GELANG AJAIB
Bab GELANG AJAIB
Genre: Fantasi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 07 Februari 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
903

Bacaan






SI MAWAR PUTIH

SI MAWAR MERAH

Oleh: Zainal Taib Ab Hamid

Depan balai Polis Batu Melintang

17520 Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

Emel:zt_idaman@yahoo.com.my

Telefon:014-8276298

Babak-babak dalam Si Mawar Putih, Si Mawar Merah

1-Keluarga Bahagia Pak Ulam Batu dan Mak Timun.

2-Dodoi Si Mawar Merah.

3-Perginya Mak Timun.

4-Pak Ulam Batu Kahwini Cik Labu

5-Kelahiran Si Mawar Putih.

6-Si Mawar Merah Tersiksa.

7-Kepergian Pak Ulam Batu.

8-Mengadap Sultan.

9-Tidak Amanah.

10-Hati Si Mawar Merah Terguris.

11-Jumpa Tok Bomoh.

12-Si Mawar Merah Bersemangat.

13-Mimpi jadi kenyataan.

14-Puteri Jelita Menawan Hati Putera.

15-Puteri Hilang Lagi.

16-Si Mawar Putih Nak Jadi Penyanyi.

17-Gelang Puteri Terlepas Tangan.

18-Gelang Emas Ajaib.

19-Si Mawar Merah Bertukar Menjadi Tuan Puteri.

20-Air Jampi Tok Bomoh Tak Menjadi.

21-Cik Labu Merayu diBebaskan.

22-Rancangan Jahat Cik Labu dan Si Mawar Putih.

23-Si Mawar Merah DiKhianati

24-Orang Jahat Dibalas Jahat, Orang Baik Dibalas Baik.

SI MAWAR MERAH SI MAWAR PUTIH.

Sinopsis. (Sebuah novel kisah dongeng fantasi).

Mengisahkan sebuah keluarga sebelum kedatangan Islam, iaitu keluarga Pak Ulam Batu dan isterinya Mak Timun. Sebelum ini mereka hidup aman tenteram di sebuah kampung yang di perintah oleh seorang raja iaitu Sultan Nur Ilham.

Mereka telah dikurniakan seorang anak , yang bernama Si Mawar Merah. Tetapi keadaan kesihatan Si Mawar Merah selalu tidak sihat, menyebabkan Mak Timun secara kebetulan bertemu dengan Cik Siti Labu Ramping, seorang penjual ubat dan akar kayu yang aktif di kampung mereka.

Setelah Si Mawar Merah sembuh, tiba-tiba Cik Siti Labu ramping terpandang suami Mak Timun yang kacak, tampan dan sasa, lalu di hatinya terbit perasaan jatuh cinta

Dia cuba merebut hati Pak Ulam Batu, dengan berbuat baik kepada Mak Timun. Tetapi dalam diam-diam dia telah memberi racun kepada Mak Timun menyebabkan sedikit demi sedikit Mak Timun terpaksa menahan kesakitan.

Mak Timun menyangka ubat yang diberi oleh Cik Siti Labu Ramping itu adalah penawar, sebenarnya adalah racun yang hendak membunuh Mak Timun.

Akhirnya Mak Timun meninggal dunia dan Pak Ulam Batu terpaksa menjaga dan mengasuh anaknya Si Mawar Merah.

Mak Timun yang jujur itu telah berpesan kepada suaminya, supaya berkahwin dengan Cik Labu Ramping, kerana dia melihat Cik Labu Ramping adalah seorang yang baik hati. Tapi dia tidak tahu hakikat sebenar Cik Labu Ramping.

Setelah Pak Ulam Batu berkahwin dengan Cik siti Ramping, pada mulanya Cik Labu Ramping berbuat baik kepada anak tirinya Si Mawar Merah. Tetapi setelah lahirnya anak mereka Si Mawar Putih , sikap Cik Labu Ramping berubah, dia mula menyiksa dan mendera Si Mawar Merah.Keadaan ini lebih menjadi-jadi setiap kali Pak Ulam Batu keluar berkerja.

Pada suatu hari Sultan hendak membuat satu temasya di kampung mereka, jadi Pak Ulam Batu telah ditugaskan untuk mencari kayu api. Bila Pak Ulam Batu masuk ke hutan dia tersesat, semua penduduk kampung telah menganggap Pak Ulam Batu telah mati, kerana sampai berhari-hari Pak Ulam batu tidak dapat dijejaki.

Setelah pemergian Pak Ulam Batu, maka berlakulah episod-episod penyiksaan terhadap Si Mawar Merah yang dilakukan oleh Cik Siti Labu dan anaknya Si Mawar Putih.

Setiap hari Si Mawar telah dipaksa membasuh pinggan mangkuk, di suruh mencari kayu api dan memunggah air di sungai, sedangkan Cik Siti Labu dan Si Mawar Putih asyik bergoyang kaki sahaja di rumah, sambil bersolek.

Setelah habis kerja , Si Mawar Merah diberi makan hanya sisa-sisa makanan sahaja, dan terus Merah selalu dipukul pula,

Suatu dalam keadaan kesakitan dan keletihan dia tertidur di atas batu di tepi sungai. Tiba -tiba di mendapat mimpi di suruh oleh ibunya yang meninggal dunia itu itu supaya memakan buah jambu dan mengambil seutas gelang yang berada di sisinya.

Mimpinya menjadi kenyataan, bila dia sedar,apa yang dimimpi itu betul-betul berada di depannya. Bila Si Mawar Merah tersedar, dia dapati di depannya ada sebiji buah jambu dan seutas gelang. Lalu dia memakan buah jambu tersebut dan mengambil gelang itu, dia tidak memakai tapi menympannya agar tidak diketahui oleh ibu tiri dan adiknya yang jahat itu.

Setelah memakan buah jambu tersebut, Si Mawar terasa dirinya berubah, dia menjadi lebih berani dan suaranya menjadi lebih merdu, kalau dia menyanyi atau bersyair.

Suatu hari anak seorang Putera Raja telah mendengar suara Si Mawar Merah sedang menyanyi, dia terpesona dan terpikat dengan suara merdu itu. Lantas dia menyuruh semua pegawai dan hulubalangnya mencari gadis tersebut.

Disitulah pula bermulanya berbagai helah dan niat jahat Cik Siti Labu Ramping, untuk menyembunyikan Si Mawar Merah supaya tidak dapat dilihat oleh Putera Raja tersebut. Dia telah membuat perancangan agar putera tersebut hanya mempercayai anaknya Si Mawar Putih sebenarnya yang menyanyi tadi.

Suatu hari Putera Raja telah membuat peraduan untuk mencari penyanyi yang sebenar. Ketika itulah Si Mawar Merah muncul , wajah nya berubah menjadi lebih cantik setelah dia memakai gelang emas tersebut., Si Mawar Merah telah menjadi seorang puteri yang jelita.Putera Raja telah mendapatkan puteri itu, tapi puteri itu cuba melepaskan diri, semasa tangannya di tarik,, gelang emas tercabut dari tangan. Si Mawar Merah; yang bertukar menjadi puteri.

Putera Raja terpaksa mengembara mencari cintanya dengan meminta mana-mana anak gadis yang boleh memakai gelang emas itu, akan menjadi isterinya. Tapi sayang gelang emas itu tidak dapat dipakai oleh semua gadis-gadis dari seluruh dunia, termasuk puteri dari Temasik dan Negeri Cina. Bak kata sesiapa yang memiliki tangan kecil ,gelang itu akan menjadi lebih kecil, dan sesiapa yang memiliki tangan besar, memanglah tidak muat langsung, itulah kuasanya gelang ajaib Si Mawar Merah.

Dapatkan Putera Raja mencari cintanya ,ikutilah novel SI MAWAR MERAH ,SI MAWAR PUTIH.

BAB (1)

KELUARGA BAHAGIA PAK ULAM BATU DAN MAK TIMUN

Tersebutlah kisah di sebuah kampung yang terletak di Ulu Sungai Rual yang terkenal dengan nama Kampung Seri Alam, agak pendalaman dari perkampungan lain. Tinggallah Pak Ulam Batu dan isterinya Mak

Timun. Pasangan suami isteri ini hidup begitu bahagia dan mereka hidup dengan penuh kerukunan.serta tenteram.

Walaupun tempat tinggal mereka jauh dari kampung-kampung lain, tetapi mereka cukup aman dan tenang tinggal di kawasan yang agak terpencil itu.

Pak Ulam Batu hanya berkerja sebagai pemotong kayu api, di mana kayu api yang dipotong itu akan di jual di kawasan pekan yang berdekatan, kadangkala Pak Ulam Batu juga mengambil tempahan dari orang-orang kampung yang memerlukan kayu api.

Sejak-sejak akhir ini Pak Ulam Batu tidak mengambil banyak tempahan, kerana isterinya yang sedang sarat mengandung anak sulung.

Setelah sembilan bulan mengandungkan anak sulungnya, tiba-tiba sampailah masa untuk Mak Timun bersalin, kelam kabut dibuat oleh Pak Ulam batu mencari bidan kampung untuk menolong Mak Timun yang sedang sakit untuk bersalin.

Bergegas Pak Ulam Batu keluar untuk menjemput Mak Bidah Bujur Sireh yang terkenal dalam soal perbidanan di kampung tersebut.

Maka lahirlah anak perempuan sulung hasil perkahwinan antara Pak Ulam Batu dan Mak Timun.Mereka telah menamakan anak mereka yang comel itu dengan nama Mawar Merah. Alangkah gembiranya Pak Ulam Batu menyambut orang baru dalam keluarga mereka.

Setelah satahun berlalu dari atas dukung kemudian pandai merangkak, kemudian bertatih dan akhirnya Mawar Merah dapat berjalan dan berlari, begitulah peredaran masa yang berlaku begitu pantas.

Pada suatu hari berkatalah Mak Timun kepada suaminya Pak Ulam Batu, apabila melihat pada keadaan tubuh anaknya yang semakin panas.

“Abang boleh tolong carikan penawar buat Si Mawar Merah ni, kesian dia sakit, carilah ‘daun jarak’ atau ‘daun beka’ untuk buat mandian Si Mawar Merah ni, badannya panas”, Keluh Mak Timun bila melihat nasib yang menimpa anaknya. “Baiklah Timun, Abang akan cari daun-daun tu….inilah caranya jalan untuk anak kita sembuh”

Pujuk Pak Ulam Batu kepada Mak Timun.

Maka pergilah Pak Ulam Batu mencari penawar dari daun-daun herba untuk merawat kesakitan anaknya.

**********************************************************

TERSEBUTLAH pula kisah pada suatu hari ketika ketiadaan Pak Ulam Batu kerana mencari daun-daun tersebut.

Tiba-tiba rumahnya telah didatangi oleh seorang musafir perempuan yang muda bergaya, seperti serorang penjual ubat.

“Assalamualaikum, siapa ada di rumah?” Tanya perempuan tersebut.

“Waalaikummussalam, siapa?” Jawab Mak Timun sambil mendukung Mawar Merah.

“Hamba, Cik Siti Labu Ramping, dari kampung seberang, datang nak jual ubat akar kayu” Jawab perempuan tersebut.

“Oh!!!!silakan naik,kebetulan anak hamba ni…sakit, si bapa dia tak ada di rumah sebab cari ubat untuk kebahkan demam anak ni…” Balas Mak Timun balik.

“Oh!!!! Kesian budak ni….” Tingkah Siti Labu Ramping sambil mengusap dahi anak Mak Timun yang masih panas itu.

“Cik Siti Labu Ramping ada bawa tak ubat-ubat sakit budak ni….” Tanya Mak Timun sambil membelek bungkusan ubat-ubatan yang di bawa oleh Cik Labu Ramping.

“Tak payah panggil panjang-panjang nama hamba, panggil sahaja Cik Labu sudahlah, pasal ubat tu…saya rasa ada bawa” Jawab pula Cik Siti Labu Ramping berseloroh.

“Terima kasih Cik Labu” Ungkap Mak Timun.

“Eh…terlupa pula nak tanya tuan rumah ni nama siapa?” Tanya Cik Siti Labu Ramping terlatah.

“Nama panjang Cik Timun Keladi Bongsu, tapi orang kampung dan orang tua hamba panggil hamba Mak timun sejak kecil lagi, nama suami hamba pula Pak Ulam Batu dan nama anak perempuan hamba yang sakit ni… Si Mawar Merah, umurnya baru setahun” ulas Mak Timun kepada perempuan tersebut apabila semakin berminat untuk mendekati keluarga mereka.

“Ini ubatnya, dari akar kayu yang hamba beli dari orang-orang asli dekat hutan sana..” Jawab Cik Labu sambil menghulurkan segenggam akar kayu.

Cik Labu dan Cik Timun memasakkan akar kayu tersebut untuk di beri minum kepada Si Mawar Merah.

Beberapa jam kemudian, dengan izin Allah Mawar Merah sembuh dan dapat berlari serta bermain seperti biasa..

BAB (2)

DODOI SI MAWAR MERAH

Tiga hari kemudian pulanglah Pak Ulam Batu dengan penuh kehampaan kerana tidak menemui daun-daun seperti mana yang dikehendaki oleh Mak Timun.

Dia begitu sedih kerana tidak berjaya mencari daun-daun tersebut, dan terus termenung di tangga memikirkan nasib malangnya.

“Apa pasal abang ni…sedih sangat” Tanya Mak Timun sebaik sahaja melihat kedutan kehampaan di wajah Pak Ulam Batu.

“Mun….sudah puas abang mencari ke timur…ke barat, sebelah selatan dan sebelah utara , semuanya pokok tersebut tidak di temui, ada satu pokok yang abang jumpa tu…baru sahaja di tebang oleh orang, abang sedih Mun….” keluh Pak Ulam Batu sambil mengusap peluh di dahi.

“Abang jangan sedih, anak kita sudah sembuh, Mun dah ambil ubat akar kayu dari seorang perempuan yang jual ubat dekat sini” Balas Mak Timun menenangkan perasaan Pak Ulam Batu.

“Bersyukurlah Mun, perempuan mana yang pandai jual ubat tu..” puji Pak Ulam Batu sambil naik ke atas rumah untuk melihat keadaan Senduduk Merah yang sedang nyenyak tidur.

‘Mun tak bayar lagi harga ubat tu…, Mun hutang dulu …dia kata sehari dua nanti dia akan datang nak ambil harga ubat tu…” ungkap Mak Timun sambil menghulur air sejuk kepada Pak Ulam Batu.

“Tak apalah, simpanan kitakan ada dalam tabung tu….asalkan anak kita sembuh, apa sahaja abang sanggup” Tingkah Pak Ulam Batu.

“Oh itu…perempuan tu…dah datang bang…” Sambil menunjukkan ke arah Cik Labu yang berlenggang-lenggok menuju ke rumah mereka.

Pak Ulam Batu segera masuk ke dapur, mungkin sedikit segan dengan tetamu baru yang singgah ke rumahnya, malah Pak Ulam Batu sendiri masih tidak berbaju, hanya memakai kain pelikat sahaja.

“Silalah naik Cik Labu”, Jemput Mak Timun sambil menghulurkan salam.

“Terima kasih” Jawab Cik Labu penuh bersopan santun.

Tiba-tiba Pak Ulam Batu keluar sambil membawa tabung duit untuk membayar harga ubat-ubatan dari Cik Labu.

Terbeliak biji mata Cik Labu melihat ketampanan dan ketegapan Pak Ulam Batu disamping membawa tabung duit yang banyak.

“Bagaimana dengan keadaan Si Mawar Merah?” pura-pura Cik Labu bertanya kerana untuk melindungi perasaan terpesonanya kepada ketampanan suami Mak Timun, kebetulan Cik Labu masih belum berkahwin.

“Bersyukurlah , anak hamba dah sembuh, terima kasih pada Cik Labu kerana beri ubat kepada anak hamba” Puji Pak Ulam Batu, sambil menjenguk isterinya yang sedang menjeram air di dapur.

“Sama-sama , kita kena tolong menolong” Jawab Cik Labu sambil menjuntai-juntaikan rambutnya, menggoda.

“Berapa harganya” Tanya Pak Ulam Batu.

“Tak mahal, satu rial sahaja” Balas Cik Labu dengan senyuman yang menggoda, terkedu juga sekali sekala perasaan Pak Ulam Batu bila Cik Labu menjeling ke arahnya.

“Silalah minum dulu” Sapa Mak Timun dari belakang mengejutkan lamunan Cik Labu.

“Cik Labu ni asal orang kampung mana?” Tanya Mak Timun kerana sewaktu pertemuan pertamanya dia tidak sempat berkenalan lebih lanjut dengan Cik Labu.

“Hamba orang perantau, anak yatim, tetapi orang kata hamba ni…keturunan Jawa” Jelas Cik Labu, serba sedikit tentang dirinya.

“Tinggal dengan siapa? Dengan suami kah?” tanya Pak Ulam Batu pula mencelah.

“Hamba tak ada suami lagi, masih anak dara, umur dah lanjut siapalah yang hendakkan kita” Cik Labu buat muka kesian.

“Lambat laung, adalah tu…jodoh” Pujuk Mak Timun.

‘Hari dah petang, biarlah hamba balik dulu, tengoklah dah kenal-kenal macam ni…rasanya hendak datang lagi untuk berkawan dengan keluarga Mak Timun ni…” Ungkap Cik Labu.

“Eloklah tu….sekurang-kurang hamba ada kawan untuk berbual, Abang Ulam engkau ni…asyik berkerja aje…”Tingkah Mak Timun sambil berdiri menghormati tetamu pulang.

Dia segera ke bilik tidur kerana Si Mawar Merah sudah terjaga dan merengek-rengek menangis , mungkin sudah tiba masa waktu makan.

“Jangan menangis….jangan menangis anak ku sayang…” Mak Timun mendodoikan anaknya.

“dodoilah mata…dodoilah sayang, tidurlah mata…tidurlah sayang

“Dodoi anakku nak tidur, tidurlah mata, tidurlah manja”

Mawar Merah pun berhenti menangis apabila mendengar nyanyian ibunya yang merdu itu. Dia seperti tahu lagu merdu yang dinyanyikan oleh ibunya setiap kali dia menangis.

BAB (3)

PERGINYA MAK TIMUN

Di kisahkan pula Mak Timun jatuh sakit yang amat sangat , sudah berminggu dia demam namun tidak juga sembuh.

Sudah ramai bomoh yang ditemui, namun sakit Mak Timun juga tidak sembuh-sembuh, menurut salah seorang bomoh yang merawat Mak Timun, katanya Mak Timun dipercayai terkena santai, buatan orang.

Menurut bomoh itu, penyakit Mak Timun tidak akan sembuh kerana buatan yang dibuat itu terlalu kuat kerana sudah menjadi sedaging dan melekat kuat dalam tubuh Mak Timun. Nasib baiklah ada Cik Labu yang sentiasa menjaga dan mengurus makan minum Pak Ulam Batu dan anaknya Si Mawar Merah semasa Mak Timun sakit.

“Terima kasihlah Cik Labu kerana sanggup mengasuh Si Mawar Merah, nak harapkan Mak Timun, sudah bermacam-macam hamba ikthiar, sakitnya tidak sembuh-sembuh” Keluh Pak Ulam Batu kepada Cik Labu yang asyik mendukung Si Mawar Merah.

“Tak apalah, hamba akan menolong keluarga Abang Ulam sampai Mak Timun sembuh” Kata Cik Labu menenangkan perasaan Pak Ulam Batu.

“Terima kasih sekali lagi Cik Labu, kalau tak ada Cik Labu, siapalah yang boleh membantu hamba ” Puji Pak Ulam Batu, sambil menyelimutkan isterinya Mak Timun yang terlantar sakit.

“Abang jika Mum tak ada di dunia ini jagalah anak kita, abang kahwinlah dengan Cik Labu, dia boleh jaga Merah” Ungkap Mak Timun dengan suara yang tersekat-sekat kerana sakit, Pak Ulam Batu tergaman seketika,bila disebut pasal kahwin.

“Jangan Mun cakap macam tu…Abang masih sayangkan Mun…..” Tingkah Pak Ulam Batu.

“Mun…dah tak ada harapan lagi, sekarangpun…..Mun sakit” Ungkapnya lagi dalam keadaan yang tersekat-sekat.

“Cik Labu kalau aku mati, sanggup tak engkau kahwin dengan Abang Ulam? Tanya Mak Timun.

“Sanggup” Jawab Cik Labu, Pak Ulam Batu terkejut dengan jawapan Cik Labu.

“Aku harap engkau dapat jaga anak aku Si Mawar Merah, jadikan dia seperti anak kamu sendiri….. Merah mari dekat ibu…..” Panggil Mak Timun.

Si Mawar Merah yang berada di atas riba Cik Labu terus meluru dan mendakap ibunyanya, esakan dari Mak Timun semakin kuat terdengar.

Akhirnya Mak Timun menghembuskan nafasnya yang terakhir, Pak Ulam Batu begitu sedih di atas kepergian isterinya ke Alam Baqa.

BAB(4)

PAK ULAM BATU KAHWINI CIK LABU

“Dodoilah mata, dodoilah sayang…, tidurlah mata …, tidurlah sayang”

Sebaik sahaja selesai mendodoikan anaknya, Mak Timun pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.Hampir sebulan Pak Ulam Batu tidak lalu untuk makan-minum dan tidak lena tidur kerana asyik menangis teringatkan kepergian Mak Timun ke alam Baqa.

Sementara itu anaknya Si Mawar Merah tinggal bersama Cik Labu. Cik Labulah yang mengasuh Si Mawar Merah sepeninggalan Mak Timun.

Si Mawar Merah memangggil Cik Labu dengan panggilan ‘ibu’ kerana dia sendiri seperti menyayangi Si Mawar Merah.

“Terima kasih Cik Labu kerana mengasuh anak hamba ” Ungkap Pak Ulam batu.

“Selagi Abang Ulam tak kahwin dan cari pengganti selama itu lah hamba kena menjaga Si Merah ni…” Celah Cik Labu menunduk.

“Siapalah yang hendakkan hamba, sudahlah rupa buruk tak berharta pula” Pak Ulam Batu merungut tentang nasibnya.

“Adalah tu….., Abang Ulam asyik nampak yang jauh aje…orang di depan mata tak perasankah?” Seloroh Cik Labu, tetapi dia mengharap selorohnya menjadi.

“Oh ya..tak ya juga, hamba terlupa, Si Mawar Merah pun berkenan dengan Cik Labu untuk menjadi pengganti ibunya, bulan mengambang nanti hamba akan masuk meminang Cik Labu” Ungkap Pak Ulam Batu sambil merenung ke dalam mata Cik Labu. Cik Labu tertunduk malu, dia tersipu-sipu, tetapi di dalam hati dia cukup gembira kerana umpannya selama ini sudah terkena.

Pak Ulam Batu sudah masuk ke perangkapnya.

*********************************************************

SEBULAN kemudian Pak Ulam Batu dan Cik Labu Ramping telah diijabkabulkan oleh Imam Qassim An-Nur, saudagar dari tanah arab yang menetap di kampung mereka.

Alangkah gembiranya dua mempelai yang selesai diijabkabulkan. Pak Ulam Batu tidak terasa sunyi lagi semenjak adanya Cik Labu di rumah mereka. Sekurang-kurangnya adalah orang yang menjaga, memasak dan mengasuh Si Mawar Merah yang masih kecil.

Tetapi sejak berkahwin dengan Cik Labu, Pak Ulam Batu rasa nya berbeza sedikit kerana kali ini dia terpaksa melayan kehendak isterinya yang mengada-ngada.,suka bersolek dan berhias diri serta suka dipuji.

Berbeza sakan jika dibandingkan dengan Mak Timun isteri pertamanya yang lemah lembut dan mempunyai kecantikan asli.

Dia masih mengingati kata-kata Mak Timun, di mana Mak Timun memberitahu air sembahyang adalah bedak utama dalam mencantikkan wajah , kerana selain menjernihkan muka, air sembahyang juga dapat membersihkan hati dan jiwa.

Tetapi ketika bersama Cik Labu, tidak pernahpun sebut pasal sembahyang, asyik –asyik berbedak dan mengadap cermin setiap hari.

Setiap kali ditegur oleh Pak Ulam Batu, akan dileternya balik sampai berguni-guni sumpahan dihamburkan kepada Pak Ulam Batu.

Hendak buat macam mana lagi, Cik Labu sudah menjadi isteri yang sah dan dia sendiripun sayang dengan isterinya yang jelita itu, jadi kepahitan tersebut terpaksalah di telan oleh Pak Ulam Batu.

BAB (5)

KELAHIRAN SI MAWAR PUTIH

Setelah setahun perkahwinan antara Pak Ulam Batu dan Cik Siti Labu Ramping, maka tibalah masa isteri Pak Ulam Batu hendak bersalin, anak sulung hasil perkahwinan keduanya.

Betapa sakitnya Cik Labu mengandungkan anak sulung itu, beberapa bidan telah dijemput untuk membantu kesukaran Cik Labu nak bersalin.

“Apa yang engkau beri dia makan sampai susah nak bersalin?”Tanya Bidan Minah kepada Pak Ulam Batu.

“Tak tahulah, saya pun tak perasan, dia alahan semasa mengandung lagi” Jawab Pak Ulam Batu, sambil termenung kesedihan. Sebenarnya dia bimbang dan susah hati takut kehilangan isteri keduanya pula.

“Sabarlah Pak Ulam, saya akan bantu sampai Cik Labu ni…bersalin, entah pelesit mana yang melekat dekat tubuh dia, sampai susah nak bersalin” Pujuk Bidan Minah sambil menepuk-nepuk bahu Pak Ulam Batu, untuk menenang perasaan.

Mulut Bidan Minah kumat-kumit membaca ayat atau mentera yang tidak difahami oleh Pak Ulam Batu, dia hanya menurut sahaja apa yang disuruh oleh Bidan Minah, asalkan isterinya selamat bersalin.

Sampai tempoh waktu dan setelah menempuh berbagai kesakitan akhirnya Cik Labu selamat bersalin seorang bayi perempuan.

Bayi perempuan itu dipangku oleh Pak Ulam Batu dan dia telah menamakan bayi tersebut sebagai Si Mawar Putih.

Orang yang paling gembira di atas kelahiran Si Mawar Putih adalah kakaknya Si Mawar Merah yang ketika itu sudah berumur tiga tahun. Si Mawar Merah sudahpun pandai berkata-kata dan lincah bermain, dia melompat-lompat tanda kegembiraan di atas kelahiran Si Mawar Putih.

“Ayah….Merah gembira kerana dapat adik baru” ungkap Si Mawar Merah memeluk ayahnya.

“Sekarang…Merah dah ada kawan…Merah boleh bermain dengan adik”

balas Pak Ulam Batu kepada anak sulungnya.

“Siapa nama adik Merah?” Tanya Si Mawar Merah

“Si Mawar Putih, Merah boleh panggil Putih” jawab Pak Ulam Batu lagi.

“Adik Putih!!!!! Adik Putih!!!! Adik Putih!!!!” Jerit Si Mawar Merah sambil berlari naik ke bilik ibu tirinya kerana ingin mencium pipi Si Mawar Putih.

Belum pun sempat hidung singgah ke pipi Si Mawar Putih, tiba-tiba satu tamparan kuat pula singgah ke pipinya.

Si Mawar Merah menangis kesakitan, inilah pertama kali dia di tampar oleh ibu tirinya yang semakin berubah sejak kelahiran Si Mawar Putih.

“Ada apa?” Laung Pak Ulam Batu dari bawah bila mendengar jeritan tangisan dari Si Mawar Merah.

“Tak ada apa-apa bang…., Merah terjatuh semasa nak cium Putih” laung balik Cik Labu menyembunyikan tindakannya. Dia marah Si Mawar Merah kerana hendak mencium Si Mawar Putih dalam keadaan hidung berhingus.

“Mari….mari tempat ayah Merah…..” Panggil Pak Ulam Batu dari bawah, Si Mawar Merah bergegas turun mendapatkan ayahnya yang sedang berbaring di tangga rumahnya.

Semenjak kehadiran Si Mawar Putih dalam keluarga Pak Ulam Batu, maka kedudukan Si Mawar Merah semakin terpinggir. Si Mawar Merah semakin tersisih, apa-apa sahaja yang dibuat serba tidak kena, nampak sahaja kesalahan dari pihak Si Mawar Merah, terutama dari ibu tirinya yang suka mencari kesalahan Si Mawar Merah.

Pak Ulam Batu sendiripun seperti hilang perasaan kasih kepada Si Mawar Merah, kerana terlampau mendengar hasutan dari Cik Labu, isteri mudanya.

Walaubagaimanapun Si Mawar Merah adalah seorang kanak-kanak yang tabah dan sabar menempuh dugaan hidup. Di usia yang sebegitu dia pandai menyembunyikan perasaan sedihnya, dia hanya menangis di dalam hati setiap kali kata-kata nista dihamburkan dengan kata-kata kesat kepadanya .oleh ibu tiri yang zalim.

Dia tahu ibu tirinya sekarang tidak selembut seperti dulu, sifatnya semakin ganas, garang dan menjadi seorang yang panas baran. Apa yang dilihat dalam diri Si Mawar Merah, semuanya salah. Ibu tirinya hanya membuat baik ketika berada di hadapan ayahnya sahaja. Sebaik ayahnya pergi bermacam maki-hamun dihadiahkan kepada Si Mawar Merah.

“Pandai sungguh Si Merah ni…menjaga adik” Puji Cik Labu sebaik sahaja Pak Ulam Batu sampai di tangga rumahya.

“Baguslah, kitakan keluarga bahagia…” Puji balik Pak Ulam Batu sambil mengesat peluh di pipi.

“Nah…ini abang bawakan sarung baru untuk isteri abang yang pandai menjaga anak-anak, abang baru sahaja beli dekat pekan ” Ungkap Pak Ulam Batu bila melihat, beberapa kali Cik Labu asyik menjeling bungkusan di tangan Pak Ulam Batu.

“Cantiknya bang…” Sebaik sahaja membuka bungkusan tersebut.

“Yang ni…baju untuk Putih…” Tingkahnya lagi.

“Putih!!!!!! Putih!!!! Ini ayah belikan baju untuk Putih” Laung Cik Labu kepada Putih yang sedang bermain di bawah pokok nangka hadapan rumahnya.

Si Mawar Putih yang kini sudah berumur 10 tahun berlari-lari untuk mengambil baju dari tangan ayahnya. Bukan main seronaknya Si Mawar Putih bila mendapat baju baru.

“Mana Merah?” Tanya Pak Ulam Batu.

“Entahlah Bang….budak tu…susahlah nak ajar, tak macam Putih lekat dekat rumah.Semalam perangainya menjadi-jadi di minta yang bukan-bukan” Cik Labu memburuk-burukkan perangai Si Mawar Merah.

“Sabar ajelah….budak tu…masih kecil, kesian dia, kehilangan ibu…” Pak Ulam Batu cuba menyabarkan perasaan Cik Labu.

“Semalam dia marah Labu di herdiknya Labu kata Labu tidak mahu membasuh baju dia, tapi tak apalah Labu tahu siapa Labu ….” Cik Labu cuba menghasut dan membuat muka kesian. Nampaknya Pak Ulam Batu semakin termakan dengan hasutan Cik Labu.

“Nantilah dia pulang, Abang akan kerjakan dia” Pak Ulam Batu menenangkan jiwa Cik Labu, ada sedikit kegembiraan perasaan Cik Labu bila dia mendengar Pak Ulam Batu akan bertindak terhadap Si Mawar Merah.

BAB (6)

SI MAWAR MERAH TERSIKSA

Beberapa tahun kemudian semakin meningkatlah usia Si Mawar Merah dan Si Mawar Putih. Sekarang Si Mawar Merah sudah berumur 18 tahun , sudah dianggap sebagai seorang remaja dan Si Mawar Putih berumur 16 tahun sudah menjadi anak dara sunti , hanya dua tahun sahaja perbezaan umur mereka.

Kedua-duanya sungguh ayu dan jelita serta kecantikan mereka menjadi tersohor oleh penduduk kampung tersebut. Dianggap sebagai dua kuntum bunga yang sedang berkembang di desa itu. Ramai anak muda cuba menyunting, tetapi Pak Ulam Batu dan Mak Labu masih memilih-milih calon menantu untuk kedua anaknya.

Si Mawar Putih mempunyai kecantikan yang diwarisi dari sebelah ibunya yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Sebaliknya Si Mawar Merah mempunyai kecantikan asli, dia tidak perlu bersolek , kerana keayuan wajahnya sudah sempurna.

Namun nasibnya lebih malang, kerana dia mempunyai sifat yang lebih mesteri dan suka mendiamkan diri. Dia juga suka berahsia dan tidak mahu menonjol-nonjol. Berbanding dengan Si Mawar Putih yang lebih lincah dan keletah serta sikap yang suka mengada-ngada dan gaya jalan pula terkedip-kedip, bila bercakap tangan macam sotong, mewarisi sifat ibunya.

Setiap kali ada orang yang datang berkunjung ke rumah mereka, Si Mawar Merah sentiasa diarah berada di ruang dapur oleh ibu tirinya, supaya orang tidak dapat melihat keayuan Si Mawar Merah yang lebih terserlah.

Bagi Cik Labu dia mengharap agar orang lebih suka melihat keayuan anaknya Si Mawar Putih dari melihat Si Mawar Merah, sebab itulah Si Mawar Merah hanya di beri pakai baju-baju buruk sahaja, sedangkan Si Mawar Putih setiap hari memakai baju baru.

Si Mawar Merah hanya di beri pakai baju baru ketika ayahnya berada di rumah, selepas ayahnya pergi berkerja dia disuruh oleh Cik Labu memakai baju buruk, supaya orang melihat kehodohan Si Mawar Merah.

Apa-apa sahaja yang di beri oleh Cik Labu, Si Mawar Merah redha, tetapi dia tidak dapat menerima hakikat bahawa dirinya diburukkan dengan cerita-cerita yang bukan-bukan oleh Cik Labu kepada ayahnya.

Tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa, hanya menangis di dalam hati, kadangkala dia rasa lebih baik Tuhan mencabut sahaja nyawanya dari menanggung derita.

Di tepi sungai itu Si Mawar Merah begitu sedih , dia menangis teresak-esak apabila menginggatkan kata-kata nista dari ibu tirinya.

Dia melihat kejernihan air sungai yang mengalir tenang, dia mengharap jiwanya setenang aliran sungai tersebut.Anak-anak ikan yang berenang ke hulu ke hilir turut menenangkan jiwanya.

“Alangkah seronaknya jika aku menjadi ikan, tidak lah hidup tersiksa seperti ini” desis hati kecilnya.

“Jangan menangis Kak Merah, hamba akan hiburkan hati Kak Merah dengan lagu-lagu merdu” mungkin itu yang dikatakan oleh kicauan Sang Murai di atas Pokok Bonggor di tepi sungai itu yang memayunginya untuk berteduh seketika.

“Terima kasih Sang Murai, suaramu..sungguh merdu, menghiburkan hatiku…” bisik hatinya lagi kepada burung-burung yang riuh berkicau.

Tiba-tiba dia teringat lagu dodoi yang sering dinyanyikan oleh ibunya semasa ibunya masih hidup.

“dodoi mata dodoi….Dodoilah sayang, tidurlah mata…, tidurlah sayang”

“Mari kita balik Merah…” Ungkap Pak Ulam Batu mengejutkan lamunan Si Mawar Merah, dia seperti memujuk Si Mawar Merah supaya pulang, kerana Pak Ulam Batu tahu anaknya sedang merajuk.

“Ibu engkau tak marah , janganlah nakal-nakal lagi” Pujuk lagi Pak Ulam Batu.

“Baiklah ayah, Merah pulang, ayah…pulanglah dulu….” Tingkah Si Mawar Merah, dia menyembunyikan perasaannya yang sebenar.

Dia tahu ibu tirinya hanya bersikap alim ketika ayahnya ada di rumah. Kalau ayahnya tak ada di rumah berbagai-bagai keburukan diungkit oleh ibu tirinya dan adiknya Si Mawar Putih.

Dia mengharap biarlah dia sendiri yang menanggung penderitaan ini, dia tidak mahu menceritakan kepada sesiapa hanya tuhan yang tahu perasaannya.

“Ya Allah lindungi lah aku dari sebarang kejahatan” Desis hati Si Mawar Merah, berdoa.

BAB (7)

KEPERGIAN PAK ULAM BATU

Pada suatu pagi Pak Ulam Batu ingin mengadakan mesyuarat tergempar keluarga. Dia telah memanggil isterinya Cik Labu dan dua orang anaknya Si Mawar Merah dan Si Mawar Putih.

“Wahai anak-anak ku….,sekarang ayah telah diarahkan mengetuai rombongan mencari kayu api di hutan yang agak pendalaman, kerana untuk mengadakan kenduri besar putera raja yang memerintah untuk melawat kampung kita, pada bulan depan”

“Mungkin berminggu-minggu ayah dan kumpulan ayah akan mengumpul kayu api tersebut, oleh itu kamu pandailah menjaga diri semasa ketiadaan ayah” Ungkap Pak Ulam Batu memaklumkan kepada anak-anaknya.

“Cik Labu….abang harap ketiadaan abang nanti, jagalah anak-anak kita, mereka tu…dah besar panjang, takut-takut apa-apa pula berlaku” Jelas Pak Ulam Batu lagi mengingatkan isterinya.

“Baiklah Abang , oleh kerana ini adalah arahan raja, Labu terima amanah abang” Jawab Cik Labu penuh sopan.

“Kalau abang dapat upah nanti, abang akan belikan hadiah untuk kamu dan anak-anak”Tingkah lagi Cik Ulam Batu.

“Terima kasih bang…” Jawab Cik Labu.

“Ayah nanti dapat upah ni….Putih mahukan baju baru, kasut baru” Celah Si Mawar Putih merengek-rengek.

“Baiklah sayang” Jawab Pak Ulam Batu.

“Labu mahukan kain sarung baru dan gelang tangan emas” Celah pula Cik Labu.

“sudah tentu itu milik kamu Labu” Jawab Pak Ulam Batu.

“Engkau nak apa Merah?” Tanya Pak Ulam Batu bila Si Mawar Merah tidakpun meminta apa-apa.

“Tak ada apa-apa yang Merah nak minta, cuma Merah doakan supaya Ayah selamat pergi dan selamat pulang” Itu sahaja permintaan Si Mawar Merah, Pak Ulam terpegun dengan permintaan anaknya itu.

“Terima kasih nak….nanti ayah belikan Merah seutas rantai emas buat kenangan” Ungkap Pak Ulam Batu kepada anak gadisnya itu, Cik Labu dan Si Mawar Putih terkejut dengan tawaran yang akan diberikan oleh Pak Ulam Batu kepada Si Mawar Merah.

“Ayah tak payahlah beli rantai emas buat Kak Merah, dia ni…hodoh dan pengotor” Sindir Si Mawar Putih cemburu.

Si Mawar Merah tidak tahan dengan sindiran yang dibuat oleh Si Mawar Putih dia menangis teresak-esak dan berlari menuju ke sungai tempat dia mencari ketenangan jiwa.

“Tak baik Putih cakap macam tu…kepada kakak” Tegur Pak Ulam Batu.

“Abang Ulam ni…sayangkan Merah aje…Putihkan anak kita juga, kesian pula Putih tak dapat keistimewaan macam Merah” Cik Labu pula menegur Pak Ulam Batu.

“Ya…lah Abang faham, tapi Putih ada ibu di dunia ini, Merah tak ada ibu….kesian Merah” Balas balik Pak Ulam Batu.

“Ya….lah tu…Labu faham, Labu tahu siapa Labu” Celah Cik Labu seperti merajuk.

“Jangan lah bimbang Abang tetap sayang Labu” Pujuk Pak Ulam Batu, sambil membelai rambut isterinya.
***********************************************************

SUDAH seminggu Pak Ulam Batu bersama rombongannya masuk ke hutan pendalaman kerana mencari kayu api untuk membuat kenduri lawatan putera raja ke kampung mereka.Menurut Penghulu kampung kenduri itu akan dibuat secara besar-besaran dengan mengorbankan dua ekor kerbau jantan dan akan dijamu kepada seluruh penduduk, termasuk beberapa kampung yang berjiran.

Riuh rendah penduduk kampung bergotong-royong membuat persiapan, di mana kampung mereka sekarang berwajah baru, dengan kebersihan dan keindahan bunga-bunga yang di tanam oleh penduduk kampung sempena lawatan putera raja ke kampung mereka.

Cik Labu juga kelam kabut dibuatnya kerana menyibukkan diri hendak pergi membantu isteri Tok Penghulu. Sebenarnya Cik Labu ke sana bersama anaknya Si Mawar Putih bukanlah niat untuk membantu isteri Tok Penghulu, tetapi ada ‘udang di sebalik batu’ dia ke sana sekadar hendak menunjuk-nunjuk barang kemas dan baju barunya serta hendak menunjuk-nunjukkan anaknya Si Mawar Putih yang dikatakan kecantikannya tiada tandingan anak-anak gadis di kampung tersebut.

Niat sebenarnya juga adalah hendak menunjukan kepada anak raja agar anak raja akan berkenan dengan Si Mawar Putih.

“Merah!!!! Engkau duduk di rumah sahaja, sebab aku nak ke Pekan nak tolong isteri Tok Penghulu buat persiapan, engkau di rumah tu…tolong basuh baju, pinggan mangkuk yang berlambak ni…perlu di cuci, faham!!!” tengking Cik Labu kepada Si Mawar Merah, Si Mawar Merah hanya membisu.

“Nah!!! Ini baju aku tolong basuh, kalau tak basuh siap engkau aku kerjakan!!!” tengking pula Si Mawar Putih sambil menghempas beberapa helai pakaian di hadapan Si Mawar Merah.

“Alamak!!!! Baju aku!!! Terkoyak…Merah!!!! Merah!!!! Merah!!!!!” laung Cik Labu dari kamarnya. Si Mawar Merah bergegas ke kamar Cik Labu untuk melihat apa yang terjadi.

“Kenapa bu….” Jawab Si Mawar Merah ketakutan.

“Mengapa baju aku terkoyak?, engkau carikkan ya!!!!” Tengking Cik Labu,

sambil menarik rambut Si Mawar Merah.

“Tidak bu….” Si Mawar menafi sambil menangis teresak-esak.

“Kalau bukan engkau siapa?” Jerit lagi, sambil menunjuk-nunjukkan jari telunjuk ke muka Si Mawar Merah.

“Tikus Bu……” Jawab Senduduk Merah.

“Berani engkau menjawab” Satu penampar singgah ke pipi gebu Si Mawar Merah, terjelepuk Si Mawar Merah rebah.

“Ibu !!!! selipar Putih putus!!!! Ini pasti perbuatan Kak Merah” Laung pula Si Mawar Putih sambil menunjukkan seliparnya yang terputus.

Sebenarnya selipar Si Mawar Putih terputus adalah kerana dia tersepak pada akar dan tidak ada kena mengena dengan perbuatan Si Mawar Merah.

Si Mawar Putih sengaja mengada-ngadakan cerita untuk mengapikan kemarahan ibunya kepada Si Mawar Merah.

“Wah!!! Sekarang dah berani rosaklah selipar anak aku, selipar ni…bukan bapa engkau yang beli, aku yang beli, duit aku!!!!” jerit Cik Labu sambil menolak Si Mawar Merah, sekali lagi terjelepuk Si Mawar Merah rebah ke lantai.

“Sekarang aku nak pergi , aku ulangi engkau kena jaga rumah ini faham!!!” Jerit lagi Cik Labu macam suara kuda, sambil menarik Si Mawar Putih meninggalkan Si Mawar Merah yang masih teresak-esak menangis.Kelibat Cik Labu dan Si Mawar Merah semakin hilang dari pandangan mata Si Mawar Merah, tetapi luka dengan kata-kata dan hinaan yang dibuat oleh ibu tirinya tadi masih terasa kesakitannya. Walau bagaimanapun dia patuh dengan arahan ibu tirinya dengan melakukan semua arahan yang di buat oleh ibu tirinya tadi.

Kain yang bertimbun sudah dicuci, pingan mangkuk yang kotor sudah dibersih, arang periuk yang hitam sudah berkilat, tak ada lagi yang perlu dibuat. Halaman di rumah sudahpun di sapu, semuanya Si Mawar Merah yang buat. Cik Labu dan Si Mawar Putih hanya bergaya sahaja di rumah Tok Penghulu.

Tiba-tiba dia teringat hanya satu lagi kerja yang tidak dibuat iaitu mengangkut air dari sungai.

Si Mawar Merah segera ke sungai yang terletak kira-kira setangah batu dari rumahnya untuk mengangkut air tersebut. Kalau tidak bising lagilah mulut ibu tirinya yang jahat itu.

“Jangan menangis kak Merah….hidup di dunia ini ada ujiannya, tempuhilah dengan penuh keredhaan, nanti suatu hari nanti Kak Merah akan dapat kemenangan” Suara Sang Murai berkicau menyanyi lagu menghiburkan hati Si Mawar Merah.Kemerduan kicauan Sang Murai menenangkan sedikit jiwa Si Mawar Merah, diapun turut menyanyi , merdu sungguh suara Si Mawar Merah sampai ungas-ungas di dalam hutan terpesona dengan suara Si Mawar Merah.

“Engkau lebih beruntung Sang Murai, hidupmu bebas boleh terbang ke sana-sini, kalau aku ada sayap aku juga ingin terbang sepertimu, aku ingin lari dari penderitaan ini” Bisik hati kecilnya sambil memerhati kepada kumpulan Sang Murai yang berterbangan ke sana-sini.

Sesakali-sekala Sang Murai penat dia hanya mampu melihat Si Mawar Merah berulang alik membawa mengangkut air dari sungai ke rumah.

Tetapi Sang murai ada perkhabaran untuk diceritakan kepada Si Mawar Merah.

Namun Si Mawar Merah tetap tidak memahamai apa yang ingin diceritakan oleh kumpulan Sang Murai tersebut. Berita sedih atau berita gembira.

Kali ini sesampainya di rumah, Si Mawar Merah melihat orang ramai berkumpul di halaman rumahnya. Dia terus membimbit air untuk meneruskan tugasnya. Dari celahan orang ramai itu dia juga sempat melihat ibu tiri dan adiknya Si Mawar Putih turut menangis.

Tiba-tiba Tok Penghulu menghampiri Si Mawar Merah dan menepuk-nepuk bahu Si Mawar Merah.

“Merah ….ayah Merah dah meninggal dunia, tertimpa pokok yang di tebang, dia terjatuh dalam gaung, kami tak jumpa mayat dia” jelas Tok Penghulu, kekusutan itu terjawab, kali ini Si Mawar Merah pula meraung kerana terkejut.

“Ayah!!!!” laung Si Mawar Merah, mengheningkan suasana seketika kerana esakan yang bergema itu mengharukan mereka yang berada di situ.

“Sabarlah nak…mungkin ada hikmah di sebaliknya” pujuk lagi Tok Penghulu cuba meredakan tangisan Si Mawar Merah.

Bagi Si Mawar Merah kepergian ayahnya bermakna hidupnya sudah tidak bererti lagi kerana siapa lagi yang boleh menolong sekiranya disiksa oleh ibu tirinya.

Dia juga tahu hidupnya juga tidak lagi secerah hari-hari kelmarin dan mungkin dia terpaksa menempuh hari-hari derita yang menakutkan, namun dia tetap pasrah dengan suratan takdir.

“Cik Labu besok lusa Sultan Nur Ilham yang memerintah negeri ini ingin menemui kamu sekeluarga, aku akan membawa kamu jumpa Sultan di istana, katanya dia hendak memberi pampasan di atas pengorbanan dan kesetiaan Pak Ulam Batu berkerja sehingga membawa maut” Tingkah Tok Penghulu lagi, terbeliak biji mata Cik Labu bila mendengar akan mendapat upah dan pampasan dari Sultan Nur Ilham.

“Terima kasih Tok Penghulu, saya berjanji akan pergi” Ungkap Cik Labu kali ini dia tidak menangis lagi, dalam masa yang singkat dia boleh melupakan Pak Ulam Batu kerana habuan yang akan di terima dari Sultan.

“Merah…..engkau ikut sama ya…. datang ke rumah Tok, Tok nak bawa kamu jumpa Sultan” Pesan Tok Penghulu.

“Baik Tok…” Jawab Si Mawar Merah.

“ Putih kena ikut tak?” Tanya Cik Labu bila Tok Penghulu tidak mempelawa Si Mawar Putih.

“Diakan anak Pak Ulam Batu juga,tentulah dia kena ikut” Jawab Tok Penghulu meleraikan kesangsian Cik Labu yang memang terkenal dengan sikap irihatinya.

“Terima kasih Tok Penghulu” Ungkap Cik Labu, dan orang ramai yang berkumpul di halaman rumah Cik Labu sudahpun beredar dan suasana menjadi semakin tenang.

Mereka semua menganggap yang sudah pergi tidak kembali lagi, cuma mereka terkilan kerana mayat Pak Ulam Batu tidak di temui, hilang entah di mana.

BAB (8)

MENGADAP SULTAN

Selang tiga hari pemergian Pak Ulam Batu menemui Tuhan, di rumah sibuk Cik Labu membuat persiapan untuk menemui Sultan yang memerintah.

Dia mengadap cermin semuanya tidak kena, nak pakai baju kebaya ketat, pinggangnya sudah tidak ramping lagi seperti zaman remaja.

Dulu semua orang kampung menggelarkan dirinya sebagai Cik Labu Ramping kerana dia memiliki tubuh yang cantik dan memiliki badan yang langsing. Tetapi hari ini dia agak gempal sedikit, tetapi masih jelita kerana dia suka bersolek dan menghiaskan diri.

“Cantik lagi aku ni….kalau berhias sakan, tentu ada lagi orang yang nak pikat aku” Bisik Cik Labu pada dirinya sendiri, penuh perasan.

“Sekarang kecantikan yang ada dalam diri aku diwarisi oleh Si Mawar Putih, aku berbangga mempunyai anak yang cantik, aku akan solek dia sampai dia menjadi lebih cantik agar putera raja akan terpikat dengannya,

boleh lah aku tinggal di istana” Cik Labu memasang angan-angan.

“Putih!!! dah siapkah belum, ibu dah nak pergi ni….kesian Tok Penghulu tunggu lama dekat rumah dia” laung Cik Labu, bila Si Mawar Putih belum keluar lagi dari kamarnya.

‘Dah siap bu…cantik tak Putih hari ini?” Tanya Si Mawar Putih.

“Amboi !!!!macam bidadari, tentu anak raja berkenan” Tingkah Cik Labu, memuji Si Mawar Putih.

Tiba-tiba dari kamar lain muncul pula Si Mawar Merah dengan sarung kampung yang agak kuno, tetapi apabila dipakai oleh Si Mawar Merah keayuaan tetap terserlah.

Si Mawar Merah mempunyai keistimewaan kerana kecantikan asli yang diwarisinya itu sudahpun boleh membuat sesiapa sahaja terpesona.

“Engkau nak kemana?” Tengking Cik Labu.

“Ikut ibu ke istana” Jawab Si Mawar Merah pendek.

“Siapa suruh?” Tanya Cik Labu.

“Tok Penghulu suruh” Balas lagi Si Mawar Merah.

“Binatang!!!” Satu penampar singgah ke pipi Si Mawar Merah, kemudian Si Mawar Putih pula menarik-narik sanggulan rambut Si Mawar Merah.

“Merah engkau tak payah pergi, anak pungutan, tak ada bapa tak ada ibu tak layak masuk istana” Cik Labu menghina Si Mawar Merah, sambil di sorak-sorak oleh Si Mawar Putih.

Si Mawar Merah menangis dia berlari menuju ke sungai mencari ketenangan jiwa.

“Ayuh!!! Mari kita pergi, tinggalkan budak hanyir ini dekat rumah” Cik Labu menarik tangan Si Mawar Putih, tergopoh-gapah mereka menuju ke rumah Tok Penghulu.

Sebaik sahaja sampai di rumah Tok Penghulu, isteri Tok Penghulu terus bertanya tentang Si Mawar Merah yang tidak datang bersama Cik Labu.

“Minta maaflah Tok Penghulu, Merah sakit, sejak ayahnya meninggal dunia, dia asyik berkurung di dalam bilik, asyik menangis, kesian dia….” Ungkap Cik Labu sambil menyapu air mata buat pura-pura bersimpati.

“Ya….lah Tok…Kak Merah tu, tak nak pergi ke mana-mana dia nak tenangkan jiwa dia, kesian sungguh dia” Celah pula Si Mawar Putih cuba meyakinkan Tok Penghulu.

“Tak apalah, kita bertiga aje..pergi ke istana tu..” Jawab Tok Penghulu yang sudah termakan tipu daya Cik Labu.

BAB (9)

TIDAK AMANAH

Tuanku….Patik datang mengadap sembah mengiringi isteri dan anak Pak Ulam Batu yang terkorban semasa menebang pokok untuk dijadikan kayu

api, bagi kenduri besar yang akan diadakan sempena lawatan Putera Mahkota Panji Gemilang di Kampung Seri Alam pada bulan depan nanti…., Patik datang membawa mereka mengadap sembah Tuanku untuk menunaikan hajat Tuanku untuk bertemu mata dengan mereka, ampun tuanku, beribu ampun patik mengadap sembah” Tok Penghulu mengadap sembah menemui Sultan Nur Ilham, Sultan yang memerintah.

“Hajat Beta untuk mengurniakan sumbangan upah dan sedikit pampasan di atas rasa tanggungjawab Beta sebagai Sultan yang memerintah terhadap rakyat Beta yang terkorban di atas kesetiaan menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Dengan itu Beta akan memberi sekapit emas untuk keluarga Pak Ulam Batu, pandai-pandailah isterinya mengagih-agihkan kepada pewaris-pewaris yang berhak”, titah Sultan Nur Ilham sambil menghulurkan sekapit emas kepada Cik Labu.

“Patik menjunjung perintah Tuanku” ungkap Cik Labu penuh beradab.

“Sebulan lagi anakanda Beta, Putera Mahkota Panji Gemilang akan berangkat ke Kampung Seri Alam, Beta minta Tok Penghulu senaraikan nama-nama rakyat Beta yang miskin dan papa kedana, kerana Beta titahkan kepada anakanda Beta supaya menyampaikan kurniaan sedikit harta untuk mereka” titah lagi Sultan Nur Ilham, anakandanya Putera Mahkota Panji Gemilang hanya senyum sahaja kepada pacar yang mengadap.

“Baik Tuanku ,Patik akan laksanakan hajat Tuanku, sebelum itu Patik memohon ampun kerana terpaksa mengundur diri, harap di ampun Tuanku

Ungkap Tok Penghulu sambil beredar dari istana tersebut.

Bagi Si Mawar Putih yang berdiam diri sejak tadi, kini dirinya sudah terpikat dengan ketampanan Putera Mahkota Panji Gemilang, di mana wajahnya umpama bulan penuh mengambang, cukup dengan sifat-sifatnya.

Berbagai gaya dan aksi dilakukan oleh Si Mawar Putih untuk menarik minat putera tersebut, namun Putera Mahkota Panji Gemilang tidak sedikitpun menjeling ke arahnya. Walaubagaimanapun dia mengharap agar suatu hari nanti anak raja ini akan jatuh ke tangannya.

SEMENJAK mendapat sumbangan dari Sultan Nur Ilham dengan pemberian sekapit emas, kehidupan Cik Labu dan Si Mawar Putih berubah, mereka semakin sombong dan kediaman mereka juga turut berubah dengan membina rumah baru. Cik Labu tidak mengagihkan sama rata pemberian yang diberi oleh Sultan Nur Ilham, di mana bahagian yang sepatutnya di beri kepada Si Mawar Merah digunakan oleh Cik Labu dan Si Mawar Putih. Sebaliknya mereka berdua bersikap angkuh dengan Si Mawar Merah dan melayan Si Mawar Merah seperti hamba di rumah baru mereka.Setiap hari dimaki dan di hina dengan kata-kata caci nista. Seolah-olah itulah santapan yang harus di terimanya setiap hari.

‘Siapalah aku, hanya menumpang kasih di rumah orang, hidup umpama melukut di tepi gantang, hari-hari di dera dan di siksa” Keluh Si Mawar Merah melayan perasaannya yang penuh kedukaan.

“Merah!!!!! Asyik termenung saja….nasi dah masak kah belum?, dasar budak pemalas!!!!, hidup di rumah orang pandai-pandailah jaga diri” Tengking Cik Labu mengejutkan lamunan Si Mawar Merah.

“Ibu!!!! Cincin Putih hilang….ini tentu Merah yang curi….”laung Si Mawar Putih mengadu kepada ibunya.

“Tidak …Merah tidak curi” jelas Si Mawar Merah.

“Dia bohong….Putih dah selongkar bilik dia, tapi tak jumpa, tentu dia sembunyi di tempat lain” tegas Si Mawar Putih.

“Binatang!!!! berani engkau selongkar bilik aku” satu penampar singgah ke pipi Si Mawar Putih, kadang kala Si Mawar Merah hilang sabar juga bila di tuduh sebagai pencuri.

“Ibu tentu Merah yang mencuri sebab dia marah Putih” jerit Si Mawar Putih dan menangis kerana di tampar Si Mawar Merah.

“Berani engkau tampar anak aku!!!” Satu pula tamparan singgah ke pipi Si Mawar Merah.

“Sudahlah mencuri, melawan pula” Si Mawar Putih pula menarik-narik rambut Si Mawar Merah.

Kemudian berlaku pergelutan antara Si Mawar Putih dan Si Mawar Merah, sejurus selepas itu Cik Labu pula turut melawan Si Mawar Merah, sehinggalah Si Mawar Merah jatuh dan rebah ke tanah.

Cik Labu turun ke tanah di sepak-sepaknya Si Mawar Merah, sampai menangis-nangis dibuatnya.

Si Mawar Merah tidak melawan lagi dia terus berlari menuju ke sungai untuk mencari ketenangan.

“Sudahlah mencuri, kurang ajar pula” Laung Cik Labu marah.

Si Mawar Merah terus meninggalkan rumah itu tanpa menghiraukan laungan Cik Labu.

Sesampainya di sungai dia termenung di di atas batu besar, mengenangkan nasib malang yang menimpa hidupnya.

“Jangan menangis Kak Merah, sabar….sabar…sabar…” Kicau Sang Murai menegur Si Mawar Merah yang masih teresak-esak dengan sedu-sedan yang bergema di di jiwa.

“Nasib Merah memang malang, apa boleh buat Merah cuma menumpang di rumah orang, Merah tak ada tempat berlindung” Si Mawar Merah meluahkan perasaannya kepada Sang Murai yang sentiasa menemaninya setiap kali dia datang ke sini.

“Itukan rumah Kak Merah juga, kak Merah berhak ke atas rumah itu, kerana Cik Labu gunakan harta Kak Merah binakan rumah baru itu” Kicau lagi Sang Murai, tetapi bahasanya tetap tidak di fahami oleh Si Mawar Merah. Walau bagaimanapun Si Mawar Merah dapat membaca gambaran yang ingin diceritakan oleh Sang Murai tersebut setiap kali dia berkicau.

“Baliklah ke rumah, mungkin kemenangan menanti Kak Merah” Itulah yang sebenarnya ingin diucapkan oleh Sang Murai tersebut.

BAB (10)

HATI SI MAWAR MERAH TERGURIS

Si Mawar Putih begitu gembira kerana perangkapnya untuk mengena Si Mawar Merah berjaya. Ibunya Cik Labu mempercayai tuduhan Si Mawar Putih yang mengatakan Si Mawar Merah mencuri.

Sebenarnya cincin Si Mawar Putih terjatuh di dalam biliknya sendiri , dia menemui cincin tersebut sejurus kemudian selepas dia dan ibunya bergelut dengan Si Mawar Merah.

“Padan muka dia” Desis hati kecil Si Mawar Putih.

Dia memandang wajahnya pada cermin solek, dia berbangga kerana mempunyai wajah yang jelita. Kejelitaan wajahnya sudah pasti mempesonakan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Ramai juga anak-anak muda di kampung tersebut suka mengusiknya kerana kagum dengan kejelitaan yang dimilikinya, tetapi dia tidak melayan malah di makinya pemuda-pemuda kampung tersebut.Dia menganggap pemuda-pemuda kampung tidak setaraf dengannya. Hati Si Mawar Putih hanya terpikat dengan Putera Mahkota Panji Gemilang anak raja yang memerintah negeri ini.

Pertama kali dia bersua dengan anak raja tersebut hatinya sudah berdetak, dialah jejaka idaman yang dicari. Tubuh anak raja yang sasa dan gagah serta ketampanannya itu boleh membuat hati perempuan cair.

“Sepadan tak aku dengan anak raja ni….Putera Makhota Panji Gemilang yang ku puja” Getus hatinya sambil memusingkan tubuhnya ke kiri kanan, kemudian menjuihkan bibirnya yang diwarnakan merah. Dia nampak wajahnya yang jelita di cermin tersebut.

“Di dalam kampung ini akulah yang paling cantik” Pujinya pada dirinya sendiri dengan penuh perasan.

Tiba-tiba seekur cicak membuang najis di atas kepala Si Mawar Putih yang asyik melihat wajahnya di cermin solek

“Binatang!!!! tergamak engkau buat aku macam ni…” Sumpah Si Mawar Putih marah kepada cicak.

“Tak usah perasanlah perempuan jahat, Merah…lebih cantik dari engkau” itulah yang dikatakan oleh Si cicak, sekali lagi dia mengeluarkan najis kali ini terkena hidung Si Mawar Putih, belumpun sempat Si Mawar Putih membaling dengan kayu, Si cicak tersebut bersembunyi di sebalik atap rumah.

Si Mawar Putih berlari keluar membersihkan sanggul dan hidung yang terkena tahi cicak, habis mukanya yang baru disolek terpaksa dibasuh gara-gara najis cicak.

“Putih…mari dekat ibu sekejap” Panggil Cik Labu lembut.

“Ada apa bu…” Jawab Si Mawar Putih, sebaik sahaja selesai membasuh mukanya.

‘Mulai sekarang Putih kena pandai menghiaskan diri, kena pandai bersolek” Ungkap ibunya sambil menyikat rambut Si Mawa Putih.

“Tapi Putih tak pandailah ibu…” Balas Si Mawar Putih manja.

“Tak apa…ibu akan ajarkan satu persatu, ibukan pernah jadi ratu kampung masa muda dulu…., sekarang Putih kena amalkan memakan jamu ramping dari pulau jawa, nak bagi langsingkan tubuh Putih tu..biar nampak cantik, biar anak raja lihat …berkenankan Putih”Celah Cik Labu membuat saranan kepada anaknya.

“Baiklah bu…nanti bila Putih cantik, boleh lah kahwin dengan anak raja tu….Putera Mahkota Panji Gemilang” Ungkap balik Si Mawar Putih mengada-ngada.

“Kalau Putih jadi puteri raja, ibu boleh tinggal di istana, kalau isteri raja mati, ibu boleh jadi permaisuri, permaisuri kepada isteri Sultan yang memerintah negeri ini” Tingkah pula Cik Labu diikuti gelak tawa yang berdekah-dekah dari dua beranak ini.

Kalau boleh Cik Labu tidak mahu Si Mawar Merah menjadi pilihan Putera Mahkota Panji Gemilang, kerana Si Mawar Merah bukan anak kandungnya. Dia mengharap agar putera raja itu akan memilih Si Mawar Putih, sebab itulah Si Mawar Putih sentiasa di solek dan dihiasi setiap hari, supaya kelihatan cantik.

“Nanti bila anak raja itu datang, ibu akan pergi jumpa Tok Bomoh Selendang Kuning, supaya dia tergilakan Putih…” ulang ibunya memberi semangat kepada Si Mawar Putih.

“Kalau Putih jadi kahwin dengan anak raja tu…kita akan tinggal di istana biarlah Merah sahaja yang tinggal di hutan ini, biar dia hidup tersiksa di hutan ini” ungkap Si Mawar Putih sambil diikuti gelak tawa Cik Labu.

“Ibu boleh kah tinggal di istana bersama Putih” Tanya Cik Labu.

“Ibu boleh menjadi pengasuh di istana” Celah lagi Si Mawar Putih lagi mengusik ibunya Cik Labu.

“setakat pengasuh sahaja” Ungkap Cik Labu buat-buat merajuk.

“Selepas isteri raja mangkat, ibu pula jadi permaisuri, baguskan” Pujuk Si Mawar Putih menenangkan perasaan ibunya.

‘Seronaknya dapat jadi permaisuri” Balas Cik Labu penuh gembira.

“Ibu sebenarnya , cincin tu.. dah jumpa, Putih jumpa di bilik Merah” Si Mawar Putih membuat tuduhan palsu.

“Baguslah, itulah satu-satu harta peninggalan bapa Putih, tak apalah nanti Merah pulang, pandailah ibu kerjakan dia” ungkap Cik Labu masih

menyimpan perasaan.

Hari sudah petang, senja semakin berlabuh, malam menanti, namun bulan belum menampakkan cahayanya.

Hari ini adalah hari yang paling malang dalam hidup Si Mawar Merah, kerana dia di tuduh sebagai pencuri. Dia tidak pernah mencuri dan mengambil barang orang, kerana dia tahu perbuatan itu adalah salah.

Si Mawar Putih sahaja yang mengada-adakan cerita dan kebetulan cincinnya tercicir, kerana perbuatannya sendiri.

Walaupun seribu kepedihan menusuk di kalbu, Si Mawar Merah dia tetap kena pulang. Sepahit manapun hinaan dan cercaan dihamburkan kepadanya dia tetap kena telan.Sesakit mana penderitaan yang mencengkam dia tetap kena terima. Sesungguhnya dia redha di atas ketetapan dan suratan yang menimpa ke atasnya.

“Inilah nasib orang yang menumpang kasih kepada orang yang tidak sudi, mereka hanya nampak keburukan sahaja,sedangkan kebaikan yang kita buat dilempar jauh-jauh” keluh hatinya penuh kehampaan.

“Oh….Tuhan sampai bilakah aku harus menanggung penderitaan ini” desis hati kecilnya lagi.

“Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Peyayang, berilah sinar bahagia untuk ku" Bisik hati nurani Si Mawar Merah.

“Kak Merah jangan menangis…tak baik menangis senja-senja begini,aku akan menemani Kak Merah, sampai bila-bila masa” Kicau lagi Sang Murai

sebaik sahaja melihat Si Mawar Merah menangis di atas batu di sungai. Senja yang suram turut mengiringi kepulangan semula Si Mawar Merah ke rumahnya, kepulangannya kali adalah sebagai seorang pemenang. Dia tidak mahu lagi menangis.

Langkah demi langkah yang penuh longlai, akhirnya kakinya Si Mawar

Merah sampainya juga ke rumah. Ketika itu hatinya bertanya ke manakah perginya Si Mawar Putih dan Cik Labu kerana keadaan rumahnya yang sunyi sepi.

Dia terus masuk ke dapur kerana kelaparan, kerana tengah hari tadi dia sempat memasak nasi dan lauk masak lemak pucuk ubi kayu bersama ikan masin.

Sebaik sahaja dia membuka saji, alangkah terkejutnya yang tinggal hanya sisa-sisa makanan sahaja di atas meja. Tiba-tiba dia mendengar gelak ketawa dari dalam bilik Si Mawar Putih. Mereka ketawa kerana dapat mengenakan Si Mawar Merah dan dapat melihat telatah Si Mawar Merah yang kelaparan.

Si Mawar Merah bergegas keluar dari ruang dapur dan masuk ke dalam biliknya dengan penuh kehampaan, dia semakin hilang selera untuk makan.

Dia ingin menangis sepuas-puas hatinya di biliknya itu, tetapi dia cuba hilangkan perasaan sedihnya itu kerana terpaksa mengemas semula keadaan bilik yang diselongkar oleh Si Mawar Putih kerana menuduhnya mencuri cincin.

Si Mawar Merah terus bersabar dan mengharap agar sinar gemilang terus menyinarinya hidupnya, suatu hari nanti.

BAB(11)

JUMPA TOK BOMOH

Puh!!!!! Kanan!!!! Puh!!!! Kiri mulut Tok Bomoh Selendang Kuning kumat-kumit membaca mentera dari berbagai bahasa yang dibaca.

Cik Labu dan Si Mawar Putih hanya terfakur mendengar mentera yang keluar dari mulut Tok Bomoh Selendang Biru.

Berbagai suara yang terkeluar dari mulut Tok Bomoh Selendang Kuning , ada suara macam itik, ada suara macam ayam berketuk, ada suara macam kambing dan ada suara macam kucing mengiau.

Walau apapun bahasa yang dibaca oleh Tok Bomoh Selendang Kuning, namun tetap tidak difahami oleh Cik Labu dan anaknya.

Apa yang penting bagi Cik Labu adalah hasrat untuk mendapat kemujaraban ilmu pembomohan dari Tok Selendang Kuning ini agar menjadi. Biarlah kali ini Putera Mahkota Panji Gemilang akan tunduk kepada anaknya Si Mawar Putih. Dia begitu mengharap agar Si Mawar Putih akan menjadi isteri kepada putera raja yang memerintah negeri ini.

“Berapa pengerasnya?” Tanya Cik Labu sebaik sahaja Tok Bomoh selesai membaca mentera dan menghulurkan segelas air untuk kegunaan Cik Labu dalam mencapaikan niat nya itu.

“Tak banyak, Cik Labu…., hanya sekapit beras dan dua ekor ayam bakar serta upah sekeping duit emas untuk hamba” Jawab Tok Bomoh Selendang Kuning.

Biar pun nilai itu agak mahal, asalkan cita-citanya menjadi, dia semakin merasai putera raja bakal menjadi menantunya.

“Bagaimana pula cara-cara kegunaannya?” Tanya Cik Labu, waswas.

“Begini…Si Mawar Putih kena beri minum air ini kepada anak raja tersebut, sama ada di campur dengan air minuman lain atau sebagainya, sudah pasti anak raja itu akan tergilakan Si Mawar Putih” Jawab Tok bomoh Selendang Kuning.

“Senangnya…” Celah Si Mawar Putih pula, yang sejak tadi membisu, mungkin gelihati atau terkejut mendengar suara-suara yang terkeluar dari mulut oleh Tok bomoh Selendang Kuning tadi.

“Ini satu lagi bedak, bedak ini harus di sapu ke muka Si Mawar Putih, setiap kali bersolek agar wajahnya naik seri, jadilah dia gadis yang paling cantik sekali dalam daerah ini” Arah Tok Bomoh Selendang Kuning lagi, sambil menghulurkan bedak yang dilipat dalam daun pisang.

“Terima kasih Tok Bomoh, kami pulang dulu” ungkap Cik Labu meminta diri dan meninggalkan rumah Tok bomoh Selendang Kuning itu dengan seribu harapan.

‘Ibu…boleh percaya tak dengan Tok bomoh tadi?” Tanya Si Mawar Putih sebaik sahaja sampai di rumah.

“Tentulah, masa ibu nak pikat ayah Putih dulu, ibu pergi jumpa dia, sampai madu ibu tidak boleh buat apa-apa, kerana ayah Putih tergila-gilakan ibu” Ungkap Cik Labu menceritakan kemujaraban ilmu pembomohan dari Tok Bomoh Selendang Kuning.

‘Oooo..hebat ibu” Puji Si Mawar Putih mendengar kehebatan ibunya.

“Bukan setakat itu sahaja, wajah ibu…begitu jelita sehingga ramai anak-anak muda yang tergila-gilakan ibu, walaupun ketika itu ibu sudah berusia”, Pujinya lagi pada dirinya sendiri.

“Putih nak jadi macam ibu, Putih percayakan Tok Bomoh Selendang Kuning” Akur Si Mawar Putih bila mendengar penjelasan ibunya memuji air penawar Tok Bomoh Selendang Kuning.

“Kalau Putih cantik nanti, tentu Merah cemburu sebab dia tak pandai bersolek, asyik pakai baju buruk, tak ikut perkembangan langsung” Sindir Si Mawar Putih menceritakan kekolotan Si Mawar Merah kepada ibunya.

“Tak payahlah nak ceritakan pasal dia, kita akan jadikan dia sebagai orang suruhan kita, nantilah pandai ibu mengajarnya” Ungkap Cik Labu menanam perasaan kebencian terhadap Si Mawar Merah.

BAB (12)

SI MAWAR MERAH BERSEMANGAT

Pagi yang ceria ini Si Mawar Merah rasa bersemangat, entah seruan apa yang mula meresap ke dalam jiwanya.

Hari ini dia merasa berani untuk menerima apa-apa cabaran dan cacian dari ibu tirinya dan adik nya Si Mawar Putih.

Sekiranya Cik Labu dan Si Mawar Putih menengking atau bertindak ke atasnya dia bersedia untuk melawan.

Dia tahu rumah yang didudukinya ini juga adalah separuh dari hartanya, ini bermakna dia juga ada hak ke atas rumah yang didiami oleh Cik Labu dan Si Mawar Putih.

Dia merasa sebelum ini dia begitu bodoh kerana terlampau menurut terlunjuk Cik Labu dan tidak bertindak setiap kali dia dibuli dan diseksa oleh adiknya Si Mawar Putih.

“Mereka perlu diajar, Si Mawar Merah yang berdiri ini bukan lagi Si Mawar Merah waktu-waktu kelmarin, Si Mawar Merah hari ini akan gagah mempertahan maruahnya” Si Mawar Merah berbisik pada hatinya sendiri penuh semangat.

“Merah!!!! Hari ini masak awal-awal aku dan Putih nak keluar, kalau tidak siap engkau!!!” Tengking Cik Labu mengejutkan lamunan Si Mawar Merah.

“Baik Cik Labu, Cik Labu nak makan apa, Labu rebus atau labu pengat atau Labu sira” Sindir Si Mawar Merah, kali ini dia berani bersuara.

“Berani engkau mengejek aku?” Tengking Cik Labu berang.

“Kenapa takut…ibupun manusia juga bukannya Tuhan” jawab Si Mawar Merah ringkas.

“Tapi taraf engkau dengan aku berlainan, engkau anak punggut, aku orang atasan” Ungkap Cik Labu menyindir Si Mawar Merah.

“Ibu sahaja yang meletakkan taraf, sebenarnya Merah juga anak Pak Ulam Batu, ibu sahaja yang mengambil kedudukan ibu Merah…, Mak Timun” Balas balik Si Mawar Merah semakin berani.

“Engkau menghina aku?” Tanya Cik Labu.

“Tidak…ibu yang menghina Merah” balas Si Mawar Merah.

“Siapa yang ajar engkau bersikap kurang ajar?” Tanya balik Cik Labu dengan suara yang agak tinggi.

“Ibu yang mengajar Merah menjadi kurang ajar “ Balik Si Mawar Merah juga dengan suara yang lantang.

Tiba-tiba Cik Labu mengangkat tangan yang tinggi dan cuba menampar ke pipi Si Mawar Merah diatas keceluparan mulut Si Mawar Merah. Belumpun sempat tangan menyinggah ke pipi gebu Si Mawar Merah, dia berjaya menepis tangan Cik Labu dan menolak Cik Labu sehingga terjatuh.

Kali ini dia betul-betul mempunyai kuasa berani dan sanggup menerima apa-apa cabaran. Entah kuasa apa yang mula meresap ke dalam jiwanya dia sendiri tidak tahu, apa yang dia rasa, hari ini dia berdiri di atas kebenaran.

‘Binatang punya perempuan, berani engkau buat ibu aku” Si Mawar Putih meluru ke arah Si Mawar Merah dan cuba menarik rambut Si Mawar Merah.

Si Mawar Merah menepis tangan Si Mawar Putih dari bertindak ganas, kemudian dia menolak Si Mawar Putih sehingga rebah dipersisian ibunya yang masih belum bangun.

“Sekarang kalau kalian lapar, kalian sendiri yang masak, faham!!!!” tengking Si Mawar Merah cuba mengeluarkan perasaan yang terbuku selama ini.

Cik Labu dan Si Mawar Putih terkebil-kebil biji mata kerana terkejut di atas keberanian Si Mawar Merah melawan mereka.

“Dia dah berani lawan kita bu…” Keluh Si Mawar Putih kepada ibunya.

“Sabar Putih, nanti ibu akan ajar dia, dia akan rasa air bomoh Tok Bomoh Selendang Kuning, baru padan muka dia” Ungkap Cik Labu menenangkan perasaan terkejut Si Mawar Putih.

‘Bagus ibu…” Jawab Si Mawar Putih.

“Suatu hari nanti kita akan lakukan, biar dia tunduk dengan kita semula” Ungkap Cik Labu membuat rancangan jahat. Sebenarnya Cik Labu ingin memusnahkan hidup Si Mawar Merah, sebelum kehadiran Putera Mahkota Panji Gemilang datang ke kampung mereka.

Mereka semakin takut kerana Si Mawar Merah semakin berani melawan mereka. Jadi mereka bimbang jika kejahatan mereka akan dilaporkan kepada putera raja tersebut.

Lagipun Si Mawar Merah adalah seorang gadis yang cantik jika dia bersolek atau menghiaskan diri, orang akan terpesona, lebih-lebih lagi Putera Panji Gemilang.

Kalau boleh Cik Labu tidak mahu Si Mawar Merah menjadi cantik, kerana Si Mawar Merah bukan anak kandungnya.Biarlah Putera Mahkota Panji Gemilang hanya berkenankan kepada Si Mawar Putih sahaja, sebab itulah dia suruh Senduduk Putih sentiasa berhias dan kelihatan cantik.

“Nanti bila anak raja tu…datang kita akan bagi dia minum air jampi Tok Bomoh Selendang Kuning, supaya dia tergilakan Putih” Ungkap Cik Labu sebaik sahaja Si Mawar Putih menghampirinya.

“Kalau Putih jadi kahwin dengan putera itu nanti, kita tinggal di istana, kita biarkan Si Mawar Merah tinggal di sini, biar dia dibaham harimau” Celah Si Mawar Putih penuh angan-angan.

“Kalau kita tinggal di istana nanti, kita bagaikan raja, kita boleh hukum Si bedebah tu…., kita akan musnahkan hidup Merah” Hilau Cik Labu dan Si Mawar Putih berdekah-dekah.

“Kita tak payah halau dia, kita jadikan dia sebagai hamba, betul tak ibu?” cadang Si Mawar Putih, Cik Labu mampu mengangguk dan menyambung hilau ketawanya.

Si Mawar Merah yang sejak tadi lagi mendengar perbualan dua beranak mengenai rancangan untuk mengusirnya turut merasa gelihati. Betapa angan-angan ibu tirinya dan adiknya begitu tinggi.

“Emm…emmm” Si Mawar Merah buat pura-pura batuk dan mereka tidak menyedari Si Mawar Merah sudah lama berada di dalam biliknya.

“Ibu ku sayang…masak apa hari ini?” Sindir Si Mawar Merah, menyapa dua beranak yang sudah menghentikan umpatan mereka apabila menyedari Si Mawar Merah sudah lama berada di rumah.

“Eh!!! Pemalas ada angin nak makan nasi, kalau lapar masak sendiri!!” laung Si Mawar Putih yang berada di sisi ibunya.

“Eh!!! Cik Putih pandai masak tak?” Tanya Si Mawar Merah selamba.

“Biasa aje..cik kak oi” Balas Si Mawar Putih.

“Biasanya Cik Putih tak pernah masak, masak lauk apa hari ini, rebung rebus kah?….., boleh tumpang sekaki? Sindir lagi Si Mawar Merah.

“Ibu dia sindir Putih” Si Mawar Putih terkena sindiran.

“Merah tak mengata bu….kalau Putih tak pandai masak dia tak boleh kahwin dengan anak raja” Sindir lagi Si Mawar Merah, kali ini agak tajam.

“Bedebah!!!!” Sumpah Si Mawar Putih, dia menangis dan lari masuk ke biliknya kerana terkena sindiran.

“Anak kurang ajar, engkau mengata Putih ya…engkau tu..perlu sedarkan diri, hidup menumpang di rumah orang” Tengking Cik Labu memarahi Si Mawar Merah.

“Ibu tak boleh marah, kalau nak jadi permaisuri kena ada sifat-sifat timbangrasa dan sifat-sifat terpuji, ibu Merah dulu orang baik-baik, Mak Timun baik, tapi Mak Labu jahat ” Sindir pula Si Mawar Merah kepada Cik Labu.

Kali ini Cik Labu berdiam diri, dia tidak lagi membalas pertengkaran dengan Si Mawar Merah, dia merasa tercabar dan Si Mawar Merah semakin berani menentangnya.Dia sekadar memerhati sahaja Si Mawar Merah membawa makanan masuk ke bilik tidurnya.

“Ibu …cepat-cepatlah kita jahanamkan hidup dia, kita racun dia dengan air jampi Tok Bomoh Selendang Kuning, biar hidupnya sengsara” Celah Si Mawar Putih menanam kebencian terhadap Si Mawar Merah.

Si Mawar Putih bergegas ke bilik, tanpa memikir panjang dia terus menyimbah sedikit air jampi ke tubuh Si Mawar Merah.

"Baru padan muka!!, besok kamu jadi gila kena air jampi ni.." Jerit Si Mawar Putih melepas geram.

"Ha..ha ..ha....air jampi tu... Memang untuk engkau menjadi cantik, tapi bila aku disimbah, aku pulak yang akan jadi cantik nanti ha....ha....ha.." Si Mawar Merah pula ketawa dan menyindir di atas kebodohan Si Mawar Putih.

“Ibu akan jahanamkan hidup dia besok, tahulah dia siapa Cik Labu Ramping” ungkap Cik Labu bersungguh-sungguh mengenai niat buruknya itu.

“Selamat malam ibu….Cik Putih belum tidur lagi….mimpikan anak raja kah?” sampuk Si Mawar Merah, Si Mawar Putih membaling kayu api ke arah Si Mawar Merah, tetapi Si Mawar Merah sempat menutup pintu biliknya.

BAB (13)

MIMPI JADI KENYATAAN

Pagi-pagi lagi Si Mawar Merah keluar dari rumahnya ,walaupun dia semakin berani melawan ibu tirinya, namun sebagai seorang yang masih hidup menumpang di rumah orang, dia tetap menjalankan tanggungjawabnya.Dia tidak suka duduk senang lenang, lantas dia membawa buyung untuk mengangkut air.

Dia tidak mahu mulut Cik Labu bising-bising kalau tak ada air di tempayang, lantas dia bergegas ke sungai untuk mengangkut air. Kerja itu boleh dianggap sebagai rutin hidupnya.

Ketika berada di sungai Si Mawar Merah terasa damai dan jiwanya tenang, dia agak lewat sedikit pulang ke rumah.

Ketika itulah Cik Labu dan Si Mawar Putih telah merancang sesuatu untuk menjahamkan Si Mawar Merah.

‘Dia dah keluar ibu…” ungkap Si Mawar Putih sebaik sahaja Si Mawar Merah melangkah keluar dari rumah.

Cik Labu dan Si Mawar Putih telah mengambil kesemua pakaian Si Mawar Merah, terutama pakaian-pakaian baru Si Mawar Merah dan mereka telah membakar pakaian-pakaian kesayangan Si Mawar Merah, yang tinggal hanya baju-baju buruk sahaja.

Mereka tidak mahu Si Mawar Merah kelihatan cantik pada hari kedatangan Putera Mahkota Panji Gemilang ke kampung mereka nanti . Dengan berbaju buruk, anak raja itu tidak akan berkenan, sebaliknya akan melihat kecantikan Si Mawar Putih sahaja.Begitulah hasad dengki mereka terhadap Si Mawar Merah.

Tiba-tiba Si Mawar Merah muncul dengan membawa buyung di tangan yang penuh dengan air, di simbahnya ke arah pakaian-pakaian yang dibakar oleh Cik Labu dan Si Mawar Putih.

“Siapa suruh bakar?” Jerit Si Mawar Merah, marah.

“Padan muka engkau” Jerit balik Si Mawar Putih.mengejek.

“Engkau nak api!!!” Laung Cik Labu sambil menghulurkan bara api ke arah muka Si Mawar Merah.Sebaliknya Si Mawar Merah menepis bara api tersebut. Kemudian Cik Labu melempar bara api tersebut ke muka Si Mawar Merah, seperti ingin membunuh Si Mawar Merah, dia dapat mengelak bara api itu lalu jatuh ke tanah.

‘Ibu tiri jahat, perangai macam syaitan” Laung Si Mawar Merah, marah.

“Ya… aku memang jahat, aku nak jahanamkan engkau seperti aku jahanam hidup ibu engkau”Tengking Cik Labu dengan suara yang lantang.

“Apa yang engkau buat pada ibu aku” Jerit Si Mawar Merah bercekak pinggang.

“Aku racun ibu engkau sampai mati” Jawab Labu sambil ketawa berdekah-dekah.

“Jahanam perempuan keparat” Balas Si Mawar Merah , penuh kebencian.

“Aku bagi tahu bapa engkau, air yang aku bagi adalah penawar, tetapi sebenarnya racun!!!!racun!!!!!, aku tipu bapa engkau” Jelas lagi Cik Labu yang masih belum menghentikan ketawanya.

“Sampai hati ibu, jadi pembunuh” Keluh Si Mawar Merah. Air matanya semakin deras mengalir kerana terkejut dengan penjelasan terbaru dari ibu tirinya itu.

“Yang penting aku dapat kahwin dengan bapa engkau, aku sanggup membunuh” Ungkap lagi Cik Labu berterus-terang.

“Ibu adalah syaitan..ibu adalah pembunuh, aku benci ibu!!!!!!” Jerit Si Mawar Merah sambil berlari menuju ke sungai menenangkan perasaannya.

Dia benar-benar kecewa dengan sikap ibu tirinya itu.

Cik Labu dan Si Mawar Putih ketawa berdekah-dekah kerana cita-citanya untuk menhancurkan perasaan Si Mawar Merah sudah menjadi. Kali ini Si Mawar Merah tewas.

Mendengar penjelasan tersebut, perasaan Si Mawar Merah begitu sebak, dia begitu sedih dengan cerita baru yang disampaikan oleh Cik Labu.

‘Oh…Tuhan mengapalah nasib aku begitu malang, sekarang barulah aku faham mengapa Cik Labu begitu benci pada ku, rupa-rupanya dia telah membunuh ibu aku, aku benci Cik Labu” Desis hati kecilnya penuh kehampaan.

“Kak Merah jangan menangis,hari dah senja akupun dah nak pulang ke sarang” kicau Sang Murai sambil menebarkan sayap menuju ke pokok beringin di seberang.

Malam itu Si Mawar Merah tidak mahu pulang ke rumah, dia lebih senang tidur di hutan ini dari tidur di rumah yang dianggap seperti neraka dalam hidupnya.

“Biarlah aku di makan binatang buas dari terus disiksa oleh ibu tiri yang jahat” Keluh hatinya.

Tangisannya semakin reda, namun sedu-sedan masih bergema, dia benar-benar sedih menjadi yatim piatu di dunia ini. tidak ada tempat mengadu.

Malam ini dia bertekad akan terus tidur di sini, bertemankan ungas-ungas hutan.

Sang Cengkerik sering mengiramakan lagu syahdu anak pungut, mengulik lena Si Mawar Merah, walaupun sekali-sekala kesejukan mencengkam tulang sumsumnya, namun tidak mengusik lena Si Mawar Merah.

Dia terus nyenyak, mungkin tengahari tadi dia asyik berperang dengan ibu tirinya yang jahat.

Pada malam itu Si Mawar Merah telah bermimpi didatangi oleh seorang perempuan yang sungguh jelita. Wajah hampir seiras dengan Si Mawar Merah sambil melebarkan senyuman manis buat Si Mawar Merah. Perempuan tersebut memakai pakaian cantik , berkilau bagaikan seorang puteri dari kayangan.

Dia menghulurkan sebiji buah jambu batu yang cukup besar dan menyuruh Si Mawar Merah memakan buah jambu batu tersebut. Perempuan itu memberitahu dia lah ibu Si Mawar Merah.

“Wahai….anakku, makanlah buah jambu ini, sekiranya engkau makan engkau akan memiliki suara yang merdu dan mulutmu akan terus berbau wangi, sehingga orang terpesona dengan mu”

“Di sini ibu juga akan memberi gelang emas, hanya tanganmu sahaja yang boleh memakai gelang tersebut, kerana kamu adalah pemiliknya. Jika kamu memakai siang menjadi manusia biasa malam kamu menjadi puteri yang jelita jika kamu pakai selalu, kamu akan terus menjadi jelita dan kekuatan kamu terus menjadi sebati….pakailah wahai anak ku, tapi kamu kena rahsiakan hal ini dari pengetahun ibu tirimu dan anaknya yang jahat itu”Ungkap perempuan tersebut.

“Satu pesanan ibu….jangan kamu rendangkan gelang itu di dalam air, sekiranya kamu rendangkan di dalam air tubuhmu akan menjadi lemah dan tidak bermaya, kerana gelang itu adalah kuasa untuk kamu bersemangat”Ungkap perempuan tersebut, kemudian perempuan itu menghilangkan diri.

Tiba-tiba Si Mawar Merah terjaga dari lenanya kerana merasa ada sesuatu yang menimpa di atas dadanya.

Sebaik sahaja dia membuka mata, matahari sudahpun menampakkan cahaya di sebalik pokok besar tempatnya berteduh.

Dia terkejut kerana di dadanya ada sebiji jambu batu yang cukup besar, dia memakan buah jambu batu tersebut kerana kelaparan, sebab sehari semalam dia tidak makan.

Ketika dia bangun dari tempat duduknya, tiba-tiba seutas gelang emas pula tergolek ke arahnya, entah datang dari mana dia sendiripun tidak tahu. Dia mula sedar mimpinya malam tadi kini menjadi kenyataan. Dia mengambil gelang tersebut , kemudian dia pulang ke rumah.

Sebaik sahaja sampai di rumah dia lihat ibu tirinya dan adiknya Si Mawar Putih sedang berkemas untuk pergi menyambut kedatangan Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Eh!!!budak bedabah!!, engkau jangan keluar ke mana-mana, engkau kena jaga rumah, tolong bersihkan rumah ini, ada anak raja nak melihat Si Mawar Putih nak dijadikan isteri dia, faham!!!!” tengking Cik Labu sebaik sahaja Si Mawar Merah memijak anak tangga.

Si Mawar Merah hanya membisu sahaja, kali ini dia tidak mahu melawan ibu tirinya, kerana dia yakin suatu hari nanti ibu tirinya akan tunduk kepada dia.

Si Mawar Merah masuk ke biliknya dia sudah tidak ada pakaian baru lagi dan hasrat hatinya untuk turut melihat anak raja juga turut berkubur, kerana yang tinggal hanyalah baju-baju buruk dan lusuh.

“Perempuan kolot hanya layak tinggal di dapur sahaja" Si Mawar Merah merungut kepada dirinya sendiri, apabila melihat kekurangannya yang ada dalam dirinya.

BAB (14)

PUTERI JELITA MENAWAN HATI PUTERA

Begitu ramai sekali penduduk kampung yang berada di perkarangan rumah Tok Penghulu Kampung Seri Alam, untuk menyambut kedatangan Putera Mahkota Panji Gemilang. Pentas utama di hias dan berbagai acara telahpun diatur oleh ahli jawatankuasa Kampung Seri Alam. Cik Labu dan anaknya Si Mawar Putih telah diarah menjadi penyambut tetamu kerana kedua beranak ini dianggap sebagai orang yang paling bergaya dan terserlah di kampung tersebut.

Sebaik sahaja sampai Putera Mahkota Panji Gemilang ke kampung tersebut paluan kompang dan rebana dimainkan oleh anak-anak muda kampung menyambut kedatangan putera raja.

Putera Mahkota Panji Gemilang telah diarak oleh penghulu dan beberapa orang berpengaruh , termasuk beberapa pembesar-pembesar negeri yang hadir di kampung tersebut.

“Selamat datang Tuanku Putera Mahkota Panji Gemilang anakanda kepada Sultan Nur Ilham ke kampung kita,semoga keberkatan kampung terus berkekalan sempena lawatan Tuanku Putera Mahkota Panji Gemilang ke sini. Tuanku sempena lawatan tuanku ke sini kami pacar-pacar rakyat jelata merakamkan jutaan terima kasih. Sekarang inilah persembahan-persembahan dari anak-anak mukim kampung ini sebagai santapan hiburan buat TuankuUngkap Tok Penghulu dalam ucapan alu-aluannya.

Dalam keghairahan melihat berbagai acara yang dipersembahkan, tiba-tiba Si Mawar Putih membawa minuman kepada Putera Mahkota Panji Gemilang. Belumpun sempat dia memberi Putera Mahkota itu minuman dari campuran air jampi Tok bomoh Selendang Kuning, tiba-tiba seekur burung murai yang menjadi sahabat Si Mawar Merah hinggap di atas kepala Si Mawar Putih.

Si Mawar Putih terkejut lantas melatah dan menyebabkan air jampi tersebut tertumpah. Putera Mahkota Panji Gemilang tidak sempat meminum air tersebut dan dia sendiri ketawa melihat telatah Si Mawar Putih yang terlompat-lompat macam kera kena belacan, kerana terkejutkan burung murai singgah di kepalanya.

Putera Mahkota Panji Gemilang menyangka itu adalah persembahan rakyat di kampung itu , dan menganggap acara itulah yang paling menarik. Si Mawar Putih terasa malu dia lari keluar dari majlis tersebut dan lekas-lekas berjumpa ibunya.

“Apa boleh buat dah nasib macam tu..” Pujuk Cik Labu menenangkan perasaan malu Si Mawar Putih.

“Beta ingin melawat kawasan kampung ini” Titah Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Baiklah, sekarang patik akan membawa ke kawasan hulu di mana di situ Cik Labu isteri Pak Ulam Batu yang meninggal dunia dua bulan lepas tinggal bersama keluarganya, itulah rumah pertama Tuanku kena melawat” Ungkap Tok Penghulu, sambil membawa putera raja tersebut menuju ke arah rumah Cik Labu.

Sampai di tengah jalan di kawasan hutan yang berhampiran dia mendengar satu nyayian syair yang sungguh merdu dari seorang perempuan, siapakah gerangan hatinya bertanya.

“Dodoilah mata….dodoilah sayang, tidurlah mata…..tidurlah sayang, kain buruk jangan di lupa, buat menyapu si air mata, kain buruk ada gunanya , walaupun buruk tinggi nilainya. Nampak ku buruk di pandangan orang, Tapi mulia di sisi tuan…..”

Putera Mahkota terpegun dengan bait-bait yang dinyanyikan oleh gadis tersebut dia cuba mengintai dari celahan pokok.Anak gadis tersebut terus melarikan diri sebaik sahaja menyedari kedatangan rombongan itu.

Putera Mahkota Panji Gemilang terkilan kerana tidak sempat untuk berkenalan dengan gadis tersebut.

“Siapakah gerangan gadis yang mempunyai suara yang merdu itu? "Tanya Putera Mahkota Panji Gemilang kepada Tok Penghulu.

“Setahu patik kawasan ini hanya keluarga Cik Labu sahaja yang tinggal” Jawab Tok Penghulu.

“Beta rasa ingin berkenalan dengan gadis tersebut” Putera Mahkota Panji Gemilang mula jatuh cinta dengan suara merdu perempuan yang menyanyi itu.

“Mari kita cuba tanya pada keluarga Cik Labu” Balas Tok Penghulu menenangkan perasaan Putera raja tersebut.

“Cik Labu, Tuanku ingin bertanya, siapakah gerangan yang mempunyai suara merdu sedang mendendangkan syair di sebalik hutan sana” Tanya Tok Penghulu menunjukkan ke arah suara yang didengar sekejap tadi.

“Itulah suara anak saya, Si Mawar Putih” jawab Cik Labu bersungguh-sungguh.

“Mana anak Cik Labu” Tanya Putera raja.

Sejurus kemudian Si Mawar Putih muncul dengan solekan yang tebal cuba melirik-lirikkan mata ke arah Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Inilah anak patik ” jawab Cik Labu, Si Mawar Putih tersenyum-senyum menjeling , tergedik-gedik dan mengada-ngada.

“Tak sangka gadis ini pandai menyanyi, tadi beta melihat dia membuat persembahan terlompat-lompat, beta gelihati melihatnya dia bersama burung tadi”” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang mengingati peristiwa yang di luar dugaan tadi, Si Mawar Putih tersipu-sipu malu.

“Cuba Putih menyanyi…., boleh tak menyanyi lagu yang didengar oleh Putera raja tadi?” Tanya Tok Penghulu.

“Nyanyilah….lagu-lagu apapun” Bisik Cik Labu ke telinga Si Mawar Putih bila dia sendiri tidak pandai menyanyi.

Burung punai…..hinggap di atas kerbau, kerbau terkena lumpur…., buh…buh…..kerbau mengebuh..... Kambing mengembik embik...embik....”Si Mawar Putih menyanyi dengan suara yang sumbang dan mengajuk suara kerbau, dan suara kambing , kesemua tetamu termasuk Putera Raja gelak ketawa mendengar suara sumbang Si Mawar Putih. Dia terasa malu lalu naik ke biliknya.

"Nanti dulu Putih, tak ada lagu lain kah yang Putih boleh nyanyi, agak sumbang dan berlainan seni bila Beta mendengarnya" Ungkap Putera raja.

"Lagu ini sahaja yang ibu ajar" Sambil memandang ke arah Cik Labu yang juga terasa tersipu-sipu malu di atas kejangalan anaknya tadi. Si Mawar Putih terus lari ke biliknya kerana malu yang amat sangat.

“Mana Merah?, mungkin Merah yang menyanyi tadi” Ungkap Tok Penghulu.

Mendengar nama Si Mawar Merah, wajah Cik Labu berubah dan marah kerana dia bencikan Si Mawar Merah.

“Sebenarnya Merah dah tak tinggal di sini, dia telah mengikut bapa saudaranya tinggal di Siam” jawab Cik Labu menipu.

“Kalau macam tu…siapalah perempuan yang menawan hati beta ni…” Keluh Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Sebenarnya Si Mawar Putih pandai menyanyi, tadi tengkuknya terasa sakit kerana kuat menyanyi, nantilah lain kali patik akan suruh Si Mawar Putih menyanyi, pasti Tuanku terhibur” Pujuk Cik Labu cuba memikat anak raja itu.

“Terima kasihlah Cik Labu, Putera Mahkota Panji Gemilang terhibur datang ke rumah Cik Labu, dia minta Cik Labu datang ke majlis temasya setiap malam yang akan diadakan selama seminggu di perkarangan rumah hamba” Jelas Tok Penghulu dan membawa Putera Mahkota beredar kerana hendak melawat di kawasan lain pula.

Sebaik sahaja Putera Mahkota Panji Gemilang berangkat pulang ke istana singgahnya di rumah Tok Penghulu, Cik Labu segera memanggil Si Mawar Putih yang masih gementar menggigil kerana terlampau malu.

“Itulah Putih, ibu suruh Putih belajar menyanyi, tentu budak Merah tu…buat pasal, nasib baik anak raja tu..tak jumpa dia” Cik Labu merungut kerana kegagalannya mencuri hati anak raja tadi.

“Ibu…Putih takutlah berhadapan dengan anak raja tu…, berdebar rasanya” akui Si Mawar Putih bersungguh-sungguh.

“Jangan putus asa, setiap tindakan Putih telah menyebabkan Putera Mahkota Panji Gemilang terhibur, walaupun Putih gagal, malam ini kita beri lagi dia minum air jampi Tok Bomoh Selendang Kuning…jangan gagal” Arah ibunya.

“Baiklah bu….,biar anak raja tu…pula tergilakan Putih, semalam dia ketawakan Putih, entah malam ini Putih akan ketawakan dia” Nekad Si Mawar Putih penuh bersemangat.

*********************************************************

MALAM yang dinantipun telah tiba, di malam yang penuh gemilang dan bercahaya telah diserikan dengan tarian anak-anak gadis kampung dan acara seni silat dari pemuda-pemuda kampung Seri Alam.

Malam itu Si Mawar Putih dan ibunya yang diberi tugas sebagai penyambut tetamu begitu angun dengan keterampilan dirinya.Cik Labu memakai baju kebaya ketat mengalahkan anak dara dan Si Mawar Putih juga seperti ibunya memakai baju kebaya ketat yang berwarna merah tua. Semua mata asyik memandang kedua beranak ini yang paling menyerlah dengan gayanya tersendiri.

Sekali sekala Putera Mahkota Panji Gemilang menjeling juga ke arah Si Mawar Putih, tetapi dihatinya Si Mawar Putih bukan pilihan, kerana hatinya hanya terpikat dengan gadis mesteri yang ditemuinya ketika bersyair di dalam hutan.

Si Mawar Putih mengambil air dari tangan ibunya untuk di beri minum kepada Putera Mahkota Panji Gemilang. Dia berjalan berlenggang-lengok menuju ke pentas utama sambil membawa gelas yang diisi air jampi Tok Bomoh Selendang Kuning.

Si Mawar Putih tidak sedar air jampinya yang di bawa di dalam dulang telah di tukar oleh seorang pelawak yang akan membuat persembahan untuk menghibur Putera Mahkota Panji Gemilang pada malam itu. Pelawak yang terkenal dengan kenakalan itu telah terminum air jampi tersebut, sebaliknya Putera Mahkota Panji Gemilang pula meminum air yang diletak oleh Si Pelawak itu secara tidak sengaja.

Maka Pelawak itu benar-benar jatuh cinta dengan Si Mawar Putih, bagaikan nak gila dibuatnya.

“Wahai Puteri pujaanku, sudah lama hamba mencari baru sekarang hamba temui, inilah puteri yang aku cintai” Ungkap Si Pelawak itu penuh perasaan kepada Si Mawar Putih yang terkejut dengan peristiwa yang tidak sengaja berlaku itu.

Si Mawar Putih cuba menyembunyikan diri dari celahan orang ramai, namun Si Pelawak itu terus mengejar Si Mawar Putih, bermacam aksi lucu dilakukan untuk memikat Si Mawar Putih.

Habis tetamu yang hadir pada malam itu gelihati dan ketawa berdekah-dekah yang mereka menyangka itu adalah lakonan Si Pelawak untuk menghibur mereka.

Putera Mahkota Panji Gemilang juga turut ketawa dan terhibur dengan lakonan antara Si Pelawak itu dengan Si Mawar Putih, walaupun sebenarnya itu bukan lakonan.

Si Mawar Putih menangis memanggil ibunya, semua orang bertepuk tangan dan menganggap lakonan Si Mawar Putih betul-betul menjadi. Cik Labu menarik tangan Si Mawar Putih dan menyuruhnya duduk di bangku, sebaliknya Si Pelawak itu pula di tendangnya oleh Cik Labu sampai mengaduh kesakitan.

Sekali lagi orang ramai memberi tepukan gemuruh kerana lucukan aksi Si Pelawak tersebut yang terlompat-lompat mengaduh kesakitan di atas pentas.

Di tengah keriuhan dengan aksi-aksi lucu tadi, tiba orang ramai terpegun apabila mendengar suara merdu yang sedang menyampaikan syair, semua orang termasuk Putera Mahkota Panji Gemilang terpegun seketika kerana asyik dengan lagu yang pernah di dengar itu semasa dia melintasi hutan untuk menuju ke rumah Cik Labu, petang semalam.

“Dodoilah mata…..dodoilah sayang, Tidurlah mata….tidurlah sayang, kain buruk jangan dilupa, buat menyapu si air mata, kain buruk ada gunanya, walaupun buruk tinggi nilainya Nampak buruk di pandangan orang, Namun mulia di sisi tuan” Merdu sekali suara itu.

Tiba-tiba muncul seorang Puteri yang sungguh jelita dengan pakaian yang berkilau-kilau mengalahkan kesemua gadis-gadis yang ada di situ.

Putera Mahkota Panji Gemilang segera bangun dan menghampiri puteri tersebut dan menyambut kedatangan Puteri itu dengan penuh kegembiraan.

“Siapakah gerangan tuan puteri ini?” Tanya Putera Mahkota.

“Hamba ibarat kain buruk, hamba orang buruk” Ungkap puteri itu merendahkan diri.

“Sungguh merdu suara tuan hamba” Puji Putera Mahkota Panji Gemilang sambil menghulurkan minuman kepada puteri tersebut.

Sebaik sahaja dia berpaling untuk mengambil makanan, puteri itu telah menghilangkan diri dari celahan orang ramai.

Semua tetamu yang hadir tidak dapat mengesan ke mana hilang tuan puteri yang jelita itu.

Di hati Cik Labu dan Si Mawar Putih juga mula timbul perasaan cemburu kerana mereka tidak lagi menjadi perhatian. Sebaliknya kemunculan tuan puteri tadi telah menyebabkan Putera Mahkota Panji Gemilang mula jatuh cinta.Dia benar-benar rindukan puteri yang muncul bagaikan sekelip mata itu.

BAB (15)

PUTERI HILANG LAGI

Keesukan pagi-pagi lagi Putera Mahkota Panji Gemilang mengajak Tok Penghulu mencari tuan puteri itu di hutan tempat dia mula-mula mendengar suara syair dari tuan puteri tersebut.

“Patik rasa tuan puteri itu berada di kawasan ini, sebab pertama kali kita mendengar suaranya dia di sini” Ungkap Tok Penghulu yang masih tidak berputus asa untuk mencari gadis yang sekarang ini menjadi idaman anak raja Sultan yang memerintah negeri ini.

“Sekiranya sesiapa yang dapat menemui tuan puteri ini, Beta akan anugerahkan pangkat dan harta untuk orang itu” Putera Mahkota memberi semangat kepada rakyatnya yang sedang mencari puteri tersebut.

Hari semakin petang, namun kelibat tuan puteri itu tidak juga muncul lalu mereka berangkat pulang ke rumah Tok Penghulu untuk meneruskan acara yang penuh gilang-gemilang itu.

Malam ini ada lagi temasya yang di beri nama temasya malam kedua, orang ramai dijemput lagi untuk ke perkarangan rumah Tok Penghulu kerana majlis persembahan akan diadakan sempena lawatan putera raja.

Berbagai acara telahpun dibuat persembahkan, namun wajah Putera Mahkota Panji Gemilang tetap tidak ceria, kerana dia seperti kehilangan seseorang.

Di hatinya begitu mengharap agar tuan puteri itu akan muncul semula, kali ini dia berkira akan menjaga puteri tersebut bersungguh-sungguh agar tidak hilang lagi.

“Dodoilah mata…..Dodoilah sayang…., tidurlah mata…..tidurlah sayang, kain buruk jangan di lupa, buat menyapu si air mata, kain buruk ada gunanya, walaupun buruk tinggi nilainya Nampak ku buruk di pandangan orang, Namun mulia di sisi tuan” Suara nyanyian puteri itu telah mengejutkan lagi tetamu yang hadir dan kali ini mereka bertepuk tangan kerana wajah Putera Mahkota Panji Gemilang kembali ceria dan putera raja itu sungguh gembira.

“Tuan Puteri kemanakah Tuan Puteri menghilang, Beta betul cintakan Tuan Puteri, janganlah Tuan Puteri pergi lagi” Rayu Putera Mahkota Panji Alam.

“Hamba kain buruk, kain yang dihina, mana sepadan dengan tuan hamba” Jawab Tuan Puteri tersebut.

“Tidak…Tuan Puteri adalah idaman Beta, Beta akan berkahwin dengan Tuan Puteri” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang penuh lemah lembut.

“Kalau begitu tolong pergi ambilkan kepada hamba sehelai selendang untuk buat kenangan” Jawab tuan Puteri itu.

Sebaik sahaja Putera Mahkota Panji Gemilang berpaling untuk menghulurkan selendang, dia hanya mampu melihat kelibat Tuan Puteri itu hilang di sebalik orang ramai, dia begitu hampa, sekali lagi dia merasa di tipu oleh Tuan Puteri tersebut.

“Biarlah aku yakin malam besok, malam terakhir, pasti dia datang lagi” Bisik hati kecil anak raja tersebut.

“Hilang lagi?” Tanya Tok Penghulu.

“Beta akan terus memikat dia” Jawab Putera Mahkota Panji Gemilang bersungguh-sungguh.

*************************************************************

KETIKA pulang dari temasya tersebut, Cik Labu dan Si Mawar Putih merasa waswas adakah puteri yang muncul di pentas tadi itu adalah Si Mawar Merah. Dia segera masuk ke bilik Si Mawar Merah dan melihat Senduduk Merah sedang lena tidur dengan baju buruknya dan berbau busuk.

Sangkaannya semakin terlerai apabila dia melihat Si Mawar Merah tidak meninggalkan sebarang kesan dia bertemu dengan seseorang, lebih-lebih lagi putera raja.

“Ibu takkanlah putera raja berkenan dengan perempuan seburuk Kak Merah ni…badannya sendiripun berbau busuk” sindir Si Mawar Putih.

‘Ya…lah Putih tu…kena bergaya lebih, kalau boleh mengalahkan puteri tersebut, biar anak raja tu…berkenankan Putih” Cik Labu memberi semangat kepada Si Mawar Putih, bila mengetahui sekarang Si Mawar Putih sudah ada persaingan dalam merebut hati Putera raja.

BAB (16)

SI MAWAR PUTIH NAK JADI PENYANYI

“Merah!!!! ,malam nanti aku mahu memakai baju kurung berwarna kuning, engkau tolong basuhkan baju aku, ini baju kelawar Putih tolong jahitkan dengan manik-manik ni….sebab anak raja nak tengok dia, malam ini malam terakhir anak raja tu…dekat sini, aku kena pergi” Jerit Cik Labu memberi arahan satu persatu kepada Si Mawar Merah.

“Baiklah ibu…Merah akan buat semua itu dan Merah doakan semoga cita-cita ibu tercapai” ungkap Si Mawar Merah sambil mengambil baju-baju yang dihempas oleh Cik Labu tadi.

‘Merah lepas siap kerja tu…engkau kena tolong ajar Si Putih menyanyi, anak raja tu….nak dengar suara dia, faham!!!!” Tengking lagi Cik Labu. ,mengada-ngada.

Sudah selesai menjalankan tugas pertamanya, kali ini Si Mawar Merah pula terpaksa mengajar Si Mawar Putih bersyair.

“Dengar sini Putih!, sebut apa yang Kak Merah ajar” ungkap Si Mawar Merah mengajar Si Mawar Putih menyanyi.

“Dodoi…mata dodoi sayang” Si Mawar Merah mengajar.

“Dodol nangka dodol durian” Si Mawar Putih mengikut dengan caranya sendiri.

“Susahlah nak ajar engkau ni..Putih, lain orang cakap, lain dia sebut” Marah Si Mawar Merah.

“Ikut akulah nak sebut apa-apapun, perempuan bodoh” Tengking Si Mawar Putih memarahi balik Si Mawar Merah.

“Tidurlah mata…tidurlah sayang” Ajar lagi Si Mawar Merah.

“Butalah mata…tak bolehlah makan” Lain pula sebutan Si Mawar Putih.

“Apalah Putih ni…yang kamu sebut, kalau tak pandai menyanyi buat lah cara tak pandai menyanyi, payah nak ajar” Tengking Senduduk Merah.

“Eh!!! Perempuan gatal tak layak nak ajar aku!, sudahlah suara macam katak, ada perasan nak jadi guru”

Sindir Si Mawar Putih meninggalkan Si Mawar Merah yang turut gelihati melihat telatah kebudak-budakan Si Mawar Putih.

Si Mawar Putih menceritakan kepada ibunya bahawa Si Mawar Merah tidak pandai mengajarnya menyanyi, padahal Si Mawar Putih yang tidak pandai menyanyi.

“Merah!!! Lepas ini engkau kena bersih halaman rumah ni…sebab besok anak raja tu..nak datang meminang Putih, semasa anak raja datang tu..aku tidak mahu melihat wajah kamu yang buruk ini dekat sini, faham!!!!”

jerit Cik Labu lalu meninggalkan Si Mawar Merah dengan wajah yang bersahaja kerana sudah biasa menerima hinaan.

Sebaik sahaja Cik Labu dan Si Mawar Putih meninggalkan rumah dia terus bersyair, hampir seluruh unggas datang bertengek di atas pokok untuk mendengar suara merdu Si Mawar Merah.

“Dodoilah mata dodoilah sayang….,Tidurlah mata tidurlah sayang…, kain buruk jangan dilupa, buat menyapu si air mata, Kain buruk ada gunanya, walaupun buruk tinggi nilainya.Nampak ku buruk di pandangan mata, namun mulia di sisi tuan……” Ungas-ungas hutan bertepik dan berkicau kerana gembira mendengar suara merdu Si Mawar Merah.

“Suara siapa tu…tadi?” Tanya Cik Labu berpatah balik bila mendengar suara yang pernah di dengar semasa di pentas persembahan semalam.

“Entahlah ibu…Merah tak dengar” Jawab Si Mawar Merah, menyembunyikan rahsia dirinya.

“Aku dan Putih ada dengar tadi…., kalau tuan puteri itu datang dekat sini, aku nak bunuh dia” Tegas Cik Labu sambil mengheret semula tangan Si Mawar Putih untuk menuju ke rumah Tok Penghulu. Begitulah kebencian dan irihati Cik Labu kepada sesiapa sahaja yang boleh menandingi mereka.

BAB (17)

GELANG PUTERI TERLEPAS TANGAN

Malam terakhir temasya di perkarangan rumah Tok Penghulu akan menyaksikan kehadiran orang ramai untuk melihat persembahan-persembahan di raja. Tetapi yang paling penting mereka datang semata-mata untuk menatap wajah anak raja itu lebih dekat.

Malam terakhir juga orang-orang miskin turut dijemput, kerana Putera Mahkota Panji Gemilang akan memberi sedikit sumbangan atas amanah ayahandanya Sultan Nur Ilham.

“Malam ini Beta ingin meminta gadis-gadis di kampung ini tampil untuk menyeratai pertandingan bersyair, sesiapa yang paling merdu akan di bawa ke istana untuk dijadikan penghibur di istana” Putera Mahkota Panji Gemilang membuat pengumuman.

Ramai anak gadis dari Kampung Seri Alam ingin menyertai pertandingan tersebut, termasuk Si Mawar Putih.

Di rumah Si Mawar Putih sudah bersiap sedia berlatih kerana ingin memikat hati Putera Mahkota Panji Gemilang. Di minumnya air asam jawa, kemudian di minumnya air limau bercampur madu lebah dan terakhir sekali di minumnya air asam gelugor.

Orang tua kata dengan meminum air-air asam ini suara akan menjadi licin dan kemerduannya akan terserlah.

“Ini air jampi madu pinang yang dibuat oleh Tok Bomoh Selendang Kuning, untuk menyedapkan suara Putih” Hulur Cik Labu, menyuruh anaknya meminum air jampi tersebut.

“Alamak!!!! Pahitnya air jampi ni…” Si Mawar Putih menjerit bila tengkuknya terasa pahit dan loya sebaik sahaja terminum air jampi Tok Bomoh Selendang Kuning.

“Pahitlah yang menjadikan suara kita merdu” Cik Labu memberi semangat.

Berlatihlah Si Mawar Putih di hadapan ibunya, sehingga ibunya berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian Si Mawar Putih melontarkan kekuatan nada suaranya.

Si Mawar Merah yang mengintai dari celahan dinding biliknya hanya ketawa dalam hati melihat Si Mawar Putih berlatih, sampai berpeluh-peluh dibuatnya, bersama ibunya.

"Katak oh katak kenapa engkau tak timbul

Macam mana aku nak timbul kucing nak makan aku

Kucing nak makan aku........."

"Bodoh!!!, mana kucing makan katak...ular makan katak" Marah Cik Labu bila Si Mawar Putih tersilap lirik lagu.

"Hari tu.. Putih nampak kucing kita makan katak" Bertengkar pula Si Mawar Putih dengan ibunya, Si Mawar Merah terus ketawa berdekah-dekah macam nak pecah perut dari dalam bilik .

“Hari ini juga engkau kena pakai bedak Tok Bomoh Selendang Kuning agar naik seri wajah tu…, biar anak raja berkenan” ungkap Cik Labu kepada anaknya.

‘Ibu …Merah nak ikut sebab Merahpun nak kenal juga anak raja tu…”

celah Si Mawar Merah dari belakang.

“Tak payahlah, engkau tu..hodoh berbau busuk pula, anak raja pun nak muntah tengok muka engkau”Sindir Cik Labu kepada Si Mawar Merah.

“Tak apa bu… ibukan ada bedak Tok Bomoh Selendang Kuning, tentulah Merah akan cantik macam Putih” Ungkap Si Mawar Merah dengan suara memujuk tetapi masih ada nada menyindir.

“Perasan nak kahwin dengan anak raja, cermin muka dulu, kalau nak pakai baju kena ukur badan sendiri, engkau tu..padan tak?” Cik Labu menghina Si Mawar Merah.

“Tak apalah bu…tak kahwin dengan anak rajapun tak apa, Merah kenal siapa Merah” Jawab Si Mawar Merah dengan nada sedih sambil berlalu meninggalkan Cik Labu dan anaknya Si Mawar Putih.

Sekarang berduyung-duyung orang ramai datang menyaksi persembahan di raja, tidak kira orang tua, kanak-kanak, perempuan dan lelaki sama-sama datang untuk menyaksikan temasya yang julung kali di adakan ini.

Anak-anak gadis pun ramai untuk menampilkan bakat masing-masing, kalau ada rezeki mereka boleh di bawa ke istana, malah boleh berkahwin dengan anak raja.

Impian mereka sekarang adalah untuk menunjukkan gaya suara masing-masing menyampaikan syair yang digubah sendiri.

Hampir 50 orang anak gadis Kampung Seri alam telahpun membuat persembahan, sekarang tibalah masa yang ditunggu oleh semua tetamu iaitu giliran Si Mawar Putih.

Ketika Si Mawar Putih naik ke pentas tepukan gemuruh di berikan kepadanya, dia telah memakai pakaian seperti yang tuan puteri pakai ketika menyampaikan syairnya pada malam pertama dan malam kedua.

Putera Mahkota Panji Gemilang juga terkejut dengan kemunculan Si Mawar Putih yang di solek hampir seiras dengan Tuan Puteri yang ingin di temuinya selama ini.

“Tuan Puteri!!!” Putera Mahkota Panji Gemilang terkejut.

“Ya…hambalah Tuan Puteri Si Mawar Putih” jawab Si Mawar Putih sambil

berdiri rapat dekat Putera Mahkota Panji Gemilang.

Kemudian Si Mawar Putih pun menyampaikan syairnya yang digubahnya sendiri.

Siput….siput sedut….sedap dimakan bersama kerabu….dara-dara lain semuanya keriput, aku seorang putih gebu” Si Mawar Putih menyanyi dengan suara yang paling sumbang.Sekali lagi tetamu ketawa kerana lucu dengan suara sumbang Si Mawar Putih. Sebenarnya Si Mawar Putih sendiri berperasan suaranya merdu, padahal suaranya amat melucukan.

Dalam keghairahan orang ramai yang ketawakan Si Mawar Putih , tiba terdengar sekali lagi suara yang paling merdu dari sudut tepi pentas tersebut. Baunya yang wangi memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. Lagu Dodoi tidak pernah jemu dinyanyikan dan dia tahu lagu itulah yang menjadi kegemaran Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Oh…rupanya gerangan tuan hamba, sudah lama Beta menanti, tuan hamba tidak memungkiri janji” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang dan menghampiri tuan puteri yang masih belum di ketahui nama.

“Hamba datang, sekadar untuk mengucapkan selamat jalan dan terima kasih kerana melayan hamba” Jawab Tuan Puteri tersebut.

“Beta yang patut berterima kasih, kerana tuan hamba sudi membuat Beta gembira berada di sini” Jawab Putera Mahkota Panji Gemilang lagi.

“Terima kasih” Balas Tuan Puteri.

“Marilah ikut Beta tinggal di istana” Pelawa Putera Mahkota Panji Gemilang sambil memegang tangan Tuan Puteri.

“Hamba ibarat kain buruk, tuan hamba orang sanjungan manalah sepadan” Tuan Puteri merendahkan diri.

“Janganlah begitu, bagi Beta kita adalah manusia biasa tiada darjat tiada pangkat,yang penting kita saling sayang menyayangi” Putera Mahkota Panji Gemilang pula merendahkan diri.

“Tuan hamba biarlah hamba balik dulu” Tuan Puteri cuba melepas genggaman tangan Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Jangan tinggalkan Beta, Tuan Puteri” Genggaman tangan Putera Mahkota Panji Gemilang semakin kemas, kali ini dia tidak mahu melepaskan Tuan Puteri begitu sahaja seperti dua malam yang lepas.

“Jangan buat begitu, masanya belum sampai lagi untuk kita jatuh cinta” Pujuk Tuan Puteri cuba melepaskan tangan Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Beta benar-benar cintakan tuan hamba” Jawab Putera Mahkota Panji Gemilang bersungguh-sungguh.

“Jangan cintai hamba, hamba orang hina” Jawab Tuan Puteri itu lagi.

“Tidak….Beta akan akan bawa tuan hamba ke istana” Tingkah Putera Mahkota Panji gemilang lagi.

Tuan Puteri cuba melepaskan tangannya yang di pegang kemas oleh Putera Mahkota Panji Gemilang raja . Akhirnya dia berjaya melepaskan diri , tetapi gelang emas yang dipakai di tangannya tercabut dan berada dalam genggaman Putera raja tersebut.

Tuan Puteri itu kemudian hilang dari celahan orang ramai, Putera Mahkota Panji Gemilang tidak dapat mengesan di mana hilangnya Tuan Puteri. Dia benar-benar kecewa, tetapi dia tetap akan membawa pulang gelang emas Tuan Puteri itu ke istana untuk dijadikan kenangan.

***********************************************************

“Ibu…..,Merah datang di majlis malam ini, itu dia…” Si Mawar Putih menunjuk-nunjuk ke arah Si Mawar Merah yang sedang mundar-mandir di celahan orang ramai.

“Perempuan dajal ni…datang juga,nanti aku kerjakan” Sumpah Cik Labu sebaik sahaja melihat kelibat Si Mawar Merah di tengah-tengah orang ramai.

Sesampainya Cik Labu di persisian Si Mawar Merah dia terus memulas telinga Si mawar Merah dan suruhnya pulang kerana melihat kepada keadaan Si Mawar Merah yang memakai baju buruk.

Si Mawar Merah sudah menyedari sekarang dia sudah berubah dan tidak lagi menjadi seorang puteri kerana gelang emasnya sudah terlepas tangan. Dia telah bertukar menjadi Si Mawar Merah yang asal dan Putera Mahkota Panji Gemilang sudah tidak mengenalinya lagi, kerana sekarang dia sudah berbaju buruk. Ini kerana Putera telah mencabut gelang dari tangan Si Mawar Merah.

Dia segera pulang ke rumah sebelum Cik Labu dan Si Mawar Putih naik angin. Sekiranya dia tidak berbuat demikian sudah pasti dia akan disiksa di hadapan orang ramai. Alangkah malunya jika dia perlakukan begitu di hadapan tetamu yang hadir di majlis putera raja tersebut.

Ketika sampai di rumah Si Mawar Merah segera mengunci biliknya, kalau tidak berbuat begitu pasti dia akan di pukul oleh kedua beranak ini. Sebenarnya dia berani melawan Cik Labu dan Si Mawar Putih dengan tenaganya yang ada, tetapi kali ini dia ingin mengalah dan membiarkan perasaan ibu tirinya itu meluap-luap.

“Eh….budak buruk !!! keluar sekejap aku nak buat perhitungan dengan engkau” Jerit Cik Labu dari luar.

Namun begitu Si Mawar Merah terus membisu dan tidak menyahut sebarang sindiran dari ibunya. Apa yang ada dalam fikirannya sekarang ialah dirinya merasa terselamat kerana berjaya melepaskan diri dari diambil putera raja untuk di bawa ke istana.

Putera Mahkota Panji Gemilang benar-benar jatuh cinta kepadanya semasa dirinya berwajah tuan puteri. Dia sendiripun juga mula jatuh cinta dengan Putera raja tersebut, tetapi sekarang dia sudah menjadi Si Mawar Merah tidak lagi menjadi tuan puteri.

Dia merasa sudah pasti wajahnya tidak lagi dapat berubah kerana gelang yang diberi oleh ibunya melalui mimpi itu sudah diambil oleh Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Biarlah dia ambil gelang aku…., aku tidak kisah, sekarang aku lebih seronak menjadi Si Mawar Merah yang sebenar, aku semakin suka dengan hinaan ibu dan Putih, aku tidak mahu menangis lagi ” Desis Si Mawar Merah pada hatinya.

Akhirnya mata Si Mawar Merah terpejam, sekali lagi mimpinya datang, kali ini ibunya datang dengan wajah yang sedih.

“Merah….ibu juga sedih dengan apa yang terjadi terhadap Merah….tapi kehilangan gelang itu ada hikmahnya. Merah jangan menangis gelang itu akan kembali pada Merah, tapi Merah akan menempuh satu dugaan yang besar. Tempuhi dengan hati yang sabar dan tenang, kemenangan akan menanti Merah”nasihat ibunya melalui mimpi.

“Merah …..Putera Makhota Panji Gemilang betul-betul cintakan engkau, jangan persiakan cintanya, sesungguh hanya engkau yang boleh mengembirakan hidupnya”Ungkap ibu Si Mawar Merah di dalam mimpi, sudah lama dia tidak bermimpi tentang ibunya.

“Oh…ibu, sesungguhnya Merah gagal menjaga gelang emas itu, Merah sudah menjadi diri Merah yang sebenar, bukan lagi tuan puteri”

keluh hatinya sebaik terjaga dari lenanya.

BAB (18)

GELANG EMAS AJAIB

Sebulan sudah Putera Mahkota Panji Gemilang kembali ke istana, baginya sekarang tidur tak lena mandi tak basah, makan pun tak kenyang kerana aysik teringatkan puteri yang di temui di Kampung Seri Alam.

Tubuhnya semakin susuk kerana asyik rindu puteri yang jelita itu, puteri yang mempunyai suara yang merdu itu benar-benar membuat Putera Mahkota Panji Gemilang gila bayang.

Sultan Nur Ilham dan isterinya Permaisuri Seri Wangi Kasturi merasa bimbang kerana khuatir Putera Mahkota Panji Gemilang di serang penyakit.

“Anakanda, apakah yang Anakanda menungkan sehingga malam dan siang asyik menongkat dagu, termanggu, apakah gerangan penyakit yang menimpa Anakanda ini?” Tanya Sultan Nur Ilham.

“Bimbang Bonda tidak bertepi…, setiap hari anakanda di serang angau begini rasa juga sedih di jiwa Bonda, tolonglah beritahu apakah yang Anakanda anda mahu, Bonda dan Ayahanda bersedia memberi termasuk negeri ini” Celah pula Permaisuri Seri Wangi Kasturi bila melihat penyakit gila bayang yang menimpa Putera Mahkota Panji Gemilang semakin menjadi-jadi.

“Ayahanda….Bonda…ku sayang, bukan sakit badan atau terkena buatan orang, tetapi Anakanda menangung rindu yang tidak tertahan kepada seseorang dia muncul hanya sekelip mata, tetapi rindunya berpanjangan sehingga hari ini” ujar Tengku Mahkota Panji Gemilang membuat pengakuan.

“Ini bermakna Anakanda diserang penyakit cinta, Bonda rasa sudah agak dewasa Anakanda sekarang” Celah lagi Permaisuri Wangi Kasturi.

“Sebenarnya Anakanda termenung itu bukannya kerana sakit, Anakanda masih teringatkan seorang gadis dari Kampung Seri Alam. Wajahnya bagaikan seorang puteri dari kayangan, penuh bulan purnama, pipinya bagaikan pauh dilayang, bibirnya bagaikan limau seulas,tiada tandingan dari wanita seluruh alam ini, agaknya tidak keberatan Bonda dan Ayahanda menyunting untuk Anakanda untuk dijadikan teman hidup” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang secara berterus-terang meluahkan perasaannya.

“Sudah lama Ayahanda dan Bonda ingin menimang cucu, untuk mewarisi takhta keturunan Nur Ilham , siapakah gerangan yang Anakanda berkenan di hati?, Ayahanda bersedia menghantar rombongan untuk menyunting bunga yang bertuah itu, menambat taman hati Anakanda beta” Ungkap Sultan Nur Ilham.

“Dia orang biasa bukan keturunan raja-raja, dia gadis dusun yang Anakanda temui di hutan belantara. Hati ini bagaikan tersentuh setiap kali dia mengalunkan khalimah syair, suaranya merdu, semerdu buluh perindu” Ungkap lagi Putera Mahkota Panji Gemilang meyakinkan Ayahanda dan Bondanya.

“Kalau begitu bawa sahaja gadis yang bertuah itu ke istana” Celah pula Permaisuri Wangi Kasturi.

“Sudah puas Anakanda memujuk, tetapi empunya diri sering menghilangkan diri, sekelip mata dia ada sekelip mata dia tiada”, Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Kenapa Anakanda tidak menyuruh pengawal-pengawal menahanya dan terus membawa ke istana biar Ayahanda dan Bonda melihatnya dari dekat sebelum hati berkenan, bagaimana rupawannya...” Jawab Sultan Nur Ilham.

“Anakanda sudah menahannya, tubuhnya licin bagaikan belut, lincahnya bagaikan Sang Kancil di rimba, dalam sekelip mata dia boleh hilang dari pandangan , cuma seutas gelang tangan yang Anakanda dapat mengambilnya, sekurang-kurang boleh dijadikan kenangan pengubat rindu”

Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang lagi.

“Mana gelang itu?” Tanya Sultan Nur Ilham.

“Ini…” jawab Putera Mahkota Panji Gemilang sambil menghulurkan seutas gelang emas yang sungguh cantik dan unik.

“Ini bukan sebarang gelang, gelang ajaib dan penuh azimat, gelang yang diperbuat dari emas yang tidak ada di dunia ini” Ungkap Sultan Nur Ilham sambil menghulurkan pula gelang tersebut kepada isterinya Permaisuri Wangi Kasturi.

“Bonda sendiri pun tidak padan untuk memakai gelang ini, penuh ajaib dan mesteri, siapakah gerangannya… empunya gelang secantik ini,adakah eluh Permaisuri Wangi Kasturi sebaik sahaja mencuba memasukkan tangannya ke dalam gelang tersebut.

“Sungguh ajaib gelang ini, kita dari keturunan raja-raja sendiri tidak boleh memakai gelang ini, hanya menunggu tuannya sahaja yang boleh dipakai” jawab Sultan Nur Ilham sambil memerhati gelang yang dibawa pulang oleh Putera Mahkota Panji Gemilang.

*************************************************************

SULTAN NUR ILHAM telah memanggil kesemua pembesar-pembesar dan menteri-menteri serta penghulu-penghulu setiap kampung dan negeri , kerana Baginda akan membuat pengumuman penting.

“Beta..ingin membuat pengumuman! bahawa Anakanda Beta Putera Mahkota Panji Gemilang sekarang sudah dewasa dan sudah tiba masanya untuk Anakanda Beta mencari calon isteri untuk dijadikan teman hidup.

Tetapi anakanda Beta telah berkenan dengan seorang gadis yang tidak tahu asal-usul dan tidak mengenali empunya nama. Oleh yang demikian sesiapa yang mempunyai anak-anak gadis boleh menjadi isteri kepada anakanda Beta, tetapi syaratnya dia boleh memakai gelang yang berada di tangan Beta”Sultan Nur Ilham membuat pengumuman sambil mengangkat gelang ajaib itu lebih tinggi.

“Oleh itu Beta amat berbesar hati sekiranya semua menteri-menteri dan pembesar-pembesar negeri serta penghulu setiap kampung supaya menghebahkan kepada seluruh rakyat jelata yang mempunyai anak gadis agar mencuba memakai gelang emas ini”

“Sesiapa yang padan dan boleh memasukkan ke tangan, dialah bakal menjadi menantu Beta, serta boleh mewarisi takhta negeri ini”Sultan Nur Ilham bertitah dan membuat pengumuman penting.

Ekoran pengumuman itu datang berduyung-duyunglah anak-anak gadis dari sepelusuk negeri untuk mencuba nasib memakai gelang emas ajaib tersebut.

Gelang emas ajaib itu mempunyai keunikan sendiri di mana mereka yang mempunyai tangan yang besar sudah pasti tidak dapat memasukkan tangan mereka, tetapi mereka yang mempunyai tangan yang kecil pula, gelang emas itu akan menjadi lebih kecil dari tangan mereka.

Sehingga orang yang memakai tidak dapat memasukkan tangan mereka , walaupun pada penglihatannya gelang emas itu besar.

“Patik datang dari Pulau Jawa, Patik membawa seorang puteri yang jelita dari Pulau Jawa untuk mencuba memakai gelang emas tersebut. Sekiranya ada rezeki boleh dua kerajaan ini merapatkan hubungan kekeluargaan, kalau gagal kita sekadar menjadi rakan dalam perniagaan” Ungkap Seorang Pembesar dari Pulau Jawa datang mengadap.

“Susah sungguh untuk hamba memakainya, tangan hamba terasa sakit” ungkap Puteri dari Pulau Jawa gagal memakai gelang tersebut.

“Nampaknya jodoh antara dua kerajaan ini tidak menjadi, Patik sebagai wakil dari Pulau Jawa memohon untuk mengundur diri” Jawab Pembesar tersebut meminta diri untuk pulang ke Pulau Jawa.

Datang pula wakil dari Tanah Cina mengadap Sultan Nur Ilham sambil menunjukkan puterinya yang jelita.

Mereka membawa seaorang tukang emas dari kerajaan mereka untuk menilai ketinggian mutu gelang emas tersebut.

“Susah juga hendak memakainya, semakin di tolak semakin sempit rasanya, hamba mengaku gagal melaksanakan ujian ini ” Ungkap Puteri Cina sambil mengeleng-ngelengkan kepala.

“Tuan Puteri jangan bimbang tukang emas yang kita bawa ini boleh menolong Tuan Puteri” Celah pembesar menenangkan perasaan Puteri Cina.

Tukang emas itu telah mengergajikan gelang emas tersebut ,sungguh ajaib setiap kali terputus gelang itu akan bersambung balik.

Akhirnya rombongan dari Tanah Cina itu pulang ke negara mereka dengan seribu kehampaan.

“Patik pula datang dari Temasik, Patik membawa Puteri Temasik yang jelita dan menawan” Ungkap wakil Kerajaan Temasik sambil memperkenalkan Puteri Temasik.

“Puteri Patik ingin mencuba memakai gelang emas, kalau ada untung bolehlah Puteri patik berkahwin dengan Putera Makhota Panji Gemilang yang tampan dan gagah” Sambungnya lagi.

Kesemua tetamu dan juga Sultan Nur Ilham turut bersorak apabila Puteri Temasik dapat memasukkan tangannya ke dalam gelang emas tersebut.

“Nampaknya hamba tidak susah untuk memasukkan tangan hamba” celah Puteri Temasik penuh gembira kerana berjaya dalam ujiannya.

Tiba-tiba dia menjerit dan cepat-cepat membuang gelang tersebut kerana terasa panas yang amat sangat.

“Nampaknya gelang emas ini tidak sesuai dengan hamba” Puteri Temasik mengaku gagal mencuba.

Maka kembalilah rombongan dari Temasik ini ke negara mereka dengan penuh kehampaan, tertewas dengan Gelang emas tersebut/

Hampir keseluruhan anak gadis dari seluruh dunia dan termasuk puteri-puteri dari beberapa kerajaan gagal memakai gelang emas tersebut.Maka begitu hampalah perasaan Putera Makhota Panji Gemilang kerana gadis yang dicari masih belum ditemui.

“Ampun Tuanku beribu harap di ampun…., patik dan pacar-pacar yakin puteri yang dicari berada di kampung patik iaitu di Kampung Seri Alam, kerana Putera Tuanku pernah terserempak dengan puteri tersebut di kampung Patik” Ungkap Tok Penghulu Kampung Seri Alam datang mengadap membawa firasat tentang kemungkinan gadis yang di cari oleh putera raja itu ada berada di kampungnya.

“Di manakah rumahnya, rombongan Beta akan berangkat?” Tanya Sultan Nur Ilham.

“Dia datang sekelip mata dan pergi sekelip mata, Patik tidak dapat pastikan di mana rumah puteri tersebut” Ungkap tok Penghulu itu lagi.

“Beta akan membawa gelang emas ini ke Kampung Seri Alam, mana-mana anak gadis dari kampung tersebut yang boleh memakai gelang ini, Beta akan kahwinkan dengan Putera Makhota Panji Gemilang” Ungkap Sultan Nur Ilham penuh semangat.

BAB (19)

SI MAWAR MERAH BERTUKAR MENJADI TUAN PUTERI

Maka datanglah rombongan Sultan Nur Ilham bersama puteranya Putera Mahkota Panji Gemilang ke Kampung Seri Alam. Putera Mahkota telah menceritakan kepada Ayahandanya detik-detik pertemuannya dengan gadis mesteri yang di anggap sebagai puteri yang telah menambatkan hatinya.

Sultan Nur Ilham telah membuat pengumuman kepada rakyat di Kampung Seri Alam, terutama kepada mereka yang mempunyai anak gadis supaya datang mencuba untuk memakai gelang emas ajaib itu.

Berduyung-duyung anak gadis dari Kampung Seri Alam datang untuk mencuba nasib, namun tidak ada seorangpun yang boleh memakai gelang tersebut.

Sehingga habis anak gadis kampung tersebut telahpun diuji oleh Sultan Nur Ilham, hanya keluarga Cik Labu sahaja masih belum mencuba nasib.

Tok Penghulu Kampung Seri Alam telah menghantar utusan ke rumah Cik Labu tentang rombongan Sultan akan datang ke rumahnya, kerana ingin melihat anak-anak gadis Cik Labu.

Alangkah gembiranya Cik Labu bila mendapat perutusan tersebut, sangkaannya sekarang Sultan Nur Ilham ingin merisik anaknya Si Mawar Putih.

Cik Labu juga menyangka tentulah Putera Mahkota Panji Gemilang tidak dapat tidur kerana rindukan Si Mawar Putih selepas Si Mawar Putih memberi air Jampi Tok Bomoh Selendang Kuning.

“Sekarang barulah dia tahu siapa aku, Cik Siti Labu Ramping boleh tundukkan anak raja” Bisik kepada hatinya.

“Ibu!!! Putih nak pakai baju warna apa?” Tanya Si Mawar Putih mengejutkan hayalan Cik Labu.

“Hari ini… Putih pakai baju warna biru laut” Jawab Cik Labu tegas.

Dia begitu mengharap agar Si Mawar Putih akan kelihatan cantik di depan Sultan Nur Ilham dan anaknya Putera Mahkota Panji Gemilang.

Pagi-pagi lagi Cik Labu telah memaksa Si Mawar Merah mengemas rumah dan membersih halaman rumah agar kelihatan cantik, kerana ada rombongan Sultan akan datang merisik Si Mawar Putih. Kemudian dia menyuruh Si Mawar Merah hanya bersembunyi di dapur kerana tidak mahu rombongan raja itu melihat Si Mawar Merah.Dia memberitahu Si Mawar Merah bahawa anak raja akan murka jika melihat gadis hodoh sepertinya.

Setelah tiba waktu petang datang lah rombongan Sultan Nur Ilham bersama anaknya dan beberapa pembesar negeri termasuk Tok Penghulu ke rumah Cik Labu.

“Cik Labu….ini rombongan dari Sultan Nur Ilham datang semata-mata untuk menyunting anak perempuan Cik Labu” Ungkap Tok Penghulu sebagai jurucakap Sultan Nur Ilham.

‘Pucuk dicita Ulam mendatang, kedatangan Sultan dan rombongan Patik alu-alukan, nampaknya Si Mawar Putih anak Patik sudah besar panjang, sudah tiba masanya untuk menerima lamaran” Ungkap Cik Labu berbunga-bunga.

“Sebelum itu ada syaratnya Beta nak uji Si Mawar Putih, dapatkan dia memakai gelang emas ajaib ini, sekiranya Si Mawar Putih dapat memasukkan tangannya……dialah yang akan dikahwinkan dengan putera Beta dan boleh mewarisi takhta Beta” ungkap Sultan Nur Ilham yang sejak tadi hanya sekadar memerhati sahaja.

“Patik junjung perintah Tuanku, rasa-rasanya anak Patik Si Mawar Putih boleh memakai gelang itu, dan tangannya cukup padan , bolehlah Tuanku jadikan dia sebagai menantu untuk di bawa balik ke Istana” tergopoh-gapah Cik Labu menuturkan kata-kata, walaupun hakikatnya Si Mawar Putih belum membuat ujian lagi.

“S Mawar Putih, Beta mahu kamu memakai gelang ini” Sultan Nur Ilham menghulurkan gelang emas ajaib itu kepada Si Mawar Putih yang masih gementar.

Gelang emas ajaib itu begitu mudah masuk ke tangan Si Mawar Putih, kesemua mereka yang berada di situ gembira dan bersorak-sorak kerana Si Mawar Putih berjaya memasukkan tangannya.

Sultan Nur Ilham dan Putera Mahkota Panji Gemilang juga gembira kerana tuan milik gelang tersebut telah ditemui.

“Kan….Patik dah cakap gelang emas ini sesuai untuk Si Mawar Putih” celah Cik Labu penuh perasan.

Tiba-tiba dia melihat muka Si Mawar Putih pucat dan gementar bagaikan hendak pengsan.

“Aduh!!!!!” jerit Si Mawar Putih sambil membuang gelang emas ajaib itu dari tangan, sebab dia melihat gelang emas itu berpusing-pusing kemudian bertjkar menjadi seekur lipan. Si Mawar Putih cukup geli dengan lipan.

“Nampaknya…hampa juga perasaan Anakanda, tidak juga ditemui tuan milik gelang emas ini, oh….siapalah gerangan tuan punya gelang ini…” keluh Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Cik Labu, Beta ingin bertanya, masih adakah anak perempuan lain, selain dari Senduduk Putih?” Tanya Sultan Nur Ilham inginkan kepastian.

“Tak ada, Patik hanya ada Putih sahaja” Jawab Cik Labu, dia cuba menyembunyikan rahsia Si Mawar Merah.

“Tuanku…., setahu Patik keluarga Pak Ulam Batu masih ada seorang lagi anak perempuan yang bernama Si Mawar Merah, hasil perkahwinannya dengan Mak Timun, tetapi Cik Labu memberitahu Si Mawar Merah tinggal bersama bapa saudaranya di Siam, tetapi Patik rasa macam tidak percaya sahaja” Ungkap Tok Penghulu meluahkan kesangsiannya selama ini.

“Mana Senduduk Merah?” Tanya Putera Mahkota Panji Gemilang, naluri ingin tahu tentang latar belakang Si Mawar Merah semakin kuat,air muka Cik Labu berubah apabila soalan tentang Si Mawar Merah di tanya berkali-kali oleh Putera Mahkota Panji Gemilang.

Tiba-tiba terdengar dari atas rumah seperti pinggan mangkuk terjatuh, mungkin tersepak oleh seseorang. Ini kerana Si Mawar Merah tergelabah dan terjatuh pinggan mangkuk yang dipegang.

“Siapa gerangan di atas itu?” Tanya Sultan Nur Ilham, muka Cik Labu dan Si Mawar Putih semakin pucat dan ada sedikit gementar.

“Pengawal cuba tengok siapa di sana?” Titah Putera Mahkota Panji Gemilang menyuruh pengawalnya naik ke atas rumah.

Sejurus kemudian keluar lah pengawal dengan seorang perempuan yang berbaju buruk dan tidak terurus, dalam keadaan seperti ketakutan.

“Siapa budak perempuan ini?” Tanya Sultan Nur Ilham inginkan kepastian, Cik Labu dan Si Mawar Putih hanya membisu dan tertunduk ketakutan.

“Setahu Patik inilah Si Mawar Merah, sebelum ini dia cantik dan tidaklah secomot ini, sudah pasti Cik Labu dan anaknya telah menyiksa hidup Merah” Ungkap Tok Penghulu yang sebelum ini sudah lama menaruh syak wasangka terhadap Cik Labu.

“Kesian budak perempuan ini, Ayahanda” Keluh Putera Mahkota Panji Gemilang, bersimpati.

“Sudahlah berbaju buruk, wajah dia tidak bersolek macam Si Mawar Putih” Ujar pula Tok Penghulu yang semakin benci dengan tindakan Cik Labu.

“Cik Labu buat apa dengan Merah?” Tanya Sultan Nur Ilham.

Si Mawar Merah hanya mengeleng-ngelengkan kepala, dia tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap ibu tirinya yang jahat itu.

“Sekarang Beta ingin melihat Merah memakai gelang ini, kalau Merah boleh memakainya, gelang ini akan menjadi milik Merah dan Merah boleh tinggal di istana” Pujuk Sultan Nur Ilham. Si Mawar enggan memakai gelang yang sememang miliknya itu.

Sebaik sahaja gelang emas itu dihulurkan kepada Senduduk Merah, segera dia menyembunyikan tangannya, seolah-olah dia tidak mahu memakainya.

Kedegilan Senduduk Merah tidak mahu memakai gelang tersebut telah menjadi satu kehairanan kepada rombongan Sultan Nur Ilham.

“Kenapa Merah tidak mahu pakai gelang ini” tanya Putera Mahkota Panji Gemilang lagi. Si Mawar Merah hanya mampu mengeleng-ngelengkan kepalanya.

“Sungguh pelik budak perempuan ini, tidak pernah seorang anak gadis yang menolak jika mahu diuji” Keluh Sultan Nur Ilham penuh kehairanan.

Maka beberapa pengawal telah memegang tangan Si Mawar Merah secara paksaan atas arahan Sultan Nur Ilham, walaupun Si Mawar Merah cuba menepisnya, untuk mencabut gelang tersebut.

Akhirnya gelang emas ajaib itu tersarung juga ke tangan Si Mawar Merah, gelang emas itu cukup padan dengan tangan Senduduk Merah.

Tidak semena-mena datang angin sepoi-sepoi bahasa menyelubungi kedinginan senja. Semua rombongan sultan terkejut kerana sehelai demi sehelai pakaian Si Mawar Merah telah diterbangkan angin dengan serta merta juga pakaian yang berkilau dan cantik telah melengkapi ke tubuh Si Mawar Merah, bau wangian semerbak harum kasturi mula menyelubungi di perkarangan itu.

Si Mawar Merah sekarang sudah bertukar menjadi seorang puteri yang jelita dan rupawan. Putera Mahkota Panji Gemilang terlopong kehairanan dan amat gembira kerana wajah inilah yang dicari selama ini. Dia seperti tidak percaya insan yang dicintainya itu kini muncul di depan matanya.

‘Inilah Tuan Puteri yang anakanda ceritakan kepada Ayahanda” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang kepada Sultan Nur Ilham yang juga masih terkejut dengan keajaiban yang berlaku di depan matanya.

“Sungguh cantik dan jelita , Beta sungguh hairan gadis comot ini bertukar menjadi rupawan dalam sekelip mata” Tingkah Sultan Nur Ilham lagi, sambil memeluk anaknya yang terlampau gembira.

“Patutpun tuan hamba sering menyanyi lagu kain buruk, rupa-rupanya tuan hamba ingin menyembunyikan sesuatu dari hamba” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang sambil mendekati Si Mawar Merah.

“Hamba orang hina, tuan hamba orang sanjungan mana padan, Biar Enggang sama Enggang Biar Pipit Sama Pipit” Ujar Si Mawar Merah merendahkan diri.

“Hamba rasa bertuah dan gembira kerana bertemu dengan puteri yang jelita, hati hamba tidak lagi terganggu kerana gelang emas sudah kembali kepada tuan asalnya” Ungkap lagi Putera Makhota Panji Gemilang, Si Mawar Merah hanya tertunduk malu kerana kali ini dia tidak dapat lagi menyembunyikan diri.

“Tangkap Cik Labu dan Si Mawar Putih kerana menipu Beta, dan bawa ke Istana” Titah Sultan Nur Ilham kepada pengawal-pengawalnya.

“Tidak!!!! Tidak patik tidak bersalah!!!!” Jerit Cik Labu dan Si Mawar Putih apabila di tahan oleh pengawal-pengawal istana Sultan Nur Ilham.

“Beta mahu penjarakan mereka!!!” Titah Sultan Nur Ilham dengan nada yang tinggi.

“Tidak!!!!!!” Jerit Cik Labu sambil diheret oleh pengawal-pengawal tersebut.

Manakala di istana pula riuh rendah dengan kepulangan rombongan Sultan Nur Ilham dan puteranya membawa puteri yang jelita, pemilik asal gelang emas ajaib yang menjadi taruhan beribu gadis.

Orang ramai sudah lama berkumpul di istana, pembesar-pembesar negeri sudahpun mengatur acara majlis yang menarik untuk menyambut kepulangan rombongan tersebut. Kali ini Sultan Nur Ilham sendiri yang turun ke kampung untuk mencari calon menantu putera kesayangannya.

“Bonda rasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan tuan milik gelang emas ajaib ini, rupa-rupanya pemilik gelang ini adalah seorang puteri yang rupawan, patutpun anakanda Bonda sampai tidur tak lena, makan tak kenyang kerana teringatkan puteri yang jelita ini, selamat datang ke istana bonda” Ungkap Permaisuri Wangi Kasturi menyambut kedatangan Si Mawar Merah.

“Hamba orang hina datang dari teratak buruk, rasa kekok juga tinggal di istana yang indah dan penuh beradab ini” Ungkap Si Mawar Merah merendahkan diri.

“Anakanda Merah tak usah bimbang, kerana istana ini akan menjadi milik Anakanda Merah juga” Celah Sultan Nur Ilham dari belakang.

“Bulan mengambang depan, kita akang langsungkan perkahwinan antara Anakanda Putera Mahkota Panji Gemilang dengan Anakanda Merah, kita akan adakan majlis secara besar-besaran di mana seluruh rakyat dan pemimpin dari seluruh dunia akan dihebahkan dengan perkahwinan ini” Ungkap pula Permaisuri Wangi Kasturi kerana terlampau gembira.

“Kerana ini adalah sebahagian janji-janji Ayahanda, sesiapa yang dapat memakai gelang emas ajaib ini akan dapat berkahwin dengan putera Ayahanda” Tingkah Sultan Nur Ilham pula, Putera Mahkota Panji Gemilang hanya mampu tersenyum kerana terlampau gembira.

“Sebelum ini Ayahanda ingin menguji Anakanda Merah supaya bersyair, kerana heboh pasal puteri yang di puja putera Ayahanda ini pandai bersyair” Celah Sultan Nur Ilham lagi, sambil menjeling ke arah Putera Mahkota Panji Gemilang.

Dodoilah mata….dodoilah sayang, tidurlah mata …tidurlah sayang, kain buruk jangan di lupa, buat menyapu si air mata, kain buruk ada gunanya, walaupun buruk tinggi nilainya,Nampak ku buruk di pandangan orang, namun mulia di sisi tuan Si Mawar Merah menyampaikan syairnya, semua orang terpesona dengan suara merdu Si Mawar Merah.

Sultan Nur Ilham dan Permaisuri Wangi Kasturi sampai meleleh air mata menghayati bait-bait lagu syair yang dinyanyikan oleh Si Mawar Merah.

BAB (20)

AIR JAMPI TOK BOMOH TAK MENJADI

Acara gilang-gemilang telah diadakan bagi meraikan perkahwinan antara Putera Mahkota Panji Gemilang dengan Si Mawar Merah. Semua rakyat termasuk pembesar-pembesar negeri dan wakil-wakil dari negeri-negeri lain turut dijemput untuk menyaksikan perkahwinan putera kepada Sultan Nur Ilham dan Permaisuri Wangi Kasturi.

Mereka datang untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan Sultan Nur Ilham mengembara mencari menantu untuk puteranya. Di mana menantu yang ditemui itu cukup padan dengan Putera Mahkota Panji Gemilang

Banyak juga hadiah yang diberikan oleh wakil-wakil dari negeri-negeri lain di atas perkahwinan putera Sultan Nur Ilham.

Majlis yang di adakan selama tujuh hari itu telah diserikan dengan berbagai persembahan rakyat dan penuh dengan acara yang berwarna-warni yang menarik.

Di dalam bilik kurungan pula Cik Labu dan Senduduk Putih begitu sedih sekali kerana gagal menambat hati Sultan untuk dijadikan Si Mawar Putih sebagai pilihan Putera Mahkota Panji Gemilang.

Mereka berdua hampa kerana Air Jampi Tok Bomoh Selendang Kuning tidak menjadi. Putera Mahkota Panji Gemilang begitu utuh mencintai Si Mawar Merah.

Cik Labu cukup benci dengan Si Mawar Merah kerana Si Mawar Merah bukan anaknya, sebab itulah Si Mawar Merah sering disiksa dan didera tanpa keperimanusian.

Sekarang Cik Labu dan Si Mawar Putih begitu cemburu dengan pilihan Putera raja tersebut.

“Kurang ajar! Merah! engkau merampas hak aku” Sumpah Si Mawar Putih meluahkan kemarahannya kepada ibunya.

“Tak apa Putih…, jangan bimbang, kita ajar dia selepas kita bebas nanti, hari ini hari dia, entah esuk atau lusa,tahulah dia, siapa kita….” Celah Cik Labu penuh kemarahan.

“Itulah ibu…air jampi yang Tok Bomoh Selendang Kuning buat tak menjadi” Keluh lagi Si Mawar Putih.

“Nak jadi macam mana, air jampi tu…habis tertumpah, semasa Putih melatah apabila burung hinggap di atas kepala, yang satu lagi tu… telah tertukar dengan budak pelawak gila tu…” Tingkah Cik Labu mengingati kegagalannya.

“Saat tu…Putih benar-benar gementar” Si Mawar Putih mengakui kesilapannya, mengenangi detik itu.

“Nantilah kita keluar, kita akan ajar dia, dendam ibu tetap akan dibalas” Ungkap Cik Labu menanam tekad.

Perasaan kebencian mereka semakin bergejolak apabila terdengar sayup-sayup dari luar berbagai irama dan rentak gendang serta nyanyian untuk meraikan majlis perkahwinan Putera Mahkota Panji Gemilang dan Si Mawar Merah.

BAB (21)

CIK LABU MERAYU DIBEBASKAN

Setelah sebulan perkahwinan antara Putera Mahkota Panji Gemilang dan Si Mawar Merah berlalu, kasih sayang antara mereka semakin erat dan mereka saling cinta-mencintai antara satu sama lain.

Keberkatan perkahwinan mereka menyebabkan negeri semakin makmur ranyat hidup semakin aman, hubungan dengan negara-negara luar juga turut terjalin erat. Rezeki rakyat bertambah, hasil padi dan tanaman lain turut menjadi dan membuahkan hasil yang banyak, menambahkan pendapatan rakyat.

Pada satu malam , Si Mawar Merah merasa gelisah, tidur tak lena kerana asyik teringatkan ibu tiri dan adiknya yang telah dipenjara di bilik kurungan.

Dia akui kesalahan dan kezaliman ibu tiri dan adiknya itu terlalu besar, tetapi di atas dasar keperimanusiaan dan naluri simpati yang bermaharaja di jiwa, terasa ingin memaafkan sahaja kesilapan yang dilakukan oleh ibu tiri dan adiknya itu.

Putera Mahkota Panji Gemilang begitu hairan apabila melihat wajah Si Mawar Merah yang sugul dan murung, lalu dia bertanya takut-takut isterinya itu dalam kesakitan.

‘Kenapa Kanda lihat wajah Dinda lain macam hari ini?” Tanya Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Kanda ….sudah lama Dinda tidak melihat keadaan ibu dan adik Adinda di penjara” Ungkap Si Mawar Merah dengan nada yang lembut.

“Oh…itulah yang menyebabkan wajah Dinda begitu sugul sekali, sampai tidak lena tidur” Ungkap balik Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Kalau diberi peluang rasa-rasanya ingin Dinda berkunjung buat seketika menjengah ibu dan adik di penjara”Ujar Si Mawar Merah lagi.

“Pagi besok Kanda akan mengadap Ayahanda untuk meminta izin, agar Dinda dapat bersua muka dengan ibu dan adik Dinda yang tercinta” Balas Putera Mahkota Panji Gemilang menenangkan perasaan Si Mawar Merah.

“Terima kasih Kanda…” Ungkap Si Mawar Merah, dan wajahnya semakin ceria.

***********************************************************

SETELAH mendapat kebenaran Sultan Nur Ilham, pagi-pagi lagi rombongan Si Mawar Merah telah di bawa masuk ke bilik kurungan ibu tirinya dan adiknya Si Mawar Putih.

‘Merah….tolonglah ibu, ibu benar-benar rasa menyesal buat Merah begitu, inilah balasan Tuhan terhadap ibu, ibu minta maaf, ibu akui kesalahan ibu…” Ungkap Cik Labu penuh rayuan.

“Kak Merah…sebenarnya Putih sayangkan Kak Merah….,Putih buat pura-pura sahaja marahkan Kak Merah, padahal hati Putih sayangkan Kak Merah” Pujuk Si Mawar Putih mengharapkan simpati dari Si Mawar Merah.

“Tolonglah beritahu Sultan bahawa ibu tidak akan lagi mengulangi kejahatan ibu, ibu benar-benar sedar dan insaf” Rayu pula Cik Labu bersungguh-sungguh.

“Kesianlah Putih, di sini Putih tak boleh tidur banyak nyamuk, habis badan Putih kena gatal-gatal” Ungkap Putih sambil menunjukkan beberapa tompokan di badannya. Si Mawar Merah semakin bersimpati.

Pertemuan itu benar-benar telah meruntunkan jiwa Si Mawar Merah,dia benar-benar kesian melihat keadaan ibu tiri dan adiknya yang di kurung. Kalau betul-betul mereka insaf dan sedar, pagi besok dia akan menyuruh suaminya Putera Mahkota Panji Gemilang mengadap Sultan untuk membebaskan mereka.

“Kanda sungguh kesian Dinda melihat mereka , wajah mereka sudah kurus kering macam tidak cukup makan, Si Putih sering gatal-gatal kerana digigit nyamuk, mereka benar-benar menyesal dan minta dibebaskan” Ungkap Si Mawar Merah memujuk suaminya.

“Bukan Kanda tidak mahu membebaskan mereka, tapi hendak memberi pengajaran kepada mereka kerana mereka telah menzalimi hidup Dinda dulu, mereka sepatutnya diajar” Putera Mahkota Panji Gemilang memberi penerangan kepada Si Mawar Merah.

“Tapi kali ini mereka benar-benar menyesal, Dinda tidak pernah menaruh dendam kepada mereka, sebaliknya Dinda kesiankan mereka” Balas Si Mawar Merah.

“Kanda bimbang, takut tingkah laku mereka tidak berubah, hanya sekadar untuk mengaburi mata” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang masih waswas.

“Tapi dia ibu Dinda juga,Dinda jamin mereka benar-benar ingin berkelakuan baik” Ulang Si Mawar Marah lagi, memujuk.

‘Baiklah kalau begitu,Kanda akan menemui Ayahanda untuk membebaskan mereka, tetapi jika mereka perlakukan lagi apa-apa kepada Dinda, Kanda tidak akan berdiam diri, Kanda akan memberi hukuman yang lebih berat terhadap mereka” Tegas Putera Mahkota Panji Gemilang, Si Mawar Merah sangat gembira kerana ibu tiri dan adiknya akan dibebaskan.

Keesukan paginya Putera Mahkota Panji Gemilang dan Si Mawar Merah datang mengadap Sultan Nur Ilham

“Ayahanda ku yang dikasihi, Anakanda berdua datang mengadap ini adalah semata-mata untuk memohon jasa baik Ayahanda agar dapat membebaskan Cik Labu dan Putih, mereka berdua sudah mengaku kesilapan dan rasa menyesal” Putera Mahkota Panji Gemilang datang mengadap sembah.

“Patutkah perempuan jahat itu dibebaskan, tentu terluka hati Anakanda Merah kerana membebaskan mereka” Ungkap Sultan Nur Ilham masih berkira.

“Apa yang dilakukan kepada Anakanda, semuanya sudah dimaafkan, sekarang Anakanda betul-betul kesiankan mereka” Si Mawar Merah melahirkan rasa simpati.

“Kalau begitu, Ayahanda bersedia membebaskan mereka” Balas Sultan Nur Ilham sambil mengarah beberapa pengawal membebaskan Cik Labu dan Si Mawar Putih dari bilik kurungan.

“Terima kasih Ayahanda, kami mohon berundur” ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang dan Si Mawar Merah meminta untuk diri.

Alangkah gembiranya Cik Labu dan Si Mawar Putih kerana akhirnya mereka dibebaskan. Namun begitu mereka telah diarahkan supaya meninggalkan istana dan kembali ke kampung mereka. Dengan syarat mereka tidak mengulangi lagi perbuatan mereka.

Sesampainya Cik Labu dan Si Mawar Putih di rumah lama mereka, terus mereka menyumpah kembali kepada Si Mawar Merah.

Mereka berniat tetap akan membalas dendam, selagi dendam tidak terbalas selama hidup mereka tidak akan tenang.

Mereka akan menemui sekali lagi Tok Bomoh Selendang Kuning untuk mendapat ilmu hitam dari air jampi yang boleh melawan kuasa yang ada pada Si Mawar Merah.

BAB (22)

RANCANGAN JAHAT CIK LABU DAN SI MAWAR PUTIH

“Tok Bomoh….Tok Bomoh….hamba gagal memberi air jampi selendang kuning kepada putera raja hari itu,sekarang anak raja itu telah memilih Si Mawar Merah bukannya Putih, hamba cukup geram!!” Ungkap Cik Labu sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di balai rumah Tok Bomoh Selendang Kuning.

“Itu bukan salah air jampi, tapi itu adalah kecuaian Cik Labu dan Putih yang gagal melaksanakan tugas dengan cermat” Tegas Tok Bomoh Selendang Kuning, turut kecewa.

“Sekarang hamba datang hendak dapatkan semula air jampi tersebut, kalau boleh biarlah air jampi itu lebih berkesan, hamba nak balas dendam”

ungkap Cik Labu dalam kemarahan untuk meneruskan niatnya.

“Setiap malam ..Putih tidak boleh tidur kerana cemburu dan benci melihat Merah yang asyik berkepit dengan putera raja, sedangkan Putih asyik diganggu nyamuk, Putih benci!!!!benci!!!!” jerit Si Mawar Putih meluahkan perasaan yang terbuku sekian lama, dia benar-benar bencikan Si Mawar Merah.

“Kali ini kami yakin usaha kami akan berjaya, Tok Bomoh kena tolong, hamba bersetuju menjadi kekasih Tok Bomoh jika usaha kali ini berjaya” Rayu Cik Labu dengan penuh perasaan.

“Baiklah , hamba tidak minta apa-apa cengkeram, asalkan Cik Labu sukakan hamba, itu sudah cukup” Balas Tok Bomoh Selendang Kuning balik, sudah lama Tok Bomoh Selendang Kuning mengidamkan Cik Labu.

“Boleh tak Tok Bomoh buat dia mati?” Tanya Cik Labu.

“Kalau dia terminum air jampi ini dia tidak boleh mati, tapi dia boleh pengsan dalam tempoh yang lama, sebab tubuhnya sudah sedarah sedaging dengan buah jambu ajaib yang dimakannya, menjadi penawar untuk sebarang keracunan dari meresap ke tubuhnya, dia tidak boleh mati macam ibunya” Jelas Tok Bomoh Selendang Kuning yang sudah tahu serba sedikit tentang kekebalan Si Mawar Merah.

“Habis, apa boleh kita buat” Tanya Si Mawar Putih pula yang sejak tadi masih membisu.

“Kita hanya sekadar dapat memberi dia racun dari tuba hempedu yang hanya membolehkan dia tertidur dalam tempoh yang lama, malah boleh selama-lamanya, dalam tempoh itu hamba rasa sudah cukup untuk kita memporakprandakan keluarga istana” Ungkap Tok Bomoh Selendang Kuning yang juga berniat buruk terhadap Sultan Nur Ilham.

“Kalau macam itu, boleh dikirakan bagus” Tingkah Cik Labu bersemangat.

“Tapi gelang emas yang Si Mawar Merah pakai merupakan azimat yang boleh memusnah rancangan kita, Cik Labu kena curi gelang itu untuk menjayakan rancangan ini, selagi gelang itu ada di badannya, selagi itulah usaha kita gagal. Malah dia boleh pulih semula kalau gelang emas itu bersatu semula ditubuhnya” Jelas lagi Tok Bomoh Selendang Kuning.

“Baiklah hamba akan cuba” Jawab Cik Labu pendek.

“Kalau dapat diambil gelang itu, Cik Labu tidak boleh menyimpan kerana gelang itu boleh bertukar menjadi seekur lipan yang merbahaya dan boleh membunuh, sebaliknya Cik Labu kena lempar ke dalam sungai agar gelang itu tidak lagi kembali kepada Merah” Tok Bomoh Selendang Kuning masih memberi ingatan kepada Cik Labu.

Setelah mengambil air jampi tuba hempedu dan memahami syarat-syarat yang telah diberi oleh Tok Bomoh Selendang Kuning, maka Cik Labu dan Si Mawar Putih pun kembali ke rumah mereka kerana pagi besok mereka akan bertolak ke istana untuk meneruskan rancangan jahat mereka.

BAB (23)

SI MAWAR MERAH DIKHIANATI

Sudah agak lama Cik Labu dan Si Mawar Putih tidah melawat istana, kini tiba masanya untuk dia datang ke istana atas alasan untuk menemui anaknya Si Mawar Merah .

Sebenarnya dia telah merancang bersama Si Mawar Putih untuk memusnahkan hidup Si Mawar Merah,dia akan meneruskan rancangan jahatnya itu.

“Merah…ibu datang ni…semata-mata rindukan Merah” Cik Labu menuturkan bicara dengan penuh lemah lembut.

“Terima kasih bu…” Jawab Si Mawar Merah terharu, kerana inilah pertama kali dia mendapat kasih sayang dari seorang ibu.

“Kak Merah, Putih juga rindukan Kak Merah, bila Kak Merah nak balik ke rumah, mentang-mentanglah rumah kita buruk, tak sudi pula balik sekejap pun…” Tingkah pula Senduduk Putih , pura-pura mengusik Senduduk Merah.

“Bukan Kak Merah tak nak balik, tapi sekarang Kak Merah dah jadi isteri orang, kena jaga suami, kalau Kak Merah keluarpun pengawal kena jaga Kak Merah, menyusahkan sahaja” Keluh Si Mawar Merah kerana dia sendiri tidak boleh lagi bebas seperti dulu, kerana dia sekarang telah menjadi keluarga Sultan dan bakal mewarisi takhta Sultan Nur Ilham bersama suaminya Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Tak apalah …..ibu faham, kalau ibu rindu, ibu akan datang ke istana ini, orang kata tinggal di istana kena pandai jaga adab” Ungkap Cik Labu lagi.

“Sebenarnya Merah pun rindu kepada ibu dan Putih” Ungkap Si Mawar Merah sambil memimpin ibu dan adiknya masuk ke bilik persemaiannya.

“Boleh tak kami tinggal di istana ini buat sehari dua, kerana kami rindu sangat pada Merah” Celah Cik Labu lagi, membuat suara sedih.

‘Apa salahnya, Merah sangat gembira dengan kedatangan ibu dan Putih ke istana, adalah teman untuk berbicara” Ungkap Si Mawar Merah ,jujur.

Maka tinggallah Cik Labu dan anaknya Si Mawar Putih untuk beberapa hari di istana, tanpa sebarang syak wasangka dari hati Si Mawar Merah.

Pada suatu hari ketika ketiadaan Putera Mahkota Panji Gemilang, Cik Labu dan Si Mawar Putih telah masuk ke bilik Si Mawar Merah kerana ingin menemui Si Mawar Merah. Si Mawar Merah menyambut dengan penuh gembira kerana ingin juga dia bertanya perkhabaran dari kampung.

“Ibu sungguh berkenan dengan gelang emas ini, ibupun hairan macam mana gelang emas ini boleh jadi milik Merah, setahu ibu keluarga kita tidak ada gelang seperti ini” Celah ibunya untuk membongkar, cerita sebenar.

“Gelang ini bukannya bernilai sangat, Merah jumpa di dalam hutan, masa itu Merah sangat sedih kerana ibu tak sayangkan Merah” Cerita Si Mawar Merah detik-detik dia menemui gelang tersebut yang menjodohkan dia dengan Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Boleh tak ibu nak tengok gelang ini,cantik pula pada pandangan ibu”

Pujuk Cik Labu sambil memegang tangan Si Mawar Merah.

“Apa salahnya, ibupun bukan orang lain” Ungkap Si Mawar Merah yang mula yakin dengan kebaikan Cik Labu. Dia semakin lupa dengan pesanan ibunya Mak Timun.

Si Mawar Merah mencabut gelang emas tersebut dan menghulurkan kepada ibu tirinya. Si Mawar Putih pula menghulurkan segelas air untuk menghilangkan dahaga Si Mawar Merah.

Tanpa syak wasangka tipu muslihat dua beranak ini, Si Mawar Merah terus meminum air yang di bawa oleh Si Mawar Putih.

“Minumlah lagi, air yang ibu buat ni….adalah air untuk mencantikkan lagi kulit Merah” Pujuk Cik Labu, sambil pura-pura melihat keunikan gelang yang dipegangnya.

“Ibu…Merah rasa mengantuklah, lebih baik ibu dan Putih keluar dulu, mata Merah dah tak tahan….” Ungkap Si Mawar Merah dan dia terus tertidur seperti tidak sedarkan diri. Si Mawar Putih menyelimutkan Si Mawar Merah yang seperti sedang nyenyak tidurnya. Dia telah memasukkan gelang tersebut ke dalam baki air yang masih ada dalam gelas tersebut. Ini menyebabkan Si Mawar terus pengsan/

Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang Cik Labu dan Si Mawar Putih segera keluar dari bilik Si Mawar Merah, apa yang dirancangnya kali ini berjaya dilakukan, atas tunjuk ajar Tok Bomoh Selendang Kuning.

Sebelum Putera Mahkota Panji Gemilang balik dia segera beredar dan menyembunyikan gelang emas Si Mawar Merah didalam botol berisi air di kendongan kainnya

Sampai di tepi sungai yang berhampiran dengan istana tersebut Cik Labu telah melemparkan gelang itu jauh-jauh agar gelang tersebut hanyut di bawa arus.

Dia tidak boleh menyimpan lama gelang emas itu, kerana menurut Tok Bomoh Selendang Kuning, gelang itu akan bertukar menjadi lipan dan pasti akan menyengat dia dan anaknya Si Mawar Putih.

*************************************************************

SEKEMBALINYA Putera Mahkota Panji Gemilang ke istana dia terus meluru masuk ke biliknya apabila diberitahu oleh dayang-dayang bahawa isterinya Puteri Si Mawar Merah masih belum terjaga dari lenanya sejak semalam.

“Kenapa isteri Beta jadi macam ini?” Tanya Putera Mahkota Panji Gemilang kepada dayang-dayang istana.

“Entahlah…., secara tiba-tiba tuan puteri rasa mengantuk dan meminta kami membaringnya” Kata salah seorang dayang istana.

‘Siapakah yang datang berjumpa dengan isteri Beta?” Tanya lagi Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Ibu dan adik tuanku” Jawab lagi dayang tersebut.

“Panggil mereka, katakan Beta minta mengadap” Titah Putera Mahkota Panji Gemilang yang masih terkejut dengan peristiwa yang sedang dialaminya sekarang.

“Baik Tuanku” Dayang bergegas keluar untuk memanggil Cik Labu dan Si Mawar Putih.

“Ampun Anakanda mengapa tergesa-gesa memanggil ibu dan Adindanda Putih datang mengadap” Cik Labu buat pura-pura tak tahu.

“Begini isteri Beta tiba-tiba tertidur, sudah beberapa kali Beta mengejutnya namun dia masih terlena, masih belum sedarkan diri, adakah ini perbuatan ibu dan Putih?” tanya Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Sampai hati Anakanda menuduh ibu dan Putih membuat perkara yang bukan-bukan, sekejap tadi ibu dan Putih datang kerana di panggil oleh Merah , kata Merah matanya cukup berat..rasanya seperti ingin tidur, macam ada kuasa yang menyuruhnya tidur, ibu tidak tahu..cuma dia berpesan….” Jelas Cik Labu mereka-reka cerita.

“Dia berpesan apa?” tanya Putera Mahkota Panji Gemilang ingin tahu.

“Dia menyuruh Si Mawar Putih menjaganya kerana dia ingin kembali senbentar ke alam kayangannya,sekarang rohnya berada di kayangan tetapi jasadnya masih ada di negeri ini” Cik Labu mereka-reka lagi cerita.

“Beta seperti tidak percaya” Ungkap Putera Makhota masih waswas.

“Terpulang kepada Anakanda, kerana dia berpesan juga menyuruh Putih menjaga makan minum Anakanda, dan mengharap agar Anakanda tidak rungsing semasa kehilangannya” Jelas lagi Cik Labu.

“Pening….pening…” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang lalu menemui Ayahandanya Sultan Nur Ilham dan Bondanya Permaisuri Wangi Kasturi untuk melaporkan kejadian terkini ini.

Sudah hampir seminggu Si Mawar Merah belum sedarkan diri sehingga telah menimbulkan kebimbangan Sultan Nur Ilham dan Permaisuri Wangi Kasturi terhadap Putera Mahkota Panji Gemilang yang kembali tidak mahu makan, tidur tidak lena kerana terlalu rungsingkan isteri tercintanya.

Sebaliknya Cik Labu dan Si Mawar Putih sangat gembira kerana kali ini usahanya untuk memusnahkan Si Mawar Merah sudah berjaya.

Dia telah berjaya memporak-perandakan keluarga Sultan Nur Ilham sehingga mereka hidup dalam keadaan yang tidak tenteram, penuh kerungsingan. Sedikit sebanyak dendamnya terbalas kerana dia pernah dipenjarakan oleh Sultan Nur Ilham.

Cik Labu juga berjanji dengan Tok Bomoh Selendang Kuning kalau istana bergoncang dengan berbagai masalah, mereka akan merampas kuasa dan akan bertindak melalui ilmu-ilmu hitam yang mereka amalkan.

Cik Labu dan Si Mawar Putih telah melemparkan gelang emas tersebut ke dalam sungai di luar istana kerana menurut pesanan Tok Bomoh Selendang kuning, jika mereka tidak berbuat demikian gelang emas tersebut akan menjadi seekur lipan dan menyegatnya.

“Jangan bimbang air sungai deras, gelang ini sudahpun di bawa arus, tidak siapa yang berani terjun ke dalam sungai yang deras ini” Luah Cik Labu kepada Si Mawar Putih yang berada di sisinya.

“Akhirnya usaha kita berjaya, terima kasih Tok Bomoh Selendang Kuning

kerana menolong kita, ibu kena kahwin dengan Tok Bomoh tu…sebagai cengkeram” Ungkap Si Mawar Putih mengingatkan ibunya.

“Engkau pula kahwin dengan anak raja dan boleh tinggal di istana” berdekah-dekah Cik Labu ketawa, nasib baik pengawal istana tidak nampak mereka berada di tepi sungai tersebut.

“Sekarang peranan Putih hanyalah cuba memikat dan mengoda Putera Mahkota Panji Gemilang, biar dia jatuh cinta dengan Putih, biar anak raja itu betul-betul rebah ke pangkuan Putih, besok …ibu akan bertolak ke kampung untuk jumpa Tok Bomoh Selendang Kuning, sebab nak bagi hadiah dekat dia, ibu juga akan mempelajari ilmu-ilmu hitam yang ada pada Tok Bomoh itu sebagai langkah kita seterusnya” Jelas Cik Labu agak panjang, Si Mawar Putih cuma mengangguk sahaja, kerana dia tahu Sultan Nur Ilham membenarkan dia tinggal di istana, supaya menjaga kakaknya Si Mawar Merah.

‘Ibu …Putih takut juga nak tinggal di istana seorang” Keluh Si Mawar Putih yang terpaksa ditinggalkan di istana.

“Jangan bimbang, Putih buat pura-pura baik dan menjaga Merah di hadapan putera raja biar dia terpikat dengan kerajinan Putih, ibu akan arah dari masa ke semasa tindakan yang akan kita lakukan nanti” Ujar ibunya menenangkan kegusaran Si Mawar Putih..

Selepas pemergian Cik Labu tinggallah Si Mawar Putih seorang diri di istana atas alasan menjaga kakaknya Si Mawar Merah. Satu harapannya sekarang semoga kerajinannya ini akan dapat perhatian Sultan Nur Ilham, lebih-lebih lagi Putera Mahkota Panji Gemilang yang dicintainya selama ini.

*******************************************************

DI ISTANA begitu sedih dengan berita isteri Putera Mahkota Panji Gemilang, Puteri Si Mawar Merah masih belum terjaga dari lenanya yang panjang. Sudah hampir beratus bomoh dan pawang dicari, namun penyakit yang dialami oleh Si Merah Mawar belum juga menampakkan tanda-tanda akan sembuh.

Beberapa andaian telah dibuat, ada yang mempercayai kata-kata Cik Labu yang memberitahu roh Si Mawar Merah pulang ke kayangan, dan ada pula yang mengatakan Si Mawar Merah terkena buatan orang.

Tetapi telahan orang ramai lebih berat kepada Si Mawar Merah telah di khianati oleh pengamal ilmu hitam.

“Kekanda, Putih rasa Kak Merah sudah tidak ada harapan untuk sembuh,sudah tiga purnama keadaannya masih belum berubah” Ungkap Si Mawar Putih ketika Putera Mahkota Panji Gemilang menjengah ke bilik persemaiannya.

“Habis..apakah caranya untuk kita menyedarkan dia dari lena yang panjang, kekanda sudah buntu fikiran, jika Adinda Putih ada jalannya, kekanda alu-alukan pertolongan Adinda Putih” Balas Putera Mahkota Panji Gemilang yang hanya mampu melihat sahaja tubuh Si Mawar Merah yang terlena bagaikan diulik mimpi.

“ Pada Firasat Putih ,Kak Merah tak akan pulih dan dia akan hidup seperti ini selama-lamanya , kesian sungguh Putih tengok Kekanda, terpaksa menanggung siksa zahir dan batin, alangkah eloknya jika kekanda mencari pengganti Kak Merah” Ujar balik Si Mawar Putih buat muka kesian dan menggoda.

"Tidak Adinda Putih, Cinta Kekanda pada Merah tidak pernah berbelah bagi" Jelas Putera Mahkota Panji Gemilang dengan penuh sedih.

"Kakanda Kak Merah pernah berpesan pada hamba, sekiranya dia tidak kembali di alam nyata, dia menyuruh Kanda mengambil Putih sebagai pengganti" Ungkap Si Mawar Putih penuh pengharapan.

“Tidak…Adinda Putih cinta Kekanda kepada Merah terlalu agong, tiada siapa yang dapat memisahkan cinta kekanda kepadanya, walaupun lautan api, kekanda sanggup meredah, demi cinta kekanda kepada Merah, Cinta kami sehidup semati, kalau Merah menderita, Kanda pun akan turut menderita. Kalau Merah sakit, Kandapun turut sakit, Tapi Kanda yakin sakit Merah tidak lama” Tegas Putera Mahkota Panji Gemilang, terkebil-kebil biji mata Si Mawar Putih mendengar ikrar cinta Putera Panji Gemilang.

“Begitu kebal sekali cinta Kekanda kepada Kak Merah, Putih kagum dengan di atas kesetiaan cinta Kekanda, alangkah bertuahnya jika Putih di anugerahkan suami seteguh cinta Kekanda dengan Kak Merah” Tingkah Si Mawar Putih pura-pura memuji.

“Maafkan kekanda, Adinda Putih…, kerana Merah lebih dahulu bertahkta di hati ini, kalau bukan Merah tentulahAdinda Putih yang menjadi pilihan kekanda, sebab Adinda Putih rajin dan sentiasa bersimpati dengan nasib Kekanda, tapi walaupun Merah sakit, kekanda tetap cintakan Merah, Kekanda setia menunggu sampai dia terjaga dari lenanya” Putera Mahkota Panji Gemilang memberi penjelasan yang jujur, apabila ada seperti gaya menggoda dari Si Mawar Putih . Dia berikrar tetap mencintai Si Mawar Merah.

“Putih akan menjaga Kak Merah sampai akhir hayat, kerana Putih sayangkan Kak Merah, Putih doakan semoga Kak Merah lekas sembuh dan dapat bersama Kekanda” Ungkap Si Mawar Putih, pura-pura membuat baik.

“Terima kasih, kekanda harap Putih jaga Merah” Balas balik Putera Mahkota Panji Gemilang sambil meninggalkan bilik persemaian tersebut.

Si Mawar Putih hanya sekadar mencebik bibir kerana hampa dengan penjelasan Putera Mahkota Panji Gemilang.

BAB (24)
ORANG JAHAT DI BALAS JAHAT, ORANG BAIK DI BALAS BAIK

Si Mawar Putih telah meminta izin dari Istana untuk pulang ke kampung menemui ibunya, kerana untuk mencari penawar bagi mengubati Si Mawar Merah. Di hati Si Mawar Putih akan menceritakan semua perkembangan yang berlaku di istana, termasuk luahan cinta dari Putera Mahkota Panji Gemilang.

Dia masih teringat kata-kata Putera Mahkota Panji Gemilang, kalau tak ada Si Mawar Merah, tentulah dia yang menjadi pilihan putera tersebut.

“Geram betul, Si Merah kacau daun” Sumpah Si Mawar Putih bila mengenangkan nasibnya yang tidak ada jodoh dengan putera raja tersebut.

“Ibu…cinta Putera Mahkota Panji Gemilang terhadap Merah terlalu kebal, sudah puas Putih menggoda dan memikatnya, namun dia tetap cintakan Merah” keluh Si Mawar Merah kepada ibunya Cik Labu, sebaik sahaja sampai di rumahnya.

“Tak mengapa, nanti kita beri dia minum air jampi selasih rindu yang dibuat oleh Tok Bomoh Selendang Kuning, kita tengoklah tentu anak raja itu akan gilakan Putih” Pujuk Cik Labu sambil memeluk anaknya, mendakap rindu.

“Cepatlah ibu kita hapuskan Merah, kerana selagi nadinya bernafas, selagi masih adanya Merah cinta anak raja itu tetap tidak akan padam, sekarang di istana bermacam-macam bomoh yang datang untuk mengubat Merah, semua tuduhan mereka hampir tepat, mereka kata Merah kena buatan orang, Putih takut tinggal lama-lama di istana, takut rahsia kita terbongkar” Jelas Si Mawar Putih merayu kepada ibunya dan menceritakan apa yang sedang berlaku di istana.

“Baiklah ,besok kita pergi jumpa tok bomoh tu..” Pujuk lagi Cik Labu menenangkan jiwa Si Mawar Putih.

*********************************************************

KETIKA ketiadaan Si Mawar Putih kerana melawat ibunya di kampung, tiba-tiba Si Mawar Merah terjaga dari lenanya. Di bilik persemaian itu tidak ada orang yang melihat dan sedar Si Mawar Merah sudah terjaga dari lenanya, Putera Mahkota Panji Gemilang sendiri tidak sedar Si Mawar Merah sudah terjaga, dayang-dayang yang diberi tugas menjaganya juga tidak tahu Si Mawar Merah bangkit dari tidurnya, namun dia masih tidak bermaya untuk bangun keluar, seolah-olah tidak ada tenaga dan hilang kuasa dalam dirinya.

Nasib baik ada seekur burung ciak yang sesat masuk ke biliknya, kepada burung inilah Si Mawar Merah menceritakan tentang nasibnya dari awal hingga akhir.

“Wahai Sang Ciak, boleh kah engkau memberitahu kepada Sang Murai di kampung aku di hujung Kampung Seri Alam, supaya dia mencari gelang emas yang sudah hanyut ke sana” Ungkap Si Mawar Merah dengan suara yang tersekat-sekat.

“Gelang emas itu sekarang berada di daratan kerana di bawa arus, aku tidak ada masa kerana sekejap lagi air sungai pasang dan gelang emas itu akan tenggelam pula, ini bermakna aku akan terus terlena lagi sampai beratus tahun, tolong…suruh Sang Murai menyelam ambil gelang itu dan hantar kepada aku” Luah lagi Si Mawar Merah berpesan kepada burung ciak, tiba-tiba dia terlena semula kerana gelang emas tersebut ditenggelamkan oleh air semula yang kembali pasang.

Maka terbanglah burung ciak tersebut keluar istana kerana membawa amanah Si Mawar Merah untuk berjumpa dengan Sang Murai yang menjadi sahabat Si Mawar Merah ketika berada di kampung.

*************************************************************

SI MAWAR PUTIH kembali ke istana dia bergegas masuk ke bilik Si Mawar Merah, kerana hatinya sentiasa berdebar dan seolah-olah seperti sesuatu telah berlaku di bilik Si Mawar Merah.

Dia melihat kain selimut Si Mawar Merah terlodeh dan membayangkan Si Mawar Merah seperti terjaga,dia cuba menggerak-gerakkan Si Mawar Merah, namun masih kaku hanya nyawa dan nadi sahaja yang masih berdenyut.

Dia memandang sinis ke arah tubuh Si Mawar Merah yang sedang terlena nyenyak itu.

“Baru padan muka, perempuan nak mampus,aku akan memusnahkan hidup engkau!!!” luahannya dapat didengari oleh salah seorang dayang yang bersembunyi di sebalik tabir bilik Si Mawar Merah.

Kemudian Si Mawar Putih masuk ke dapur dan membancuh air jampi selasih rindu untuk diberi kepada Putera raja yang sedang beradu di beranda luar.

“Kali ini anak raja itu akan gilakan aku” Luahnya lagi, dia tidak sedar tindakannya sedang diperhati oleh salah seorang dayang.

Sejurus kemudian dia cuba membawa air tersebut untuk menuju ke beranda tempat anak raja itu beradu.

“Kekanda silakan minum air ini, sebagai menenangkan jiwa Kekanda” ungkap Si Mawar Putih penuh kelembutan.

“Terima kasih..” Lalu mengambil air tersebut, belumpun sempat Putera Mahkota Panji Gemilang meminum air tersebut, tiba-tiba seorang dayang datang tergopoh-gapah, mencelah, terkejut sedikit SI Mawar Putih.

“Tuanku!!!, Sultan minta mengadap” Celah dayang dengan nada suara yang kuat supaya Putera Mahkota Panji Gemilang tergaman. Dayang seolah-olah tahu muslihat yang sedang dirancangkan oleh Si Mawar Putih dan ibunya

“Baiklah” Lalu dia memberi semula air tersebut kepada Si Mawar Putih, Putera Mahkota Panji Gemilang tidak sempat meminum air tersebut.

“Kalau ya..pun minumlah dulu Kekanda” Ungkap Si Mawar Putih merayu.

“Bagi dekat dayang, kekanda ada urusan dengan ayahanda nak cari tabib dan bomoh dari Pulau Jawa yang boleh selamatkan Merah”Celah Putera Mahkota Panji Gemilang, sambil berlari anak untuk menemui ayahandanya.

“Eh!!! dayang gila!, pengacau!!!..kesian putera raja tak sempat nak minum air” Sumpah Si Mawar Putih sambil memaling mukanya ke lain.

“Cik Putih minum sendirilah, hamba sendiripun tidak tergamak hendak minum air yang Cik Putih buat, saya tau apa yang Cik Putih rancangkan” Sindir dayang istana,sambil tersenyum sinis, menambahkan sakit hati Si Mawar Putih.

“Binatang punya dayang, nanti aku laporkan kepada Putera Mahkota Panji Gemilang baru padan muka” Tengking Si Mawar Putih.

“Eh!!! Perempuan jahat, tak usah nak tipu aku, aku tahu apa yang engkau lakukan selama ini, apa yang engkau buat dengan air tadi?” Tanya dayang tersebut.

“Aku tidak ada buat apa-apa, cuma air minuman, ingat kalau engkau ulangi perbuatan tadi aku akan kerjakan engkau , faham!!!!” Ugut Si Mawar Putih kepada dayang.

“Aku tidak takut dengan ugutan engkau, tentu engkau dan ibu engkau telah lakukan sesuatu kepada Tuan Puteri Si Mawar Merah” Balas balik dayang, Si Mawar Putih terkedu kerana tekaan dayang tersebut tepat.

“Binatang punya dayang, engkau tahu siapa aku?” Jerit Si Mawar Putih marah.

“Tahu…perempuan jahat!!!! Pernah dipenjarakan oleh Sultan” Balas balik dayang tanpa timbul perasaan takut di hati.

Tiba-tiba dia cuba menampar dayang , tetapi dayang dapat menepis sehingga menyebabkan air jampi yang dipegangnya di dalam gelas tertumpah.

Dayang tidak takut walaupun Si Mawar Putih akan melaporkan kejadian ini kepada Sultan, kerana dia akan menceritakan apa yang dilihat dan didengar semasa Si Mawar Putih bercakap dengan dirinya sendiri yang dia ingin memporak-perandakan hubungan Putera Mahkota Panji Gemilang dengan Si Mawar Merah. Sebenarnya dia sempat mengintai semasa Puteri Si Mawar Merah sedang bercakap dengan burung ciak ketika dia sedar seketika, tetapi dia tidak sempat bercakap dengan Puteri Si Mawar Merah kerana Si puteri itu telah pengsan semula.

Pada malam itu Si Mawar Putih tidak dapat lena tidur, kerana mengingatkan detik pertengkarannya antara dia dengan dayang tadi. Dia merasa seperti rancangannya hampir terbongkar kerana dayang tersebut seperti tahu semua tindak tanduknya. Rahsia kejahatannya sekarang berada di di tangan dayang tersebut.

Dia juga turut dibayangi perasaan cemburu apabila Putera Mahkota Panji Gemilang tetap mencintai Si Mawar Merah, walaupun Si Mawar Merah bukan lagi menjadi seperti insan lain. Putera Mahkota Panji Gemilang tetap setia menunggu sehingga Si Mawar Merah terjaga, walaupun seribu tahun sekali pun.

Dalam keserabutan fikiran yang tenggelam timbul dengan berbagai masalah, tiba-tiba dia seperti terdengar suara halus yang menyuruhnya membunuh Si Mawar Merah. Suara tersebut adalah suara dari ibunya Cik Labu dan suara Tok Bomoh Selendang Kuning yang kadang-kadang mengejeknya kerana lambat bertindak. Suara itu semakin jelas memaksa supaya Si Mawar Putih bertindak segera dengan membunuh Si Mawar Merah.

************************************************************

SANG CIAK terbang tinggi sampai berpuluh-puluh batu untuk mencari Sang Murai sahabat Si Mawar Merah.

Dia terbang lagi sehinggalah sampai di satu tempat yang dikenali sebagai Kampung Seri Alam, tempat kelahiran Si Mawar Merah.

Akhirnya Sang Ciak dapat menemui Sang Murai yang sedang bertenggek di atas pokok bonggor, kesunyian kerana kawannya Si Mawar Merah sudah tinggal di istana.

“Sang Murai….aku datang dari jauh, dari istana Sultan Nur Ilham membawa pesanan dari Puteri Si Mawar Merah” Ungkap Sang Ciak yang masih keletihan.

“Apakhabar dengan Tuan Puteri yang jelita itu?” Tanya Sang Murai.

“Dia sedang sakit, atas perbuatan ibu tiri dan adiknya yang Jahat itu” Jawab Sang Ciak.

“Kesian dia” Ungkap Sang Murai bersimpati.

“Dia kena sumpahan, akan terus tertidur selagi gelang emas tidak kembali kepadanya” Sang Ciak menceritakan apa yang berlaku di istana kepada Sang Murai.

“Sungguh sedih sekali nasib Merah….aku sudah pasti akan menolongnya, kalaulah betul gelang emas itu sudah hanyut ke sini, aku akan menyelamnya untuk dipulangkan kepada pemiliknya” Keluh Sang Murai, sambil memerhati ke arah sungai , Sang Murai terus terbang dang bertenggek pula di atas pohon beringin. Dari situ Sang Murai nampak satu cahaya yang berkilau terlekat di akar daun beringin di dalam sungai itu. Sang Murai terus menyelam, alangkah gembiranya apabila seutas gelang emas telah ditemui kembali.

Sang Murai membawa naik ke atas dan memberitahu Sang Ciak bahawa gelang emas Si Mawar Merah sudah ditemui.

“Kenapa engkau menangis Sang Murai?” Tanya Sang Ciak.

“Gelang emas Si Mawar Merah sudah ditemui, tapi siapa yang nak bawa ke istana, nak suruh engkau, tentu tidak larat kerana tubuh engkau yang kecil ini, aku sudah tua dan uzur, itulah sebabnya aku menangis” Jelas Sang Murai penuh kesedihan.

‘Jangan menangis Sang Murai aku ada disini, Merpati sanggup berjalan jauh untuk membawa gelang emas kepada Si Mawar Merah” Ungkap Merpati yang tiba-tiba muncul datang menyelesaikan masalah mereka.

“Terima kasih Merpati” Jerit Sang Murai kegembiraan, Sang Ciak pun bersorak juga, kemudian Sang Ciak menjadi penunjuk jalan membawa Sang Merpati menuju ke istana tempat Si Mawar Merah tinggal.

*************************************************************

SEBAIK SAHAJA masuk ke bilik Si Mawar Merah, Si Mawar Putih terkejut kerana Si Mawar Merah sudah dapat bergerak, ini mungkin gelang emas tersebut sudah naik ke darat. Tetapi Si Mawar Merah masih tidak bermaya dan lemah kerana gelang emas tersebut tidak menyentuh lagi tubuhnya. Dia bergegas ke biliknya dan mengambil sebilah keris, di telinganya terdengar sayup-sayup suara arahan memyuruhnya segera membunuh Si Mawar Merah. Dia cuba menutup bilik Si Mawar Merah agar tidak ada orang yang melihat perbuatannya.

Dia masuk semula ke bilik Si Mawar Merah dan membuka sarung keris, dia cuba menghunuskan keris ke tubuh Si Mawar Merah yang sedang bergerak-gerak itu, belumpun sempat keris tersebut menyentuh tubuh Si Mawar Merah, dia terkejut apabila Sang Merpati mencangkar mukanya.

Kemudian gelang tersebut tercampak ke badan Si Mawar Merah serta merta Si MawarMerah bangun dan terkejut dengan tindakan Si Mawar Putih.

Gelang yang berada di anjung katil Si Mawar Merah kemudian bertukar menjadi seekur lipan dan menyerang Si Mawar Putih. Si Mawar Putih dan Si Mawar Merah sama menjerit kerana terkejut. Kali ini Si Mawar Putih pula yang pengsan apabila lipan jadian itu telah menyengat kaki Si Mawar Putih.

Sultan Nur Ilham, Permaisuri Wangi Kasturi dan Putera Mahkota Panji Gemilang dan beberapa pengawal istana bergegas ke bilik Si Mawar Merah kerana mereka mendengar jeritan dari dalam bilik tersebut.

Alangkah gembiranya mereka apabila melihat Si Mawat Merah sudah sembuh dan boleh bangun semula, malah bertambah jelita setelah dia dapat memakai gelang emas itu semula.

“Kanda…..” Jerit Si Mawar Merah sambil memeluk Putera Mahkota Panji Gemilang dengan penuh kerinduan.

‘Dinda…..” Balas Putera Mahkota Panji Gemilang penuh kegembiraan.

Sultan Nur Ilham dan Permaisuri Wangi Kasturi hanya mampu tersenyum kerana Si Mawar Merah sudah selamat.

“Kenapa Putih pula yang tertidur?” Tanya Sultan Nur Ilham yang kehairanan.

‘Mungkin itu balasan Tuhan….sebenarnya Dinda kena buatan orang, kerana cemburu ibu tiri dan Putih yang tidak habis-habis ingin membalas dendam, Dinda kena racun dan sumpahan dari ilmu hitam yang dibuat oleh ibu….dan Putih, selagi gelang emas ini tidak kembali ke tangan Dinda , selama itulah Dinda tidak akan sedar dari tidur, nasib baik ada burung-burung yang baik hati menolong Dinda mendapatkan gelang tersebut” Jelas Si Mawar Merah menceritakan detik sebenar.

"Kenapalah Kanda tidak perasan tentang gelang ini.. Sedangkan gelang ini juga yang menjadi penghubung dan pertemuan jodoh kita" Keluh Putera Panji Gemilang, kalau dia perasan sejak dulu lagi dia akan mengarah pengawal-pengawal istana mencari gelang tersebut.

“Mana burung-burung itu?” Tanya Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Itu…terima kasih Sang Murai, Sang Merpati dan Sang Ciak yang bersusah payah menolong Merah” sambil menunjukkan ke arah burung-burung yang sedang bertenggek di atas penghadang pintu masuk istana. Sang Murai yang sudah uzur itu , dapat datang juga ke istana setelah di bawa oleh kerabat dan kaum keluarga ungas tersebut.

“Beta berjanji, keturunan Beta tidak akan membunuh dan memakan burung-burung ini, terima kasih….” Ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang sambil melambai ke arah burung-burung tersebut yang ingin meninggalkan istana.

Dalam meraikan kegembiraan yang amat sangat, tiba-tiba mereka terkejut muncul seorang lelaki tua yang berjanggut putih, berserban dan berjubah datang masuk ke istana.

Si Mawar Merah terkejut kerana di sebalik serban itu dia masih dapat mengecam lelaki itu, itulah Pak Ulam Batu yang dikatakan mati ketika mencari kayu api, lelaki tua yang dirinduinya selama ini.

“Ayah!!!!!!Ayah masih hidup” Jerit Si Mawar Merah , sambil memeluk orang tua tersebut.

“Ya…anakku…ayah tidak mati, ayah telah dibawa oleh seorang ulamak untuk belajar agama di Tanah Arab” Ungkap Pak Ulam Batu cuba menyakinkan anaknya.

“Habis siapa yang cakap ayah mati?” Tanya Si Mawar Merah.

“Ibu tiri engkau….telah mengupah kawan ayah supaya membunuh ayah kerana hendak mendapatkan pampasan dari Sultan ,kawan ayah tidak membunuh ayah sebaliknya dia menyuruh ayah mengikut abangnya yang akan berangkat bersama dengan seorang saudagar ke Tanah Arab. Ketika itu ayah cukup kecewa setelah mengetahui bahawa ibu tiri engkau Cik Labu telah memberi racun kepada ibu engkau Mak Timun, isteri yang ayah sayangi” Pak Ulam Batu memberi penjelasan yang sebenar.

“Kenapa Ayah tinggalkan Merah hidup tersiksa bersama mereka” Ungkap Si Mawar Merah yang masih mengingati detik-detik kepahitan zaman silamnya.

“Ayah tidak menyangka mereka bertindak sampai begitu, apa yang ayah tahu mereka mendapat harta yang banyak sepeninggalannya Ayah, dan Ayah menyangka ketika itu Cik Labu amat menyayangi Merah” Ungkap Pak Ulam Batu menyesal.

“Maafkan ayah……” sambungnya lagi.

“Ayah masih hidup pun sudah dianggap bersyukur” Ungkap Si Mawar Merah gembira.

Sultan Nur Ilham telah mengajak Pak Ulam Batu tinggal di istana dan dilantik menjadi seorang penasihat agama dan pendakwah dalam membimbing hidup manusia ke jalan yang benar.

Pak Ulam Batu telah menceritakan detik-detik pengembaraannya sehingga dia terpaksa meninggalkan kampung selama berbelas tahun.

Menurut Pak Ulam Batu dia bukan tidak mahu pulang tetapi kapal yang belayar untuk balik ke negeri ini tidak ada, inipun secara kebetulan dia mengikut pula saudagar dari tanah Arab yang ingin berdagang di negeri yang diperintah oleh Sultan Nur Ilham. Pak Ulam Batu mengambil peluang dan menjadi juru tunjuk untuk saudagar arab itu menjalinkan hubungan dengan kerajaan Sultan Nur Ilham.

“Merah baru tahu …. Cik Labu telah memberi racun kepada ibu, itu secara tidak langsung sewaktu kami bertengkar” Ungkap Si Mawar Merah kepada bapanya.

“Jahat sungguh perempuan itu, rupa-rupanya dia hanya baik di depan mata kita sahaja, tetapi hatinya busuk” cemuh lagi Pak Ulam Batu mengingati bekas isteri mudanya.

“Kesian Putih dia diperalatkan oleh ibunya, demi untuk mencapai niat jahatnya” Keluh Si Mawar Merah yang juga terharu kerana kini giliran Si Mawar Putih pula yang masih belum sedarkan diri.

“Itulah yang Ayah sedihkan kerana tidak sempat mendidik Putih ke jalan yang benar, ibunya terlalu memanjakannya” Ungkap Pak Ulam Batu kecewa, air jernih mula mengenangi kelopak matanya bila mengenangkan nasib anaknya Si Mawat Putih.

“Sekarang kita ke rumah Cik Labu, kita tangkap perempuan penipu itu” arah Putera Mahkota Panji Gemilang kepada pengawal-pengawalnya.

Sebaik sahaja mereka sampai di rumah Cik Labu keadaan rumah tersebut sunyi sepi seperti tidak ada penghuni. Putera Mahkota Panji Gemilang dan pengawal-pengawal mencari di segenap sudut, namun kelibat Cik Labu tidak muncul juga.

“Hairan sungguh Cik Labu ni… seperti tahu kita datang” ungkap Putera Mahkota Panji Gemilang penuh kehampaan.

“Kanda…., Dinda tahu kemana ibu tiri dinda pergi?” Ungkap pula Si Mawar Merah yang muncul bersama Sultan Nur Ilham dan Permaisuri Wangi Kasturi menyusuri dari belakang.

“Ke mana Dinda?” Tanya Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Ke rumah sahabat syaitannya, Tok Bomoh Selendang Kuning” Jawab Si Mawar Merah yang memang tahu, di situlah Cik Labu sering berkunjung untuk beramal ilmu hitamnya bersama tok bomoh tersebut.

“Mari semua kita pergi ke sana, Dinda ,Ayahanda dan Bonda tinggal di sini” Titah Putera Mahkota kepada semua rombongan untuk menangkap Cik Labu.

Sebaik sahaja sampai di sana rombongan yang di ketuai oleh Putera Mahkota Panji Gemilang telah melaung-laung dari bawah menyuruh Cik Labu dan Tok Bomoh Selendang Kuning turun dari rumah.

“Eh….Perempuan Jahat Cik Labu!!!!! dan Tok Bomoh Syaitan keluar dari rumah, kami mahu menangkap kamu diatas kesalahan besar yang kamu lakukan” jerit Putera Mahkota Panji Gemilang.

“Aku tidak takut , siapa yang rapat dengan rumah aku, aku akan sembur dengan nafas api” Tok Bomoh Selendang Kuning meniup kuasa dari mulutnya dan terkeluar api menyebabkan rombongan yang menangkapnya itu lari ke tepi.

Tiba-tiba muncul Cik Labu dengan rambutnya yang mengerbang menjeling tajam ke arah Putera Mahkota Panji Gemilang dan pengawal-pengawal yang berada di situ.

“Kamu mahu apa?” Jerit Cik Labu dengan nada yang keras.

“Kami mahu tangkap kamu” Jawab Putera Mahkota Panji Gemilang, Cik Labu ketawa berdekah-dekah kerana dia sekarang telah dirasuk oleh syaitan,semenjak dia belajar ilmu hitam dengan Tok Bomoh Selendang Kuning.

Cik Labu meniup nafas dari mulut menyebabkan berlaku angin kuat dan rombongan yang ingin menangkap mereka berselindung di sebalik batu besar berhampiran rumah Tok Bomoh Selendang Kuning.

“Eh!!!!Cik Labu !!! keluar kalau berani!!!!” Tengking Pak Ulam Batu mengejutkan Cik Labu bila mendengar suara itu.

“Eh…abang Ulam, rupanya Abang Ulam masih hidup” Cik Labu terkejut.

“Aku tahu engkau mengupah orang supaya membunuh aku, dasar perempuan jahat!!!” Laung Pak Ulam Batu yang berani menghampiri rumah Tok Bomoh Selendang Kuning.

‘Abang !!!! jangan rapat, kalau tidak Labu akan gunakan kuasa Labu untuk membunuh abang, sekarang Labu bukan lagi isteri abang, Labu adalah isteri Tok Bomoh Selendang Kuning!!!!” Jerit Cik Labu mengugut Pak Ulam Batu.

“Aku tidak takut, walaupun engkau isteri kepada tok bomoh syaitan, sekalipun, aku hanya takut pada Allah!!!” Balas balik Pak Ulam Batu.

Cik Labu meniup nafas angin, tiba-tiba ribut taufan datang, semua rombongan sekali lagi berundur dan menyembunyikan diri di sebalik batu, tetapi Pak Ulam Batu tidak berganjak, dia terus berdiri tegak di situ.

“Allahuakhbar!!!!! Ya Allah musnah kuasa jahat ini” Laung Pak Ulam Batu, tiba-tiba angin itu berpaling ke arah rumah Tok Bomoh Selendang Kuning dan menerbangkan sebahagian dari rumah tersebut. Cik Labu terkejut kerana bekas suaminya seperti mempunyai kuasa yang lebih hebat.

Dia cuba meniup lagi nafas angin tetapi kali ini tidak menjadi dia terduduk, tercungap-cungap keletihan.

Datang pula Tok Bomoh Selendang Kuning dan cuba mengeluarkan bebola api dari mulutnya. Sekali lagi rombongan yang di ketuai oleh Putera Mahkota Panji Gemilang bersembunyi ke tepi, mengelakkan dari terkena api.

Tok Bomoh Selendang kuning cuba menghalakan api dari mulutnya ke arah Pak Ulam Batu.

“Allahuakhbar!!!!! datanglah kuasa hujan untuk menghapuskan kejahatan ini” Laung pula Pak Ulam Batu, tiba-tiba hujan datang dengan lebatnya turut mematikan api dari mulut Tok Bomoh Selendang Kuning.

Kedua-dua mereka sudah hilang kuasa dan terduduk, tercungap-cungap keletihan, Putera Mahkota Panji Gemilang dan pengawal-pengawal terus menangkap Cik Labu dan Tok Bomoh Selendang Kuning untuk di bawa ke istana dan akan di beri hukuman di atas kesalahan yang mereka lakukan.

Di penghujung sana kelihatan kelibat Si Mawar Merah, Sultan Nur Ilham dan Permaisuri Wangi Kasturi bersama beberapa pengiring di raja sampai ke tempat kejadian.

Alangkah gembiranya mereka apabila berjaya menangkap Cik Labu dan Tok Bomoh Selendang Kuning, atas pertolongan Pak Ulam Batu yang sekarang sudah menjadi seorang pendakwah Islam. Kini Pak Ulam Batu telah bertukar nama dengan nama barunya Syeikh Al - Muhktar Annuri, itu adalah pemberian yang diberi oleh keluarga angkatnya semasa di tanah arab.

Sebelum ini mereka hanya menganut sahaja agama Islam tetapi sejak kehadiran Pak Ulam Batu semua rakyat di negeri Sultan Nur Ilham telah diajar cara-cara sembahyang dan memperaktik cara hidup Islam.

Negeri di bawah kerajaan Sultan Nur Ilham terus aman dan tenteram sehinggalah takhta kerajaan diambil alih oleh anakandanya Putera Mahkota Panji Gemilang dan isterinya yang bergelar Puteri Si Mawar Merah hidup rakyat dalam keamanan dan keberkatan……Alhamdulillah…..TAMAT.

Novel ini adalah rekaan dan imajinasi penulis sahaja tidak ada kena mengena sama ada yang hidup atau yang mati. Novel ini merupakan novel dongeng berunsur klasik, tetapi digarapkan dalam gaya bahasa moden bagi memudahkan pemahaman. Ia merupakan permulaan pertama Penulis dalam menghasilkan novel yang bercorak sedemikian dan sesuai untuk di baca oleh semua golongan . Yang Baik jadi kan teladan yang buruk jadikan sempadan.

Sekian Terima kasih.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku