Marionette Merah
Bab 0
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 17 Januari 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
294

Bacaan






Pertengahan Mac, 2280
Kuala Lumpur
Sektor 17

   
Bau hanyir darah memenuhi udara, menenggelamkan bau hujan yang turun dengan renyai. Titisan-titisan hujan yang membasahi bumi membawa darah segar mengalir bersama hingga ke dalam longkang besar, di sebelah makmal penyelidikan kecil Sektor 17 yang sedang marak disambar api.
   
Seorang gadis berambut merah asyik menatap ke arah langit malam gelap tanpa cahaya bulan dan bintang. Baju putihnya yang labuh mencecah lutut dipenuhi dengan tompok-tompok merah. Kedua-dua tangannya pula menggenggam erat dua bilah pedang panjang warna hitam. Tubuh belasan tahunnya dikelilingi mayat-mayat bergelimpangan yang memakai baju kalis peluru dan seluar celoreng. Ada di antara mereka yang sudah putus kepalanya. Senjata-senjata mereka turut bertaburan di kawasan sekeliling.
   
Tertarik dengan hujan yang turun, gadis itu membuka mulutnya, membiarkan titisan-titisan hujan meluru masuk ke dalam tekak. Setelah puas, dia menutup mulut kembali.

“Hujan…” ujarnya perlahan. Ruangan otaknya memproses maklumat yang diterima. “Air hujan…” katanya lagi.
   
Satu senyuman diberi kepada sang langit.
   
“Langit malam. Langit malam warna hitam. Langit malam sangat indah.” Sekali lagi maklumat itu diproses masuk ke dalam kotak memori.
   
“Ha…hahahahahaha!” Gadis itu tiba-tiba ketawa dengan kuat. Suaranya bagaikan vokal kepada muzik yang terhasil daripada bunyi percikan api yang menyambar bangunan dan manik-manik yang membasahi sang Bumi.
   
Gadis itu ketawa sehingga tekaknya terasa sakit. Suaranya juga sudah berubah serak. Dia akhirnya terbatuk-batuk.
   
“Tak boleh ketawa kuat. Tekak sakit.” Dia memberitahu dirinya sendiri.
   
Hujan sudah beransur-ansur pergi. Mata si gadis memandang kawasan hutan di hadapan. Dengan hanya berkaki ayam, dia memijak tubuh-tubuh tanpa nyawa di situ, untuk menghampiri kawasan hutan.
   
Kala itu, sayup-sayup terdengar siren daripada trak tentera. Si gadis segera menghentikan langkahnya. Dia berpaling ke belakang.
   
Bunyi siren dan geseran tayar trak ditangkap jelas oleh telinga. Otak si gadis kini mengira-ngira jarak trak tersebut dengan kedudukannya.
   
Si gadis memusing kepala ke hadapan, menatap ke arah hutan kembali.
   
Dengan sepantas kilat, kakinya berlari laju ke dalam hutan, merentasi pokok-pokok tinggi di kiri dan kanan, jauh meninggalkan makmal penyelidikan yang sudah hangus terbakar.    

Makmal penyelidikan yang menjadi rumahnya selama 3 tahun.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 0 | Bab 1 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku