60 MINIT
Bab 1
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 15 Februari 2017
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
534

Bacaan






1

Suasana suram menyelubungi kawasan lapang itu. Perlahan-lahan kakinya diatur mencari jalan keluar. Sambil berjalan dia memerhati sekeliling.Tiada sesiapa di situ.Tiada tumbuhan, tiada haiwan bahkan tiada satu bangunan pun. Yang ada hanyalah sebuah kawasan lapang yang suram lagi menyeramkan. Tiada cahaya yang menyinari kawasan tersebut. Dia kebingungan dan hilang arah.

“Ferhan!” panggil satu suarayang menyerupai suara seorang lelaki.

Ferhan menghentikan langkahnya. Dia mencari arah suara itu datang. Puas ditoleh ke kanan, kiri, belakang dan depan namun tiada sesiapa di situ. Sepi! Ferhan kebingungan. Dia yakin ada suara yang menyeru namanya sebentar tadi.

“Ferhan!” panggil satu suara lagi, bergemersik halus. Dekat dirasakannya. Meliar mata Ferhan mencari jika ada sesiapa di situ. Namun hampa.

“Siapa tu?” soal Ferhan dengan suara yang lantang. Hilang sabarnya apabila dia berasa seperti sedang dipermainkan.

Senyap. Tiada sebarang suara yang menyahut pertanyaannya. Ferhan menghela nafasnya, berat. Kakinya terus diatur tanpa arah. Penat berjalan, Ferhan duduk melepaskan lelah.

“Hei, aku kat mana ni, ha?” soal Ferhan lagi. Dia tidak tahu soalan itu untuk siapa sebenarnya. Hanya suaranya sahaja yang bergema.

Sepi!

“Ferhan!” suara garau itu kedengaran lagi.

Ferhan pasang telinga. Dia yakin ada seseorang yang memanggil namanya. Hanya suara tanpa kelibat si pemanggil.

“Hei,janganlah main-main dengan aku! Kau tak kenal lagi siapa aku! Kalau berani tunjukkanlah diri kau tu, pengecut!” bentak Ferhan geram. Namun tiada balasan.Dia mula berasa tidak senang dengan situasi tersebut.Tidak menunggu lama, dia terus mengambil langkah seribu.

Semakin dia berlari meninggalkan kawasan itu, semakin galak suara-suara itu memanggilnya. Dia bagaikan dikejar sesuatu tetapi dia tidak tahu apakah yang sedang mengejarnya. Tidak semena-mena dia tersadung lalu terjatuh. Ferhan mengaduh kesakitan. Dia cuba mencari punca dia jatuh. Tetapi dia tidak melihat apa-apa objek di situ. Dia semakin kebingungan. Dia pasti dia telah terlanggar sesuatu sebentar tadi hingga menyebabkan dia jatuh tersembam.

“Ferhan!” suara itu begitu dekat membisik ke telinganya.

“Kau siapa? Kalau berani muncullah depan aku! Aku tak takutlah!”cabarnya dalam gugup.

Kedengaran tawa berdekah-dekah seolah-olah apa yang diperkatakan oleh Ferhan itu begitu menggelikan hati mereka. Ferhan semakin berang kerana dipermainkan begitu. Sejurus tawa itu hilang. Tiba-tiba, Ferhan dihujani dengan keratan tubuh manusia yang seakan-akan turun dari langit lalu menghempap dirinya berserta suara yang galak memanggil namanya.Ferhan menepis keratan-keratan yang berlumuran darah itu. Hanyir darah menusuk ke hidungnya. Satu kepala tepat jatuh di kaki Ferhan. Mata si pemilik kepala seolah-olah sedang merenung tajam ke arahnya. Ferhan menjerit sambil menutup mukanya.

“Ferhan! Ferhan! Bangun!” panggil satu suara. Dia terasa seperti tubuhnya sedang digoncang seseorang. Suara itu terus memanggil namanya. Dia seperti kenal suara itu, namun dia takut untuk membuka matanya bimbang jika apa yang dilihatnya nanti sesuatu yang mengerikan. Dia tidak sanggup!

“Ferhan! Bangun!” arah Pak Busu.

Ferhan membuka matanya perlahan-lahan. Terkebil-kebil dia memandang lelaki tua di hadapannya.Jantungnya masih berdetak kencang. Tubuhnya berpeluh bagai baru lepas bersenam. Terus sahaja Ferhan mendakap lelaki di hadapannya.

Pak Busu kaget dengan tingkah Ferhan. Pak Busu melepaskan nafasnya perlahan. Sudah beberapa malam Ferhan berkeadaan seperti itu. Hati tuanya dipagut bimbang.

“Ferhan kenapa ni?” soal Pak Busu sebaik melepaskan pelukan Ferhan. Sudah beberapa malam itu jugalah dia bertanyakan soalan yang sama. Dia mengambil air yang diletakkan di meja sebentar tadi lalu dihulurkan kepada Ferhan.

Ferhan meneguk perlahan air yang diberikan oleh Pak Busu. Kemudian menyerahkan kembali gelas yang sudah kosong itu kepada Pak Busu.

“Pak Busu, mimpi itu ganggu saya lagi,” beritahu Ferhan seakan berbisik. Wajahnya seperti orang dalam ketakutan. Dia melepas pandang kiri dan kanan. Dia bimbang jika suara atau keratan-keratan tubuh itu mengikutinya.

Pak Busu beristighfar lalu meraup wajahnya. Sudah seminggu Ferhan berkeadaan begitu. Dia tidak tahu apakah yang tersirat di sebalik mimpi anak angkatnya itu. Namun dia yakin mimpi-mimpi yang dialami oleh Ferhan pasti ada kaitan dengan kisah silam mereka dahulu. Perlukah cerita lama dibongkarkan kembali atau terus menjadi rahsianya sendiri?Pak Busu dilema. Namun dia kasihan melihat keadaanFerhan. Dia tidak tahu apakah akan berlaku sekiranya kisah lama itu dibongkarkan. Pak Busu serba salah.

“Sudahlah. Mimpi itukan mainan tidur. Pergi ambil wuduk. Dah alang-alang kamu terjaga ni, marilah kita buat solat tahajud,” ajak Pak Busu, cuba untuk menenangkan hati Ferhan. Walhal hatinya juga galau. Dia tidak tahu apakah mimpi itu sebagai satu petanda buatnya dan Ferhan atau mainan tidur Ferhan semata.

Ferhan mengangguk perlahan. Dia mengatur langkah menuju ke bilik air. Dia benar-benar terganggu dengan keadaan itu. Sehingga hari ini dia cuba mencari jawapan disebalik mimpi-mimpinya itu. Namun dia buntu. Dia tidak tahu dari mana dia harus mulakan. Dia bingung memikirkan kaitan mimpi itu dengan dirinya. Sehingga hari ini dia berharap pemilik suara itu mengenalkan diri kepadanya.

Tiba-tiba dia tersenyum sendiri apabila memikirkan tentang harapannya itu. Mana mungkin dia mengatur plot mimpinya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku