KESETIAAN
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Februari 2017
Boleh follow saya di: Blog- karyapenaputera.blogspot.com Wattpad- PenaPutera Terima kasih dan selamat membaca!
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
362

Bacaan






29 tahun yang lalu, Kota Bharu, Kelantan…

UIYANA memandang ukiran seni yang menambat hatinya bila memandang. Seperti dia dapat menafsir sebuah maksud melalu corak ukiran itu. Seolah ada jalan cerita yang tersembunyi di sebalik kesenian ukiran itu. Dia menilik satu persatu. Inilah dia… Jauh berbeza dari orang lain. Menyukai kesenian dan amat meminatinya. Berbanding dengan teman-temannya yang lain, minat dia dan mereka jauh berbeza.

Cita-citanya adalah menjadi seorang pereka fesyen muslim dan muslimah. Mengangkat martabat pakaian wanita Islam di mata masyarakat dan seterusnya mata dunia. Biar semua negara yang berada di atas muka bumi ini tahu, apa itu pakaian muslim dan muslimah.

Tinggi benar impiannya. Setinggi di langit. Biarlah angannya setinggi itu, asalkan usahanya juga sama tingginya. Tiada yang sia-sia kalau kita melakukan sesuatu yang baik, bukan? Tidak mendatangkan kerugian, sebaliknya keuntungan untuk kita dan yang lain.

“Amazing! Superb work!” Uiyana memandang sepasang kekasih warga asing yang sedang memuji hasil kerja seni orang tempatan. Dia senyum bangga. Semangatnya bertambah melihat itu. Dia bangga, bila orang luar hargai kesenian itu.

Kesenian yang tidak ternilai harganya.

“Cik…”

Uiyana memandang ke arah lelaki itu. Dia tersenyum dengan tanda tanya di kepalanya. Siapakah gerangan lelaki itu? Kenapa lelaki itu menegurnya?

“Ada apa-apa yang saya boleh bantu?”

“Sebenarnya, boleh tak kalau saya kenal nama cik? Itupun kalau tak keberatan.”

“Untuk urusan apa?”

Lelaki itu merona merah pipinya. Tertawa kecil Uiyana yang melihatnya.

“Maaflah. Tapi, kalau bukan untuk urusan yang penting… Saya tak boleh beri. Nama saya adalah identiti saya. Ia juga boleh jadi privasi saya. Saya tak boleh dedahkannya kepada orang yang saya kenal.” Uiyana beredar pergi namun lelaki itu terus mengekori Uiyana. Dia tidak mahu mengalah seawal ini.

“Tapi, jika nama yang saya inginkan, tak mungkin cik keberatan? Bukankah begitu?”

Uiyana memandang lelaki itu. “Saya betul-betul minta maaf. Nama saya, adalah privasi saya. Saya harap encik menghormati saya. Terima kasih.” Uiyana cepat-cepat melangkah pergi. Dia tidak kuasa melayan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

Sewaktu dia mahu keluar, sebuah motorsikal datang menghampirinya. Hampir saja beg tangannya mahu ditarik. Menjerit Uiyana meminta pertolongan. “Tolong! Tolong!” Tangan Uiyana masih kuat memegang begnya kemas.

Terus lelaki tadi muncul membantu Uiyana. Ditendangnya motorsikal itu sehingga terjatuh kedua-dua penunggan itu. Dia baru saja mahu menangkap kedua-duanya, namun sudah lintang-pungkang mereka lari meninggalkan motorsikal yang terjatuh. Lelaki itu yang mahu mengejar, melupakannya bila dirasakan keselamatan Uiyana sudah terjamin.

“Awak tak apa-apa?” soal lelaki itu memandang Uiyana. Dia menggeleng dan mengambil begnya yang terjatuh.

“Terima kasih sebab tolong saya. Kalau awak tak ada tadi, entah apalah jadi pada saya.”

“Ini juga tugas saya. Untuk melindungi awak dari sebarang ancaman dan bahaya yang mendatang.”

“Tugas awak?” soal Uiyana semula, meminta kepastian.

“Tak… Maksud saya… Ermm…”

Uiyana tertawa lagi bila lelaki di hadapannya sudah tergagap mahu menjawab. Senyuman di bibirnya semakin lebar. Dia memandang wajah lelaki itu.

“Nama saya Uiyana. Awak nak panggi saya Uiyana ataupun Yana pun boleh.”

Lelaki itu memandang Uiyana serius. Dia tidak menyangka bila wanita itu mahu memperkenalkan dirinya. Bagai baru menerima kejutan elektrik yang telah menyengat hatinya, dia terdiam.

“Awak tak nak kenalkan diri awak.” Uiyana bertanya.

“Oh! Nama saya Firdaus. Awak boleh panggil saya Daus.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada Uiyana.

“Kalau saya panggil awak Firdaus, bolehkan? Lebih sedap bunyinya.”

“Maaflah. Yang panggil Firdaus hanya ahli keluarga saya saja. Melainkan kalau…” Firdaus tidak menyambung katanya namun dia hanya tersenyum makna. Uiyana tersengih malu bila Firdaus berkata demikian.

Bunga di hati, mula bertaman….

“UMI, Uiyana sebenarnya ada perkara nak cakap. Kalau emak tak keberatan, boleh tak kalau berikan keizinan untuk Uiyana… bawa buah hati Uiyana?” pinta Uiyana lembut kepada ibunya. Puan Marinah yang mulanya tersenyum ceria, berubah kelat wajahnya.

“Kamu merepek apa ini? Kahwin dengan siapa? Bukan walid dah kata, kamu mesti kahwin dengan pilihan kami? Kamu jangan nak buat macam-macam. Keputusan telah muktamad dan kami telah tetapkan tarikh perkahwinan kamu. Jangan nak buat hal. Malu kita dengan keluarga pihak belah lelaki.” Puan Marina membantah sekeras-kerasnya.

“Tapi, umi janji dengan Uiyana, yang kalau Uiyana jumpa dengan lelaki pilihan Uiyana, umi akan lupakan perkahwinan itu dan ikut pilihan Uiyana. Umi lupa pada janji itu?”

“Tidak. Umi tidak pernah lupakan janji itu. Tapi, kamu yang lupa. Umi beri tempoh sebulan, tetapi sekarang, sudah lebih dari sebulan umi menunggu pilihan kamu namun tidak kunjung jua. Maka, kamu yang sepatutnya tunaikan janji kamu.”

“Umi, tolonglah. Uiyana merayu sangat.” Uiyana terus memujuk uminya yang masih berdegil.

“Umi sanggupkan memilih orang lain daripada kebahagiaan anak umi sendiri?”

“Apa yang umi lakukan sekarang, inilah untuk kebahagiaan kamu! Sudah, selepas ini jangan kamu bangkitkan lagi hal ini. Umi tidak suka!” Puan Marinah bangun dan melangkah pergi dari situ. Meninggalkan anaknya yang masih terdesak demi sebuah cinta.

“HABIS, apa yang patut kita buat seterusnya?” Firdaus memandang Uiyana yang juga sudah mati kutu memikirkan jalan penyelesaiannya. Mereka berdua tidak tahu lagi apa mahu buat untuk mempertahankan cinta mereka.

“Yana pun tak tahu nak buat apa lagi. Umi dan walid seperti tidak merestui hubungan kita. Yana tak mahu berpisah. Yana sayangkan awak. Firdaus, awak buatlah sesuatu. Tak akan cinta kita terkandas di sini?”

“Yana, saya pun tak nak semuanya berakhir secepat ini. Tetapi, perintah orang tua, wajib kita patuhi. Kalau tidak, berdosa jika kita ingkar arahan mereka. Kita boleh jadi anak derhaka. Awak tahu tak itu, Yana?”

Uiyana tersenyum sinis. “Macam mana pula dengan ibu bapa yang lebih mementingkan diri mereka berbanding dengan anak mereka? Cuba awak jelaskan.”

Firdaus tidak menjawab. Dia membuang pandang ke pokok-pokok di hadapannya yang berbaris. Kalaulah Malaysia ini bermusim bunga, pasti taman bunga ini mengindahkan panoramanya. Tetapi, tanpa musim bunga pun sudah seindah ini.

“Saya dah tekad. Saya akan lari,” putus Uiyana tiba-tiba.

“Apa?” Firdaus memandang Uiyana dengan penuh terkejut.

“Demi cinta kita… Saya akan lakukan apa saja. Walaupun saya terpaksa korbankan diri saya.”

Bunga mawar yang cantik dipandang, mula menunjukkan durinya.

PERLAHAN-LAHAN Uiyana menguak tingkapnya. Dia menjatuhkan simpulan kain-kain untuk dijadikan talinya untuk turun dari tingkap biliknya ke bawah sana. Dia tekad, malam ini dia akan mencari bahagianya sendiri. Tiada apa yang boleh menghalangnya lagi. Dicampakkan beg bajunya ke bawah. Mujurlah tidak kedengaran kuat impak jatuhnya itu.

Dia menggeletar mahu turun. Gayat. Uiyana memang gayat dengan ketinggian. Namun, dia telah dibutakan dengan cinta. Tidak ada hal sangat tentang gayat itu.

Sampai saja kakinya menjejak tanah, dia terus membawa begnya dan mula melarikan diri di sebalik pagar rumah.

Sebelum dia meninggalkan rumahnya, sepucuk surat telah dia tinggalkan di atas meja soleknya. Terkandung ucapan selamat tinggal buat orang tuanya.

Maafkan anakmu… Umi, walid.

“ABANG!”Puan Marinah menjerit memanggil suaminya. Tergesa-gesa Encik Marhan mendekati isterinya yang sudah menangis teresak-esak. Kelihatan sepucuk surat di genggaman tangan isterinya. Dia ambil dan baca. Hasil pembacaanya, menimbulkan rasa kecewa pada dirinya.

“Sampai hati anak kita buat macam ini. Kenapa dia tinggalkan kita? Kenapa dia tak dengar kata kita?” keluh Puan Marinah.

Encik Marhan menarik isterinya ke dalam pelukan, memujuk isterinya untuk bawa bertenang. “Sabarlah, Marinah. Abang akan cari Uiyana, tak kira apa pun yang akan jadi. Abang akan pastikan, Uiyana akan kembali ke sini. Tidak kira apa juga yang melanda. Dia milik kita!” tegas Encik Marhan.

Puan Marinah lega. Dia percaya dan pegang janji suaminya.

Suaminya tidak pernah menghampakannya.

“Kalau begitu, macam mana dengan perkahwinan Uiyana? Malu, bang… Malu… Mana nak letak muka ini? Apa kata pihak sana nanti?” Puan Marinah mula risau.

Encik Marhan mengusap dagunya. “Macam inilah. Kalau kita tak jumpa Uiyana dalam masa terdekat ini, kita tangguhkan dulu perkahwinan mereka. Lagipun, janji dan dibuat. Tak baik pula kita mungkirinya.”

“Baru saya teringatkan sesuatu. Uiyana mesti larikan diri untuk lelaki itu!”

“Lelaki yang awak maksudkan siapa?”

“Uiyana ada kata yang dia memiliki buah hati, tetapi saya tentang sebab kita dah rancang nak kahwinkan Uiyana dengan orang lain. Mungkin sebab itu Uiyana memberontak dan dia larikan diri,” jelas Puan Marinah berdasarkan kesimpulan yang dapat dibuat.

“Dasar anak tak kenang budi! Setelah apa yang kita beri selama ini, tergamak dia buat begini?” Encik Marhan menggenggam tangan kuat sehingga jelas kelihatan urat timbul di tangannya. Menunjukkan yang dia benar-benar marah kini.

Puan Marinah tidak bersuara lagi. Dia gerun mahu membalas kata-kata suaminya. Bila suaminya sedang marah, lebih baik kalau dia cuba membiarkan suaminya sendirian. Agar tempiasnya tidak terkena padanya.

Jauh di sudut hati Puan Marinah, dia tetap risaukan anak gadisnya. Hati seorang ibu, penuh dengan kasih sayang. Bila sudah jadi begini, tentu saja hati seorang ibu menangis. Mencari-cari bayang anak.

Kenapalah Uiyana tergamak melakukan perkara ini?

-Bersambung pada Isnin hadapan-



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
TEASER | Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku