PROJEK SERAM ORGAN: VALENTINE BERDARAH
Bab 3 : PERJALANAN
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 23 November 2016
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
566

Bacaan






TIBA hari pemergian mereka ke Pantai Raas, Mudfiza dan Norazwana menyalami Puan Aznah. Puan Aznah memandang sayu pada kedua-dua anaknya itu. Entah kenapa perasaan tidak sedap hati terus menyelimuti. Terasa berat untuk melepaskan mereka pergi ke Pantai Raas tetapi apakan daya mereka tetap berdegil untuk ke sana. Mahu atau tidak Puan Aznah merelakan mereka pergi dengan hati yang terpaksa.

“Mama, Mud pergi dulu ya. Nanti sampai sana Mud akan mesej mama. Mama jangan bimbang. Semuanya akan baik-baik aje.”

Mudfiza memeluk Puan Aznah dan itulah kebiasaannya sebelum keluar dari rumah walaupun untuk ke mana sahaja. Anak manja Puan Aznah.

“Haah. Jangan buat-buat lupa mesej mama. Kau tu bukan boleh harap, bila dah bersuka-ria sampai mama pun dilupakan. Bukan mama tak tahu anak bujang mama ni.”

Tembak Puan Aznah berdas-das membuatkan Mudfiza tersengih herot. Encik Hadimaz yang berdiri di sebelah Puan Aznah hanya tersenyum memerhati gelagat isteri dan anak-anaknya. Mudah-mudahan dia tidak akan lupa untuk mesej Puan Aznah. Memang benar kata Puan Aznah, dia mudah sahaja terlupa apabila berdepan dengan keseronokan.

“Insya-ALLAH ma, Mud takkan lupa. Perkara pertama sekali yang akan Mud lakukan adalah hantar mesej buat mama.”

Mudfiza seperti mengangkat sumpah di hadapan Puan Aznah.

“Janji?” tekan Puan Aznah.

“Ya. Mud janji. Tapi kalau Mud dah tak ada lagi di sisi mama, mama jangan rindukan Mud tau. Nanti terganggu pula kesihatan mama,” gurau Mudfiza tidak kena tempat. Sudahlah orang itu dalam keadaan risau, dia boleh pula bergurau begitu.

Berjejeran air mata Puan Aznah mendengar luahan kata-kata Mudfiza lalu dia memukul dada bidang anak bujangnya itu dengan sesungguh hati.

“Kenapa cakap macam ni? Saja buat mama risau tau. Mama tak sukalah Mud cakap macam ni. Jangan pergilah.”

Sekali lagi Puan Aznah mencuba nasib untuk menghalang pemergian Mudfiza ke Pantai Raas.

“Eh, mana boleh. Mud dah janji dengan kawan-kawan, ni adalah yang terakhir. Mereka pun dah on the way ke sini. Alah, ma ... Mud gurau ajelah. Janganlah ambik hati. I will be fine.

Mudfiza memujuk Puan Aznah kembali.

“Abang ni tak senonoh tau. Dahlah mama tu tengah bersedih, boleh pulak gurau macam tu. Macam nak pergi jauh saja. Mana mama tak mengamuk. Spoilbetul!”

Norazwana benar-benar sakit hati dengan gurauan Mudfiza ikut sedap mulutnya sahaja.

“Maaflah adik. Abang sendiri tak tahu kenapa abang nak bergurau dengan mama. Takut nanti tak sempat. Taklah abang ralat sangat.”

Sekali lagi penjelasan Mudfiza cukup menyakitkan hatinya, malah hati sesiapa yang mendengarnya juga.

“Hei, apa cakap macam ni!!!” jerit Puan Aznah dan Norazwana serentak sebelum tubuh Mudfiza sekali lagi menjadi bahan tumbukan mereka berdua.

Encik Hadimaz hanya terdiam. Ada gusar terlukis di wajahnya.

“Maaf. Maaf. Maaf. Abang tak gurau lagi dah macam tu. Sakitlah mama, adik.”

Mudfiza cuba melarikan diri daripada mereka berdua.

“Haah ... tau pun sakit. Suka sangat sakat mama macam tu.”

Puan Aznah mengesat air matanya yang masih lagi berjejeran.

“Mudfiza yang teruk!” tambah Norazwana sesuka hati.

“Adik!” jerit Mudfiza sebelum Norazwana menjelir lidah sambil menyembunyikan diri di belakang Puan Aznah.

“Sudah! Sudah! Nanti di sana jangan bergaduh pulak. Mama tak suka anak-anak mama bergaduh. Berdamailah ya,” pesan Puan Aznah.

Kelihatan sebuah kereta jenis MPV sedang bergerak menuju ke rumah mereka, perlahan memasuki pagar yang telah sedia terbuka luas.

“Baiklah mama. Adik janji akan jaga kelakuan adik dengan baik. Adik jugak janji akan jaga abang yang jahat tu.”

Giliran Norazwana pula menyalami Puan Aznah dan memeluk mamanya itu seerat yang mungkin. Entah kenapa dia berasa sangat damai di dalam pelukan Puan Aznah.

“Hei!”

Mudfiza menjengkil matanya.

Norazwana hanya ketawa sinis memandang abangnya itu.

“Mama jaga diri tau. Kalau abang tak mesej mama, adik akan mesej mama. Adik sayang mama, tau. Sayang sangat-sangat.” Norazwana memeluk dan mencium kedua-dua belah pipi Puan Aznah.

Lagi lebatlah air mata Puan Aznah mencurah turun bagaikan air terjun. Tidak puas-puas dia menatap wajah kedua-dua anaknya itu. Kereta yang hendak membawa mereka sudah pun sampai dan sedang menanti dua beradik itu. Semakin menjalar rasa sedih Puan Aznah. Berat sungguh hatinya melepaskan mereka kali ini. Dia hanya mampu berdoa agar ALLAH melindungi perjalanan anak-anaknya.

“Mud, kena bertolak malam ni jugak ke? Esok pagi tak boleh?”

Puan Aznah masih tidak putus asa untuk memujuk anaknya buat kali yang terakhir. Manalah tahu terbuka pintu hati anaknya untuk mendengar cakapnya.

“Tak boleh mama. Esok bimbang tak sempat sebab kami sendiri tak tahu di mana letaknya Pantai Raas tu. Kami pun ikut GPS. Mama tahu-tahu ajelah, kadang-kadang GPS bukannya boleh harap,” dalih Mudfiza.

Sekali lagi Puan Aznah mengeluh. Nampaknya usaha Puan Aznah untuk menghalang anak-anaknya pergi pada malam itu tidak berjaya. Dia benar-benar reda. Puan Aznah memandang suaminya Encik Hadimaz dengan wajah sedih. Sungguh berat hendak melepaskan mereka pergi. Encik Hadimaz yang memerhati dari tadi hanya tersenyum sambil tangan mengusap belakang isterinya dengan harapan hati Puan Aznah yang berkocak kembali tenang.

Mudfiza dan Norazwana beralih pulamenyalami dan memeluk Encik Hadimaz.

“Adik pergi dulu tau papa. Papa jaga mama elok-elok ya. Nanti adik balik, adik akan ambil giliran untuk jaga mama pulak,” usik Norazwana nakal.

Encik Hadimaz mencuit hidung Norazwana. Nakal sangat anak bongsunya itu.

“Papa tahulah nak jaga mama macam mana. Adik tu, kena jaga diri elok-elok. Dahlah mama dan papa tak ada kat sana, susah nak jaga adik nanti,” pesan Encik Hadimaz.

“Papa jangan risaulah. Adik boleh jaga diri adik sendiri. Jangan bimbang sangat ya papa. Terima kasih tau sebab beri kepercayaan pada adik.”

Norazwana masih memeluk Encik Hadimaz yang kini beriringan menuju ke Mitsubishi Grandis yang dibawa oleh Hazzuan merangkap pemandu mereka pada malam itu.

“Sama-sama sayang. Tolong jangan khianati kepercayaan yang papa dan mama berikan pada kamu berdua. Janji dengan papa,” ujar Encik Hadimaz menagih janji daripada kedua-dua anaknya itu.

“Kami janji!”

Serentak Mudfiza dan Norazwana mengikat janji sambil mengangkat tangan kanan. Encik Hadimaz dan Puan Aznah hanya tersenyum melihat telatah anak kesayangan mereka.

“Siapa yang bawa kereta ni?” tanya Encik Hadimaz lalu menjenguk ke dalam Mitsubishi Grandis.

“Saya pak cik, Hazzuan.”

Hazzuan pantas keluar dan menyalami Encik Hadimaz.

“Pandu kereta elok-elok. Kalau penat berhenti dulu. Jangan paksa diri untuk teruskan perjalanan. Keselamatan harus diutamakan dulu,” pesan Encik Hadimaz kepada Hazzuan pula selaku pemandu kepada anak-anaknya.

“Baik pak cik. Pak cik jangan risau, selama ni pun saya pemandu yang berhemah. Insya-ALLAH keselamatan mereka pasti akan terjamin.”

Hazzuan penuh yakin memberikan janjinya. Sudah pasti dia akan menjaga keselamatan mereka semua.

“Alhamdulillah. Lega pak cik mendengarnya. Lebih baik kamu semua bertolak sekarang. Malam semakin lewat,” ucap Encik Hadimaz tidak mahu menangguhkan lagi perjalanan mereka semua. Cepat pergi, cepat sampai dan cepat pulang. Itulah harapannya.

“Baiklah pak cik. Assalamualaikum.”

Sekali lagi Hazzuan menyalami tangan Encik Hadimaz.

“Kamu semua pun, jaga diri elok-elok,” ujar Encik Hadimaz lagi menjengukkan kepalanya dan meninggalkan pesan.

“Insya-ALLAH pak cik. Saya akan jaga mereka semua termasuk Noraz. Pak cik jangan bimbang ya.”

Shirwan tersengih-sengih memandang Norazwana menyebabkan gadis itu mencebir meluat. Suka-suka hati Shirwan sahaja. Nak ambil hatilah tu. Eee... menyampahnya.

Lagi Norazwana meluat dengan dirinya, lagi dia suka mendampingi gadis itu. Dia yakin suatu hari nanti Norazwana pasti akan menerima cinta darinya.

Mereka yang ada di dalam kereta itu melambai-lambai tangan pada Encik Hadimaz dan Puan Aznah sebelum pekat malam menelan kereta mereka.

Sesudah tiada lagi kelihatan kereta yang membawa anak-anaknya itu, Puan Aznah memandang suaminya. Sesungguhnya tidak pernah sekali dia rasa risau sebagaimana sekarang.

“Bang, tak tahu kenapa, hati saya tak sedap lepaskan mereka pergi. Saya takut apa-apa jadi pada mereka.” Sayu sekali hantaran mata Puan Aznah pada suaminya.

“Perasaan awak aje tu. Jangan fikir yang bukan-bukan. Kita doakan keselamatan mereka ya. Dahlah, jom masuk.”

Encik Hadimaz memeluk bahu Puan Aznah dan membawa isterinya itu ke dalam rumah. Dia harus redakan keresahan yang mencengkam jiwa isterinya dan meyakinkan bahawa anak-anaknya selamat.

Puan Aznah pasrah dan dia hanya mampu berdoa agar mereka semua dalam keadaan selamat. Baru beberapa minit sahaja anak-anaknya tiada, dia sudah merindui mereka berdua. Dalam diam, Puan Aznah menyeka air matanya yang tumpah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku