Cinta Dalam Hati Suamiku
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Cinta dalam hatimu, untuk siapa suamiku?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
497

Bacaan






"KHALIL."

Khalil mengangkat wajahnya dari terus memandang dan fokus pada buku mewarna. Matanya tidak lepas dari merenung cikgu yang tadi mengajarnya, kini makin menghampirinya bersama telefon bimbit di tangan.

"Nama papa Khalil... Fuad?"

Khalil mengangguk. Mengiyakan apa yang cikgu kelasnya yang bertanya.

Ungku Ridzuwan mengangkat wajahnya. Memandang saudara tirinya yang duduk di depannya dan cikgunya yang sedang bersoal-jawab itu.

"Papa datang nak jumpa Khalil. Papa Khalil ada dekat ruang menunggu kat lobi," ujar cikgu perempuan tersebut dengan senyuman manis.

Terjatuh pensel warna yang ada di tangan Khalil bila mendengar akan berita itu.

"Jom." Cikgu tersebut menghulurkan tangannya ke arah Khalil.

Khalil terkaku.

"Tak nak jumpa papa ke?"

Khalil membisu.

Sejujurnya, dia rindukan papanya. Tapi... dia takut. Kali terakhir dia melihat wajah Encik Fuad adalah sewaktu papanya itu menghentak kepalanya ke dinding sehingga berdarah. Akibatnya, dia ditahan di dalam wad selama beberapa hari.

Mata Ungku Ridzuwan sudah dikerlip, beberapa kali.

*****

"MANA Khalil?" Kerusi ditarik ke belakang sedikit. Memberi ruang untuknya duduk.

Ungku Khalil menoleh ke arah suara. "Keluar."

"Mana?"

"Tadi aku dengar cikgu kata papa Khalil datang, ada dekat lobi tunggu dia."

Berubah riak wajah Putera Agong Hisham mendengarnya. Terus berdiri dia.

Ungku Ridzuwan memegang tangan kanan milik saudara tirinya yang baru sahaja pulang dari tandas itu. "Nak pergi mana?"

"Halang Khalil." Ditarik tangannya dari saudara tirinya. Dibuka langkah kaki untuk keluar dari kelas.

"Tuan Putera!" jerit pengawal yang ditugaskan untuk memantau anak-anak Raja Agong Amirul di dalam kelas tatkala bebola matanya melihat anak sulung raja itu, berlari keluar dari kelas.

"Sham!"

*****

KHALIL terpaku melihat susuk tubuh Encik Fuad di depan matanya. Buat seketika dia merasa takut. Takut untuk dekat dengan ayah kandungnya yang acap kali mencederakan dirinya dan uminya.

"Khalil, betul ke ni papa Khalil?" soal cikgu tersebut. Menginginkan kepastian.

Khalil mengangguk perlahan.

Cikgu tersebut tersenyum. Tangan Khalil yang dipegang, kini dilepaskan. Dipandang wajah Encik Fuad. "Encik, maaf ye. Tadika ini ada peraturan. Masa pembelajaran, kalau ada parent datang melawat hanya dibenarkan lima minit sahaja. Takut Khalil tertinggal pelajaran."

Encik Fuad mengangguk. "Saya faham."

"Baiklah, saya nak masuk kelas semula." Wajah Khalil dipandang. "Jaga diri, jangan lama sangat."

Khalil hanya diam. Tidak memberi apa-apa reaksi.

"Saya pergi dulu."

"Ye la." Encik Fuad pantas menarik tangan anaknya mendekatinya. "Rindu papa tak?"

Khalil mengangguk.

"Marah papa? Sebab papa buat Khalil masuk wad?"

Khalil masih diam.

Encik Fuad tersenyum. Ditarik tangan si anak ke sofa yang disediakan. Mudah untuk berbual dengan anak yang sudah lama dia tidak berjumpa. Wajah diam Khalil dipandang. "Cantik sekolah Khalil. Mesti mahal, kan?"

Khalil terus diam.

"Khalil..." Tangannya mengulas lembut rambut anaknya. "Maafkan papa sebab buat Khalil macam tu. Papa tak sengaja. Maafkan papa ye?"

Khalil mengangguk.

"Banyak duit umi sekolahkan Khalil kat sini."

Khalil pantas menoleh ke wajah papanya.

"Mana umi dapat duit untuk sekolahkan Khalil?"

"Ayahanda."

"Ayahanda? Ooo... suami baru umi ye? Ayah tiri Khalil?"

Khalil mengangguk.

"Hm... kaya ke?"

Khalil membisu.

"Khalil... ayah tiri... jahat tau." Encik Fuad cuba menyuntik perasaan benci untuk ayah tiri dalam hati anaknya.

Khalil menggeleng laju. "Ayahanda baik dengan Khalil. Mana ada jahat."

*****

"TUAN putera, mari masuk kelas," pujuk Pengawal [eribadi dengan lembut.

Putera Agong Hisham menjeling tajam ke arah pengawal itu. Kemudian dia terus mengintip dan memasang telinga perbualan saudara tirinya itu.

"Tuan putera..."

"Diam! Syuhhh..."

"Haih..."

"Kalau ayah tiri Khalil baik, kenapa hari tu... dia tampar umi Khalil sampai jatuh? Merah tau pipi umi."

Khalil merenung tajam wajah papanya. "Tipu!"

"Papa tak tipu. Betul."

"Tak nampak pun."

"Khalil sekolah."

"Papa tipu! Khalil tak percaya."

"Khalil..."

"Papa! Ayahanda baik dengan Khalil. Ayahanda layan Khalil sama macam ayahanda layan anak ayahanda yang lain. Bagi mainan, sekolah dan makanan sedap-sedap kat Khalil."

"Okey. Kalau baik dengan Khalil... tak semestinya baik dengan umi, kan?"

Khalil terdiam.

"Khalil nak ke umi menangis siang malam?"

Putera Agong Hisham merenung tajam wajah Encik Fuad dari jauh. Sekiranya kuasa laser mata itu wujud, pasti sudah terbakar badan Encik Fuad. Geram dia bila ada orang mengata ayahandanya!

"Umi tak pernah nangis. Khalil tak nampak pun."

"Masa papa dengan umi dulu, Khalil tak nampak kan umi nangis? Jadi macam mana Khalil yakin, ayah tiri Khalil baik dengan umi?"

Khalil terdiam.

"Khalil... orang yang ada pangkat tiri ni, jahat."

"Kalau macam tu, mak cik pun jahat, kan?"

Terkedu Encik Fuad mendengarnya.

"Mak cik kan mak tiri Khalil. Papa kata tiri jahat. Maknanya papa sokonglah yang mak cik tu pun sama jahat."

"Tak itu lain."

"Tak, sama je."

"Khalil. Itu isteri papa tahu?"

"Tahu. Ayahanda pula suami umi."

"Khalil, isunya sekarang ni..."

"Papa! Kenapa papa ni? Ayahanda yang baik dengan Khalil, papa kata ayahanda jahat. Mak cik yang selalu pukul Khalil, papa kata mak cik baik pulak."

Terdiam Encik Fuad.

"Masa mak cik pukul Khalil, papa selalu biarkan. Baik, ke tu papa?"

"Pukul nak didik. Itu tandanya sayang."

"Jadi sayang papa pada Khalil ialah buat Khalil masuk wad?"

Sekali lagi lidah Encik Fuad terkaku.

"Ayahanda sikit pun tak pernah pukul Khalil. Baik sangat dengan Khalil. Tak macam mak cik. Papa pun sama... kadang-kadang suka pukul Khalil teruk-teruk sampai Khalil menangis. Papa langsung tak peduli pasal Khalil, pasal umi."

'Budak ini.... aku terkap dengan bantal sampai mati baru kau tahu! Sabar, Fuad... sabar. Dia ni lubuk emas kau. Sabar...'

"Itu dulu. Sekarang, papa dah berubah." Encik Fuad memeluk kedua bahu anaknya. "Papa sayang Khalil."

Khalil mengeluh berat.

"Tapikan Khalil... ayah tiri kan..."

"Cukup!" Khalil menekup kedua telinganya dengan kedua tapak tangannya. "Khalil tak suka papa burukkan ayahanda! Tak nak dengar!" Lantas dia turun dari sofa.

"Okey, okey..." Diturunkan kedua tangan Khalil ke bawah. "Maafkan papa. Papa tak buat lagi."

"Janji?"

"Janji!"

Khalil kembali duduk di sisi papanya.

"Khalil, jom ikut papa."

Khalil menggeleng. "Ada kelas. Khalil tak nak ponteng."

"Kalau macam tu... lepas habis sekolah?"

Khalil terdiam.

"Khalil ikutlah papa sekejap. Ye?"

Khalil diam lagi.

"Boleh main dengan adik. Tak rindu adik?" Encik Fuad cuba memancing anaknya.

"Adik?"

Encik Fuad mengangguk.

*****

PUTERA AGONG HISHAM memusingkan badannya ke belakang tatkala dia melihat Khalil tiada di sisinya. "Khalil!" jeritnya tatkala dia menangkap kelibat Khalil berjalan ke arah bertentangan.

Langkah kaki Khalil terhenti. Dia memusingkan badannya ke belakang.

"Kereta dekat sana." Putera Agong Hisham menunding jari ke arah sebiji kereta yang sudah siap sedia untuk membawa Putera Agong Hisham, Ungku Ridzuwan dan Khalil pulang ke istana.

Khalil kembali memandang ke arah depan. Memandang kereta milik papanya, kemudian dia memandang semula wajah Putera Agong Hisham.

Melihat Khalil yang tidak mahu mendekati arahnya, Putera Agong Hisham membuka langkah mendekati saudara tirinya. Dipegang erat tangan kiri Khalil. "Sini!"

"Aaa... aku tak nak." Khalil menarik kuat tangannya dari pegangan putera itu. "Aku nak ikut papa. Nak main dengan adik."

Bulat mata Putera Agong Hisham. "Jangan. Papa kau jahat."

"Tapi... aku rindu adik aku," luah Khalil dengan jujur.

"Ayahanda tak bagi kita bertiga berpisah. Jangan ikut. Jom balik istana sekarang!" Putera Agong Hisham menarik tangan saudara tirinya agar mengikutinya.

Khalil akur. Dia memandang sayu ke arah kereta papanya.

*****

BARU sahaja Putera Agong Hisham mahu masuk ke dalam perut kereta, mukanya berubah. "Nak kencing..."

"Ha! Mari kita pergi tandas, tuan putera!" gelabah Pengawal Peribadi yang perlu menjaga dan mengurus anak-anak Raja Agong Amirul itu.

Putera Agong Hisham mengangguk. Dipandang kedua wajah saudara tirinya yang sudah ada di dalam kereta. "Tunggu aku."

*****

UNGKU RIDZUWAN menyentuh bahu kiri Khalil. Kesian dia melihat Khalil diam sahaja sejak masuk ke dalam kereta. "Khalil... jangan sedih."

"Aku nak main dengan adik aku."

"Tapi, ayahanda akan marah kalau kita bertiga berpisah."

Khalil termenung.

Ungku Ridzuwan mengeluh. Dibuka beg sekolahnya dan diambil sesuatu lalu dihulur ke arah saudara tirinya. "Ambil ni. Lepas tu cepat ikut papa kau."

"Ha?"

"Ni telefon arwah ayah aku punya. Kau boleh guna untuk call kalau ada benda buruk jadi. Ambik ni cepat. Lepas tu pergi sebelum Sham datang."

Khalil mengambil telefon bimbit tersebut. Dia memandang wajah Ungku Ridzuwan.

"Aku tahu kau rindu adik kau. Pergilah."

"Sham?"

"Aku uruskan."

"Terima kasih."

Ungku Ridzuwan tersenyum. "Jaga telefon tu elok-elok. Arwah ayah aku punya. Aku sayang benda tu," pesan Ungku Ridzuwan tatkala Khalil sudah keluar dari perut kereta.

"Aa... Khalil!"

"Jangan kejar dia!" Bulat mata Ungku Ridzuwan memandang wajah Pemandu Istana yang sudah mahu mengejar saudara tirinya.

"Ba.. baiklah Ungku."

*****

PUTERA AGONG HISHAM mengerutkan dahinya tatkala dia perasan kelibat Khalil tiada di dalam kereta. "Mana Khalil?" Dipandang wajah seorang lagi saudara tirinya. Pasti saudara tirinya itu tahu sesuatu.

Kereta Istana sudah mulai bergerak menuju ke Istana Agong.

"Jumpa papa dia." Selamba sahaja Ungku Ridzuwan menjawab.

"Apa!"

Ungku Ridzuwan mengeluh panjang. "Jangan jerit."

"Kenapa tak halang? Penat je aku halang dia tadi."

"Biarlah. Dia nak jumpa ayah kandung dia. Tak salah."

"Ayah dia jahat!"

Ungku Ridzwan diam.

"Kau ni... ni apa kita nak cakap dekat bonda kalau bonda nampak Khalil tak ada dengan kita? Macam mana kalau umi tanya apa-apa? Nak cakap apa?"

"Cakap je lah yang Khalil jumpa papa dia."

"Senangnya kau cakap. Mengamuk umi dan bonda."

"Kalau macam tu, jangan balik istana dulu."

"Habis nak pergi mana?"

"Mana-mana."

Putera Agong Hisham memeluk tubuhnya. Kemudian dia merenung lama cermin kecil di depan. "Tak nak balik istana."

"Aaa... tapi kita dah nak dekat ni, Tuan Putera," jawab pemandu istana.

"Beta kata tak nak, tak nak la!"

"Aaa... okey."

"Habis, nak pergi mana?" soal Pengawal Peribadi anak-anak Raja Agong Amirul yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu.

"Ikut Khalil! Beta takut papa Khalil buat jahat dekat dia," arah si putera kecil.

"Tapi..." baru sahaja Pemandu Istana dan Pengawal Peribadi itu mahu membantah...

"Ini arahan!" jerit Putera Agong Hisham.

"Baik, tuan putera."

Ungku Ridzuwan tersenyum sinis. "Mentang-mentang ayahanda tak ada, ada kerja luar... suka hati kau je nak arah-arah pekerja istana."

"Biarlah."

"Kalau kena marah macam mana?"

"Kau nak kena marah balik lewat, atau balik tanpa Khalil?" Putera Agong Hisham menjawab dengan satu soalan yang lain.

"Ikut suka kau la."

----- BERSAMBUNG -----



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku