Susuk Emas
Bab 3
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 13 Februari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
937

Bacaan






Bab 3

SUASANA suram di pinggir hutan itu agak menakutkan. Sorotan lampu kereta yang dipandu oleh Faridah akhirnya berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah usang. 

Keadaan rumah itu kelihatan seperti tidak berpenghuni. Gelap sahaja tanpa ada sebarang cahaya lampu. Faridah membuka pintu kereta sebelum melangkah keluar.

"Macam tak ada orang aje, Tinah?" soal Faridah pelik. Bulu romanya tiba-tiba meremang. Seram sejuk rasanya.

Ketika Hartinah menunjukkan arah jalan masuk ke rumah Nek Habsah beberapa jam yang lalu, dia seakan-akan tidak percaya. Dalam zaman moden seperti ini pun, masih ada lagi orang yang tinggal di dalam hutan belantara.

"Rumah ni memang macam ni. Mana ada bekalan elektrik kat sini. Dahlah, jom ikut aku!"

Hartinah menuju ke rumah usang itu. Faridah hanya mengekorinya dari belakang tanpa banyak soal.

"Nek, oh nek! Saya datang nak jumpa nenek ni," panggil Hartinah agak nyaring. Hampir beberapa kali dia memanggil Nek Habsah, namun tidak berjawab. Dalam hatinya tertanya-tanya juga ke mana perginya wanita tua itu.

"Kau biar betul ni! Mana ada orang kat sini. Cuba kau tengok rumahnya. Macam dah bertahun-tahun tak berpenghuni. Penuh dengan sawang kat sana-sini. Jomlah balik! Tak naklah aku jumpa dia."

Faridah sudah menarik tangan Hartinah agar segera beredar dari tempat tersebut. Naik seram bulu tengkuknya melihat rumah usang itu yang kelihatan seperti berpuaka. 

Entah berapa banyak jin dan Iblis menghuni kediaman itu agaknya. Manalah ada orang yang tinggal di kawasan hutan tebal begini. Tidak masuk akal langsung.

"Nantilah dulu! Kau ni tak tahu sabar betul. Kejap lagi dia bukalah pintu tu."

Hartinah memanggil nama Nek Habsah sekali lagi. Kali ini panggilannya disambut. 

Beberapa saat kemudian, pintu rumah dibuka dari dalam. Tersembul seorang perempuan tua di muka pintu. Cantik sungguh wajahnya. Dia membawa pelita di tangan.

"Maafkan nek, cu! Nenek terlelap tadi," ucapnya perlahan sebelum ketawa kecil. Biarpun usianya sudah lanjut, namun Nek Habsah tetap kelihatan awet muda. Kedua-dua pipinya nampak kembung, kulitnya pula masih tegang. Jika sekali imbas, persis wanita berusia awal empat puluhan.

"Saya datang sini ada hajat. Saya bawa kawan saya ni. Dia nak pakai susuk untuk jadi cantik," kata Hartinah lembut.

"Masuklah ke dalam! Nanti nenek buatkan air untuk kamu berdua."

Faridah dan Hartinah melangkah masuk ke dalam rumah usang itu. Mereka duduk di atas lantai. Mata Faridah liar memandang ke seluruh sudut rumah. Agak seram suasana di situ. 

Hanya ada beberapa buah pelita yang dipasang pada setiap tembok kayu. Pelik juga dia melihat wanita tua itu. Berani sungguh dia tinggal di rumah usang seperti ini seorang diri.

Ketika itu hidungnya terhidu satu bau yang sungguh busuk dan hamis. Amat memualkan tekak. Faridah cepat-cepat mencuit bahu Hartinah.

"Kau ada bau benda busuk tak?" soalnya sambil menutup hidung.

"Tak ada pulak. Kau ni merepek betullah. Kang dengar orang tua tu, merajuk pula dia. Dahlah...diam!"

Tidak berapa lama selepas itu, Nek Habsah datang membawa dulang berisi air dan sedikit makanan.

"Jemputlah makan, cu! Ni aje yang nenek ada. Silalah!"

"Buat apa susah-susah, Nek. Kami dah minum kat rumah tadi.Tak apalah. Kamu berdua ni kan tetamu nenek. Jemputlah minum!Terima kasih."

Faridah dan Hartinah meneguk sedikit air yang sedia terhidang di atas lantai. 

Ketika itu suasana hening sekali. Hanya terdengar bunyi daun-daun kering bergeser dengan permukaan tanah apabila ditiup oleh angin malam. Bagaikan sebuah irama melankolik yang kedengaran agak menyeramkan pada waktu malam begitu.

Nek Habsah memandang muka Faridah.

"Kamu ke yang nak pakai susuk tu?' soalnya perlahan.

"Ya, Nek."

"Dah fikir masak-masak ke?"

Kali ini Faridah mengangguk. Dia cukup yakin dengan keputusannya kali ini. Tidak perlu dia nak takut. Teruskan sahaja langkah ke hadapan. Impiannya untuk cantik dan rupawan semakin berkobar-kobar.

"Baguslah. Kamu nak pakai susuk yang macam mana? Nenek ni ada banyak jenis susuk. Ada yang murah, ada jugak yang mahal. Ikut kamulah!"

Faridah memandang ke arah Hartinah sebelum bersuara.

"Kalau boleh, saya nak susuk yang paling bagus. Tak kiralah berapa pun harganya. Saya mampu bayar."

Faridah memang sudah bersedia. Semasa ingin datang ke sini tadi, dia membawa banyak duit untuk diberikan kepada Nek Habsah jika diminta. Hartinah pun sudah mengingatkannya agar membawa duit lebih.

"Kalau yang paling elok, susuk yang berasal daripada logam seperti emas dan perak. Susuk-susuk lain tu tak berapa bagus macam susuk logam. Cuma, harganya mahal sedikit," beritahu Nek Habsah.

"Berapa harganya?""Susuk emas berharga Rm 12,500. Kalau susuk perak ni pulak murah sikit. Cuma Rm 9,500 aje."

Faridah tidak terkejut mendengar harga yang disebutkan oleh Nek Habsah. Memang dia ada banyak duit. Sebagai seorang pemilik resort peninggalan arwah ayahnya, duitnya melimpah ruah. Apa yang dia nak hairankan. Soal duit tidak menjadi masalah, asalkan keinginannya untuk menjadi cantik dan rupawan akan termakbul.

"Saya tak kisah nek, asalkan susuk tu mujarab. Jika boleh, saya nak jadi cantik dan jelita macam Hartinah. Nenek boleh tolong saya, kan?"

"Boleh, cu. Tak ada masalah. Nenek rasa elok kamu pakai susuk emas. Susuk ni memang berkesan. Tetapi, ada pantang-larangnya..."Nek Habsah berjeda seketika. 

Sesekali, dia menatap wajah Hartinah di sebelah Faridah sebelum menyambung kembali.

"Pantang yang pertama, kamu tak boleh dekat dengan daun kelor. Kedua, kamu tak boleh makan pisang tanduk, sate, tapai, dan makanan yang berlidi. Pantang yang terakhir, kamu dilarang lalu di bawah tangga dan di bawah jemuran kain.Kalau pantang-pantang ni kamu langgar, muka kamu akan jadi buruk dan menggerutu. Paling teruk, jika susuk tu menjadi racun dan boleh membahayakan nyawa. Kamu faham apa yang nenek pesankan ni?"

"Faham, nek!"Kecut juga perut Faridah mendengar pantang-larang yang disebutkan oleh perempuan tua itu. Memang nampak mudah, tetapi jika dia ingkar... dia sendiri yang akan menanggung akibatnya.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku