Kawan Sampai...?
Bab Teaser
Genre: Keluarga
Kategori: Novel
Paparan sejak 17 Februari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
319

Bacaan






Tubuh manusia terlalu kecil hingga mereka merasakan dunia ini teramat luas padahal masih ada lagi alam yang lebih luas daripada kawasan mereka menghuni. Seluas-luas manapun Bumi ini, Nurin tetap tiada insan bernama kawan. Dia sendirian, dia dibiarkan tenggelam senyap.

Tiada sahabat.

Itu bukanlah perkara asing bagi Nurin. Hidup tanpa sahabat tidak bermakna dunianya sepi. Dia punyai rakan serumah yang memahami, dia punyai adik-beradik yang mengerti, dia punyai ayah yang setia mendengari suaranya. Ya, mereka semua adalah segala-galanya.

Dunia tanpa sahabat, dunia tanpa kawan. Barangkali hal itu terjadi kerana sifat abnormal Nurin. Dia akui dia seorang Bipolar Disorder yang diperlekeh sebagai penyakit mental oleh masyarakat. Ya, barangkali kerana itulah dia disisihkan daripada dunia pembelajarannya sendiri. Dia kesunyian.

Tiada kawan, tiada insan bernama sahabat.

Boo-chan pun antara sahabat Nurin, tetapi ia bukan manusia. Kucing yang dianggap sahabat, tetapi masih belum lagak bagai sahabat sebenar. Betapa bencinya kucing itu terhadap Nurin. Mungkinkah kucing pun tahu apakah itu Bipolar Disorder? Oh, mengarut.

Walaupun dikelilingi insan yang memahami, tetapi Nurin masih merasai kesunyian. Barangkali kerana kesunyian itu, dia menjadikan buku sebagai sahabatnya pula. Buku-buku menjadikan dia merasai kesemua perasaan gembira yang diidam-idamkan, lagi-lagi apabila melibatkan perasaan dalam persahabatan. Ternyata sesuatu yang bukan manusia amat sesuai menjadi sahabatnya.

Tanpa diduga, dunianya dijentik oleh seseorang. Irsyad al-Rasyid, seorang insan yang tersangat aneh. Pendiam, tiada sepatah pun madah terhambur di bibirnya. Lelaki yang hanya tersenyum, kuat menyendiri, hidup sendirian. Anehnya, Boo-chan menjadi sahabat. Satu persatu sifatnya dijuruh. Kenapa Boo-chan rela mendekatkan dirinya terhadap seorang insan lagak bagai orang bisu.

Anehnya lelaki itu. Dia tidak lekang tersenyum, tetapi senyumannya adakala tidak kena dengan situasi. Situasi sedih pun dia senyum, situasi tegang pun dia senyum, situasi serius pun dia senyum. Tidak pernah sedikit pun reaksi wajah yang tergambar di kanvas wajahnya melainkan hanya tersenyum. Adakah deria perasaannya hanya menyala pada senyuman sahaja?

Senyuman yang dibuat-buat, hati Nurin berbisik.

Schizoid Personality Disorder, gangguan yang disalah anggap sebagai orang gila. Bagaimana orang gila boleh masuk dalam kampus universiti? Siap jadi pembantu pensyarah lagi! Dugaan lelaki itu lebih hebat berbanding Nurin. Dia tiada keluarga, yatim-piatu, bekas gelandangan. Dia hanya ada Boo-chan dan seorang sahabat setianya bernama Zafri.

Nurin terdiam. Irsyad lebih berasa sunyi berbanding dirinya yang masih ada rakan serumah, ada ayah, ada adik-beradik...sedangkan Irsyad hanya ada Boo-chan si kucing gebu dan Zafri sahaja.

Ya Allah, baru aku sedar aku tidak bersyukur dengan apa yang aku ada...maafkan aku, Ya Allah.

Zafri, insan yang satu-satunya dapat mengendalikan sikap Irsyad agar sahabatnya itu dapat merasai perasaan sepertimana manusia lain. Dialah satu-satunya sahabat yang sentiasa mengajak Irsyad berkomunikasi. Dialah satu-satunya sahabat yang menggunakan kemahiran bermain alat muzik sebagai terapi buat Irsyad.

Alunan muzik-muzik. Memang betul, alunan muzik Zafri sungguh menenangkan. Satu Pusat Pengajian Seni bergema dengan alunan muziknya. Nurin menjadi terpukau. Entah mengapa, sikapnya beransur-ansur ubah biarpun sekejap sewaktu mendengar muzik tersebut. Dia tidak menyangka bahawa muzik tersebut datangnya dari Zafri, seorang mahasiswa yang sangat panas baran. Apa yang lagi aneh, Irsyad yang dilabelkan sebagai ‘budak mental’ boleh menjadi sahabat baik kepada Zafri si panas baran? Bagaimanakah kontras itu boleh menjadi harmoni?

Jiwanya dijentik lagi. Dijentik agar menyuruh Nurin bersahabat dengan Irsyad dan Zafri. Barangkali kekurangan masing-masing, jika disatukan, akan kembali normal seperti insan-insan lain. Menjadi sahabat buat seorang pesakit Schizoid Personality Disorder dan seorang panas baran bukanlah mudah. Ujian demi ujian, tanpa disangka mereka bertiga menjadi sahabat.

Tengok tu! Tiga orang gila!

Ya, itu panggilan baharu buat mereka bertiga. Hari demi hari, mereka diuji dengan kesetiaan persahabatan. Detik demi detik, mereka dilanda kesilapan yang memanjang. Namun, mereka masih bertahan. Mereka masih membantu antara satu sama lain meskipun penyakit personaliti mereka tiada tanda untuk sembuh.

Tiba-tiba, terdetik hati Nurin akan sesuatu perkara. Benarkah dia layak dipanggil sebagai sahabat baik setelah beberapa kali dia mengelakkan diri setiap kali gangguan personaliti Irsyad bertandang? Kenapa Irsyad kelihatan lebih menjaga Nurin semenjak gadis itu menjadi tohmahan yang menjatuhkan maruah?

Cinta? Mustahil seorang schizoid berperasaan begitu.

Benarkah Zafri layak dipanggil sebagai sahabat baik juga? Kenapa pula Zafri setia menjadi sahabat Irsyad sedangkan sikap-sikap Irsyad sering menaikkan amarahnya? Mengapakah dia sanggup bersahabat dengan seorang pesakit gangguan personaliti?

Semakin banyak persoalan timbul dalam benak tiga sahabat ini. Entah mengapa, mereka bagaikan menyembunyikan sesuatu di antara satu sama lain. Sesuatu yang pernah dialami, tetapi tidak pernah bersua. Sesuatu yang baru tersedar dalam memori, tetapi tidak berani untuk beritahu. Apakah maksudnya?

*******

“Aku berhutang dengan kau, Syad.”

“Hutang apa?”

“Tak apa. Lambat-laun kau akan ingat semula.”

***********

“Personaliti kau masih tak berubah, Nurin. Sedari kecil hingga sekarang.”

“Ha?”

**********

“Aku tahu punca sebenar mata kanan kau sebegitu, Zafri.”

“Macam mana kau tahu??”



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab Teaser | Bab Bab 1 | Bab Prolog |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku