SEINDAH HADIRNYA CINTA
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Februari 2017
ayuma umairah
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
797

Bacaan






Bab 4

Ishraf berjalan ke arah tangga lalu dipanjat satu persatu tanpa sepatah kata. Dia hanya diam apabila berselisih dengan abangnya di anak tangga dan langkah kakinya masih diteruskan seperti biasa. Seolah-olah mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain. Itulah perangainya dari kecil, dia pun tidak pernah sedar sejak bila hidupnya keseorangan walaupun vila itu ramai penghuninya. Mungkin sejak dia dihantar ke sekolah berasrama semasa di tingkatan satu, atau mungkin sejak dia sentiasa dihantar ke rumah pengasuh semasa dia di sekolah rendah, atau memang sejak dia dilahirkan lagi hidupnya sunyi dan sepi.

Pintu bilik dibuka lalu dia melangkah lemah, tubuhnya dibaringkan di atas katil, matanya memandang siling. Inilah kehidupannya, banyak dihabiskan di luar berbanding di vila itu. Balik hanya untuk tidur sahaja, esok pagi dia akan keluar semula.

Kadang-kadang dia terfikir kenapa hidupnya seolah-olah sebatang kara walhal dia mempunyai keluarga yang lengkap, ada papa, ada mama, ada kakak, ada abang dan ada seorang adik. Tapi kewujudannya seolah-olah tidak memberi kesan kepada mereka, ah….. dia buntu bila memikirkan tentang semua itu, atau mungkin hanya dia yang berfikiran sebegitu, terlalu berprasangka buruk, mungkin semua orang sibuk dengan urusan masing-masing, sampaikan untuk bertegur sapa dan bertanya khabar pun tidak sempat walaupun berselisih bahu.

Dia mula bangun, kalau difikirkan tentang semua itu sampai ke pagi pun belum tentu dia mendapat jawapan. Tuala dicapai lalu dia melangkah ke bilik mandi, lagi cepat dia mandi, lagi cepat dia boleh tidur, esok pagi-pagi lagi dia perlu keluar, tanggungjawabnya menanti diluar sana.

Sarah membetulkan baringannya, kali ini dia baring mengiring, tangan kanannya menepuk lembut paha Khaliesya yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Matanya menatap lembut wajah kudus yang sedang tidur itu, kata-kata Ariana masih bermain-main di ruang mindanya.

Andai kata apa yang dikatakan oleh Ariana itu terjadi, Tuhan menjemputku disaat Khaliesya masih memerlukan kasih sayang dan tempat bergantung, kepada siapa perlu aku harapkan untuk menjaga dia. Ariana ke? Aku tahu dia sahabat yang baik, boleh diharap tapi tidak mungkin aku akan menyusahkan dia, dia juga ada kehidupan sendiri.

Pada ibu dan ayah di kampung, tapi mereka sudah tua, makin Khaliesya membesar makin meningkat usia mereka, mampukah mereka nak menjaga Khaliesya nanti, usia mereka sebegitu perlu dihabiskan untuk beribadah, bukannya dihabiskan untuk menjaga cucu.

Mungkin Farah boleh diharapkan, tetapi bolehkah adiknya itu menjaga Khaliesya, usia pun masih mentah, baru nak mengenal dunia, tidak mungkin Khaliesya dapat dijaganya.

Sarah baring menegak, memandang siling dengan fikiran yang buntu, matanya masih tidak mampu dilelapkan. Tangannya mencapai handphone lalu jam di skrin telefon direnung lama, sudah pukul dua pagi, esok pagi-pagi lagi dia perlu bangun, menyiapkan Khaliesya dan pergi kerja. Kalau masa ini dia masih tidak boleh tidur, esok mungkin dia akan kelam-kabut kerana terlambat bangun, bekerja dengan mata yang layu.

Matanya dipejam rapat, cuba menjemput rasa mengantuk, tetapi kalau mindanya masih berputar, tidak mungkin matanya bisa lelap. Badannya dibaring ke arah Khaliesya semula. Esya, jangan terlalu cepat membesar, mama masih perlukan masa untuk memikirkan apa yang perlu mama buat, mama masih perlukan Esya, Ya Allah, jangan kau ambil nyawaku selagi aku masih belum melihat Khaliesya bahagia, sebelum Khaliesya tahu tentang perkara sebenar.

“Kak Sya kenal dengan dia masa kami sama-sama di sekolah menengah.” Syahirah tersenyum mesra, mungkin mindanya sedang mengimbas kembali saat-saat pertemuannya dengan lelaki itu. Album gambarnya diselak satu persatu, gambar-gambar di zaman sekolahnya direnung ceria, itulah saat bahagianya.

“Dekat sekolah pun dah pandai bercinta ek?” Sarah bersuara teruja. Tekun mendengar cerita daripada kakak angkatnya itu. Walaupun mereka baru sahaja berkenalan tetapi mereka rapat seolah-olah sudah lama kenal, lagipun dia tidakmempunyai seorang kakak, kedatangan Syahirah memeriahkan lagi kehidupannya.

“Mula-mula kami hanya berkawan, tetapi bila dah lama kenal, kami semakin rapat, lagipun kami selalu studysama-sama, walaupun kami tengah bercinta tetapi kami tidak pernah lupa tentang pelajaran.” Kini albumnya bertukar tangan, Sarah mula mengambil alih menyelak gambar-gambar yang ada, satu persatu direnung, ada gambar Kak Sya bersama-sama dengan teman-teman yang lain, dan ada gambar Kak Sya bersama lelaki yang menjadi topik perbualan mereka tadi. Sarah senyum, o….inilah orangnya, pandai Kak Sya pilih, handsome pula tu.

“Kenapa Sarah senyum?” Syahirah bertanya dengan kerutan didahi.

“Patutlah Kak Sya suka dia, handsomerupanya.” Sarah mula mengusik.

“Bukan sebab dia handsomeKak Sya suka dia, tetapi sebab dia baik, terlalu baik dengan Kak Sya. Dia tidak pernah berlagak walaupun dia anak orang kaya, dia pandai menjaga hati Kak Sya.”

Album ditangannya ditutup, kini dia tekun mendengar cerita dari Syahirah.

“Dulu, kami pernah bercita-cita nak sambung belajar sama-sama, tetapi tak kesampaian sebab mama dia hantar dia belajar dekat oversea, Kak Sya pula hanya dapat tawaran sambung belajar dekat UM je.”

“O…lepas itu hubungan Kak Sya dengan dia macam mana?” Sarah bertanya teruja.

“Kami masih berhubung melalui emel, hubungan kami masih baik dan semakin rapat, kami bercinta jarak jauh dan Kak Sya tahu dia setia dengan Kak Sya.”

Sarah senyum, tidak pernah dia merasa perasaan sebegitu walaupun usia sudah menjangkau dua puluh satu tahun, yang dia tahu hanya belajar sahaja, perasaan cinta dan ingin dicintai tidak pernah dilayannya. Lagipun dia masih muda.

“Kak Sya setia menunggu dia, walaupun enam tahun kami berjauhan. Selepas habis degree dia sambung master, Kak Sya pula terus bekerja di KL.” Album gambar yang diberikan oleh Sarah disimpan semula di tempatnya, kini dia mencapai bingkai gambar disaat bahagianya.

“Selepas dia balik semula ke Malaysia, kami ambil keputusan untuk berkahwin, Sarah kan tahu Kak Sya takde sesiapa dekat dunia ni, yang ada hanya Puan Kalsom, dia yang uruskan segala persiapan perkahwinan Kak Sya.” Syahirah berhenti seketika, nafasnya dilepaskan perlahan.

Sarah hanya diam, masih menunggu sambungan cerita daripadaSyahirah. Sejak Syahirah datang ke situ, dia dan keluarganya hanya diberitahu serba sedikit tentang latar belakang dan masalah yang dihadapi. Menurut Kak Sya, dia dibesarkan di rumah anak-anak yatim kepunyaan Puan Kalsom. Dia melarikan diri ke Kelantan kerana menghadapi masalah rumah tangga.

Muka Kak Sya direnung lama, masalah apa yang dihadapi sehingga jauh dia membawa diri. Kalau bergaduh dengan suami rasanya macam tidak mungkin, suaminya itu dipuji melambung tinggi, baik, bijak, pandai menjaga hatinya, semuanya baik tentang diri suaminya.

“Tetapi tidak sangka, perkahwinan kami hanya bertahan selama setahun.” Syahirah menyambung semula, kini mula bernada sebak.

“Kenapa?” Sarah bertanya teragak-agak, takut nanti soalannya tidak berjawab, tetapi itu yang ingin dia tahu dari dahulu, apa sebenarnya terjadi kepada Syahirah.

“Dari awal perkahwinan, hubungan kami tidak pernah direstui oleh keluarga Abang Im.”

Sarah tekun mendengar. Abang Im? Siapa pula yang dimaksudkan itu, mungkin suaminya. Maknanya hubungan mereka tidak direstui oleh orang tua. Sarah mula berandaian sendiri.

“Tetapi Kak Sya degil, sanggup terima lamaran Abang Im walaupun Kak Sya tahu mama dia tak suka Kak Sya.” Air mata mula menitis dipipi, Syahirah mula beremosi. Tangannya cepat-cepat memainkan peranan, titisan air matanya dilap secepat mungkin, terasa malu apabila berbicara tentang kisahnya, seolah-olah membuka aibnya sendiri.

“Kak Sya selalu berdoa, Kak Sya harap suatu hari nanti mama akan terima Kak Sya sebagai menantu dia, tetapi….” Sebaknya sudah tidak tertahan lagi.

Sarah memeluk tubuh Syahirah seerat mungkin, cuba menenangkan hati insan yang kesedihan itu.

“Kak Sya tak sangka, Kak Sya ingat dia bahagia dengan Kak Sya, tetapi rupanya dia ada perempuan lain.” Syahirah melepaskan pelukan, nada suaranya dikawal, sebaknya ditahan, pedih sungguh rasa hatinya.

“Sabar Kak Sya, ini semua dugaan Allah, Kak Sya kena kuat.” Sarah cuba memberikan kata-kata semangat.

“Kak Sya tahu, tetapi Kak Sya tidak boleh terima apa yang dia buat di belakang Kak Sya. Kak Sya sanggup berkorban apa sahaja untuk dia. Tetapi mulai saat itu, Kak Sya mula sedar satu perkara, mungkin dia menyesal kahwin dengan Kak Sya sebab kehidupan kami tidak semewah kehidupan dia dahulu. Kami terpaksa kerja siang malam untuk menampung hidup, lagipun dia hanya bekerja sebagai Penolong Pengurus di sebuah syarikat kecil, gaji pun tidak seberapa. Kak Sya pula hanya bekerja sebagai Penyelia Kilang.”

Sarah masih tekun mendengar, kalau boleh dia tidak mahu memaksa Syahirah supaya meneruskan ceritanya, biarlah Syahirah dengan rela hati membuka mulut.

“Abang Im tak biasa hidup susah, semua benda mesti sempurna, kami menyewa di kondominium kerana Abang Im tak suka tinggal di rumah flat biasa, katanya terlalu kotor dan tidak selamat. Kak Sya hanya mengikut, mungkin dia bimbangkan keselamatan Kak Sya. Dari situ kami mula berjimat cermat, apa yang perlu sahaja yang dibeli, jika ada duit lebih barulah kami membeli barang-barang lain. Saat itu Kak Sya rasa terlalu bahagia, hidup kami hanya sederhana, dia pun tidak pernah mengeluh, tetapi tak sangka begini jadinya.” Kini Syahirah semakin tenang, mungkin sudah lega dapat mencurahkan segala cerita sedihnya.

“Perempuan itu pilihan mamanya, tetapi dia tak setuju kerana dia ingin berkahwin dengan Kak Sya, tetapi kini perempuan itu sudah berjaya merebut Abang Im dari Kak Sya. Mungkin dia sudah tidak sanggup hidup dengan Kak Sya, mungkin dia menyesal kerana berkahwin dengan Kak Sya dan melawan kata-kata mamanya. Mungkin dia dah tak sanggup kerja siang dan malam untuk menanggung kehidupan kami.” Syahirah memejamkan matanya, peristiwa sebulan yang lalu mula bermain di fikirannya.

Syahirah memandang jam di tangannya sekali lagi, kali ini jam itu diperhati agak lama. Keluhan resah mula kedengaran. Matanya dialihkan ke arah jalan raya semula, memandang ke kiri dan kanan, menanti dengan sabar suaminya datang menjemput. Keadaan perhentian bas yang tadi agak sesak kini sudah lenggan, semua yang ada tadi sudah mula pulang ke destinasi masing-masing, kini hanya dia yang duduk di situ pada waktu senja sebegitu.

Syahirah mengangkat muka apabila ada kereta yang berhenti di hadapannya. Pandangannya mula kaku, kereta itu direnung lama, kelibat wanita yang keluar dari tempat duduk belakang itu membalas renungannya dengan tajam.

Syahirah telan liur, senyuman manis cuba dihadiahkan kepada wanita itu tetapi hanya dibalas dengan jelingan tajam.

“Tunggu siapa?” Dato Heliza bertanya angkuh.

“Tunggu Abang Im.” Syahirah menjawab gugup. Matanya takut untuk menatap wajah garang di depannya itu.

“Mama buat apa dekat sini, mama sihat?” Syahirah menyambung lagi bila kelihatan wanita itu hanya diam, dia mula bangun, tangan dihulurkan untuk bersalam.

“Mama? Sejak bila kau jadi anak aku, kau dengar sini, sampai bila-bila kau tak akan jadi anak aku, panggil aku Dato.” Dato Heliza menjawab angkuh, benci sungguh dengan wajah di depannya itu.

“Saya minta maaf.” Syahirah mula resah, nada wanita itu sungguh meresahkan jiwanya. Setelah setahun dia berkahwin, hanya saat ini mereka bertentang mata.

“Kau tahu dekat mana suami kau sekarang?”

“Abang Im on the waynak datang sini, mungkin jammed kut, itu yang lambat sikit.” Syahirah masih berlembut, tidak mungkin dia bernada kasar dengan wanita itu.

“Kau pasti ke? Jauh sangat ke tempat kerja Im sampai ambil masa begitu lama nak datang jemput kau.” Kini senyuman sinis dihadiahkan kepada Syahirah.

“Mungkin Abang Im banyak kerja hari ini.”

“Huh….. Aku ingat kau ni pandai sangat, rupanya bodoh. Bodoh dari apa yang aku sangkakan. Kau ingat Imran nak sangat hidup dengan kau, dia dah biasa hidup mewah, kaya raya, senang-lenang, kau ingat sebegitu senang dia nak tinggalkan segala kemewahan yang dia miliki selama ini semata-mata nak hidup dengan kau.” Dato Heliza mula menyindir, gaya cakapnya sungguh menjengkelkan.

“Apa maksud Dato?” Syahirah mula tayang muka tidak faham.

“Kesian aku tengok kau, kau rasa berapa lama lagi kau akan jadi isteri Imran, sebulan? Seminggu? Atau kejap lagi kau akan diceraikan.” Dato Heliza ketawa kemenangan, puas rasa hatinya melihat muka takut dan terkejut perempuan itu.

“Apa semua ni, apa Dato nak sebenarnya?”

“Apa yang aku nak? Aku nak kau sedar diri kau tu siapa, kau cermin diri tu dulu, kau ingat kau layak nak jadi menantu aku, perempuan tak sedar diri, kejap lagi kau akan sedar dari angan-angan indah kau tu, mari ikut aku, biar kau tengok dengan mata kau sendiri.” Tangan Syahirah ditarik kasar.

Syahirah menarik tangannya, mukanya sudah merah menahan marah. Walau apa pun yang dikatakan oleh wanita itu tidak mungkin dia akan melawan, kekerasan kalau dibalas dengan kekerasan tidak akan ke mana-mana. Tetapi apabila tangannya ditarik kasar sampaikan hendak tersungkur membuatkan tahap kesabarannya semakin lenyap.

Well, kalau kau nak hidup dalam kesakitan dan kesengsaraan, kau boleh teruskan, aku hanya nak kau sedar sebelum terlambat.” Dato Heliza mula melangkah ke kereta, pemandunya sudah siap sedia membukakan pintu.

Dato Heliza masuk dengan senyuman sinis, pintu kereta masih tidak ditutup, dia menunggu Syahirah masuk ke dalam kereta itu, pemandunya masih tegak di pintu kereta.

Syahirah masih kaku, tiada tanda-tanda untuk mengikut apa yang diarahkan tadi. Dia masih ragu-ragu dengan kata-kata Dato Heliza. Apa maksud wanita itu, dia tahu yang dia memang tidak layak untuk bergandingan dengan Imran tetapi Dato Heliza tiada hak untuk menghinanya seperti perempuan tiada maruah.

Tetapi benaknya ingin tahu apa yang dimaksudkan oleh Dato Heliza. Apa yang dia perlu tahu sebelum terlambat? Matanya memandang driveryang masih berdiri tegak itu, masih menunggu dia membuat keputusan.

Kakinya mula melangkah walaupun berat. Dia mula melangkah masuk ke dalam kereta tanpa sepatah kata. Wanita di sebelahnya hanya dipandang sekilas. Biarlah dia menurut apa yang ingin dilakukan oleh wanita itu, kalau dia berkeras pun tidak ada guna, makin menjauhkan hubungan mereka yang sedia jauh itu sahaja, kalau kali ini dia menurut, mungkin lain kali wanita itu semakin senang dengannya.

Kereta yang dipandu selama sepuluh minit itu berhenti di depan sebuah kafe, mata Syahirah mula memandang keluar, kemudian dia memandang ke arah Dato Heliza, mengisyaratkan persoalan yang bermain di mindanya.

“Kau tak perlu risau, aku datang sini bukan nak makan dengan kau, aku nak tunjukkan sesuatu kepada kau.” Tangan Dato Heliza mula menunjukkan ke suatu arah, Syahirah mula menoleh, memerhati ke arah yang ditunjukkan.

Reaksi wajah yang tenang tadi kini berubah pucat, dari jauh dia cuba mengamati, susuk tubuh dari arah sisi itu amat dikenalinya. Tetapi apa yang Imran buat dekat situ, serius benar perbincangan dengan wanita yang tidak dikenalinya itu.

“Kenapa, terkejut? Nampaknya kau tak tahu lagi, mereka dah nak kahwin, tunggu masa je nak bagitahu kau, maklumlah nak kena minta tandatangan kau kan.” Dato Heliza mula menyindir.

Pandangan Syahirah masih kaku ke arah kafe, walau apa yang dikatakan tidak mungkin senang-senang dia akan percaya, lagipun dia tidak tahu apa yang dibincangkan Imran dengan wanita itu. O…jadi inilah wanita pilihan Dato Heliza untuk Imran, tidak dinafikan wanita itu cukup cantik dan bergaya, tetapi dia percaya Imran tidak akan tergoda dengan wanita itu, Imran sudah memilih dirinya.

Kata-kata semangat untuk diri sendiri yang bermain dimindanya tadi kini lenyap serta-merta, kini mindanya seakan tidak dapat mentafsir apa yang dilihat oleh matanya. Tangan lembut yang sedang memegang tangan kanan suaminya itu membuatkan dia kaku.

Tidak mungkin apa yang dikatakan oleh Dato Heliza tadi itu betul, tidak mungkin. Dia tidak percaya. Tetapi kenapa suaminya itu membiarkan sahaja tangannya itu dibelai mesra oleh wanita itu, bahkan kini tangan kiri suaminya pula memegang erat tangan wanita itu, seolah-olah mereka sedang berbahagia. Apa semua ini?

“Huh….. kau memang bodoh, sudah tengok dengan mata sendiri pun masih tak percaya, ke kau nak tunggu Imran ceraikan kau baru kau nak percaya?”

Syahirah diam membisu, tiada kata-kata yang dapat dikatakan kini, dia seakan percaya tetapi mindanya masih tidak dapat menerima.

Dato Heliza mula memberi isyarat kepada driver, mengarahkan supaya mereka beredar. Syahirah masih kaku tanpa sebarang kata, apa lagi yang boleh dikatakan, kalau betul apa yang dikatakan oleh Dato Heliza tadi macam mana, apa nasib dirinya.

Kenapa abang buat Sya macam ni, susah sangat ke hidup abang dengan Sya. Abang juga yang cakap abang tidak perlukan semua kemewahan itu, abang hanya perlukan kasih sayang Sya, tetapi sekarang apa yang abang dah buat. Hidup kita dah cukup sempurna abang, kenapa abang tiba-tiba berubah.

“Kau pergi naik dan kemaskan barang-barang kau.” Dato Heliza memberi arahan.

Syahirah menoleh keluar, kini kereta sudah berhenti di depan bangunan kondominiumnya.

“Apa lagi kau tunggu, keluar sekarang.” Dato Heliza membuka pintu kereta di sebelahnya, dia melangkah laju ke arah pintu di sebelah Syahirah lalu dibuka kasar. Pemandu yang agak terkejut dengan tindakan Dato Heliza mula melangkah keluar dan berdiri di sebelah pintu yang sudah sedia terbuka. Tidak pernah pula Dato Heliza keluar tanpa dibuka pintu kereta dari luar tetapi saat ini dia yang membukakan pintu kereta untuk Syahirah.

“Aku kata keluar.” Tangan Syahirah ditarik kasar, kini dia mula memaksa Syahirah melangkah ke tingkat atas bersama dengannya.

Syahirah hanya mengikut tanpa sepatah kata, kini dia sudah berdiri di depan pintu kondominiumnya. Kunci dikeluarkan lalu pintu dibuka.

“Kau kemaskan barang-barang kau sekarang.” Dato Heliza masuk tanpa dipelawa.

“Saya tak kan kemana-mana, saya nak tunggu Abang Im balik.” Syahirah mula berkeras.

“Tunggu? Tunggu dia ceraikan kau kejap lagi ke? Payah betul cakap dengan orang yang tak faham bahasa, aku bagi kau peluang untuk pergi dengan rela hati kau, tetapi kau pilih untuk pergi dengan cara yang paling menyedihkan, iaitu dihalau oleh Imran kejap lagi.”

“Tak mungkin Abang Im akan buat macam itu, dia sayangkan saya.” Syahirah masih cuba untuk berfikir dengan waras.

“Sayang? Kau tak nampak ke tadi macam mana mesranya mereka, ke kau dah buta?” Dato Heliza semakin geram bila Syahirah melawan kata-katanya.

“Abang Im mesti ada penjelasan kenapa dia buat macam itu.”

“Penjelasannya dia nak kahwin dengan Sally, mungkin dulu dia tak nampak yang Sally sesuai sangat dengan dia, kini baru dia sedar yang selama ini dia hanya memuja kaca yang tidak bernilai, anyway, mereka akan berkahwin bulan depan, semua persiapan sudah dibuat, tunggu kau tandatangan sahaja, itupun kalau kau sanggup tengok Imran jadi milik Sally. Tetapi kalau kau rasa kau tak sanggup nak tengok, kau boleh berambus dari sini sekarang juga.” Dato Heliza mula melangkah ke bilik Syahirah, pintu dibuka rakus lalu dia masuk tanpa rasa bersalah, almari pakaian dibuka, baju Syahirah yang tergantung dan yang berlipat dicapai lalu dilemparkan ke katil.

Kini dia mencapai beg tarik sederhana besar di celah almari. Semua baju dimasukkan secepat mungkin, lagi cepat perempuan itu berambus lagi bagus.

“Samat, ambil beg tu, bawa turun ke bawah.” Samat yang hanya jadi pengikut dan pemerhati dari tadi hanya menurut, tiada kuasa untuk membantah.

Tangan Syahirah ditarik geram hingga ke muka pintu. Kunci rumah di tangan Syahirah dirampas lalu pintu dikunci. Kini tangan Syahirah ditarik lagi sehingga ke pintu kereta, dia masuk dengan terpaksa.

Syahirah menurut tanpa bantahan, dia pun tak tahu apa yang perlu dilakukan. Perlu ke dia percaya dengan apa yang dicakapkan oleh Dato Heliza itu, tetapi dia sudah melihat sendiri kemesraan mereka tadi, bukan main berpegangan tangan.

Perlu ke dia menunggu dan meminta penjelasan dari suaminya itu, dia takut kalau dia diceraikan, tetapi dia tidak rela dimadukan, ah, fikirannya buntu.

Kereta kini berhenti di Perhentian Bas Putra, Samat turun seperti diarahkan oleh Dato Heliza. Sepuluh minit kemudian dia muncul kembali dan menghulurkan sesuatu kepada Dato Heliza.

“Kau ambil tiket bas ni, aku nak kau pergi dari sini, jangan berani muncul depan Imran lagi, kalau tak aku tak teragak-agak suruh dia ceraikan kau, ini dah dikira baik sebab aku masih ada belas kasihan dekat kau, kalau diikutkan dengan perasaan marah aku, sekarang juga aku nak Imran ceraikan kau.” Dato Heliza melemparkan tiket bas ke muka Syahirah.

“Dato, tolong, jangan buat saya macam ni, saya merayu Dato.” Syahirah mula meminta simpati. Kalau dia berkeras tadi mungkin dia tidak perlu ke sini.

“Aku buat macam ni sebab aku kesiankan kau, aku tak sanggup nak tengok kau makan hati bila mereka bahagia nanti, kau sanggup ke tengok Imran berkepit dengan perempuan lain?” Dato Heliza cuba berdiplomasi.

Syahirah hanya menggelengkan kepala, tiada upaya untuk mengeluarkan kata-kata.

“Apa lagi yang kau tunggu, bas kau akan bergerak kejap lagi, pergi la sekarang, jangan pula esok kau datang menangis dekat aku sebab kau dah diceraikan, timetu aku dah tak boleh nak buat apa.” Dato Heliza masih bermain dengan kata-kata.

Samat mula membukakan pintu kereta, Syahirah masih diam membeku, kakinya sukar untuk digerakkan.

“Cepatlah, kau jangan nak naikkan darah aku dekat sini.” Suara Dato Heliza mula keras. Beg tangan Syahirah dicapai lalu dibuka, telefon bimbit diambilnya tanpa rasa bersalah.

“Apa Dato buat, kenapa ambil telefon saya?” Syahirah membantah keras.

“Sebab aku tak nak kau cari anak aku lagi, aku tak nak kau ganggu kebahagiaannya nanti.” Tubuh Syahirah ditolak kasar.

Syahirah mula merontaapabila tangannya ditarik kasar oleh Samat.

“Lepas la, aku boleh jalan sendiri.” Syahirah menarik tangannya sekuat hati tetapi masih tidak terlepas dari cengkaman Samat yang mungkin berumur lingkungan tiga puluhan itu.

“Kau naik bas itu sekarang juga.” Samat menarik Syahirah sehingga ke depan pintu bas, mata-mata yang memerhati tidak dihiraukan, yang penting kerjanya beres.

“Aku nak balik.” Syahirah masih berkeras.

“Balik? Balik mana? Rumah kau? Kalau kau balik pun mungkin Imran dengan Sally ada dalam rumah itu, ialah kan, orang tengah bahagia.” Samat mula bermain kata-kata.

“Tak mungkin, Imran bukan orang macam itu.”

“Aku kenal sangat Imran tu, anak manja yang tak pernah hidup susah, apa yang dia nak mesti dia dapat tanpa perlu bersusah payah, aku dah agak hubungan kau dengan Imran tak akan kekal lama, Imran tak mungkin tahan hidup biasa-biasa macam kau. Aku nasihatkan kau supaya pergi dari sini, semua orang dah tak perlukan kau dekat sini, tak payahlah kau nak tayang muka lagi, buat sakit hati je.”

Syahirah tunduk memandang simen, kata-kata yang sukar dipercayai tetapi dia seakan makin percaya dengan apa yang dikatakan tentang Imran.

“Pergilah sebelum kau makin terseksa.” Samat bersuara tenang, kali ini dia ikhlas. Tidak sanggup lagi dia melihat perempuan itu terseksa. Tetapi dia tiada upaya untuk melawan. Dato Heliza bosnya, jika dia ingkar bermakna dia menyekat sumber pendapatannya sendiri, dia juga ada keluarga yang perlu ditanggung.

Syahirah mula membuka langkah apabila dilihat pemandu bas sudah mengambil tempat di tempatnya. Perlukah dia pergi? Betulkah dia akan terseksa kalau terus bersama Imran? Dia buntu tetapi kakinya sudah membuat keputusan terlebih dahulu. Kini dia sudah melangkah ke dalam bas yang akan membawa dia pergi ke destinasi yang dia sendiri tidak tahu.

Syahirah memeluk lututnya, mukanya ditundukkan sedikit, mungkin cuba menyembunyikan riak sedih di wajahnya. Cerita yang diluahkan kepada Sarah membuatkan dia merasa tenang sedikit. Segala beban yang dahulunya tersarang di mindanya kini sudah terungkai satu persatu. Tenang hatinya apabila ada yang sudi mendengar. Sebulan dia memendam rasa kini jiwanya semakin mencapai ketenangan.

“Sabar Kak Sya, ini semua dugaan dariNya, sabar ya kak.” Sarah cuba menenangkan Syahirah. Tidak sangka begitu pahit ceritanya. Cinta yang tidak direstui, pedih dan sedih.

“Kak Sya terima dengan hati yang redha, mungkin jodoh Kak Sya tak panjang dengan dia.”

“Kak Sya tak cuba hubungi dia, mana tahu itu semua cerita rekaan mak mertua Kak Sya je, Kak Sya kan cakap yang dia tak suka Kak Sya.” Sarah cuba memberi pendapat.

Syahirah senyum, walaupun pahit dia perlu menelannya.

“Seminggu selepas kejadian itu Kak Sya call Abang Im.”

So, dia cakap apa?” Sarah mula teruja.

“Dia tak cakap apa-apa, yang jawab callitu bukan dia tetapi Sally, perempuan itu cakap Abang Im tengah mandi, somaknanya mereka memang ada hubungan kan.”

Sarah melepaskan keluhan, tidak sangka ini yang perlu dilalui oleh Syahirah. Hidup sendirian di bumi ini, kalaulah dia ditempat Syahirah, tidak tahulah apa yang akan terjadi kepada dirinya sekarang, boleh ke dia menjadi setabah Syahirah.

“Kak Sarah, ayah dah nak balik tu, jomlah.” Farah muncul secara mengejut di muka pintu dengan muka tidak bersalah, dah la masuk macam penceroboh, nasib baik semua penghuni rumah itu dah biasa dengannya.

“Kak Sya, Sarah balik dulu, dah pukul sebelas malam ni, takpe ke Kak Sya tinggal sorang-sorang dekat sini?” Sarah bertanya ikhlas. Kalau hari biasa ramai sahaja penyewa rumah kedai itu yang ada, tetapi sekarang musim cuti semester, semua sudah pulang ke kampung masing-masing.

“Sarah jangan risau, macam Kak Sya tak biasa.” Syahirah mula senyum kembali. Tuhan menemukan dia dengan Sarah disaat dia tiada siapa-siapa, Sarah menerimanya dan mempercayainya tanpa banyak soal.

Masih segar diingatannya saat dia menjejakkan kaki di negeri itu, dia tidak kenal siapa-siapa, dia hanya melangkah tanpa tujuan sehingga kakinya penat dan dia duduk di kerusi sebuah restoran. Mulai saat itulah mereka berkenalan.

Sarah yang menjadi pelayan saat itu ramah bertanyakan order. Bila agak lama dia mendiamkan diri membuatkan Sarah mula bertanya risau, mana tahu kalau ada yang dia boleh bantu. Dia yang sememangnya sangat memerlukan bantuan itu mula membuka mulut. Dia perlukan tempat tinggal dan dia perlukan pekerjaan. Sekelip mata Sarah menyediakan segala untuknya setelah setengah jam dia ditemuramah oleh pemilik restoran iaitu ayah Sarah, mana tahu kalau-kalau dia menipu, lagipun tidak mungkin senang-senang nak percayakan orang yang kita baru kenal begitu sahaja.

Rumah kedai ini juga milik ayah Sarah, bahagian atas dijadikan rumah sewa untuk pelajar KPTM berdekatan dengan restorannya. Ada lima bilik semuanya, satu bilik dikongsi dua orang, hanya dia yang tinggal sendirian. Agak selesa walaupun ramai yang tinggal di situ. Lagipun senang kalau dia tinggal di situ, senang untuk turun bekerja sebagai pelayan restoran di tingkat bawah. Dia tidak kisah diterima hanya sebagai pelayan restoran, baginya itulah rezeki yang ditakdirkan untuknya.

“Kalau macam tu Sarah balik dulu la, kalau ada apa-apa callje Sarah.”

Suara risau Sarah mengembalikan Syahirah ke alam nyata. Dia senyum lalu tangannya melambai mesra dua beradik yang sedang menuruni tangga.

“Jangan lupa kunci pintu.” Sarah menjerit dari bawah, risau juga hendak tinggalkan Syahirah sendirian, bila diajak bermalam di rumahnya asyik menolak je, mungkin dia tidak mahu menyusahkan orang lain.

Lambaian Syahirah dibalas mesra. Kehadiran Syahirah banyak mengajarnya erti ikatan keluarga, dari cerita Syahirah tadi dia mula sedar betapa beruntungnya mempunyai keluarga dan ia telah mengajarnya supaya bersyukur kerana masih ada keluarga untuk bergantung dan menumpang kasih. Ya, dia sangat bersyukur.

Kedatangan Syahirah juga melengkapkan erti keluarga kepadanya, Syahirah bagaikan kakak kepadanya, sering memberi nasihat dan berkongsi cerita. Kedatangan Syahirah juga meringankan sedikit beban dalam menguruskan restoran keluarganya. Pekerja ayahnya sudah seminggu berhenti, hendak dicari pengganti agak susah, mana ada anak-anak muda zaman sekarang yang ingin bekerja sebagai pelayan restoran. Hanya dia dan adiknya yang ada saat itu, adiknya pula masih bersekolah menengah, kalau rajin dia akan membantu ayahnya, kalau tidak, ada sahaja alasan yang diberi.

Dia pula saat itu baru sahaja balik ke kampung untuk bercuti semester, tidak disangka pula dia akan dipertemukan dengan wanita itu. Kaki melangkah seiringan dengan adiknya, lusa dia akan kembali ke universiti, masa cutinya yang agak panjang terasa sekejap sahaja, malas pula hendak memulakan semester baru, terasa sayu hatinya hendak meninggalkan Kak Sya dan juga keluarganya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku