PROJEK SERAM ORGAN: VALENTINE BERDARAH
Bab 4: MUSYKIL
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 23 November 2016
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
610

Bacaan






“HAZ, kau betul tahu ke kat mana terletaknya Pantai Raas tu?” tanya Norazwana sedikit menjerit dari belakang setelah dua jam di dalam perjalanan.

Bukannya apa, dia inginkan kepastian sahaja agar mereka tidak tersesat kelak. Hazzuan memperlahankan volum radio yang sejak tadi menjadi halwa telinganya.

“Kau jangan bimbanglah Noraz, GPS aku ni yang terbaik. Dah banyak kali guna, tak pernah sekali pun dia tunjuk jalan yang salah. Semuanya tepat. Sebab tu jugak aku bawa kereta ni,” ujar Hazzuan memberi jaminan kepada Norazwana yang nampak tidak yakin dengannya.

“Kalau macam tu tak apalah. Aku risau aje,” balas Norazwana bertawakal dalam hati dengan harapan apa yang dikatakan Hazzuan benar belaka.

Tiada yang salah melainkan benar belaka.

“Kalau kau yakin dengan aku, pasti perjalanan ni akan mudah,” tambah Hazzuan lagi.

“Aku bukan tak yakin, tapi sekadar bertanya. Eh, kereta bapa kau ke ni?”

Norazwana ingin menghilangkan kesunyiannya dalam sepi malam.

“Taklah. Kereta kawan aku. Dia kata kereta dia yang terbaik, jadi aku pinjamlah. Alhamdulillah tak kedekut orangnya.”

Hazzuan menyatakan fakta yang sebenar. Terkejut Norazwana mendengarnya.

“Kalau kereta kawan kau, macam mana kau begitu yakin GPS dalam kereta ni yang terbaik?”

Bulat mata Norazwana memandang ke arah Hazzuan walaupun lelaki itu sedang memandu.

Hazzuan menyengih lagi.

“Kau ni risau tak bertempatlah, Noraz. Aku dah banyak kali bercuti dengan mereka sebab tulah aku yakin GPS ni akan membawa kita menuju ke destinasi yang tepat,” jelas Hazzuan lagi dan sekali gus menghilangkan rasa sangsi Norazwana terhadap GPS di dalam kereta Grandis milik kawan Hazzuan.

“Alhamdulillah kalau macam tu.”

Norazwana menghela nafas lega. Dia tidak mahu apa-apa masalah di dalam perjalanan mereka yang memakan masa itu. Atas faktor itulah dia banyak bertanya. Bukan saja-saja.

“Aku hairanlah, yang kau risau sangat ni kenapa?”

Hazzuan memandang cermin pandang belakang dan terus nampak Norazwana yang duduk di tengah-tengah.

“Mahu tak risau, tak seorang pun antara kita pernah sampai lagi Pantai Raas. Info jugak kita hanya dapat dari internet. Keindahan pemandangannya semua kita tengok dari internet. Tak tahu bagaimana keadaannya kat sana, sebab tulah banyak tanya. Lainlah kalau salah seorang daripada kita dah pernah pegi ke sana, haa ... tu aku tak risau lagi dah sebab dah tahu bagaimana keadaannya. Ada faham ke?”

Haa .. ambik kau, panjang lebar Norazwana membentang hujahnya. Jangan main-main, juara pidato peringkat negeri tu.

Hazzuan menyengih lagi.

“Insya-ALLAH semuanya akan selamat,” ujar Hazzuan memberi jaminan.

“Haa ... sebelum masing-masing melayan mata atau apa, Zira nak tanya ni perkakas untuk candle light dinner ada bawa ke semuanya? Zira tak nak sambutan Valentine terakhir di sana jadi carca marba,” ujar Hazira.

Hazira pula mengambil giliran menyoal siasat sesudah Norazwana mengunci bibirnya.

“Ingat, pastikan sambutan Valentine kita yang terakhir akan dikenang sampai bila-bila,” tokok Hasyifah pula.

“Kau orang ni kan ... dalam kepala otak tak ada fikir lain ke, asyik Valentine ... Valentine ... Valentine.. tak bosan ke?”

Norazwana cukup geram bila soal Valentine dibangkitkan. Bukannya hendak fikirkan keselamatan mereka, keseronokan dahulu mereka utamakan. Valentine tu bila-bila pun boleh sambut. Dalam diam Norazwana bersetuju dengan Asmadi. Valentine memang tidak memberikan sebarang faedah dan ganjaran.

Menyampah pula aku dengan mereka. Dah terang lagi bersuluh yang Valentine tu tak baik sambut, lagi nak sambut. Ikut sangat budaya barat. Kalau mereka buat parti makan najis, kau orang pun turut ikut samalah ya? Sebal sungguh hati Norazwana.

“Yang adik ni nak melenting tak tentu pasal kenapa? Dia orang tanya saja kot. Kalau nak merasa sangat bagaimana sambutan Valentine, suruh Shirwan buat hari-hari adik jadi istimewa.” Bengang pula Mudfiza dengan tingkah laku adiknya itu.

Norazwana mencebir tetapi Shirwan sudah tersengih suka. Iyalah, bakal abang ipar dah buka jalan, tentulah dia gembira. Ini bermakna Mudfiza tidak kisah kalau dia melamar Norazwana.

“Tak payah. Adik kalau ada kekasih pun, takkan sambut hari Valentine. Tak ada faedahnya. Jelas kot sejarah Valentine yang dibentangkan Asmadi tempoh hari. Cuma abang saja yang tak sedar-sedar. Jangan sampai nanti tak sempat bertaubat dah.” Pedas sekali bicara Norazwana kali ini.

Dia sendiri tidak tahu kenapa ayat-ayatnya pada malam itu cukup berbisa sekali, walhal mereka ke sana untuk menenangkan fikiran sahaja.

“Apa adik ni? Boleh tak jangan cakap yang bukan-bukan?”

Mudfiza sudah tidak sabar dengan Norazwana yang banyak kerenahnya hari ini.

Norazwana ingin membalas kata Mudfiza tetapi dia teringat pesanan Puan Aznah agar mereka adik-beradik tidak bergaduh. Terus dibatalkan niat untuk meneruskan peperangan mulut.

“Mi, kau kata nak bawa kereta kau yang ada GPS terbaik tu tapi kenapa tukar dengan kereta rakan Haz pulak?” tanya Norazwana apabila dia teringatkan sesuatu sekali gus mengubah topik perbualan yang membawa bunga-bunga pergaduhan tadi.

“Haz cakap GPS dia yang terbaik. Alang-alang dia nak jadi pemandu, biar dia saja yang cari kereta. Alah Noraz, GPS mana-mana kereta pun terbaik jugak, kan? Jangan risau sangat boleh tak?”

Hilmi juga sudah mula jemu dengan sikap Norazwana yang agak berlainan dari sediakala.

“Yalah. Abang, adik nak tidurlah. Mengantuk.”

Norazwana terus menyandar tubuhnya ke dada kusyen kereta dan memejam matanya. Malas dia hendak layan kerenah mereka lagi. Suka sangat menyalahkan dirinya. Salahkah kalau dia cuma ambil berat tentang perjalanan mereka?

“Maaflah Zira, Syifa dengan perangai adik Mud tu. Entah angin apa melanda dia hari ni, banyak pula bunyinya.”

Mudfiza meminta maaf bagi pihak adiknya.

“Tak ada apa-apalah. Kami dah biasa kot dengan dia.”

Hasyifah meleraikan rasa bersalah yang bersarang di dalam hati Mudfiza.

“Kami bukan apa, rasa teruja untuk sambutan yang terakhir ni. Tu yang kami tanya,” ucap Hazira cuba mengukir senyuman manis walaupun agak hambar.

“Kak Zira jangan risau sangatlah. Kami dah sediakan apa yang patut. Saja Shir tak nak bagitau Kak Zira, nanti tak surprise,” beritahu Shirwan membuka rahsia untuk menamat segala pertanyaan kakaknya itu.

“Alhamdulillah.Kak Zira bukan apa, takut apa yang dirancang tak jadi aje,” balas Hazira menutup getar di hatinya.

“Zira jangan risau ya, semuanya akan berjalan lancar seperti yang telah dirancang. Ia pasti akan menjadi tanda ingatan terakhir untuk kita.”

Mudfiza berjanji akan memastikan semuanya berjalan lancar. Dia juga tidak mahu ada cacat-cela dalam sambutan Valentine terakhir mereka itu nanti.

“Bukan kau orang saja yang berdebar, kami pun berdebar juga. Sabar ya sayang-sayang,” gurau Hilmi membuatkan mereka semua ketawa geli hati.

APABILA kereta tidak bergerak, Norazwana terjaga dari lena. Liar matanya melilau sekeliling. Dipandang kiri dan kanan yang masih gelap. Di manakah mereka sekarang ini? Hendak kata sudah sampai mungkin tidak. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbit untuk melihat jam. Jam di tangan sudah pasti sukar untuk dilihat kerana keadaan yang gelap. Jam di skrin telefon bimbitnya menunjukkan angka tiga pagi. Lantas Norazwana tidak membuang masa terus bertanya kepada Hazzuan.

“Kita kat mana ni Haz? Takkan dah sampai?”

Norazwana mendepankan tubuhnya untuk bertentangan mata dengan Hazzuan.

“Mana sampai lagi. Aku nak ke tandas ni. Kalau ada sesiapa nak ke tandas boleh pergi sekarang sebab lepas ni aku tak berhenti dah. Mungkin kita akan sarapan dalam kereta aje. Aku dah beli roti, air dan banyak lagi makanan untuk kita lapik perut,” ujar Hazzuan menerangkan agak terperinci.

Norazwana mengejutkan Hazira dan Hasyifah yang enak tidur. Sebetulnya dia juga sudah tidak tahan hendak membuang air. Seorang diri di dalam R&R, memang taklah. Malam-malam macam ni, kawasan R&R di sini agak sunyi. Dia hanya mampu berdoa agar tiada apa-apa yang berlaku kepada mereka.

“Kak Zira, Kak Syifa, nak ke tandas tak? Lepas ni Hazzuan tak berhenti dah.”

Norazwana tidak berputus asa mengejut kedua-dua wanita yang ada di sisinya. Terpisat-pisat kedua-dua mereka bangun dan memandang Norazwana dengan perasaan hairan.

“Kita kat mana ni? Dah sampai ke?” tanya mereka berdua.

Geli hati Norazwana memandang kedua-duanya.

“Mana sampai lagi. Kita berhenti sekejap kat R&R. Hazzuan nak ke tandas. Nak pergi tak? Lepas ni dia tak nak berhenti dah.”

Sekali lagi Norazwana memberitahu pada mereka yang masih lagi mamai.

“Eh, nak pergilah jugak. Tak tahan dah ni.” Tiba-tiba Hasyifah laju turun dari kereta menuju ke tandas.

“Kak Syifa, tunggulah kita orang. Laju betul. Tandas tu takkan larilah,” jerit Norazwana tetapi tidak dihiraukan Hasyifah kerana dia benar-benar tidah tahan.

Manakala Norazwana dan Hazira hanya membuntuti dari belakang. Buruk benar perangai Hasyifah jika dia sudah tidak tahan hendak membuang air. Entah-entah yang besar, sebab itulah tidak boleh tunggu-tunggu lagi. Norazwana dan Hazira mengetawakan Hasyifah yang agak kelam-kabut itu.

“Nanti jangan balik ke kereta dulu tau. Tunggu sampai Noraz selesai. Gerunlah R&R di sini. Mudah-mudahan tak ada apa-apa. Kita fikir yang baik-baik sahaja,” pesan Norazwana pada Hazira.

“Okey lady boss. Kak Zira pun takut nak balik kereta seorang-seorang. Entah R&R manalah yang Hazzuan berhenti ni,” ucap Hazira melajukan langkah kakinya seiring dengan Norazwana.

Mereka memilih tandas yang ingin mereka masuki untuk melepaskan hajat masing-masing. Selesai urusan, ketiga-tiga mereka kembali ke kereta semula. Nasib baiklah Hasyifah menanti mereka. Ingatkan berani sangat, rupanya penakut juga si Hasyifah ini. Nampak sahaja muka Hasyifah, sudah cukup membuat Norazwana dan Hazira menyimpul senyuman. Alhamdulillah, walaupun keadaan R&R di sini agak ngeri tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Syukur.

Kali ini Hilmi pula mengambil giliran untuk memandu memandangkan Hazzuan sudah keletihan memandu sepanjang perjalanan sebentar tadi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku