KORBAN
Bab
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 15 Februari 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)
1465

Bacaan






         “Amir..Amir okay ke?”

          Tiada respon.

         “Amir...Tolong lah sahut.”

          Tiada respon.

         “Amir..tolong..jangan risaukan saya.”

          Masih tiada respon.


                                                           *******************************


        “Encik..saya minta tolong sangat-sangat. Jangan apa-apakan saya.”

        “Hahahaha!!!”

        “Saya janji saya kunci mulut saya. Saya janji saya tak laporkan kepada sesiapa pun apa yang berlaku di sini. Tolong lah lepaskan saya. Saya minta maaf.”

        “Kau diam!”

         Tersentap.

        “Kau tahu tak kenapa kau terperangkap di sini??”

         Geleng.

        “Kau patut rasa berbangga! Kau terpilih untuk disucikan! Jasad kau terpilih sebagai media maya Ruji Hitam!”

         Tercengang.

        “Haluan karma kau telah dipilih Ruji Hitam. Bukan aku yang sengaja sumbat kau di sini! Bukan aku yang memadai ikat kau, bekukan pergerakan tulang empat kerat kau! Kau amat bertuah! Kau telah dipilih oleh pemerintah yang paling berkuasa di alam kegelapan.”

         Masih tercengang. Ketakutan.

         “Jangan risau. Kehidupan di sana dijanjikan kebahagiaan dan kekuasaan. Kau bakal menjadi hamba kepada pemerintah alam kegelapan. Kau bakal bersatu dengan Ruji Hitam. Segala kekuasaan yang ditakluki Ruji Hitam akan turut meresap di setiap pelusuk emosi minda bawah sedar kau! Jiwa kau akan diangkat ke ruangan idaman para penyembah syaitan. Setiap titik darah merah kau akan tidak akan disia-siakan sama sekali oleh Ruji Hitam! Untungnya kau!”

         Kali ini mata Amir terjegil. Ketakutan yang menusuk masuk tulang sum-sum, menikam-nikam seram sejuknya.

         Skrettt..Skrettt..Skrettt..

         Bunyi asahan parang memenuhi segenap penjuru bilik. Parang itu sepanjang lengan dewasa, dengan hulunya dibalut dengan kain merah. Tidak pasti merah warnanya, ataupun merah seperti dicelupkan di dalam himpunan darah. Lelaki bertopeng putih itu berhenti seketika dan mengacukan parang ke arah celahan cahaya yang menembusi di sebalik lubang dinding bilik suram itu. Matanya dipejamkan sebelah, memerhatikan dan memastikan mata parang itu benar-benar tajam. Sesekali hujung kukunya disagat perlahan di mata parang tersebut. Tidak berpuas hati, dilalukan sedikit parang itu di jarinya. Darah mengalir. Hanya dengan melalukan parang. Gila!

         Skrettt..Skrettt..Skrettt..

        “Encik..maafkan saya encik. Jangan buat macam ni dekat saya encik. Tolong lah encik. Tolong lah. Saya janji saya akan diamkan diri jika encik lepaskan saya. Tiada siapa akan tahu apa yang berlaku disini encik.”

         Lelaki itu berhenti mengasah parang. Topeng putih di buka, diletakkan di sebelah. Lelaki itu menoleh ke arah Amir. Wajahnya kurang jelas. Tetapi dapat didengar dengan jelas dengusan nafas. Dengusan yang semakin kuat. Seram. Lelaki itu meletakkan parang di atas para dan kembali memakai topeng putih. Menghampiri Amir. Percikan darah kering jelas kelihatan di permukaan topeng. Ngeri!

        “Betul kau akan diamkan diri sekiranya aku lepaskan kau?”

         Angguk.

        “Kau nak beritahu sesiapa??”

         Geleng.

        “Bodoh! Aku dah cakap kau bertuah! Kau terpilih!”

         Tanpa sempat Amir memberikan sebarang respon, satu hayunan tumbukan singgah tepat di tulang pipi kanan Amir. Berdesing! Tanpa sempat Amir menghadam apa yang sedang berlaku, satu lagi hayunan tumbukan hinggap di keningnya pula. Sakit! Tumbukan demi tumbukan menghentam kepala Amir. Pening! Darah merah bersembur keluar dari hidung Amir. Tidak pasti dari hidung ataupun mulutnya.

        “Bodoh! Bodoh! Bodoh!!!”

         Jeritan yang diselangi tumbukan demi tumbukan. Tangan lelaki itu penuh berlumuran dengan darah Amir. Masih tidak berhenti. Terus menumbuk tanpa belas kasihan.

        “Bodoh!! Aku dengki kau terpilih! Kau patut berbangga menjadi pilihan Ruji Hitam! Bodoh!!!”

         Kepala Amir ibarat bola. Lidahnya terjelir keluar. Tidak sempat berbuat apa-apa. Hanya bunyi pukulan, kesakitan dan jeritan yang kedengaran di situ.

        “Bodoh!”

         Setelah beberapa minit, lelaki itu terhenti. Amir terkulai layu. Hanya bunyi nafas tersekat-sekat kedengaran dari mulut Amir.

        “Hnssss..Hnssss...Hnsssssss…”

         Bersusah-payah Amir cuba untuk bernafas.

        “Jangan lebih-lebih. Aku perlukan darah dia.” Bisikan yang kedengaran di telinga lelaki bertopeng itu. Sayup-sayup. Bisikan yang menghentikan tumbukannya ke atas lelaki kasanova yang bernama Amir itu.



                                                        *******************************



        Perlahan-lahan kelopak mata Amir dibuka. Berat sekali rasanya, bagaikan matanya ditutup kemas dengan kokot dawai. Visi penglihatan dari pandangan kabur ber ”bokeh” semakin terang. Tangannya masih terikat dengan rantai besi. Amir cuba bernafas. Susah! Nafasnya terasa berat sekali, mungkin kerana darah-darah di hidungnya telah mula melalui proses pembekuan. Dadanya terasa berat, seakan-akan beberapa lapis tulang selangkanya patah, remuk. Kelibat lelaki bertopeng itu tidak kelihatan. Bahang dari pendandang api terasa hangatnya. Mata Amir kadang-kadang termasuk peluh masinnya. Memedihkan mata Amir. Menyebabkan penglihatannya kabur, tidak jelas.

         Kreekkkkkkkkkkkk…..

         Pintu bilik dibuka. Bayangan lelaki itu kelihatan. Kali ni dia mengenakan jubah tidak berdondon, serba hitam, yang menutupi seluruh tubuhnya. Topengnya masih dipakai. Lelaki itu menuju ke penjuru bilik. Terdapat satu almari yang menyimpan pelbagai peralatan ritual diletakkan di situ. Satu persatu dikeluarkannya. Lilin, mangkuk emas, jerami padi yang diikat kemas, kulit harimau belang yang diawet? Tanduk haiwan?? Tengkorak manusia??? Aneh! Lelaki itu menghamparkan kulit harimau belang di tengah-tengah bilik. Belang-belang hitam kuning harimau kelihatan amat pudar. Kesan tompokan darah kering menutupi sebahagian penuh corak di bangkai kulit raja haiwan itu. Amir menggeletar.

        “Darah siapa? Adakah nasib aku begitu??” Bisik Amir di dalam hati tatkala melihat kesan darah di kulit harimau itu, dan juga 5 buah tengkorak manusia yang diletakkan di hujung kaki Amir. Takut!

         Lelaki bertopeng itu menyusun cantik kelima-lima tengkorak manusia itu. Mengelilingi kulit harimau yang dihamparnya. Setiap satu diselang seli dengan lilin berwarna merah. Usai menyusun kesemua tengkorak. Lelaki itu kelihatan seperti sedang menggagau mencari sesuatu di dalam kocek di sebalik jubahnya.

        “Ada lighter?”

         Geleng.

        “Sial!”

         Tidak semena-mena, lelaki bertopeng itu terus meluru ke arah Amir dan menendang tulang rusuk kiri Amir. Sekuat hatinya.

        “Sial! Sial! Sial!”

         Bertubi-tubi tendangan dilepaskan, ibarat Amir diperlakukan seakan-akan beg pasir peninju Muay-Thai.

        “Sudah..jangan lebih-lebih. Aku perlukan dia dalam keadaan bernyawa.”

         Lelaki bertopeng itu menghentikan serangan ketika terdengar bisikan halus di telinganya. Dia kembali menyediakan tempat ritual. Cantik susunan peralatan yang disediakan. Berseni. Abstrak. Amir hanya mampu menjelingkan mata melihat lelaki tersebut. Kepalanya terkulai, tidak mampu untuk diangkat. Usai menyusun kesemuanya, lelaki bertopeng itu melangkah keluar dari bilik.

        “Kau tunggu ye..sabar..tak lama lagi kau akan disucikan. Bertuahnya kau,” katanya sambil berlalu pergi.

         Pasrah.


*******************************


        “Amir..tolong. Bertahan Amir. Jangan tinggalkan saya di sini. Saya takut seorang diri.”

         Tiada respon.

        “Amirrrrrr!!!!!!”

         Tiada respon. Hanya titisan darah kedengaran, memenuhi besen-besen yang disusun di tempat torehan di seluruh tubuh badan Amir. Raungan histeria gadis itu, ketakutan menggema-gema sayu di dalam bilik itu.


*******************************


          Kreekkkkkkkkkkkk……

          Pintu dibuka. Lelaki itu memegang sesuatu, seakan-akan kotak mancis. Amir berpura-pura tidak sedarkan diri. Takut. Lelaki itu menghampiri Amir. Berada betul-betul dihadapannya, di hujung kaki Amir. Amir membuka sedikit pejaman matanya. Dapat perhatikan lelaki itu berkaki ayam. Kukunya panjang, hitam, berdaki, berkerutu, berkurap. Jijik!

         “Aku dengki dengan kau. Kenapa bukan aku yang dipilih? Kenapa tuan Ruji Hitam lebih mementingkan kau dari aku?”

          Berpura-pura tidak sedarkan diri.

         “Aku perlukan kau. Darjat kau lagi tinggi dari mangsa-mangsa korban. Kau malaikat aku. Kau tangan kanan aku. Kau tunjang utama Ruji Hitam!!” bisikan yang tiba-tiba kedengaran.

         “Hahahaha! Baiklah! Terima kasih tuan.”

          Amir memasang telinga. Bibirnya terkejap-kejap menahan ketakutan. Benarkah apa yang didengarnya? Mangsa korban? Sahih lelaki bertopeng psiko ini kurang siuman. Bercakap seorang diri. Tiba-tiba ubun kepalanya dihentam sesuatu. Dihentam dengan sesuatu yang keras seakan-akan kayu. Hanya ngilai tawa kegilaan dari mulut lelaki bertopeng itu kedengaran.

         “Hahahahahahah!!!”

          Ikatan Amir dilonggarkan. Tubuhnya yang kurus itu diseret dengan mudah sekali. Mahu sahaja Amir meloloskan diri, tapi tidak berdaya. Setiap saraf, tisu dan organnya tidak mampu bertindak mengikut pemikiran. Amir terlalu tidak berdaya, kesakitan. Tubuh Amir kemudiannya diangkat dan diletakkan di atas kulit harimau itu. Satu lagi tendangan dilepaskan ke arah rusuk kanan Amir. Bersemburan darah keluar dari mulutnya. Amir tidak mampu lagi melawan. Hanya berserah kepada takdir. Andai kata ajal, tolong lah cepatkan ajal Amir. Dia tidak mampu diseksa sedemikian rupa. Lilin-lilin yang disusuan di sekeliling dinyalakan oleh lelaki itu. Kadang-kadang kedengaran lelaki itu menyumpah, susah nak menghidupkan goresan mancis dek tangannya yang basah dengan peluh bercampuran dengan darah Amir. Usai menyalakan kesemua lilin, Lelaki itu mencapai parang yang diasahnya sebentar tadi, dan berdiri di bahagian kepala Amir. Mulutnya terkumat kamit seperti membaca mantera.

         “Ruji Hitam!! Hadiah ini hadiah untuk mu!! Terima lah!! Sesungguhnya kekuatan mu akan berlipat kali ganda!!”

          Amir memejamkan mata. Tiada lagi ketakutan. Hanya lah sesalan. Jika dia tahu begini nasibnya, tidak akan sama sekali dia sanggup menyelinap masuk di lorong tidak berpenghuni di kawasan rumah terbiar di hujung kampung ini, semata-mata untuk melampiaskan nafsu bersama kekasihnya. Bukannya dia tidak tahu orang kampung selalu melarang dan berpesan untuk tidak menghampiri kawasan ini, tetapi apakan daya, hasutan syaitan lagi hebat. Dek nafsu, badan binasa. Amir sedar, sini adalah kawasan yang paling selamat untuk melakukan aksi terkutuk tanpa sebarang gangguan. Dua tiga kali dia melawat kawasan ini bersama kekasihnya, tetapi rasanya ini adalah yang terakhir.

         Selang beberapa detik, tangan kanannya terasa seperti disiat-siat. Sakit! Ibarat kulitnya dilapah. Amir menjerit kesakitan. Meraung-raung!

        “Sakitnya!!! Ya Tuhanku! Sakitnya!! Tolong aku ya Tuhan!! Bantulah hamba-Mu yang lemah ini ya Tuhan!!”

         Ketawa.

        “Baru nak ingat tuhan?” Kali ini Amir pula yang terdengar bisikan. Terkesima.

         Beberapa minit kemudian, tangan kirinya pula disiat-siat. Sakit! Diteruskan dengan kulit pahanya, dan diakhiri dengan kulit perutnya. Amir membuka sedikit mata bagi melihat kondisi tubuhnya. Terkejut! Tangannya, kakinya, perutnya, tiada kulit! Merah menyala! Seakan-akan daging lembu yang baru dilapah. Amir hanya mampu menangis kesakitan. Darahnya kelihatan mengalir dengan laju sekali, memenuhi dan melimpahi kulit harimau itu. Kali ini Amir tersentak. Perutnya terasa dirobek dengan sesuatu yang tajam. Parang itu rasanya!

        “Hahahahah! Mati! Mati! Mati kau! Untung kau! Mati sebagai korban Ruji Hitam! Untung kau! Mati! Mati!”


                                                              *******************************


          Setelah berhempas-pulas, ikatan tangannya menjadi longgar. Gadis itu tergopoh-gapah menguraikan ikatan di tangan dan kakinya. Sudah bebas! Air matanya masih tidak berhenti-henti menangis. Hidungnya masih kuat menangkap bau hamis darah Amir, darah kekasihnya.

         “Amir..saya minta maaf! Saya sayang awak! Saya terpaksa tinggalkan awak.”

          Diam.

          Gadis bertubuh kecil itu melihat keadaan sekeliling. Fikirannya masih bercelaru, fobia barangkali, tatkala melihat kekasihnya itu diheret dalam keadaan sedemikian rupa, ibarat bangkai lembu, dan diletakkan betul-betul dihadapannya. Diperhatikan sekali imbas, Amir tiada rupa Amir. Ibarat daging lembu mentah yang disiang kulitnya, perut Amir terburai, menampakkan isi usus. Berkali-kali gadis itu muntah dari tadi. Tekak gadis itu terasa pedih sekali, menjerit ketakutan tanpa henti dari tadi. Matanya juga pedih dek air mata yang tidak henti-henti. Dengan bersusah payah, gadis itu cuba menyokong tubuhnya untuk berdiri. Sekali lagi pandangannya memaku ke arah mayat Amir.

         “I love you.”

          Gadis itu melangkah dengan laju, tetapi berhati-hati. Pintu bilik dibuka dengan perlahan-lahan. Dia menyusuri lorong-lorong gelap di rumah itu. Nafasnya berdegup kencang. Hendak pecah rasanya! Pintu utama kelihatan. Sebuah pintu yang dicat dengan warna kuning cair. Lusuh. Gadis itu berdoa agar pintu itu tidak berkunci.

         “Tolong lah tidak berkunci.”

           Pintu tombol dipulas. Benar, tidak berkunci! Sedikit kegirangan menyelinap di hati gadis itu. Pintu dibuka dengan perlahan. Sekali lagi gadis itu meninjau keadaan sekeliling. Lelaki bertopeng itu tiada!

         “Terima kasih ya Tuhan.”

          Betul-betul di hadapan sebuah perigi lama yang terletak di luar rumah, motosikal merah milik Amir kelihatan diletakkan di situ. Gadis itu mengecilkan matanya, memfokuskan penglihatan ke arah tempat kunci motosikal. Kuncinya masih tergantung di situ!

          Senyum.

          Tanpa berfikir panjang, dia terus berlari ke arah motosikal. Nyaris-nyaris hendak terjatuh dek tersadung tiang pintu. Apa lah sangat kesakitan tersadung itu jika nak dibandingkan dengan angker keadaan sekarang. Sebaik sahaja hampir tiba, tiba-tiba sahaja gadis itu terdengar bunyi tapak kaki mengejar pergerakannya. Sekelip mata sahaja rambutnya terasa ditarik dengan kuat dari belakang. Rambutnya disentap sekali lagi, kali ni lebih kuat. Kulit kepalanya terasa hendak tercabut. Tanpa sempat gadis itu menoleh ke belakang, bekalang leher gadis itu terasa dipegang, dan disentap buat kali ketiga. Pedih sangat! Kulit kepalanya terasa seakan-akan tercabut! Mana tidak pedih, sebahagian kulit kepalanya telah tertanggal, terkopek. Hampir suku rambut gadis itu luruh.

         “Hahahahahahhaha!”

          Meraung kesakitan.

          Lelaki bertopeng itu terus menyeret rambut gadis genit itu, sambil ketawa besar, mengheret masuk kembali ke dalam rumah.

         “Hahahahahhahaha!”


                                                           *******************************


          Setahun sudahpun berlalu. Berita kehilangan Amir dan pasangannya telahpun dilupakan saban hari. Laporan pihak berkuasa hanya tinggal sehelai surat bertaip tanpa dipedulikan.

          Di sebalik rimbunan pokok, bersebelahan dengan perigi lama, kelihatan sepasang kekasih sedang bercengkarama.

        “Ish! Abang ni..apa pegang-pegang. Malu la orang nampak.”

        “Apa nak dimalukan? Bukannya ada orang pun kati sini. Kalau ada pun makhluk bunian barangkali. Hehehehe..”

        “Apa la abang ni..orang betul-betul, dia main-main pula”.

         Mencebikkan bibir.

        “Alaaa..abang gurau je sayang abang intan manis payung.”

         Senyuman gatal diukir.

        “Dah tengah hari dah ni bang. Abang tak pergi Solat Jumaat ke?”

        “Alaaaa..sekali sekala je abang ponteng, bukannya selalu. Hari ni abang nak teman sayang. Abang nak gembirakan hati sayang. Hehehehehe..”

        “Eeeee...meluatnya..menyampah!”

          Sepasang mata menghendap telatah pasangan kekasih itu, di sebalik dinding rumah usang tidak berpenghuni itu. Nafasnya berdegup kencang. Di tangannya memegang sebuah topeng, berwarna putih kemerahan. Senyumannya jelas kelihatan, memperlihatkan giginya yang kuning pekat dan berselaput.

         “Kau masih lagi pengikut setia aku kan?”

         “Selagi jasad saya masih bernyawa, dari hujung rambut ke hujung kaki saya abdikan kepada tuan Ruji Hitam.”

         “Hahahaha..bagus! Kau lah yang hamba aku yang paling mulia. Aku janjikan kau tempat bersebelahan dengan ku di alam kegelapan. Bersama-sama memerintah denganku.”

          Tersenyum kegirangan.

         “Kau tahu apa nak dilakukan?”

          Angguk.

         “Bagus..teruskan.”



                                                                         -TAMAT-





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku