KEMBOJA PUTIH BUAT IBU
Bab
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 16 Februari 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
283

Bacaan






“Adik makanlah..” pujuk Nurin dengan sepenuh hati. Tangan kanak-kanak itu masih tergengam nasi untuk disuapkan kepada si adik. Puas dipujuk namun adiknya tetap tidak mahu makan. Nasi putih yang hanya berlaukkan garam didalam pingan itu dipandang sayu. Sejak seminggu yang lalu hanya itu yang mengisi perut mereka tiga beradik.

Amar adik lelakinya yang berusi enam tahun tidak kelihatan. Terteleng-teleng kepalanya menjengah ke luar mencari bayang si Amar. Senyap dan sunyi. Entah ke mana pula adiknya yang seorang itu menghilang.

“Amar..Amar..” Laung Nurin menjejak susuk tubuh Amar yang selalu tidak berbaju dari jauh.

“Makanlah dik nanti mak balik mak belikan aiskerim.” Umpan Nurin memujuk sepenuh hati. Diribanya adik itu. Selagi adiknya tidak mahu menjamah makanan dan berhenti menangis dia tidak mampu untuk meneruskan kerja-kerjanya. Usianya yang baru mencecah sembilan tahun bukanlah satu alasan untuk dia bersenang lenang. Segala kerja rumah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang ibu telah lama menjadi tugasnya. Dia, kanak-kanak yang terpaksa menjadi matang sebelum usia. Dikala rakan sebayanya sedang enak mengulit anak patung dia sudah pandai mengasuh si kecil. Dikala teman-teman sedang enak mengusung Ipad dan gajet-gajet terkini dia sedang bertungkus lumus meniupkan bara api untuk mengenyangkan perut mereka sekeluarga.

Tangan Nurin masih lagi disuakan ke mulut sikecil yang masih berteriak dan meragam. Tangan kecil itu menepis-nepis tidak mahu makan. Entah apa yang tidak kenanya selepas emaknya meninggalkan mereka untuk ke tempat kerja adiknya menangis dan masih belum berhenti. Hati Nurin semakin gelisah, masih banyak lagi tugas yang belum selesai gara-gara si adik meragam pelik. Nasi didalam gengamannya kembali diletakkan ke dalam pingan yang sudah berdaki. Dia membasuh tangannya sebelum mendukung si kecil yang sudah kebasahan dengan airmata dan air hingus yang masih meleleh.

Kain batik yang sudah lusuh itu dijadikan sapu tangan mengesat lelehan air mata dan hingus yang mencurah. Dalam dukungan si adik tetap juga meragam dan tidak mahu diam. Nurin kebingungan.

“Shh..diam ya dik, akak bawa adik jalan-jalan ya.” Nurin masih lagi berusaha memujuk. Takkan mampu dia terus membiarkan si adik yang baru belajar bertatih berterusan menangis tanpa henti. Dia yang masih mentah untuk menguruskan sia adik yang masih kecil itu semakin tidak keruan. Dipandang sayu wajah si adik yang kembali lenjun dengan airmata.

Selipar jepun yang sudah berlubang ditengah-tengah akibat haus dimamah jalan disarungkan ke kaki. Terasa batu-batu kecil menggigit telapak kaki namun Nurin tetap Nurin ditahan segala rasa yang ada demi untuk si adik yang masih kecil. kedaifan hidup mereka sekeluarga hanya dipendam sedalam rasa biarpun dia sering diejak rakan-rakan sekolahnya dengan gelaran ‘si anak miskin’ dia tetap tersenyum. Biarpun setiap kali diejek tibanya waktu rehat dengan hanya berbekalkan nasi putih dan berlaukkan garam dia tetap bersyukur seakan-akan semua itu tidak memberi bekas kepadanya.

“Wei kawan-kawan tengok ni Nurin bawak nasi putih lauk garam! Fatihah si anak berada yang sering mencari hal dengannya. Entah apa yang tidak kena dengan Nurin, Fatihan sering mengejek dan mempersedakan dirinya. Nurin tetap sabar. Wajah mulus itu tercari-cari teman yang sering membela dirinya tiap kali diejek namun hampa wajah itu tidak kelihatan sejak dua hari yang lalu.

“Mana..mana..” keriuhan suara rakan sekelas sedikit mengusarkan hati Nurin bimbang andai ada teman yang terlepas laku dengan mengambil dan mencurahkan nasinya sedangkan hanya itulah bekalan yang dia ada untuk mengenyangkan perutnya seharian. Sikap nakal itulah yang meresahkannya, dia tidak kisah untuk diejek, dihamun namun janganlah direntap rezekinya itu.

“Itu..” jari Fatihah lurus ke arah Nurin yang sedang sendirian menjamah rezekinya ditepi longkang dewan sekolah. Sengaja dia memecilkan diri sejauh itu demi mengelak diri dari Fatihah yang senjaga mencari balah. Mereka semakin mendekat. Nurin senyum sekali ke arah mereka sebelum nasi putih itu masuk ke mulutnya dengan lafaz Bismillah.

“Ah! kesian..anak orang miskin mana ada duit nak beli lauk sedap-sedap, dalam mimpi je dia boleh dapat.” Ejek Fatihah lagi sengaja menyakiti hati Nurin yang tidak pernah membalas setiap kata. Kata-kata itu bagikan lawak ditelinga teman-teman sekelasnya. Mereka yang tidak pernah merasa bertapa peritnya kehidupan yang dilaluinya tidak akan pernah faham penderitaan yang ditanggungnya.

“Ha.ha..ha.. betul apa yang awak cakap tu Fatihah. Tak pun kalau dia nak makan lauk sedap-sedap tentu mak dia pergi kutip lauk-lauk orang yang tak habis makan kat restoran mana-mana kan.” Ujar si montel bernama Kiki. Terteleng kepala Nurin apabila ditonyah si montel. Kiki yang paling besar badannya, yang paling kuat makan dan yang paling tajam kata-katanya. Nurin tetap menjamah rezekinya yang masih berbaki. Katalah apa saja tentangnya, dia tetap tuli dan tidak peduli asalkan perutnya tidak berbunyi ketika dia sedang melengkapkan diri dengan ilmu duniawi.

“Patutlah belajar tak pandai bila cikgu soal tak tahu nak jawab sebab dia selalu makan nasi lauk garam sampai jadi bengap.”

“Ha..ha..ha..” Serentak itu suara ketawa bergema lagi sehinggalah suapan terakhir masuk ke mulut Nurin dan loceng menandakan waktu rehat telah berakhir berbunyi nyaring.

“Kakak!” Jeritan Amar mengejutkan lamunanya. Entah bila si kecil diam dan tertidur didalam dukungannya dia tidak sedar. Baru terasa lenguhnya bahu yang memikul jasad si adik yang semakin membesar. Si kecil agaknya keletihan menangis seharian hinggakan tertidur. Perlahan-lahan diletakkan adiknya itu diatas bangku usang berlapikkan kain lusuh.

“Kakak tengok ni Amar dapat ikan” Jerit Amar sambil menunjukkan ikan yang dikailnya sepagi tadi. Jelas terpamer kepuasan di wajah adik lelaki yang semakin kusam dan gelap dimamah mentari. Tubuh tidak berbaju itu dipandang sayu terlihat akan bintik-bintik merah yang timbul dua tiga biji pada badan itu. Mungkin terdesak mencari rezeki sendiri apabila perut Amar tidak mampu lagi diisi nasi berlaukkan garam. Melihat adiknya berdiri dengan hasil tangkapan airmata Nurin bergenang. Dia memahami kesempitan hidup mereka sekeluarga namun dia tidak mampu menahan kesedihan melihat adik-adiknya kelaparan.

“Mana Amar dapat ikan ni?” soal Nurin matanya tidak lepas memandang ke arah ikan haruan yang mengelupur diatas tanah dan masih melekat pada mata kail. Amar terjerit-jerit ketawa kepuasan langsung tidak menghiraukan soalan Nurin sehinggakan si kakak sendiri terlupa dengan soalannya.

“Amar nak tunjuk ikan yang Amar dapat ni dekat mak bila mak balik nanti.” Beritahu Amar dengan rasa teruja sambil berlari ke bilik air yang hampir roboh itu. Sekembalinya ditangan kecil itu terdapat satu bekas berisi air. Haruan yang masih menggelupur itu cepat-cepat dimasukkan ke dalam bekas. Amar masih tersenyum. Rezeki yang tidak disangka-sangka walhal dia hanya mencuba nasib.

“Amar ke parit tangkap ikan ni” Nurin juga turut tersenyum melihat haruan yang bakal menjadi santapan mereka sekeluarga untuk hari ini tidak perlu lagi mereka makan nasi berlaukkan garam. Tentu emak turut berbangga Amar sudah pandai menangkap ikan.

“Ada pancing orang tinggal Amar cari cacing letakkan dekat mata kail, lepas tu amar tunggu ikan ni makan.” Polos Amar menerangkan sambil mata tidak lari dari memandang haruan sebesar tapak tangan emak.

“Amar kan mak dah banyak kali pesan dekat Amar jangan main dekat parit tu bahaya. Kalau Amar jatuh dalam parit tu takde siapa yang tahu. Nanti mak marahkan kakak sebab tak jaga Amar dengan adik.”

“Amar pandai jaga diri Amar” balas Amar tersengih-sengih sambil tangannya berada didalam bekas bermain-main dengan haruan pancingannya.

“Biar kakak goreng ikan Amar ni”

“Tapi.. Amar nak tunggu mak balik. amar nak tunjukkan pada mak”

“Macam ni, kakak masak ikan Amar nanti mak balik mesti mak lapar kan bila mak nampak ikan Amar yang dah masak mesti mak suka lepas tu kita boleh makan sama-sama.”

“Ayah pun makan sama dengan kita juga ke?”

Nurin diam. Dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Ayah yang tidak serupa ayah terasa menakutkan bila nama itu menjadi sebutan. Dia sering melihat ayah memukul emak tiap kali emak tidak dapat memberikan wang kepada ayah. emak tetap sabar dengan perangai ayah. sayang emak kepada ayah tidak pernah berbelah bahagi.

“Cepat bawakan ke sana sebelum adik bangun kakak nak siang ikan ni.” Bekas itu dibawa Amar ke hujung dapur. Ikan yang masih bertenaga itu beberapa kali memercikkan air ke muka dua beradik itu namun mereka tetap gembira dan ketawa tanpa sedikitpun terasa sempit dengan kesempitan hidup yang dilalui mereka.

Lauk terhidang didepan mata. Bau haruan goreng meresahkan mereka bertiga perut bagai dicakar-cakar minta diisi. Sejak dari tadi Amar bertanyakannya mengapa emak belum pulang-pulang sedangkan waktu kerja emak mereka sudah lama berakhir. Terkelip-kelip matanya menoleh ikan didalam pingan. Rasa teruja untuk memperlihatkan hasil tangkapan yang pertama semakin pudar dari wajahnya. Mampukah dia menunggu lagi sedangkan bayang-bayang emak masih lagi tidak kelihatan. Nurin yang sedari tadi resah dan kasihan melihar Amar yang sedang upaya menahan lapar itu mula mendekat.

“Amar kalau Amar lapar tak payahlah tunggu mak, kita makan dulu separuh ikan ni kita simpan kan untuk mak.” pujuk Nurin bahu Amar dipeluk erat. Mata si adik sudah berair mendengar kata si kakak. Terhapus sepenuhnya rasa teruja itu. Lambat-lambat Amar mengangguk sambil memandang haruan goreng yang sudah sejuk terhidang.

“Nanti kita ceritalah dekat mak macam mana Amar dapat ikan ni, kalau mak tak dapat tengok seekor ikan Amar pun tentu mak bangga sebab mak dapat merasa ikan yang Amar pancing.” Pujuk Nurin sambil menyapu air jernih yang mula bergenang dikelopak mata Amar. Terpujuk si adik dengan kata-kata hikmah si kakak. Sebaik nasi diisi ke dalam pingan tiba-tiba muncul ayah dengan wajah keletihan terhenti tindak tanduk Nurin jadinya.

“Ooo..mentekedarah ya. Mana nasi aku! Kasar suara itu meminta. Cepat-cepat Nurin berkalih dan menghulurkan pingan nasinya kepada ayah yang nampak kelaparan. Amar berensot kebelakang takut melihat wajah bengis ayah mereka. Entah dari hutan mana keluarnya. Semalaman ayah tidak pulang ke rumah tiba-tiba muncul pula ketika mereka sedang mahu mengisi perut. Baju yang sudah berbau hapak itu dilemparkan hingga ke celah dinding.

“Ini aje lauknya! Huh.” Sambil membebel sambil tangan itu laju menyuap nasi ke mulut. Nasi berlaukkan ikan haruan goreng benar-benar menambat seleranya yang kebulur seharian bermain judi. Habis duitnya melayang kalah bermain judi dengan Seman. Natijahnya dia tidak punyai wang untuk membeli makanan malah sebatang rokok yang disedut tadi pun hasil dari mengemis dengan Seman.

Terkelip-kelip dua beradik itu sambil berpelukan melihat haruan menjadi santapan orang yang tidak disangka-sangka. Amar menelan liur, meleleh airmatanya melihat lelaki dihadapannya rakus merobek -robek ikan yang putih isinya yang diimpikna untuk dinikmati bersama ibu tercinta. Nurin semakin gelisah apabila ayah mereka langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti dari menikmati haruan Amar.

“Ayah, boleh tak ayah tinggalkan sikit ikan tu untuk Amar.” Nurin berhati-hati meminta. Dia tidak kisah jika bahagiannya tiada tetapi janganlah diambil hak si Amar. Mata yang mencerlung kepadanya itu dibalas dengan tundukan. Dia tidak berani bertentang mata dengan lelaki dipanggil ayah itu. Melihat lelaki dihadapannya itu bagaikan orang yang tidak pernah menjamah makanan Nurin tidak berani lagi meminta-minta. Perut yang semakin pedih tidak terisi apa-apa ditekan kuat bagi mengurangkan rasa sakitnya.

Nurin mengambil nasi putih untuk Amar, dia tahu Amar juga sepertinya sedang menahan lapar dan menahan rasa hati.

“Amar makan nasi ya, nanti sakit perut” pujuk Nurin tidak mahu adiknya berlama lagi menahan rasa lapar. Perlahan-lahan nasi itu digengam memaksa Amar membuka mulut perlahan-lahan sambil mata si adik menjeling ke arah ikan yang hampir tinggal tulang itu.

“Nah!” Tergolek kepala ikan haruan jatuh ke dalam pinggan yang dipegang Nurin. Masih ada sisa-sisa isi yang melekat dihujung kepala ikan dan tulang yang tinggal separuh itu. Setitik airmata Nurin jatuh melihat wajah Amar sedikit bercahaya. Amar mendongak memandang wajah kakaknya dengan senyuman. Nurin berusaha untuk senyum walaupun dia hampir menangis melihat adiknya diperlakukan begitu.

Sisa-sisa isi yang tinggal dapat juga membunuh rasa terkilan Amar. Dia puas walaupun tidak dapat merasa sepenuhnya ikan yang dikailnya sekurang-kurannya hasilnya itu dapat dinikmati juga walau hanya sisa.

Mana mak kamu tak balik-balik lagi ni, dah mampus agaknya! Jerkah Kadir separuh geram. Sudah lama dia menunggu untuk meminta duit daripada isterinya. Panas pungungnya duduk berlama-lama dirumah yang boleh dianggap sebagai reban ayam itu. Dia perlu berjudi untuk mendapatkan kembali wang yang telah menjadi milik Samad kelmarin lagipun dia sudah berjanji dengan Samad malam ini mereka akan gandakan wang perjudian. Dia yakin malam ini nasib akan menyebelahinya namun keyakinannya sedikit goyah apabila Gayah masih masih tidak pulang-pulang. Telinganya sudah bernanah mendengar si kecil menangis tidak berhenti. Kalau diikutkan rasa hatinya yang panas mahu mati budak itu dikerjakannya. Menyusahkan!

Hah! Balik juga ke rumah. Mana kau pergi sekarang baru nampak muka. Kau pergi menyundal?” Tengking Kadir tidak sempat Gayah menjejak kaki ke rumah. Jelas kelihatan wajah Gayah yang keletihan seharian mengerah tenaga berkerja sebagai pencuci kereta. Suami yang tidak pernah sedar tangungjawab yang perlu dipikul itu menanti kepulangan dia rupanya. Tuduhan yang dilemparkan sungguh menyesakkan dada.

“Apa awak cakap ni, saya menyundal apa? Tak nampak ke saya penat kerja cari duit nak sara anak-anak.” Bela Gayah tidak betah dituduh yang bukan-bukan sedangkan dia terlalu penat berkerja mencuci kereta dari pagi sampai ke malam hanya untuk menyuapkan ke mulut mereka anak beranak.

“Oo cari duit.. mana duitnya. Aku nak pakai duit malam ni.” Tangan dihulur. Ada senyuman yang tersunging dihujung bibir yang kehitaman itu.

Gayah diam. Wajah suaminya itu dipandang dengan geram. Dia yang penat berkerja senang-senang suaminya meminta. Duit hasil cuci kereta berapa sangat yang dia dapat. Gaji hari yang diterimanya itu manalah cukup untuk menampung makan mereka lima beranak. Si bongsu sudah lama tidak minum susu hanya air sungai yang dimasak buat mengalas perut. Dia tidak sempat singgah untuk membeli susu untuk anaknya apabila kedai runcit dihujung jalan sudah tutup. Tidak sesekali dia memberikan hasil titik peluhnya untuk Kadir berjudi.

“Aku tanya ni mana duit tu. Aku nak pakai nanti aku ada duit aku gantilah balik.” Ulang Kadir lagi dengan suara sudah meninggi. Dirampasnya beg lusuh yang dikelek Gayah ke sana ke mari. Bukan ada barang berharga pun yang ada hanya telekung sembahyang yang sudah kelabu warnanya. Kadir rakus menyelongkar isi perut beg Gayah. Disepak dan ditendangnya telekung milik Gayah apabila barang yang dicari tidak dijumpai.

“Mana kau sembunyikan duit kau! Mana gayah jangan sampai aku naik hantu untuk dapatkan duit tu.” ugut Kadir sambil mengengam kemas tangan Gayah. Si isteri meronta-ronta minta dilepaskan. Airmata yang menitis dengan rayuan sayu juga tidak mampu melembutkan hati manusia yang sudah legam dengan dosa-dosa.

“Tolonglah jangan ambil duit tu, saya nak belikan susu untuk adik barang dapur pun dah takde.” Pujuk Gayah dengan linangan airmata.

Pang!

Satu tamparan kuat menjamah pipi yang teramat letih itu. Gayah masih juga berkeras untuk tidak memberikan wang gajinya. Dia sudah nekad apa pun yang terjadi dia tetap mahu membelikan susu untuk anaknya.

“Kau jangan degil Gayah aku cakap bagi..bagilah! Kadir semakin naik gila. Dia nekad apa yang terjadi sekalipun dia tetap mahukan wang untuk berjudi dengan Samad. Dia mahu gandakan duit yang dia telah leburkan kepada Samad pagi kelmarin.

“Tolonglah.” Rayu Gayah. Suara rayuan Gayah semakin menyemarakkan api kemarahan Kadir lalu tubuh itu diseret ke tanah dengan sekuat hati, kasar dan tanpa belas kasihan. Nurin dan adik-adiknya hanya melihat dalam ketakutan. Si kecil semakin kuat menangis memaksa Nurin memujuk agar tidak menimbulkan kemarahan ayah mereka. Amar erat memeluk tubuh Nurin mencari perlindungan sambil teresak-esak dan cuba menyembunyikan wajah disebalik tubuh kecil kakaknya.

“Allah!”

Suara jeritan Gayah bergema namun selepas itu tiada lagi perkelahian dan pertelingkahan kedengaran. Tiada lagi suara Gayah menangis dan merayu minta dikasihani dan tiada lagi suara kadir yang meminta dengan bengis. Alam sunyi seperti tidak pernah ternoda dengan pertelingkahan keluarga yang sedang diuji ini.

Mak! Mak!

Bismillahirahmannirrahim…

Maha Suci Tuhan yang bersifat dengan Baqa’ dan Qidam. Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadikan iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian makluk Allah akan jahanam dan binasa melainkan zat Allah Taala iaitu Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala…

Usai talkin dibaca tiga bersaudara yang masih kecil yang masih mentah untuk mengharungi liku-liku hidup tetap berteleku disebelah nisan si ibu. Sekelip mata kebahagian direntap oleh lelaki bergelar ayah. Mata si kakak masih bengkak menangis sepanjang malam, menemani sekujur tubuh yang tidak bergerak lagi. Siapakah yang akan membela nasib mereka selepas ini. Ayah durjana sedang menjadi buruan polis lalu kepada siapa mereka mahu bergantung harap. Nurin mengesat air mata yang merembes. Dia benar-benar sedang dewasa menjadi seorang ibu.

Nurin melangkah bersama adik-adiknya meninggalkan si ibu yang sedang berehat menemui Sang Pencipta bertemankan sekuntum kemboja putih diatas pusara.





Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku