini. Saja ambil angin malam. Kamu dari mana nak ke mana?” balas lelaki tua itu dengan ramah.

“Saya dari bandar. Ini pun kampung saya juga. Saya nak ke rumah nenek saya. Orang kampung sini selalu panggil dia Nek Timah.” jelas Faizal.

“Ooo… kamu ni cucu Nek Timah. Aku kenal dengan Nek Timah. Kamu pergilah ke rumah nenek kamu. Hari dah hampir malam.” kata lelaki tua itu.

Faizal terus beredar dan meneruskan perjalanannya ke rumah neneknya.

“Siapa pak cik tu tadi Faizal?” tanya Laila.

“Dia orang kampung sini. Dia pun kenal nenek aku. Alamak… Aku lupa nak tanya nama dia.” kata Faizal.

Laila rasa tenang. Akhirnya, mereka pun tiba di rumah nenek Faizal. Kelihatan neneknya yang duduk di kerusi malas di sisi pintu rumah.

“Assalamualaikum nenek!” Faizal yang gembira melihat neneknya. Sudah lama dia tidak menjenguk neneknya semenjak dia belajar di universiti.

“Waalaikumsalam… Sampai pun cucu nenek. Lama nenek tunggu.” Nek Timah menyambut kedatangan mereka di hadapan pintu.

Faizal menyalam tangan neneknya. Dia dan Laila dijemput masuk ke rumah Nek Timah. Selepas menjamu makan malam, mereka berdua hanya berehat pada malam itu kerana keletihan dalam perjalanan yang panjang.

Keesokkan paginya, mereka dihidangkan sarapan nasi lemak yang dimasak oleh Nek Timah. Faizal rasa sungguh seronok kerana sudah lama dia tidak merasa masakan neneknya.

“Nenek. Lupa nak beritahu. Nanti kami berdua ingat nak jelajah hutan simpan di jalan hujung kampung.” kata Faizal sambil mulutnya yang mengunyah.

“Jangan cakap waktu makan. Ya, Faizal boleh pergi. Tapi hati-hati. Hutan simpan itu banyak sejarah silamnya. Jangan buat benda tak senonoh.” Nek Timah menasihati cucunya itu.

“Ish..nenek ni. Ke situ pula.” balas Faizal.

Laila hanya senyum nipis mendengar perbualan mereka berdua. Selepas mereka berdua bersarapan, mereka pun bersiap-siap untuk ke hutan simpan itu. Namun, sebelum mereka ke hutan simpan itu, Nek Timah tiba –tiba merasa kurang senang akan rancangan mereka itu.

“Faizal, ingat. Jangan kamu cuba buat perkara yang bukan-bukan di hutan simpan itu. Nenek rasa tak sedap hati.” kata Nek Timah yang kelihatan risau.

Faizal hanya mengangguk tanda mengerti akan kata-kata neneknya. Laila yang terdengar apa yang dikatakan Nek Timah mula rasa tidak senang hati juga. Namun, rancangan mereka untuk meneroka hutan simpan harus diteruskan kerana sudah lama mereka berdua merancangkannya.

Faizal dan Laila pun tiba di hutan simpan itu. Agak meyeramkan mereka ketika lihat jalan masuk hutan simpan itu. Namun mereka tetap masuk ke hutan simpan itu. Perasaan takut mereka kian lama kian pudar kerana keasyikkan melihat keindahan hutan itu. Banyak spesis tumbuhan dapat dilihat oleh mereka. Banyak juga burung-burung yang kelihatan terbang melalui hutan-hutan itu dan hinggap di pohon pokok. Faizal sungguh teruja melihatnya melalui teropong yang dibawa.

Ketika Laila yang sedang asyik menangkap gambar-gambar tumbuhan, dia terdengar suara yang ganjil di telinganya.

“Buka….Buka… buu..kaaa…” itulah suara yang kedengaran di telinga Laila. Laila tanpa sedar, dia berjalan menjejaki suara itu.

“Woi Laila… Kau nak pergi mana?” Faizal bersuara apabila terlihat Laila yang berjalan sendiri.

“Kau tak dengar suara tu? Aku terdengar suara tadi.” kata Laila dengan riak wajah yang keliru.

“Kau jangan main-main Laila. Nenek aku pesan, dalam hutan , kita kena jaga tingkah laku, niat kita dan percakapan. Jangan cakap bukan-bukan.” kata Faizal yang cuba menenangkan Laila.

Namun, telinga Laila asyik kedengaran bisikan suara itu. Dia terus menoleh ke belakang dan berlari ke arah suara itu. Faizal tanpa berfikir panjang mengejar Laila. Akhirnya, Laila tiba di sebuah gua dan dia terlihat terdapat sebuah perigi bertutup di dalam gua. Kata hatinya kuat mengatakan suara itu dari perigi itu. Dia menuju hampir ke perigi itu.

“Woi! Kenapa kau lari?” tanya Faizal yang termengah-mengah.

“Suara itu dari perigi ini.” kata Laila.

Faizal melihat perigi itu dan tertanya-tanya kenapa ada perigi di dalam gua dan perigi ini ditutup. Terdapat ukiran diatas penutupnya. Namun, yang menghairankan Faizal ialah dia sendiri tidak mendengar suara yang Laila dengari. Faizal mengeluarkan kameranya dan menangkap gambar perigi itu. Ketika itu dia tertarik dengan ukiran seakan-akan kepala harimau dan dia menyentuh ukiran itu. Kemudian, dia dapati bahawa ukiran itu seperti longgar dan boleh dicabut dari perigi itu. Dia tanpa berfikir panjang terus mencabutnya. Laila mula rasa tidak sedap hati ketika itu kerana dia tidak lagi mendengar suara itu.

“Laila. Benda yang tercabut ini macam cincin.” kata Faizal dengan hairan.

Ketika itu terdengar bunyi kuat dari dalam perigi itu. Faizal dan Laila terkejut. Jantung mereka ibarat gugur.

“Faizal, kita pergi dari sini.” kata Laila yang mengheret tangan Faizal untuk keluar dari gua itu.

Faizal terlihat penutup perigi itu pecah dan kelihatan terdapat cincin –cincin lain yang bercahaya dan berterbangan keluar dari pintu gua. Faizal dan Laila ingin berlari namun tiba-tiba mereka terdengar suara ketawa. Mereka menghentikan langkah dan melihat ke arah pintu gua. Mereka terkaku apabila melihat susuk tubuh yang sasa dan dikelilingi asap hitam keluar dari pintu gua.

“Hahahaha! Berkurun lama aku dikurung. Akhirnya aku dibebaskan. Aku sudah bebas!! Aku Listari. Siapakah yang melepaskan aku diantara kamu berdua?” Makhluk yang bernama Listari itu menyoal mereka.

“Aku yang mencabut cincin ini dari penutup perigi itu. Kau ni manusia ke?” jelas Faizal sambil menunjukkan cincin itu.

“Bagus. Ya, aku seorang manusia.Tapi itu dahulu. Kau harus hapuskan cincin itu. Banyak musibah yang datang dari cincin itu. Jika kau berbuat demikian, akan aku berikan apa yang kau hajati. Akan aku tunaikan segala permintaan kau.” kata Listari.

Ketika itu, Faizal sangat gembira mendengar khabar itu. Namun, Laila rasa tidak sedap hati. Mana mungkin manusia yang rupanya bengis dan bertubuh warna merah gelap adalah kelihatan baik. Itulah fikir Laila.

“Jangan! Jangan kau dengar cakap makhluk itu! Dia adalah penipu!” kedengaran suara yang tiba-tiba. Apabila Faizal menoleh ke belakang, dia terlihat lelaki tua yang mereka bertemu semalam di bahu jalan semalam.

“Pak Cik buat apa di sini?” tanya Faizal dengan hairan.

Pak cik itu menghampiri Faizal dan merampas cincin ditangan Faizal.

“Kau sedar apa yang kau lakukan?! Kau sebagai cucu Nek Timah, kau patut tahu. Makhluk ini berbahaya pada umat manusia! Dan kau telah lepaskan dia dari kurungan?! Tidakkah nenek kau memberi amaran tentang hal ini?!” kata Pak cik itu dengan marah.

Faizal dan Laila kelihatan bingung ketika itu.

Lelaki tua itu tanpa berfikir panjang terus berlari ke arah Listari dan berlawan dengannya. Faizal dan Laila bertambah bingung dengan tindakan itu. Pertarungan mereka berdua sangat sengit. Pak cik itu menggunakan jurus silatnya berlawan dengan Listari itu. Namun, Listari lebih kuat darinya. Ditumbuknya Pak cik bertubi-tubi itu hingga parah. Faizal menuju ke arah pak cik yang kelihatan parah itu. Ketika itu, Faizal memikirkan Listari ialah seorang yang jahat.

“Woi orang tua! Kau ingat lepas aku keluar dari kurungan, aku lemah? Tidak sama sekali!” kata Listari.

“Apa semua ini Pak cik?!” tanya Faizal. Laila menitiskan air mata melihat keadaan lelaki tua itu berlumuran darah.

“Kau… harus jaga cincin ini. Ca.. cari orang lain yang… ada cincin seperti ini. Ia adalah kunci kurungan untuk makhluk celaka itu. Ingat! Lindungi umat manusia….” itulah kata-kata terakahir lelaki tua itu lalu dia menghembuskan nafas terakhir di hadapan mereka.

Faizal tergamam melihat lelaki tua itu mati dihadapannya. Faizal pula yang menuju ke arah Listari dan menumbuknya. Bertubi-tubi tumbukkan di dada Listari. Namun tiada kesan. Dengan hanya satu tumbukan dari Listari, Faizal terus rebah ke tanah dan tidak mampu berbuat apa-apa.

“Faizal!” jeritan Laila yang ketakutan.

“Jangan takut. Kau boleh menemani aku. Sudah lama aku tak bersama perempuan manusia. Kau juga sangat istimewa.” Listari dengan rakus memegang lengan Laila.

“Apa? Apa yang aku dah lakukan?” keluhan Faizal yang terlentang rebah di atas tanah. Badan terasa sakit.Fikiran agak binggung dan bercelaru ketika itu.

Faizal hanya mampu mendengar suara yang ketawa. Penglihatannya agak kabur. Faizal yang tak mampu membuat apa-apa.

“Faizal!Tolong!” terdengar jeritan itu berkali-kali.

Dia terlihat Laila yang diheret oleh Listari. Tiba-tiba, Faizal terlihat cincin yang dipegangnya itu bersinar menyala-nyala. Dan cincin itu bergerak dengan sendirinya dan dipakai di jari Faizal. Faizal sungguh terkejut dan hairan ketika itu. Tiba-tiba keluar cahaya sinar yang terang dari cincin itu. Menyilau pandangan Faizal. Listari juga terlihat cahaya itu dan tangan Laila dilepaskan. Laila terus lari namun dia tidak boleh meninggalkan Faizal begitu sahaja. Laila terkejut melihat apa yang muncul disebalik cahaya sinar tadi. Kelihatan seseorang yang berdiri dengan baju perisai perak dan merah. Perisainya bercorak seakan-akan harimau. Dari kepala berperisai hingga keseluruh badannya.

“Wira?! Tidak mungkin!” Listari yang agak marah.

Lelaki berperisai itu terus berlawan dengan Listari. Namun, Listari kelihatan tidak berani untuk bertempur dengan lelaki berperisai itu. Ketika itu, Laila terlihat cincin di jari lelaki berperisai itu. Dia menyangkakan bahawa lelaki berperisai itu tidak lain tidak bukan adalah Faizal.

Listari teruk dibelasah oleh lelaki berperisai itu. Dan hanya satu tumbukan terakhir tepat di dada Listari, dia pula yang rebah ke atas tanah. Kemudian Listari megeluarkan sejenis bebola api dari tangannya dan dilontar ke arah lelaki berperisai itu. Lelaki berperisai itu berjaya menahannya namun, Listari berjaya menghaibkan diri ketika itu.

Ketika itu, kelihatan perisai itu hilang dari tubuh dan kelihatan Faizal yang termengah-mengah dibalik perisai itu. Laila yang melihat segalanya terus berlari ke arah Faizal dan memeluknya. Air matanya mengalir dan menangis ketika itu.

“Laila….. Kita bawa mayat pak cik ini ke kampung...” kata Faizal.

“Aku takut Faizal. Semua salah aku. Aku yang bawa kita ke perigi tadi.” kata Laila sambil menangis.

“Bukan salah kau. Salah aku yang mencabut cincin ini. Nenek aku pasti tahu semua tentang hal ini. Kita kena balik sekarang dan semadikan mayat pak cik ini dulu.” kata Faizal.

Mereka pun membawa mayat pak cik itu ke kampung dan orang kampung di situ terus mengerjakan urusan jenazah pak cik itu. Ketika itu Nek Timah yang terdengar dari orang kampung bahawa cucunya menjumpai mayat di dalam hutan simpan itu. Nek timah terus ke masjid kampung itu dan kelihatan Faizal dan Laila yang duduk di kerusi luar masjid itu.

“Faizal. Kamu berdua tak apa-apa?” tanya Nek Timah.

Faizal terus mengeluarkan cincin itu dan tunjukkan pada neneknya. Neneknya terkejut melihat cincin itu.

“Nampaknya Listari sudah bebas. Nenek tahu perkara ini pasti akan terjadi. Faizal kamu harus kurungkan dia semula. Mana cincin yang lain?” tanya Nek Timah.

“Tak tahu. Faizal akan cari cincin yang lain. Semuanya tadi terbang keluar dari tempat kuncinya. Maafkan Faizal nenek. Faizal yang mencabut cincin ini dari tempatnya.” Faizal berkata dalam rasa sebak.

“Tidak Faizal. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini.”kata Nek Timah untuk menenangkan cucunya itu.

Ketika itulah, Faizal menggalas tugas sebagai Wira. Menjaga keamanan umat manusia dari Listari yang masih bebas. Perjalanan hidupnya sebagai wira bakal bermula.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku