JAM 1010 MALAM
Bab 4
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Januari 2017
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
638

Bacaan






BAB 4

Ufaira Hana membaringkan dirinya di atas katil. Anak matanya berlari seiring dengan kipas yang berpusing. Satu keluhan berat dia lepaskan. Selalunya bila dia berhadapan dengan makhluk halus yang hodoh itu, imaginasinya penuh dengan rupa mereka. Tetapi malam ini telinganya pula sibuk bermain kata-kata bunda tadi. Marah benar bunda dengannya.

“Faira, ini amaran terakhir bunda. Kalau tidak, bunda hantar kamu tinggal dengan atok dan nenek di kampung. Degil sangat.” Bagus juga dia tinggal dikampung dari tinggal di sini dengan makhluk-makhluk yang menakutkan itu. Itu yang bermain difikiran Ufaira setiap kali dia teringat amaran bundanya tadi.

Ah! Serabut betul fikir pasal benda ini.

Ufaira segera bangun dari pembaringannya dan menghala ke meja belajarnya. Dia mengeluarkan pembalut buku di dalam laci sebelah kiri dan mengambil gunting dan sellotape yang berada di atas meja. Kemudian dia meletakkan semua buku-buku teksnya di atas permaidani untuk dibalutnya. Buku pinjaman kena jaga betul-betul. Ini bukan hak individu.

“Tok! Tok!” Pintu bilik diketuk sebelum dikuak perlahan.

“Faira, boleh buya masuk?” En Hairi meminta izin sebelum melangkah masuk.

“Masuklah buya.”

En Hairi melabuhkan punggungnya di atas kerusi belajar Ufaira. “Kenapa tak tidur lagi? Esokkan ahad. Boleh balut buku-buku teks ni.”

Ufaira sengih. “Saja. Terlebih rajin pula malam ini.”

En Hairi menggosok umbun anak gadisnya itu. Dia masih rasa serba salah pada Ufaira atas apa yang berlaku dulu dan tadi. Dulu dia tidak ambil apa-apa tindakan apabila isterinya selalu melepaskan amarah pada Ufaira sehingga dia lupa anak gadisnya juga perlukan perhatian dan kasih sayang.

“Jangan ambil hati dengan apa yang bunda kamu katakan. Kamu tahulah bunda tu, dia mana suka benda-benda yang berkaitan dengan makhluk halus ni. Cuba Faira pujuk bunda dan rapat dengan bunda, mungkin dia akan percaya kata-kata Faira suatu hari nanti.” Nasihat En Hairi dalam nada yang sangat lembut. Nada seorang abuya yang penyanyang.

Tangan Ufaira yang sedang menggunting pembalut buku terhenti. “Faira tak pandai bab-bab memujuk ni buya.” Betul, dia bukan Umar dan Uqkail yang pandai ambil hati bunda mereka.

“Pergi berguru dengan abang dan Qail. Budak berdua tu juara dalam pertandingan menyejukkan hati Pn Wanda.” Gurau En Hairi bila teringatkan tingkah laku dua anak bujangnya yang banyak akal itu.

Ufaira tergelak geli hati. “Buya ni. Buya lah pergi belajar dulu, dah mahir baru buya ajar Faira pula.”

“Aik! Buya pula yang kena.” Hinggar suasana di dalam bilik Ufaira dengan gelakkan dua beranak itu. “Okaylah Faira, buya nak masuk tidur dulu. Jangan tidur lewat sangat. Kalau tak habis balut, sambung esok.”

Ufaira senyum. “Okay. Selamat malam.”

En Hairi melangkah menuruni tangga dengan perasaan lega. Lega hatinya dapat menghiburkan Ufaira. Dia tidak mahu lagi meninggalkan Ufaira sendirian. Kata ayahnya, syaitan sangat suka dengan manusia yang menyendiri. Mereka akan cuba berkawan dengannya.

“Buya.. buya..”

Langkahan En Hairi terhenti saat dia terdengar orang memanggilnya. Suara itu datangnya dari atas. Dia berlari semula ke atas. Matanya tercari-cari suara yang memanggil dalam nada ketakutan itu.

“Buya.. Tolang Usyair.. Buya…”

Usyair? “Mana kamu Usyair?” Dia memanggil sambil berlari ke loteng bila menyedari suara itu datangnya dari loteng. “Apa Usyair buat dekat atas tu? Lotengkan tak siap kemas lagi.”

“Buya.. gelap sangat.. Usyair takut.”

En Hairi yang baru sampai dipintu loteng, memulas tombol pintu. Pintu terkunci dari dalam. “Usyair, cuba buka pintu dari dalam. Pintu ni terkunci.” Tiada suara yang menyahut. “Usyair, dengar tak buya suruh ni?” Dia bertanya sambil mengetuk pintu loteng. “Usyair…”

‘Shh…’ Bunyi pintu loteng terbuka dari dalam. Pantas kaki En Hairi berjalan masuk ke dalam loteng.

“Usyair?” Mana pula perginya anak bongsunya itu. “Jangan main-main dengan buya Usyair.” En Hairi berjalan ke arah suis lampu. Dia menekan suisnya beberapa kali tapi tetap tidak mahu hidup. Tak akan rosak pula lampu loteng ni? Baru sahaja rumah banglo ini siap dibina, mesti semua lampu berfungsi. Desis hati En Hairi.

Saat dia mengangkatkan kepalanya ke bumbung loteng yang bercermin tingkap, dia terus berlari mencari kerusi. “Usyair, buat apa di atas tu? Bahaya!” Dia menghulurkan tangannya pada Usyair yang sudah duduk di atas bumbung tingkap loteng. “Bahaya Usyair!”

Muka Usyair jelas ketakutan. Badannya menggigil. Tangannya kuat memegang hujung tingkap yang terbuka. “Usyair takut buya. Rasa nak jatuh.” Dia merenggek ketakutan tetapi dia masih tidak mencapai tangan abuyanya.

“Tunggu situ. Buya pergi cari meja.” En Hairi turun dari kerusi tersebut dan mengangkat meja untuk diletakkan di bawah kerusi supaya tangannya sampai untuk mencapai Usyair. Belum sempat dia memanjat kerusi, sebelah tangan Usyair terlepas dari tingkap loteng dan menyebab Usyair hampir terjatuh.

“Buya tolong! Tolong!” Jerit Usyair ketakutan.

Pantas dia memijak kerusi dan berdiri untuk menarik Usyair turun dari bumbung loteng rumahnya yang agak tinggi. Memang sengaja dia buat ruang loteng ini besar dan tinggi untuk dijadikan pustakaan mini rumah banglo mereka. Tangannya dapat mencapai hujung jari Usyair yang hampir jatuh ke bawah.

“Bertenang Usyair. Kalau bergerak-gerak macam ni, boleh jatuh.” Nasihat En Hairi sambil berusaha menarik Usyair masuk ke dalam loteng. Disebabkan tangan Usyair yang yang berpeluh, pegangannya terlepas.

“Usyair!” Jelas dia mendengar sesuatu yang berkecai terhempas ke bawah. “Usyair!” Jeritnya lagi. Dia masih tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku.

Tiba-tiba lampu loteng terpasang. En Hairi yang masih tidak dapat menerima apa yang terjadi pada Usyair terpaku tidak terkata.

“Buya! Buya buat apa gelap-gelap dekat loteng ni?” Soal Ulfa yang membuka lampu loteng. Di tangannya memegang tangan Usyair yang sedang mengantuk.

En Hairi berpaling ke bawah. “Usyair!” Dia menuruni kerusi dan meja untuk memeluk Usyair. “Usyair okay? Ada sakit dekat mana-mana ke? Haish Usyair ni, buat buya sakit jantung je. Usyair buat apa atas bumbung loteng tu?”

“Apa buya merepek malam-malam ni? Dari balik tadi Usyair ada dalam bilik Ulfa.” Ulfa kehairanan. Dia pergi ke atas loteng ini pun sebab terdengar abuyanya menjerit memanggil Usyair dari atas. Walhal Usyair berada dengannya di dalam bilik.

“Buya dengar Usyair panggil buya, tu yang buya…” Kata-katanya mati saat dia berfikir balik kelogikkan ayatnya itu. Usyair panggil dia?

Bertambah hairan Ulfa mendengar penjelasan abuyanya. “Buya.. Usyair mana boleh bercakap.”

Allah. Usyair bisu. Mana mungkin Usyair memanggilnya tadi. Bulu roma En Hairi mula meremang seram. Seolah ada mata yang memerhati dia, Ulfa dan Usyair di loteng saat ini. “Jom turun bawah.” Ajaknya pada Ulfa dan Usyair. Jantungnya berdenyut dengan pantas. Saat mereka melangkah keluar dari pintu loteng, ada angin kuat yang berlalu pantas.

“Apa tu buya?” Ulfa mula tidak sedap hati. Tangannya dicapai En Hairi dan ditarik untuk beriringan turun ke bawah. “Buya…” Kaki Ulfa terpaku saat ada makhluk berambut panjang melilit sisi tangga.

“Baca ayat kursi. Jangan tegur.” Walau hati En Hairi juga bergelora saat dia melihat makhluk itu. Dia cuba untuk tenangkan dirinya supaya Ulfa dan Usyair tidak terlalu takut. Cukup tiga kali mereka melafazkan ayat kursi, makhluk itu hilang dari pandangan. Terduduk terus Ulfa di sebelah abuyanya itu.

Selepas puas memujuk Ulfa dan menemaninya sehingga tertidur, En Hairi melangkah keluar dari bilik Ulfa. Dia keluar dengan mulut terkumat-kamit membaca ayat kursi berselang seli dengan surah tiga Qull. Setiba di biliknya di tingkat bawah, dia masuk ke bilik air untuk mengambil wudud.

“Awak tak solat isyak lagi ke? Bukan kita pergi makan lepas solat isyak ke tadi?” Tanya Pn Wanda yang hampir tertidur menunggu suaminya masuk ke bilik mereka.

En Hairi membentang sejadah. “Saya nak solat sunat. Awak tidur lah dulu.” Tidak mungkin lah dia menceritakan apa yang berlaku tadi pada isterinya. Pasti isterinya tidak akan percaya. Dia mengangkat takbir dan terus khusyuk mendirikan solat sunat.


Warung hujung jalan riuh dengan kerenah manusia yang bercerita sesama mereka. Ada yang bersembang tak ingat dunia, ada yang mulutnya terkatuk rapat memikirkan strategi mengalahkan lawan dalam permainan catur dan ada juga yang melayan telepon pintar milik mereka.

Pak Mail dan Zaidi hanya berdiam diri sambil masing-masing menghirup kopi ‘O’ warung pak Said. Jiwa mereka tidak tenteram sejak tiga dari rakan sekerja mereka mati dalam keadaan mengerikan. Semuanya mati dalam kemalangan dengan badan hangus terbakar. Ada yang kepala terpisah dari badan. Sangat mengerikan.

“Assalamualaikum Pak Mail, Zaidi.” Ucap Hud yang baru tiba di warung pak Said. Pak Mail dan Zaidi menjawabnya. Hud mengipas mukanya dengan surat khabar yang dicapai dimeja depan. “Apa halnya pak Mail beria suruh saya datang jumpa pak Mail ni?”

“Bob meninggal dua hari lepas. Kemalangan.” Pak Mail bersuara agak berbisik.

“Innalillah wa inna ilaihi rojiunn. Dah dikebumikan ke? Kenapa tak beritahu saya awal-awal? Boleh saya ziarah dia.”

“Semalam dah selamat dikebumikan. Kami panggil bos ke warung ni bukan je nak bagi tahu pasal kematian Bob tapi pasal dalang disebalik semua benda ini.” Zaidi membalas pertanyaan Hud. “Bos nampak bukit tu? Bos perasan tak apa yang kami perasan?”

Hud mengalihkan pandagannya ke arah bukit yang Zaidi maksudkan. Hanya bukit kosong yang berhutan sedikit. Apa yang cuba mereka sampaikan? “Bukit kosong je Zaidi, apa yang perlu saya perasankan?” Matanya masih memandang bukit itu bagi memastikan sesuatu yang perlu dia perasankan.

“Cuba bos fikir betul-betul dan tengok betul-betul? Bukit itu sama saja masa sebelum kita bina banglo En Zuhairi awal tahun lepas. Rupanya dari bawah kosong macam tiada rumah banglo pun atas itu. Walhal sudah setahun setengah kita tebang pokok-pokok tu. Banglo pun dah siap dibina.” Tambah Zaidi lagi.

Dia dan pak Mail yang tinggal tidak berapa jauh dari kawasan ini, selalu juga datang melepak di Warung Pak Said. Mereka tidak perasan perihal itu sehinggalah satu demi satu rakan sekerja mereka mati dalam keadaan ngeri. Semua rakan sekerja mereka adalah orang yang sama-sama membina rumah banglo En Zuhairi.

Hud mengerutkan dahinya. “Kamu jangan nak buat cerita Zaidi? Rumah Hairi bukan jauh sikit ke dari sini.”

“Bos tengok betul-betul, jalan berbukit tu jalan menuju ke rumah En Zuhairi. Bukit tu pula tapak kita bina rumah dia. Sepatutnya dari sini dah boleh nampak rumah tu.” Pak Mail cuba menyakinkan Hud pula.

“Ya tak ya jugak.” Tidak dapat dinafikan apa yang pak Mail dan Zaidi katakan memang betul. “Apa pula kaitan dengan kematian Bob?”

Zaidi mengetuk meja dan membuatkan beberapa mata memandang mereka. “Bob, Kamal, dan Salleh mati selepas kita siap bina rumah banglo tu. Semuanya mati dalam kemalangan yang mengerikan. Saya ingat lagi bos cakap tiap kali bos pergi ke tapak pembinaan rumah banglo atas bukit tu, bos rasa bulu roma bos meremang. Macam ada orang perhatikan bos. Sebenarnya bukan bos saja rasa macam itu, semua orang rasa. Cuma kami tak nak fikir sangat, kami nak siapkan rumah tu dengan cepat je.”

“Kamu dan pak Mail rasa mereka mati disebabkan puaka rumah Hairi tu?” Sangka Hud. Sejak dia menghabiskan kerjanya sebagai kontraktor rumah Zuhairi, dia tidak lagi melangkah ke rumah itu. Dan kalau boleh dia tidak mahu ke sana langsung. Bulu romanya sentiasa meremang. Hatinya sentiasa rasa ada yang memerhati setiap tindak-tanduknya di sana.

Serentak pak Mail dan Zaidi angguk.

“Biar betul? Kenapa pula puaka tu nak bunuh mereka?”

“Kita kacau tempat dia, marah lah dia bos. Saya takut lepas ini giliran kita je. Saya tak banyak pahala lagi, dosa je menggunung.” Omel Zaidi kerisauan. Tidak mahu dia mati dalam umur yang masih muda, tambah pula mati dalam keadaan ngeri macam itu. Seram.

Susah Hud ingin percaya kata-kata Zaidi dan Pak Mail tapi perasaannya juga merasakan hal yang sama. Ingatkan hanya dia saja yang merasakan tanah bukit itu berpuaka, rupa-rupanya pekerjanya pun sama. Apalah nasib Zuhairi dan keluarganya. Zuhairi itu kawannya semenjak sekolah menengah lagi tapi mereka tidaklah rapat sangat. Cuma sejak dia yang menjadi kontraktor rumah Zuhairi, mereka banyak berhubung. Itupun berkaitan dengan rumah banglo itu.

“Bos ada dengar khabar En Zuhairi dan keluarganya tak? Ada apa-apa yang berlaku dalam rumah itu?” Soal Pak Mail. Dia lebih risaukan penghuni rumah banglo itu sekarang. Mereka tinggal dalam rumah berpuaka itu.

Hud menggeleng. Sejak urusan dia dan Zuhairi selesai, tidak pula mereka berhubung. Dia sibuk dengan projek barunya manakala Zuhairi mungkin sibuk dengan proses perpindahan ke rumah banglo itu.

“Pak Mail rasa kita kena bagi tahu En Zuhairi pasal apa yang menimpa rakan sekerja kita dan gangguan-gangguan yang berlaku semasa proses pembinaan rumah tu. Kita bagi dia amaran suruh berhati-hati. Kalau rasa teruk sangat tinggal sana, suruh je dia pindah keluar. Bahaya bermain dengan makhluk halus ni. Buruk padahnya nanti.” Pak Mail memberi nasihat kepada Hud.

‘krr..krr..’ Bunyi getaran yang datangnya dari telefon pintar.

Hud menelan air liurnya saat melihat nama Zuhairi yang menelefonnya. Ibu jari kanan menyentuh skrin telefon pintar miliknya. “Waalaikumsalam Ri. Kau apa khabar?”

“Baik alhamdulillah.” En Hairi menjawab. “Kau ada hal ke sekarang? Aku kacau kau ke kalau nak cakap sesuatu pada kau sekarang ni?”

Hud memandang pak Mail dan Zaidi sebelum membalas pertanyaan En Hairi. “Tak sibuk sangat. Apa yang kau nak cakapkan?”

“Semalam aku kena ganggu dalam rumah banglo ni. Benda tu menyamar menyerupai anak bongsu aku. Aku rasa bukan aku je yang kena kacau, anak-anak aku pun sama. Risau aku Hud. Kau atau pekerja-pekerja kau ada kena ganggu ke sepanjang proses buat rumah ni?”

Pak Mail dan Zaidi yang hanya mendengar samar-samar suara Zuhairi, mengisyaratkan Hud menceritakan apa yang mereka ceritakan tadi.

“Tak ada pulak. Aku rasa kau kena kacau sebab tak baca apa-apa kot sebelum masuk sana. Kau dah buat kenduri kesyukuran buka rumah ke? Panggil orang-orang surau buat kenduri kesyukuran buka rumah baru. Pergilah benda-benda itu.” Tanpa sedar dia berdalih. “Kau banyak fikir ni. Aku rasa kau buat dulu kenduri tu, lepas tu kau tengok ada lagi tak benda-benda tu kacau kau sekeluarga.”

“Betul juga apa yang kau cakap Hud. In sya Allah aku akan cuba buat dalam masa terdekat ni. Terima kasih ya. Sorry ganggu kau hari minggu ni.” En Hairi mematikan panggil.

Hud melepaskan nafas lega.

“Kenapa bos tak cerita hal yang sebenar? Bos nak biar je En Zuhairi dan keluarganya terus tinggal dalam rumah banglo berpuaka itu? Bos tak takut ke apa-apa yang akan terjadi pada mereka sekeluarga?” Bertalu-talu Pak Mail melontarkan soalan tidak puas hati. Baru saja tadi mereka bercerita kejadian ngeri yang menimpa rakan sekerja mereka, boleh pula bosnya berselindung dari pemilik rumah banglo itu.

“Macam ni lah pak Mail, Zaidi. Saya rasa baik kita tunggu dulu sampai Hairi tu buat kenduri kesyukuran buka rumah baru, buat bacaan ayat-ayat al-Quran dulu. Kalau dia telefon saya balik cerita dia diganggu makhluk-makhluk halus tu lagi, baru saya bagi tahu dia apa yang menimpa Bob dan yang lain. Mungkin juga Bob dan yang lain mati sebab ajalnya menjemput, bukannya sebab gangguan makhluk halus tu.” Hud mengangkat punggungnya dari kerusi. “Saya balik dulu lah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Sahut mereka perlahan. Tidak sangka bos mereka akan berkata begitu.

“Apa kita nak buat pak Mail?” Zaidi bertanya kerisauan.

Pak Mail melepaskan keluhnya. “Nanti pak Mail fikirkan cara lain. Kamu tu hati-hati, jangan tinggal solat dan jangan lupa baca al-Quran. Moga Allah lindung diri kita dari kekejaman syaitan yang dilaknat.”

“In sya Allah.. Amin.”




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku