OMBAK DAN MENTARI
Bab 97
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 Januari 2017
TIDAK KUTEMPUH BADAI INI ANDAI KURAGU SINAR DI HUJUNG SANA~OMBAK DAN MENTARI
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
468

Bacaan






HAL TENTANG KEHAMILAN FARIDAHaku maklumkan pada Asyraf. Asyraf terus menelefon Ibu Yanti untuk mendapatkan kepastian. Ibu Yanti terkejut, lalu berjanji untuk datang ke rumah kami dua hari lagi, setelah selesai urusannya di Johor.

Akhirnya wanita itu sampai. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumahku, cepat sahaja dia mencari Faridah dengan wajahnya yang garang dan mulutnya yang membebel. Faridah kelihatan amat takut padanya. Aku dan Asyraf melihat telatah mereka dengan penuh keraguan.

“Faridah, kenapa kamu tidak beritahu yang kamu sudah berkahwin dan hamil?” tanya wanita itu, lantang.

Faridah tunduk, tidak berani menjawab.

Ibu Yanti memandang ke arah kami, “Faridah ini orang kampung saya. Saya tahu dia belum berkahwin. Tiba-tiba sahaja saya dengar dia hamil! Saya sudah habis jutaan rupiah. Dia harus kerja juga hingga habis dua tahun!” tegasnya. “Faridah, saya jaga dan siasat semua pembantu rumah yang saya bawa ke sini. Apa yang kamu buat ini memburukkan nama saya!”

“Tapi dia hamil, bagaimana jika dia bersalin di sini. Isteri saya sakit, kami tak mahu masalah!” tegas Asyraf.

“Begini Encik. Saya ambil Faridah seminggu. Saya mahu bawa jumpa bidan, buang kandungannya. Kemudian saya hantar Faridah datang semula!” tegas Ibu Yanti, tanpa teragak-agak.

“Ibu Yanti, ini satu nyawa yang ibu perkatakan. Jangan mudah-mudah mahu diambil dan dibuang. Ini membunuh namanya!” giliran aku pula menempelak.

Faridah yang berada di tengah-tengah sudah siap menangis.

“Jangan ibu... . Berdosa kita membuang janin ini. Saya tak mahu terlibat,” sokong Asyraf pula. “Ibu mampu jawab di akhirat nanti?” Asyraf melontarkan soalan itu pada wanita berbadan gempal itu.

Ibu Yanti mengalah. Dia menarik nafas dalam, lalu berkata, “Tak apa, ibu pulang dulu. Encik dan puan fikirkan dan kalau setuju cadangan ibu, sila nelfon. Jika tidak setuju, ibu tidak mampu bantu dengan cara lain, kerana memang tiada caranya!”

Wanita itu berlalu pergi. Tinggallah aku dan Asyraf yang memandang sesama sendiri, buntu dan tidak dapat berfikir apa yang harus dilakukan.

Waktu itu kami baru sahaja tujuh bulan berpindah pusat tuisyen, kerana tauke pasaraya itu mahukan kembali kedainya. Letih menyiapkan tempat baru masih terasa. Tuisyen baruku kali ini di paras dua, tiga dan empat. Kelas pula ada tujuh semuanya. Namun, kami terpaksa berpindah sekali lagi atas arahan pihak bomba. Menurut pegawai bomba yang datang, tuisyen kami tiada dua tangga, dan amat merbahaya andai berlakunya kebakaran.

Situasi di kala itu amat menekan. Aku baru sahaja habis wang kerana berpindah. Untuk berpindah lagi, aku memang tidak mampu. Untuk membayar pekerja Indonesia yang lain, lagilah aku tidak berdaya.

Aku dan Asyraf, kami sama-sama menolak cadangan Ibu Yanti yang mahu menggugurkan kandungan Faridah.

“Tak apalah kita rugi, Suria. Jika anak yang dikandung Faridah lahir nanti, dan membesar menjadi orang baik-baik... tentu kita juga yang gembira, kan?” ujar Asyraf, cuba menyedapkan hatiku.

Kami bersetuju untuk menolak gaji Faridah menggantikan kerugian bayaran urusan kedatangannya ke sini. Faridah bersetuju walaupun berat hati. Jadi, Faridah harus bekerja empat bulan tanpa gaji, dan kami akan menghantarnya pulang pada bulan ke lima.

“Terima kasih Kak Suria, Abang Asyraf... terima kasih...,” ucapnya bersungguh-sungguh sambil mengalirkan air mata.

Namun, aku memberinya juga elaun dua ratus sebulan atas perikemanusiaan. Aku juga berasa kasihan melihat dia yang mendukung Uzair dalam keadaan perutnya yang mula membesar. Adakalanya, aku yang menyuruh dia berehat.

Pada usia kandungannya tujuh bulan, kami cuba menghantarnya pulang menaiki kapal terbang, namun tidak dibenarkan pegawai yang bertugas. Kandungannya sudah nampak sarat pada waktu itu. Lalu dia terpaksa menaiki feri pulang ke Medan.

Perkenalan dengan insan malang bernama Faridah itu, membuatkan aku bersyukur kerana nasibku tidak seteruk dia. Sewaktu dia pulang ke sana, dia masih menelefon kami dan menganggap kami seperti kakak dan abangnya.

Anak yang dikandungnya akhirnya selamat lahir ke dunia, lalu diberi nama Nur Ainil Mawaddah. Subhanallah, nama itu sungguh indah. Aku dan Asyraf melahirkan kesyukuran kerana diberi Allah kematangan untuk berkeputusan tatkala diperlukan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku