BAHAGIA UNTUK DIA
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Februari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
567

Bacaan






“ASSALAMUALAIKUM. Abah, Ummi! Assalamualaikum,” laung Najiha memberi salam. Adam dan Anderson pula sedang mengeluarkan barang dari dalam kereta.

      “Apa kita buat kat sini?” soal Anderson.

       “Buat-buat tanya konon. Ni kan idea kau.” Anderson tersengih. Dia yang memberi cadangan kepada Adam untuk pura-pura melancong ke Langkawi. Dia juga yang bersungguh meyakinkan Adam bahawa Najiha pasti akan berlembut hati dan sudi mengajak mereka beraya di kampung halamannya. Dua tahun bersahabat dengan Najiha, sedikit sebanyak dia memahami hati gadis itu. Walaupun dia berlagak keras, tetapi hati Najiha sebenarnya lembut.

       “Waalaikumsalam. Alhamdulillah, Nur Najiha selamat sampai,” ucap lelaki separuh abad yang muncul di muka pintu.

       “Abah sihat? Ummi mana?” Najiha menyalami tangan Encik Zamri.

       “Abah sihat. Ummi kamu ada kat dapur tu, tengah masak asam pedas kesukaan kamu untuk bersahur nanti. Haa, tu dah datang,” jawab ayahnya. “Ehh, yang dua orang tu siapa? Kawan kamu ke tu?,” sambung Encik Zamri ketika terpandang Adam dan Anderson yang muncul dari belakang kereta.

       Najiha tunduk mencium tangan Puan Anim, ibunya. “Haa’ah abah, ummi. Kenalkan, Andy kawan satu office dengan saya. Yang tu pulak, Adam, Adam tu kawan baik Andy. Ehh, masuklah! Ini parents I,” Najiha memperkenalkan mereka kepada orang tuanya. Puan Anim memandang anaknya meminta penjelasan. Najiha membalas memohon pengertian.

       “Masuklah! Jangan malu-malu,” pelawa Encik Zamri ramah. Segera Adam dan Anderson menghulurkan tangan untuk bersalam dengan ayah Najiha. Pada Puan Anim, mereka melemparkan senyuman.

       “Maaflah mengganggu pak cik sekeluarga. Cantik rumah pakcik,” balas Adam sopan.

       “Biasa saja. Marilah kedalam, boleh kita terus bersahur,” pelawa Puan Anim pula. “Jiha, bawak kawan-kawan kamu ni ke bilik Achik. Boleh simpan barang dulu. Lepas tu ajak terus ke dapur, ummi nak hidang lauk. Dah nak imsak ni,” arah Puan Anim. Lantas mereka bergerak ke dalam rumah, Puan Anim dan Encik Zamri ke dapur manakala Najiha pula menunjukkan bilik adiknya pada mereka berdua.


NAJIHA tidak senang duduk. Dia perasan renungan tajam ibunya sejak dari tadi. Selepas subuh tadi dia tidur sebentar menghilangkan lelah semalaman mengharung perjalanan. Setelah bangun, dia cuba mengelak dari Puan Anim. Jika Puan Anim di dapur, dia keluar membantu adik perempuannya, jika Puan Anim keluar dia masuk pula ke dapur. Namun kali ini dia sudah tidak dapat mengelak lagi. Dia pura-pura tekun mengupas bawang.

       “Dah lama kamu kenal Adam tu Jiha?” Bawang ditangan Najiha terlepas. Sudah diagak Puan Anim pasti akan bertanya mengenai lelaki itu.

       “Baru lagi ummi,” jawapnya perlahan. Dia tidak berani membalas pandangan Puan Anim.

       “Macam mana kamu kenal dia?” soal Puan Anim lagi. Dia perasan pandangan anak muda itu pada anaknya. Dia juga perasan Najiha selalu tidak senang duduk setiap kali Adam menghampirinya. Sebagai ibu dan orang yang lebih berpengalaman, dia tahu hubungan mereka bukan sekadar kawan biasa.

       Najiha pura-pura ketawa mendengar soalan Puan Anim. Cuba meredakan debaran yang dirasai ketika ini. “Dari Andy lah, kan dia kawan baik Andy.”

       Puan Anim tidak puas hati. “Apa hubungan kamu dengan dia?” tanyanya lagi.

       “Apa ummi ni, kawan biasalah.” Najiha bangun menuju ke sinki. Dia mengelak dari terus berhadapan dengan Puan Anim. “Ikan ni nak disiang semua ke ummi?” Najiha cuba mengalih topik perbualan mereka.

       “Duduk dulu Jiha. Ummi nak cakap dengan kamu ni.” Najiha melepaskan nafas perlahan. Perkara inilah yang cuba dia elak. Perlahan-lahan, dia menarik kerusi dan kembali melabuhkan punggung di hadapan ibunya.

       “Kamu ada perasaan pada dia?” Najiha mengeluh mendengar pertanyaan Puan Anim. Matanya dipejam dan dia melepaskan nafas berat. Dia membalas pandangan ibunya dan mengukir senyuman tawar.

        “Ummi pun tahu saya tak boleh ada perasaan macam tu pada dia,” jawabnya perlahan. Dia menahan air mata dari mengalir. Lima tahun lepas dia sudah berjanji, dia tidak akan menangis lagi kerana hal itu. Cukuplah dua tahun dia menyeksa diri dan membazir air mata. Walaupun perkara itu mustahil, namun sekurang-kurangnya dihadapan keluarganya, dia ingin berlagak kuat. Dia tidak mahu keluarganya terus terluka dengan deritanya.

       Puan Anim bangun menghampiri anaknya. Pantas Najiha diraih dalam pelukan. Dia bersimpati dengan nasib yang menimpa anak keduanya ini. Walaupun Najiha selalu berlagak ceria, namun dia tahu anaknya itu masih terluka dengan apa yang berlaku.

       “Adam tahu hal ni?” lembut dia bertanya.

       Najiha tersenyum lagi. Dia menggeleng perlahan. Puan Anim menepuk-nepuk tangan anaknya, cuba menghulurkan kekuatan. “Berterus-teranglah dengan dia. Ummi tahu dia sukakan kamu. Ummi taknak nanti kamu berdua lebih terluka.”

       “Saya ke luar dulu ummi. Kesian pulak Ain sorang-sorang kat pangkin sana.” Dia pantas bangun. Puan Anim mengeluh perlahan. Dia hanya mampu berdoa agar bahagia menjadi milik anaknya.


“SELALU memang meriah begini ke pakcik?”

       “Macam ini lah Adam. Masa raya ni lah semua anak-anak berkumpul, gamat beginilah jadinya.” Encik Zamri menjawab. Tangannya tangkas memotong buluh untuk dibuat lemang. Adam turut ringan tulang membantu. Ingin memikat hati bakal mertualah katakan. Anderson pula dari tadi sudah hilang bersama Abang dan adik lelaki Najiha, ke kebun getah mencari kayu api untuk digunakan membakar lemang nanti.

       “Seronok kan. Saya dah lama nak rasa beraya suasana kampung macam ni. Raya di Kuala Lumpur tak best, semuanya tunjuk sahaja,” kata Adam lagi. Sikapnya yang tidak berat mulut itu disukai Encik Zamri. Dia senang benar dengan anak muda ini, pandai menyesuaikan diri.

       “Alhamdulillah. Tercapai la hasrat kamu ni kiranya. Beraya di kampung ni memang seronok. Meriah! Tak macam kat bandar, tapi penat lah kamu nanti. Jangan serik sudah,” gurau Encik Zamri sambil ketawa. “Buluh ni dah siap potong. Biarkan di sini dulu, nanti kita masukkan daun pisang. Lemang ni malam nanti baru dibakar. Kamu kalau nak rehat, masuklah ke dalam. Lambat lagi nak berbuka ni, jangan sampai puasa separuh hari nanti.”

        “Tak apa pakcik. Muda-muda kalau puasa separuh hari, malulah dengan pakcik nanti. Apa lagi yang nak dibuat ni pakcik?” gurau Adam. Dia turut melepaskan tawa.

       “Tolong pergi tanya Jiha, beras pulut dah dibasuh ke belum. Takut nanti lambat dibasuh, tak sempat sejat airnya. Nak buat lemang ni, beras tak boleh basah,” jawab Encik Zamri.

       “Baik pakcik. Saya ke dapur dulu.” Adam cepat meminta diri. Sudah diberi peluang berjumpa pujaan hati, maka dia tidak mahu melengahkan masa. Najiha dilihat sedang sibuk membalut ketupat palas di pangkin luar rumah. Najiha yang hanya mengenakan baju t-shirt lengan panjang, seluar tracksuit dan tudung bawal yang dipin satu dibawah kelihatan sangat cantik dimatanya. Selama ini Najiha sering memakai selendang, jadi kali pertama melihat Najiha ringkas mengenakan tudung bawal, hatinya semakin jatuh sayang.

       “Sayang, Abah tanya beras pulut dah basuh belum?” soalnya selamba tanpa rasa malu dengan adik perempuan Najiha yang juga turut sama ada di situ.

       “Fuyooo! Romantik la Abang Adam ni. Jealous Ain,” kata Nur Ain, adik Najiha.

       “Ain jangan layan buaya ni. I dah basuh tadi, ada kat dapur sana,” jawab Najiha. Langsung tidak dipandang wajah Adam. Tangannya masih lincah menyiapkan satu demi satu ketupat palas untuk hidangan hari raya esok.

       “Sayang, you pakai macam ni cantik sangat. Rasa macam nak terus pinang buat isteri,” Adam masih selamba. Tidak mempedulikan marah Najiha.

       “Akak serius ke ada apa-apa dengan Abang Adam?” tanya Nur Ain terkejut. Najiha dipandang. Memohon penjelasan.

       “Ain jangan layan dia ni. Gila! Dah you pergi tolong Abah sana. Nanti apa pulak parents I fikir you lama-lama kat sini.” Najiha menghalau Adam. Air mukanya sudah berubah apabila Adam bergurau mengenai perkara itu. Dia tahu perasaan Adam, walaupun Adam sering berkata dalam jenaka tetapi dia tahu Adam tidak pernah main-main dengan perasaannya. Air matanya cuba ditahan. ‘Meminang? Bagaimana mungkin sedangkan aku ini...’ dia tidak sanggup meneruskan kata. Bingkas dia bangun.

       “Ain tak marahkan kalau akak masuk dulu. Maaf sangat, tiba-tiba sakit kepala.” Najiha laju meninggalkan mereka. Adam tergamam. Nur Ain memandang simpati.


TAMPARAN kuat di paha mengejutkan Adam. “Kau kenapa?” Dia melepaskan marah pada Anderson yang sedang baring di sebelah. Mereka berehat sebentar setelah selesai membantu Encik Zamri memasukkan daun pisang ke dalam batang buluh.

       “Kau tu yang kenapa? Termenung macam orang mati bini kenapa? Buah hati satu rumah pun takkan la rindu lagi kot,” bidas Anderson selamba. Dari tadi dia bercerita, Adam diam sahaja. Rupa-rupanya, cuma jasad depan mata, jiwanya terbang entah ke mana. Maka dengan sepenuh tenaga, tangannya ringan dihayun ke paha lelaki itu. Baru puas hati!

       “Entahlah, susah aku nak cakap.” Adam bersuara lemah.

       “Something happen when I’m not around right?” kalut Anderson bertanya. Risau terjadi apa-apa. Dia sangat mengharapkan Adam dapat memikat sekeping hati milik Najiha. Adam lelaki terbaik buat Najiha dan Najiha wanita paling sempurna buat Adam. Itu yang dilihatnya. Maka, dia sanggup berbuat apa sahaja bagi menyatukan mereka berdua. Apalagi dia tahu, Adam sangat mencintai Najiha walau baru kenal sebulan cuma.

       “Nur menangis.” Adam nampak Najiha cuba menahan air mata, dan saat Najiha berlari masuk ke rumah Adam yakin. Air mata gadis itu pasti tumpah lagi.

       “Why?” Anderson bingkas bangun dari pembaringan. Dia duduk bersila menghadap Adam.

       “Aku usik dia nak masuk meminang.” Perlahan Adam memberitahu.

       “Takkan sebab tu aja dia sampai menangis. Bukan kau tak biasa sakat dia”

       “Betul! Lepas aku cakap macam tu dia terus marah and dia lari masuk rumah. Aku tahu dia menagis. Tadi aku ke bilik dia,” Adam berjeda.

        “Kau ni gila ke apa? Kita kat kampung, kat rumah mak bapak Jiha tahu. Yang kau buat perangai gila pergi bilik anak dara orang ni kenapa? Tak silap hari bulan, kayu api nak bakar lemang tu guna bakar kau dulu,” tempelak Anderson sebelum sempat Adam menghabiskan cerita.

       “Kau ni sabar dulu boleh tak. Aku bukan nak buat tak senonoh, aku nak pujuk Nur aje. Tapi, masa aku depan bilik dia aku dengar Nur tengah bercakap dengan ummi dia. Ummi dia ada sebut nama mamat tu,” sambung Adam lagi.

       “Mamat tu? Mamat mana?”

       “Affan!” jawab Adam lemah. Setelah Najiha berlari masuk kedalam rumah tadi, hati Adam tidak senang. Lantas, dia memohon izin dari Encik Zamri untuk masuk menemui Najiha. Dan tidak disangka, rupanya ummi Najiha juga sedang memujuk anaknya itu, dan nama lelaki yang meniti di bibir Puan Anim itu menghadiahkan resah ke dalam hati Adam. ‘Affan macam mana? Ada dia hubungi kamu?’ suara Puan Anim masih terngiang-ngiang di telinganya bercampur dengan suara tangisan Najiha.

        “Hmmmm... Kau tak pernah cuba tanya Jiha pasal mamat tu?” soal Anderson.

       Adam mengeluh lagi. Tangan kanan diangkat dan diletakkan ke atas dahi. Matanya dipejam rapat. “Pernah sekali aku tanya, tapi Nur minta aku jangan sebut nama tu depan dia. Dia minta aku lupakan pasal kejadian malam tu,” jelasnya perlahan.

       Anderson kembali merebahkan diri ke sebelah Adam. Sebelah tangannya turut diletakkan ke dahi. “Kalau aku tanya kau janji jangan marah!” Anderson bersuara perlahan. “Kau cintakan Jiha?” sambungnya.

       “Dah lama Andy. Sejak aku mula tanyakan kau pasal Nur, aku dah jatuh sayang.”

       “Kau pernah cakap dengan Jiha?” Anderson terus bertanya.

       “Dah banyak kali aku cakap. Tapi setiap kali tu dia akan cakap aku merepek dan dia akan diam,” balas Adam. Nafas berat dilepas. Sukar benar mahu mendapatkan sekeping hati milik Nur Najiha.

       “Hmmm... Aku pun tak tahu nak cakap apa. Satu ja nasihat aku, cuba slow talk dengan Jiha, mungkin ada sesuatu yang dia tanggung yang buat dia tak boleh terima kau. Aku rasa mamat tu seseorang yang penting dalam hidup Jiha, kalau tak takkan dia terlalu nak berahsia pasal ni.” Anderson cuba memberi nasihat. Mungkin itu yang terbaik untuk mereka berdua. Sikap Najiha yang terlalu berahsia dan Adam yang terlalu berjaga-jaga tidak akan membawa hubungan mereka ke mana-mana. Itu pandangannya.


ADAM memerhati Najiha yang sedang menukar langsir rumah. Ketika berbuka puasa tadi, dia perasan mata Najiha bengkak. Istimewa sangatkan Affan dalam hati Najiha sehinggakan dia menangis kerana lelaki itu sebegitu sekali. Dia mengeluh perlahan. Tidak tahu bagaimana ingin bertanya kepada Najiha mengenai lelaki itu.

       “Kau dah lama berkawan dengan Jiha?” soalan tiba-tiba dari Syafiq, abang Najiha mengejutkan Adam. Pastas dia mengalihkan pandangan dari tingkap rumah.

      “Tak lama juga. Baru sebulan!” jawabnya lekas. Dia kemudian pura-pura sibuk mengalih-alih lemang yang sedang dibakar.

       “Kau suka adik aku?” tanya Syafiq lagi. Adam terkedu. Tidak tahu bagaimana harus dijawab soalan yang tiba-tiba itu. “Aku tanya, kau suka adik aku ke?” Syafiq mengulang soalan.

       “Kenapa kau tanya macam tu?” balasnya kalut.

       “Aku perasan kau asyik pandang Jiha. Aku pun lelaki Adam, aku faham apa maksud pandangan kau tu.” Syafiq berterusan menyerang.

        Adam diam. Pandangan kembali dialih ke arah rumah, mencari kelibat Najiha. “Aku sayangkan dia,” jawabnya yakin.

       Syafiq melepaskan nafas berat. Pandangannya turut dialih kepada Najiha. Najiha kini yang sedang ketawa bergurau dengan Anderson dan adik-adiknya. “Jiha tahu kau suka dia?” soalnya lagi.

      “Aku rasa dia tahu,” balas Adam.

       “Ada dia cerita apa-apa tentang Affan?” Adam pantas menoleh ke arah Syafiq.

       “Siapa lelaki tu? Apa hubungan dia dengan Nur?” tanya Adam kalut. Mungkin dia boleh mengetahui mengenai lelaki itu dari abang Najiha. Dan dia yakin, hubungan antara Najiha dan Affan bukan hubungan biasa memandangkan semua ahli keluarga Najiha turut mengenali lelaki itu.

      “Kau tanya Jiha sendiri. Aku harap sangat, semoga kau dapat hilangkan kesedihan Jiha.” Syafiq menepuk-nepuk bahu Adam sebelum bergerak menuju ke rumah. Meninggalkan Adam sendirian. “Jangan lupa tengokkan lemang tu. Aku nak ke tandas sekejap.” Sempat dia berpesan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab TEASER | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku