Cinta Dalam Hati Suamiku
Bab 22
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Cinta dalam hatimu, untuk siapa suamiku?
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
914

Bacaan






PERMAISURI AGONG NAFISAH membuka kedua kelopak matanya perlahan-lahan. Dia cuba bangun dari posisi baringnya. Saat itu, ada sesuatu yang terjatuh di atas ribanya sebaik sahaja dia sudah berada dalam posisi separuh duduk di atas katil.

Terkejut dia tatkala melihat ada kain kecil bewarna putih di atas ribanya. Diambil kain tersebut. "Kain siapa ni?" Dibawa kain tersebut ke hidungnya. Matanya dipejam rapat, menikmati bau tersebut. "Wanginya. Bau Amirul."

Dibelek-belek kain putih itu. Depan belakang, atas, bawah. Kemudian dia membuka lipatan kain kecil itu. Tergangga kecil mulutnya melihat kain kecil yang sudah tidak terlipat itu. "Ni..."

Putera Mahkota Agong Amirul membuka kotak kecil yang diberikan oleh temannya. Dikeluarkan kain bewarna putih itu. Satu senyuman terukir di bibir si putera tatkala melihat sulaman di hujung kain itu. Tertulis namanya dan nama temannya beserta tarikh lahir mereka berdua.

Amirul, Nafisah.
4 Feb, 2 Apr.

"Suka tak?"

Putera Mahkota Agong Amirul mencebik. "Kalau suka pun, bukan orang tu yang buat. Mesti umi dia, kan?"

Puteri Syarifah Nafisah mengangguk laju. "Ha'ah."

"Dah agak dah."

"Tapi jahitan tepi kain semua ni, saya yang buat tau. Umi ajar saya guna mesin."

"Itu namanya, mesin yang buat." Putera Mahkota Agong Amirul menjongketkan kening kanannya ke arah Puteri Syarifah Nafisah.

"Tapi yang gerakkan mesin tu saya."

"Ye, awak gerakkan untuk tepi kain sahaja. Keseluruhan kain ni? Majoritinya? Bukan ke umi awak yang buat?"

"Kalau tak suka, tak apa. Bak balik." Puteri Syarifah Nafisah cuba mengambil semula pemberiannya kepada putera itu.

"Eh, eh." Putera Mahkota Agong Amirul memanjangkan tangan kanannya yang memegang kain kecil itu agar jauh dari tangan temannya. Tidak mahu temannya itu mengambil pemberian itu.

"Dah bagi mana boleh mintak balik. Buruk siku namanya."

"Dah tak suka bagilah balik. Buat apa nak simpan."

"Siapa kata saya tak suka?"

"Jadi... awak suka?"

"Tak cakap pun saya suka."

"Awak!" Puteri Syarifah Nafisah memukul lengan temannya. "Kejam."

Permaisuri Agong Nafisah mengukir senyuman manis tatkala teringat kenangan lalu. Kepalanya tiba-tiba terasa ringan buat seketika. Hilang rasa sakit kepala dan tidak sihatnya sejak beberapa hari ni.

"Dia simpan lagi. Tak sangka," ujar Permaisuri Agong Nafisah sendirian. Satu keluhan berat dilepaskan sebelum dia menoleh ke sebelah tempat tidurnya. Kosong. "Mesti Khalil dah pergi sekolah."

Tangannya mengambil telefon bimbit yang diletakkan di atas meja, sisi katil. Dilihat skreen wallpaper. "Hm, dah lama rupanya Khalil pergi sekolah. Dah nak masuk tengah hari dah pun." Diletak kembali telefon bimbitnya.

Kain putih yang terjatuh di atas ribanya, diambil dan diletakkan di atas dulang. Dahinya berkerut buat seketika tatkala melihat di atas dulang tersebut ada besen kecil yang masih berisi dengan air. Barulah dia teringat sesuatu. Satu senyuman gembira terukir di bibirnya.

Tangan kanannya naik ke atas. Menyentuh antara dua keningnya. Kemudian turun ke bibirnya. "Dia... datangkan semalam?" soal si permaisuri sendirian.

"Mungkin, aku mimpikan dia. Bukannya realiti. Takkanlah dia nak datang sini semalam. Sebab semalam giliran Kanda Jannah. Takkanlah dia nak datang sini semata-mata nak jumpa aku, kan? Aku ni bukan sesiapa pun. Isteri tapi... hm..." Satu keluhan dilepaskan. "Mesti Dayang Ita yang buat semua ni. Dia ambik je kain yang aku pernah bagi dekat Amirul masa kecil dalam almari, dan guna untuk letak atas kepala aku. Bukan Amirul yang buat."

'Kecewa ke Nafisah kalau bukan Amirul yang buat?' Hatinya mulai berkata-kata. 'Bunyi macam orang kecewa sangat je tu.'

"Tak kecewa, cuma..." Pandangannya jatuh ke arah perutnya. Diusap perlahan perutnya yang masih rata itu. "Aku rindukan dia. Rindu... sangat. Tapi... dia, sikit pun tak rindukan aku."

'Mana kau tahu? Mungkin, dia rindukan kau. Siapa tahu?' hatinya berkata-kata lagi.

"Kalau rindu, kenapa dia tak pernah call aku. Aku tunggu siang malam dia call aku. Sekali je dia call. Itupun dia diam je. Bisu. Tertekan nombor aku la kut masa tu. Bukan niat dia nak call aku."

'Kau rindu pun, tak pernah call dia, kan? Jadi kau expectdia rindu kena call la? Bukan ke suami kau tu ego wahai Nafisah?' balas hati kecilnya.

"Aku tak call sebab takut kacau dia. Dia sibuk ke. Kita mana tahu. Diakan pemerintah." Permaisuri Agong Nafisah mengusap lagi perutnya. Matanya dipejam rapat, membayangkan wajah suaminya. Rindunya.

Knok, knok, knok.

Permaisuri Agong Nafisah menoleh ke belakang. Ke arah pintu biliknya. "Masuk."

Pintu mulai dikuak dari luar. Tersembul wajah Dayang Ita. Dayang Ita menolak lagi daun pintu bilik agar lebih luas supaya dia dapat menolak troli masuk ke dalam bilik.

Permaisuri Agong Nafisah hanya memandang sahaja Dayang Ita menolak troli ke arahnya. Dilihat ada jambangan bunga, gelas putih, mug putih dan mangkuk putih di atas troli tersebut."Nah, tuanku bagi." Dayang Ita menghulurkan sejambak bunga kepada Permaisuri Agong Nafisah.

"Tuanku?"

Dayang Ita mengangguk. "Ambik lah."

"Sempena apa?" Jambangan bunga di tangan Dayang Ita, dipandang sahaja.

"Tak tahu. Tapi tuanku suruh bagi dekat awak. Lepas tu tuanku suruh cakap, semoga cepat sembuh, masa nak bagi bunga ni dekat awak. Nah, ambiklah."

Permaisuri Agong Nafisah mengambil huluran jambangan bunga tersebut.

"Nampaknya, tuanku kan dah macam sayang dekat awak."

Permaisuri Agong Nafisah hanya tersenyum nipis. Jambangan bunga diletak ke tepi. "Ye ke?"

"Betul. Kalau nak tahu, malam tadi tuanku datang sini. Saya nampak dia layan awak, tau. So romantic..."

Muka Permaisuri Agong Nafisah merah mendengarnya. 'Jadi semua tu, bukan mimpi? Betul-betul? Termasuk yang... dia hampir nak cium tu? Erk.'

"Lepas solat Subuh, tuanku datang sini nak jumpa awak. Tapi awakkan tidur semula lepas solat. Kesian tuanku melepas nak tengok awak bukak mata."

"Serius?"

Dayang Ita mengangguk. "Dan..." Diambil dulang makanan di atas troli dan diletakkan di sisi Permaisuri Agong Nafisah. "Air tangan tuanku yang istimewa untuk awak."

"Saya?"

Dayang Ita mengangguk. "Bubur, susu, air, semua ni... tuanku yang siapkan untuk awak, tau."

Tercengang Permaisuri Agong Nafisah mendengarnya.

Dayang Ita menghulur mangkuk bubur kepada Permaisuri Agong Nafisah. "Makanlah. Tuanku suruh awak habiskan."

Permaisuri Agong Nafisah memandang sahaja mangkuk bubur tersebut. Takut dia mahu mengambil huluran mangkuk tersebut apatah lagi menyuap air tangan suaminya ke dalam mulutnya. Dia... ragu-ragu. Takut. Semuanya ada. Tangan kanannya diletakkan di atas perutnya. 'Dia tahu aku mengandung ke? Jadi dia buat keputusan, masak untuk aku konon sebab aku tak sihat dan dia letak ubat yang boleh bagi aku keguguran. Ye la, dia tak nak aku mengandung benih dia.' Permaisuri Agong Nafisah mula syak wasangka.

"Kenapa ni? Tak nak ke?" Diletak semula mangkuk bubur di atas dulang.

Permaisuri Agong Nafisah hanya diam. Hanya kedengaran satu keluhan panjang.

"Ambillah. Bukan senang suami yang sibuk macam tuanku nak masak untuk isteri dia yang sakit. Awak patut hargai. Mana tahu tuanku nak mulakan semula hubungan ni dengan baik ke?"

"Kalau... dia ada niat tak baik, macam mana?"

"Takkanlah kut. Sebab bersungguh tadi tuanku masak untuk awak. Malam tadi pun, bersungguh tuanku jaga awak sekejap sebelum tuanku pergi Istana Agong. Saya nampak muka tuanku letih gila, tapi dia tetap jaga awak. Takkanlah tuanku ada niat tak baik pada awak. Jadi, jangan fikir buruk la."

"Saya... takut."

"Jangan takut lah. Nah ambil ni, makan. Saya nak siapkan air untuk awak mandi. Bagi segar sikit badan tu. Awak macam mana hari ni? Demam lagi? Sakit kepala lagi tak?"

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk perlahan. "Kepala saya berdenyut. Demam... mungkin dah kebah kut. Sebab saya rasa badan saya dah tak panas dah macam semalam."

"Berkat suami jaga tak," usik Dayang Ita.

"Ish, merepek." Permaisuri Agong Nafisah memalingkan wajahnya ke arah lain. Satu senyuman ditarik.

"Eleh, kata merepek konon tapi itulah kenyataannya. Berkat tangan tuanku letak kain atas kepala awak, awak dah sembuh dah. Ke... demam rindu tuanku."

"Ita!" Permaisuri Agong Nafisah pantas menolah ke arah temannya. "Jangan macam-macam ye."

"Saya cakap je. Lagipun, Puan Melati pun nampak la semalam adegan sweet tuanku jaga awak."

Makin merah wajah si permaisuri mendengarnya. "Mak... nampak?"

Dayang Ita mengangguk. "Puan Melati siap cakap, tuanku dah boleh terima awak lagi. Puan Melati nak tolong tuanku masak pagi tadi, tuanku tak bagi. Tuanku mintak resepi je. Tapi nampak macam main campak-campak je. Kosong gila. Sekadar nasi lembik dengan air."

Permaisuri Agong Nafisah ketawa kecil mendengarnya.

"Ye la. Tengok ye bubur ni." Dayang Ita menghulur mangkuk berisi bubur di hadapan Permaisuri Agong Nafisah sekali lagi. Sebelah tangannya mengambil sudu dan diambil isi sedikit dan dituang semula. "Nampak cair, kan? Lepas tu kosong pulak tu."

Permaisuri Agong Nafisah hanya tersenyum mendengar komen Dayang Ita tentang masakan suaminya.

"Tapikan, beruntung jugak ye jadi permaisuri tuanku ni. Romantik jugak walau garang seperti harimau nak menerkam."

"Dah, dah." Diambil mangkuk dari tangan Dayang Ita. "Tadi awak kata nak siapkan air untuk saya mandi kan?"

"Ye."

"Pergilah. Saya nak alas perut dengan bubur ni dulu."

"Okey." Dayang Ita mula mengatur langkah ke bilik air yang berada di dalam Kamar Peraduan Diraja tersebut.

Permaisuri Agong Nafisah memandang lama bubur yang dibuat suaminya untuknya. Dia menarik senyuman gembira. Terasa bahagia dalam hatinya dengan layanan suaminya hari ini. "Bubur apa lah yang awak buat ni, Amirul. Awak ingat saya babyke? Cair sangat bubur ni tau. Nampak tak menyelerakan pulak tu. Ni... untuk saya ke... anak kita?" soal Permaisuri Agong Nafisah sendirian. Tangan kanannya mengusap lagi perutnya sementara tangan kirinya memegang mangkuk bubur.

"Sayang umi, ayahanada masak untuk kita la. Nak rasa tak? Tapi... umi rasa ayahanda dah fail la. Decoration tak menarik langsung, kan? Makin buat umi rasa tak nak makan lagi ada la." Satu tawa kecil keluar dari bibirnya.

Kemudian dia menyuakan satu sudu ke dalam mulutnya. Bulat matanya saat dia menelan bubur tersebut. Terus diletakkan mangkuk bubur tersebut kembali ke atas dulang di sisinya. Diambil air kosong. Diminum sepuas-puasnya.

"Ya Allah... bubur apa ni?" Diletakkan semula gelas di atas dulang.

Diterkup mulutnya yang tiba-tiba terasa mual. Tekaknya rasa kembang. Tangannya mula memicit-micit kepalanya yang sudah mula menyerangnya sekali lagi seperti semalam.

"Saya dah siap. Awak nak mandi sekarang?" soal Dayang Ita di muka pintu bilik air.

Permaisuri Agong Nafisah hanya diam. Tidak memberi apa-apa reaksi. Kepalanya sakit mencucuk-cucuk sekarang ini.

"Awak." Dayang Ita menghampiri isteri kedua Raja Agong Amirul. "Awak okey tak?"

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk perlahan.

"Muka awak pucat."

"Kepala saya sakit."

"Nak saya panggilkan Doktor Daniel ke sini?"

Permaisuri Agong Nafisah menggeleng. Tangannya sekali lagi menekup mulutnya. Kemudian dia terus berlari masuk ke dalam bilik air.

"Awak." Dayang Ita mengikut dari belakang. Ingin mengawasi langkah si permaisuri. Bimbang terjadi macam kelmarin. Hampir terjatuh si permaisuri itu semasa mahu ke tandas kerana ingin muntah.

Permaisuri Agong Nafisah membuang semua isi perutnya ke dalam mangkuk sinki. Perit rasanya.

Dayang Ita menggosok-gosok belakang Permaisuri Agong Nafisah. "Nafisah, awak mengandung ke?"

Terkaku si permaisuri mendengar apa yang dikatakan oleh Dayang Ita. Dia tidak menggeleng, tidak juga mengangguk. Tidak tahu perlukah dia menjawab atau membiarkan sahaja soalan itu. Perlukah pembantu peribadinya itu tahu atau tak. Dia tidak tahu. Dia keliru.

"Atau... awak tak sihat lagi?"

"Mung...kin."

"Lebih baik awak mandi, lepas tu rehat balik. Saya akan bawak ubat untuk awak."

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk perlahan.

*****

"DUNIA indah tanpa ganguan dari orang gila," ujar Raja Agong Amirul. Senang dan tenang rasanya dunianya untuk sehari dua ni setelah Encik Fuad ditangkap. Sebab dia tidak lagi diganggu. Tangannya memberi isyarat kepada pembantunya untuk masuk ke dalam pejabat.

Pintu pejabat dikuak dari luar. Pembantu Raja Agong Amirul menghampiri sang raja.

"Duduk."

"Terima kasih, tuanku."

"So..." Kerusi yang didudukinya ditarik ke depan sedikit. "Tengah hari beta ada apa-apa?"

Pembantu sang raja menggelengkan kepalanya. "Tak ada. Tuanku free sampai esok."

Raja Agong Amirul mengangguk perlahan.

"Tuanku nak balik istana?"

Raja Agong Amirul tersenyum mendengarnya. Tapi hanya untuk seketika. Senyumannya kembali mati bila dia teringat hari ini gilirannya dengan Permaisuri Agong Nafisah. Argh! Dia mahu mengelak dari berjumpa isteri mudanya sebab tak sanggup nak dengar jawapan yang bakal diterimanya kelak.

"Esok beta busy?"

"Tak jugak. Pagi tuanku ada perbincangan hal negara dengan Majlis Raja-Raja selepas itu, tuanku free. Lusa baru tuanku akan mula sibuk. Jadual tuanku full untuk beberapa bulan ni."

"Persiapan majlis beta?"

"Alhamdulillah, semuanya lancar. Cuma nak tunggu kata putus dari tuanku untuk bila diadakan majlis sahaja."

"Okey, Fuad. Anything?"

"Mengenai gambar dengan seorang lelaki berusia tu, itu ialah bekas ayah mertua tuanku permaisuri. Ayah kandung Encik Fuad."

"Gambar yang pegang... tangan tu?"

"Tu gambar semasa tuanku permaisuri masih menjadi isterinya. Di saat tuanku permaisuri merayu minta dilepaskan. Lagipun menurut Dayang Ita selama tuanku kerja luar, tuanku permaisuri tak keluar kemana sebab kurang sihat."

Raja Agong Amirul mengangguk perlahan. "Beta nak kamu susun semula jadual beta. Beta nak siapkan semua kerja dalam masa terdekat ni."

"Maksud tuanku?" Pelik. Selama ini, susunan kerjanya tak ada masalah, bahkan diluluskan sendiri oleh sang raja. Mengapa perlu tukar? Lagipun bukan dia seorang yang bekerja membuat jadual itu. Dia bekerjasama dengan Setiausaha Sulit, setiausaha dan Pembantu Peribadi raja tersebut.

Dan nak tukar jadual itu, bukan satu kerja mudah. Ianya melibatkan hampir kesemua jadual raja-raja, pemerintah dan segala macam menteri di Lafiya. Mampus dia seminggu nak ubah semuanya.

"Sibukkan beta untuk hari ini, esok dan seterusnya la."

Tergangga pembantu Raja Agong Amirul mendengarnya.

*****

"UMI."

Permaisuri Agong Nafisah tersenyum melihat Khalil masuk ke dalam Kamar Peraduan Diraja yang dihuni olehnya. Tangannya menepuk-nepuk di sebelahnya, memberi isyarat agar Khalil duduk di sebelahnya. Dipeluk erat bahu si anak.

"Umi dah sihat?" soal Khalil dengan lembut. Dia melentokkan kepalanya pada dada uminya. Suka dia bermanja sebegitu.

Permaisuri Agong Nafisah mencium ubun Khalil. Dagunya diletakkan di atas bahu kiri Khalil yang duduk membelakangkannya. "Alhamdulillah."

"Umi, semalamkan masa umi dengan Khalil tidur, ayahanda datang."

"Ye?"

Khalil mengangguk. "Ayahanda kata, malam ni kita bertiga akan tidur sama-sama," ujar Khalil dengan gembira.

Permaisuri Agong Nafisah kekal tersenyum. Hatinya sangat gembira melihat anaknya semakin ceria dari hari ke hari.

"Hari ni, ayahanda balik lambat ke umi?"

"Mungkin. Umi pun tak tahu, sayang."

"Tak sabar nak tunggu ayahanda balik. Boleh tidur sama-sama."

Permaisuri Agong Nafisah mengusap kepala anaknya.

*****

RAJA AGONG AMIRUL menolak perlahan-lahan pintu bilik. Dia menonjolkan kepalanya ke dalam, memerhati sekeliling. Gelap. Satu keluhan berat dilepaskan. Lega rasanya. Pintu bilik dibuka luas sedikit untuk masuk ke dalam. Baru sahaja dia menutup pintu ada suara menegurnya.

"Tuanku?"

Terkejut Raja Agong Amirul. Pantas dia memusingkan badannya ke belakang. Ingin memandang wajah isteri mudanya. Baru dia mahu bersuara, lidahnya terus terkaku. Bulat matanya melihat isteri keduanya itu bertuala. Gulp. Gugur iman.

"Kenapa masuk bilik, macam tu?" tegur Permaisuri Agong Nafisah dengan lembut.

"Aa... tak nak kacau tidur Khalil... dengan kau la."

Berkerut dahi si isteri mendengarnya.

"Yang kau ni... apahal? Pakai tuala je ni. Dah tak ada baju ke?" soal Raja Agong Amirul.

"Saja pakai macam ni nak goda suami sendiri," selamba sahaja Permaisuri Agong Nafisah menjawab.

"Apa?"

"Tak." Laju kepalanya digelengkan. "Sebenarnya baju patik kena muntah tadi, tak nak berbau... jadi patik tukar baju sekali tu mandi terus la. Tuanku, lewatnya balik hari ni."

"Banyak kerja," bohong Raja Agong Amirul. Sebenarnya dia sengaja menyibukkan dirinya hari ini. Tidak mahu berjumpa isteri mudanya dan bercakap seperti sekarang. Ianya akan membuka peluang kepada perbualan mereka yang lalu. Dia tidak mahu dengar ungkapan cerai dari bibir Permaisuri Agong Nafisah.

"Ooo. Okey" Permaisuri Agong Nafisah melangkah masuk ke dalam bilik pakaian. Baru sahaja beberapa langkah, langkahnya ditahan oleh suaminya.

Raja Agong Amirul mengemaskan pegangannya pada lengan isteri mudanya. Matanya merenung anak mata milik isterinya.

----- BERSAMBUNG -----



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku