Dalam Novel Cinta
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novelet
Paparan sejak 08 Februari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
213

Bacaan






“Tayar pancit ke?” Lelaki berkaca mata gelap itu bertanya.

‘Taklah... enjin tak nak hidup. Tak nampak ke aku tengah buat apa?’

Shea hanya diam dan meneruskan untuk melonggarkan nat yang sebutir pun belum berjaya ditanggalkan itu.

“Nak saya tolong?” Lelaki itu menyoal lagi.

Shea angkat muka pandang lelaki tersebut. Dari gaya bertanya nampaknya lelaki itu memang ikhlas nak tolong. Tapi hanya dengan satu pertanyaan boleh membawa kepada pelbagai masalah.

“Atau awak nak terus cuba tanggalkan skru tu sampai malam?”

Soalan lelaki itu kali ini membuatkan Shea bengang. Entah apa maksud kata-katanya tapi Shea terasa seolah-olah kemampuan dia sedang diperkecilkan. Sampai malam? Kata-kata yang cukup mencabar untuk seseorang yang sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah.

Lelaki itu tiba-tiba melutut di sebelah Shea—membelek tayar pancit yang masih terpasang elok. Kedengaran dia tergelak kecil melihat Shea yang masih bersusah payah dengan pemutar skru di tangan. Sudahnya lelaki itu senyap dan memerhati perlakuan Shea yang mula berasa tidak kena.

‘Dah aku tak layan tu, blahlah! Buat apa tunggu kat sini lagi? Adoih...’

“Kalau tak nak tolong, apa kata awak pergi je? Buat apa kat sini lagi?” Shea bersuara.

“Oh, boleh bercakap rupanya. Saya ingatkan bisu.”

Shea jeling tajam.

“Saya dah tanya, awak tak jawab. Saya ingat awak tak nak saya tolong. Awak nak saya tolong ke?”

Shea senyum pura-pura. “Kalau tak nak tolong, buat apa tanya?”

“Maksudnya... awak nak saya tolong?”

‘Aduh... boleh gila aku dengan soalan dia ni.’

Shea ketap bibir menahan sabar.

‘Sabar, Shea. Manusia ada macam-macam.’

Lelaki itu menanggalkan cermin mata gelapnya dan disangkut di kolar baju yang dipakai. Dia mengambil pemutar skru dari pegangan Shea dan diletakkan pada nat—memutar dengan kuat sehingga satu demi satu nat tertanggal. Kemudian memasang jack dan akhirnya tayar tersebut berjaya ditanggalkan.

Shea memerhati bagaimana dengan mudahnya tangan seorang lelaki berjaya melonggarkan nat tadi. Dia memandang tangan sendiri.

‘Kenapa tangan aku tak kuat macam tu? Apa dia makan kuat macam tu sekali? Aku tak percaya perempuan tak mampu jadi kuat macam tu. Aku mesti berlatih mulai sekarang. Jangan kalah pada kekuatan lelaki lagi lepas ni. Haih... nak tukar tayar kereta pun tak mampu. Apalah!’

“Siap.”

Shea tersentak. Dia melihat tayar simpanan sudah elok terpasang manakala tayar yang pancit tadi tersandar pada kereta. Shea memandang lelaki tersebut. Peluh kecil merenik di dahi membasahi pelipis lelaki berambut lurus dan kemas itu.

“Selesai.” Lelaki itu bangun dari mencangkung.

Shea turut berdiri semula. Pemutar skru dan peralatan lain diserah kembali kepada Shea. Tanpa berkata apa-apa, Shea menyimpan peralatan tersebut di dalam bonet semula.

“Tayar ni awak tak nak ke? Nak buat pasu bunga ke apa ke?” Lelaki itu tersengih. Cermin mata gelap sudah dipakai semula—menutup sepasang matanya yang coklat sebentar tadi.

‘Oh Shea... sempat lagi kau tenung mata dia?’

“Terima kasih,” ucap Shea perlahan. “Tayar tu biar jelah. Benda yang dah tak guna, buat apa nak simpan?”

Lelaki itu mencebik sambil mengangguk. “Mendalam maksud awak tu. Saya rasa saya faham.”

Shea mengerut dahi. “Apa yang awak faham?”

Lelaki itu sekadar mengangkat bahu. “Awak nak ke mana? Jauh lagi ke?”

Shea diam mengambil sebotol besar air mineral dari dalam kereta—membasuh tangan dan muka yang comot. Mekap yang nipis tu pasti dah lama cair dek peluh yang lebih banyak daripada orang berjoging.

“Buat apa awak nak tahu? Terima kasih sebab tolong. Awak boleh pergi.” Shea tersengih.

“Serius? Awak pandu kereta dengan tayar sebelah lain dan sebelah lagi lain tu dekat jalan macam ni?”

“Apa salahnya?”

“Kalau awak belum sedar, ini jalan alternatif...”

“Saya tahu.”

“Tak ramai orang ikut jalan ni malam-malam.”

Shea terdiam.

“Dan untuk pengetahuan awak, dengan tayar macam tu, awak tak boleh pandu lebih dari enam puluh. Kalau lebih, nanti tak pasal terlajak masuk gaung. Malam-malam kat jalan ni ada banyak...”

“Sshhh...” Shea memintas. “Mulut tu jangan celupar sangat boleh tak?”

Lelaki itu tergelak kecil. “Saya boleh temankan. Awak pandu di depan, saya ikut di belakang. Sekurang-kurangnya kalau ada benda... yang bukan-bukan muncul, saya ada.”

Shea pandang lelaki tersebut.

‘Baiknya hati nak tolong temankan lepas tukarkan tayar untuk aku? Ada niat jahat ke apa ni?’ Dia mula bersangka buruk.

“Jadi?” Lelaki itu mengangkat kening.

Shea pandang sekitar. Memang waktu sudah mula beranjak ke senja. Dia melirik jam di tangan—menghampiri pukul 7 petang. Shea pandang lelaki itu semula. Botol mineral di tangan yang masih berisi air dilempar ke arah lelaki itu dan sempat disambut.

“Jangan nak hilang sabar kalau saya bawa kereta bawah enam puluh. Awak sendiri yang pelawa diri nak ikut di belakang.” Shea berlalu membuka pintu kereta.

“Awak nak ke mana sebenarnya?” soal lelaki itu lagi.

“Ikut jelah!”


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku