OMBAK DAN MENTARI 2
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Februari 2017
Ini adalah versi kompilasi bagi Ombak dan Mentari
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
276

Bacaan






HARI BERGANTI. AKU KINI BERTUKAR kerja ke Pulau Pinang pula. Jarak antara rumahku dan tempat kerja baruku adalah kira-kira enam puluh kilometer. Aku terpaksa bangun seawal lima pagi untuk menyiapkan Mia sebelum dihantar ke rumah emak saudara Asyraf, selepas itu terus memandu selaju mungkin menerusi lebuh raya dan Jambatan Pulau Pinang, untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di pulau dan juga mengelak dari punch card merah. Gelut dan letihnya, hanya Allah sahaja yang tahu. Apa lagi Asyraf jarang ada untuk melihat-lihat kami anak beranak.

Petang pula, aku hanya tiba ke rumah bila hari sudah gelap. Sesampainya aku di rumah ibu mertuaku, aku akan terkocoh-kocoh mandi sekadaran, kemudian bergegas ke rumah Mak Tam Ecah mengambil Nia dan menyusukannya.

Kala itu badanku makin susut, sehingga tinggal tiga puluh enam kilogram sahaja. Ditambah pula ketiadaan Asyraf, aku terpaksa berjaga malam tatkala Mia dan Nia sakit. Lalu tidurku semakin kurang, dan kualiti kerjaku mula menurun.

Pernah juga aku terfikir untuk berhenti, dan meminta Asyraf membawaku ke Kuala Lumpur. Tapi, melihat tidak balas Asyraf yang kasar setiap kali aku menyuarakan niatku, aku mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja. Lagipun, rakan sekerja di tempat baruku yang kebanyakannya berumur di awal empat puluhan, sangat baik denganku. Aku menganggap mereka seperti kakak dan abangku, walaupun ada yang berlainan bangsa. Tatkala berurusan dan berbual dengan mereka, aku dapat melupakan bebanan kehidupanku.

Suatu hari, aku ditegur oleh seorang pekerja bawahanku yang berbangsa India.

“Puan Suria, kenapa saya nampak wajah puan pucat dan tak gembira?” tanya wanita itu yang kupanggil Devi.

“Tak ada apa-apalah Devi. Saya hanya letih berulang alik jauh, dan tak cukup tidur malam menjaga anak,” balasku sambil melepas nafas kelelahan.

“Kenapa puan tak sewa sahaja rumah dekat dengan tempat kerja?” tanya Devi dengan wajah simpati.

“Tak boleh, Devi. Ibu mertua saya tu... tak boleh berpisah dengan anak sulung saya...,” balasku, mengharapkan dia faham.

“Oh! Puan tinggal dengan ibu mertua?” Devi bertanya seperti tidak percaya.

“Hm... itulah hakikatnya, Devi,” balasku sambil tersenyum menyerigai.

“Suami puan ada di mana?” Devi belum selesai bertanya. Nampaknya dia seperti sukar menerima.

“Suami saya kerja di Kuala Lumpur,” balasku, tidak menjangkakan apa-apa.

“Baiknya puan ni...,” riak suara Devi mula kedengaran aneh. “Puan bahagiakah hidup macam tu?”

Serta-merta aku terdiam. Aku faham mengapa Devi bereaksi sedemikian. Dia juga sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Tentu dia lebih faham dilema ibu bekerjaya.

Wajah Devi kutenung seketika. Sambil melepaskan sedikit keluhan, aku membalas, “Entahlah Devi, saya sudah lama melupakan hasrat untuk bahagia itu... .”

Devi kelihatan semakin sukar menerima.

“Kami orang India moden ni, memang tak sanggup tinggal dengan mertua. Banyak masalah, puan,” ucapnya, serius. “Apa tujuan puan kahwin dengan suami puan, kalau bukan untuk bahagia. Puan yang tanggung semua kesusahan, dan dia di sana hanya jaga dirinya sahaja. Kalau saya jadi puan, sudah lama saya minta cerai!”

Wah! Itulah ayat paling berani yang aku pernah dengar selama ini. Nampaknya aku terpaksa mendengarnya dari bangsa lain. Allahu akbar!

Tidak kunafikan, ada benarnya kata-kata Devi itu. Mungkin aku yang terlebih beralah. Mungkin aku terlalu kasihkan Asyraf, lalu aku tidak berani membantahnya. Atau mungkinkah masih kuat ‘buatan orang’ seperti yang pernah kutahu.

Devi, kalaulah aku mampu sekeras kamu!

MUSIM DEMAM. MIA DAN NIA DEMAM PANAS sehingga meracau-racau. Zarin anak Aida yang seumur dengan Nia juga demam teruk sehingga tarik dan terpaksa ditahan di wad. Aku terpaksa ambil cuti beberapa hari untuk menguruskan mereka berdua ke klinik dan jadual makan ubat. Aku semakin kurang rehat dan tidur. Asyraf pula tidak dapat pulang dan melepaskan tanggungjawab itu pada ibu dan ayahnya.

Aku kembali dapat merasa tanganku menggeletar dengan lebih kerap. Sesekali, pandangan mataku gelap seketika. Ada kalanya, aku berasa setiap yang kupandang tidak jelas kerana diiringi titik-titik putih yang tidak kupasti puncanya.

Adakalanya, aku berbaring di tempat kerja kerana tulang belakangku terasa perit. Pegawai-pegawai bawahanku yang bersimpati denganku hanya mampu menggeleng dan ada kalanya membancuh milo untukku.

“Puan pergilah jumpa doktor... tengok apa masalah sebenar puan,” pinta Haji Badrul, pegawai bawahanku yang berumur empat puluh lima tahun itu.

“Nantilah, saya kena cari masa juga, Haji...,” balasku, tawar.

“Saya kasihan tengok keadaan puan ni. Kalau ikut kepakaran saya sebagai pembantu perubatan ni, puan ni ada masalah kesihatan yang perlukan rawatan,” tokoknya lagi, bersungguh-sungguh.

“Yalah, nanti saya beritahu Doktor Anita, minta tengokkan sakit Puan,” Mr Samy yang turut rapat denganku sama mempelawa untuk membantu.

“Tak mengapa, Mr. Samy... Haji... nanti saya pergi buat check up, ok...,” balasku, menolak dengan lembut. Walaupun mereka berdua prihatin, aku malu juga sebab mereka berdua lelaki.

Mengambil nasihat mereka yang prihatin ini, aku bertemu Doktor Anita untuk membuat pemeriksaan kesihatan, namun tekanan darahku, degupan jantung dan paras gulaku berada pada tahap normal.

“Puan Suria tiada masalah dari segi ini, tapi mungkin ada isu lain. Cubalah buat pemeriksaan lagi. Hari ini saya beri vitamin sahaja dahulu, ya,” ujar Doktor Anita, sambil menulis nama ubatan untuk kuambil di farmasi.

Itulah yang sememangnya telah kujangka. Setiap kali aku bertemu doktor, aku akan diberi vitamin. Namun, seperti yang doktor Anita sarankan, aku perlu membuat pemeriksaan yang lebih rapi lagi. Mungkin ia mengambil masa sebelum aku tahu apa masalah sebenar ya g aku hadapi.

Pagi itu aku bertolak keluar dari rumah agak awal berbanding hari biasa untuk ke tempat kerja. Tujuannya adalah supaya aku tidak perlu terkejar-kejar di atas jambatan Pulau Pinang nanti.

Kereta pun masih belum banyak, jadi aku dapat memandu dengan selesa. Sambil memandu, mataku sesekali memandang melalui cermin untuk melihat trafik di belakang.

Entah mengapa, perhatianku tertarik pada sebuah kereta berwarna merah di belakang. Sebenarnya, aku memang berminat dengan warna merah hati. Objek dengan warna tersebut biasanya akan menarik perhatianku.

Entah mengapa, tiba-tiba pandanganku gelap, dan aku hilang kesedaran untuk satu jangka masa yang tidak dapat kupastikan. Aku tersedar kembali dan sangat terkejut apabila menyedari, kereta berwarna merah hati tadi sudah memotong keretaku dan kini berada jauh di hadapan.

Aku sempat mengucap berkali-kali, dan rasa bersyukur yang amat sangat kerana keretaku masih berada di atas lorong pertama.

Tidak dapat kubayangkan, apa yang akan terjadi jika sewaktu aku tidak sedar tadi, keretaku berubah arah. Tentu sudah lama aku terjun ke dalam laut, atau keretaku hancur menghentam tebing.

Aku menelan air liur. Waktu itu aku bersyukur pada Allah kerana belum mentakdirkan aku untuk mati. Mungkin kerana doa orang-orang di sekelilingku, atau Allah mahu aku berada di sisi anak-anakku yang masih kecil.

Kejadian pagi itu tetap kekal dalam ingatanku. Jika mengikut perkiraanku, ini bukan kali pertama aku hilang kesedaran. Sebelum ini aku pernah menghadapinya sewaktu aku berada di rumah. Jadi, ianya tidak membahayakan nyawaku. Tapi kejadian hari ini membuatkan aku semakin yakin bahawa kesihatanku memang ada masalah.

SUATU PETANG SEWAKTU AKU TIBA DI RUMAH ORANG tua Asyraf, aku kehairanan kerana Nia telah sedia ada di rumah, bermain-main dengan Mia. Asyraf juga rupa-rupanya pulang hari itu. Mungkin kerana kali ini cuti syifnya jatuh pada hari aku bekerja.

Aku menyalami Asyraf dalam keadaan masih tertanya-tanya. Selepas itu aku duduk bersimpuh di sisinya sambil mula menanggalkan tudung kepalaku.

“Abang ambil Nia dari rumah Mak Tam?” tanyaku, sambil melemparkan pandangan pada kedua-dua orang anak kami yang leka bermain. Nia masih lembut dan baru boleh duduk sendiri.

“Tak... mak yang ambilkan,” balas Asyraf, ringkas.

“Kenapa, bang? Apa yang dah jadi?” tanyaku khuatir.

“Abang pun tak pasti apa yang jadi. Tapi, mak hendak mengasuh Nia pula,” balas Asyraf.

Aku serta-merta memandang wajah ibu mertuaku. Memang jelas kelihatan wajahnya seperti menyimpan sesuatu rahsia.

“Tapi, bukankah mak sudah mengasuh Mia dan Zarin. Laratkah dia?” tanyaku lagi.

“Bolehlah agaknya,” balas Asyraf, tidak begitu khuatir nampaknya.

“Tapi Suria dah bayar duit mengasuh untuk bulan ni pada Mak Tam semalam. Rugi tau... ni baru awal bulan,” selarku pula, tidak puas hati dengan mereka yang membuat keputusan tanpa merujuk padaku.

“Tak apalah, Suria niatkan duit tu sebagai sedekah pada Mak Tam,” balas Asyraf, selamba.

“Apa yang jadi sebenarnya, bang. Tiba-tiba sahaja mak bertukar fikiran ni,” aku bertanya, tetapi lebih kepada bercakap pada diri sendiri.

“Cuba Suria tanyakan pada mak, tak guna meneka dalam kesamaran,” usul Asyraf apabila melihat aku pening pening berfikir tanpa jawapan.

Aku berhenti berbicara. Betul juga cadangan Asyraf itu. Nantilah, lewat malam sedikit aku akan berbincang dengan ibu mertuaku, selepas Mia dan Nia tidur nanti. Selalunya, ibu Asyraf akan memotong daun pisang untuk dibuat bungkusan nasi lemak sewaktu lewat malam.

Malam itu tahulah aku cerita sebenar. Rupa-rupanya, Mak Tam Ecah telah bercerita bahawa ibu Asyraf membeza-bezakan kasih sayang antara cucu-cucunya. Ada yang disayang lebih, dan ada yang tidak dipedulikan. Apabila cerita itu sampai pada ibu mertuaku, dia berasa sangat sedih, lalu bertekad untuk mengasuh Nia sendiri.

“Tak apa, Suria boleh berjimat sedikit, tak perlu dah bayar duit mengasuh pada orang lain,” ucapnya dalam kesedihan.

“Lagipun, Mia tak boleh berpisah dengan Nia. Dia marah dan tanya, kenapa kena hantar adik ke rumah orang. Dia kata, dia nak main dengan adik,” ujar ibu mertuaku lagi, sedikit ketawa, kerana mengenangkan telatah Mia yang keletah itu.

Aku tak tahu apa yang harus kulakukan. Aku tak mahu Mak Tam berkecil hati kerana tiba-tiba Nia tidak dihantar mengasuh. Aku juga tak mahu ibu Asyraf kelelahan kerana teruk menjaga tiga orang cucunya. Bila ditanya pendapat Asyraf, dia kelihatan seperti sudah selesa jika ibunya yang mengasuh Nia. Tiada apa-apa masalah pada pandangannya. Malahan boleh berjimat.

Aku ada terdengar Aida merungut, tentang ibunya yang sudah tidak kuat lagi untuk mengasuh ramai cucu. Anaknya, Zarin juga jenis budak yang lasak. Dia tahu ibunya tidak mampu.

“Abang tu tinggal jauh, mana dia tahu masalah mak? Dia balik sesekali, semua dah orang siapkan untuk dia,” ujar Aida yang memang kuakui kebenarannya.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk membayar Mak Tam untuk sebulan lagi. Manalah tahu, jika ada masanya ibu mertuaku tidak mampu, boleh juga Mak Tam Ecah datang membantu.

Mak Tam Ecah pun satu masalah juga. Mengapalah disebut tentang beza kasih sayang itu. Ibu mertuaku seorang yang sensitif. Walaupun dia tidak membalas kata-kata orang yang berkasar mulut dengannya, ingatannya pada kata-kata mulut mereka kekal lama. Dia akan bersedih berhari-hari. Aku tahu benar sikapnya itu.

Ya Allah, aku mohon kepada-Mu, supaya Kau berikan aku kematangan tatkala aku menginjak ke umur tua.

WALAUPUN AKU MEMBAYAR MAK TAM ECAH bulan berikutnya, ibu mertuaku tetap berkeras mahu mengasuh Nia. Mak Tam yang telah sedar kesilapannya, terpaksa menerima situasi itu. Bulan seterusnya, dia langsung menolak duit mengasuh yang aku hulurkan padanya.

“Tak apalah Suria, Mak Tam dah tak mengasuh Nia pun. Tak perlulah Suria bayar pada Mak Tam,” ujarnya, seperti terkilan.

Aku pun tidak tahu apa yang harus aku katakan. Mak Tam Ecah juga mengembalikan baju-baju Nia yang ada di rumahnya. Begitu juga raga, termos, botol susu dan lain-lain peralatan bayi.

Aku tidak selesa dengan keadaan itu sebenarnya. Aku dapat melihat betapa letihnya emak Asyraf menguruskan cucunya bertiga. Tambahan pula Nia lambat berjalan dan harus didukung. Zarin pula sangat lasak.

Pernah sekali, sewaktu aku pulang dari kerja, Aida dengan kasarnya mengambil Nia dari ibunya lalu diberikan padaku yang belum sempat menyalin pakaian. Dia sempat pula berkata, “Nah, ambil Nia ni, mak dah penat mengasuh sehari!”

Syukurlah kerana Allah memberi aku mulut yang berat, dan akal yang perlu menimbang lama sebelum bercakap. Kalau tidak, tentu aku telah membalas, “Kak Suria tak minta pun mak jagakan Nia. Dah elok Mak Tam mengasuh, mengapa diambil?” dan aku juga ingin berkata, “Aida ni... biar emak jaga Zarin, tak kasihankah pada mak?”

Namun, mengenangkan aku mesti menjaga hati mereka, dan Allah menyuruh hambanya bersabar, maka semua itu kutelan sahaja. Tiada gunanya bergaduh pun, tiada kebaikannya selain hanya memutuskan lagi silaturrahim.

Kesihatanku masih sama, walaupun setelah mengambil vitamin yang dicadangkan Doktor Anita. Selepas kejadian di atas jambatan Pulau Pinang itu, aku kerap juga pitam dan terjatuh. Pernah sekali, sewaktu aku mengangkat kain di ampaian, aku tiba-tiba jatuh di atas kain baju yang telah bertaburan. Mak Teh Noni yang ada pada waktu itu memekik-mekik memanggil Asyraf yg kebetulan balik bercuti. Asyraf terus menggendong aku ke dalam bilik dan sempat pula marah pada aku sewaktu aku sedar semula.

“Kalau dah tahu tak larat, mengapa digagahkan juga. Biar saja tak perlu kalut nak buat kerja!”

Aku berasa geram juga mendengar rungutannya itu. Masakan dia tidak sedar, hari sudah lewat petang dan tiada siapa peduli untuk mengangkat kain di ampaian. Asyraf sendiri memang tak akan membuat kerja-kerja yang dianggap keperempuanan. Dia ada egonya yang tersendiri.

“Abang, bila lagi abang nak bertukar ke sini. Hari tu abang janji hendak dapatkan bonus dahulu, kan? Sekarang, bonus pun dah habis... bila lagi, bang?” aku masih menagih janjinya.

“Tunggulah dulu, abang dah tanya kerja-kerja yang ada di sini... tapi tiada yang sesuai,” balas Asyraf, serius. “Suria ni pun, tak bolehkah kalau tak gesa abang?” ucapnya lagi seperti terganggu.

“Macam ni pun abang boleh kata Suria menggesa abang? Abang tak tahu, kalau orang lain, sudah lama jadi perang dunia ke tiga. Suria ni sabar juga, tahu tak?”

“Ish!” Asyraf mula bosan melayan percakapanku lalu segera keluar dari bilik.

Tinggallah aku sendirian, menjadi penanti setia yang tidak tahu apa yang dinantikannya.

KEADAAN HIDUPKU MASIH SAMA, AKU masih menjadi penanti setia sehinggalah kelahiran anakku yang ketiga, Nazrin. Seperti Nia, Nazrin juga lahir tidak cukup bulan, iaitu seawal tiga puluh tiga minggu. Mungkin keadaan kesihatanku, dan pekerjaanku yang amat sibuk ini menyebabkan perutku tidak menahan kehamilan itu dengan lebih lama. Atas sebab itu, Nazrin terpaksa berada di bawah pengawasan hospital sehingga sepuluh hari. Pada mulanya, aku menunggu juga untuk menyusukan Nazrin, namun kerana terlalu lama, dan badanku mula sakit-sakit, aku meminta untuk pulang berubat di rumah orang tuaku, sementara Nazrin ditinggalkan di hospital. Setiap hari, aku akan memerah susu badan lalu dibekukan, dan dihantar ke wad bayi untuk diberikan pada jururawat yang menjaga Nazrin.

Sebenarnya, para doktor di situ pun hairan bagaimana Nazrin boleh selamat. Biasanya, bayi yang lahir pada umur kandungan tiga puluh tiga minggu, ataupun bayi lapan bulan, jarang hidup. Aku juga bersyukur yang teramat kerana Allah mengizinkan aku untuk menjaga anak ke tigaku walau apa jua masalah yang timbul.

Nazrin terlalu kecil ketika lahir. Kulitnya juga sangat gelap, apa lagi dia terpaksa berada lama di bawah cahaya ultraviolet kerana mengalami demam kuning yang serius. Kata doktor, hatinya belum cukup matang untuk memproses bilirubin keluar dari badannya.

Inilah dugaan terbesarku, membela anak tak cukup bulan tanpa suami di sisiku. Hanya Allah sahaja yang tahu. Nazrin mengalami masalah tulang yang sangat lembut, dan kepalanya terdongak bila diangkat. Mata hitamnya juga sering memandang ke atas, seolah-olah bayi yang menghidap sawan. Paru-parunya juga belum cukup matang dan mudah mengumpul kahak. Dia mudah termuntah bila didukung.

Memang sukar juga bagiku menjaga anak ke tigaku ini, ditambah lagi kedua-dua kakaknya belum pandai lagi.

Kala itu, aku terlupakan kesihatanku sendiri. Langsung tidak ingat untuk menjaga diriku. Apabila Nazrin masuk wad, aku terpaksa berjaga beberapa malam di hospital untuk menunggu anakku itu.

Waktu itu, Nazrin menghidap pneumonia yang serius. Asyraf pula terlalu sibuk di Kuala Lumpur, hingga tidak dapat pulang kerap.

Dugaan datang lagi, apabila ibu mertuaku tidak larat lagi menjaga kesemua anak-anakku. Waktu itu dia sudah mula kurang sihat. Aku semakin pening dengan masalah yang datang bertimpa-timpa.

“Kenapa Puan Suria, macam ada masalah sahaja?” Haji Badrul menegurku pada suatu pagi. Aku yang sedang mengacau cawan miloku perlahan-lahan, tersentak tiba-tiba. Hampir tertumpah air milo itu jika tidak sempat kutahan cawannya dari terbalik.

“Terkejut saya... Haji ni, lain kali berilah salam...,” rungutku pada Haji Badrul yang tersengih macam kerang busuk.

“Itulah, Puan mengelamun sampai tak sedar saya datang,” balasnya, tersengih lagi. “Macam ada masalah sahaja,” ucapnya lagi, ikhlas.

“Itulah, anak kecil saya tu asyik sakit sahaja,” aku bercerita sambil melepas nafas yang agak sesak.

“Oh! Anak yang thirty three weekers tu ya?” tanya Haji Badrul, meminta kepastian.

Aku mengangguk-angguk seketika sebelum menghirup milo panas yang baru kukacau tadi. “Sekarang ni, tiba-tiba pula saya kena carikan pengasuh baru untuk anak-anak saya. Kalau boleh saya nak cari pengasuh di sekitar sini sahaja, supaya senang saya tengok bayi saya yang sakit tu... .”

“Oh! Cuba Puan Suria pergi ke taska hospital. Setahu saya ada diskaun untuk staf. Lagipun, Puan Suria bolehlah tengok-tengokkan anak puan waktu rehat,” cadang Haji Badrul dengan bersungguh-sungguh.

Bernas juga cadangannya itu. Namun, aku terfikir juga, bukan mudah menyiapkan tiga orang anak yang masih kecil di awal pagi, kemudian mendukung seorang demi seorang ke dalam kereta, dan seterusnya bergegas memandu ke lebuh raya dan Jambatan Pulau Pinang, bersendirian.

Hanya Allah yang tahu dilema yang aku hadapi sebagai ‘ibu tunggal’ yang masih bersuami ini.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab SINOPSIS | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku