PROJEK SERAM ORGAN: VALENTINE BERDARAH
Bab BAB 1: PERBINCANGAN SAMBUTAN VALENTINE
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 23 November 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
640

Bacaan






KERIUHAN di kedai mamak sedikit pun tidak mengganggu diskusi beberapa orang pemuda dan gadis yang kelihatan amat serius membincangkan sesuatu. Bagi pasangan yang bercinta, merekamahu menyambut Hari Valentine yang terakhir pada tahun itu.

“Sayang, nak sambut Valentine terakhir kita kat mana?” tanya Mudfiza kepada Hazira.

Matanya menggoda memanah ke anak mata sang kekasih.

“Sayang tak nak dinner kat hotel macam biasa ataupun restoran mewah. Apa kata Valentine terakhir ni kita buat kelainan sikit. Kita sambut di pub, nak?”.

Saban tahun Hazira teruja menanti 14 Februari. Sesuatu yang istimewa pasti dirancang oleh kekasih hatinya.

“Hoi! Dahlah ikut budaya barat sambut Valentine’s bagai. Ada ke patut nak buat kat pub. Rosak akidah. Nak hilang dara ke?” sindir Asmadi dengan selamba membuat Hazira termalu sendiri.

Excuse me. Watch your mouth Madi. Aku bukan lelaki macam tu.”

Mudfiza membela diri. Sedikit marah dengan rakannya bila soal akidah dikaitkan. Walaupun suka menyambut hari kasih sayang tetapi dia juga tahu batasannya.

“Dah kau sambut kat tempat macam tu, tak mustahil syaitan akan menggoda dan akhirnya ke lembah zina sebelumtiba waktunya. Apalah seronok sangat sambut Valentine’sDay. Tak ada faedah pun,” bidas Asmadibersahaja sambil terus menyuap nasi kandarnya.

“Tulah yang kau tak tahu betapa bahagianya bila pasangan kekasih dapat menyambut hariValentine ni bersama-sama. Bukannya macam kau, kolot!”

Hilmi membela sahabatnya kerana dia juga sangatgemar menyambut hariValentine ini. Memang bukan budaya mereka tetapi sekadar untuk berseronok apa salahnya. Sambut sahaja bukan hendak buat perkara tidak senonoh.

Kata-kata Hilmi membuat Asmadi mencebik. Baginya tiada faedah hanya membuang masa dan duit. Asmadi kembali menyuap nasi kandar yang masih berbaki di pinggannya.

“Tak payahlahsambut katpub. Apa kata kita sambut kat restoran atas awan? Seronok jugak,” cadang Hasyifah pula.

“Restoran jugak. Bosanlah!” Ternyata Hazira tidak setuju.

“Tapi ni di atas awan,”

Hasyifah cuba meyakinkan lagi.

“Oh please... any other place?”

Hazira sudah menunjukkan muka bosan.

“Berkhemah kat hutan nak, yang ada air terjun. Seronok jugak sambutValentineberlatarkan suasana semula jadi alam,” celah Hilmi.

Hilmi yang mendengar sahaja dari tadi cuba memberi cadangan.

Sekali lagi Hazira dan Hasyifah menggeleng.

“Tak seronoklah kat dalam hutan buat terakhir kali. Tak ada citarasa langsung kau ni, Mi.”

Kali ini Mudfiza pula membantah cadangan yang dikemukakan.

“Habis, semua tak nak. Kat mana lagi nak sambut?”

Hilmi kebuntuan. Baginya Hari Valentine merupakan hari yang sangat penting untuk meluahkan kasih sayang pada insan yang tercinta.

“Kau orang obses sangat dengan Hari Valentine ni kenapa? Sambut kat rumah aje tak boleh ke? Haa... mama boleh jadi chef untuk kau orang. Dua pasangan saja pun. Mama tentu tak ada masalah.”

Norazwana tiba-tiba menyampuk membuatkan abangnya Mudfiza menjengkil mata.

“Tak ada perasaan langsunglah adik ni. Ada ke suruh kita orang sambut kat rumah. Eee ...”

Wajah Mudfiza yang sedikit bengang cukup untuk membuat Norazwana ketawa. Itulah, siapa suruh abaikan dia. Macam dia tidak wujud di kalangan mereka. Padan muka.

“Apa salahnya. Kami berdua sedia menjadi pelayan abang dan kakak kalau diberi peluang.” Shirwan menokok tambah.

“Eee ... siapa nak jadi pelayan dia orang ni. Tak kuasa!”

Norazwana menolak mentah-mentah membuatkan mereka yang ada di situ melantun ketawa masing-masing.

“Susah jugak nak cari tempat yang best untukValentine terakhir kita ni kan?”

Hazira seakan berputus asa.

“Haa ... aku ada satu idea. Apa kata kita sambutValentine terakhir kita di Pantai Raas yang tersorok tu? Pasti tak ada siapa yang akan ganggu kita masa tu. Kita boleh raikannya dalam suasana yang sangat romantik. Aku dan Mi boleh settingkan candle light dinner. Airnya yang biru pasti menawan.”

Akhirnya Mudfiza datang dengan buah fikiran yang cukup bernas.

“Aku setuju. Dah lama aku nak ke Pantai Raas tu. Kata orang hanya yang bertuah saja dapat jumpa pantai tu. Memang tempatnya tersorok tapi jangan bimbang GPS kereta aku takkan salah membawa kita sebab ia selalunya tepat,” ujar Hilmi yang mula teruja dengan cadangan Mudfiza.

“Kau orang berdua macam mana? Setuju?” tanya Mudfiza kepada Hazira dan juga Hasyifah.

“Setuju. Kami pun dah lama simpan impian untuk ke sana. Alang-alang yang terakhirbiarlah nampak grand.”Pantas sahaja Hazira bersetuju dengan cadangan itu.

“Adik nak ikut. Adik pun teringin juga nak tengok Pantai Raas tu. Selama ni hanya dengar cerita saja. Bolehkan?” Norazwana juga sudah mula terpikat dengan cadangan abangnya.

“Kalau Noraz ikut, Shir pun nak ikutlah. Kak Zira tak kisah, kan? Kami takkan ganggu dating Kak Zira dan Abang Mud. Kami akan buat plan sendiri,” ujar Shirwan.

Shirwan mula membayangkan dia bersama-sama Norazwana yang sudah lama digilainya. Bukan menjadi kesalahan kalau kakak kahwin dengan abang, adik pula kahwin dengan adik. Shirwan memasang angan-angan.

Plan apa yang kau nak buat dengan aku? Sibuk saja nak ikut orang. Kau tak boleh tengok aku senang ke?” marah Norazwana cukup tidak suka dengan Shirwan yang selalu menggodanya tetapi tidak sekali pun dia layan.

“Mandi lautlah. Buat apa lagi. Takkan Shir nak usik Noraz. Jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak?” ujar Shirwan membuatkan Norazwana mengukir senyuman juga.

“Errr ... aku pun nak ikut boleh? Dah lama kot aku teringin nak ke Pantai Raas. Aku tawarkan diri jadi pemandu kau orang.”

Hazzuan yang agak lama menyepi tiba-tiba menyampuk apabila mendengar tentang Pantai Raas. Sudah lama dia menyimpan hasrat tetapi tidak seorang pun daripada rakan-rakannya yang ingin ke sana. Menurut mereka, Pantai Raas terlalu sunyi dan mengundang ketakutan buat mereka apabilamenjelang malam.

“Adik boleh ikut tapi dengan satu syarat.” Mudfiza tiba-tiba mengutarakan syaratnya.

Terangkat kening Norazwana.

“Apa syaratnya?”

Dia pasti Mudfiza akan menawarkan syarat yang bukan-bukan dan dia terpaksa bersetuju agar dia juga dapat mengikuti percutian abangnya itu.

“Kalau Hazzuan dah jadi pemandu kami, adik dengan Shir jadi pelayan kami masa candle light dinner nanti, boleh?”

Mudfiza sudah menyengih sinis.

Norazwana menjengkil matanya, “Abang!!!”

“Kalau tak setuju tak payah ikut. That’s it! Abang tak nak dengar apa-apa.”

Mudfiza masih menyengih. Dia tahu adiknya itu akan setuju dengan apa jua syaratnya. Dia lebih kenal Norazwana daripada yang lain.

“Yalah ... yalah... benci!”

Norazwana menjeling dan itu merupakan kemenangan bagi Mudfiza.

Yes, kita ada pelayan free of charge!

Mudfiza masih galak mengenakan Norazwana.

“Hish!!!”

Norazwana membuat muka.

“Pukul berapa kita nak bertolak?” tanya Hazzuan yang sudah tidak sabar-sabar lagi hendak ke sana.

“2016 Valentine terakhir jatuh pada hari Ahad. Jadi, malam Jumaat tu kita bertolak sebab masing-masing tak tahu tempatnya. Kita kena sampai di Pantai Raas pada waktu petang atau lebih awal lagi bagus. Kita ambil cuti pada hari Isnin. Okey?” Hilmi mengemukakan cadangan yangkedengaransangat bernas.

“Setuju,”sahut merekahampir serentak.

“Aku tak setuju!” Asmadi tetap membantah dengan apa yang sedang mereka rancangkan.

“Kau ni kenapa Madi? Apa masalah kau sebenarnya kalau kami nak sambut Hari Valentine?”

Hilmi tiba-tiba meradang dengan Asmadi. Masuk ini sudah dua kali dia menghalang.

“Aku tak setuju ada sebab.”

Asmadi cuba menjelaskan sesuatu. Dia meneguk air sebelum meneruskan hujahnya.

“Sebab apa?”

Semua mata yang berada di meja itu memandang tepat ke arah Asmadi.

“Kau orang tahu tak, sejarah Valentine tu apa sebenarnya?” tanya Asmadi.

“Kami peduli apa dengan sejarah Valentine. Kami cuma nak berseronok aje. Salah ke?” Hasyifah mula meluat dengan Asmadi yang cuba berlagak alim itu.

“Silap tu. Kau orang kena tahu sejarah Valentine. Ia bukan budaya kita. Kau orang tahu takValentine sebenarnya adalah seorang martyr atau dalam Islam disebut 'Syuhada' kerana kesalahan dan bersifat dermawan maka dia diberi gelaran Saint atau Santo.

Pada tanggal 14 Februari 270 M, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahan dengan penguasa Romawi pada waktu tu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M). Untuk mengagungkan dia (St. Valentine), yang dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, para pengikutnya memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.

Tetapi sejak abad 16 M, 'upacara keagamaan' itu mulai beransur-ansur hilang dan berubah menjadi 'perayaan bukan keagamaan'. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut “Supercalis” yang jatuh pada tanggal 15 Februari.

Setelah orang-orang Romawi itu masuk agama Kristian, pesta 'supercalis' kemudian dikaitkan dengan upacara kematian St. Valentine. Penerimaan upacara kematian St. Valentine sebagai 'hari kasih sayang' juga dikaitkan dengan kepercayaan orang Eropah bahawa waktu 'kasih sayang' itu mulai bersemi 'bagai burung jantan dan betina' pada tanggal 14 Februari.” Panjang lebar Asmadi menerangkan kepada mereka.

“Sebagai seorang muslim, tanya pada diri kita sendiri, apakah kita akan mencontohi sambutan tu yang jelas bukan bersumber dari Islam?

Mari kita renungkan firman ALLAH SWT:

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya”. (Surah Al-Isra : 36).

Oleh kerana itu, Islam amat melarang kepercayaan yang mendorong atau mengikut kepada suatu kepercayaan lain atau dalam Islam disebut Taqlid. Faham?

Hadis Rasulullah s.a.w:“Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu”.

Firman ALLAH SWT juga menyatakan dalam Surah Al-Imran ayat 85,“Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-sekali tidaklah diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Lepas dengar semua ni kau orang nak menyambut Valentine lagi ke?”

Asmadi tidak berputus asa untuk membawa rakan-rakannya itu kembali ke pangkal jalan. Sudah lama mereka tersesat dan menjadi tanggungjawabnya untuk menyedarkan mereka tentang apa yang mereka lakukan saban tahun itu adalah salah.

“Baiklah Ustaz Asmadi, kami faham dan kami janji ini Valentine terakhir kami dan tahun depan kami bertaubat takkan sambut Valentine lagi,” perli Mudfiza Asmadi.

“Suka hati kau oranglah. Tanggungjawab aku dah selesai. Apa-apa jadi nanti, pandai-pandai kau orang jawab dengan ALLAH.”

Asmadi sedikit bengang dan terus beredar dari situ. Hatinya sebal apabila dia diperlekehkan sebegitu rupa.

“Asmadi! Hei Asmadi, takkan kau merajuk kot?”

Hilmi melaung memanggil Asmadi tetapi tidak diendahkan. Malas dia hendak melayan kerenah pasangan gila menyambut Valentine ini. Asmadi pergi tanpa menoleh lagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku