PROJEK SERAM ORGAN: VALENTINE BERDARAH
Bab 2 : PEMBUJUKAN
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 23 November 2016
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
559

Bacaan






“MAMA, bolehlah ma ... lagipun Mud bukan pergi dengan Hazira aje. Mud pergi dengan Noraz dan juga rakan-rakan yang lain. Untuk kali terakhir, please mama.”

Mudfiza memujuk Puan Aznah yang agak keberatan untuk melepaskan mereka berdua ke Pantai Raas bagi menyambut Hari Valentine yang menjadi kegilaan Mudfiza dan rakan-rakannya.

“Kau orang ni kan, tak habis-habis dengan Valentine. Tahu tak Firman ALLAH SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 120 :“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.”

Kau orang nak ikut agama mereka ke? Takkan tak belajar agama? Mama tak suruh kau orang ikut cara mereka. Sambutan Valentine bukan budaya kita. Kenapa kau orang suka sangat ikut yang dilarang agama?”

Puan Aznah sudah tidak dapat menahan geram di hati. Sudah beberapa kali dia mengikut telunjuk anak-anaknya tapi kali ini dia akan bertegas. Sudah masuk 2016, usia pun dah meningkat takkan masih tidak tahu yang mana betul dan yang mana salah? Bukannya dia tidak tegur, dah berbuih mulutnya menegur tapi anak-anaknya terlalu degil. Apa yang mereka mahu lakukan, akan mereka buat sampai dapat.

“Ma, mana ada agama larang untuk berkasih sayang? Agama kita menggalakkan kita berkasih sayang sesama kita tau,” bela Mudfiza.

Manakala Norazwana hanya mendiamkan diri tanpa mahu membantu abangnya itu. Pandai-pandai meletak syarat agar dia menjadi pelayan mereka di sana kelak, jadi inilah masanya dia membuli abangnya. Hantaran mata abangnya langsung tidak dihiraukan. Dia tidak mahu menerima tempias dengan api amarah mamanya itu.

“Hei, Mud jangan nak ajar mama pulak. Memang dalam agama Islam menggalakkan kita berkasih-sayang sesama umat Islam tapi bukan dengan cara menyambut Valentine. Untuk mengekspresikan kasih-sayang tak payah tunggu Valentine, hari-hari boleh tunjukkan kasih-sayang. Ni orang lain sambut, kau orang pun nak sambut sama. Dekatkan diri pada ALLAH kan bagus? Doa pada-NYA agar kasih sayang kamu berdua kekal hingga ke jinjang pelamin, bukan dengan cara ni.”

Sekali lagi Puan Aznah membuka sesi tazkirahnya, sangat panjang lebar hinggakan terpaksa Mudfiza dan Norazwana menadah telinga. Biarpun bernanah, mereka tidak akan dilepaskan sekiranya tazkirah Puan Aznah tidak sampai ke penamat.

“Mama, ni Valentine kami yang terakhir. Kami janji lepas ni kami takkan sambut Valentine lagi. Kami akan jadi budak baik sebaik saja masuk 2017. Kami janji, mama. Tolonglah benarkan kami pergi kali ni. Kali ni aje ma.After this, no more Valentine.” Mudfiza memujuk Puan Aznah dengan sesungguh hati.

“Janji?”

Puan Aznah sudah tidak berdaya hendak bertekak dengan Mudfiza.

“Janji. Ni yang terakhir,” ujar Mudfiza.

Kalau Puan Aznah tidak membenarkan mereka pergi, rosaklah segala rancangan mereka kelak.

“Suka hati kau oranglah. Kau orang bukan budak-budak lagi. Mama dah larang tapi kau orang tetap nak pergi. Apa-apa jadi lepas ni jangan salahkan mama. Mama dah terangkan apa yang perlu kau orang tahu dan jangan sampai ALLAH tidak lagi menjadi pelindung kau orang. Ingat kata-kata-NYA, Sesungguhnya petunjuk ALLAH itulah petunjuk yang sebenarnya.Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka ALLAH tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” Puan Aznah sekali lagi memberi amaran melalui hadis ALLAH.

Mudfiza dan Norazwana mula cuak melihat ketegasan mama mereka. Rasa tidak sedap mula menerjah dinding-dinding hati mereka. Serba salah melingkari perasaan mereka.

“Apa mama cakap macam ni? Mama buat Mud serba-salah. Janganlah cakap macam tu, ma. Doakanlah agar perjalanan kami selamat. Kan Mud dah janji, ni yang terakhir. Mud takkan ingkar dengan janji Mud.”

Mudfiza memeluk Puan Aznah untuk meleraikan debaran yang tiba-tiba melanda hatinya.

“Pergilah. Mama cakap apa pun bukan kau orang nak dengar. Buatlah apa yang kau orang nak buat,” ujar Puan Aznah masih lagi bernada merajuk.

“Macam tak izinkan aje? Mama...” Meleret nada suara Mudfiza untuk menyedapkan hatinya sendiri.

“Ya, pergilah.”

Puan Aznah melepaskan pelukan Mudfiza dan duduk di sofa sambil menukar siaran televisyen. Entah siaran apa yang dia tengok sedangkan hati dan mindanya tiada di situ.

“Ma, adik ikut sekali ya. Adik janji akan jaga abang.”

Setelah lama mendiamkan diri, akhirnya Norazwana bersuara untuk meleraikan segala debaran yang melanda.

“Adik nak ikut abang buat apa? Nak sambut Valentine juga?”

Tajam sekali jelingan Puan Aznah yang dihantarkan buat Norazwana.

“Eh, adik tak masuk campur hal Valentine abang dengan Kak Zira. Adik cuma nak mandi-manda di Pantai Raas yang dikatakan cukup cantik tu. Adik nak tengok airnya yang biru macam di Hawaii. Sebab tu adik nak ikut abang, kalau tak jangan haraplah adik boleh ke sana seorang diri,” ujar Norazwana membela dirinya.

“Jaga abang kau ni elok-elok. Jangan sampai dia buat perkara tak senonoh di malam Valentine terakhirnya. Rosak anak dara orang, siap kamu mama kerjakan.”

Puan Aznah memberi amaran keras.

“Hisy mama ni. Kalau abang buat macam tu, makan penumbuk adiklah jawabnya.”

Norazwana menunjuk penumbuknya pada Mudfiza.

“Eleh, macamlah penumbuk dia kuat sangat,” ejek Mudfiza.

“Nak rasa ke?” balas Norazwana tanpa mahu mengalah.

“Sudah! Sudah! Jangan nak bergaduh pula. Jaga adik kau ni elok-elok Mud,” pesan Puan Aznah.

“Siapa yang kacau adik, siaplah dia orang.” Mudfiza memberi jaminan.

“Eleh, abang tu kalau dah jumpa Kak Zira, adik pun dia tak dihiraukan, ma. Macam tak wujud aje adik ni depan dia,” adu Norazwana sengaja ingin mengenakan Mudfiza.

“Hei ...”

Mudfiza tidak puas hati dengan Norazwana.

“Sudah!”

Apabila Puan Aznah meninggikan suaranya, kedua-dua beradik segera mengundur diri dari peperangan mulut. Kini, mereka terus melangkah naik ke atas untuk berehat. Puan Aznah hanya menggeleng melihat tingkah dua beradik yang menjadi penghiburnya selama ini.

“ADIK ni teruk tau. Bukan nak tolong abang pujuk mama. Dia boleh buat bodoh tengok televisyen,”

Ujar Geram Mudfiza dengan sikap Norazwana.

“Siapa suruh abang jadikan adik pelayan di sana. Abanglah pujuk mama. Adik cuma temankan abang aje.”

“Ya sangatlah tu. Entah-entah ada rancangan dengan Shirwan,” usik Mudfiza.

“Hei, tolonglah. Tak kuasa nak layan dia. Dia tak ada girlfriend ke? Asyik kacau adik aje,”

Menyampah sungguh Norazwana dengan Shirwan.

Girlfriend?”

Bercahaya mata Mudfiza.

“Ya girlfriend?” tekan Norazwana.

“Ada.”

“Habis tu, kacau adik buat apa?”

“Sebab adiklah girlfriend dia. Kalau tak kacau adik, dia nak kacau siapa lagi?”

Puas hati Mudfiza dapat menyakat Norazwana.

“Hei!”

Norazwana sempat menumbuk abangnya sebelum Mudfiza melarikan diri ke dalam biliknya.

Benci sungguh Norazwana disakat begitu. Tak habis-habis dengan Shirwan.

Heee ...



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku