M.U.R.A.D 007
Bab 6.3
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Januari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
396

Bacaan






Petang itu.

Siti Zulaikha memerhati gerak-geri ayahnya. Haji Salleh bersiap-siap memasukkan pakaian berlipat ke dalam beg plastik biru diperhatikan Hajah Rokiah. Gadis itu tunduk seketika, memandang jari kakinya, namun fikirannya tidak di situ. Dia tahu, ayahnya tentu mahu ke dusun malam ini, dan mungkin dua tiga hari lagi barulah dia akan pulang.

“Abang, pakailah beg galas ini... barulah nampak kemas...,” Hajah Rokiah menegur lembut tatkala melihat kecenderungan suaminya menggunakan beg plastik yang sudah agak lusuh itu.

“Tak apa... tak apa..., bukan hendak ke mana pun...,” balas Haji Salleh.

Siti Zulaikha mengetap bibir. Matanya tunak pada orang tua yang amat sederhana itu. Hatinya bergetar tiba-tiba. Khuatir sungguh dia jika keikhlasan ayahnya itu dikhianati orang!

Hajah Rokiah mengalah tatkala mendengar jawapan suaminya. Dia melepas keluhan kecil, lalu mengalih perhatian pada anaknya. “Zulaikha... bekalkan ubi rebus pada ayah,” suruh ibunya, tenang. Wanita berwajah jernih itu sudah menerima suaminya sekadaran. Walau sering ditinggalkan, dia tidak sesekali mengeluh. Dirinya amat faham, suami yang dikasihi pergi untuk mengenali hakikat kejadian diri.

“Buatkan dua bekalan, Siti Zulaikha...,” pinta Haji Salleh, menambah. “Bungkusan ayah, kamu letak seketul sudahlah. Bungkusan Umar, letak lebih... dia perlu tenaga untuk pulih... .”

Gadis itu mengetap bibir lebih rapat lagi. Tiba-tiba sahaja nafasnya sendat, tika mengenangkan bagaimana ayahnya sangat ikhlas dengan orang yang tidak diketahuinya dari mana asal usulnya.

Gadis itu menghayun langkah ke dapur. Sambil mengerling kedua orang tuanya sekilas, tangannya lincah mencari dua bekas plastik berpenutup. Ubi kayu rebus berwarna kuning jernih itu telah disejat ibunya. Dia mengambil seketul ubi sebesar genggamannya, lalu diletakkan dalam bekas pertama. Tidak berani diletakkan lebih. Sejak kebelakangan ini, ayahnya memang kurang makan kerana mahu melatih rohani.

Sambil mengeluh kecil, dia memasukkan empat ketul ubi ke dalam bekas ke dua. ‘Orang muda tentu mahu makan banyak,’ hatinya berkira-kira. Dia mengangguk sendirian, seperti sedang berbicara dengan dirinya sendiri.

Tangan lincahnya cepat membuka tudung pengukus, lalu disenduknya kelapa parut yang sempat dikukus ibunya. Sendukan pertama dimasukkan dalam bekas ayahnya. Tersenyum dia. Tidak dapat dinafikan bagaimana nikmatnya makan ubi kayu rebus yang masih panas dan gebu bersama kelapa muda yang lemak manis. Dia menelan liur.

Namun, tatkala menyenduk kelapa ke dalam bekalan Umar, dia tiba-tiba mengetap giginya. ‘Nanti kau... jangan fikir tiada sesiapa yang perhatikan engkau!’ desis hatinya, memberi amaran di angin lalu.

Tanpa teragak, dia membuka bekas garam. Nantilah kau... Umar!




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku