Cinta Dalam Hati Suamiku
Bab 33
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Cinta dalam hatimu, untuk siapa suamiku?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
264

Bacaan






"INGAT pesan bonda ni. Jangan susahkan hati umi. Umi tu dah la tengah sedih. Umi, tak sepatutnya bersedih tau. Tak elok untuk baby. Faham?" Permaisuri Agong Jannah menitip pesan. Tangannya kanannya memegang bahu Putera Agong Hisham manakala tangan kirinya memegang bahu Ungku Ridzuwan.

"Faham bonda. Bonda jangan risau okey? Kami sayang umi la. Tak kanlah nak bagi umi sedih. Kan Ridz?"

Ungku Ridzuwan mengangguk.

Permaisuri Agong Jannah tersenyum. "Bonda tahu, anak-anak bonda ni... sayang dengan umi. Jadi, korang berdua kena jaga umi elok-elok. Kalau bonda dapat tahu korang nakal, bonda balik je nanti korang berdua ni, bonda hukum. Tahu?"

Putera Agong Hisham dan Ungku Ridzuwan mengangguk.

"Jangan bagi umi sedih. Kerja sekolah, jangan tak buat. Jangan cuba nak ponteng sekolah. Faham?" Dipandang satu-satu wajah anak-anaknya.

"Faham bonda." Serentak kedua-dua saudara tiri itu bersuara.

"Bonda sayang kamu berdua. Come, hug me."

*****

PERMAISURI AGONG NAFISAH tersenyum pahit. Tangannya didepakan agar dapat memeluk tubuh kecil Putera Agong Hisham dan Ungku Ridzuwan.

"Sham rindu umi. Lama dah tak nampak umi datang Istana Agong. Umi tak sayang Sham ye?" soal si putera kecil sebaik sahaja dia melepaskan pelukan.

Permaisuri Agong Nafisah mengucup dahi anak sulung suaminya. "Sayang, bukan tak sayang. Umi... tak sihat. Maafkan umi ye, sayang?"

"Apalah kau ni Sham. Kan ayahanda cakap, umi tak sihat. Kalau rindu... kitalah kena datang sini. Kan, umi?"

Permaisuri Agong Nafisah tersenyum.

"Kenapa umi tak sihat? Nantikan... adik dalam perut pun tak sihat. Kesian dinda kan dalam perut tu."

Permaisuri Agong Nafisah menahan air matanya dari tumpah.

"Janganlah nangis umi." Putera Agong Hisham meletakkan ibu jarinya di bawah kelopak mata uminya. Meskipun si umi belum menitiskan air mata, namun dia boleh nampak ada air mata bergenang di situ.

"Tak, umi tak menangis. Umi cuma tak sihat." Permaisuri Agong Nafisah cuba tersenyum. Air matanya menitik perlahan-lahan. Kehadiran anak-anak itu membuatnya semakin rindukan Khalil.

Ungku Ridzuwan dan Putera Agong Hisham pantas memeluk tubuh Permaisuri Agong Nafisah. "Umi... jangan nangis. Kami kan ada. Kami pun rindu Kalil."

Makin laju air mata isteri kedua Raja Agong Amirul itu mengalir. 'Ya Allah, bantulah aku. Kuatkanlah aku di depan mereka. Tolonglah Ya Rab.'

Raja Agong Amirul mengukir senyuman pahit. Air mata jantannya mengalir melihat adegan di depan matanya. Langkah kakinya diatur mendekati ketiga-tiga insan yang sedang berpelukkan itu. Direndahkan tubuhnya dan memeluk tubuh-tubuh tersebut.

Tersentak Permaisuri Agong Nafisah buat seketika.

"Ayahanda yakin, Khalil pun rindukan kita. Kita kena terus doa supaya Allah temukan kita dengan Khalil. Ayahanda tak akan berhenti cari Khalil. Ini janji ayahanda," ucap sang raja sebaik sahaja dia merenggangkan pelukan.

Permaisuri Agong Nafisah berbalas pandang dengan suaminya yang duduk di hadapannya.

Putera Agong Hisham dan Ungku Ridzuwan hanya memandang sahaja gelagat umi dan ayahanda mereka yang saling berbalas pandang.

Raja Agong Amirul mengelap air mata isterinya. "Khalil mesti makin sedih kalau tahu umi dia terus menangis macam ni."

"Saya rindu dia..."

"Kami semua rindukan dia, Nafisah. Semua ahli keluarga kita... rindukan dia."

"Betul tu umi. Ridz pun rindu Khalil."

"Sham pun."

Permaisuri Agong Nafisah menitiskan air matanya dengan lebatnya.

Melihat si isteri masih bersedih, Raja Agong Amirul memeluk tubuh tersebut. "Awak sangat kuat, Nafisah. Jadi jangan lemah. Nafisah yang saya kenal sangat kuat orangnya."

Perlahan-lahan si isteri membalas pelukan tersebut. "Kenapa Allah 'pisahkan' saya dengan anak-anak saya? Dulu, Dia ambil anak dalam kandungan saya. Lepas tu pisahkan saya dari Kabir sampai Kabir benci sangat dengan saya. Sekarang, Khalil hilang. Kenapa semua ni jadi kat saya, Amirul?"

Si suami mengeratkan pelukannya. "Allah tu... terlalu sayangkan awak, Nafisah. Sebab tu Dia ambil dan pisahkan awak dari anak-anak awak."

*****

PERMAISURI AGONG NAFISAH mencium lembut kepala Puteri Agong Halimah yang sedang tidur di tengah-tengah katil miliknya dengan penuh kasih sayang. Inilah kali pertama dia dapat tidur bersama dengan anak suaminya ini. Kali pertama dia dapat peluang untuk menjaga puteri suaminya sebelum suami dan madunya berangkat ke luar negara nanti bersama puteri kecil ini.

"Awak."

Permaisuri Agong Nafisah mengangkat wajahnya ke atas. Matanya memandang kosong si suami yang sudah duduk di atas katil, bertentangan dengannya.

"Awak okey?"

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk perlahan.

Raja Agong Amirul menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Matanya masih merenung isteri mudanya.

"Kenapa tuanku bawak semua anak-anak datang malam ni? Kan... lagi dua hari tuanku nak bertolak."

"Saja nak tengok cara awak sayang anak-anak saya."

Permaisuri Agong Nafisah mengeluh perlahan. "Ke... tuanku tak percayakan patik untuk jaga Sham dan Ridz nanti? Sebab tu bawak datang sini awal-awal. Dengan cara ni, boleh la perhati cara patik jaga mereka. Okey ke tak. Selamat ke tak. Kan?"

"Nafisah. Tak la."

"Hari tu... tuanku pernah cakap patik tak pandai jaga anak. Sebab tu Khalil boleh hilang."

"Nafisah..."

"Jadi mesti tuanku buat semua ni sebab tak percayakan patik, kan?"

"Allah... tak. Saya percayakan awak. Saya just nak luangkan masa dengan awak bersama anak-anak. Kita kan tak pernah macam ni ramai-ramai."

"Susah nak percaya dengan apa yang tuanku cakap." Tangan si isteri menarik gebar lalu menutup sebahagian tubuh Puteri Agong Halimah.

"Nafisah... sampai bila kita nak macam ni?"

"Tuanku yang buat kita jadi macam ni." Perlahan-lahan kepala direbahkan di atas bantal. Badannya mengiring ke arah si suami. Tangan kirinya menepuk-nepuk anak tirinya. Biar lagi lena puteri itu.

"Nafisah. Saya mintak maaf. Saya tak ada niat nak tuduh awak buat Khalil hilang."

"Hm. Patik mengantuk la." Matanya mula dipejam rapat.

Raja Agong Amirul mengeluh panjang.

*****

PERMAISURI AGONG NAFISAH mencium pipi puteri suaminya dengan penuh kasih sayang. Dipeluk mesra anak kecil tersebut. "Lepas ni, umi mesti rindukan Halimah."

"Kalau rindu, nanti saya akan cuba selalu bawak Halimah jumpa awak," sampuk si suami.

Permaisuri Agong Nafisah mengemaskan pelukan anak tirinya di dalam dukungannya. Kepalanya ditoleh ke kanan. Dengan jelas dia dapat melihat suaminya berdiri di belakangnya.

Raja Agong Airul mengukir senyuman. Dia mengambil tempat duduk betul-betul di sebelah isteri mudanya itu.

"Hari ni giliran Kanda Jannah. Tuanku buat apa lagi dekat sini? Nak ambil Halimah ke untuk bawak ke sana?"

Raja Agong Amirul menggelengkan kepalanya. "Tak lah."

"Habis? Buat apa dekat sini? Pergilah kerja."

"I'm working right now."

Permaisuri Agong Nafisah diam. Malas mahu bercakap.

"Saya buat kerja dekat istana je hari ni. Nak luangkan masa dengan awak lebih sikit."

"Hari ni giliran Kanda Jannah bukan patik."

"Ye. Tapi giliran tu dah berubah sebab nanti saya akan pergi lawatan dengan dia. So, hari ni giliran awak sampai saya pergi esok."

"Hm."

"Esok saya pergi pagi."

Diam.

"Hantarkan."

"Tak janji. Kena tunggu keadaan patik esok macam mana."

"Okey." Tangan Raja Agong Amirul melingkar ke bahu isterinya. Dirapatkan bahu isterinya ke arahnya.

"Tuanku. Tak selesa la."

"Tak buat apa-apa pun. Just nak peluk."

Permaisuri Agong Nafisah diam.

"Sebelum saya pergi esok, boleh tak saya nak tahu... awak dah maafkan saya atau belum?"

Permaisuri Agong Nafisah masih diam.

"Maafkanlah saya, Nafisah. Kesian dekat saya ni... kalau saya mati dalam keadaan awak marah dekat saya."

Satu keluhan berat dilepaskan oleh si isteri. "Patik takut kalau dah beritahu tuanku yang patik maafkan tuanku, tuanku akan lukakan lagi hati patik ni. Pada masa yang sama, patik tak nak menyesal seumur hidup andai Allah ambil tuanku."

"Saya... nak batalkan je lah esok punya rancangan."

"Pergi je lah."

"Tak. Selagi awak tak..."

"Patik maafkan tuanku." Permaisuri Agong Nafisah memandang wajah suaminya. Sebenarnya hatinya sudah lama sejuk. Dia tidak suka marah-marah begitu lama. Apatah lagi dengan suami sendiri. Cuma terkadang dia teringin untuk tahu sejauh mana suaminya memohon kata 'maaf' darinya.

"Betul?"

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk. "Lagipun isunya kecil je. Hati patik ni tak tenang sebab tak maafkan tuanku sebenarnya."

"Terima kasih. Saya janji, akan jaga hati awak lebih baik lagi."

"Berhenti lah berjanji. Akan mengecewakan bila tanpa sedar kita telah mungkir janji."

Raja Agong Amirul terdiam mendengarnya. Ye, dia sudah terlalu banyak berjanji dengan isteri keduanya ini, tapi... hm...

"Tuanku, patik nak mintak izin."

"Apa?"

"Patik nak jenguk Kabir."

"Kabir? Kabir kan... tak nak tengok muka awak."

Permaisuri Agong Nafisah mengalirkan air matanya. "Ye. Patik nak tengok dari jauh je. Nak tahu, dia sihat ke tak? Boleh tak, tuanku?"

"Boleh. Saya temankan."

*****

PERMAISURI AGONG NAFISAH mengelap air matanya saat dia melihat Kabir sedang bermain di halaman rumah keluarga angkatnya.

"Nafisah." Raja Agong Amirul menyentuh bahu isterinya yang masih memandang tidak berkelip ke arah Kabir.

Permaisuri Agong Nafisah menoleh.

"Dah ye? Kita balik. Saya tak nak awak stress."

"Sekejap. Patik tak puas. Sekejap je lagi, boleh?" pinta si isteri dengan sayu.

Raja Agong Amirul mengangguk perlahan.

"Terima kasih." Dipusingkan semula kepalanya ke arah Kabir. Tangan kanannya mengusap perutnya. "Anak umi... itu abang. Namanya Kabir. Umi sayang abang, sepenuh hati umi walau abang benci umi, sayang." Air mata menitik.

Raja Agong Amirul cuba menahan rasa sedihannya tatkala melihat dan mendengar apa yang isterinya katakan. Hujung matanya memandang ke arah pemandu istana yang sedang mengesat air mata.

"Anak umi... sayang dengan abang tau? Abang... pengarang jantung umi, sama macam anak umi yang lain. Abang tu... istimewa."

"Nafisah. Dah ye? Kita balik."

Permaisuri Agong Nafisah terus memandang Kabir. "Umi rindu. Umi nak peluk Kabir. Umi nak suap Kabir makan macam dulu. Umi sayang Kabir sangat-sangat."

"Nafisah. Cukuplah, ye?" Raja Agong Amirul memegang kedua-dua bahu isterinya.

"Sekejap. Tak puas."

"Nafisah. Dah la untuk hari. Esok, awak tengok Kabir lagi ye? Sekarang kita balik dulu. Nanti Sham dan Ridz balik sekolah cari kita tak jumpa. Merajuk pulak nanti. Kita balik ye?" pujuk si suami.

Perlahan-lahan Permaisuri Agong Nafisah mengangguk.

"Dah jangan menangis. Saya izinkan awak jumpa Kabir esok kalau awak nak. Tapi pergi dengan pemandu, Dayang Ita dan Panglima Zafrul. Ye?"

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk. Dia menundukan kepalanya ke bawah. Tangannya mengelap air mata yang masih degil untuk mengalir.

Raja Agong Amirul menarik kepala isteri mudanya ke dadanya. Tangannya mengusap belakang si isteri. "Kabir pun sayang dengan awak, Nafisah."

"Dia benci saya, Amirul..." Entah kenapa, bila di saat dia betul-betul sedih, tiada 'tuanku' untuk dia gunakan memanggil suaminya.

"Tak. Kabir keliru je tu. Dia tak faham apa-apa. Nanti bila dia faham, mesti dia akan kembali pada awak semula. Dah jangan menangis. Saya kan ada."

Permaisuri Agong Nafisah diam. 'Awak memang ada, tapi awak bukan milik saya seorang. Bukan.'

----- BERSAMBUNG -----



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku