Indahnya Cinta
Bab
Genre: Islamik
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 29 Disember 2016
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)
2029

Bacaan






“Astaghfirullah Al-azim. Astaghfirullah Al-azim. Allah…. Engkau lindungilah hatiku daripada hasutan syaitan, Ya Allah.” Bibir Rahmatullah tidak henti beristighfar kepada Allah Maha Esa. Tangan kanan diletakkan di atas dada kiri yang berdenyut kencang. Dia cuba untuk melupakan gerangan yang menggoncang iman dan nafsunya.

Ketika dalam perjalanan pulang dari usrah di Universiti Islam Antarabangsa, dia terlihat akan kereta Volkswagen New Beetle yang tersadai di tepi jalan yang gelap dengan lampu kereta masih terbuka. Volkswagen berwarna merah itu menarik Rahmatullah untuk berhenti apatah lagi hari sudah larut malam. Kereta diperlahankan dan diberhentikan di hadapan kereta tersebut.

Rahmatullah mengerling sekilas melalui cermin kereta. Gelap. Susah untuk melihat gerangan si pemandu kerana kereta bercermin gelap. Dengan langkah bismillah, Rahmatullah turun mendekati kereta Volkswagen merah itu. Cermin kereta diketuk sambil diberi salam. Beberapa kali dia melakukan tapi masih tiada tanda ada orang di dalamnya.

Dengan tiba-tiba, pintu kereta terbuka dan serentak dengan itu seseorang terjatuh dari kereta tapi sempat ditahan Rahmatullah. Bau busuk dan masam menerpa hidungnya sekali gus membuatkan dia hampir termuntah.

“Allahu-akbar!”

Ketika itu baru Rahmatullah sedar gerangan yang dipegangnya itu seorang wanita. Dengan pantas tangan ditarik dan wanita itu jatuh terjelopok. Rahmatullah terkejut melihat kornea matanya menyapa seorang wanita berpakain cukup menyakitkan mata dan keadaan wanita itu tidak terurus. Mulutnya meracau entah apa-apa dalam bahasa Mandarin.

Mabuk!

“Cik, cik tak apa-apa?”

Wanita itu mengangkat muka dan memandang Rahmutullah dengan muka bingung. Kemudian dia tersenyum sebelum menarik lengan Rahmatullah membuatkan lelaki itu terjatuh.

“Allah!!” Rahmatullah terperanjat.

“Ní….. Hen Shuai. (Kamu…. Handsome.)” Perempuan Cina itu ketawa. Rahmatullah yang tidak faham menjauhkan diri. Dadanya berdenyut maha hebat.

“Ni yao qu nali? (Kemana kamu mahu pergi?)”

“Cik, saya rasa lebih baik cik pulang. Hari dah larut malam. Bahaya cik ada kat sini sorang-sorang.” Rahmatullah tidak ambil pusing apa yang diperkata malah dia sempat memberi nasihat. Fikirnya, bahaya untuk dia terus berdua-duaan di situ tapi tak akan dia mahu meninggalkan perempuan berbangsa Cina ini pula?

“Bu you zou!! Qing bu you zou….(Jangan pergi!! Tolong jangan pergi….)” Tiba-tiba dia menangis. Tak semena-mena Rahmatullah diterpa oleh wanita Cina itu. Tidak sempat mengelat, dirinya sudah dipeluk. Rahmatullah beristighfar panjang.

“Wei shen me? Ni wei shen me li kai? Weis….(Kenapa? Kenapa kamu pergi? Kenaap…)” Rahmatullah mengerutkan dahi. Badan wanita itu terasa berat dan tangisannya sudah hilang.

“Cik, cik… Cik!!”

……………………

Bunyi penggera di telefon bimbit mengejutkannya. Rahmatullah meraup muka. Loceng yang berbunyi menandakan kini sudah berginjak ke jam 3 pagi. Dia tidak sempat tidur lagi hari ini kerana menguruskangadis Cina yang ditemuinya itu pengsan dengan tiba-tiba. Akhirnya, Rahmatullah mengambil keputusan untuk membawa pulang ke rumah uminya memandangkan dia tidak tahu tempat tinggal gadis itu.

Entah kenapa hatinya masih bedenyut kencang apabila teringatkan wajah itu. Ada sesuatu yang bertandang ke sudut hatinya. Cinta? Cintakah ini atau hanya semata-mata bisikan syaitan yang menganggu hatinya? Rahmatullah menganggap ini adalah godaan syaitan semata-mata. Dia tidak mahu terus hanyut dengan gelora di hati. Entah apa-apa. Kalau ya cinta masakan gadis Cina itu pilihan hatinya?

Rahmatullah bingkas dari katil, tidak jadi untuk melelapkan mata buat seketika. Fikirnya ada baiknya dia melakukan solat sunat dahulu sebelum merehatkan badan dan bangkit semula untuk solat Subuh. Dia tidak mahu ketinggalan solat sepertiga malam kerana Rasulullah SAW bersabda:

“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” - (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)

Rahmatullah menghamparkan sejadah ke arah kiblat apabila selesai mengambil wuduk. Niat disertakan dengan takbiratul ihram.

“Allahu-akbar.”

…………………….

Huan Yue yang bosan terus terperat dalam bilik mengambil keputusan untuk ke laman rumah banglo setingkat itu. Apabila keluar dari pintu gelonsor, tidak jauh dari situ kelihatan seorang pemuda dan kanak-kanak perempuan berumur antara sembilan hingga dua belas tahun elok bersila di atas gazebo diperbuat daripada kayu. Huan Yue mendekati mereka apabila melihat tiada siapa yang perasan akan kehadirannya.

“Abang Rahmat! Betul ke perempuan kena pakai tudung? Umi Yaya cakap kalau nak masuk syurga kena pakai tudung.” Tanya budak perempuan yang bersila di hadapan pemuda bernama Rahmat.

“Betul tu cakap umi Yaya. Adik-adik tahu kan, rambut itu aurat bagi perempuan dan kita wajib menutup aurat. Dalam hadis riwayat Abu Daud: Aisyah r.a menceritakan bahawa Asma’ binti Abi Bakar menemui Rasullullah s.a.w dengan pakaian nipis. Lalu Rasulullah bersabda: “Wahai Asma’! Sesungguhnya perempuan yang telah datang haid, tidak boleh dilihat kecuali ini sahaja.” Rasul mengisyaratkan kepada muka dan tangannya.

"Maksudnya adik-adik, aurat perempuan yang sudah baligh hanya muka dan tangan sahaja yang bukan aurat. Yang lain wajib ditutup.Kalau adik-adik nak tahu lagi, azab kepada orang yang tidak menutup aurat ni sangat pedih! Balasan wanita yang membuka rambut kepalanya selain suaminya, akan digantung dengan rambutnya di atas api neraka sehingga menggelegak otaknya, berterusan selama ia tidak menutupnya. Dada yang sengaja dibuka atau ditonjolkan supaya kelihatan seksi, akan di gantung atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat dengan rantai neraka sebagai penggantungnya. Betis dan paha yang terselak-selak, sedia untuk dipanggang…Allah, pedihnya tidak terkira! Nauzubillah, adik-adik. Abang harap adik-adik tidak akan tergolong di antara mereka.”

“Takutnya….”

“Eee… takutnya, Abang Rahmat. Lepas ni, Chaca pun nak pakai tudunglah. Chaca tak nak kena seksa.”

“Wawa pun nak tutup aurat juga,”

Rahmatullah hanya tersenyum mendengar celoteh mereka. Dalam melayan anak-anak jirannya itu, sempat matanya menangkap kelibat Huan Yue. Matanya kelihatan berkaca dan tangannya terketar-ketar. Tidak sempat Rahmatullah menegur, Huan Yue terlebih dahulu melarikan diri.

………………….

“Abang nak kahwin dengan dia?!” tanya umi Rahmatullah, Puan Kalsom dan adiknya, Rohimah serentak.

“Abang betul-betul ke atau tipu-tipu ni?” Puan Kalsom mencubit Rohimah.

“Abang serius umi, adik. Abang mahu kahwin dengan Huan Yue.”

“Mana boleh….” Leret Rohimah.

“Ya Allah… Abang dah kenapa? Huan Yue tu kan bukan seagama dengan kita.” Puan Kalsom turut menyuarakan apa yang dipendamnya. Rahmatullah diam sejenak.

“Dia…. Huan Yue Islam, umi. Islam…”

Puan Kalsom tercengang.

Rohimah tergamam.

………………..

“Abang Rahmat, boleh saya cakap sekejap dengan abang?” ujar Huan Yue ketika dia menemui Rahmatullah di UIA.

“Apa yang Huan Yue nak cakapkan itu? Sampai sanggup cari saya di sini.”

“Abang tahu agama saya?”

Rahmatullah mengerutkan dahi dengan pertanyaan tiba-tiba Huan Yue. Dia menggeleng.

“Saya…. Saya Islam, Abang Rahmat.” Huan Yue tertunduk.

“Subhanallah. Bila lagi?”

“Saya peluk Islam lima bulan lepas. Saya masuk Islam bukan kerana Allah, tapi kerana saya mahu kahwin dengan bekas suami saya. Saya tak pernah kenal Islam. Lebih-lebih lagi bekas suami saya pun hidup seperti saya yang dahulu. Arak itu, dah jadi minuman harian kami dan disko itulah tempat kali pertama saya berjumpa dengan bekas suami saya. Malam tiga bulan lepas, yang Abang Rahmat bawa saya pulang ke rumah umi itu malam dimana saya kena cerai selepas dua bulan kahwin dengannya. Kami tak sehaluan, selalu bergaduh. Saya kena cerai pun disebabkan dia ada perempuan lain.”

“Allahu-akbar….” Ujar Rahmatullah perlahan. Sungguh dia tidak sangka gadis Cina yang dijumpa dahulu dengan keadaan mabuk dan berpakaian seksi itu beragama Islam. Kesian kepada Huan Yue pun ada juga. Sudahlah memeluk Islam kerana lelaki, dicerai dan ditinggalkanpula terkontang-kanting tanpa mengenal erti Islam yang sebenar.

“Abang Rahmat…..”

Rahmatullah mengangkat muka tapi ditundukkan kembali apabila Huan Yue menikam pandangan ke arahnya.

“Saya mahu kenal Islam, abang.”

“Alhamdulillah.” Rahmatullah menarik senyuman sebaris.

“Saya, umi dan adik sedia membantu kalau benar Huan Yue mahu berubah. InsyaAllah, saya sekeluarga akan tolong apa yang kami mampu.”

“Saya….”

“Saya mahu….. Abang Rahmat. Saya nak lamar…. Abang Rahmat jadi suami saya.”

Rahmatullah tergamam.

“Abang Rahmat sudi mengambil saya jadi iseri abang? Abang sudi membimbing saya untuk mengenal Islam?”

Dan Huan Yue terus menaruh harapan.

………………..

“Alhamdulillah. Semuanya sudah selesai.”

Rahmatullah melepaskan lelah di atas sofa setelah semua tetamu yang sudi hadir meninggalkan majlis akad nikah. Dia memejamkan mata seketika. Tidak dapat ditahan, bibirnya mengukir senyuman apabila teringatkan akan status baharunya. Suami. Masih dia ingat ketika memegang tangan tok kadi betapa ketarnya tangan dia. Dan lafaz yang satu itu berjaya juga dilafazkan dari bibirnya. Kalau didengar dan disebut, memang mudah. Tapi tidak semudah itu.

Dengan lafaz ‘Aku terima nikahnya’, besar maknanya. Bukan sahaja membawa erti bersatunya satu ikatan yang halal antara lelaki dan perempuan. Tapi ia juga bermakna kini dia menggalas segala dosa isterinya jika dibiarkan tanpa menegur, bertanggungjawab dalam memberinya nafkah zahir dan batin, memberinya ilmu dunia akhirat dan juga memimpinnya sama-sama ke jalan syurga. Jika seorang suami itu gagal bermakna dia seorang suami yang dayus dan fasik, maka neraka jahanam adalah tempatnya. Allahu Rabbi!

Rahmatullah membuka matanya dan ketika itu juga matanya menangkap kelibat Huan Yue yang baru meloloskan diri ke kamar pengantin. Rahmatullah bangun meregangkan urat yang terasa lenguh dan kemudian turut melangkah ke kamarnya. Sempat dia mengetuk pintu beberapa kali sebelum terdengar suara dari dalam menyahut.

“Assalamualaikum.” Salam diberikan kepada si isteri yang berdiri di hadapan meja solek. Perlahan-lahan pintu ditutup. Rahmatullah memandang isterinya yang turut memandang dari biasan cermin.

“Waalaikummussalam….” Lembut dan perlahan. Malu-malu Huan Yue menjawab salam apatah lagi Rahmatullah merenungnya.

“Subhanallah…” ucap Rahmatullah perlahan. Kagum akan ciptaan Allah dihadapannya kini. Rahmatullah mendekati Huan Yue dan tangan mulus itu diraih.

“Cantik isteri saya.” Puji Rahmatullah. Huan Yue ditarik dan dibawa ke katil. Dilabuhkan punggung disebelah isterinya di birai katil. Dia hanya memerhati apabila tangannya dikucup Huan Yue.

“Terima kasih…. Abang. Terima kasih kerana sudi terima saya jadi isteri abang. Terima kasih sudi terima saya yang banyak kekurangan ini.” Huan Yue mula sebak. Terasa dirinya banyak kekurangan berbanding Rahmatullah yang sempurna di matanya.

Rahmatullah menggeleng.

“Abang yang banyak kekurangan. Isteri abang ini, cukup cantik nak dibandingkan dengan abang yang tak kacak ni.” Sempat Rahmatullah berseloroh apabila terlihat akan air mata Huan Yue. Dilap air mata itu dengan jemarinya.

“Cantik itu subjektif. Bila-bila Allah akan tarik, abang kan? Tapi saya kurang ilmu agama. Tidak tahu menahu keindahan Islam yang sebenar. Ruginya….”

“Tak apa, sayang…. Masih ada masa untuk berubah. Kita sama-sama mencari keindahan Islam itu ya?” pujuk Rahmatullah. Tubuh kecil molek si isteri dibawa ke dalam pelukan.

“Sayang isteri abang.”

“Sayang?” Huan Yue mengangkat muka.

“Ya. Kenapa?”

“Tak… Cuma pelik. Abang tak pernah nak kenal saya sebelum ini dan tak pernah berkawan rapat. Tapi malam ini, cepat betul sayang abang datang?” Rahmatullah ketawa perlahan mendengar komen Huan Yue.

“Sebab dah jadi isteri abang, itu yang abang sayang….” Ringkas jawapan Rahmatullah.

“Tapi….” Huan Yue tidak berpuas hati

“Kalau sayang nak tahu, segala gerak geri, suara dan lirikan milik orang depan abang ini yang mengacau bilaukan hati dan iman abang ketika malam dahulu. Hati abang ini, tak senang duduk. Mula-mula abang fikir, godaan syaitan semata-mata. Tapi, lepas lamaran sayang tu dan selepas istikharah…. Hati ini yakin, selain kerana godaan sayang ia dinamakan cinta pandang pertama dan cinta suci dari Allah. Jadi, tak ada apa yang perlu diragukan kerana bersatunya ikatan kita ini, abang akan sentiasa sayang dan cinta akan isteri abang. Insya-Allah janji abang, cinta kita ini cinta till jannah. Hingga ke syurga.”

“Allah… terima kasih Allah. Terima kasih abang.” Terharu dengan kata-kata suaminya, air mata Huan Yue mudah sahaja mengalir. Dipeluk Rahmatullah dengan erat.

“Siti Aisyah Abdullah….”

Huan Yue mengangkat muka.

“Ya, saya.” Sahut Huan Yue dengan gelak kecil.

“Sebagai langkah permulaan cinta till jannah kita ini, mari abang ajarkan cara berwuduk dan solat. Lagipun, solat isyak abang belum tunaikan.”

Huan Yue mengganguk dalam senyuman. Langkah Rahmatullah ke bilik air diikuti dengan hati yang mengucapkan lafaz syukur yang tak terhingga. Jika ini permulaanya, dia sudah dapat merasa bahang indahnya Islam. Tidak sabar untuk mendalami keindahan Islam yang suci.

TAMAT




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku