Cinta Dalam Hati Suamiku
Bab 48
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Cinta dalam hatimu, untuk siapa suamiku?
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2020

Bacaan






RAJA AGONG AMIRUL menundukkan wajahnya ke bawah. Bibirnya mengucup lembut ubun-ubun dan dahi Permaisuri Agong Nafisah yang pada pemerhatiannya sudah lena diulit mimpi. Walhal sebenarnya isteri keduanya itu cuma memejamkan matanya sahaja. Lama benar bibirnya menginggah pada dahi si isteri muda. Bibirnya didekatkan pula di cuping telinga si isteri. “Saya sayang... awak sangat.” Lega rasa hatinya kerana sudah dapat meluahkan rasa cinta kepada cinta pertamanya itu.

Sudah berminggu dia tidak luahkan rasa cinta dan sayang kepada isterinya yang seorang ini melalui percakapan. Tapi, dia tidak pernah lupa untuk menzahirkan rasa sayang dan cintanya dengan perbuatan walaupun Permaisuri Agong Nafisah telah membutakan mata dan hatinya untuk melihat semua perbuatannya. Dia tahu, isterinya ini masih merajuk, masih marah tapi dia sudah buntu untuk memujuk. Dia sudah penat meminta maaf. Setiap hari, setiap masa dia meminta maaf, tapi isterinya itu tetap begitu. Bahkan semakin lama, semakin pening kepalanya mahu melayan karenah isteri mudanya ini.

Permaisuri Agong Nafisah terus membuka kedua-dua kelopak matanya tatkala telinganya menangkap kata-kata cinta dari suaminya. Sudah lama dia tidak dengar kata-kata indah itu. Kali terakhir... sebelum dia kehilangan satu janin dalam kandungannya. Rindu dia dengan kata-kata itu. Kalau boleh, dia mahu Raja Agong Amirul sentiasa berkata sebegitu kepadanya, tapi egonya melarang. Tajam dia memandang anak mata suaminya yang betul-betul berada di depan matanya.

"Awak... bidadari saya." Senyuman manis terukir di wajah si suami.

"Hilang ingatan ke? Tuanku kan ada isteri lain." Permaisuri Agong Nafisah terus memusingkan badannya ke arah bertentangan. Memandang dinding. Perlahan-lahan dia menarik senyuman gembira. Suka hatinya mendengar kata-kata indah dari suaminya itu.

"Meskipun saya ada isteri lain, awak juga isteri saya. Awak juga bidadari saya."

“Dah malam sangat ni, pergilah balik. Kesian Kanda Jannah tunggu lama nanti,” halau Permaisuri Agong Nafisah dalam diam. Risau dia sekiranya suaminya lama-lama di sini, nanti dia gagal menahan diri. Dia takut, dia akan ‘ikat’ Raja Agong Amirul dari pulang ke Istana Agong. Dia takut sekiranya dia ‘tewas’ menahan tembok egonya dari jatuh.

“Awak okey ke kalau saya balik sekarang?” Lembut si suami bertanya.

“Ye. Mata patik dah mengantuk dah ni. Nak tidur dah pun. Pergilah balik.” Gebar ditarik sehingga melepasi kepalanya. Di dalam gebar dia menahan air matanya dari tumpah. Hatinya sudah mula memarahi tuannya. Menyuruh dia ‘menahan’ Raja Agong Amirul dari pergi ke Istana Agong. Tapi itu benda yang mustahil untuk dia lakukan meskipun itu yang dia mahu. Dia perlu ada sikap bertimbang rasa dengan madunya sebagai mana Permaisuri Agong Jannah bertimbang rasa dengan keadaannya.

Raja Agong Amirul mengangguk perlahan. “Okey, kalau ada apa-apa, call saya ye?”

“Tak akan ada apa-apa la.” Permaisuri Agong Nafisah cuba mengawal suaranya agar si suami tidak tahu bahawa dia sudah menangis. Dia tidak mahu suaminya ‘pergi’ darinya. Dia mahu tidur dengan lena dipangkuan suaminya.

“Esok saya akan ambil Aunty Meida dekat airport sebelum saya datang makan sarapan dekat sini.”

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk. Tidak mahu bersuara. Air mata sudah mengalir dengan derasnya. Kini dia cuba sebaik boleh, sehabis baik menahan anggota tubuhnya dari menunjukkan apa-apa bukti kepada suaminya yang dia sedang menangis di dalam gebar seperti bahu terhinjut dan suara serak.

“Jaga diri ye.”

“Hm.”

Raja Agong Amirul cuba menarik gebar yang menutup wajah si isteri.

Permaisuri Agong Nafisah menahan dengan kuat. Tidak mahu suaminya melihatnya menangis.

“Saya nak tengok muka awak sekejap.”

“Tak payah!” Tegas si isteri bersuara.

“Awak menangis ke?”

Permaisuri Agong Nafisah berdiam diri.

“Nafisah...” Si suami memanggil dengan lembut.

“Ngantuk la. Pergi balik sana! Nak tidur!” Air mata mengalir semakin lebat. Terus ditekup mulutnya dengan tapak tangan kanan sambil tangan kirinya memegang kuat gebar di hujung kepalanya dari dalam gebar.

“Okey. Bye. Sayang awak.”

*****

SEBAIK sahaja selesai Solat Subuh di Surau Istana, Permaisuri Agong Nafisah memulas tombol pintu pejabat suaminya. Dia sengaja singgah di pejabat suaminya yang ada di dalam istana sebelum dia ke biliknya di tingkat paling atas di Istana Rehat. Matanya meliar memandang sekeliling. Memandang setiap genap penjuru pejabat itu sebaik sahaja pintu pejabat dikuak olehya. “Umi rindu ayahanda la.” Tangan kanannya mengusap perutnya.

Kaki menampak masuk ke dalam pejabat. “Umi kenapa ye sekarang ni? Asyik rindu ayahanda je. Padahal ayahanda ada je depan mata umi, tapi umi tetap rindu. Bila ayahanda ada, umi rasa nak marah... je. Bila ayahanda tak ada... walau sekejap, umi dah rasa rindu macam bertahun tak jumpa. Hm. Kenapa la umi jadi macam ni. Umi rasa, umi tak kenal dah diri umi sendiri.” Bebel Permaisuri Agong Nafisah sendirian sambil mendekati meja pejabat suaminya yang bersepah dengan kertas.

Punggung dilabuhkan pada salah satu kerusi yang ada di depan meja suaminya. Matanya merenung setiap baris perkataan yang ada di setiap kertas yang bersepah di depan matanya. Tangannya menarik salah satu kertas yang ada di atas meja. ‘Ini... bukan ke maklumat Khalil? Dia... dia betul-betul cari Khalil ke? Aku ingat, dia dah tak cari anak aku lagi dah.’ Diletakkan kembali maklumat Khalil di atas meja. Di tempat asalnya.

Matanya beralih ke arah fail kertas berwarna coklat di sebelah maklumat anaknya. Tangannya mula gatal untuk mengambil fail tersebut. Fail tersebut dibuka sesuka hati. Bulat matanya membaca setiap ayat dan perkataan yang tertulis di dalamnya. Diangkat wajahnya yang menunduk kerana membaca isi dalam fail. Rasa serba salah menyerbu hatinya.

‘Dia cari Khalil, dia berdepan dengan masalah negara, dia cuba jejak anak saudara dia. Dia... Ya Allah, apa aku dah buat? Aku semakkan fikiran dia dengan sikap aku yang entah apa-apa ni pada masa yang sama dia bertungkus-lumus memikirkan masalah yang lebih penting. Aku... menyusahkan dia.’ Fail coklat yang diambil dikembalikan semula ke tempat asal.

Baru sahaja dia mahu mengangkat punggung dari kerusi, matanya menangkap sesuatu. Ada logo Pejabat Agama di situ. Laju tangannya mengambil. 'Apa ni?' Sampul kertas putih bersaiz A4, berjaya membuatkan mata Permaisuri Agong Nafisah tidak berganjak dari terus memandang benda itu. Dibuka sampul kertas itu untuk melihat isi di dalamnya. Menitis air mata si isteri melihat isi di dalam sampul itu. Itu merupakan surat dari mahkamah mengenai hal tuntutan perceraian. Dilihat, dibaca setiap patah perkataan yang tertulis. Namanya! Puteri Syarifah Nafisah Binti Syed Fathul.

Tiba-tiba, otaknya memutar kejadian di awal perkahwinannya. Sikap Raja Agong Amirul yang tersangat ‘baik’ melayannya sebagai isteri. Betapa ‘bahagia’nya rumah tangga mereka ketika itu. Air mata yang menitis semakin deras mengalir.

“Satu hari, aku akan ceraikan kau, tahu! Sebab apa? Sebab aku benci kau! Aku tak boleh terima kau jadi isteri aku! Apa sahaja yang berlaku antara kita, kau... faham maksud aku, kan? Itu adalah kerana Jannah tak boleh layan aku, bukan sebab aku cintakan kau tau! Jangan sesekali kau biarkan diri kau mengandungkan anak aku! Aku tak sudi ada anak dengan perempuan macam kau! Kau cuma tempat... hm... selama Jannah tak boleh layan aku je!” Tengking Raja Agong Amirul.

'Dia... betul-betul nak lepaskan aku. Dia... tipu aku. Dia kata dia sayang aku, dia kata dia dah tak nak ingat kisah awal perkahwinan kami dulu. Tapi kenapa atas meja dia ada surat ni? Ni maknanya...' Tangan kanannya menyentuh perutnya.

“Ayahanda tak sayang kita. Tak sayang anak umi dekat sini. Tak apalah, sayang. Anak umi ada umi, kan? Umi sayang anak umi ni, lebih dari sesiapa sayang anak umi. Tak apalah kalau ayahanda nak lepaskan umi, tapi umi tak akan biarkan ayahanda ambil anak umi ni.” Menitis air matanya memandang potret besar gambar suaminya yang tergantung di dalam pejabat itu.

“Nafisah!”

Cepat-cepat Permaisuri Agong Nafisah mengelap air matanya yang mengalir sebelum dia menoleh ke arah pintu. Tangannya meletakkan dokumen di tangannya di bawah timbunan fail yang lain. Tidak mahu orang lain tahu. Melalui suara itu, dia boleh agak pemiliknya. Pasti suara Puan Melati.

“Nafisah... menangis ke?” Puan Melati menghampiri menantunya yang duduk di kerusi. Tangan kanan dan kirinya menyentuh lembut bahu Permaisuri Agong Nafisah. “Kenapa menangis ni?”

“Tak adalah mak. Nafisah rindukan Khalil je.”

Puan Melati memandang meja Raja Agong Amirul. Dia dapat melihat ada maklumat peribadi Khalil di situ. Senyuman nipis terukir di bibir. Tangan di bahu si menantu digosok perlahan. “Jangan menangis. Mak yakin, Amirul tengah usaha keras nak cari Khalil. Sedih-sedih ni... tak elok untuk baby tau.”

Permaisuri Agong Nafisah mengangguk.

“Mak tadi cari Nafisah dekat bilik, tak ada. Tu yang datang sini, sebab Dayang Ita kata dia nampak Nafisah masuk sini. Ni, kenapa masuk bilik Amirul ni? Rindu Amirul, ye?”

Permaisuri Agong Nfaisah memaksa dirinya untuk senyum.

“Nanti Amirul sampai la, dah jangan emosional sangat. Pergi masuk bilik, cabut telekung ni. Kut ye nak pergi mana-mana, telekung yang tersarung di tubuh tu... simpan la dulu.”

“Ye la mak. Nafisah masuk bilik dulu la. Kepala rasa pening ni. Kejap lagi mesti nak muntah.”

Puan Melati mengangguk, faham. Sebab itulah dia mencari Permaisuri Agong Nafisah. Sudah dapat agak rutin pagi menantunya itu. Muntah teruk. Jadi dia mahu sentiasa ada di sisi isteri kedua Raja Agong Amirul. Bimbang pengsan atau terjadi perkara yang tidak diingini nanti.

----- BERSAMBUNG -----


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku