Bangladesh?
Bab
Genre: Islamik
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 09 Januari 2017
Penilaian Purata:
(17 orang telah menilai karya ini)
810

Bacaan






Nama aku Ahmad, Ahmad Ukail. Aku memegang amanah selaku penyelia bahagian stor penerimaan barangan yang tidak melepasi piawaian. Aku baru sahaja dinaikkan pangkat 3 bulan yang lepas. Kejayaan yang aku kecapi di mana layak digelar “bos” ini adalah hasil titik peluh ku membanting tulang dan berbekalkan sedikit ilmu “bodek” yang aku pelajari dengan sendirinya. Jika dulu, aku menerima arahan, tetapi sekarang aku lebih mendorong ke arah memberi arahan. Ironinya, dulu aku bekerja dengan “anggukan kepala”, sekarang lebih ke arah “tudingan jari”. Umurku dalam lingkungan pertengahan 30-an, pernah mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, aku dikurniakan 2 orang cahaya mata. Namun begitu, lumrah dan asam garam perkahwinan, hubungan kami tidak bertahan lama. Kami telah berpisah dan anak-anak tinggal bersama bekas isteriku.


*********************


“Encik Ahmad, boleh tak minta tolong deme dua orang tu, angkat kotak-kotak ni? Boleh reput tulang belakang saya kalau angkat kotak ni.” Pak Abu, pemandu lori kami berseloroh meminta bantuan kepada ku.


“Boleh-boleh, Pak Abu duduk dulu kat situ. Nanti saya panggil pekerja tolong.” Balasku.


“Muthu! Pergi panggil Saif. You dengan dia pergi tolong Pak Abu ni angkat kotak banyak-banyak atas lori tu. Bawa turun letak depan pintu stor tu dulu.” Aku mengarahkan Muthu, seorang pekerja berbangsa India. Muthu pekerja kesayanganku, umurnya dah mencecah 40 tahun ni. Dia tidak pernah mengeluh, jarang sekali menyangkal arahan dan sebarang permintaan ku. Cuma satu sahaja kelemahan Muthu. Lembam! Sampaikan langsung tiada deria alternatif dan kemahiran berfikir sekiranya berhadapan dengan sesuatu masalah, hatta masalah semudah dakwat pen habis pun tidak dapat diselesaikannya dengan kadar yang segera.


Aiyo bos! Saya pun tak tau la mana Saif pergi. Dia cakap sama saya tadi, dia pesan dia cakap saya, dia mau pergi sana belakang, sana hujung gudang sana dekat belakang.” Sahut Muthu, dengan penggunaan asas tatabahasa yang tunggang terbalik.


Tatkala telinga aku menangkap jawapan dari mulut Muthu itu, secara automatiknya aliran darah tubuhku mula berpusar di bahagian kepala. Aku mula naik angin. Saif, di antara pekerja bawahan ku, seorang pendatang dengan izin dari Bangladesh. Saif lebih tua padaku, secara adatnya, aku layak memanggilnya abang. Seorang warga Bangladesh yang tipikal, hitam, busuk, hapak, selekeh, kusut dan masai tetapi selalu mengukir sekuntum senyuman di wajah hodohnya itu. Senyuman yang kadang-kadang menyakitkan hati aku. Walaupun sebagai pendatang tanpa sebarang pendidikan formal bertaraf tinggi, Saif agak pintar. Dia pintar dalam kira-kira akaun, pengurusan dan sebagainya. Itu yang menyebabkan aku lebih mengharapkan Saif dari Muthu dalam bab pengurusan sekiranya aku tiada. Masalahnya, Saif suka menghilangkan diri ketika aku tiada.


“Sabar manusia ada pun ada batasnya. Selagi aku tak sumpah seranah mamat bangla ni, selagi tu dia semakin besar kepala. Takut lama-lama dipijaknya kepala aku.” Aku mengomel sendirian.


Teringat peristiwa petang Khamis yang lepas, tatkala aku memerlukan bantuan Saif untuk menghantar beberapa bungkusan ke bahagian eksport. Bungkusan-bungkusan tersebut perlu dihantar dengan secepat mungkin. Dan ketika itu juga lah, Saif tiba-tiba lenyap dari pandangan. Langsung tidak dapat dikesan! Akhirnya, aku sendiri yang terpaksa menghantar bungkusan-bungkusan tersebut. Aku ni penyelia! Itu bukan kerja aku!


Sebaik sahaja kelibatnya kelihatan, aku terus mengherdik sekeras-kerasnya dengan penambahan makian berunsur lucah kepada Saif. Dia langsung tidak melawan, mahupun memberi sebarang pandangan memberontak kepadaku. Cuma dibalas dengan senyuman manis dan tambahan dua patah perkataan.


Sorry bos!”


Sebaik sahaja Saif memohon maaf, lantas dia terus melakukan kerjanya tanpa sebarang perasaan gelisah mahupun gundah gulana dengan makian dan cacian yang aku berikan. Perbuatannya itu sentiasa membantutkan kemarahan aku.


Pernah sekali tu, sedang aku beristirehat di dalam pejabat, terdengar jeritan seseorang di kaunter penerimaan barangan. Jeritan seorang kakitangan berpangkat eksekutif dari jabatan jualan dan pemasaran.


“Mana pergi semua orang haa?? Makan gaji buta ka apa?? Aku nak hantar barang pun susah. Se-ekor pun tiada!”


Lantas aku mendugas ke arahnya dan meminta maaf. Mujur mulut aku manis. Pandai mengambil hati. Sebaik selesai sahaja urusan penerimaan, dan dia telah beredar pergi, darahku mula membuak-buak menggelegak. Panasnya hati aku! Sepatutnya, giliran Muthu dan Saif yang menjaga kaunter ketika itu. Selang beberapa detik, muncul kelibat Muthu dari balik pintu tandas.


Aku memarahinya.

You pergi mana tadi?? Ada barang nak masuk! Kenapa tiada orang standby di sini??”


Muthu menunjukkan raut wajah yang kasihan, diikuti jawapan ringkas tetapi ikhlas.

“Bos saya minta maaf bos. Saya tadi betul-betul mau terkencing. Betul-betul tak tahan.”


“Banyak la you punya alasan! Ni Saif hilang ke mana??” aku kembali menyergah Muthu.


“Tadi dia cakap mau pergi hujung belakang sana bos. Ada kerja sedikit.” Balasnya.


Aku betul-betul marah ketika itu. Dapat ku rasakan urat saraf di bahagian telinga ku amat panas. Aku yakin, warna telingaku bertukar kemerah-merahan dek kemarahanku. Dahulu, aku selalu diperli bekas isteriku ketika kami bertikam lidah.


“Merah sangat warna telinga kau tu bila kau tengah marah bodoh!” aku teringat kata-katanya.


Beberapa kali aku mengejapkan bibir menahan marah. Tanganku digenggam erat seolah-olah bersedia untuk menumbuk sesuatu. Aku sangat geram dengan Saif ketika itu. Dia kerap mencuri tulang! Selalu menghilangkan diri tanpaku sedari.


Waktu sibuk operasi kami tidak tentu, bergantung kepada penerimaan barang-barang. Ini menyebabkan aku mewajibkan pekerja sentiasa bersedia setiap masa di stor. Waktu bekerja di bahagian aku agak panjang, 12 jam, bermula dari 8 pagi hingga lah 8 malam. Saif suka menghilangkan diri, selalunya di hujung waktu bekerja. Geram aku! Waktu penghujung adalah waktu yang amat sibuk dengan penerimaan barang saat-saat akhir, pengiraan stok dan penutupan akaun. Tepat 8 malam, waktu bekerja dah tamat! Aku tak nak pulang lewat! Semuanya perlu diselesaikan 15 minit sebelum “tutup kedai”!


*********************


Hari ini, aku tekad! Aku ingin menyiasat apa yang selalu dilakukan Saif! Kenapa dia terlalu gemar bermukim di belakang sana. Kawasan itu kotor dan berhabuk. Jarang sekali kami menggunakan ruangan di sektor itu. Melainkan benar-benar terdesak dan kekurangan tempat simpanan. Aku tahu, prasangka di hati aku amat kuat mengatakan dia mencuri barang-barang syarikat tanpa aku sedari. Aku tahu dia bijak. Barang yang diambilnya dalam kuantiti yang sedikit, tetapi dalam frekuensi yang kerap; dan barang-barang yang diambilnya berbeza-beza tiap kali “operasi curi barang” Saif diaktifkan. Mungkin dia menyangkakan otaknya terlalu bijak, dan mengatasi akal ku.


“Kau silap Saif. Kau silap....”


Tepat 7.15 petang. Aku berpura-pura sibuk dengan urusan rasmi bagi mengaktifkan pelan penyiasatan aku.


“Muthu! Saif! Tolong tengok-tengok kan kaunter tu. Saya ada mensyuarat kecemasan. Esok pagi baru saya datang balik. Pastikan checklisttu siap hari ni juga! Saif, jangan lupa lengkapkan laporan harian tu macam biasa! Tutup semua lampu dan jangan lupa kunci semua pintu!” Pesanan tegas tipu sunat ku yang disampaikan kepada mereka. Mereka berdua mengangguk riang.


Aku langsung berjalan keluar dari pintu gudang. Sebaik sahaja melangkaui beberapa meter, terus aku menyelinap di sebalik susunan pallet yang disusun sepanjang laluan ke gudang, menyembunyikan diri dari mereka. Aku kembali memasuki gudang melalui pintu kecemasan dan terus menuju dengan berhati-hati di sebalik timbunan kotak-kotak yang terletak kira-kira 50 meter dari mereka. Aku memerhatikan gelagat mereka berdua.


Selang beberapa minit, Saif melihat sekeliling dengan pandangan yang mencurigakan. Dia seakan-akan memastikan aku benar-benar tiada. Raut wajahnya mulai gelisah. Beberapa kali dia melihat jam tangan yang dipakainya. Seminit kemudian, Saif seperti bercakap sesuatu kepada Muthu. Seperti memesan sesuatu yang mustahak, dengan nada berbisik. Aku dah agak! Ada agenda tersembunyi!


Aku lihat Saif bingkas bangun, membetulkan tali pinggang ala “komunis” yang dipakainya. Dia menukar kasut keselamatan yang dipakainya kepada sepatu buruk yang disimpan di lokar penyimpanan barang miliknya dan terus berjalan menuju ke hujung gudang. Ketika perjalanannya, aku melihat beberapa kali Saif seakan-akan menjeling ke kiri dan ke kanan, melihat barang-barang simpanan. Barangkali sedang mengenal pasti barang-barang yang bernilai untuk diseludup dan dicuri. Ataupun, bagi memastikan tiada siapa yang mengekorinya.


Aku bingkas bangun dan mengekorinya dari jarak yang selamat. Kadang-kadang perut aku yang jauh kehadapan ini menyukarkan pergerakan untuk menyelinap di sebalik celahan rak simpanan, tambahan pula, pencahayaan di bahagian hujung gudang ini tidak beberapa baik, gelap! Beberapa kali perutku tersangkut, lelah aku untuk mengempiskannya ketika melepasi celahan rak.


Aku melihat kelibat Saif terhenti di satu bahagian. Kalau tak silap, bahagian itu menyimpan bahan asas yang disimpan bagi tujuan kitar semula bagi menghasilkan penjenamaan produk yang baru. Saif tunduk dan menghulurkan tanggannya di celahan kotak-kotak, seperti menggapai sesuatu dan mengeluarkan satu beg plastik hitam yang telah digulungkan sebesar buang nangka madu. Prasangka aku tepat sekali! Dia menyeludup sesuatu! Firasat aku menyatakan dia mengumpul wayar-wayar buangan dan menjualnya tanpa kebenaran aku.


Okay, tak apa..aku nak tengok apa lagi akal kau bangla laknat. Apa lagi jenayah yang kau lakukan syaitan!” bisikku di dalam hati.


Aku melihat Saif mengepit beg plastiknya itu dan berjalan menuju ke penjuru gudang. Dia membuka beg plastik yang dibawanya dan mengeluarkan sebotol air mineral. Lalu Saif berdiri berhampiran longkang di sebalik sebuah rak buruk. Aku mendengar bunyi air dicurahkan, mungkin dari botol yang dibawanya. Beberapa kali bunyi air dicurahkan kedengaran. Aku tidak dapat melihat dan mendengar dengan jelas apa yang dilakukannya, terlindung dengan susunan kotak. Tambahan lagi dengan keadaan gudang yang suram, kurang pencahayaan dan langit di luar pun yang dah hampir gelap. Di samping itu, aku risau sekiranya aku bergerak lebih hampir, khuatir kehadiranku disedari “Bangla” anak haram jadah itu. Sedikit sebanyak, perasaan hairan mula menyelinap di hatiku.


“Apa yang dia tengah lakukan tu?”


Nyettt..Nyettt..Nyettt..Nyettt..Nyettt...


Bunyi yang terhasil daripada geselan sepatu dan kaki Saif akibat basah. Aluan irama bunyi itu memberi sedikit rasa humor kepadaku. Aku memerhatikan telatah Saif. Selang beberapa langkah, dia berhenti dan menggapai sesuatu di bawah rak. Beberapa keping kotak kosong dikeluarkan. Saif menghamparkan kepingan kotak yang telah dilipat cantik itu. Dia membuka sepatu buruk miliknya, berdiri di atas kotak, dan mengeluarkan dan memakai kopiah lusuh dari beg plastik yang dibawanya tadi.


Aku tergamam!


Saif berdiri tegak, mengambil posisi dan terus mengangkat takbiratul ihram.


“Allahhuakhbar”.


Aku tergamam lagi! Terkedu beberapa ketika! Ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan aku! Mulut aku terkunci. Aku tidak mampu berkata hatta berfikir apa-apa pun ketika itu. Mahupun beristighfar. Aku hanya diam membisu. Hanya satu perkara yang terdetik di fikiranku. Itu pun aku tidak pasti apakah yang bermain di fikiranku ketika itu. Langsung tidak tahu! Lututku lemah. Hampir-hampir aku terduduk. Aku mengangkat tanganku dan melihat teliti kedua-dua tapak tangan ku. Tiba-tiba aku terfikir,


“Bila kali terakhir aku solat?”


Aku mengangkat kaki kananku sedikit dan memerhatikan kasut kulitku. Aku melihat seluar hitam ku yang nampak kemas dan bersih.


“Bila kali terakhir aku sujud?”


Persoalan yang aku sendiri pun tidak tahu apakah jawapannya.


Aku terus beredar pergi dengan langkah yang berat. Sangat berat. Aku langsung tidak sedar apa yang aku lakukan ketika itu, apa yang aku fikirkan. Hanya gerak tubuhku yang bergerak secara automatik. Aku terhenti di satu sudut, dan terus duduk tersandar di dinding gudang.


Aku terus menangis! Air mata aku berjujuran dengan lajunya. Ketahuilah kalian semua, aku tidak pernah menitiskan air mata sebanyak itu, setitik pun aku tidak menangis ketika kematian ibuku.


Islam kah aku?


TAMAT.




Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku