Buah Hati Cik Sarimah
Bab BAB 20
Maa
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Januari 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1555

Bacaan






BAB 20

SARIMAH  Aisya dan Ain Nisak baru sahaja melangkah masuk ke dalam pejabat. Puan Haslinda yang berada di tempatnya terus memandang wajah kedua-dua gadis itu.

“Amboi... cantiknya kamu Nisak hari ni. Kak Lin pun dah confuse yang mana satu Sarimah, yang mana satu kamu,” puji Puan Haslinda sambil memandang penampilan Ain Nisak yang sudah berhijab.

“Kak Lin ni. Seganlah macam ni,” ujar Ain Nisak, mencebik dan tersipu malu.

“Eh, nak segan apanya. Betullah, cantik Kak Lin tengok,” ujar Puan Haslinda, tersenyum.

Pandangannya dialihkan pula ke arah Sarimah Aisya yang tidak lekang mengukir senyuman di wajahnya. Puan Haslinda mengerutkan dahi.

“Kenapa muka kamu nampak lain aje hari ni, dik? Macam bengkak aje Kak Lin tengok,” soal Puan Haslinda.

“Bengkak? Tak adalah Kak Lin, maybe tak cukup tidur agaknya. Tu yang sembap sikit,” nafi Sarimah Aisya.

Dia berpura-pura tidak menyedari wajahnya yang nampak ketara lain dari kebiasaannya. Dia cepat-cepat mengambil tempat duduk bersebelahan meja Ain Nisak. Ain Nisak mengerutkan dahi dengan jawapan sahabatnya itu.

“Eleh, yalah tu tak cukup tidur,” sampuk Ain Nisak.

“Kamu buli dia ya, Nisak?” soal Puan Haslinda, tersenyum nakal mengusik Ain Nisak.

Dia bangun menuju ke arah Ain Nisak yang masih berdiri di hadapan meja Sarimah Aisya untuk memastikan apa yang dilihatnya benar.

“Hisy, Kak Lin ni! Sikit-sikit Nisak buli. Ada pulak macam tu. Sebenarnya...” ujar Ain Nisak, ingin memberitahu perkara sebenar walaupun sebelum ke pejabat tadi Sarimah Aisya sudah berkali-kali berpesan supaya merahsiakan perkara yang berlaku semalam.

Sarimah Aisya mengerutkan muka ke arah Ain Nisak sebagai isyarat menyuruhnya berhenti bercakap. Tiba-tiba Ain Nisak terus terdiam setelah melihat Razin Aniq melangkah tergesa-gesa masuk ke dalam pejabat. Puan Haslinda juga turut memandang ke arah lelaki itu.

“Eh, Razin! Kejap, kejap!”

Terhenti langkah Razin Aniq mendengar suara Puan Haslinda. Wajahnya dipalingkan. Muka Sarimah Aisya tepat berada di pandangannya. Ain Nisak dan Puan Haslinda hanya memerhati.

“Apa benda? Tak boleh ke masuk ofis saya dulu baru cakap?” tegas Razin Aniq.

“Tak, Kak Lin perasan muka kamu pun nampak macam bengkak jugak macam Sarimah. Kamu dua ni bertumbuk ke apa?” soal Puan Haslinda, sengaja bergurau.

Ain Nisak yang masih geram dengan Razin Aniq juga hampir tergelak mendengar andaian Puan Haslinda. Sarimah Aisya terkejut dengan kata-kata gurauan Puan Haslinda. Dia mengetap bibir. Bimbang jika Razin Aniq akan melenting.

“Buang tabiat ke apa Kak Lin ni? Kalau saya bertumbuk dengan minah ni, tak hiduplah dia sekarang. Tu pun baru sikit dah pengsan separuh mati.” Suara Razin Aniq meninggi.

Dia menjeling ke arah Sarimah Aisya dan terus berlalu pergi. Sebelum masuk ke dalam pejabat, dia sempat menegur Puan Haslinda.

“Yang Kak Lin menempek kat meja dia orang tu apa hal? Dah tak ada kerja nak buat?”

Puan Haslinda yang mendengar lantas berjalan melenggang ke arah ruangan kerjanya semula sambil tersengih. Razin Aniq menghempas pintu bilik pejabatnya setelah melangkah masuk ke dalam bilik itu.

“IMAH, jomlah balik. Letihlah. Nak masak ke nak beli aje kat bazar Ramadan hari ni?” soal Ain Nisak, merungut keletihan.

Matanya memandang sekeliling. Hanya tinggal mereka berdua di ruangan itu.

“Kejap. Sikit aje lagi. Kejap ya? Rasanya tak sempat nak masak. Kita beli ajelah, ya Nisak?” jawab Sarimah Aisya.

Jari-jemari Sarimah Aisya ligat menekan huruf-huruf di atas papan kekunci.

“Okey. Beli pun belilah, janji dapat makan. Alah Imah, lambat lagi ke? Jomlah pergi bazar. Ambil mood berbuka ni,” rengek Ain Nisak bagaikan anak kecil.

“Iya, iya, dah siap ni. Kejap, nak kemas meja dulu,” ujar Sarimah Aisya.

“Yalah, yalah. Cepat Imah, cepatlah,” gesa Ain Nisak sambil menarik-narik tangan Sarimah Aisya.

“Ya ALLAH, sabarlah. Kan tengah kemas ni,” ujar Sarimah Aisya, cepat-cepat mengemaskan mejanya.

Ketika mencapai beg tangan, tiba-tiba terdengar suara lelaki memekik namanya.

“Sarimah!” panggil Razin Aniq sambil menjengul di tepi pintu biliknya.

Sarimah Aisya dan Ain Nisak yang terkejut masing-masing memandang ke arah lelaki itu.

“Ya Encik Razin, ada apa?” soal Sarimah Aisya.

“Masuk bilik aku,” arah Razin Aniq sambil menghempas pintu bilik.

“Alah Imah, tak naklah. Tak payahlah. Dah habis waktu pejabat, kan? Dia nak buat apa lagi? Hisy!” rungut Ain Nisak.

“Nisak, kejap ya? Maybe ada kerja penting yang Encik Razin nak bagi. Tunggu kejap tau, kejap aje,” pujuk Sarimah Aisya sambil menggenggam lembut tangan Ain Nisak yang sudah masam mencuka.

“Imah, orang nak baliklah. Nak pergi bazar ni,” rengek Ain Nisak lagi.

“Sarimah! Kau pekak ke apa?” jerit Razin Aniq lagi sambil menjengul ke arah mereka.

“Nisak, janganlah macam ni. Kejap aje okey? Kau tunggu kejap ya,” ujar Sarimah Aisya, cuba memujuk lembut.

“Hmm... yalah. Pergilah kat buah hati kau tu,” ujar Ain Nisak, menarik muka.

“Alahai... kau aje buah hati aku. Tunggu tau. Aku jumpa Encik Razin kejap,” ujar Sarimah Aisya, kemudian bergegas menuju ke bilik pejabat Razin Aniq.

Ain Nisak duduk semula di tempatnya sambil menunggu sahabat baiknya kembali.

Pintu bilik pejabat diketuk seperti kebiasaannya sebelum memasuki bilik pejabat Razin Aniq. Setelah diarahkan masuk, barulah Sarimah Aisya melangkah ke dalam bilik itu.

“Ada apa, Encik Razin?”

“Kemas meja aku,” arah Razin Aniq, selamba.

“Hah?”

Sarimah Aisya terkedu seketika.

“Apa hal? Tak nak kemas?”

“Tak, bukan...bukan macam tu, Encik Razin. Tapi...” jawab Sarimah Aisya, teragak-agak.

Serba salah dia memikirkan Ain Nisak yang sedang menunggunya di luar.

“Kemas semua ni,” ujar Razin Aniq sambil menepis semua dokumen dan kertas yang ada di atas meja hingga berselerak jatuh ke bawah.

Sarimah Aisya terkejut melihat kelakuan Razin Aniq. Ternyata lelaki itu sengaja berbuat begitu. Tetapi kenapa? Razin Aniq masih berdendamkah dengan dia? Fikirnya pelik.

Sarimah Aisya tidak menjawab dan hanya menuruti arahan Razin Aniq walaupun ketika ini fikirannya memikirkan Ain Nisak. Dia membongkokkan badan lalu mengutip satu per satu dokumen dan kertas yang berterabur di atas lantai dengan secepat mungkin. Razin Aniq pula memang sengaja menguis kertas-kertas yang berada di atas lantai dengan kakinya bagaikan mempermainkan Sarimah Aisya.

Perempuan ni yang kau nak sangat, Ziyad. Memang silaplah orang yang kau sayang tu ada dengan aku. Silap besar, Ziyad. Silap besar, bisik Razin Aniq dalam hati. Bibirnya mengukir senyuman jahat sambil pandangannya memerhati Sarimah Aisya yang masih mengutip barang-barang yang berselerak di atas lantai.

Razin Aniq mencapai sebatang pen dari bekas pen yang berada di atas meja. Dia melemparkan pen itu tepat ke kepala Sarimah Aisya. Tersentak sebentar gadis itu lantas memandang ke arahnya dengan pandangan hairan.

“Tengok apa? Tak puas hati?” soal Razin Aniq, kasar.

Sebatang pen lagi dilemparkan tepat mengenai kepala Sarimah Aisya. Sarimah Aisya hanya menahan dengan tangan.

“Encik Razin,” ujar Sarimah Aisya.

Sebatang lagi pen menghentam kepalanya. Makin seronok pula Razin Aniq berbuat demikian. Sarimah Aisya hanya menghadang dengan tangan melayani kerenah Razin Aniq yang berkelakuan seperti kebudak-budakan itu.

“Encik, encik, please... jangan buat macam ni,” ujar Sarimah Aisya, merayu.

Namun, Razin Aniq masih melontarkan apa sahaja yang ada di hadapannya. Kotak tisu pun turut dicapainya dan dilemparkan ke muka Sarimah Aisya. Mujurlah Sarimah Aisya sempat menampan dengan tangannya.

Tiba-tiba, Razin Aniq ketawa berdekah-dekah melihat reaksi Sarimah Aisya terhadap kelakuan nakalnya itu. Dia seperti bahagia dapat melihat gadis itu bagaikan orang bodoh yang sedang dipermainkannya ketika ini.

Waktu bagaikan terhenti seketika ketika mendengar Razin Aniq ketawa. Sarimah Aisya terpana bagaikan tidak percaya. Selama ini, hanya riak wajah serius yang dipamerkan Razin Aniq. Senyuman pun tidak pernah dilihat apatah lagi mendengar lelaki itu ketawa. Hatinya bagaikan disentuh suara gelak ketawa Razin Aniq. Sarimah Aisya terdiam melihat wajah yang telah menggetarkan perasaannya saat ini.

Razin Aniq yang menyedari reaksi pelik Sarimah Aisya terus terdiam. Dia turut terkejut dengan reaksi spontannya tadi yang menggelakkan perempuan itu. Rasanya seperti sudah lama dia tidak merasai perasaan senang hati sebegini. Sudah lama dia tidak bergelak ketawa seperti ini, apatah lagi di hadapan perempuan. Perasaannya kian bercampur baur. Malu juga ada.

“Kau boleh pergi sekarang,” arah Razin Aniq, cuba mengawal perasaan malu di hadapan Sarimah Aisya.

Sarimah Aisya yang masih tergamam hanya tercegat memandang Razin Aniq.

“Woi! Keluarlah!” jerkah Razin Aniq.

Sarimah Aisya tersentak lalu melepaskan beberapa helai kertas yang dikutip tadi dari tangannya. Helaian-helaian itu melayang-layang dan jatuh semula ke atas lantai.

Sarimah Aisya menundukkan wajah tanda meminta diri. Dia seperti baru tersedar daripada khayalan lantas mengatur langkah keluar meninggalkan Razin Aniq sendirian di dalam bilik pejabat. Situasi di dalam bilik pejabat tadi janggal sekali baginya. Lemah longlai terasa kakinya melangkah menuju ke arah Ain Nisak.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku