Cinta Dalam Hati Suamiku
Bab 45
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Cinta dalam hatimu, untuk siapa suamiku?
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
852

Bacaan






DOKTOR DANIEL mengukir senyuman sebaik sahaja dia melihat kedua-dua kelopak mata Permaisuri Agong Lafiya yang terbaring di atas katil, sudah membukakan matanya. Kepalanya ditunduk ke bawah sedikit, memberi tunduk hormat.

Permaisuri Agong Nafisah cuba bangun dari perbaringannya. Tangan kanannya menekan kepala sebelah kanannya yang berbalut tudung, setelah dia berjaya mengubah posisinya kepada separa duduk di atas katil. "Auw."

"Tuanku kena berehat dan bertenang."

Dipandang wajah Doktor Istana yang setia berdiri di depan katilnya. Melihat wajah doktor tersebut, terus dia teringat akan kejadian yang berlaku sebelum dia pengsan sebentar tadi. Tangan kanan dan kirinya menekap perutnya yang masih kempis. Dipandang ke arah tangannya yang sudah menekap di perut. "Anak saya..."

"Alhamdulillah, anak tuanku tak apa-apa."

Diangkat wajahnya dari memandang perutnya. "Betul?" Anak matanya mencari kejujuran di balik kata Doktor Istana itu. Ingin dipastikan apa yang dia dengar sebentar tadi, betul. Anaknya tidak apa-apa.

Doktor Daniel mengangguk. "Tapi tuanku, nasihat patik tolong jangan sampai kejadian ni berulang lagi. Patik takut kandungan tuanku akan ada masalah. Tak sekarang, di masa akan datang."

Permaisuri Agong Nafisah diam. Perlahan-lahan dia menyandarkan badannya ke kepala katil.

"Patik, mintak diri dulu tuanku kalau tuanku tak perlukan apa-apa."

"Teman saya. Saya perlukan telinga doktor sekejap."

Doktor Daniel mengangguk.

Mata Permaisuri Agong Nafisah meliar memandang sekeliling biliknya. Dipandang pintu biliknya yang terbuka. Pasti pintu itu sengaja dibiarkan terbuka memandangkan dirinya dan Doktor Daniel berdua dalam bilik peribadinya sendiri. "Dayang Ita... mana?"

"Tadi patik nampak Dayang Ita sedang bercakap sesuatu dengan Tuanku Amirul sebelum baginda keluar. Sekarang, tak tahulah dimana Dayang Ita. Mungkin di bilik Tuan Puteri."

"Ooo."

"Tuanku Amirul nak terus menemani tuanku di sini tadi, tapi baginda ada kerja segera yang perlu dilakukan." Doktor Daniel memberitahu meskipun si permaisuri tidak bertanya akan perihal suaminya. "Tuanku Amirul... nampak sangat sibuk sekarang kan, tuanku?"

"Doktor rasa, kita boleh jumpa Khalil semula tak?" soal Permaisuri Agong Nafisah secara tiba-tiba. Dia langsung tidak berminat untuk bersembang atau berfikir berkenaan suaminya.

"Insya-Allah. Tuanku Amirul sekarang sedang berusaha keras mencari Khalil, tuanku. Lagipun dengar cerita Tuanku Amirul dah dapat maklumat baru tentang kes kehilangan anak tuanku."

"Maklumat? Apa?"

"Itu patik tak pasti. Lebih baik tuanku tanya Tuanku Amirul sendiri."

Permaisuri Agong Nafisah mengeluh panjang. "Malaslah. Stress cakap dengan tuanku tu," gumam si permaisuri sendirian.

Doktor Daniel yang mendengar hanya dengar sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. "Kandungan tuanku baru sangat. Tapi... tuanku asyik tertekan je. Tuanku... jangan macam ni. Kesian anak tuanku."

Menitis air mata si permaisuri.

"Patik mintak maaf kalau tuanku kecil hati dengan kata-kata patik."

"Tak apa." Air mata yang mengalir dilap dengan hujung jari telunjuk kanannya.

"Tuan Puteri Mawar ada bercerita dengan patik pasal masa silamnya. Kesian Tuan Puteri Mawar, tuanku. Anak-anaknya dirampas bekas suaminya di depan matanya sendiri. Tuan Puteri tidak sempat nak selamatkan anak-anaknya. Termasuklah anaknya yang masih bayi lagi. Patik rasa, sebab tu lah Tuan Puteri mengalami tekanan perasaan yang melampau sehingga jadi macam apa yang kita nampak sekarang."

"Saya... tak nak jadi macam Dinda Mawar, doktor." Kepalanya tunduk ke bawah. Bahunya sudah terhinjut-hinjut. Dia faham makna tersurat dan tersirat bicara doktor itu. Pasti menyuruhnya untuk menjaga emosi dengan baik.

"Tuan Puteri pun tak nak jadi macam sekarang, tuanku. Tapi... inilah takdir hidupnya. Tak ada ibu sanggup berpisah secara tiba-tiba dengan anaknya sendiri. Perpisahan yang tak dirancang, yang kejam dan yang terlalu menyakitkan."

"Apa lagi, Dinda Mawar cerita dengan doktor?"

"Cerita yang sama sahaja, tuanku. Kisahnya semasa kecil dan zamannya membesar sebelum kejadian hitam itu berlaku. Patik tak berani nak tekan Tuan Puteri untuk bercerita lebih-lebih, biarlah dia bercerita sendiri. Yang baik kita ambil, yang buruk pun kita ambil. Jadikan iktibar dalam hidup kita."

Permaisuri Agong Nafisah menolak tepi gebar yang menyelimuti separuh badannya. Kaki dilunjurkan di sisi katil. Dipandang dinding biliknya.

"Tuanku Amirul... hm..."

"Cakaplah doktor." Ditolehkan kepalanya ke kanan. Memandang si doktor yang masih setia berdiri di tempatnya dari tadi. "Saya dengar je."

"Patik cuma nak cakap yang... Tuanku Amirul nampak tak sihat sejak kebelakangan ni. Badan Tuanku Amirul pun, nampak susut sekarang."

"Ooo. Kalau doktor berhajat nak tanya saya sebab apa, lupakan. Saya tak ambil tahu pasal tu. Kepala saya ni cuma fikirkan Khalil. Khalil dan... kenapa tuanku buat saya macam ni? Saya tak boleh terima. Tuanku balik-balik terus marah-marah sampai patik..."

"Tuanku, sabar. Jangan beri tekanan lagi pada diri tuanku lagi. Fiikrkan anak tuanku." Pintas Doktor Daniel dengan laju sebelum sempat si permaisuri habis berkata.

Permaisuri Agong Nafisah mengunci mulutnya.

"Nafisah dah sedar pun."

Permaisuri Agong Nafisah dan Doktor Daniel sama-sama menoleh ke pintu. Mereka membalas senyuman manis yang diukir oleh Puan Melati kepada mereka berdua.

Puan Melati menampak masuk ke dalam bilik tanpa perlu mengetuk pintu. Tadi semasa menantunya itu pengsan, dia ada di dalam Bilik Peraduan Diraja ini, tapi kemudian dia keluar sebentar ingin melihat anaknya dan mengamanahkan Doktor Daniel menunggu sehingga menantunya itu sedar.

Puan Melati mengambil tempat duduk betul-betul di sebelah menantunya. Matanya memberi isyarat kepada Doktor Daniel agar beredar dari situ.

Doktor Daniel yang faham dengan makana isyarat mata yang disampaikan, mengangguk. Dia menunduk hormat kepada Permaisuri Agong Nafisah sebelum beredar. "Patik mintak dulu. Assalamualaikum."

Permaisuri Agong Nafisah terus memandang wajah Puan Melati sebaik sahaja pintu biliknya sudah ditutup oleh Doktor Daniel yang keluar dari biliknya. Kepalanya terus direbahkan di atas riba Puan Melati.

Puan Melati mengusap kepala menantunya dengan lembut. Perilakunya persis seorang ibu yang sedang memanjakan anak kecilnya.

Permaisuri Agong Nafisah memejamkan matanya. Ingin menikmati setiap snetuhan kasih sayang mertuanya itu. Sudah lama dia tidak rasa dimanjakan seperti ini setelah uminya meninggal dunia sebaik sahaja dia memberi izin kepada bekas suaminya berkahwin lain. Mengingat kejadian itu, membuatkan dirinya dihimpit rasa serba salah.

"Nafisah, kenapa ni? Kan doktor dah pesan banyak kali... jangan tertekan, jangan marah-marah. Kawal emosi tu." Nasihat Puan Melati dengan lembut.

"Susah la mak. Nafisah, tak boleh tengok muka tuanku. Rasa nak marah je."

"Nafisah kena ingat, dalam rahim tu masih lagi ada nyawa yang perlu Nafisah jaga."

"Mak..."

"Mak faham, Nafisah marah Anakanda Amirul sangat-sangat. Tapi emosi tu, jagalah demi anak dalam kandungan tu."

Permaisuri Agong Nafisah diam.

"Mak dulu... lagi teruk."

Permaisuri Agong Nafisah menelentangkan dirinya. Matanya merenung wajah si mak yang sedang membelai kepalanya yang masih bersarung tudung dengan lembut. "Mak..."

"Hm." Puan Melati terus memandang wajah menantunya.

"Mak ada benda yang nak kongsi ke?"

Puan Melati menggeleng. "Tak ada. Dah la... rehat, ye?"

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk.

*****

BEG kecil ditarik keluar dari bawah katil. Satu keluhan lega dilepaskan oleh Permaisuri Agong Nafisah. Senyuman terukir cantik pada bibir merahnya. Tangannya laju menarik zip di keliling beg lama itu. Ingin mencari sesuatu di situ.

Tangannya mengambil sekeping gambar lama milik walidnya. Gambar walidnya semasa kecil bersama saudara-mara jauh mereka. Meskipun mempunyai hubungan keluarga yang jauh, keluarga itulah yang paling walidnya rapat. Kata Syed Fathul, mereka mempunyai keluarga jauh yang berbeza agama dengan mereka dan menetap di bumi Eropah.

Atok kepada walidnya; Syed Ismail telah berkahwin dengan seorang wanita Inggeris yang bernama Marryam. Marryam mempunyai seorang abang yang sangat rapat dengannya. Meskipun sudah menganut agama baru, dia tetap menjaga hubungan baik dengan abangnya walaupun mereka dipisahkan dengan jarak beribu batu setelah Marryam berkahwin.

Marryam diuji tatkala Syed Ismail pergi menghadap Illahi saat Marryam sarat mengandung anak sulung. Abangnyalah tempatnya bergantung harap dan berlindung memandangkan keluarga Syed Ismail memandang rendah dengannya yang merupakan seorang mualaf. Lagipula Syed Ismail sudah dibuang keluarga apabila dia berkahwin dengan Marryam.

Abang Marryam mengambil alih tanggungjawab menjaga kebajikan Marryam sehinggalah Marryam selamat melahirkan anak lelaki yang bernama Syed Adam.

Syed Adam membesar di bumi Eropah di bawah jagaan abang Marryam memandangkan Marryam meninggal dunia selepas melahirkan Syed Adam. Meskipun abang Marryam bukan penganut agama Islam, dia sangat menjaga anak saudaranya itu dengan baik sekali. Segala didikan agama, diberikan hanya yang terbaik untuk Syed Adam. Dicari ustaz terbaik hanya untuk permata hatinya itu. Soal duit, sedikit dia tidak berkira. Dia sanggup susah menjaga Syed Adam. Dirinya beruntung kerana anak-anak dan isterinya dapat menerima baik kehadiran Syed Adam dalam keluarga kecil mereka.

Ketika Syed Adam remaja, waris keluarga Syed Ismail menuntut Syed Adam dari abang Marryam. Itulah saat berpisahnya Syed Adam dari keluarga yang telah membesarkannya. Meskipun berjauhan, Syed Adam sentiasa mencari peluang untuk berhubung dengan ayah saudaranya walaupun dilarang berkali-kali oleh saudara-maranya.

Sebaik sahaja Syed Adam berkahwin, dia berhijrah ke Lafiya bersama isterinya. Kebetulan yang tidak disangkakan, Syed Adam bertemu kembali dengan sepupunya yang sangat dia rapat dari kecil. Hubungan yang terpisah kembali terjalin antara mereka.

Permaisuri Agong Nafisah tersenyum apabila dia teringat akan kisah lama yang pernah diceritakan oleh walidnya. Gambar di tangan dibelek-belek seketika sebelum diletakkan ke tepi. Dibaca surat-surat lama di dalam beg itu pula.

Menurut cerita dari arwah walidnya, ujian datang melanda apabila walidnya itu menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata. Sepupu Syed Adam yang berdarah Inggeris lah yang menjaga walidnya sehinggalah walidnya dewasa. Kerana itulah walidnya sangat rapat dengan dua pupunya yang bernama Meida berbanding sepupu-sepapatnya dari Tanah Arab.

Satu keluhan panjang dilepaskan.

Dia teringat saat kali pertama dia menjejakkan kakinya ke kampung. Dia ada bertanya kepada walidnya mengapa mereka perlu tinggal di kampung sedangkan mereka ada saudara di luar negara.

Syed Fathul membalas bahawa dia sudah terlalu banyak menyusahkan keluarga Inggerisnya. Dan dia tidak mahu menyusahkan keluarga dua pupunya itu lagi.

"Aunty Meida." Permaisuri Agong Nafisah menyebut nama saudara jauhnya.

Tangannya perlahan-lahan menyimpan semula barang-barang lama ke tempatnya. "Aunty rapat dengan walid. Mesti aunty tahu sesuatu pasal anak angkat walid. Jadi, aku bolehlah tahu kenapa anak angkat walid bencikan aku dan kenapa aku cuma kenal seorang sahaja anak angkat walid sedangkan walid ada dua orang anak angkat perempuan. Aunty Meida mesti tahu."

----- BERSAMBUNG -----



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku