KOMEDI SI KUDUS
Bab
Genre: Lucu
Kategori: Jenaka Santai
Paparan sejak 09 Februari 2017
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)
193

Bacaan






SI kudusKOMEDI SI KUDUS

OLEH:ZAINAL TAIB BIN AB HAMID.

DEPAN BALAI POLIS BATU MELINTANG,

17520 BATU MELINTANG, JELI, KELANTAN.

BAB 1

SI KUDUS PEMALAS

Tersebutlah kisah yang berlaku di zaman dulu,. Di zaman agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu. Di situ tinggal satu keluarga yang terdiri dari Pak Awang Selamat, Mak Limah Lenggang dan seorang anak lelaki mereka yang bernama Awang Kudus.

Mereka tinggal di kampung nelayan , di mana keseluruhan penduduk bergantung hidup kepada asal penangkapan ikan,.

Pak Awang Selamat merupakan seorang nelayan yang gigih dan sentiasa turun ke laut, manakala isterinya Mak Limah Lenggang pula seorang yang ringgan tangan dan rajin membantu Pak Awang Selamat membersih ikan-ikan hasil tangkapan setiap hari.

Kalau ada rezeki mereka boleh mendapat satu atau dua raga ikan , kesemua ikan -ikan ini akan dijual kepada peraih.

Berbeza sekali dengan anak mereka Si Awang Kudus, yang cukup terkenal sebagai Awang pemalas atau orang kampung menggelarkan sebagai Si Kudus Pemalas.

Selain malas berkerja dan membantu orang tua, Si Kudus juga terkenal sebagai orang yang kuat tidur dan suka makan banyak.

Apa yang dia tahu makan dan membuang air, kemudian dia masuk tidur semula.

Sudah puas Pak Awang Selamat dan Mak Limah Lenggang berikhtiar untuk memulihkan tabiat Si Kudus, namun perangainya semakin menjadi-jadi.

Hanya sekadar membazirkan harta dan wang ringgit sahaja untuk memulihkan Si Kudus supaya menjadi baik dan rajin berkerja.

Sudah bertimbung nasihat diberikan tetapi Awang kudus buat tidak kisah sahaja. Ibarat mencurah air di daun keladi.

Sekarang timbul pula tabiat baru,dia sering tersenyum sendirian dibuai angan-angan tinggi kononnya hendak menjadi kaya dan dapat berkahwin dengan perempuan jelita.

Kalau boleh dia hendak kahwin dengan anak raja, harta banyak dan mempunyai pangkat serta kedudukan.

“Kudus...besok pagi kita turun ke laut, tangkap ikan, tolong ayah ni…” ungkap Pak Awang Selamat mempelawa Si Awang Kudus membantunya.

“Malas lah ayah, lagipun badan saya tak sihat, letih"Ungkap Si Kudus sambil menggeliat tidur di atas katil.

“Engkau ni…dah letih, baru punggah kayu api sebesar ibu jaripun sudah letih ” Sindir pula Mak Limah Lenggang dari dapur, menepelek sikap malas anaknya.

“Ibu mana tahu, kayu api tu...berat,lah kalau Kudus tak tolong tadi tak makan nasi lah kita “Balas Si Kudus mempertahankan hujah malasnya, sambil menyelimutkan seluruh tubuhnya kerana tidak mahu lagi mendengar ibunya membebel.

“Tengoklah tu….bertuah sungguh anak kita” Laung Mak Limah lenggang kepada Pak Awang Selamat yang sedang asyik menjahit pukatnya.

“Itulah yang pandai anak awak, tidur….makan …tidur” Sndir lagi Pak Awang Selamat.

“Anak saya, anak awak juga” Mak Limah Lenggang membalas sindiran Pak Awang Selamat.

“Ya….lah anak kitakan Awang Pemalas” Pak Awang Selamat mengalah dan membiarkan leteran Mak Limah Lenggang.

Si Kudus pula membiarkan sahaja kedua orang tuanya bertikam lidah pasal dirinya, dia membatu dalam kain selimut

BAB 2

IKHTIAR

Pada suatu hari Pak Awang Selamat telah membuat satu cadangan untuk mencari ikhtiar bagi mengubat penyakit malas anaknya Si Awang Kudus. Maka berkatalah Pak Awang Selamat kepada isterinya dengan buah fikiran yang agak bernas.

“Mak Limah, saya rasa lebih baik kita pergi berubat sahaja dengan Tok Bomoh Periuk Kuning penyakit Si Kudus tu….” Cadang Pak Awang Selamat, Mak Limah Lenggang hanya menganggukkan kepala sahaja.

“Kalaulah penyakit malasnya sembuh nanti saya nak buat pulut kuning hendak jamu kepada seluruh jiran-jiran kita” Mak Limah mula bersuara dan menghampiri Pak Awang Selamat yang masih berada di tangga.

“Saya nak sembelih 10 ekor ayam nak buat ayam panggang, kalau lah penyakit anak kita tu…sembuh” celah pula Pak Awang Selamat, tersengeh Mak Limah mendengar angan-angan suaminya.

“Molek lah tu…ibu, makan pulut kuning bersama ayam panggang, boleh lah saya tumpang sekaki” sahut Si Kudus dari biliknya.

“Kudus bersiaplah kita hendak pergi ke rumah Tok Bomoh Periuk Kuning, hendak ubatkan penyakit malas engkau” laung ibunya dari dapur.

“Baik lah ibu, saya pergi mandi dulu, teringin rasanya nak makan pulut kuning yang ibu buat” balas balik Si Kudus dalam nada sindiran.

“Budak ini nanti aku pukul dengan batang penyapu baru tahu…” jerit ibunya balik, Pak Awang Selamat hanya mampu tersengeh melihat telatah tabiat anaknya yang memang sukar untuk diubatinya itu.

Sejurus kemudian mereka bertigapun menuju ke rumah Tok Bomoh Periuk Kuning yang terletak kira-kira jarak dua batu dari rumahnya.

“Assalamualaikum” panggil Pak Awang Selamat.

“Alaikummussalam…oh! Pak Awang dan Mak Limah sila naik, nampaknya macam ada hajat besar” pelawa Tok Bomoh Periuk Kuning.

“Ini saya bawa Si Kudus , lain macam perangainya sifat malasnya makin menjadi-jadi” ungkap Pak Awang Selamat menyatakan hajat.

“Entahlah Tok Bomoh….. saya dah habis ikhtiar…” ungkap pula Mak Limah Lenggang.

“Nantilah saya pergi ambil periuk kuning nak baca jampi mentera” celah Tok Bomoh sambil melangkah masuk ke ruang dapur untuk mengambil alat pembomohannya.

Kumat-kumit mulut Tok Bomoh Periuk Kuning membaca ayat jampi mentera yang memang tidak ketahui dan difahami oleh pesakitnya.

Tiba-tiba Si Kudus ketawa kerana gelihati dengan gaya dan telatah Tok Bomoh Periuk Kuning menjalankan tugasnya. Berbagai aksi yang melucukan telah menghibur hati Si Kudus.

“Kalau macam ni… Kudus rasa nak datang hari-hari berbomoh dengan Tok Bomoh ni…, ada juga hiburan” sindir Si Kudus.

“Aduh!!!!!” tiba dia menjerit bila pehanya dicubit oleh ibunya, sebagai isyarat jangan mencelah sewaktu tok bomoh menjalankan tugasnya.

“Pak Awang dan Mak Limah kena mandikan Si Kudus ni…. setiap malam selasa, mungkin penyakitnya akan sembuh” jelas Tol Bomoh Periuk Kuning, Pak Awang Selamat dan Mak Limah Lenggang hanya mengangguk sebagai faham arahan yang diberikan.

Setelah memberi penggeras mereka bertiga pun pulang ke rumah.

Tapi keadaan tidak menjadi juga , malah perangainya semakin lebih bila Si Awang Kudus menjadi seorang yang suka berangan-angan dan ketawa sendirian.

"Saya rasa nak bawa Si Kudus jumpa dengan Ustaz Jamaluddin, biar dia bagi ringan sikit penyakit anak kita tu..." Cadang Awang Selamat kepada isterinya.

"Elok juga, kalau kita asyik percayakan dengan bomoh sampai bilapun tak menjadi" Balas balik Mak Limah Lenggang menyetujui candangan suaminya itu.

BAB 3

SI KUDUS INGIN KAHWIN

Seminggu selepas itu di kampung mereka telah mengadakan satu perayaan bagi meraikan kejayaan penduduk mendapat hasil yang lumayan. Mereka telah berjaya meningkat ekonomi mereka melalui penangkapan ikan dan hasil pertanian.

Ekoran itu tok penghulu kampung yang dikenali sebagai Penghulu Saamah telah berjanji kepada penduduk untuk mengadakan perayaan dengan berbagai persembahan rakyat.

Pak Awang Selamat, Mak Limah Lenggang dan anaknya Si Kudus turut hadir ke majlis tersebut kerana ingin melihat berbagai persembahan seperti main kertuk, acara silat, main gong dan berbagai lagi persembahan yang julung kali diadakan.

Dalam kemeriahan majlis tersebut di celahan orang ramai yang menyaksikan berbagai persembahan, tiba-tiba muncul sekumpulan anak gadis yang jelita melintasi di hadapan Si Awang Kudus.

Tidak pernah Si Awang Kudus melihat salah seorang dari kumpulan gadis tersebut yang sungguh jelita, matanya bulat bak mutiara, hidungnya mancung, pipi pauh di layan, bibir bagai limau seulas.

Hatinya rasa berkenan perasaan cinta mula tertanam di jiwanya terhadap gadis yang baru di lihatnya itu.

Serta merta dia memberitahu ibunya tentang hajatnya yang setinggi gunung,

"Ibunya begitu terkejut kerana secara tiba-tiba Si Kudus hendak berkahwin.

Ibu, Kudus berkenan sungguh dengan gadis itu” dia menunjukan kepada salah seorang dari kumpulan gadis tersebut.

“Ya…Allah anakku, dia dari keturunan bangsawan, anak ketua kampung ini, anak tok penghulu, kita Ibarat melukut di Tepi gantang, Biar Enggang sama Enggang biar pipit sama pipit, barulah segandingan. Engkau tu..sudahlah pemalas tidak berharta pula…”jelas ibunya bagi menyedarkan angan-angan Si Awang Kudus.

“Kalau begitu biarlah saya menjadi rajin, untuk mengumpul harta agar dapat berkahwin dengan gadis yang berkenan di hati, pagi besok Kudus akan turun ke laut bersama ayah untuk menangkap ikan” ungkap Awang Kudus bersemangat.

Pada keesukan paginya, Si Kudus telah menunaikan janjinya untuk membantu ayahnya menangkap ikan di laut.

Kali ini dia berikrar untuk mendapatkan ikan yang sebanyak mungkin, ikan-ikan itu akan dijual kepada peraih.

Duit hasil ikan ini akan disimpan untuk dia melamar anak tok penghulu.

Kedua orang tuanya begitu gembira kerana Si Kudus telah berubah menjadi seorang yang rajin.

Kedua orang tua Si Awang Kudus bersyukur kerana akhirnya Si Kudus mula rajin berkerja.

“Hari ini kita dapat rezeki banyak, bolehlah nanti Kudus kahwin dengan akan tok penghulu tu…” Laung Si Kudus sambil membantu ayahnya menarik pukat.

“Kalau Kudus rajin bukan anak tok penghulu yang Kudus dapat, anak raja pun akan berkenan dengan Kudus” Usik Pak Awang Selamat dalam nada memberi semangat.

“Ya…kah ayah….kalau macam tu…Kudus nak jadi rajinlah "Ungkap Si Kudus bersemangat sambil di ikut gelak tawa ayahnya.

BAB 4

SEMANGAT RAJIN SI KUDUS

Hasil penangkapan ikan hari agak itu banyak, ini adalah rezeki kepada keluarga Pak Awang Selamat. Bagi Si Kudus dia cukup gembira kerana pertama kali dia berkerja sudah pun mendapat rezeki yang banyak.

Setelah ikan-ikan tersebut dijual kepada peraih yang menanti di darat, Si Kudus merasa badannya sedikit letih, dia telah meminta ayahnya pulang dahulu, sementara itu dia ingin berehat seketika di atas perahu.

Si Kudus keletihan kerana sehari suntuk dia membantu ayahnya menangkap ikan, lalu dia tertidur di atas perahu tersebut.

Mungkin kerana penat berkerja dia tidak sedar air laut sedang pasang dan menyebabkan perahunya hanyut ke tengah lautan. Walaupun di pukul ombak, namun sedikitpun tidak menyedarkan Si Kudus dari lenanya.

Dia amat terkejut apabila terjaga dia sudah terdampar di sebuah pulau yang agak jauh dari kampung mereka.

Semalam dia dibuai mimpi berkahwin dengan anak tok penghulu, tapi semuanya indah di dalam mimpi, sekarang dia keseorangan terdampar di pulau yang agak asing dan sunyi.

“Di mana kah aku” bisik hatinya.

Dia cuba menggosakkan mata dan mengambil air laut membasuh mukanya, baru dia sedar sekarang dia telah dihanyutkan oleh ombak ke sebuah pulau yang tidak pernah di singgah manusia.

“Ya!!! Allah!!!” Si Kudus terkejut apabila di sebelahnya ada seekur ular sawa yang agak besar sedang berlekar dekat perahunya. Ular tersebut seperti kekeyangan dan cuba menonggakkan kepalanya ke arah Si Kudus yang ketakutan.

“Ular jangan telan aku” rayu Si Kudus kepada ular yang seperti merenung tajam ke arahnya.

Si Kudus semakin ketakutan bila ular tersebut bergerak menuju ke arahnya.

Dia cuba memejam mata dan tidak mahu melihat dirinya menjadi mangsa ular sawa tersebut.

Dengan tidak semena-mena dari arah lain datang seorang nenek kebayan dan mengetuk ular tersebut dengan tongkatnya.

Ular itu telah menyembunyikan kepalanya seperti takut kepada nenek kebayan itu.

“Heh!!! Ular pergi jauh dari sini, jangan makan anak cucu aku” arah nenek kebayan, ular sawa tersebut kemudiannya menyusuri ke kewasan semak yang berdekatan untuk menyembunyikan diri dari nenek kebayan itu.

“Terima kasih nek, kerana menolong saya”ungkap Si Kudus menghampiri nenek kebayan itu.

“Kamu jangan jadi pemalas hanya mengharap rezeki di depan mata, berkerjalah untuk mencari rezeki yang halal, jangan jadi seperti ular sawa tadi, dia hanya mengharap rezeki ada depan, nasib baik kamu tidak menjadi mangsanya” jelas nenek seperti mengetahui latar belakang Si Awang Kudus.

“Nenek saya berjanji akan menjadi seorang yang rajin, saya tidak mahu lagi jadi macam ular sawa tadi, jahat…” ikrar Si Kudus, nenek memimpin Si kudus naik ke pondoknya yang terletak tidak berapa jauh dari pulau tersebut.

“Orang yang malas akan menjadi jahat bila dia hendak sesuatu dia akan mencuri atau mengambil barang orang lain” ungkit lagi nenek kebayan memberi nasihat.

‘Nenek,saya dekat mana sekarang?” Tanya Si Kudus yang masih keliru dengan suasana tempat yang baru ditempuhinya.

“Kamu berada di sebuah pulau, pulau ini nenek dirikan sejak nenek muda lagi” cerita nenek kebayan tersebut.

“Adakah orang pernah datang ke pulau ini?” Tanya lagi Si Awang Kudus yang semakin berminat untuk mengetahui sejarah pulau yang cukup cantik ini.

“Tidak ada manusia yang datang ke sini, hanya seorang manusia yang boleh datang, dia ialah Awang Selamat” ungkap nenek lagi sambil menjemput Si Awang Kudus makan bersamanya.

“Itu ayah saya” ungkit Si Awang Kudus, kehairanan kerana nama ayahnya telah disebut oleh nenek kebayan itu.

“Pulau ini tidak akan wujud jika di lihat pada mata kasar manusia, dia berada di alam lain, hanya Awang Selamat dan anak cucunya sahaja yang boleh singgah di pulau ini” jelas nenek kebayan itu lagi, Si Awang Kudus terpinga-pinga kehairanan.

“Ayah saya tidak pernah menceritakan tentang rahsia ini” balas Si Awang Kudus.

“Dia tidak tahu, pulau yang nenek bina ini adalah miliknya” celah nenek kebayan itu lagi.

“Kenapa pula?” Tanya Si Awang Kudus, semakin berminat.

“Sebab Awang Selamat lah yang menyelamatkan nenek semasa di bawa oleh seekur Ikan Yu yang telah diarah membunuh nenek, Nenek tersangkut pada pukat ayah engkau lalu mengheret nenek naik ke atas.

Akhirnya nenek terselamat, jadi nenek telah berjanji akan menghadiahkan sebuah pulau kepada ayah atau mana-mana keturunan Awang Selamat” jelas nenek kebayan itu agak panjang.

“Oh…begitu, bagaimana nenek tahu saya anak Awang Selamat?” Tanya Si Awang Kudus, masih lagi kehairanan.

“Dulu kamu seorang yang pemalas, burung kenari yang selalu singgah di atap rumah engkau itu selalu menjadi pengitip kepada nenek dan memberitahu engkau seorang pemalas, nenek kecewa masa itu” ungkap nenek kebayan berterus=terang.

“Sekarang saya benar-benar ingin menjadi seorang yang rajin” balas Si Kudus lagi, melahirkan semangat nya yang sebenar.

“Ya…nenek tahu, kejujuran dan keikhlasan kamu, lalu nenek menyeru kepada Allah agar membawa engkau ke pulau ini, dengan izin-Nya engkau telah di bawa bersama tiupan angin ke sini” jelas nenek kebayan lagi.

“Saya ingin kembali ke rumah keluarga saya dan ingin berkahwin dengan anak tok penghulu” ungkap Si Awang Kudus bersungguh-sungguh.

“Kamu tidak perlu pulang lagi, kerana sebentar lagi orang ramai datang ke sini untuk melihat pulau yang baru mereka nampak ini, sebenarnya kamu sudah sebulan berada di sini, neneklah yang menjaga kamu ” ujar nenek lagi menceritakan detik yang sebenar.

“Apa?” Tanya Si Awang Kudus, dia juga terkejut kerana tidak menyangka selama ini dia tidak sedarkan diri, apabila terjaga dia sudah berada di hadapan seekur ular sawa.

“Orang-orang kampung sudah tahu, kamu berada di pulau nenek, nenek sudahpun berpesan kepada seorang nelayan yang lalu ke sini, semalam bahawa kamu masih hidup” ujar nenek kebayan lagi.

Sejurus kemudian datang penduduk kampung dengan beberapa buah perahu menuju ke pulau nenek. Mereka sungguh terkejut kerana pulau nenek ini sungguh cantik dan damai.

Tiba-tiba nenek muncul bersama dengan Si Awang Kudus dan memberitahu bahawa sebenarnya pulau ini adalah milik pulau Si Awang Kudus dan meminta orang-orang kampung menjaganya kerana di pulau ini banyak terdapat hasil ikan dan juga pertanian.

Akhirnya cita-cita Si Awang Kudus untuk berkahwin dengan anak tok penghulu terlaksana juga, mereka hidup aman damai di pulau tersebut.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku