SELAMAT MALAM TAN SRI
Bab (6) Hati Kita Umpama Laut Bergelora Tiap Ketika
Genre: Keluarga
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Februari 2017
Adaptasi 26 Episod Novel Selamat Malam Tan Sri (Alaf 21) karya Sri Diah terbitan Iris Intergrated Sdn Bhd untuk RTM.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
153

Bacaan






Ajaib hati kita, ia seperti laut bergelora tanpa henti saban ketika

Engkau dan aku terjun ke dalamnya tanpa ragu

______________________________________________

HANIM tergamam. Benarkah apa yang kulihat?

Betulkah lelaki di hadapanku sekarang ialah Tan Sri Rahman Shah? Susuk tubuh lelaki itu ternyata tinggi daripada apa yang dia bayangkan selama ini. Lelaki itu memakai sehelai kemeja batik warna biru gelap bercorak garisan-garisan geometri dalam rekaan moden.

“Tan Sri, terima kasih kerana menjemput. Meriah sungguh,” kata Hanim. Suaranya separuh gabrah.

Lelaki itu senyum saja. Dia menarik sebuah kerusi yang terletak di meja satu lagi dan duduk di sebelah Hanim. “Acara biasa saja, saya meraikan staf dan semua pihak yang menyokong saya selama ini.

Hanim cuba memaniskan wajah, padahal hatinya sebal. Dia bimbang sekiranya lelaki itu tiba-tiba saja memarahinya dan menengkingnya. Mana nak diletakkan muka nanti?

“Sudah makan?” tanya Tan Sri Rahman Shah.

Hanim angguk dua kali. “Terima kasih. Sedap hidangan ala China malam ini.”

Kemudian masing-masing diam. Lelaki itu mengurut dagunya yang tidak berjanggut. Hanya tunggl-tunggul janggut yang baru saja usianya. Beberapa orang kakitangan syarikat lelaki itu berselisih di antara kerusi dan meja yang mereka duduk. Sempat juga mereka bertukar-tukar senyuman.

“Sudah lama Hanim kenal isteri saya?” Soalan itu pendek sahaja tetapi ia telah menggoncang seketul hati Hanim.

Hanim mempamerkan wajah keliru dan cepat bertanya.

“Isteri Tan Sri, yang mana satu?”

Pertanyaan Hanim itu membuatkan lelaki itu tersentak.

“Baiklah, yang duduk di Bangsar. Hanim pernah datang ke rumah kami,” ujarnya dan tersenyum sekilas.

Hanim diam. Dia tahu sekarang lelaki itu mahu terus kepada inti persoalan sebenarnya. Isu yang selama seminggu ini membelenggu fikiran Hanim, hingga menjejaskan makan dan minumnya. Hingga tumpuannya terhadap kerja jadi terganggu.

“Sudah lama kenal Netty?” soal lelaki itu sekali lagi bila tidak mendapat respon daripada soalan pertamanya tadi.

Terpampang wajah kurang selesa Hanim. “Err, tidak juga lama, baru saja.”

“Setahun, sebulan, tiga bulan, seminggu?” soal lelaki itu seperti tak sabar. Matanya merenung ke wajah Hanim. Hanim cuba mentafsir warna mata lelaki itu. Sekaligus Hanim mahu membaca apakah yang sedang berkumpul dalam jiwanya.

“Masih baru sebenarnya, baru lima bulan. Mula-mula berjumpanya di majlis serah cek untuk tabung payudara, Hospital Kuala Lumpur. Kemudian hanya berhubung melalui telefon, hinggalah kami atur pertemuan di rumah Tan Sri,” jawab Hanim panjang lebar. Dia harap lelaki itu tidak akan menyoalnya lagi.

Tan Sri Rahman mengalih pandang melihat kakitangannya sedang bergembira di majlis makam malam itu. Kemudian dia mengalih pandang ke arah Hanim. “Okay... tapi mengapa Hanim pilih isteri saya?”

Hanim tersentak. Bibirnya diketap perlahan. “Scoop,” Akhirnya dia memberanikan diri menjawabnya.

“Scoop?” soal lelaki itu ingin tahu

Hanim terdiam. Memang tidak susah baginya mahu menerangkan apa itu scoop dan betapa ianya penting dalam dunia kewartawanan.

“Saya minta maaf kalau artikel saya itu menyinggung Tan Sri. Saya tak bermaksud begitu.”

“Tak mengapa. Saya bukan marah. Tapi terkilan,” kata lelaki itu pantas.

“Terkilan?” Hanim memincing mata, menatap wajah lelaki itu. Apakah yang lelaki itu terkilan berdasarkan pada tulisannya dulu?

“Kenapa Tan Sri? Saya minta maaf banyak-banyak.”

“Saya terkilan kerana kisah itu membuatkan ada hati lain yang kecewa. Kalau boleh saya tak mahu kecewakan hati mereka berdua. Ada dua wanita dalam hidup saya, dua-duanya saya sayang. Tapi sekarang...”

“Sekarang kenapa Tan Sri?”

“Artikel awak telah mengecilkan hati seorang lagi isteri saya.”

Kemudian lelaki itu menghalakan pandangan ke pentas. Dia tak jadi meneruskan kata-kata.

Awan gemawan kecewa menabiri perbualan antara mereka berdua.

Banyak yang disoal dan banyak juga jawapan yang Hanim beri. Semestinya Hanim berasa bersalah. Dia tak sangka dengan tersiarnya kisah Netty, si bekas ratu cantik yang penuh dengan pelbagai kisah suka duka, pahit dan manis itu, dia telah merosakkan hati seorang wanita lain.

“Sebenarnya apabila saya berkahwin baru, Puan Sri berasa sangat sakit hati. Lumrahlah hati perempuan. Tapi puas saya pujuk. Sangat payah.” Cepat-cepat lelaki itu membuang pandangannya ke arah lain.

Hanim mahu sangat menatap anak mata lelaki itu, tetapi gagal.

Ya, itulah pengakuan yang payah untuk Hanim hadam. Dia mengunyah kata-kata pahit itu yang keluar dari bibir seorang lelaki. Paling tidak diduga kata-kata itu dilafazkan kepadanya oleh seorang lelaki bergelar. Seorang lelaki hebat dalam perniagaan dan namanya disebut-sebut selalu dalam bidang bisnes.

“Tapi dia akhirnya boleh terima perkahwinan kedua saya itu asalkan saya jangan buat dia tersinggung walau dengan apa cara sekalipun. Ya saya berjanji begitu dengannya.”

Kata-kata Tan Sri Rahman itu Hanim telan bulat-bulat. Dia tidak tahu hal itu tetapi apa yang telah lelaki itu terangkan kepadanya, menjadikan hatinya terusik. Kata-kata itu ikhlas masuk ke dalam hatinya.

“Tapi bila artikel tentang Netty tersiar, semua kawan-kawannya tahu dan menelefonnya. Isteri saya sesenangnya tuduh saya sudah mungkir janji. Dia kata saya berbohong!”

Tan Sri Rahman Shah bangkit dan melangkah setapak dua. Hanim kecewa dan serba salah, banyak lagi yang mahu dia katakan. Apabila lelaki itu sudah melangkah jauh dia terfikir apakah dia patut mengikut langkah lelaki itu atau duduk diam saja di kerusi?

Kelihatan lelaki itu melangkah ke pintu besar dan keluar. Selang sepuluh saat, seperti tersedar daripada mengelamun, akhirnya baru Hanim bingkas bangkit dan mengekori. Namun dia gagal menyaingi langkah besar dan pantas lelaki itu.

Sekejapan sahaja lelaki itu sudah hilang dari pandangan. Hanim tercengang-cengang sendirian di sebalik tiang besar di tengah lobi hotel. Dia memandang keliling. Tiada.

Ke mana dia pergi? Jika diikut rasa Hanim mahu melaung memanggil nama lelaki itu. Biar semua tetamu tahu. Biar semua VVIP terkejut dan tetamu hotel menjadi kalut. Oh... Hanim berpijak kepada hakikat dan sedar dengan situasi. Tidak. Dia tidak mahu dikata gila di ruang lobi itu.

Hanim pun tidak mahu menunggu lama. Dia memang kecewa sangat, sama seperti yang dialami oleh lelaki itu. Dia mahu balik saja dan tidak sabar mahu membenamkan mukanya ke bantal peluk. Dia mahu segera masuk dalam selimut dan tidur, itu sahaja yang dia patut buat ketika itu.

Dalam perjalanan pulang, dia tidak dapat menumpukan perhatiannya pada jalan raya. Fikirannya bercelaru. Kalau boleh dia mahu mengikut ke mana Tan Sri Rahman Shah pergi. Dia mahu selesaikan kes itu malam itu juga. Dia malas nak panjang-panjangkan cerita lagi.

Mulanya, dia fikir pertemuannya mereka pada malam itu akan merungkai segala kemelut yang melanda. Tapi sekarang rupanya kes itu berlarut-larut pula, entah bagaimana penghujungnya?

Malam itu Hanim tidak dapat lena panjang. Dia mahu menelefon Encik Manan. Dia mahu bercerita apa yang telah berlaku. Dia mahu memohon maaf kerana kesnya tidak dapat diselesaikan malam itu.

Tapi apabila melihat jarum jam di atas kepala katilnya, niatnya itu terpaksa dibatalkan. Encik Manan barangkali sudah lena tidur, bermimipi yang indah-indah. Namun itu tidak berpihak kepada Hanim. Meski jam sudah menunjuk pukul 1.00 pagi, matanya masih lagi enggan lena.

Dia bangkit. Dia mundar-mandir di dalam bilik tidurnya dengan fikiran berserabut. Mujur teman sebiliknya Wati sudah lama lena. Kalau tidak dia akan mengajak temannya itu berbual, selagi masalahnya tidak beres.

Kebiasaannya begitulah jika Hanim ada masalah. Kadang-kadang terpisat-pisat dan tersengguk-sengguk Wati melayan Hanim. Kemudian, akhirnya barulah mereka sama-sama terlena.

Hanim mencari sesuatu dari dalam beg sandangnya. Dia membuka diari kecil itu dan meneliti sehelai demi sehelai hinggalah dia berhenti pada helaian yang memaparkan tarikh pada hari itu.

Dia mencapai pen dan membulatkan tarikh hari itu dan menambahkan dengan mencatat - ‘Bad Wednesday!’ kemudian dia balikkan sehelai lagi muka surat. Dia terlopong sambil menggeleng-geleng. Baru dia teringat, esok dia ada tugasan pagi.

Oleh itu dia mesti segera tidur supaya dapat bangkit awal untuk menempuh Lebuhraya Persekutuan, dua hari berturut-turut. Hanim harap dia akan segera terlena. Namun, puas digolek-golekkan badan ke kiri dan ke kanan, tetapi gagal.

Dia tutup mukanya dengan bantal. Lama, tapi kemudian dia lemas. Cepat-cepat dia baling bantal kecil itu dari atas katil, terjelepuk di bawah meja mekap.

Hanim tak perasan pukul berapa dia terlena. Sedar-sedar saja pagi itu, jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. Dia bingkas mandi, berpakaian, solat, bermekap dan terus meredah arus kotaraya yang mula sibuk. Hanim menyusuri Jalan Bangsar berhati-hati, masuk ke Jalan Kuching sebelum membelok ke bangunan Putra World Trade Centre di Jalan Tun Ismail.

Mujur dia sampai juga ke lokasi itu sebelum pukul 9.00 pagi. Perutnya berkeroncong, kerana tidak sempat bersarapan. Dia sangat berharap dapat minum pagi selepas majlis hari itu berakhir, yang biasanya memang disediakan untuk wartawan dan jurufoto bersama-sama menteri.

Selesai assignment pagi itu, dia masih lagi berasa tidak tenteram. Perasaannya galau. Semasa sidang akhbar tadi pun fikirannya menerawang. Dalam menghadapi situasi itu, dia betul-betul mengharapkan rakaman telefonnya berfungsi!

Hanyut. Betul-betul fikirannya tidak menentu sepanjang majlis.

Sidang akhbar tentang Deklarasi Beijing berlalu begitu saja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dan dia bernasib baik kerana mendapat teks ucapan menteri itu yang telah disediakan oleh Narimah rakan lamanya yang kini telah menjadi pembantu akhbar kepada menteri.

Memang dalam benaknya sekarang, hanyalah kisah malam tadi yang masih lagi tertangguh. Memang ada banyak lagi isu antara dia dan lelaki itu yang masih belum selesai. Selagi kata maafnya belum bersambut dengan sebaik-baiknya, rasa ralat itu masih ada.

Masih ada isu yang belum selesai. Hanim tahu Tan Sri Rahman Shah juga belum memaafkannya.

Dia mencapai telefon dan menghubungi pejabat. Seorang rakan wartawan menyambut panggilannya dan memberitahu sudah beberapa kali Tan Sri Rahman Shah mencarinya.

“Tapi dia boleh terus telefon. Dia ada nombor telefon Hanim.”

“Mesti ada sebabnya tu kenapa dia tidak menelefon terus.”

Memang benarlah hati lelaki itu masih terbuku lagi!

Hanim melihat senarai nombor telefon dan mengamati nombor telefon pejabat Tan Sri Rahman Shah. Dia menekan nombor itu dan panggilannya berjawab. Setiausaha lelaki itu memberitahunya Tan Sri Rahman Shah tidak ada di pejabat dan akan masuk kembali ke pejabat selepas waktu makan tengah hari.

Hanim terus saja membuat temujanji mahu berjumpa dengan lelaki itu selepas waktu makan tengah hari nanti. Tetapi bila mendengar nama Hanim, wanita itu terus saja menyampaikan pesanan Tan Sri Rahman Shah yang menyuruhnya ke Kelab Golf Rahman Putra, sekarang juga.

Hanim terlopong. Kenapa dia kena ke kelab golf pula? Mak datuk, besarnya masalah, bentaknya dalam hati. Sesekali rasa menyesal pula dia kerana gatal tangan menelefon ke pejabat lelaki itu, jika tidak dia boleh terus balik ke pejabat saja! Banyak lagi kerjanya untuk minggu ini yang masih tertangguh.

Ikut-ikut hati Hanim, dia malas hendak ke kelab golf itu. Tak pasal-pasal lagilah panjang ceritanya nanti. Hanim tidak mahu bersusah-susah kerana lelaki itu, sampai kena ikut semua permintaannya.

“Oh, minta maaf, saya ada tugasan lain. Mungkin hari lain saya boleh berjumpa dengan beliau.”

“Baiklah nanti saya beritahu Tan Sri.”

Memang Hani sengaja menolak pelawaan itu. Hanim hairan, jawapan itu keluar secara sepontan sahaja. Ya, memang dia tidak dapat menuruti kehendak Tan Sri Rahman Shah yang mahu berjumpanya petang itu.

Sebenarnya dia tak sanggup nak panjang-panjangkan cerita, berkait-kait sampai kepada pertemuan-pertemuan yang tak munasabah pula. Berdasarkan pengalamannya, lelaki itu berbuat demikian mesti ada muslihatnya.

Jika betul dia mahu selesaikan kes itu, malam tadi lagi semua hal sudah boleh dibereskan.

Tetapi kenapa dia tinggalkan Hanim tercengang-cengang sendirian? Ada muslihatkah?

Keluar sahaja ke jalan besar, Hanim terus mematah hala ke pejabatnya. Rasa lega sekali apabila dia selamat sampai ke pejabat tanpa apa-apa kejadian yang tidak baik di jalan raya. Kemudian dia terus saja menaiki anak-anak tangga ke pejabatnya di tingkat satu bangunan dua tingkat itu.

Hanim terlopong tiba-tiba. Dia melihat sesuatu yang tak disangkanya terletak di sudut kanan mejanya. Sejambak ros merah! Dia mencapai kad kiriman yang diletakkan dalam bakul ros itu dan mengamati siapakah pengirimnya.

Akhirnya Hanim terpaksa juga tersenyum!



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku