SERAM : ADAM
Bab 5
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 Januari 2017
Penilaian Purata:
(14 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
998

Bacaan






BAB 5

“Mak…Biarlah Adam yang cuci kan pinggan ni untuk mak. Mak rehatlah dah pukul berapa dah ni” ujar Adam apabila terlihat maknya mahu membasuh pinggan pada malam itu.

“Betul ke ni?” soal Mak Mah pelik. Dia melihat anaknya itu atas bawah.

“Lah betullah. Orang ikhlas nak bantu mak ni. Buat macam Adam tak pernah basuh pinggan pula” gumam Adam dengan wajah monyok yang dibuat-buat itu.

“Mak bukan apa Adam. Selepas kamu balik daripada surau tadi kamu diam je. Kenapa nak? Kalau ada apa-apa masalah, ceritalah pada mak. Jangan buat mak runsing, Adam” soal Mak Mah yang sudah tidak tahan apabila melihat perubahan dalam diri anaknya sejak kebelakangan ini.

“Mak tak payah risaulah. Adam okay…” balas Adam cuba menenangkan jiwa ibunya. Mak Mah hanya mampu berdiam diri jika itu yang dikata anaknya.

“Mak pergi naik atas. Mak jangan risau, Adam okay je” ujar Adam sambil mengusap lembut tangan ibunya. Akhirnya, Mak Mah akur lalu naik ke atas rumah meninggalkan Adam seorang diri di dapur.

Sedang Adam leka mencuci pinggan, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi sesuatu di balik semak di belakang rumahnya. Kebetulan ketika itu, tingkap berhadapan dengan singki terbuka sehingga membolehkan Adam untuk melihat ke luar sana. Adam mengecilkan matanya untuk memfokuskan penglihatannya. Di balik pokok rambutan yang ditanam maknya di belakang rumah, Adam ternampak satu figura yang sedang berdiri tegak menghadap ke arahnya. Figura itu berbungkus kain putih yang sudah kusam warnanya. Terdapat bunjut kecil di atas kepalanya manakala wajahnya yang terdedah pucat tidak berdarah seperti orang mati. Adam mengamati ‘benda’ itu. Tanpa Adam menduga, kedua-dua kelopak mata ‘benda’ itu terbuka dan menjegil ke arahnya.

PRANG!!!

“Ya ALLAH!”

Adam jatuh terduduk sambil matanya tidak lepas memandang tingkap yang terbuka itu. Pinggan yang dipegangnya tadi pecah menghempas lantai akibat terkejut.

“Astaghfirullah hal azim! Adam!!”jerit Mak Mah dari atas rumah lalu mendapatkan Adam yang jatuh terduduk di atas lantai dapur. Kelihatan wajah Adam bertukar pucat dan seperti ketakutan selepas melihat sesuatu.

“Kamu ni dah kenapa Adam? Okay ke tak ni?” soal Mak Mah sambil mengusap rambut anaknya itu.

Nafas Adam mula tercungap-cungap. Jiwanya mula menjadi kacau. Dengan tangannya yang menggeletar, Adam menuding jari ke arah tingkap yang terbuka di hadapannya itu.

“Ad…ada ‘benda’ kat…kat luar sana, mak!”ujar Adam dengan suara yang terketar-ketar. Melihatkan Adam yang asyik melihat ke arah tingkap, Mak Mah bangkit berdiri untuk mengintai ke luar tingkap.

“Benda? Benda apa? Mak tak nampak apa pun!” balas Mak Mah setelah melihat keadaan di belakang rumahnya. Sepi saja. Tiada benda yang mencurigakan pun pada pandangan mata kasarnya.

“Ada…Kat belakang pokok rambutan tu mak” ujar Adam lagi.

“Tak ada, Adam. Mak tak nampak apa pun” ujar Mak Mah yang semakin risau dengan keadaan Adam. Lantas, Mak Mah menutup tingkap dapur lalu mendapatkan anaknya yang masih dibelenggu ketakutan. Dia tidak tahu apa yang dilihat oleh anaknya. Tetapi dia tahu ada sesuatu yang sedang terjadi pada anaknya tanpa pengetahuannya.

“Dah, tak ada apa yang nak dirisaukan. Adam pergi masuk bilik, tidur. Mak tahu anak mak letih sebab tu nampak benda yang bukan-bukan kan?” ujar Mak Mah cuba membuang rasa takut yang sedang menguasai diri anaknya. Adam terus bangun daripada duduknya lalu berjalan longlai masuk ke dalam biliknya tanpa menghiraukan maknya lagi.

Setelah masuk ke dalam bilik, Adam termenung. Nafasnya yang seketika tadi laju dan tak menentu, mula beransur-ansur lega. Adam terus berdiri di hadapan cermin sambil memandang dirinya.

‘Apasal sejak kebelakangan ni aku selalu ternampak benda-benda yang macam tu? Apa yang dah jadi pada diri aku?’ soal Adam dalam hati sambil melihat wajahnya di cermin kembali. Alangkah terkejutnya Adam apabila kepulan asap yang keluar daripada belakang tubuhnya perlahan-lahan bercantum menjadi seekor harimau hitam yang dilihatnya Maghrib semalam. Menyeringai makhluk itu membuatkan Adam terpaku menunggu apa yang akan jadi.

Tetapi kedatangan Mak Mah ke biliknya membuatkan Adam berasa tersentak. Makhluk tadi terus lesap daripada pandangannya.

“Adam? Kamu tertinggal kunci motor kamu dekat ruang tamu tadi” ujar Mak Mah lalu menyerahkan kunci itu pada anaknya. Namun, Adam tidak menghiraukan Mak Mah. Matanya asyik terpandang cermin dan di atas katil di mana ‘benda’ tu bertenggek seketika tadi. Mak Mah yang perasan dengan kelakuan Adam berkerut dahi.

“Adam? Kamu okay ke tak ni? Beritahu mak kalau kamu ada masalah, nak…”ujar Mak Mah sambil mengusap bahu anaknya itu.

“Tak ada apalah mak. Cuma…”

“Cuma apa?”

“Malam ni Adam nak tidur dengan mak, boleh?”rengek Adam sambil tersengih manja. Cuba untuk menyembunyikan riak wajah yang mula pucat.

Tanpa syak wasangka, Mak Mah lantas tersenyum bila mendengarkan permintaan itu.

“Eeee…Manja sungguh kamu dengan mak kan?”ujar Mak Mah lalu mencubit pipi anaknya. Adam mengadu sakit sambil menenyeh pipinya yang mula terasa pijar.

“Mak ni sakitlah…Orang serius ni mak”

“Yelah, yelah! Jom tidur. Dah pukul berapa dah ni. Esok hari Sabtu kan? Esok kamu kena bantu mak buat nasi lemak jual kat warung Pak Mat tau” kata Mak Mah lalu berjalan keluar daripada bilik anaknya.

“Thanks mak! Ni yang buat Adam makin sayang kat mak” ujar Adam sambil memeluk belakang tubuh maknya.

“Sudah, sudah! Mari tolong mak hampar toto kat ruang tamu. Dalam bilik mak panas, takut kamu tak selesa tidur pula nanti” bebel Mak Mah lalu menghilangkan diri di dalam biliknya.

Setelah memastikan ibunya di dalam bilik. Adam kembali masuk ke dalam biliknya lalu membuka almari kayu yang masih kukuh itu. Dengan penuh kekalutan, Adam mengambil sehelai kain pelekat sambil menyahut panggilan maknya.

“Ya mak. Kejap, kejap!”

Adam lekas menutup cermin itu dengan kain pelekat sebelum pergi mendapatkan maknya.

***

Adam terjaga dari tidurnya apabila badannya terasa panas secara tiba-tiba. Lantas Adam bangun daripada pembaringan dan duduk bersila saja. Peluh yang menyembur di dahinya di kesat dengan hujung lengan bajunya. Setelah itu dia memandang pula kipas meja yang berada di sisinya. Ada terus mengeluh apabila melihat kipas itu tidak berjalan.

“Patutlah panas!” gerutu Adam lalu menekan butang kelajuan yang paling maksimum pada kipas meja itu. Walaupun kipas dibuka nombor tiga namun panasnya masih belum hilang. Dikibas-kibas pulak kolar leher bajunya sebelum Adam bangkit dari duduk.

“Panasnya!” marah Adam sambil berjalan mundar-mandir sementara tangannya mengibas ke arah lehernya bagi menghilang rasa rimas akan keadaan itu.

Sedang dia mundar-mandir Adam terlihat maknya yang sedang baring tidak jauh daripada tempat tidurnya. Nyenyak saja wajah tua itu tidur manakala dia pula berasa panas dan tidak selesa. Sedang dia asyik mengeluh dengan kepanasan yang melanda dirinya, tiba-tiba telinganya terdengar bunyi sesuatu terjatuh di dapur. Lantas kepalanya di jengukkan ke arah dapur yang gelap. Nasib baik maknya tidak tutup lampu di bilik air, tidaklah gelap sangat dapur rumahnya.

Sebelum dia ke dapur sempat dia mengerling jam yang tergantung di dinding.

3 pagi.

Dengan langkah yang perlahan, Adam mendekati ambang yang menghubungkan ruang dapur dengan ruang tamu rumahnya. Dilihat setiap sudut dapur itu untuk mencari dari manakah punca datangnya bunyi bising itu. Lantas matanya tertangkap gelas plastik yang terjatuh daripada tempatnya.

Adam tersenyum sinis lalu menggeleng kepalanya. “Macam manalah benda ni boleh jatuh?” omel Adam sebelum meletakkan kembali gelas itu ke raknya semula. Sebaik sahaja gelas itu diletakkan perhatian Adam terus terarah kepada pintu bilik air yang terkuak sedikit. Bunyi keriut kedengaran jelas di corong telinganya membuatkan perasaan Adam mula berasa tidak enak.

Adam menguak sedikit daun pintu bilik air dan menjenguk setiap sudut bilik air itu namun tiada apa yang mencurigai.

Tiba-tiba Adam tersentak apabila dia terasa ada sesuatu kelibat melintas di belakangnya. Lantas Adam menoleh ke belakang dengan nafas yang mula tidak teratur. Adam mula tidak betah duduk lalu membawa diri untuk terus ke tempat tidurnya. Dipanjat tangga dapur perlahan-lahan sebelum telinganya terdengar lagi bunyi sesuatu. Perlahan-lahan Adam menoleh ke belakang dengan rasa cuak.

Lampu tandas yang mulanya cerah tiba-tiba berkelip-kelip seolah-olah sedang di main oleh seseorang. Tak lama kemudian lampu tandas terpadam. Gelap mula menguasai seluruh pandangan Adam. Namun, mata Adam bagaikan terpaku ke arah tandas tersebut. Tanpa Adam duga, sepasang mata merah saga muncul di dalam kegelapan membuatkan mata Adam terus terbeliak.

“ARGHHH!!!”jerit benda itu sehingga menghasilkan angin yang kuat.

PANG!!!!

Pintu bilik air terus terhempas dengan kuat membuatkan Adam terkejut. Pantas Adam mendaki tangga dapur lalu menuju ke tempat tidurnya. Terketar-ketar Adam menarik selimut hingga ke kepala sebelum menggeletar di bawah selimut membaca surah apa yang di ingatinya.

***

TEPAT pada jam 5 pagi, Adam sudah dipaksa celik mata oleh Mak Mah untuk menyiapkan nasi lemak. Mak Mah tersenyum melihat gelagat Adam yang asyik tersengguk-sengguk saja dari tadi.

“Pergilah basuh muka kamu tu Adam. Nanti hilanglah kantuk kamu tu” ujar Mak Mah yang sedang memotong bawang untuk dijadikan tumisan untuk sambalnya nanti.

“Malas lah mak. Tak larat arr…”balas Adam dengan suara serak-serak basah. Dia bersandar pada kerusi sambil tangan kirinya menepuk nyamuk yang cuba menghisap darah di lengan kanannya.

“Mak dengar semalam macam ada orang pergi dapur. Kamu ke pergi semalam?” soalan Mak Mah membuatkan Adam tersentak. Tiba-tiba dia teringat akan kejadian malam tadi.

“Errr… Mak salah dengar kut?” alih Adam lantas ekor matanya tertumpu pula pada pintu bilik air yang tertutup rapat itu.

“Hmm, mungkin kut? Adam? Daripada kamu duduk tengok saja. Cuba ambil daun pisang yang mak dah kerat ni, basuh. Pastu lap dengan kain bersih ni. Senanglah kerja mak nanti”

“Malaslah mak…”rengek Adam, manja. Dalam masa yang sama cuba menghalau peristiwa semalam daripada terus melekat pada ingatannya.

“Tak payah nak manja sangat. Kata nak tolong mak kan? Cepat basuh. Dah pukul berapa dah ni” marah Mak Mah sambil menggelengkan kepala melihat sikap Adam yang liat sungguh nak bangun daripada duduknya.

“Yelah, yelah. Mak ni selalu beleter…”rungut Adam pula lalu berjalan ke arah singki.

“Mana nya mak tak beleter. Kamu seorang je yang mak ada” balas Mak Mah pula. Adam pula tersengih kecil. Keadaan jadi sunyi kembali. Namun, batuk Mak Mah yang semakin lama semakin kuat membuatkan Adam kasihan.

“Mak… Adam nak tanya sikit boleh?”soal Adam sambil membasuh daun pisang itu.

“Kamu ni tanya jelah. Macam tak biasa pula” ujar Mak Mah.

Setelah selesai membasuh semua daun pisang, Adam lantas menutup pili singki lalu membawa semangkuk daun pisang ke tempat duduknya kembali.

“Mak sampai bila kita nak hidup macam ni?”soal Adam sambil mengelap setiap helaian daun pisang dengan cermat. Mak Mah yang sedang memotong bawang, berhenti apabila anaknya mengajukan soalan sebegitu kepadanya.

“Kenapa? Kamu dah tak tahan hidup macam ni dengan mak?” kata Mak Mah sambil merenung anak mata Adam.

“Mak…Bukan tu maksud Adam. Cuma sampai bila mak? Adam tak sanggup tengok keadaan mak. Mak tu dah tua. Sejak kebelakangan ni mak asyik sakit je. Kalau macam ni biar Adam je berhenti belajar” luah Adam sambil menatap sayu wajah maknya.

“Selagi kudrat mak mampu, selagi tu mak akan bekerja keras demi nak cari duit. Tugas Adam hanya belajar dan belajar. Cuma itu yang mak nak” dingin saja suara Mak Mah pada pendengaran Adam.

“Tapi mak..”

“Kalau Adam sayangkan mak. Ikut cakap mak” pintas Mak Mah sebelum bangun dari duduknya untuk melihat nasi yang sudah di masaknya. Adam hanya mampu mengeluh dan meneruskan kerjanya sehinggalah azan Subuh berkumandang.

***

Pada pagi itu, tiada seekor burung pun berkicauan. Sunyi dan sepi. Itulah keadaan kampung Tanjung Jagat. Kampung yang terletak jauh pendalaman daripada riuh-rendah di kota. Tidak ramai penduduk di sini kerana semuanya sudah berpindah ke kota. Jadi tak hairanlah kalau tempat ni boleh di katakan mempunyai kisah seram yang sudah terjadi sejak dari dulu lagi. Tambahan lagi menjelang waktu malam. Mulalah ‘benda-benda’ tu keluar mencari mangsanya. Dan kampung ni selalu juga menjadi port kepada mereka-mereka yang kaki hisap ganja dan juga sepupu sepapat dengannya.

Adam menghirup udara yang segar pada pagi itu. Suasana sawah padi yang begitu menghijau benar-benar memukau pandangannya. Tak lama kemudian, Adam sampai ke warung Pak Mat untuk menghantar nasi lemak maknya.

“Assalamualaikum? Pak Mat?” ujar Adam memberi salam apabila kelibat Pak Mat tidak terlihat pada mata kasarnya.

“Waalaikumussalam. Sat, sat!” sahut Pak Mat dari dapur. Terjengul wajah Pak Mat untuk melihat siapa yang datang.

“Ouhh kau ke Adam. Mana mak kau?”soal Pak Mat sambil menyambut bakul berisi nasi lemak dari Adam.

“Mak tak sihat sikit hari ni. Tu yang saya hantar nasi lemak ni” jawab Adam. Agak kekok pula apabila berhadapan dengan Pak Mat.

“Haa baguslah kalau macam tu. Ringanlah sikit beban mak kau tu. Nanti petang kau datang ambil duit” ujar Pak Mat dan Adam hanya tersenyum tawar saja.

“Saya pergi dulu ya Pak Mat. Assalamualaikum” belum sempat Adam hendak melangkah pergi tiba-tiba Pak Mat menghalangnya.

“Eh kejap! Aku nak cakap dengan kau sikit” ujar Pak Mat membuatkan Adam mula berasa cuak.

“Cakap apa Pak Mat?”

“Aku sebenarnya kesian tengok mak kau tu. Dahlah tua, sakit pula tu. Tapi anak dia, bukan nak meringankan beban mak dia, menambahkan lagi adalah.” Adam mula merasa kurang senang apabila mendengar percakapan Pak Mat. Kelakuan Pak Mat juga bagaikan tidak suka akan kehadirannya.

“Apa maksud Pak Mat? Saya tak faham”

“Tak faham tang mana lagi?! Kau tu sebenarnya anak pembawa sial! Entah dari mana Kak Mah kutip kau jadikan kau anak angkat dia! Entah-entah kau ni anak luar nikah! Anak penjenayah” marah Pak Mat sambil mencelung tajam menikam mata Adam.

“Pak Mat! Pak Mat jaga sikit mulut Pak Mat tu. Pak Mat boleh mengata saya, tapi bukan arwah mak ayah saya!”ujar Adam sambil menuding jari telunjuknya pada Pak Mat.

Pak Yakob yang baru datang terkejut melihat suasana tegang di antara Adam dengan Pak Mat.

“Astaghfirullah hal azim… Adam!” jerit Pak Yakob lalu cuba meleraikan pergaduhan itu.

“Apa kamu buat ni Adam?” soal Pak Yakob.

“Arghhh!” bentak Adam lalu meninggalkan Pak Yakob yang masih tercengang dengan apa yang sudah berlaku.

“Kau dah buat apa kat budak tu, Mat?”

“Huh! Aku cuma ajar budak tu supaya sedar diri sikit! Dan kau, Yakob sebagai bapa saudara dia. Kau ajar dia cara nak hormat orang tua” perli Pak Mat pedas sebelum masuk ke dapur. Pak Yakob hanya mampu menggelengkan kepala sebelum memesan minuman kopi seperti selalu.

“Dia ingat dia tu baik sangat ke nak tegur orang? Apa! Aku ni jahat sangat ke?”marah Adam sambil membonceng motosikalnya dengan berhati-hati. Darahnya mula menyirap sehingga ke wajahnya membuatkan wajahnya yang putih itu kemerahan-merahan dek amarah yang sedang memuncak.

Ketika Adam hendak memasuki halaman rumahnya, dia berselisih dengan Arissa yang baru saja hendak pergi. Sempat Arissa menguntum senyuman buat Adam namun, Adam buat tidak hairan saja. Matanya pantas teralih ke wajah Mak Mah yang sedang tersenyum melihatnya.

“Kenapa dia datang sini mak? Apa yang dia nak?”soal Adam setelah mematikan enjin motosikalnya.

“Arissa datang bagi kuih karipap sardin ni ha…Adam kan suka karipap sardin? Mesti sedap karipap yang Arissa buat ni” ujar Mak Mah sambil memuji Arissa. Adam hanya tersenyum manis.

“Masakan mak dengan masakan orang lain, tak sama mak. Mak punya lagi terasa kasih sayangnya” bodek Adam ketika hendak memanjat tangga rumah.

“Pandai kamu nak bodek mak kan? Dah naik atas, kita sarapan”

Adam ketawa kecil melihat gelagat maknya. Segala amarah nya yang memuncak tadi hilang begitu saja apabila bergurau senda dengan maknya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku