Kawan Sampai...?
Bab 4
Genre: Keluarga
Kategori: Novel
Paparan sejak 17 Februari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
192

Bacaan






“Hari ni, saya tak nak mengajar dan penghantaran tugasan kedua tipografi ini akan ditunda ke minggu depan.”

Tipulah kalau ada pelajar yang tidak suka mendengar madah yang terbit daripada mulut pensyarahnya sendiri. Kali ini, madah itu disebut jua oleh Professor Rahman. Serentak itu, pelajar-pelajar Tahun 2 Grafik Komunikasi bersorak riang bagaikan baru sahaja memenangi hadiah wang tunai berbillion ringgit. Dalam kepala masing-masing mula merancang aktiviti yang bakal dilakukan di bilik dan majoriti aktiviti yang difikirkan adalah tidur.

Lain pula ekpresi yang terzahir daripada Nurin. Kanvas wajahnya berwarna kelam, langsung tidak mempamerkan butir-butir ceria. Dia merenung tugasan tipografi yang masih segar dengan bau dakwat cetakan atas art card. Sekilas, dia merengus kecewa. Buat penat sahaja aku buat benda alah ini di Studio Grafik Jumaat lepas, hatinya memberontak.

Semua ini terjadi kerana majoriti rakan-rakan sekelasnya masih belum mencetak tipografi tersebut dengan alasan tidak sempat ke kedai cetakan. Mungkin hari ini angin Professor Rahman agak tenang, jadi dia menangguhkan deadline ke minggu hadapan dengan syarat hasil tugasan nanti lebih berkualiti.

“Boleh balik rumahlah sekarang kan, Prof?” soal Wan, sudah mula memasukkan kotak penselnya ke dalam beg sandang manakala yang lain-lain masih bersorak.

“Eh, nanti dulu! Jangan seronok dulu,” ujar Professor Rahman dengan senyuman penuh makna. “Saya tak nak mengajar, tapi nak ajak kamu semua pergi taklimat di Muzium Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) hari ini. Ha, sambunglah bersorak. Yeyyy!”

“Alaa...Prof! Mempermainkan perasaan kitorang betullah,” keluh segelintir daripada mereka.

Namun, Nurin berekspresi wajah yang sebaliknya. Dia kelihatan lebih gembira melalui senyumannya yang menerbitkan lesung pipit kanannya. Kanvas wajahnya berubah 360 darjah. Professor Rahman menyedari akan kegembiraan yang ditonjolkan oleh Nurin. Dia pun turut tersenyum, teruja kerana masih ada yang seronok dengan perancangannya.

“Kita kena pergi untuk sokong galeri kawan-kawan dan pensyarah bidang Seni Halus. Kalau bukan kita, siapa lagi nak sokong aktiviti seni?”

“Baik, Prof,” mereka menjawab lemah, akur dan redha.

“Okey, jom pergi.”

“Ha? Jom pergi? Sekarang ke?” soal Mimi, terkejut dengan ajakan drastik Professor Rahman.

“Laa...sekaranglah. Takkanlah tahun depan kot?” ujarnya lalu membimbit beg komputer riba sebelum menyambung madahnya lagi. “Siapa sampai lewat daripada saya, saya potong 20 markah untuk projek akhir nanti.”

HAHH???

Geseran 38 buah kerusi membingitkan suasana Studio Grafik. Mereka dengan pantas keluar dari studio dalam keadaan tergesa-gesa. Masing-masing menaiki kenderaan dan ada juga yang sempat menaiki bas, kecuali Nurin. Dia tidak gemar menaiki bas universiti kerana sifatnya yang tidak berapa suka bersesak-sesak dengan mahasiswa-mahasiswa lain. Lagipun, dia tahu di waktu kemuncak ini pasti dalam perut bas itu tidak ubah macam sardin dalam tin. Dia mengambil keputusan untuk jalan kaki ke sana sahaja.

Dia terkedek-kedek berjalan kaki dari Pusat Pengajian Seni ke MGTF. Jaraknya tidaklah jauh sangat, cuma jalannya terlalu berbukit sahaja dan agak letih untuk menaikinya. Namun, Nurin sudah terbiasa berjalan jauh. Dia pun selalu jalan kaki dari rumah sewanya ke Pusat Pengajian Seni. Begitulah nasib apabila tidak mendapat desasiswa.

PINN!!

Nurin terperanjat apabila terdengar bunyi hon kereta dari belakang. Dia menoleh. Kereta Proton Saga berwarna kelabu berhenti betul-betul di tepinya. Dia menjenguk-jenguk ke tempat pemandu untuk mengenal pasti siapakah pemandu kereta ini. Tingkap keseluruhan kereta terlalu gelap menyebabkan dia sukar melihat tembus ke dalam. Sebaik sahaja tingkap kereta diturunkan, dia mengurut dada.

Professor Rahman rupanya. Terkejut aku, desis hatinya.

“Nurin, kenapa jalan kaki? Mari, masuk dalam,” ajak Professor Rahman. Nurin menggeleng-geleng sambil tersenyum. Dia menyambung perjalanannya, tetapi Professor Rahman menekan honnya lagi.

“Naiklah, Nurin. Alang-alang sejalan ni,” ajaknya lagi lalu membuka pintu kereta dari dalam, meminta Nurin masuk.

Nurin berasa segan. Agak lama dia bermain teka-teki dengan dirinya sendiri. Dia memandang wajah Professor Rahman. Dia dapat merasai sifat kebapaan dalam diri pensyarah itu. Biarpun dia hanya pelajar, tetapi layanan Professor Rahman terhadapnya selama setahun di sini seperti layanan seorang ayah terhadap anak perempuan.

Tanpa berlengah, akhirnya dia masuk juga kerana berat hati untuk menolak ajakan Professor Rahman. Tidak sampai 30 saat, mereka tiba. Mereka berdua agak lewat berbanding pelajar-pelajar Tahun 2. Biasalah, motorsikal senang mencilok.

Pelajar-pelajar Tahun 2 melirik mata ke arah kereta Professor Rahman sambil menjeling jam tangan masing-masing, memberi isyarat bahawa Professor Rahmanlah yang lebih lewat berbanding mereka. Masing-masing ketawa terkekeh-kekeh tanpa sebab. Mereka semua memandang Professor Rahman serentak dan terkejut apabila melihat Nurin turut keluar dari kereta.

“Jom, masuk muzium,” ajak Professor Rahman.

Nurin tertunduk segan apabila masih ada yang memandangnya. Dia semakin menundukkan kepala ketika berselisih dengan Raisya, Fadhilah, Siti dan Dayana

“Pengampu,” spontan Fadhilah bersuara, tetapi Nurin sekadar memekakkan telinga biarpun hatinya berdarah saat perkataan tunggal itu menerjah ke deria pendengarannya.

Taklimat projek Pameran Menyorok Realiti telah disampaikan oleh Encik Shahrul sebagai pengarah projek gabungan pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah Seni Halus. Konsep dalam projek itu mengetengahkan perihal kebenaran yang telah disembunyikan sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja.

Konsep tersebut mempunyai pandangan berbeza terhadap para peserta. Ada yang melibatkan unsur peribadi, ada juga yang menzahirkan perihal isu semasa dalam karya mereka. Nurin semakin tidak sabar untuk melihat karya-karya berkonsepkan begitu. Dia memang suka ‘membaca’ karya.

“Baiklah, sekarang saya perkenalkan barisan peserta yang terlibat dalam projek Pameran Menyorok Realiti ini. Diminta semua peserta berdiri di hadapan seketika,” pinta Encik Shahrul yang disertai oleh tepukan para audiens.

Terdapat 10 orang pensyarah dan 28 orang mahasiswa dari pengkhususan Seni Halus yang terlibat. Peserta-peserta mula berdiri dan berbaris di hadapan. Dalam 38 orang di hadapan, Nurin terpana akan seorang peserta yang tersenyum tetapi kepalanya ditundukkan tanpa langsung memandang ke arah audiens.

Lelaki itu!

Seorang demi seorang Encik Shahrul perkenalkan nama. Pensyarah yang terlibat adalah Encik Shahrul, Dr. Khizal, Encik Shahidan, Dr. Tetriana, Encik Mat Desa, Professor Fauzan, Encik Saiful, Encik Safrizal, Dr. Serena dan Dr. Shamsu. Giliran pelajar pula diperkenalkan. Sampai sahaja giliran lelaki yang menjadi fokus mata Nurin, Nurin terus memasang telinga untuk tahu namanya.

“Peserta seterusnya adalah Irsyad al-Rasyid bin Abdullah. Pelajar Tahun 2 pengkhususan Seni Halus dan juga pembantu pensyarah untuk subjek Catan pelajar Tahun 1. Antara peserta terkuat untuk projek ini dan pernah terlibat dalam pertandingan Bakat Muda Sezaman 2014,” ucap Encik Shahrul. Tepukan audiens masih bergema seperti awal-awal sesi perkenalan berlangsung.

Oh, Tahun 2 rupanya. Sama sidang dengan Nurin. Ini bermakna sangkaan Nurin bahawa lelaki itu Tahun 3 sama dengan Dhea adalah salah.

Irsyad al-Rasyid? Sedap namanya, Nurin berbisik.

Namun, Irsyad masih tertunduk. Langsung tidak memandang ke arah audiens mahupun Encik Shahrul. Senyumannya masih lagi melekat sama seperti lesung pipit kirinya, tetapi matanya tetap terarah ke bawah. Dia tidak seperti peserta lain yang ada juga bercakap, “Salam perkenalan semua!” sewaktu Encik Shahrul memperkenal nama. Sebaliknya, dia hanya diam mengumam bibir dan tertunduk.

“Apahal tak pandang sini? Sombongnya,” bisik Amalina kepada Syahila yang turut didengari oleh Nurin yang duduk di sebelah mereka berdua.

“Malu kot,” duga Syahila.

Malu. Tidak bersuara. Senyum.

Adakah dia seorang bisu? Nurin berbisik lagi.

Setelah memberi taklimat selama sejam, para pengunjung dipelawa untuk melihat hasil karya daripada 38 orang yang terlibat. Semua pelajar Tahun 2, peserta-peserta dan audiens yang lain menuju ke pameran tersebut kecuali Nurin. Matanya luas mencari Irsyad, tetapi sekelip mata sahaja lelaki itu hilang dari pandangan.

Ke manakah dia menghilang? Mata Nurin melilau-lilau ke segenap pelosok muzium. Hampa. Dia kehilangan jejak Irsyad. Tindakannya itu diperhati oleh Encik Shahrul. Nurin tertunduk malu.

“Jenguk-jenguk cari siapa? Assignment saya dah hantar belum?” tegur Encik Shahrul, sengaja mengingatkan perihal tugasan garisannya. Nurin mengangguk laju. “Ha, bagus. Dah, pergi tengok karya diorang,” sambungnya lagi.

Sebaik sahaja Encik Shahrul berlalu, Nurin tercari-cari Irsyad lagi. Terjengah-jengah hingga dia tersedar akan sesuatu.

“Eh, sekejap! Kenapa aku cari dia pula?” Nurin menyoal dirinya sendiri.

Anehnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa secara tiba-tiba dia mahu mencari Irsyad tanpa sebarang sebab-musabab langsung. Ah, abaikan perasaan! Nurin segera ke tempat pameran. Itulah saat-saat yang paling dinanti oleh Nurin. Dia menuju ke tempat pameran dengan hati penuh walang.

Satu persatu karya ditatap dengan begitu fokus. Nurin tidak seperti pelajar-pelajar lain yang hanya melihat karya tidak sampai seminit. Dia gemar meneliti setiap inci karya dan menilai sendiri mesej yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Kadangkala, dia memerlukan 5 minit untuk menggali maksud tersirat karya tersebut.

Matanya menumpah pandangan ke arah karya milik Ahmad Irwan bersaiz lebih kurang dua kali ganda A0. Nurin meneliti setiap permukaan karya tersebut yang diberikan tajuk Saya Okey. Irwan menggarapkan unsur-unsur abstrak ekspressionisme dalam karyanya, iaitu suatu aliran yang kadangkala sukar untuk ditafsir. Tiada satupun visual yang membolehkan Nurin mengenal pasti intipati mesej yang tersimpan di sebalik cat itu.

“Boleh faham tak karya aku ni?” soal seorang pelajar Seni Halus yang turut menyertai projek itu. Tegurannya mengejutkan Nurin. Nurin membaca tag nama tertulis ‘Peserta Pameran Menyorok Realiti: IRWAN’ yang tergantung di leher pelajar itu.

Dia tidak menjawab lalu mahu beredar dari situ. Namun, pergerakannya dihalang.

“Dari pergerakan mata kau, aku tahu kau dapat sesuatu melalui karya ni. Jangan simpan. Kau sepatutnya luahkan pendapat kau. Beritahulah. Aku tak marah.”

Nurin sekadar membisu. Bukan kerana dia takut lelaki itu marah, tetapi dia tidak yakin dengan pendapatnya sendiri. Dia bimbang jika pendapatnya itu terpesong hingga menenggelamkan kebenaran.

“Kalau kau malu nak beri pendapat, kau boleh tulis dalam buku aku ni,” ujar Irwan sambil menghulurkan buku notanya yang turut berselitkan pen. Nurin teragak-agak untuk mencapainya.

“Jangan risau. Semua manusia memiliki pendirian masing-masing. Tak kiralah pendirian itu cela atau indah, semua itu amatlah berharga bagi orang yang berfikir kerana pendirian-pendirian itulah yang menentukan sama ada hasil kerja itu cukup sempurna atau tak,” Irwan memberi kata-kata semangat.

Entah mengapa, Nurin tersenyum mendengar madah Irwan. Tanpa berlengah, dia mengambil buku nota tersebut. Nurin memerhati lagi dengan menggunakan penaakulan dan intuisi jiwanya. Dia melihat gaya berus, melihat penggunaan warna-warna, meneliti permukaan demi permukaan, melihat elemen-elemen dan unsur-unsur kesenian yang telah digunakan oleh Irwan melalui karyanya. Setelah hampir separuh minit meneliti, dia mula menulis.

Agak lama Nurin menulis. Selang 5 orang audiens Irwan telah selamat meneliti karyanya, tetapi Nurin masih belum habis menulis. Dalam sekitar 10 minit, barulah gadis itu menghulurkan buku nota itu kembali ke pemiliknya. Irwan terkedu melihat bait-bait pendapat Nurin yang seiras esei STPM-nya dahulu. Namun, dia semacam seronok membaca pendapat Nurin.

“Cara kau simbah cat ni sama macam Jackson Pollock. Jackson Pollock guna teknik simbah dan percik cat untuk ekspresikan emosinya pada karya, tapi kadang-kadang juga dia guna teknik itu untuk tampilkan ketulenan dalam kesenian. Apa yang aku nampak pada karya kau, teknik ini betul-betul gambarkan yang kau sangat suka bermain dengan warna. Kau luahkan keseronokan buat projek ini dengan percikan-percikan cat yang kau pilih secara rawak.

Selalunya, artis yang pilih warna secara rawak ni akan memilih warna mengikut mood dia. Kau guna warna azure, arctic blue, flint, canary, shamrock dan warna brunette serentak, bermakna kau sangat seronok ‘bermain’ dengan berus. Kau guna banyak warna coklat kehitaman, tapi tak sedikitpun nampak karya ini dalam mood tertekan. Aku dapat rasa mood kegembiraan.

Agak susah aku nak terangkan sebab gerak hati aku yang menjawab tentang mood karya kau. Lepas aku tengok teknik, warna dan elemen-elemen yang kau guna tanpa terikut dengan peraturan, hati aku terus jawab macam itu. Yalah, siapa tak suka bila boleh buat sesuatu tanpa ada sebarang peraturan terikat? Sah-sah semua gembira sebab boleh buat sesuka hati tanpa halangan. Betul tak?”

Irwan tergamam dengan bait akhir tulisan Nurin. Dia tidak berkerdip memandang wajah Nurin yang mula dirudum resah. Tanpa sebarang sebab, dia menepuk tangan.

“Wah, bagusnya penerangan kau! Aku terdiam, doe! Siapa nama kau?” soal Irwan, agak kagum.

“Nurin,” jawab Nurin, pendek sambil memberi senyuman keanak-anakan.

“Nurin, kalau kau nak tahu, kaulah audiens pertama yang tafsir karya aku dengan betul. Yang lain-lain semua jawab karya ni bawa emosi tekanan. Kau tahu kan prinsip galeri macam mana? Kalau audiens salah tafsir karya, bermakna audiens itu gagal, bukan karya yang gagal. Dan kau audiens pertama guna istilah-istilah warna seni halus. Itu bermakna, tafsiran kau sarat dengan ilmiah,” ujar Irwan penuh keterujaan. Nampaknya, wanita ini bukan calang-calang hebatnya biarpun berbusana sekadar jaket berhud dan berselendang bawah dada.

“Kau course apa? Seni Halus ke?” soal Irwan lagi ingin mengenali Nurin dengan lebih lanjut.

“Tak. Aku Grafik Komunikasi.”

“Aneh. Jarang pelajar grafik boleh tafsir karya seni tulen. Kau tak ambil course Seni Halus sebagai minor ke, Nurin?”

“Ya, aku memang minor Seni Halus dan sedang belajar subjek Dua Dimensi. Harap saja minor Seni Halus, tapi jujurnya aku tak pandai buat karya gempak macam ini. Pegang berus pun aku tak pandai, apatah lagi bancuh warna. Aku suka ‘baca’ karya saja,” jujur Nurin. Dia mula berasa seronok berbual dengan Ikhwan.

Mereka berdua saling ketawa.

“Tak mengapa. Aku pun macam itu dulu. Lambat-laun, kau akan tahu buat semua itu selagi kau masih boleh rasa perasaan, itupun dah cukup. Sebab pengkhususan Seni Halus tak semestinya bijak bermain dengan bahan-bahan seni, tapi bijak menzahirkan perasaan kau ke dalam bentuk seni,” terang Irwan seraya tersenyum.

Nurin terdiam. Inilah kali pertama dia mendengar madah inspirasi sebegitu.

“Okeylah. Apa-apapun, terima kasih Nurin. Aku seronok jumpa audiens macam kau. Walaupun kau tak bercakap, tapi penerangan kau tu dah cukup buat aku seronok,” puji Irwan lagi. “Aku simpan ni ya,” Irwan menayangkan kertas yang ditulis oleh Nurin lalu menyimpannya kemas ke dalam buku nota.

Nurin sekadar tersenyum lalu melambai tangan ke arah peserta projek itu sambil membuat isyarat tanda sokongan terhadapnya. Pelajar-pelajar Tahun 2 mulai berkurangan. Mereka mula hilang fokus untuk melihat pameran dan mula melepak di tepi muzium. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih berahi melihat karya-karya, termasuklah Nurin.

Sebenarnya, dia sedang mencari karya Irsyad dan mengandaikan bahawa lelaki itu pasti sedang berdiri di tepi karyanya. Dia ingin ‘berbual’ dengan Irsyad dengan lebih lanjut sepertimana dia berbual dengan peserta-peserta tadi. Buku notanya pun masih tebal lagi untuk ‘berinteraksi’ sepertimana dia berinteraksi dengan Irwan tadi.

Nurin masih belum menemui karya Irsyad. Mungkin paling hujung sekali.

Kakinya melangkah cermat ke hujung muzium. Dalam katalog pameran ada memberi pelan bahawa terdapat satu-satunya karya yang tergantung di situ kerana karya tersebut dianggap karya pilihan pengarah MGTF. Dia melangkah penuh senyuman, tidak sabar meneliti karya itu sebelum melihat lagi berbaki 7 karya. Semakin dekat, senyumannya semakin mati.

Apakah ini?

Nurin tidak berkerdip mata. Tag karya tersebut tertulis ‘Angin Menjerit, Pokok Membisu’ yang mempunyai tiga siri (terdapat tiga karya dalam satu tajuk). Karya tersebut tidaklah sesusah karya-karya abstrak ekspressionisme dan surealisme yang digunakan oleh peserta-peserta lain kerana karya tersebut adalah realisme. Siri pertama 100% catan, siri kedua diselitkan beberapa keping bahan yang dilekat di permukaan kanvas manakala siri ketiga memperlihat gabungan 3D dengan catan. Kelihatan agak ekstrem dan unik berbanding karya-karya catan yang lain.

Nama pengkarya: Irsyad al-Rashid Abdullah.

Ya, lelaki itu!

Nurin menoleh ke kiri ke kanan, tercari-cari kelibat Irsyad. Nampaknya, lelaki itu masih lenyap entah ke mana. Sanggupnya dia membiarkan karyanya berdiri sepi begini? Hati Nurin mengomel. Dia merengus.

“Cari peserta karya ini ke, Nurin?” tegur Professor Rahman.

Nurin terkejut lalu menoleh ke belakang. Dia mengangguk kecewa sambil memandang karya Irsyad. Lelaki itu tidak sepatutnya meninggalkan karyanya begitu sahaja. Dia perlu berada di sisi karya untuk mempersembah keistimewaan karya. Kenapa agaknya dia menghilangkan diri? Adakah kerana dia tidak mempercayai dirinya?

“Irsyad memang begitu.”

Nurin tersentak apabila tiba-tiba sahaja suara Professor Rahman terbit dari belakang.

“Dia payah sikit nak bergaul dengan orang lain, termasuklah kawan-kawan dan pensyarah. Lagi-lagi dalam keadaan ramai orang macam ini. Dia memang selalu menghilang,” jelas Professor Rahman bagaikan dapat membaca fikiran Nurin. “Bukan kat pameran saja dia begitu, tapi sepanjang masa. Waktu belajar pun dia akan hilang macam ini.”

Nurin mengerut dahi. Peliknya lelaki itu. Mengapakah mengelakkan diri sampai begitu sekali? Dia bisu ke? Hati Nurin mempersoal sambil mengerut dahi lagi.

“Dia tak bisu pun. Dia macam kita juga, cuma sikapnya dia suka menyendiri dan pendiam. Dia susah nak bergaul dengan orang, lagi-lagi dengan orang yang tak dikenali. Dengan kawan-kawan dan pensyarah pun dia begitu. Hanya orang yang rapat dengan dia saja dia akan bergaul,” Professor Rahman secara tiba-tiba bersuara. Nurin terkejut. Macam mana pensyarah ini boleh tahu persoalan dalam hatinya tadi?

“Dengan Prof, dia berbual tak?”

“Kadang-kadang saja sebab saya bukanlah rapat dengan dia pun. Semua orang faham situasinya. Sebab itu ramai nampak tak kisah sangat bila dia hilang. Encik Shahrul pun dah lama faham keadaan dia,” jelasnya lagi.

“Oh..,” jawab Nurin, pendek.

“Dia satu sidang dengan kamu juga. Kalau boleh, cubalah berkawan dengan dia ya? Saya rasa kamu berdua ada masalah jiwa yang sama. Mungkin dengan persamaan inilah kamu berdua boleh jumpa jalan untuk selesaikan masalah masing-masing,” cadang Professor Rahman membuatkan Nurin bertambah berkerut dahinya. Professor Rahman mengerling ke jam tangannya lalu memberi pengumuman ke sekitar muzium, “ Pelajar grafik tahun 2, kelas kita dah tamat. Kamu semua bolehlah balik lepas ni.”

Serentak itu, pelajar Tahun 2 Grafik Komunikasi bersorak riang di hadapan audiens, pensyarah dan peserta yang berada di situ. Hampir separuh daripada kelompok mereka sudahpun keluar dari muzium, tetapi Nurin masih terkaku di hadapan karya Irsyad. Fikirannya ligat menafsir madah-madah Professor Rahman tadi.

‘Saya rasa kamu berdua ada masalah jiwa yang sama. Mungkin dengan persamaan inilah kamu berdua boleh jumpa jalan untuk selesaikan masalah masing-masing’? Apakah maksudnya? Nurin kenal benar akan Professor Rahman. Pensyarah dihormati itu tidak akan mengutarakan kata-kata yang tiada isi atau tiada tujuan. Pasti ada sebab dia mencadangkan sedemikian terhadap Nurin.

Masalah dalam jiwa.

Nurin mulai sugul, amat terasa dengan perkataan Professor Rahman itu walakin perkara tersebut memang benar. Dia teringat akan peristiwa lampau. Telinganya masih terngiang-ngiang suara ejekan rakan-rakan sewaktu dia berumur belasan tahun. Matanya masih terbayang keadaan dirinya yang dijadikan bahan tawa.

Ah, kenapa perlu mengenang peristiwa lalu!

Dalam genangan air mata, Nurin menumpahkan pandangannya semula ke arah tiga siri karya Irsyad. Nurin meneliti karya-karya itu yang bertajuk ‘Angin Menjerit, Pokok Membisu’ dengan lebih fokus. Pelik sungguh tajuknya dan entah mengapa, karya-karya Irsyad bagaikan cerminan dirinya sendiri.

Lagi bertambah pelik apabila tajuknya tidak kena langsung dengan subjek karya. Irsyad menggunakan subjek seorang lelaki dengan ekspresi yang sama pada ketiga-tiga siri. Tersenyum. Siri pertama catan biasa. Siri kedua mula ada jaring-jaring bahan pada sebelah tubuh subjek lelaki itu. di antara ketiga-tiga siri itu, Nurin agak takut akan siri terakhir.

Bahan-bahan berselirat di sekitar tubuh subjek lelaki itu. Bahannya seperti diperbuat daripada plaster of Paris dan lidi yang dibentuk menjadi seakan-akan kerawang. Ia menampakkan arca, tetapi masih di atas permukaan kanvas. Penggunaan warna pada bahan tersebut berjaya menaikkan bulu roma Nurin, menandakan siri tersebut dibuat secara serius dan misteri.

Tapi, apakah mesej yang dia nak sampaikan? Hati Nurin berbisik. Tajuk karya itupun agak tiada kena-mengena dengan subjek catan. Bentuk 3D pun tiada rupa semacam pokok pun. Jadi, kenapa tajuknya sebegitu?

Nurin berasa tidak puas hati. Hatinya meronta-ronta untuk menggodek maksud tersirat di sebalik karya itu hari ini juga. Dia duduk bersebelahan dengan karya Irsyad sambil memikirkan intipatinya. Dia berasa tidak puas hati selagi tidak memperoleh jawapan.

***

Jam dinding MGTF melagukan muzik seruling petanda sudah tepat ke angka satu. Setelah merasakan jumlah audiens semakin surut, Irsyad mula memunculkan diri. Dia merendahkan pandangan ke bawah apabila ada beberapa audiens berselisih dengannya. Dia tidak suka bertentang mata dengan orang awam.

Hatinya lega melihat MGTF lengang. Sekarang, barulah boleh duduk di sebelah karya agungnya. Dia tersenyum lebar kepada semua rakan dan pensyarahnya sebagai tanda sapaan. Namun, senyumannya terhenti saat terlihat seorang gadis berhud sedang melihat karyanya dengan tekun.

Ada audiens lagi rupanya, hati Irsyad mengeluh. Namun, dia tetap mahu duduk di sebelah karyanya. Dia mendekati audiens tersebut. Seketika, mereka bertentangan mata. Oh, gadis Studio Grafik. Irsyad menggelarkan gadis itu sebagai Gadis Studio Grafik ekoran gadis itu semakin kerap melepak di situ.

“Kau pergi mana?” soal gadis itu. Irsyad sekadar tersenyum, tidak menjawab.

“Nama aku Nurin dan aku nak tahu sangat tentang karya kau ni. Boleh kau terangkan?”

Oh, nama dia Nurin. Hati Irsyad berbisik. Dia masih lagi tersenyum tanpa berkata apa-apa lalu mula ingin melangkah pergi. Dia bertekad akan duduk di sebelah karyanya semula setelah Nurin beredar dari situ.

“Eh! Nanti dulu! Jangan pergi!” Nurin menghalang sambil mendepakan tangan, menyekat perjalanan Irsyad. Gadis itu menghulurkan buku notanya kepada lelaki itu. Irsyad mengerut dahi.

“Kalau kau tak suka bercakap, kita berkomunikasi dalam buku ni, boleh?” cadang Nurin.

Sedikit demi sedikit senyuman Irsyad mula mendatar.

“Tolong berborak dengan aku tentang karya kau. Mari, kita duduk sini,” ujar Nurin sambil menarik kerusi lagi satu berdekatan dengan Irsyad.

Dia menepuk-nepuk kerusi meminta Irsyad duduk. Lelaki itu mengeluh ringan lalu duduk dalam keadaan terpaksa. Ikutkan hati, dia mahu pergi sahaja. Namun setelah melihat Nurin agak bersemangat untuk berborak dengan dirinya, dia merelakan sahaja. Nurin tersenyum apabila ajakannya berhasil. Dia mula menulis sesuatu di dalam notanya.

‘Okey, terangkan aku kenapa kau buat 3 siri? Yang lain-lain semua buat satu je’

Irsyad membaca soalan Nurin lalu dia pula menulis. Timbul rasa gembira di hati Nurin apabila Irsyad mula menulis.

‘Penyampaian individu.’

‘Apa yang kau cuba nak sampaikan?’

‘Kecelaruan.’

‘Sebab kenapa?’

‘Diri sendiri.’

Nurin mengherot bibir. Rasa tidak puas hati dengan jawapan Irsyad yang terlalu pendek. Dia menulis soalan kembali tetapi kali ini sengaja ditulis panjang.

‘Aku tak dapat membaca karya kau sebab catan kau ada gabungan bahan yang menampakkan timbul macam arca. Aku dah teliti satu persatu. Tapi aku agak seram dengan karya siri akhir kau. Nampak macam raksasa aje kat sekeliling subjek lelaki tu. Kenapa kau buat macam tu? Apa yang kau cuba nak cerita?’

Irsyad tersenyum menampakkan gigi dan lesung pipitnya. Dia merenung mata Nurin sekilas sebelum menulis.

‘Seram? Petanda raksasa tu pun ada dalam diri kau juga.’

‘Maksudnya?’

‘Jiwa sendiri berlawan dengan jiwa sendiri.’

‘Apa maksud kau niiiiiiiiiiii! Terangkanlah lagiii!! Tumbuk kang!!’

Irsyad ketawa kecil. Sudah lama dia tidak ketawa. Entah mengapa, gelagat gadis di hadapannya ini begitu mencuit hatinya sejak awal lagi. Dia menulis kembali.

‘Setiap orang ada raksasa belaan dalam jiwa. Raksasa tu adalah diri diorang, dan diorang adalah raksasa tu juga. Kita semua berlawan dengan raksasa a.k.a diri kita sendiri. Kalau kita kalah, kita masih menang. Kalau kita menang, kita tetap kalah.’

Nurin menggaru-garu kepala. Semakin lama, perkataan-perkataan Irsyad semakin mengelirukan. Dia tidak pasti sama ada lelaki ini memang jenis yang tidak bercakap secara terus atau memang suka berkias-kias. Nurin mengabaikan sahaja soalannya tadi lalu dia menulis soalan baru.

‘Tiga-tiga siri kau ada subjek lelaki yang sama ekspresi wajah. Semua tersenyum. Macam kau. Bermakna, subjek tu kau, kan?’

‘Seni halus adalah isi yang dianggap gila, tetapi gila yang berperasaan.”

Nurin terkedu seketika dalam beberapa minit. Dia secara tiba-tiba berwajah sugul.

‘Seni tak gila, tapi kita yang gila. Seni nampak gila sebab kita yang gila ni yang buat karya tu nampak gila.’

Kali ini, Irsyad pula terkedu. Namun, senyumnya kembali menerbit.

‘Bukan kita. Hanya aku, bukan kau. Kau unik. Kau tak gila.’

Irsyad menghulurkan nota kepada Nurin sebelum bangun dari tempat duduknya untuk beredar ke surau. Sayup-sayup kedengaran suara azan petanda waktu Zuhur mula berlabuh. Belum sempat Irsyad melangkah, Nurin menepuk lengan lelaki itu dengan buku notanya. Irsyad menoleh.

“Kita kawan, nak?” soal Nurin meskipun dia berasa soalan itu agak bodoh dan keanak-anakan. Irsyad sekadar ketawa.

“Hidup ni bebas. Nak berkawan, berkawanlah. Tak perlu meminta izin untuk berkawan. Dunia tak sekejam tu,” ujar Irsyad membuatkan Nurin tergamam. Mata gadis itu tidak berkerdip memandang Irsyad yang berjalan menuju ke surau. Jantungnya bagai terhenti ketika mendengar suara lelaki itu.

Dia bercakap! Yeaahhooo!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab Teaser | Bab 1 | Bab Prolog | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku