Musibat
Bab 5
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Februari 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1293

Bacaan






Bab 5


Pukul 11.30 malam. Mereka berhenti rehat seketika. Zin mengelap peluh yang merecik di dahinya. Dia melihat tangannya yang langsung tidak merah walaupun memukul gendang dengan kuat.

“Kamu tengok apa?” tegur Rostam.

“Saya hairan. Saya pukul dengan kuat gendang ini. Tapi tangan saya tidak berasa sakit atau merah.”

Pak Dir tersengih. Dia sedang mengulung rokok daunnya.

“Ertinya kamu sudah mula serasi dengan gendang tersebut.”

“Boleh ceritakan macam mana asal usul gendang ini?”

“Kabur,” pintas Helmi.

“Maksudnya.”

“Cerita diturunkan secara lisan turun temurun. Ada yang ditokok tambah atau terkurang semasa proses penceritaan,” kata Rostam.

“Termasuk kisah kulitnya diperbuat dari…”

“Sudahlah mari sini saya cerita sedikit. Kamu tahu, semua barang-barang purba ini ada semangatnya. Itu kepercayaan orang dahulu kaya. Dahulu semua kedatangan Islam, kita berpegang kepercayaan animisme.”

“Natang apa tu Pak Dir? Anime?”

“Bukan animelah. Itulah banyak tengok cerita kartun. Belajar malas. Anismisme itu kepercayaan kepada kuasa alam. Contoh gadis dikorbankan supaya tanaman menjadi,” sampuk Helmi.

“Oooo. Ish. Dashyat juga. Sampai nak korban manusia bagai.”

“Kemudian… kita orang Melayu dipengaruhi oleh agama Hindu-buddha. Pengaruh dewa dewi kayangan mempengaruhi pemikiran kita. Dan semua peralatan yang kita ada di dalam bilik ini berasal dari zaman tersebut.”

“Adakah korban pernah dilakukan?”

“Kita tidak tahu. Mungkin ya. Mungkin tidak.”

“Sebab itulah kita kena ikuti pantang larang. Sebab kita hormati benda yang dah wujud lama daripada kita,” nasihat Pak Dir.

Zin hanya mengangguk tetapi banyak persoalan yang tidak dapat dijawab.

“Semakin lama kamu sertai kami… kamu akan faham,” kata Helmi.


Latihan seperti biasa tamat pukul 2 pagi. Mata Zin sudah mula mengantuk. Badannya juga letih. Kali ini dia balik dengan memikul gendangnya di bahu. Dia kena ikut pantang larang dan adab. Sunyi dan sepi laluan ke rumahnya. Mujur kali ini gendang tersebut tidak terasa berat seperti tadi. Malah terlalu ringan pula dirasakan.

Seperti biasa laluan belakang sangat sunyi. Dada Zin berdebar-debar. Ikutkan hati memanglah takut. Tapi dia tidak ada alternatif lain. Dia perlu balik juga ke rumah. Motornya tidak sampai lagi. Sesekali kedengaran bunyi unggas.

“Uottt….uotttt,”

Zin berhenti melangkah. Kedengaran bunyi burung di belakangnya. Dia segera menoleh ke belakang. Dalam samar-samar malam dia melihat sesusuk tubuh wanita mengandung berjalan masuk ke pintu belakang istana. Rambutnya panjang. Wajahnya tidak kelihatan. Rambutnya panjang dan menutupi sebahagian mukanya.

“Siapa pula tu?” soal Zin.

Wanita itu menghilang masuk ke dalam istana.

“Pagi-pagi buta ini ada yang masuk ke istana? Siapa pula? Perempuan mengandung? Jubah kuning? Ada ke pekerja mengandung? Tapi kerja apa yang dibuat di dalam istana malam-malam buta ini?” bermacam soalan diajukan kepada dirinya sendiri.

Zin memusingkan badannya lalau berjalan menuju ke rumahnya. Setelah berada di dalam rumah Zin meletakkan gendangnya di atas katil. Dia mahu membersihkan diri dan menukar pakaian. Sebaik sahaja Zin selesai mandi, dia masuk ke dalam bilik.

“Alamak. Aku lupa tutup pakai kain kuning ke tadi?” soalnya sendiri selepas melihat kain kuning jatuh ke lantai.

Kain kuning dimabilnya dan digunakan untuk menutup gendang.

“Macam perempuan mengandung gendang ni. Pelik juga rekaan gendang ini. Bahagian kepala macam gendang biasa. Di bawah ada bonggol. Bila tutup dengan kain kuning, macam perut ibu mengandung. Entah-entah mitos itu benar tak?” katanya sendiri.

“Di kala ku merindukan keluhuran dulu kala
Kutembangkan nyanyi dari lagu Gending Sriwijaya
Dalam seni kunikmatkan lagi zaman bahagia
Berkumandang dari puncaknya Siguntang Maha Meru”

Sayup-sayup kedengaran suara mendayu seorang perempuan menyanyikan lagu yang tidak pernah didengari oleh Zin.
"Lagu apa tu? Siapa yang menyanyi tengah-tengah malam buta ?Takkan Pak Dir buka lagu lama?Motif ? Hendak takutkan aku? Atau jiran. Tapi tidak mungkin. Takkan jiran aku suka dengar lagu lama.Jauh bunyinya," soal Zin.

Dia membuka tingkap untuk mendengar dengan lebih jelas. Tidak kedengaran lagi suara nyanyian. Hanya kedengaran suara unggas bersahutan.

"Hairan..." gumamnya lalu menutup tingkap.

Apabila tingkap ditutup sesusuk tubuh wanita mengandung muncul di sebalik pokok.

Zin menutup lampu. Dia berbaring. Matanya sangat mengantuk. Akhirnya dia terlelap. Sebaik sahaja Zin terlelap, muncul bayang hitam sesusuk tubuh ibu mengandung di sebalik tingkap. Semakin lama semakin hampir dan menembusi tingkap. Wajah lembaga itu memandang Zin yang sudah ketiduran dan tidak sedar diperhatikan. Lembaga itu berbaring di sebelah zin. Dia memandang Zin sayu. Tangan kirinya mengusap perutnya yang memboyot.

“Sampai bila gue mahu disiksa begini?” katanya sayu.

Zin memusingkan badannya ke arah lembaga tersebut. Kini wajah bertentang wajah.

“Aku mahu bersemadi dengan aman… bukannya menjadi tawanan,” kata lembaga itu sayu.

Zin mengaru-garu badannya.

“Huuuu… huuuuu,”

lembaga itu menangis. Air mata darahnya mengalir. Zin tidak sedar kerana tidur mati.


Pengawal istana kini melakukan rondaan kedua. Kali ini dia perlu melakukan rondaan di kawasan belakang dimana kuarters bujang berada.

“Ini aku malas kalau syif malam. Mesti seorang diri kena meronda kawasan sini. Siang tidak mengapa. Belakang ini macam kawasan jin bertendang!” omelnya.

Dia sudah berada berhampiran rumah Zin. Keadaan rumah Zin agak gelap.

“Mungkin budak muda itu sudah balik atau tidur. Sudah pukul 3 pagi. Ish… teringat pula tadi ada lembaga atas badan dia. Janganlah terserempak. Minta simpang,” katanya sendiri.

““Di kala ku merindukan keluhuran dulu kala
Kutembangkan nyanyi dari lagu Gending Sriwijaya
Dalam seni kunikmatkan lagi zaman bahagia
Berkumandang dari puncaknya Siguntang Maha Meru”

Kedengaran suara wanita menyanyikan lagu. Jantung pengawal mula berdebar. Dia kenal benar dengan lagu tersebut. Dan dia tahu siapa menyanyikan. Mereka pernah bertembung.

“Seroja. Arghhh sudah,” katanya takut.

Badannya mula terasa seram sejuk. Dia melihat ke arah tingkap rumah Zin. Kelihatan bayang hitam perempuan mengandung berdiri di tingkap. Apa lagi mencicitlah pengawal tersebut melarikan diri. Dari jauh kedengaran suara menangis mendayu-dayu. Pengawal tersebut lari tanpa memandang ke belakang lagi.

Zin membukakan matanya. Dia melihat dia berdiri di satu dunia asing. Ternampak istana kayu di atas bukit.

“Istana? Besarnya? Dilindungi oleh pagar kayu setinggi 4 meter. Gahnya. Tapi kenapa senyap dan sunyi seolah-olah tidak berpenghuni?” soalnya.

“Huhuhu. Huhuhu,”

Kedengaran suara wanita menangis tersedu sedan. Zin segera mencari dari mana arah bunyi wanita menangis. Dia terlihat seorang wanita sedang menangis di bawah sebatang pokok. Hairannya dia pokok habis gugur daunnya. Seolah-olah pokok yang hendak mati. Wajahnya tidak kelihatan kerana dipalingkan dan ditutup dengan rambutnya yang panjang. Pakaiannya jubah kuning. Zin melangkah untuk merapati wanita tersebut.

“Jangan dekati wanita itu!” amaran datuknya terngiang-ngiang di telinga.

Zin berhenti melangkah. Dia masih berfikir-fikir.

“Kalau aku tidak melangkah. Bagaimana aku hendak tahu siapa dia? Aku hendak tahu di dunia mana aku berada?” soalnya sendiri.

Zin melangkah wanita tersebut yang masih lagi menangis tersedu sedan.

“Cik,” tegur Zin.

“Apa kau nak!” balas wanita itu marah.

“Kenapa Cik menangis?” soal Zin.

“Aku mahu pulang ke tempat asal!”

Amboi perempuan ini. Orang tanya baik-baik jawab kasar pula. Kata Zin di dalam hati. Dia mengamati keadaan wanita tersebut. Wajahnya masih ditekup dengan tangannya dan terus menangis. Zin perasan perut wanita tersebut seperti mengandung. Serta-merta Zin berundur. Dia ternampak perut wanita mengandung itu kainnnya berdarah. Malah seperti darah baru.

“Kenapa dengan perut cik? Kenapa berdarah?”

Wanita itu berpusing memandang Zin. Mukanya masih lagi ditekup dengan tangannya. Zin menelan air liur melihat perut wanita tersebut. Kain di sekitar perut yang penuh darah tadi terkoyak sehingga menampakkan bayi di dalamnya. Kulit wanita di perutnya habis robek.

“Hihihi.”

Zin mengambil langkah seribu.

“Tolong!” jeritnya.

Dia berlari tanpa arah tujuan. Akhirnya kakinya tersadung.

“Buk!”

Zin serta-merta bangun. Dia memegang pinggangnya yang terasa sakit.

“Adui! Jatuh katil aku rupanya!” marah Zin.

Zin menyumpah dirinya.

“Apa pelik aku punya mimpi. Ini mesti teringat-ingat pasal mitos gendang itu. Terbawa-bawa sampai mimpi!” marah Zin lagi.

Dia memandang gendangnya. Gendangnya masih elok ditutupi oleh kain kuning. Zin bangun dan kembali tidur di sisi gendangnya.

“Musibat betullah!” marahnya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku