Islam Bukan Sekadar Nama
Bab
Genre: Islamik
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 22 Disember 2016
Apakah kita benar-benar menguasai ajaran Islam itu sendiri atau Islam kita hanya pada nama?- Kisah persahabatan untuk tatapan pembaca. Moga memberi manfaat buat ummah.
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)
638

Bacaan






Aku pernah disindir dengan pelbagai sindiran, katanya, “nama sahaja Islam tetapi perbuatan tidak menggambarkan jati diri agama langsung. Tudung tak pakai.. baju pula ketat...fesyen apa yang ditiru tu?”

Namun begitu, aku pekakkan telinga dan tidak sedikit pun aku mengendahkannya. Azreen Kamil. Itu namaku. Aku masih menuntut di sebuah kolej tempatan dalam bidang Marketing Management di Nilai, Negeri Sembilan. Adik paling bongsu daripada tiga orang adik-beradik perempuan. Tiada hero dalam keluarga kami hatta ibu adalah ibu tunggal merangkap ketua keluarga. Keluarga aku lain daripada yang lain. Bukan bermaksud kerabat Diraja, orang kenamaan atau makhluk asing. Latar pendidikan agama itu sendiri yang membezakan kami. Ibu dan nenek aku mula pakai tudung apabila umur menjejaki awal 40an. Mereka tahu asas agama tetapi praktikal tersangat kurang.

Dijadikan cerita aku antara individu terawal dalam keluarga sebelah ibu yang pakai tudung awal. Masa sekolah memang wajib tetapi sebaik balik sahaja dari sekolah semua hilang hinggalah aku memasuki alam kampus. Sedikit demi sedikit aku terbiasa dengan suasana kampus apabila ke perpustakaan atau kafe diwajibkan memakai tudung bagi orang Islam. Aku kalau tidak mengenakan tudung pun boleh sebab muka aku ala-ala kacukan Cina sedikit. Dipendekkan cerita aku mula mengenali Islam dengan lebih dekat apabila seorang sahabat mentarbiah atau mendidik aku dengan cara yang sangat lembut. Dakwah atau ajakannya menyentuh hati dan akal aku.

Aisyah Hamid, gadis berasal dari Utara. Fakulti kami berbeza tetapi dia sebilik dengan aku. Dia mengambil jurusan Bahasa Inggeris. Tak silap aku Teaching English as Second Language (TESL). Awal semester wajib menetap di kediaman yang disediakan pihak kolej. Maka, di sinilah bermula segalanya.

“Hai, saya Azreen.” Aku meramahkan diri sebaik memasuki bilik.

Pada mulanya, aku ingat tersilap bilik apabila melihat dia dan rakannya rancak berbincang dengan buku di tangan. Tapi bila dilihat nombor ditulis di pintu, memang benar pun bilik aku.

“Oh… ‘nerd’ betul dia. Mesti skema gila ni. Macam mana aku nak duduk sebilik dengan dia. 2 semester = 1 tahun. 1 semester = 6 bulan. Oh My Goodness!” Terkumat-kamit mulut aku membuat perkiraan waktu yang bakal aku tempuhi dengan dia.

“Assalamualaikum…Nama saya Aisyah. Aisyah Hamid. Salam perkenalan. Ini kawan saya, Najwa.” Aisyah bangun daripada katil dan menghampiri aku yang baru sahaja meletakkan barang-barang di atas katil. Tangan dihulur sebagai tanda perkenalan aku dan dia. Najwa turut mengikuti langkah Aisyah.

“Er… Waalaikumussalam. Ya… Selamat berkenalan juga.” Aku cuba sedaya upaya mengukir senyuman walau dalam hati aku menjerit-jerit ingin memberontak.

Apabila mengingati kembali pertemuan pertama antara aku dan Aisyah, pasti aku tersenyum sendirian. Pada waktu itu, aku baru mendapat kebebasan keluar daripada kepompong keluarga. Walaupun Shah Alam dan Nilai tidak jauh mana, aku tetap puas hati. Namun sebaliknya pula berlaku apabila aku dipertemukan dengan Aisyah yang ketika itu dikategorikan sebagai alim, skema dan kolot.

####

Mudah benar aku membuat tanggapan terhadap seseorang. Sedangkan aku belum mengenalinya 100%. Don’t judge a book by its cover. Ada benar juga pepatah Inggeris ini. 

Benar, kita mencari buku hanya dengan melihat kulit luaran sahaja. Pertama kali, kita akan melihat muka depan dan tajuknya. Jika berwarna dan menarik perhatian,  kita membelek pula di belakangnya. Kita membaca sinopsis buku tersebut. Jika berkenan di hati, baru buku itu kita beli. Kasihan buku. Hanya paras rupa dipandang. Isi di dalam belum tentu lagi menarik dan memenuhi selera tetapi itu bukan perkara utama menjadi penentu.

Analogi buku itu sama seperti persepsi awal aku dulu. Aku akui hakikat kawan belum tentu mampu menjadi pendamping yang baik. Kadang kala kesempatan diambil hanya ketika waktu kita senang. Apabila susah, kawan menghilang tanpa meninggalkan jejak. Kawan memainkan peranan membentuk peribadi kita. Jika baik kawan kita, maka eloklah perangai dan perbuatan. Jika tidak elok, maka sebaliknya berlaku. Rasulullah SAW sendiri ada menyebut tentang kawan atau teman dalam hadis riwayat al-Bukhari,

“Sesungguhnya perumpamaan teman yang baik dengan teman yang buruk, seperti penjual minyak wangi dan tukang besi, adapun penjual minyak wangi maka kemungkinan dia memberimu hadiah atau engkau mendapatkan harumannya, ada pun tukang besi maka boleh jadi ia bisa membakar pakaianmu atau engkau menemukan bau yang hanyir (busuk).”

Ya... Kawan boleh mencorakkan kehidupan seseorang kerana pengaruhnya sama kuat dengan keluarga. Begitu juga halnya dengan aku suatu ketika dahulu. Dapat sahaja lesen kereta awal  Februari, aku mengambil keputusan tinggal di rumah sewa berhampiran sekolah. 

“Azreen, cantik baju, beli kat mana?”

Hot kau hari ni Reen! Jom lepak town.”

Kononnya ingin hidup berdikari tanpa keluarga sedangkan aku sebenarnya masih disara mereka. Aku bebas ke mana sahaja. Kawan-kawan aku juga agak sosial. Karaoke perkara biasa. Kami juga antara pelajar popular di sekolah kerana kami mempunyai kereta sama seperti cikgu-cikgu dan pengetua. Di luar waktu sekolah, kami free hair. Tiada siapa berani menegur kami yang tidak bertudung kerana kami bukan di bawah peraturan dan pengawasan pihak sekolah apatah lagi keluarga sendiri.

Selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan menunggu keputusan melayakkan kami ke peringkat lebih tinggi, kawan-kawan mula mengajak aku ke kelab malam. Kata mereka, "masa sudah tiba untuk enjoy". Selepas karaoke, clubbing pula menjadi perkara biasa. Situasi itu menyebabkan aku terleka dan hanyut dengan keseronokan dunia. Aku lupa bahawa ada yang sentiasa memerhati setiap langkah kita. Aku lupa ada yang mencatat setiap gerak geri kita di dunia.

Benar, aku seolah-olah berada di tengah lautan yang sukar untuk diselamatkan. Aku terpanggil untuk berenang ke daratan tetapi suasana dan persekitaran ketika itu memanggil dan menyeru aku untuk tetap setia di sana. Konteks ibadah, aurat dan pergaulan tidak langsung aku jaga dengan betul. Semua itu tidak aku kuasai. Jahilnya aku sama seperti kejahilan di zaman Jahiliah.

####

Kini, aku bersyukur kerana dipertemukan dengan teman yang bersama membawa aku ke syurga. Aisyah menjadi penyuluh cahaya untuk aku kembali mengenali Islam dengan lebih dekat. Dia seorang yang sentiasa menjaga solat dan ibadah yang lain. Aku? Berdosanya aku Ya Allah... Hampir 20 tahun aku hidup, aku tidak peduli kewajipan yang diamanahkan Allah. Aku lalai dan culas dalam mengerjakan perintahNYA. Kalau aku rajin, aku buat...tapi bila malas jawabnya memang 5 waktu sehari pun aku gagal untuk cukupkan. Paling teruk lagi waktu solat Subuh. Agak-agak kalau letak bom di tepi telinga pun belum tentu aku bangun dengan pantas. Hancur lebur jasad aku nampak gayanya.

Aku kagum dengan Aisyah kerana tidak pernah jemu mengejutkan aku di waktu Subuh. Dia tidak pernah meninggikan suara atau memarahi aku yang susah bangun setiap kali azan berkumandang. Kadang-kadang aku cakap uzur sahaja. Malas bersoal jawab dengan ustazah. Ustazah? Ustazah pilihan itu ialah ustazah Aisyah, gelaran yang aku beri pada dia. Namun begitu, dalam diam aku menyanjunginya yang tidak pernah kenal erti putus asa.

“Bangun Azreen...Subuh dah ni...” Aisyah mengejutkan aku daripada tidur yang lena.

Ada satu ketika, tahap kemalasan memuncak membuatkan hati aku berbisik dan mulut berkata dengan lancar bermacam alasan sambil mata terpejam dan tangan dihayun menghalau Aisyah supaya pergi jauh daripada aku. Kacau aku nak tidur sahaja.

Pernah terjadi satu peristiwa di mana aku malas sangat bangun, Aisyah mengaji kuat-kuat di tepi telinga aku. Mendayu-dayu dia mengaji membuatkan aku lagi terbuai mimpi. Habis surah As-Sajadah, Aisyah mula membaca surah yang sering kali aku dengar setiap kali adanya kematian. Surah yang dibaca pada orang nazak atau sakit. Surah itu adalah surah Yassin. Meremang bulu tengkuk lantas aku terjaga daripada tidur dan bersimpuh laju di atas katil bujangku. Aku teringat apa yang diceritakan ustaz di sekolah dahulu. Alam barzakh adalah tempat kita disoal siasat apa yang kita lakukan di muka bumi ini. Kubur yang gelap gelita tiada siapa dapat membantu kecuali amalan dan takwa. Yang ada hanya binatang berbisa.

“Aisyah awak kenapa?” aku bertanya dengan nada yang sedikit meninggi.

“Azreen kan tengah sakit...” Aisyah menghentikan bacaan dan menjawab dengan nada perlahan.

“Sakit? Apa kau merepek ni Aisyah!” aku bertanya lagi.

“Sakit... Kelebihan surah ini banyak. Jika dibaca kepada orang yang sakit, terhindar daripadanya penyakit.” terang Aisyah lagi.

“Siapa kata aku sakit... Kau bukan doktor pun...” aku bengang dikatakan sakit.

“Sakit rohani dan mental Azreen. Sakit yang susah untuk bangun Subuh. Sebab itu Aisyah cuba menolong dengan membaca ayat Al-Quran. Moga Azreen boleh menguatkan hati dan melawan penyakit itu.” hurai Aisyah panjang lebar.

Badan aku mula berpeluh. Sungguh aku takut menghadapi saat itu kerana aku langsung tidak bersedia ke arah itu. Aku terus bangun ke bilik air meninggalkan dia di situ. Kedengaran dia terus membaca ayat Al-Quran.

####

Selepas habis peperiksaan akhir semester, aku akan pulang ke Shah Alam. Sebelum hari terakhir, kami bersembang dengan rancak sehingga Aisyah membuka cerita. Cerita yang aku sendiri tidak pernah dengar selama ini. Dia menceritakan tentang kegilaan aku yang suatu ketika dahulu menjadi perhatian dan buah mulut warga kampus. Aku yang dahulu sering memakai pakaian mengikut trend terkini yang kadang-kadang tiada siapa berani mencuba. Aku terpengaruh dengan budaya Barat. Aisyah walaupun mempelajari bahasa dan budaya Barat, tidak pernah pula aku melihat dia ke arah itu atau mengikut trend terkini bangsa asing.

“Kenapa Azreen dahulu pakai minyak wangi sehingga sesak nafas Aisyah.” Aisyah bertanya inginkan kepastian daripada aku.

“Kuat sangat ke Aisyah? Azreen tak perasan langsung.” aku menjawab sambil memulangkan kembali soalan kepadanya.

Aku memang tidak menduga bau minyak wangi yang dipakai aku menganggu orang di sekeliling. Apa yang penting, aku suka bau harum kerana peredaran darah aku menjadi lancar dan mood yang kacau akan menjadi baik. Aisyah yang bertanggungjawab telah menegur aku.

“Azreen tahu tak Nabi Muhammad SAW ada menceritakan mengenai larangan memakai minyak wangi sehingga dihidu oleh lelaki bukan mahram.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam riwayat Tirmizi dan Ahmad yang bermaksud, mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan lalu pada sekumpulan manusia supaya lelaki tadi itu menghidu bau wanginya maka wanita tadi mendapat dosa zina.”

Aku tergamam sebaik mendengar apa yang diceritakan Aisyah. Menurut Aisyah lagi tidak salah jika kita memakai wangian kerana Nabi sukakannya tetapi jangan berlebih-lebihan sehingga mendatangkan keburukan.

####

Aisyah yang aku kagumi pernah melalui detik yang membuatkannya menitis air mata kerana aku. Kisahnya apabila suatu petang selepas kelas, aku melihat Aisyah teresak menangis di meja belajar.

“Aisyah kenapa?” aku bertanya.

Rupa-rupanya dia telah dipulaukan rakan sekelasnya kerana berkawan dan menjadi teman sebilik aku. Itu pun aku ketahui selepas puas memujuk agar dia menceritakannya.

“Aisyah...Azreen satu bilik dengan awak?”tanya si A.

“Ya...kenapa?”

“Aisyah tak takut duduk sebilik dengan Azreen?” si B pula bertanya.

“Takut? Kenapa? Azreen bukan monster pun. Saya hanya takut pada Yang Maha Kuasa.”

“Bala kalau turun tak kira siapa. Kalau penghuni buat maksiat tak kira la apapun, semua akan kena.” Jawab si A.

“Astaghfirullah...kenapa doa begitu? Kita ni yang katanya baik belum tentu baik di mata Allah lagi. Baik di mata manusia tak menjamin apa-apa. Sepatutnya kita doakan bersama supaya dia menerima hidayah dan rahmat daripadaNYA.”

“Jika kita lari dan tidak mempedulikan mereka...Bagaimana pula mereka mencari cahaya untuk kembali ke jalan lurus? Bukankah tugas kita sebagai khalifah mengajak manusia melakukan kebaikan.”

Benar katanya, aku juga mempunyai tanggapan sebegitu terhadapnya. Padaku orang yang bertudung litup dan labuh selalu sukar untuk didekati. Biarpun mereka sudi senyum tetapi belum tentu mereka sudi menjadi kawan baik. Dunia mereka dan aku berbeza. Tanggapan itu ternyata silap sama sekali. Buktinya Aisyah, dia tetap sudi menjadi teman dan berdamping denganku. Dia tidak lokek ilmu memberi tunjuk ajar di kala suka dan duka. Aku sebak mendengar Aisyah menceritakan kembali tanggapan rakan-rakannya terhadap aku. Aku yang dulu bukannya sekarang. Aku yang sekarang kembali ke jalanNYA.

Ingat lagi, sewaktu aku keseorangan. Dia menjadi pendengar setia dan akan memberi pandangannya. Rakan sekelas tidak mempedulikan aku apabila berselisih pendapat dalam kerja berkumpulan. Aisyah menasihati aku agar berbaik semula dengan kumpulan aku. Katanya jika kita tidak menegur saudara kita lebih daripada 3 hari tanpa sebab yang munasabah, kita akan berdosa. Hadis Nabi Muhammad SAW, riwayat al-Bukhari mengingatkan kita,

“Dan tidak halal bagi seseorang Muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih dari 3 hari. terang Aisyah panjang lebar.

.....................................................

“Begitulah cerita seorang sahabat yang berjaya membuat saya mendekati agama Islam dengan lebih dekat. Dakwah yang lembut membuatkan hati saya terpaut untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Ajakan yang dibawa beliau ialah contoh melalui tauladan. Saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengannya.

“Beliau tidak hanya bercakap sahaja tetapi menunjukkannya melalui perbuatan. Kini, saya berusaha membawa ajaran Islam yang indah ini kepada seluruh kaum keluarga dan juga umat Islam yang lain. Hadis Nabi juga ada menyebut,

‘Sampaikan dariku walaupun satu ayat’.

Semoga kita semua dapat berkumpul bersama di jannah. Jadikan cerita saya sebagai pengajaran agar kita sentiasa bermuhasabah diri. Apakah kita benar-benar menguasai ajaran Islam itu sendiri atau Islam kita hanya pada nama?” panjang lebar aku bercerita ketika memberi ceramah di program Bicara Siswi anjuran kampusku.

Aku kini menyambung Master dalam bidang yang sama ketika ijazah dahulu. Ceramah ituku tutup dengan sepotong ayat Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 216,

“Dan mungkin apa yang kamu benci itu adalah baik untukmu dan mungkin apa yamg kamu sukai itu adalah buruk untukmu, Allah lebih mengetahui dan sesungguhnya kamu tidak mengetahui.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku