Lelaki Paling Setia!
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
668

Bacaan






AQASHA tertawa sendiri tatkala mendengar suara rakaman Afiya yang dirakam melalui whatsapp. Rasa terhibur pula dengan telatah gadis itu, sangat melucukan hatinya. Walaupun mereka baru sahaja berkenalan, namun sedikit sebanyak hatinya mula terpaut pada gadis itu. Cuma… dia belum bersedia untuk menyerahkan hatinya pada mana-mana wanita selepas kecundang dengan percintaannya suatu masa dahulu. Si pemilik hati yang akhirnya menjadi milik mutlak sang arjuna lain. Pedih rasanya hati!

Dia tidak menyangka, kemunculan Afiya mampu membuatkan dirinya terfikir untuk berumah tangga. Gila, apa yang gadis itu sudah lakukan padanya? Aneh, benar-benar aneh!

“Kenapa dengan kau ni, Qasha?” gumamnya sendiri.

Tiba-tiba, matanya terpandang ketuhar besar bersegi empat di atas rak. Dia terfikir untuk membakar pizza, hendak melepaskan jauh-jauh perasaan yang tiba-tiba sahaja bermaustatin di hatinya itu.

Lantas, dia bangun lalu mengorak langkah menuju ke bilik bahan basah. Setelah mengambil doh pizza beserta bahan untuk membuat pizza seperti tuna, sosej yang sudah dipotong kecil, lada benggala hijau, cendawan butang, nanas dan keju mozzarella, dia membawa bahan-bahan itu ke tempat pembuatan pizza.

Suis pemetik api dihidupkan. Frying pandiletakkan di atas dapur masak. Dia mahu memasak sos pizza. Setelah minyak panas, dia memasukkan bawang dan menumisnya sehingga naik bau. Setelah bawang siap ditumis, barang-barang seperti tomato, tomato puri, sos tomota, gula, oregano turut dimasukkan mengikut peringkat. Akhirnya sekali, garam dan gula dimasukkan ke dalam sos pizza yang sedang dimasak. Setelah sos pizza itu siap dimasak sehingga menjadi pekat, api ditutup.

Selesai memasak sos pizza, tangan Aqasha tangkas mengambil doh pizza. Dia mahu membuat adunan pizza pula. Baru hendak mula membuat pizza, tiba-tiba pintu dapur dibuka dari luar. Aqasha semerta menoleh memandang ke muka pintu. Hendak melihat siapa si empunya tangan yang memulas tombol pintu itu.

“Abang?”

Menyedari suara itu adalah milik adiknya, Syed Afiq Lutfi, Aqasha tersenyum.

“Adik rupanya, abang ingatkan siapalah tadi? Meh masuk!” ajaknya.

Afiq terus melangkah masuk lalu menghampiri abangnya yang sedang tekun menumbuk-numbuk doh pizza itu untuk mengeluarkan angin. Melihat tingkah laku abangnya, dia segera duduk di sebelah lelaki itu.

“Abang buat apa ni?” soal Afiq.

“Pizza. Teringin nak makan,” jawab Aqasha ringkas.

Bersinar mata Afiq mendengar jawapan Aqasha.

“Sedapnya! Lama adik tak makan pizza buatan chef Aqasha ni!” balasnya, terliur tatkala terbayang cheeseyang meleleh tatkala dia menggigit kepingan pizza.

Aqasha tersenyum.

“Hmm… adik memang beruntung sebab dapat makan pizza buatan abang hari ni!” jawabnya yang sedang mencanaikan acuah doh menjadi bulat dalam lingkungan dua sentimeter itu. Sempat dia meletakkan cheesedi bahagian tepi pizza. Doh pizza itu kemudiannya dimasukkan ke dalam loyang, mahu membiarkan ia kembang sedikit.

Afiq diam, tekun melihat abangnya yang begitu lincah membuat pizza.

Adunan doh pizza dicucuk dengan garfu supaya tidak menggelembung sewaktu hendak dibakar. Setelah itu, Aqasha menyapu permukaan doh dengan sos pizza yang dimasak tadi. Cheeseditabur di atas doh pizza. Barang-barang untuk membuat toppingditaburkan ke atas pizza. Selesai menabur topping,pizza dimasukkan ke dalam ketuhar. Suhu ketuhar dipusing sehingga dua ratus degree darjah celcius bersamaan tiga puluh minit.

Sementara menunggu pizza siap dibakar, dia kembali duduk di sebelah adiknya.

“Abang?” panggil Afiq.

“Hmm?”

“Nenda cakap abang kenalkan bakal isteri abang pada dia tadi. Betul ke abang nak kahwin?” soal Afiq, mahukan kepastian supaya nenda tidak omong kosong. Bukan apa, abangnya yang seorang ini hati keras macam dinding! Kahwin? Hmm… perkara itu adalah perkara terakhir dalam kamus hidupnya. Bagi Aqasha, kerja adalah nombor satu!

Mendengar soalan Afiq, Aqasha tersenyum.

“Ya dik, abang nak kahwin,” balasnya ringkas.

Afiq mengecilkan bola matanya. Sukar hendak percaya dengan jawapan Aqasha.

Melihat tingkah laku Afiq, Aqasha berkerut dahi.

“Apasal pandang abang macam tu?”

“Serius, adik tak percaya abang adik yang seorang ni nak kahwin. Abang tu hati keras macam dinding. Siapa perempuan yang dah berjaya gerudi dinding hati abang tu?” balas Afiq ingin tahu.

Aqasha kembali tersenyum. Wajah Afiya muncul di benak.

“Nama dia Afiya Zafira,” beritahunya.

“Afiya Zafira? Hmm…”

Afiq usap dagu.

“Ada gambar dia tak?” sambungnya.

Terjongket sebelah kening Aqasha mendengar permintaan Afiq. Tidak masuk akal!

“Nak buat apa dengan gambar Afiya?”

Afiq tersenyum meleret.

“Saja, nak tengok buah hati pengarang jantung abang,” jawabnya selamba.

Aqasha tergelak.

“Ada-ada aje adik abang ni kan?”

“Cepat, mana gambar dia?” desak Afiq, tidak sabar hendak melihat si pemilik wajah yang berjaya menggetarkan sanubari Aqasha.

“Abang tak ada gambar dia,” beritahu Aqasha.

Afiq ternganga.

“Helo, Kak Afiya tu bakal isteri abang tau! Takkanlah tak ada gambar bakal isteri sendiri? Selalunya, orang simpan dalam dompet tau. Haa… mesti abang simpan dalam dompet abang kan?” tebaknya, sambil berusaha menyeluk kocek seluarnya.

“Hei, apa ni?” marah Aqasha, menolak keras tangan Afiq.

Afiq memuncung bibir.

“Mana gambar Kak Afiya, bang?” Dia terus mendesak.

“Kan abang dah cakap tadi, abang tak ada gambar dia,” balas Aqasha.

“Tipu!” bentak Afiq.

Aqasha tersenyum.

“Abang tak perlukan gambar dia sebab…”

Berkerut dahi Afiq.

“Sebab apa?”

“Wajah dia dah terpahat dalam hati dan ingatan abang,” sambung Aqasha. Ada satu rasa aneh menyelinap di hati seusai dia menyatakan jawapan itu. Rasa apa ini? Ah, dia tidak tahu!

Afiq membuntang mata.

“Gila abang ni! Parah!”

Aqasha hanya ketawa. Dalam pada masa itu, pizza di dalam ketuhar telah siap dibakar. Sarung tangan yang tergantung di atas rak dicapai, lalu disarungkan ke kedua-dua belah tangannya. Penutup ketuhar dibuka. Pizza itu ditarik laju, dek terasa bahang di kulit tangannya. Loyang berisi pizza itu kemudiannya diletakkan ke atas meja.

Terpamer senyuman lebar di bibir Afiq tatkala melihat pizza yang sudah siap dibakar itu. Terbayang keenakan pizza itu, termasuk cairan cheeseyang meleleh di dalam mulut dan cair di lelangitnya. Sedapnya!

Loyang itu ditarik keluar lalu diletakkan ke dalam sinki. Pisau pemotong pizza diambil. Pizza itu kemudiannya dipotong empat. Laju tangan kanan Afiq mengambil kepingan pizza, lalu menggigit bahagian hujungnya.

“Sedapnya, bang!” puji Afiq, siap memejam mata untuk menikmati keenakan pizza itu.

Aqasha mengukir senyuman.

“Kalau sedap, makan banyak-banyak!” balas Aqasha.

Kebisuan melanda mereka, sambil berselera menikmati pizza itu. Afiq sebenarnya yang berselera memakan pizza, sedangkan Aqasha tidak. Di benaknya hanya terbayang seraut wajah Afiya. Lantas, sebuah keluhan perlahan terhembus keluar dari bibirnya.

“ABANG pergi mana hah? Abang tinggalkan Neli seorang diri kat rumah, abang langsung tak fikirkan kebajikan Neli!” Nurul Nelydia terus menghamburkan amarah pada suaminya, Abshar seusai lelaki itu pulang ke rumah.

Kemarahan terus mencanak naik dalam sanubari Abshar seusai mendengar tengkingan Nelydia.

“Neli ni kenapa hah? Abang balik penat-penat, tiba-tiba aje Neli marah bagai. Apasal? Tak boleh ke Neli layan abang elok-elok? Apa, Neli ingat abang pergi bergojet kat disko? Abang pergi cari sesuap nasi untuk kita, faham?” Dia melampiaskan amarah pada Nelydia.

Nelydia menghamburkan tawanya. Seperti mengejek Abshar.

“Tipu! Abang tak payah nak bohong Nelilah! Bukan Neli tak tahu, abang ada perempuan lain kat luar sana. Neli tahu, Neli tak boleh nak lahirkan zuriat untuk abang. Neli cacat sebagai seorang wanita dan isteri yang sempurna untuk abang.” Tiba-tiba pula dia menangis.

Terkedu seketika Abshar demi melihat tangisan Nelydia. Lantas, dia menghampiri tubuh isterinya itu.

“Neli, abang…” Dia cuba menyentuh bahu isterinya, namun isterinya itu bingkas menepis kasar tangannya.

Nelydia terduduk di tepi dinding. Dia memeluk lutut.

“Sampai hati abang buat Neli macam ni! Neli…”

Air mata Abshar tumpah, namun cepat-cepat diseka. Dia ikut melabuhkan duduk di sebelah isterinya itu. Wajah isterinya dipandang, sarat dengan cinta yang semakin mendalam hari demi hari.

“Abang cintakan Neli! Neli sanggup tinggalkan Aqasha semata-mata untuk hidup dengan abang. Takkanlah abang nak curang dengan Neli? Abang takkan sesekali hancurkan kepercayaan Neli pada abang,” tegasnya. Tidak mahu isterinya itu meletakkan tafsiran yang bukan-bukan padanya.

Nelydia tersenyum hambar.

“Neli tak percaya cakap abang! Kalau betul abang cintakan Neli, abang takkan tinggalkan Neli lama-lama seorang diri kat rumah!” bentaknya.

“Neli, abang…”

Tiba-tiba Nelydia memaut kukuh lengan sasa Abshar.

Membuatkan kata-kata Abshar mati.

Nelydia merenung sayu anak mata Abshar. Sekali gus membangkitkan rasa serba salah di benak Abshar. Terasa serba salah kerana menghancurkan kepercayaan Nelydia. Neli, abang minta maaf!

“Abang, tolong jangan tinggalkan Neli lagi!” rayunya.

Gulp, Abshar terteguk liur.

“Abang…”

Tiba-tiba telefon bimbit Abshar berdering nyaring menandakan ada panggilan masuk. Semerta Abshar menyeluk kocek seluarnya lalu mengeluarkan nama telefon bimbitnya. Melihat sebaris nama yang muncul di skrin, Abshar terkedu. Ah, sudah!

Dia mengangkat muka memandang Nelydia.

“Neli, abang kena jawab panggilan ni! Penting!” Dia segera meleraikan tautan tangan di lengannya, lalu menonong pergi ke dapur.

“Abang, Neli belum habis cakap lagi! Abang!” jerit Nelydia. Namun Abshar buat-buat tidak dengar panggilan Nelydia.

Nelydia menghentak kaki, geram dengan tindakan Abshar.

“QIS, kau satu-satunya kawan yang aku ada. Jadi, kau kena tolong aku dapatkan kerja ni! Aku sangat-sangat perlukan kerja sekarang ni! Kan kau managerkat Giant ni, takkan kau tak boleh nak tolong sumbat kawan kau ni jadi cashierkat sini? Tolonglah aku, Qis!” Bersungguh-sungguh Afiya merayu pada Qistina supaya menerimanya menjadi salah seorang tenaga pekerja di pasar raya Giant itu.

Qistina garu kepala tatkala Afiya berterusan merayu padanya. Ah, rasa serba salah pula pada satu-satunya kawan baiknya itu. Dia bukan apa, dia cukup gerun dengan sikap panas baran Afiya itu. Pantang tercuit sikit, pasti amarahnya meletus bak gunung berapi yang memuntahkan lavanya itu. Buatnya ada pelanggan termakihamun Afiya, bagaimana? Tidak pasal-pasal Afiya naik angin, sekali gus gadis itu dipecat! Dia tidak mahu Afiya kehilangan pekerjaan.

“Qis?” panggil Afiya.

Qistina tersentak.

“Tolong aku, ek?” rayu Afiya dengan mata sayu. Memancing simpati Qistina.

Qistina melepaskan keluhan panjang.

“Aku bukan tak nak tolong kau, Fiya. Aku…”

Afiya memuncungkan bibir.

“Takkanlah kau tak boleh tolong kawan sendiri kot?” Dia terus meletakkan diri Qistina dalam situasi serba salah.

Qistina jadi kalut mendengar kata-kata Afiya.

“Eh, bila masa pula aku kata tak boleh tolong kau, Fiya? Kau dah banyak tolong aku. Aku dah pasang niat untuk balas budi baik kau ni.” Laju dia membetulkan ayat Afiya. Tidak mahu gadis itu berfikir bahawa dia adalah kacang lupakan kulit.

Afiya mengukir senyuman.

“Haa… dah tiba masanya untuk kau balas budi baik aku ni, Qis!” Dia terus cucuk jarum.

Qistina tercengang.

“Haa?”

“Kau bagi aku kerja kat sini ya? Aku janji, aku dah tak minta apa-apa lagi lepas ni!” janji Afiya bersungguh-sungguh.

Qistina terus terdiam. Afiya sengaja buat dia serba salah tau!

“Qis, tolonglah aku!” rayu Afiya lagi.

Qistina melepaskan keluhan.

“Okeylah, aku tolong kau! Tapi…”

“Tapi apa?” Afiya menghela nafas lega.

“Kau kena janji dengan aku dulu!” Qistina menagih janji.

Berkerut dahi Afiya.

“Janji apa?”

“Janji yang kau takkan buat apa-apa masalah!” tegas Qistina.

“Aku janji!” Afiya menjongketkan tangannya ke atas, seperti melafazkan janji.

“Okey!” balas Qistina.

Sekali lagi Afiya menarik nafas lega. Syukurlah… mujur Qistina hendak membantunya!





Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab SINOPSIS | Bab PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku