SELAMAT MALAM TAN SRI
Bab (1) Ada Duka di Kuala Lumpur
Genre: Keluarga
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Februari 2017
Adaptasi 26 Episod Novel Selamat Malam Tan Sri (Alaf 21) karya Sri Diah terbitan Iris Intergrated Sdn Bhd untuk RTM.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
718

Bacaan







Kita melihat kelembutan dunia dan dengan perlahan

membentuk hati kasar menjadi runtun

Kita lalu sembunyikan jiwa robek musim lalu

dengan berhati-hati supaya tidak retak seribu


Ramai beranggapan Kuala Lumpur ini ada segala. Segala itu apa? Apakah itu bermakna mencari kebendaan, kesenangan dan hidup dibuai kemodenan? Namun bukan mudah untuk senang. Seperti juga bukan mudah untuk perut sentiasa kenyang di bandar kosmopolitan ini.

Di mana pula diletakkan maruah? Maruah ada, cuma ia selalu dapat kepada yang ada matlamat hidup yang jelas. Kepada mereka yang tidak samar-samar meneruskan hidup. Itu jelas, tidak disorokkan.

Bermatian di Kuala Lumpur adalah sebuah perjanjian berani yang tidak ramai mahu. Namun ramai yang terpaksa bermati-matian di Kuala Lumpur, ramai orang tahu itu!

Hari itu seperti dua minggu sekali kebiasaannya, sebuah kereta mewah berwarna merah berhenti betul-betul di hadapan sebuah kafe eksklusif di Jalan Ampang yang sibuk. Berada di restoran itu adalah rutin hujung minggu golongan berada.

Dua orang perempuan muda turun dari kereta mewah itu. Pemandunya seorang wanita bukan Melayu terus memberikan kunci kepada lelaki penjaga kereta yang berdiri di muka pintu. Senyuman mereka bertukar seketika.

Mereka berjalan dengan gaya wanita kota yang sofistikated. Berbaju moden dengan fesyen terkini dan rambut dilepaskan. Seorang berambut pendek, berseluar panjang dengan blaus putih. Seorang lagi dengan skirt labuh, baju polos dengan butang berderet di tengah dada.

Baru saja tangan mereka mahu mencapai tombol pintu bercermin gelap itu, muncul sebuah lagi kereta mewah. Pemandunya terus membunyikan hon beberapa kali. Kedua-dua perempuan muda tadi menoleh hampir serentak.

“Puan Netty, tunggu sekejap!” Laung satu suara garau. Lelaki itu melambai-lambaikan tangannya dari cermin kereta yang diturunkan sedikit.

Perempuan yang dipanggil Netty, bercekak pinggang. Tubuhnya tegap berdiri, cantik dan mantap gaya berdirinya. Matanya sengaja disepetkan. Dia kelihatan keliru dengan situasi itu. Memang dia kenal dengan lelaki yang melaung memanggil namanya.

“Kenapa?” Dia menyoal dengan dahi berkerut. Kakinya masih terpaku di anak tangga restoran.

Apabila perempuan yang dipanggil ‘Puan Netty’ kelihatan tidak berganjak dari pintu besar, si pemandu kereta tadi seorang lelaki kurus tinggi terburu-buru keluar dari kereta. Pintu kereta ditutup perlahan. Dikunci menggunakan kunci dan alat penggera yang digenggam pada tangan kanannya.

Wanita itu yang nama sebenarnya Netty Karmila tersenyum sumbing.

“Ada apa ini? Apa halnya?”

“Puan kena ikut saya sekarang juga. Mari!” lelaki itu bersuara termengah. “Mari masuk ke kereta di sana.” Katanya jelas sambil muncungnya ditunjuk kepada kereta di belakang.

“Eh, saya ada hi tea dengan Datin Saerah. Kenapa ini?” Netty Karmila menyauk beg tangan di tangan kanan dan terus dikepit ke celah ketiak kirinya.

“Tahu tak, bos balik malam ini. Betul. malam ini” kata lelaki itu dengan bersungguh. “Mari saya hantar balik.” Tambahnya lagi.

Netty Karmila termangu lagi antara ragu dan keliru. Dia menanggalkan cermin mata hitam berbingai bulat itu. “Balik malam ini?” Soalnya.

Bos yang dimaksudkan oleh lelaki itu adalah suaminya. 

]Lelaki yang dinikahinya dengan segala ikhtiar dan penuh kasih sayang. Lelaki yang telah menaikkan darjatnya daripada perempuan yang biasa-biasa sahaja, dinobatkan menjadi seorang isteri yang sah.

Tiba-tiba senyumannya menjadi lebar. Dia melihat jam di tangan. Pukul 5.00 petang. Matanya bersinar-sinar, bercahaya. Dia tidak jadi meneruskan langkah untuk masuk ke kefe itu.

“Baiklah. Tunggu sekejap!” Jawabnya tegas.

Setelah berkata sesuatu kepada temannya tadi dan temannya pula terhangguk-hangguk tanda faham, pintu kafe mewah yang bercermin gelap itu dia tinggalkan dan dia mematah hala masuk ke perut kereta yang baru tiba.

Sekejapan sahaja kereta itu sudah meninggalkan kawasan kafe mewah. Kereta hilang susup sasap dalam sibuk ibu kota Kuala Lumpur, menuju jalan pulang. Kembali ke sebuah mahligai sepasang suami isteri, di pinggir ibu kota yang sibuk.

“Iyakah Daud? Bila bos telefon?’ Soal Netty Karmilla tiba-tiba setelah agak lama mereka tidak bercakap-cakap di dalam kereta.

Lelaki pemandu kereta mewah yang dipanggil Daud itu cepat-cepat mengalih pandangan dari jalanraya yang sibuk. Dia mengerutkan dahi, cuba mengingati sesuatu.

“Pukul 3.00 tadi, saya cuba telefon puan, tapi tak dapat.”

“Oh, masa tu di salun sedang buat rawatan rambut,” pintas Netty Karmilla kemudian.

“Saya juga ada whatsapp. Cuba tengok.” Kata lelaki itu lagi.

Netty diam saja tidak mengendahkan. “Oh, okay” katanya sepontan.

Ingatannya dibawa kepada satu sosok tubuh lelaki yang sudah lima hari berpisah dengannya. Berpisah jauh. Berpisah fizikal. Lima hari yang sepi, bagai ada kekurangan baginya.

“Tapi bukankah dia kata nak balik minggu depan? Mujurlah saya tak ikut Sally pergi ke Singapura. Kalau tidak...” keluhnya perlahan.

Dua puluh minit kemudian kereta mewah itu hampir sampai ke sebuah kawasan perumahan elit golongan atasan. Netty Karmilla mencapai beg tangannya lalu mengeluarkan secebis kertas dan sebatang pen. 

Dia menulis sesuatu dan kemudian kertas itu diberikan kepada Daud.

“Nanti tolong belikan saya barang-barang dalam senarai itu. Jangan pergi jauh-jauh, beli saja di supermarket sekitar sini. Kemudian cepat-cepat hantar ke rumah. Jangan lambat tau,” katanya bersungguh.

Matanya terbayang peti sejuknya yang kosong. Stok makanannya baru saja habis semalam. Apabila lelaki yang dipanggil `Bos’ oleh Daud pemandunya mahu pulang, maka stok peti sejuk mesti dipenuhkan.

Mengenangkan janji awal lelaki itu mahu balik tiga hari lagi, jadi dia memang malas nak berbelanja dapur. Dia benci ke supermarket. Itulah sebabnya apabila lelaki itu tidak ada di rumah, dia lebih suka makan di luar.

Dia akan makan di mana saja, apa saja. Tak kisahlah sama ada di restoran segera atau di warung-warung di Bangsar atau di Brickfields. Ataupun dia akan pesan pizza kegemarannya, terus dihantar saja ke depan pintu rumah.

Tapi hari ini jadual lelaki itu sudah berubah. 

Mujur Daud mencarinya dan memberitahu suaminya akan balik hari itu pula. Seperti biasa paling perlu lasagna, pizza dingin beku, sosej, daging burger ataupun nugget.

Dalam berkira-kira sambil membuka pintu rumah, dia tertanya-tanya mengapa rancangan lelaki itu berubah? Seminar dibatalkan atau lelaki itu tidak sihatkah?

Suasana sekitar banglo dua tingkat di pinggir pusat bandar itu sepi saja. Memang dia sendirian di rumah itu. Jika ada pun hanya dua orang pembantu rumah warga Indonesia - suaminya sebagai tukang kebun, isterinya memasak dan bertugas mengemas rumah.

Netty melihat-lihat segala isi rumah. Menarik. Memang dia meminati gaya Inggeris dalam menghias dan dia tidak rasa rugi mengeluarkan beribu-ribu ringgit untuk jururunding hiasan dalaman.

Dia mahu sesiapa saja yang masuk ke rumah itu akan berasa suasana yang lain daripada yang lain. Bukan seperti di rumah kebanyakan rakan-rakannya kelihatan tidak ubah seperti muzium dengan kerusi antik, berat, besar dan nampak macam pusat perabot kayu jati.

Di ruang tamu rumahnya itu yang semua dinding berwarna putih, dia melihat betapa cantiknya kuntum-kuntum tulip dalam bekas bunga. Langsir yang polos dan ringkas, ruang tamu tanpa kerusi kerawang dan tidak ada langsung hiasan-hiasan antik.

Begitu juga untuk hiasan di bilik tidur utama dan dua lagi bilik tidur tetamu. Gaya country tetap ada. Sentuhan Inggeris mempersonakan. Haruman lavender tetap mengisi setiap ruang, walau di sudut mana berada.

Telefon berdering tiba-tiba. Lamunannya terhenti. Pembantu rumahnya berlari-lari anak menyambut panggilan. “Tuan panggil,” kata perempuan itu.

Netty Karmila menyuruh perempuan itu meletakkan telefon kembali kerana dia mahu menyambut pangilan itu di dalam bilik tidur di tingkat atas sambil bebaring, itu lebih selesa baginya.

“Sayang apa khabar? Tak rindukan abang?”

Pertanyaan lelaki itu membuatkan hatinya lirih. Bohonglah kalau dia tak rindu. Terlalu. Namun mendengar suara lelaki itu pun sudah memadai baginya ketika itu.

“Netty baik-baik saja. Abang apa khabar?” soalnya sambil merebahkan badan di atas katil.

“Letih tetapi kena habiskan mesyuarat hari ini juga.”

“Maaflah, tadi Netty keluar sekejap. Sekarang abang di mana ni?” soalnya separuh resah.

“Sekarang masih di Jakarta. Nanti bila sampai airport abang telefon semula. Tak payahlah tunggu, biar Daud saja yang tunggu. Okey sayang, jaga diri ya. I love you so much.”

“Ya, Netty pun serupa!”

Panggilan yang hanya sekejap itu mampu melenyapkan rindu yang sekian lama bersarang dalam dadanya dalam mengisi hari-hari yang sunyi. Seperti berada dalam bilik gelap. Resah adalah jawapan kepada setia cintanya terhadap suami.

Netty Karmila terus berguling-guling di atas katil. Bibirnya tidak putus-putus mengukirkan senyuman.

Kemudian dia cepat-cepat bangkit. Ada urusan yang belum beres. 

Dia tahu ada tanggungjawabnya yang masih belum dilakukan. Cepat-cepat dia membersih diri dan segera mengambil wuduk.

Dalam doanya selepas solat, dia panjatkan rasa syukur dengan kelebihan yang dimiliki. Amat sedikit kekurangan yang dihadapinya jika hendak dibandingkan dengan insan lain. Dia insaf, banyak kekurangannya telah ditokok tambah oleh suaminya dan demi itu dia amat bersyukur.

Perniagaan telekomunikasi memang menguntungkan. Dalam dunia moden dan perhubungan tanpa sempadan ini telekomunikasi suatu yang wajib kepada setiap orang dan setiap organisasi. 

Segalanya sudah di hujung jari. Dan sebagai ahli perniagaan dia tidak fokus kepada satu bisnes sahaja. Dia ada banyak lagi cabang bisnes yang lain.

Netty tidak ragu-ragu lagi akan kemampuan suaminya itu.

Tan Sri Rahman Shah memang bukan calang-calang orang.

Dia lelaki terkenal bukan saja dalam negara, tetapi hinggakan ke luar negara. Merata dunia dia pergi ketika mengikut rombongan bisnes telah menampilkan dirinya sebagai bukan calang-calang ahli perniagaan.

Netty Karmila cuba menyakinkan diri, dia bukan tersalah memilih lelaki. Lelaki itu hebat. Yang jantan. Yang hero. Sebenarnya bukan mudah untuk memiliki lelaki itu, banyak yang mencuba namun akhirnya jatuh ke dalam tangannya.

Dan dia pula bukanlah sebarangan kucing. Dia kucing yang ‘cantik dan cerdik’ itulah yang selalu ramai lelaki labelkan terhadapnya. Oleh itu dia mahu terus mengekalkan gelaran ‘kucing yang cantik dan cerdik’ itu.

Tapi malam itu dia jenuh menanti. Tak mungkin kapal terbang ada masalah. Dia sudah melihat di semua aplikasi jika ada kapalterbang dari Jakarta yang ditimpa kecelakaan. Namun tiada. Sampai pukul empat pagi dia gagal mengesan di mana lelaki itu.

Penantiannya hampa. Janji lelaki itu rupanya kosong.

Dia sama sekali tidak akan menelefon. Apalagi mahu bertanya kepada Daud. 

Dia sudah dapat mengagak ke mana lelaki itu pergi dan di mana dia beradu malam itu. Daud yang menghantar suaminya ke rumah itu. Dia tidak boleh buat apa-apa lagi.

Menanti itu memeritkan dan dia terpaksa  menghadapinya.

Pernah dia berharap perkara ini tidak berulang lagi setelah berlaku beberapa kali bulan lalu. Namun apa daya dia? Dia isteri yang mungkin tidak sempurna bagi suaminya.

Atau dia isteri yang terlalu baik dan sabar?

Tiba-tiba dia berasa dialah ‘kucing yang cantik dan cerdik tetapi sakit!”




Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku