60 MINIT
Bab 2
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 15 Februari 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
718

Bacaan






2

Pak Busu leka menyapu sampah di halaman rumah. Sebuah kereta Honda City memasuki perkarangan rumahnya. Pak Busu menghentikan sapuan. Matanya melorot ke arah kereta yang berhenti betul-betul di hadapan beranda rumahnya. Dia mendekati kenderaan tersebut. Kelihatan seorang lelaki segak melemparkan senyuman kepadanya sambil membuka kaca mata hitam.

“Assalamualaikum,” ucap lelaki tersebut lalu menyalami Pak Busu yang masih kelihatan terpinga-pinga.

“Waalaikumusalam,” jawab Pak Busu perlahan sambil menyambut huluran tangan lelaki itu. Berkerut dahinya, cuba mengecam lelaki di hadapannya.

Lelaki itu menguntum senyum kepada Pak Busu.

“Apa khabar Pak Busu?” soal lelaki itu sekadar berbasa-basi.

“Alhamdulillah sihat. Encik ni...”

“Saya Nadeem, peguam Tan Sri Richael. Kalau Pak Busu masih ingat saya anak kepada arwah Dato’ Nukman. Saya yang gantikan tempat arwah papa saya. Kita pernah berjumpa sekali, ingat tak?” beritahu Encik Nadeem apabila melihat Pak Busu sukar mengecamnya.

“Astaghfirullahaladzim, Encik Nadeem rupanya. Lama kita tak berjumpa. Dulu Encik Nadeem kurus aje. Ini nampaknya sudah berisi, tu yang Pak Busu tak berapa cam. Maafkan Pak Busu ya. Kenapa Encik Nadeem datang ke rumah Pak Busu ni? Eh, jemput masuk ke dalam,” soal Pak Busu sambil mempelawa Encik Nadeem masuk ke dalam rumahnya.

“Tak apalah Pak Busu, kita berbual di luar ini aje,” ajak Encik Nadeem lalu menarik kerusi yang berada di beranda rumah.

“Boleh juga. Jemput duduk Encik Nadeem.”

“Terima kasih Pak Busu,” ucap Encik Nadeem perlahan.

“Ada tujuan apa datang sini? Tan Sri apa khabar?” soal Pak Busu ingin tahu. Kehadiran Encik Nadeem benar-benar membuatkan hatinya galau.

“Begini Pak Busu, sebenarnya Tan Sri dah meninggal dunia dua hari lepas,” beritahu Encik Nadeem.

Tercengang Pak Busu mendengar berita tersebut. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baharu sahaja didengarinya. Pak Busu beristirja’.

“Kenapa tak ada siapa yang beritahu saya?” soal Pak Busu dengan nada terkilan. Sudah lama dia tidak bertemu dengan bekas majikannya itu. Jika tidak silap perhitungan adalah dalam lima tahun juga. Itu semua atas permintaanTan Sri sendiri.

“Maaf, sebenarnya arwah Tan Sri yang mahukan begitu. Dia mengamanahkan saya untuk bertemu dengan Pak Busu dan Ferhan setelah dia meninggal dunia,” terang Encik Nadeem untuk menghilangkan rasa terkilan Pak Busu.

“Tak sudi betul dia bertemu saya dan Ferhan,” luah Pak Busu dengan nada kecewa.

“Pak Busu jangan salah faham. Bukan Tan Sri tak nak bertemu dengan Pak Busu tapi dia segan dan rasa bersalah. Janganlah Pak Busu berkecil hati ya,” pujuk Encik Nadeem.

Pak Busu menguntum senyuman sekilas. Dia tahu bukan mudah untuk Tan Sri Richael melupakan segala hal yang telah berlaku.Begitu juga dengan dirinya. Bertahun dia dan Tan Sri Richael menanggung beban atas kesilapan masa lalu.

“Jadi apa tujuan Encik Nadeem datang ke mari?” soal Pak Busu ingin tahu.

Encik Nadeem memandang wajah Pak Busu serius.

“Sebelum saya beritahu tentang kedatangan saya, boleh saya tahu, sama ada Ferhan ada atau tidak di rumah sekarang ni?” tanya Encik Nadeem.

“Ferhan dia dah pergi kerja awal pagi tadi. Kalau Encik Nadeem nak jumpa dengan dia, malam nanti adalah dia di rumah,” beritahu Pak Busu.

“Oh...Kalau begitu, saya datang malam nantilah. Pak Busu beritahu dia yang saya nak jumpa dia malam ni boleh?” pinta Encik Nadeem.

“Insya-ALLAH, Pak Busu akan beritahu pada Ferhan nanti.”

“Terima kasih, Pak Busu. Kalau begitu, saya minta diri dulu. Malam nanti dalam pukul sembilan saya datang, boleh?”

“Boleh, datanglah. Pak Busu dan Ferhan akan tunggu Encik Nadeem.”

Encik Nadeem mengangguk. Dia bersalaman dengan Pak Busu, kemudian berlalu meninggalkan halaman rumah Pak Busu.

Sebaik sahaja kereta yang dipandu Encik Nadeem hilang dari pandangannya, terus sahaja dia menghubungi Ferhan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku