Cinta Dalam Hati Suamiku
Bab 47
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Cinta dalam hatimu, untuk siapa suamiku?
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
675

Bacaan






TING!

Terbuka sahaja pintu lif, Raja Agong Amirul keluar dengan tergesa-gesa. Matanya meliar sekeliling. Mencari figura cinta hati yang sudah terluka hatinya. 'Mana Nafisah ni?' Kaki menapak ke depan sambil kedua bebola matanya mencari isteri keduanya. Pekerja-pekerja di dalam bangunan Pejabat Pemerintahan menunduk hormat ke arahnya, tidak dihiraukan. Apa yang dia nampak dan mahu sekarang ialah isterinya.

"Nafisah!"

Permaisuri Agong Nafisah yang mendengar namanya di panggil seseorang, menoleh ke belakang. Terkejut dia melihat suaminya memandang ke arahnya. Air mata turun perlahan. Melihat si suami semakin mendekatinya, laju dia menggelengkan kepalanya. Masih jelas diruang mindanya kemesraan suami dan madunya sebentar tadi. Terbayang begitu sahaja, hati perempuannya menjerit. Sakit. Langkah yang terhenti sebentar tadi, diteruskan. Dia mahu pulang.

Raja Agong Amirul mula mengejar dengan lebih laju. Ditarik lengan kiri si isteri sebaik sahaja dia makin dekat "Nafisah!" Sekali rentap, berpusing tubuh si isteri menghadapnya. Matanya mula mencari anak mata isterinya. "Kenapa lari?"

Berdebar-debar Permaisuri Agong Nafisah saat dia dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Terkelu terus lidahnya untuk menjawab persoalan suaminya. 'Apa aku nak jawab? Patik cemburu? Macam tu? Tak. Hubungan kami tak baik lagi.' Air mata sahaja yang mengalir bagi menganti jawapan yang dipinta oleh si suami.

Raja Agong Amirul mula mengelap air mata isteri keduanya itu. Langsung tidak dihiraukan pandangan pekerjanya yang lalu-lalang di lobi itu.

Permaisuri Agong Nafisah menepis perlahan tangan suaminya dengan tangan kanannya. "Orang tengok."

Raja Agong Amirul mengangguk.

"Patik nak balik." Senada si isteri berbicara. Tangan kiri ditarik dalam genggaman si suami. "Tolong lepaskan. Jangan sampai patik tak sengaja malukan tuanku dekat sini." Perlahan sahaja Permaisuri Agong Nafisah katakan. Biar hanya dirinya dan suaminya sahaja yang mendengar. Orang sekeliling tidak perlu mendengarnya.

Raja Agong Amirul melonggarkan genggamannya. "Jaga diri."

Permaisuri Agong Nafisah diam sahaja. Dia memusingkan tubuhnya ke arah pintu. Langkah kakinya mula menapak ke depan. Meneruskan langkahnya untuk ke kereta yang sedang menantinya.

Raja Agong Amirul memerhati sahaja kepergian si isteri dari tempatnya berdiri. Sebaik sahaja Permaisuri Agong Nafisah sudah masuk ke dalam perut kereta, dia mula mengatur langkah untuk naik ke pejabatnya semula. Namun, langkahnya terhenti secara tiba-tiba. Dipandang sekeliling. "Kalian tiada kerjakah?" soalnya kepada semua pekerja yang memandangnya.

Semua pekerja yang secara tidak sengaja menonton drama Raja Agong Amirul dan Permaisuri Agong Nafisah tadi, mula gelabah. Mula bergerak dari posisi berdiri tadi. Mencari dan menyambung kerja mereka.

"Sekejap!"

Terhenti pergerakkan semua pekerja di lobi Bangunan Pemerintahan itu. Masing-masing menunduk ke lantai, takut sekiranya Raja Agong Amirul mengamuk. Almaklumlah, belum pernah lagi mereka melihat amukan Raja Agong Amirul ni.

"Beta tak mahu kalian salah faham dengan beta. Wanita tadi ialah permaisuri kedua beta. Nafisah namanya. Permaisuri beta itu sedang hamil. Dua bulan lebih dah. Kami dah menikah, empat bulan yang lalu." Selesai sahaja berkata sedemikian, Raja Agong Amirul meneruskan langkahnya ke arah lif.

*****

SATU keluhan dilepaskan oleh Raja Agong Amirul sebaik sahaja dia masuk semula ke dalam pejabatnya. Selangkah ke depan diambil. Pada masa yang sama tangan kirinya menutup semula pintu pejabat. Kepalanya menunduk sahaja. Berfikir, apa perlu dia buat sekarang. Terlalu banyak hal, masalah yang ada di dalam fikirannya.

Permaisuri Agong Jannah yang masih setia menanti kepulangan si suami di dalam pejabat itu, mula menghampiri suaminya. "Semuanya okey, kan?" Satu senyuman diukir buat cinta pertamanya itu.

Raja Agong Amirul mendongak ke atas. Dia merenung anak mata milik isteri pertamanya. Hatinya dapat rasakan isteri yang berdiri di hadapannya ini, terluka hatinya. Lantas tangan kanannya menyentuh pipi kiri si isteri. Diusap perlahan. "Dinda, I'm sorry. Kanda tahu dinda terluka sebab perangai kanda tadi. Kanda tak ada niat nak lukakan mana-mana hati isteri kanda."

Permaisuri Agong Jannah mengambil keputusan untuk diam. Dia memandang tepat anak mata suaminya. Mata itulah yang berjaya membuat hatinya berdebar-debar pada kali pertama mereka bertemu dahulu. Ketika itu mereka masih remaja, masih budak sekolah.

"Dinda, tolong faham situasi kanda ye? Emosi Nafisah pasang surut. Kanda tak nak dia tertekan lagi sebab kanda. Kanda..."

"Dinda faham kanda," pintas Permaisuri Agong Jannah. Dia tidak mahu suaminya terus-terus memikirkan bahawa dirinya terluka. Dia tidak terluka, cuma... sedikit rasa cemburu untuk madunya. Satu kenyataan yang dia tak boleh sangkalkan ialah, cinta pertama suaminya adalah milik madunya. Dan dia mesti terima hakikat itu meskipun pahit sekali untuk ditelan.

"Dinda terluka," ujar si suami. Dia dapat rasa, apa yang isteri pertamanya ini rasakan. Baginya, tiada seorang isteri dalam dunia ini tidak terluka lebih-lebih lagi sekiranya suami mereka mengamalkan poligami.

"Kanda pun terluka," jawab si permaisuri.

Raja Agong Amirul terus menatap anak mata bundar si isteri.

*****

LANGKAH kaki terus menapak ke arah katil sebaik sahaja dia sampai ke istana. Hujung birai katil menjadi tempat dia meletakkan punggungnya. Air mata yang mengalir dari tadi, sudah kering. Kepala ditunduk, memandang lantai biliknya yang beralas karpet berbulu halus.

'Kenapa dengan kau ni Nafisah?' soal Permaisuri Agong Nafisah kepada dirinya sendiri di dalam hati. Tidak mengerti dirinya dengan sikapnya sendiri. Sekejap begini, sekejap begitu.

Satu keluh berat dilepaskan. Nafas ditarik dalam-dalam. Diangkat kepala dari terus menunduk. Tanpa sedar, kepalanya menoleh ke arah bantal tempat suaminya tidur tatkala tiba gilirannya dengan Raja Agong Amirul. Bantal tersebut diambil.

'Sampai bila kau nak layan suami kau macam ni?' Hatinya mula menegur tuannya.

"Aku... tak tahu. Setiap kali aku pandang dia, hati aku sakit. Anak aku..." Tangan kanannya mula mengusap perutnya. "Dia buat anak aku tak ada." Air mata bergenang di tubir mata.

'Bukan ke tu kerja Allah? Suami kau manusia, bukan tuhan. Cuba kau ingat balik kejadian tu semula, Nafisah. Bukan ke kau dah sakit dekat bawah perut kau masa tu? Sebelum suami kau buat kau jatuh. Lupa?' Diri Permaisuri Agong Nafisah berkata-kata.

Terbeliak biji mata Permaisuri Agong Nafisah tatkala teringat semula kejadian itu.

'Kau sendiri nampakkan selepas kejadian tu macam mana suami kau usaha nak pujuk kau. Kau tak nampak ke usaha dia, Nafisah?'

Air mata sudah tumpah. Tangan kanannya memegang kuat bantal suaminya. "Aku nampak, tapi... aku tetap tak boleh nak terima. Fikrian aku kusut, aku serabut." Perlahan-lahan Permaisuri Agong Nafisah merebahkan kepalanya di atas bantal suaminya.

Matanya merenung ke sisi bantalnya. Terus dia terbangun dari posisi baring dan terus menghampiri tempat tidurnya. Diangkat bantal miliknya. "Mana... mana baju dia?" Permaisuri Agong Nafisah sudah gelabah.

Kaki diturunkan dari katil. Permaisuri Agong Nafisah melihat di bawah katil. Kosong. Tangannya mula menarik laci yang ada di cabinet kecil di sisi katilnya. Tiada. "Mesti ada orang ambik!" Kaki menapak ke arah pintu.

Permaisuri Agong Nafisah membuka pintu biliknya dengan kasar. Wajahnya serius sahaja. Marah. Dadanya turun naik, masih cuba mengawal rasa amarah yang ada dalam diri. "Siapa masuk bilik ni hari ni!" Jerit isteri kedua pemerintah tertinggi Lafiya.

Dayang yang sedang menyapu tidak jauh dari bilik Permaisuri Agong Nafisha sudah menunduk. Takut dia melihat wajah lembut Permaisuri Agong Nafisah sudah menjadi wajah singa kelaparan itu.

"Siapa!"

Dayang Ita yang kebetulan berada di aras bilik Permaisuri Agong Nafisah mula mendekati majikannya itu. Terkejut dia buat seketika melihat isteri muda Raja Agong Amirul itu mengamuk. "Ada barang tuanku yang hilang ke?"

"Siapa yang masuk dan ambil baju kotor dalam bilik ni hari ni?" soal Permaisuri Agong Nafisah. Matanya merenung tajam wajah pembantu peribadinya.

"Eeer... patik." Akui Dayang Ita. Hanya dia yang mendapat kuasa untuk masuk ke dalam bilik Permaisuri Agong Nafisah bagi mengemas dan mengambil baju kotor. Dayang yang lain tidak dibenarkan masuk bahkan itu menjadi larangan bagi mereka kecuali atas permintaan Permaisuri Agong Nafisah sendiri.

"Awak ada ambil baju yang saya letak dekat antara katil dan kabinet kecil di sisi katil ke? Yang sebelah bantal?"

Dayang Ita mengangguk. "Ye. Baju tu kan baju Tuanku Amirul pakai semalam. Jadi patik..."

"Kenapa pandai memandai-mandai!" Suara Permaisuri Agong Nafisah sudah memetir.

Diam.

"Awak ingat, awak ada hak untuk masuk dalam bilik ni, awak boleh sesuka hati nak ambil apa sahaja tanpa kebenaran saya ke!"

"Maaf, tuanku. Patik..."

Dum!

Permaisuri Agong Nafisah tidak mengambil masa lama, terus sahaja dia masuk ke dalam bilik dan menghempas pintu biliknya sekuat hati. Biar satu istana tahu anginnya tidak baik hari ini. Badan disandar ke belekang pintu. Air matanya mengalir lebat. "Penat je simpan baju dia semalam, senang hati je nak basuh tak bagi tahu aku. Dah la hari ni bukan giliran aku. Macam mana aku nak tidur? Macam mana aku nak..." Terjelupuk si permaisuri di belakang pintu.

Dipeluk kedua-dua kepala lututnya. Disembamkan wajahnya di situ. Selang lima saat, Permaisuri Agong Nafisah mengangkat wajahnya. Terus sahaja dia memandang pintu bilik pakaian yang bersambung dengan biliknya itu.

*****

RAJA AGONG AMIRUL memejamkan matanya buat seketika. Dibiarkan kerusi urut menjalankan tugas. Terasa segar tubuhnya bila dapat urutan sedemikian. Lelah dan penat menjalankan tugasnya hari ini, beransur pergi. Tenang rasanya begini.

Permaisuri Agong Jannah tiada di dalam bilik sewaktu dia masuk tadi. Pasti isteri pertamanya itu sedang melayan karenah anaknya; Puteri Agong Halimah. Seharian anak perempuannya itu tidak dapat perhatian dari isteri pertamanya.

Sambil dia menikmati urutan dari kerusi urut dan memejamkan mata, kepalanya ligat berfikir akan masalah-masalah yang dihadapinya. Kalau di Pejabat Pemerintahan dia perlu fikir masalah berkaitan negara, di istana sudah pasti hal keluarga yang menjadi perhatian.

Dia perlu berfikir akan strategi untuk mencari Khalil dan dua orang saudaranya yang hilang. Anak adik kesayangannya; Puteri Agong Mawar. Hampa sekali rasa hatinya setiap kali dia cuba berfikir akan jalan penyelesaian untuk masalah hilang itu, pasti tiada jawapan yang dapat dia temui. Lebih kusut fikirannya untuk berfikir cara mahu mencari anak-anak saudaranya. Satu maklumat pun dia tidak punya untuk mencari cahaya mata Puteri Agong Mawar. Mustahil dia mahu bertanya kepada adiknya memandangkan fikiran si adik sudah tidak seperti dulu.

"Khalil." Raja Agong Amirul menyebut perlahan nama anak tirinya. "Budak yang aku jumpa tu, mesti Khalil. Tapi siapa dengan dia? Kenapa aku masih tak dapat nak cari siapa perempuan yang muka sama dengan Nafisah tu ye?" Berkerut dahi sang raja berfikir.

"Mana aku nak cari anak-anak aku ni? Khalil yang aku tahu maklumat pun aku tak dapat lagi nak bawak balik, inikan anak-anak Dinda Mawar yang aku langsung tak tahu apa-apa. Haih."

"Anakanda."

Raja Agong Amirul membuka kedua-dua kelopak matanya yang dipejam rapat tadi. "Ye, bonda." Kerusi urut masih bekerja. Dipandang wajah tua Permaisuri Agong Jelita.

"Anakanda dan Anakanda Nafisah macam mana? Okey dah?"

"Entah la bonda. Sekejap anakanda nampak Nafisah macam dah okey dengan anakanda, tapi lepas tu mesti nampak tak okey balik. Mengamuk, marah tak tentu pasal. Tapi... cari-cari anakanda jugak. Bonda nak tahu, selama dia marah dengan anakanda sebab buat dia... masuk wad tu..." Intonasi nada suara sang raja mulai kendur bila teringat akan kes itu. "Dia tetap cari anakanda untuk dia tidur. Tak boleh tidur dia kalau anakanda tak ada."

Permaisuri Agong Jelita merenung wajah penat anak kesayangannya itu. "Biasalah, emosi tak stabil. Sabar ye?"

Raja Agong Amirul, diam.

"Ada apa-apa maklumat tak? Pasal pencarian anak Anakanda Mawar?" soal si bonda.

"Belum."

"Khalil?"

"Belum. Orang suruhan anakanda masih mencari dan mengumpul maklumat. Anakanda syak orang yang muka sama dengan Nafisah ni... sangat kenal Nafisah. Sebab dia masuk hotel hari tu, semua guna maklumat Nafisah, bonda."

"Ada yang simpan dendam ke dengan Anakanda Nafisah?"

"Masih mencari, bonda." Tangan kanan mula naik mendarat ke dahi. "Sakit kepala fikir."

*****

DAYANG ITA meletakkan dulang makanan di atas meja. Betul-betul di hadapan Permaisuri Agong Nafisah yang duduk di sofa berangkai dua itu. Nafas ditarik dalam-dalam. Terbit rasa takut untuk bersuara memandangkan hari ini dia sudah membuat mood majikannya ini tidak baik. Kejap-kejap hujung matanya memandang wajah serius isteri kedua Raja Agong Amirul, sekejap-sekejap dia memandang lantai.

Permaisuri Agong Nafisah memalingkan wajahnya ke tempat lain. Tidak mahu memandang wajah Dayang Ita, tidak juga mahu memandang makanan yang sudah terhidang di hadapannya ini. Kecur air liurnya melihat makanan tersebut.

"Jemput makan, tuanku."

Tangan disilangkan di dada. "Kenyang." Senada sahaja suaranya menjawab. Wajahnya pula masih kekal serius.

"Tapi... tuanku tak makan dari tengah hari. Kesian baby."

Permaisuri Agong Nafisah menoleh ke wajah pembantunya. "Saya tak ada selera nak makan walau saya ni lapar. Faham?"

"Tuanku... marahkan patik lagi ke sebab basuh baju Tuanku Amirul?"

"Awak rasa?"

Dayang Ita menunduk. "Ampunkan patik, tuanku."

Permaisuri Agong Nafisah mendengus perlahan. "Keluarlah Ita. Saya ni mood tak baik nak pandang wajah sesiapa."

Dayang Ita mengangguk. Dia menunduk hormat majikannya sebelum mengatur langkah ke pintu.

"Bawak makanan ni sekali."

Dayang Ita memandang wajah Permaisuri Agong Nafisah.

"Saya tak nak makan." Permaisuri Agong Nafisah mengangkat punggungnya dari sofa dan menapak ke katil.

"Baiklah, tuanku." Dulang makanan yang diletakkan di atas meja sebentar tadi, diangkat. Matanya merenung majikan yang sudah duduk termenung di birai katil. Mulutnya dikemam sekuat hati.

*****

"MAWAR sayang..."

"Keluar!" Puteri Agong Mawar mencampakkan bantal ke arah Puan Melati. "Keluar!" Tajam matanya memandang satu-satu wajah dayang, Puan Melati dan panglima yang ada di dalam biliknya.

"Mak dan yang lain akan keluar, tapi sayang makan ubat dulu ye?" Lembut Puan Melati memujuk. Keliru dia dengan sikap anaknya ini. Inilah kali pertama dia melihat anaknya mengamuk sebegini sejak Raja Agong Amirul berkahwin dengan Permaisuri Agong Nafisah.

Ditarik-tarik rambutnya dengan kuat. "Keluarlah! Aku tak nak makan ubat. Aku tak sakit. Tak sakit!" Kepala digeleng beberapa kali. Ibu jari kanannya digigit. "Aku tak sakit. Tak sakit. Kenapa nak makan ubat."

Menitis air mata Puan Melati melihat sikap anaknya begini. Tapi dia tak boleh salahkan Puteri Agong Mawar kerana bersikap sebegini. Kaki menapak mendekati anaknya yang bersandar di penjuru pintu gelongsor bilik. "Ubat ni, bukan menunjukkan sayang sakit. Ni nak bagi kuat, sihat dan ceria macam dulu."

Puteri Agong Mawar menggeleng. "Tak nak."

"Makanlah sayang. Tak banyak ubat pun nak kena makan." Dengan berani Puan Melati cuba menyentuh rambut mengerbang si anak.

Puteri Agong Mawar menepis. Matanya mencerlung memandang wajah Puan Melati. "Kau sapa, ha?"

Puan Melati hanya memandang wajah si anak dengan penuh kasih sayang. Dia faham sekiranya anaknya ini tidak mengenali siapa dirinya yang sebenar. Lagipun dia dan anaknya ini dipertemukan saat ketika anaknya sudah sakit begini. Tangan diletakkan di atas dada. "Mak. Ini mak. Mak ialah mak Mawar."

Puteri Agong mawar menjauhkan diri dari Puan Melati. Dia mengengsotkan badannya ke tepi. "Mak? Aku mana ada mak. Aku ada bonda je. Mana bonda?" Air mata mengalir ke wajah. Mata meliar ke segenap penjuru bilik. "Mana bonda? Bonda... anakanda takut. Bonda ada dekat mana?"

Puan Melati mengigit hujung bibirnya. Bekas ubat yang dipegangnya diletakkan di atas troli yang ada di hujung katil Puteri Agong Mawar. Hati ibunya terasa dan terusik bila anak kandungnya mencari Permaisuri Agong Jelita, bukan dirinya. Tapi dia tak boleh salahkan anaknya itu. Selama ini, Permaisuri Agong Jelita yang mengasuh anaknya, bukan dirinya.

"Bonda... mana bonda?" Puteri Agong Mawar memeluk kakinya di atas lantai bilik.

Puan Melati menoleh ke arah pekerja istana yang ada di dalam bilik anaknya itu. "Saya nak... saya nak keluar sekejap. Pastikan Mawar makan ubat."

Panglima dan dayang yang ada di situ mengangguk.

"Bonda..." Puteri Agong Mawar mengigit hujung ibu jarinya. "Mana bonda? Bonda janji tak tinggalkan anakanda. Tak kasi ayahanda buat jahat dekat anakanda. Tapi kenapa bonda pergi? Mana bonda?"

Puan Melati menggelengkan kepalanya melihat anaknya begitu. Pelik dia. Kenapa anaknya ini berubah sikap hari ini. Sebelum ini, anaknya ini baik sahaja. Semuanya berubah bila anaknya ini bertanyakan tarikh hari ini. Apa dah jadi dengan anaknya ini pada tarikh hari ini?

Panglima yang ada di dalam bilik, membuka pintu untuk Puan Melati keluar. Dia tahu, pasti hati wanita itu tidak kuat. Mana ada seorang ibu sanggup melihat anaknya sebegitu. Hidup tak serupa orang normal.

"Maaf saya lambat."

Tak jadi Puan Melati nak menampak keluar dari bilik. Bebola matanya memandang wajah doktor di depan matanya. "Tak apa."

Doktor Daniel mengukir senyuman lega. Bukan sengaja dia lambat untuk sampai ke Istana Rehat, tapi kesesakan lalu lintas yang menjadikannya sedikit lewat untuk sampai ke sini. Matanya mula mencari figura Puteri Agong Mawar yang dikatakan kepadanya megamuk tak tentu pasal. Kaki mula menampak ke satu sudut di penjuru bilik tatkala pencariannya berjaya.

"Bonda... anakanda takut. Ayahanda jahat. Kenapa ayahanda buat anakanda macam ni?" Mendayu-dayu Puteri Agong Mawar merintih.

"Tuan Puteri." Lembut si doktor memanggil sebaik sahaja dia duduk mencangkung di depan Puteri Agong Mawar yang duduk di penjuru bilik sambil memeluk kakinya. "Tuan Puteri."

Puteri Agong Mawar mengangkat wajahnya. "Awak siapa?"

Doktor Daniel mengukir senyuman. "Patik kawan Tuan Puteri. Daniel."

"Daniel?"

Doktor Daniel mengangguk.

Tak perlu fikir lama-lama, terus sahaja Puteri Agong Mawar memeluk tubuh tegap itu. "Takut. Takut."

Terkaku Doktor Daniel buat seketika. Berdebar kuat dadanya saat adik kesayangan Raja Agong Amirul ini memeluk tubuhnya.

"Ayahanda nak bagi saya dekat orang jahat. Saya takut."

Puan Melati hanya memerhati dari jauh. Sedih dia mendengar apa yang anaknya katakan. Pasti anaknya trauma dengan tarikh hari ini.

"Tuan Puteri jangan takut, semua orang dekat sini... orang baik. Tak ada yang nak buat benda tak baik dengan Tuan Puteri." Lembut Doktor Daniel memujuk. Rasanya inilah kali kedua dia memujuk puteri itu bila mengamuk memandangkan inilah kali kedua adik Raja Agong Amirul ini mengamuk sebegini sebaik sahaja ditemukan selepas bertahun-tahun hilang tanpa khabar berita.

Puteri Agong Mawar mendongak. Merenung anak mata hitam milik Doktor Daniel. "Betul ke... semua kat sini orang baik?"

Doktor Daniel mengangguk. "Ye." Tangan Doktor Daniel mula mengemaskan rambut Puteri Agong Mawar. Disanggulkan rambut itu, biar tampak lebih kemas.

"Tapi mereka paksa saya makan ubat. Saya tak sakit."

"Tuan Puteri memang sihat, siapa kata Tuan Puteri sakit?"

"Habis kalau makan ubat kan cuma untuk orang sakit."

"Kami nak bagi Tuan Puteri senyum je, tak nak sedih-sedih macam ni."

"Dulu, ayahanda ada bagi saya ubat, bila saya makan saya terus tak ingat apa-apa. Bangun je, saya dah ada dekat tempat yang saya tak tahu dekat mana. Saya takut."

Doktor Daniel melepaskan keluhan perlahan. "Perkara tu, tak akan jadi lagi. Patik akan lindungi Tuan Puteri."

Pelukan dilepaskan. "Janji?"

"Janji."

Puteri Agong Mawar menunjukkan jari kelingkingnya. "Janji?"

Doktor Daniel yang faham dengan perbuatan puteri di depan matanya mengangguk. "Janji." Jari kelingkingnya memaut jari kelingking si puteri.

"Tuanku... mana?"

Doktor Daniel menoleh ke belakang. Memandang wajah panglima, dayang dan Puan Melati yang memerhati. "Tuanku mana?" Soalan yang dilontarkan si puteri sebentar tadi, digunakan untuk menyoal kemana Raja Agong Amirul ketika ini.

"Hari ni, Tuanku Amirul dekat Istana Agong," jawab Puan Melati.

"Kenapa tuanku tinggalkan saya dekat sini? Saya nak dekat dengan tuanku dan bonda. Saya takut." Dipeluk semula tubuh doktor di depan matanya.

Doktor Daniel memberi isyarat agar hubungi Raja Agong Amirul dengan segera.

*****

"TUANKU janji jangan tinggalkan dinda?"

Raja Agong Amirul mengangguk. Tangannya membelai penuh kasih sayang rambut adiknya yang erat memeluknya di atas katil itu. "Kusutnya rambut dinda, kanda sikatkan, nak?"

Laju Puteri Agong Mawar mengangguk.

Raja Agong Amirul menghulurkan tangannya kepada dayang yang ada di dalam bilik adiknya. Meminta sikat. Bukan dia tidak mahu turun dan ambil sendiri, tapi adik kesayangannya ini peluk macam tidak mahu lepaskan. "Meh, kanda sikat rambut dinda. Bagi cantik."

Puteri Agong Mawar tersenyum manis. Dia melepaskan pelukan dan membetulkan posisi duduk agar abangnya dapat menyikat rambutnya. "Kenapa tuanku tinggalkan dinda dekat sini?"

"Mana ada kanda tinggalkan dinda. Kanda kerja." Disisir lembut-lembut rambut si adik.

"Tuanku sayang dinda tak?"

"Sayang. Abang mana tak sayang adik, kan?"

Puteri Agong Mawar terus memusingkan badannya ke belakang. Menghdap si abang. "Tuanku... dinda rindu anak dinda..." Air matanya menitis. "Setan tu, ambik anak dinda. Dia bawak pergi, dinda tak tahu dekat mana."

Raja Agong Amirul mengukir senyuman pahit. Tangannya mengelap air mata si adik. Dibawa kepala si adik ke dadanya. Dia tahu 'setan' yang dimaksudkan adiknya itu. Pasti bekas Perdana Menteri yang dihukum pancung tahun lepas.

"Anak-anak dinda... mesti lapar dekat luar tu."

Diusap bahu si adik. Air matanya sudah gagal untuk ditahan agar tidak mengalir. "Kanda tengah cari. Dinda sabar ye? Dinda kena banyak bertenang, biar dinda cepat sembuh. Nanti... kita sama-sama cari anak-anak kita ye?"

"Mira... Nur... ibu rindu..."

Raja Agong Amirul mengeratkan pelukan. Ingin menenangkan si adik.

*****

PERMAISURI AGONG NAFISAH mengeluh panjang di tikar sejadah. Dia baru sahaja selesai berdoa. Namun, jiwa dan hatinya tetap tidak tenang. Entah kenapa, malam ini dia berharap sangat suaminya datang menjenguknya buat seketika. Dapatlah dia tidur dengan tenang dan lena.

Pintu biliknya dibuka dari luar, tanpa diketuk.

Cepat-cepat Permaisuri Agong Nafisah bangun dari tikar sejadah. Dipusingkan badannya ke belakang. Menghadap pintu bilik. Satu senyuman terukir di bibirnya. Sejadah di tangan dicampakkan ke lantai. Laju dia membuka kain telekungnya.

"Nafisah? Kenapa... tak tidur lagi? Dayang Ita cakap..." Tak sempat Raja Agong Amirul nak bertanya lagi, terus tubuhnya ditarik oleh si isteri. Terkaku dirinya buat seketika. Matanya merenung si isteri yang memeluk tubuhnya.

"Rindu bau ni. Wangi."

Raja Agong Amirul tersenyum. Tangannya membalas pelukan si isteri. "Saya pun rindukan awak."

Malam ini ialah giliran Permaisuri Agong Jannah sebenarnya. Tapi dia sengaja singgah sekejap ke sini untuk menjenguk isteri keduanya. Begitu juga bila tiba gilirannya dengan isteri keduanya. Dia akan melawat isteri pertamanya di Istana Agong sekejap.

Lagipun, hatinya risau akan Permaisuri Agong Nafisah bila dapat pesanan ringkas dari Dayang Ita yang memberitahunya isteri keduanya ini mengamuk dan tidak mahu makan seharian. Bila ditanya kenapa, Dayang Ita menjawab dia secara tidak sengaja telah membasuh baju yang dipakainya kelmarin.

Dan adiknya juga penyebab dia datang ke Istana Rehat malam ini. Terkejut dia bila dapat tahu adiknya mengamuk dan mencari dirinya tadi. Mujurlah tiada apa-apa kejadian buruk berlaku.

Raja Agong Amirul mencium ubun-ubun isterinya yang masih bersarung telekung itu. Sempat juga dia melihat tempat isterinya bersolat. Sejadah kemana, kain telekung sudah kemana. Mujurlah sewaktu isterinya berlari memeluknya tadi, tidak memakai kain telekung. Kalau tidak, entah la. Tidak mahu dia membayangkan perkara itu terjadi lagi.

Permaisuri Agong Nafisah memejamkan matanya. Tenang rasanya bila dapat memeluk tubuh suaminya. Damai jiwanya bila dapat bau badan suaminya ini.

"Awak dah maafkan saya?"

Dengar sahaja soalan itu, Permaisuri Agong Nafisah melepaskan pelukan. Matanya tajam merenung anak mata suaminya. "Maafkan? Tak."

Raja Agong Amirul tenang sahaja melihat reaksi isteri keduanya begitu. Dia sudah agak, pasti perbuatan isterinya sebentar tadi sebab pembawakkan budak. "Awak tak nak maafkan saya?"

Permaisuri Agong Nafisah menjeling. Kaki mula menapak semula ke tempatnya bersolat. Sejadah dan kain telekung yang bersepah diangkat.

Raja Agong Amirul menghampiri si isteri. "Tadi awak okey, lepas tu marah balik."

Diam sahaja. Langsung tiada keinginan mahu bersuara. Dibawa telekung dan sejadah yang sudah berlipat kemas ke bilik pakaian.

Raja Agong Amirul hanya diam. Matanya memerhati tingkah isteri mudanya di dalam bilik pakaian. "Menyesal pulak aku tanya tadi, dia dah maafkan ke belum. Haih. Amirul macam kau tak kenal isteri kau tu macam mana. Dia kan tengah mengandung. Suka bau badan kau. Tapi pada masa yang sama, marah dia tak nak hilang untuk kau lagi."

Permaisuri Agong Nafisah sengaja buat-buat lambat untuk keluar dari bilik pakaian. Pertama, dia malu kerana memeluk tubuh suaminya tadi. Kedua, dia masih marah dengan suaminya. Argh! Runsing!

Raja Agong Amirul tersenyum tiba-tiba. Lucu rasanya dengan isteri mudanya ini. Marah, mengamuk macam mana sekalipun, dirinya pasti dicari dalam diam oleh Permaisuri Agong Nafisah. Teringat dia akan malam isterinya di wad kerana kehilangan satu janin dalam rahim. Permaisuri Agong Nafisah mencari-cari dirinya. Siap telefon menggunakan telefon hospital lagi. Rupanya, dia dicari untuk dipeluk supaya mudah untuk isteri keduanya itu tidur.

"Anak ayahanda ni, pandai ye?" Diusap perut isteri mudanya dari belakang.

Terkaku Permaisuri Agong Nafisah. 'Bila dia masuk!' Dia sudah rasa mahu menjerit.

"Dah tahu umi dia marah dengan ayahanda, buat jugak umi cari ayahanda. Kan bagus kalau anak ayahanda ni... pujuk umi untuk maafkan ayahanda." Raja Agong Amirul tersenyum. Sungguh dia sendiri tidak sedar mengapa dia mengikut isteri keduanya ini masuk ke bilik pakaian seterusnya memeluk tubuh itu dari belakang.

Muka Permaisuri Agong Nafisah sudah merona merah.

"Saya nak kena balik ni. Tak nak tidur ke?"

Diam.

"Bukan ke isteri saya yang seorang ini tak boleh tidur kalau tak peluk saya atau bau badan saya, hm? Meh, saya tidurkan awak." Tangan kiri si isteri digapai dan dibawa keluar dari bilik pakaian.

Permaisuri Agong Nafisah hanya menurut. 'Kenapa tak nak bela umi! Umi marah ayahanda patutnya anak umi pun marah ayahanda jugak, tahu? Ini buat umi nak dekat dengan ayahanda je. Tak aci betul!' Permaisuri Agong Nafisah mengomel dalam hati untuk anak dalam kandungannya.

----- BERSAMBUNG -----



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku